You are on page 1of 4

INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA: SUMBANGAN DAN MASA DEPAN (THE DEMAND OF

FOREIGN TRAVELLER)

Sesebuah negara yang berjaya memanipulasikan panorama persekitaran yang cantik, tinggalan
sejarah, keunikan budaya, kemajuan ekonomi, peluang pendidikan dan rawatan, serta penganjuran
acara bertaraf antarabangsa akan menarik kadar ketibaan pelancong yang tinggi dari serata pelosok
dunia. Sektor pelancongan bukan sahaja muncul sebagai penyumbang besar pendapatan negara,
bahkan menjana kesan pengganda yang besar dalam kegiatan ekonomi. Peluang pekerjaan dan
penyelidikan dalam bidang pelancongan juga dapat dikembangkan secara lebih agresif. Dengan
kemudahan perkhidmatan atas talian, keberkesanan kos dalam aspek pemasaran pelancongan dapat
dioptimumkan.

Secara tradisional, pelancongan menjurus kepada keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan yang
mempersonakan. Pelancong dalam dan luar negara menikmati pemandangan yang mendamaikan
jiwa, sehingga menjadi terapi dan pelarian daripada urusan hidup yang begitu rencam. Malaysia
memang kaya dengan destinasi pelancongan yang terhebat seperti Langkawi, Pulau Pinang, pesisiran
pantai Terengganu, Hutan Belum dan Taman Negara di Pahang, Sabah dan Sarawak. Kehijauan hutan
tropika, desiran angin sepoi-sepoi bahasa di pinggir pantai dan pengembaraan di tempat-tempat
peranginan menjadikan Malaysia bagaikan syurga dunia yang menggamit kedatangan pelancong.

Pelancongan berkonsep pengembaraan dan santai seperti yang disebutkan telah merancakkan
perkembangan sektor perkhidmatan, serta perusahaan kecil dan sederhana. Agensi pelancongan
berdaftar, penyedia penginapan, operator pengangkutan, sajian makanan, cenderamata, kraf tangan
dan pemandu pelancong bebas tidak menang tangan dalam melayan keperluan pelancong.
Pelesenan yang dikenakan kepada pemain-pemain industri pelancongan bertujuan bagi
meningkatkan profesionalisme dan mutu perkhidmatan yang ditawarkan. Lebih banyak kolej dan
universiti menawarkan kursus pelancongan hingga ke peringkat doktor falsafah bagi menyiapkan
pemain industri pelancongan yang lebih berdaya saing dan dihormati. Perkhidmatan yang
dikendalikan secara teratur bakal memberi melonjakkan imej sektor pelancongan negara.

Malaysia juga memiliki sejarah pembentukan negara bangsa yang sangat unik. Kepelbagaian budaya
dan etnik sama ada di tanah Semenanjung atau Malaysia Timur menjadi modal yang sangat berharga
kepada sektor pelancongan. Melaka Bandaraya Bersejarah sebagai contoh hanyalah sebuah bandar
yang lengang dan sepi pada suatu ketika dahulu. Pemuliharaan bangunan bersejarah seperti A
Farmosa, deretan premis cat merah tinggalan Belanda dan lokasi pengisytiharan kemerdekaan di
Bandar Hilir dan banyak lagi telah meletakkan Melaka di peta pelancongan dunia, lebih-lebih lagi
dengan status tapak warisan dunia yang dianugerahkan oleh Unesco. Monumen sejarah bersekali
dengan maklumat yang disediakan menjadikan Malaysia lebih berbaloi untuk dikunjungi.

Di Sabah dan Sarawak, kegiatan seni dan manipulasi fabrik suku kaum Kadazan dan Iban telah
dipromosikan dengan begitu berkesan. Kehidupan di rumah panjang dan rumah kelong (kawasan
berair) juga diuar-uarkan sebagai pengalaman pelancongan yang begitu istimewa. Udara yang segar
dan nyaman tanpa pencemaran menjadi nilai tambah yang menjadi lambang sebuah kehidupan yang
tenang dan bersahaja. Pelancong antarabangsa, khususnya dari negara maju menganggap negara
kita sebagai destinasi percutian murah kerana kadar tukaran asing yang menarik. Sektor
pelancongan dapat menyumbang terhadap saiz rezab asing yang lebih besar.

