You are on page 1of 4

oalan Contoh

Malaysia telah membuktikan kemampuannya untuk menganjurkan sukan pada peringkat


antarabangsa dengan jayanya.
Huraikan kesan positif penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa kepada negara kita.
Rangka Karangan
Pendahuluan
- Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat - menaikkan nama Malaysia di
persada dunia
Isi-isi
i. kedatangan pelancong asing semakin meningkat
ii. mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia
iii. dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama
iv. wadah untuk perpaduan
v. meningkatkan mutu sukan negara
Penutup
- penganjuran sukan di peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif
Karangan Contoh
Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat seluruh warga dunia tanpa
mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sukan juga merupakan suatu instrumen untuk
menaikkan nama Malaysia di persada dunia. Negara kita sendiri telah berjaya menganjurkan
beberapa kejohanan sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Grand Prix
Formula One, Le Tour de Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya. Kejayaan penganjuran kejohanankejohanan tersebut telah memberikan imej yang positif kepada negara kita pada peringkat
antarabangsa. Hal ini telah membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan negara lain. Kejayaan ini telah mendatangkan kesan positif terhadap Malaysia
daripada pelbagai aspek.
Kesan positif yang paling ketara dapat kita lihat ialah kedatangan pelancong asing semakin
meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf dunia, industri pelancongan sukan di
negara kita akan mengalami kemajuan. Hal ini sekali gus mampu menjana ekonomi negara dari segi
tukaran mata wang asing. Sebagai contohnya, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang
diadakan secara tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi telah
berjaya menarik banyak pelancong asing, bak kata pepatah, Di mana ada gula, di situ ada semut.
Para pelancong berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk menonton pertandingan sukan ini secara
langsung. Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan
Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi
negara yang mapan. Oleh itu, penganjuran sukan antarabangsa perlu diteruskan kerana banyak
memberikan manfaat kepada ekonomi negara kita.
Kejohanan sukan yang berprestij pastinya akan mendapat liputan yang meluas dari seluruh
dunia. Bagi mereka yang tidak dapat menyaksikan kejohanan sukan yang dipertandingkan secara
langsung, mereka boleh menyaksikannya melalui media massa seperti televisyen dan radio. Banyak
siaran langsung dibuat oleh negara-negara yang mengambil bahagian untuk melaporkan
perkembangan kejohanan itu kepada penduduk di negara masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari

seluruh dunia dapat menyaksikan kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara tidak
langsung, orang yang tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya melalui liputanliputan yang disampaikan. Perkara ini akan meningkatkan imej Malaysia ke seluruh dunia.
Selain itu, melalui penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat menjalin dan
mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula
akan bertambah erat dengan adanya penglibatan dalam bidang sukan. Sebagai contohnya, Malaysia
telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia dan Eropah bagi
memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan
menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti
para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik
antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik antara Malaysia
dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat kelebihan daripada
pelbagai aspek.
Di samping itu, kita sentiasa mendengar bahawa sukan merupakan wadah untuk perpaduan.
Melalui penganjuran sukan antarabangsa, kita dapat mengeratkan perpaduan sejagat antara
masyarakat dari seluruh dunia. Sebarang pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan dapat
dilupakan dan mereka dapat menerima kekalahan dengan semangat kesukanan. Sebagai contohnya,
semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu ketika Dato Lee Chong Wei menewaskan
Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat akhir, mereka masih boleh bergurau antara satu sama
lain dan berpelukan sebagai tanda persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui
penganjuran sukan juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu memecahkan tembok
perbezaan kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan dijulang sebagai juara perpaduan kerana sikap
kerjasama dan toleransi bagai aur dengan tebing.
Selain agen perpaduan, penganjuran sukan peringkat antarabangsa ini juga akan meningkatkan
mutu sukan negara kita. Hal ini demikian kerana, ahli sukan di negara kita dapat menyaksikan
kehebatan ahli sukan dari seluruh dunia bertanding di negara kita. Bagi ahli sukan negara sendiri
yang bertanding dalam sesuatu acara itu, sudah pasti mreka akan mendapat suntikan semangat
yang lebih daripada penyokong-penyokong tempatan. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih
bersemangat untuk bertanding. Selain itu, mereka akan membuat persediaan yang lebih rapi dan
membiasakan diri dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk membuktikan bahawa kejayaan
akan menjadi milik negara kita sendiri di samping slogan Malaysia Boleh.
Konklusinya, penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai
kesan positif terhadap perkembangan Malaysia. Di samping itu, kerjasama daripada semua pihak
amat diperlukan bagi mengangkat martabat Malaysia di pentas antarabangsa. Pihak kerajaan
terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf
antarabangsa dengan lebih kerap agar negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, penganjuran
sukan juga mampu menjana ekonomi negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh
diibaratkan seperti serampang dua mata. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk
terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa akan menjadi kenyataan.