Pelabur asing, pakar runding dan kakitangan syarikat multinasional yang berurusan di negara ini juga
akan tertarik dengan kemajuan ekonomi negara yang pesat. Kawasan Lembah Kelang telah lama
menjadi tumpuan kerana terdapatnya ibu pejabat institusi kewangan antarabangsa dan syarikat
teknologi tinggi. Begitu juga dengan pembangunan pusat kewangan pesisir Labuan dan projek
Iskandar Malaysia di Johor. Dengan promosi dan tawaran pakej pelancongan yang menarik,
ekspetariat asing tentu akan membawa anggota keluarga melancong ke nagara ini, selain cerita
mulut ke mulut dan rangkaian maya seperti facebook dan twitter tentang pengalaman indah
berkunjung ke Malaysia.

Malaysia juga telah memajukan sektor pengajian tinggi dan hospital pakar swasta. Promosi seberang
laut yang agresif telah menjadikan sebagai salah satu destinasi pelancongan untuk tujuan pendidikan
dan kesihatan. Program pertukaran pelajar antarabangsa akan memberi impak positif dalam jangka
panjang kepada sektor pelancongan. Ketibaan pesakit dan kaum keluarga bagi mendapatkan
rawatan pakar dengan kos yang berdaya saing menyumbang terhadap permintaan barang dan
perkhidmatan tempatan oleh warga asing. Pembukaan kampus perubatan John Hopkins baru-baru
ini menunjukkan kepercayaan universiti terkemuka dunia itu tentang prospek bidang rawatan di
Malaysia. Maka, ketibaan pelajar asing dan pelancong kesihatan dijangka meningkat secara drastik.

Penganjuran acara sukan bertaraf dunia dan persidangan antarabangsa juga meletakkan Malaysia di
peta pelancongan sukan dan forum. Acara sukan pemotoran F1, Monsoon Cup kejohanan golf dan
tenis terbuka Malaysia, dan Le Tour de Langkawi sebagai contoh telah menggamit kehadiran
penyokong-penyokong bintang sukan antarabangsa ke Malaysia. Perbelanjaan pelancong sukan
untuk pembelian tiket, makanan, penginapan dan cenderamata, serta hak iklan dan siaran telah
menjana pendapatan bernilai bilion ringgit. Sekali pelancong sukan tertawan dengan keindahan alam
dan budi bahasa masyarakat Malaysia, mereka pasti datang lagi. Begitu juga dengan pembinaan
pusat konvensyen seperti Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC), Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan dewan persidangan hotel bertaraf lima bintang telah
merancakkan ketibaan pelancong yang gemar menyertai perbincangan peringkat tinggi serta acara-
acara korporat antarabangsa. Kesempatan mempromosi destinasi pelancongan negara untuk semua
peserta dan penyokong mereka akan menyumbang terhadap kepesatan sektor pelancongan negara
dalam jangka panjang.

Kesimpulannya, perspektif tentang sektor pelancongan di Malaysia telah menjangkau segmen di luar
tarikan keindahan alam semula jadi. Strategi kepelbagaian segmen tarikan pelancongan memberikan
kelebihan kepada Malaysia untuk menawarkan produk pelancongan yang lebih berdaya saing.
Sumbangan sektor pelancongan terhadap pendapatan negara akan terus meningkat. Kedudukan
ekonomi, politik, sosial dan keselamatan yang baik menjamin bahawa negara ini akan menjadi
pilihan utama pelancong asing. Kedatangan hampir 30 juta pelancong asing saban tahun
membuktikan bahawa Malaysia memiliki masa depan yang sangat cemerlang dalam sektor
pelancongan.
PERINDUSTRIAN

Sebagai sebuah negara yang beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam semula jadi yang unik
dengan deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita mampu menjadikan industri
pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara jika alam semula jadi itu dieksploitasi
sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah ke negara kita sejak
belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.
Keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menarik
kedatangan pelancong. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, menyarankan agar tugas
menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di
bahu kerajaan sahaja. Saya berpendapat bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh
kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelancong mengunjungi Malaysia dan tinggal di negara ini.

Antara faktor utama pelancong datang di sesebuah negara ialah adanya kemudahan
prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke
sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar
memperlengkap kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk
memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak pelancong yang
datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus
menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di
sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi.
Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi
syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut.

Kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, dan sebagainya turut menjadi
faktor penting dalam menarik ramai pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan
penting kerana ini akan menentukan sarna ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau
sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap, hal ini akan mendorong seseorang
pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih
banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan
tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara
dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan
harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu.

Kerajaan melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan


maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di
tempat- tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini
dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar
atau media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan mewujudkan halaman
pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai
sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM mempromosi Malaysia
dengan mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada tahun lalu
menandakan usaha serius pihak terbabit dalam nenarik lebih banyak pelancong datang ke negara ini.
Jika maklumat yang lengkap sampai ke pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang
melawat negara kita pada suatu hari kelak.

Kepelbagaian kebudayaan dan adat resam penduduk tempatan juga dapat menarik banyak
pelancong datang ke negara ini. Malaysia yang memang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan
seperti tarian Melayu, India, Cina, dan suku kaum di Sabah serta Sarawak mampu menghiburkan
pelancong, khususnya kepada pelancong yang gemar kepada sesuatu yang baru. Kebanyakan
pelancong memang gemar melihat kehidupan masyarakat di sesuatu tempat. Rumah Budaya di
Kuching, Sarawak menempatkan pelbagai jenis rumah dan kebudayaan suku kaum di negeri
berkenaan dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana. Kementerian
terbabit harus menjadikan pelbagai budaya yang unik di negara kita sebagai daya tarikan utama
dalam membangunkan industri pelancongan dengan rnemperkemas persembahan yang sedia ada.

Mengadakan promosi di luar negara juga merupakan langkah yang wajar dilakukan oleh LPPM
dalam usaha menarik lebih banyak pelancong mengunjungi negara ini. Pelbagai aktiviti seperti
rnengadakan Minggu Malaysia di beberapa buah negara di seluruh dunia dan acara pertukaran
delegasi kebudayaan dengan negara tertentu adalah antara usaha berkesan memperkenalkan
Malaysia kepada pelancong asing. Tindakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
membuka pusat penerangan di beberapa buah negara membuktikan bahawa usaha yang berterusan
telah dilakukan dalam menarik pelancong. Buktinya, program seperti Tahun Melawat Malaysia
(TMM) ternyata berjaya menarik ramai pelancong datang ke negara ini, sekali gus memberi
keuntungan besar melalui tukaran mata wang asing. Promosi pula perlu dipertingkat bagi menarik
kehadiran pelancong walaupun terpaksa rnembelanjakan wang yang besar, namun pulangannya
juga lumayan.

Berdasarkan penerangan di atas, jelas bahawa pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha
menarik pelancong datang ke negara ini. Oleh itu, pihak terbabit harus memikirkan kaedah lain yang
lebih berkesan, mudah, dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar sejajar dengan keadaan
ekonomi negara yang meruncing dewasa ini. Jadi, tanggungjawab untuk mempromosi keunikan dan
keindahan alam semula jadi negara kita kepada pelancong harus dikongsi bersama kerana rakyat
juga akan mendapat manfaatnya. Industri pelancongan di negara ini akan terus berkembang dan
menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara jika diusahakan secara lebih profesional.

You might also like