KEBAIKAN PENGANJURAN SUKAN ANTARABANGSA


Negara kita pernah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah kepada sukan
bertaraf dunia. Tahun 1998 merupakan detik bersejarah kepada Malaysia dan Asia kerana
Sukan Komanwel yang ke-16 telah berlangsung dari 11 hingga 21 September di negara kita.
Sukan SEA juga dianjurkan di Malaysia pada tahun 2001. Penganjuran sukan bertaraf dunia
merupakan langkah ke arah merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 yang merupakan
inspirasi dan wawasan pembangunan negara yang dapat melahirkan masyarakat yang maju,
penyayang, demokratik dan sejahtera. Negara kita amat bertuah kerana telah terpilih menjadi
tuan rumah bagi acara sukan yang bertaraf dunia. Hal ini merupakan satu peluang keemasan
bagi negara kita untuk menonjolkan imej dan kewibawaan Malaysia di arena antarabangsa.
Selain Sukan Komanwel, negara kita juga pernah menjadi penganjur perlawanan bola sepak,
Piala Thomas, Le Tour de Langkawi, dan sebagainya. Persoalannya sekarang apakah faedah
penganjuran sukan bertaraf dunia kepada rakyat dan negara kita?
Kemaslahatan penganjuran sukan bertaraf dunia kepada negara ialah pendapatan
negara akan meningkat sekiranya berjaya menjadi tuan rumah sukan antarabangsa. Hal ini
dikatakan demikian kerana pertandingan sukan seumpama ini akan membawa pelancong dan
peminat sukan yang banyak untuk melawat ke negara kita. Secara tidak langsung, kedatangan
mereka ini akan memajukan industri pelancongan dan perhotelan negara. Industri
pelancongan dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada negara. Biar kita imbas
kembali Sukan Olimpik yang diadakan di Atlanta. Negara Amerika telah mendapat
keuntungan sebanyak US20 bilion dalam penganjuran temasya sukan berprestij ini. Memang
benar kata mantan Perdana Menteri Malaysia, iaitu penganjuran Sukan Komanwel dapat
membantu negara mengatasi masalah kegawatan ekonomi yang semakin melarat pada masa
itu. Para pelancong dan peminat sukan bukan sahaja membeli tiket sukan, tetapi mereka turut
membeli cenderamata dan hasil kraf tangan yang dihasilkan oleh penduduk Malaysia. Maka,
industri kecil dan industri hiliran dapat berkembang dengan lebih maju lalu ekonomi negara
dapat dijana.
Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan instrumen perpaduan yang berkesan
untuk mencapai integrasi nasional. Perpaduan yang dipupuk bukan sahaja dalam kalangan
rakyat tetapi juga mendorong rakyat yang berbilang bangsa, etnik dan budaya
menggemblengkan semangat berbakti dan berkorban untuk negara. Sebagai contoh, pihak
badan bukan kerajaan berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk menjayakan Sukan
Komanwel secara sukarela. Bukan itu sahaja, hal ini juga dapat mengukuhkan nilai
perpaduan seperti toleransi, kerjasama, meletakkan kepentingan kebangsaan melebihi
kepentingan peribadi. Dengan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, mereka akan
memberikan sokongan yang padu kepada atlet negara kita untuk memenangi sesuatu
perlawanan. Penganjuran sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam sesuatu pasukan
untuk meraih kejayaan kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat. Lantaran itu, tanpa muafakat amat sukar untuk sesuatu pasukan itu mencapai

kejayaan. Jadi, perpaduan antara kaum dapat dilahirkan melalui penganjuran sukan bertaraf
antarabangsa.
Dengan menganjurkan sukan seumpama ini, mutu sukan negara kita pasti bertambah
baik. Melalui sukan bertaraf antarabangsa, kita dapat meniru teknik-teknik latihan yang
digunakan dan kelengkapan yang disediakan oleh negara tersebut. Tamsilnya, dalam sukan
badminton dan bola sepak, kita boleh mempelajari teknik pengurusan dan melihat
kelengkapan prasarana sukan. Dengan cara ini, atlet kita akan mengetahui punca kegagalan
mereka dan membaiki kelemahan mereka. Oleh itu, mereka akan berlatih dengan lebih giat
lagi demi mencapai tahap yang diharapkan. Mereka juga akan berlatih dengan berdisiplin
demi mencapai prestasi yang diharapkan. Pendek kata, prestasi sukan dan atlet negara akan
meningkat jika kita sering menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa.
Sebagai konklusinya, penganjuran sukan yang bertaraf dunia akan membawa negara
kita ke era kecemerlangan yang lebih membanggakan. Semua pihak sama ada pihak kerajaan,
badan bukan kerajaan mahupun rakyat jelata yang lain harus berganding bahu dan
menggembleng tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk
menjayakan pertandingan sukan yang diadakan dan menolong membuat persiapan
sepenuhnya. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, acara sukan yang diadakan di
negara kita akan dapat berjalan dengan lancar. Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan
salah satu cara pemodenan sukan yang dapat memperbaik prestasi sukan yang diidamkan
oleh setiap negara. Dengan ini, diharapkan agar manfaat-manfaat yang tidak ternilai harganya
semasa penganjuran sukan bertaraf dunia harus dihayati dan dapat dinikmati oleh semua
rakyat di nusa yang tercinta ini.

You might also like