You are on page 1of 2

Langkah-langkah mengekalkan kebudayaan pelbagai kaum

Memetik kata-kata tokoh tersohor, Henry Louis Gates Jr.”Tidak ada budaya manusia yang
tidak dapat diakses oleh seseorang yang berusaha untuk memahami, belajar, untuk
menghuni dunia lain”. Bait-bait kata tersebut begitu signifikan dengan kepentingan
mempelajari kebudayaan. Sesungguhnya, kebudayaan merupakan sesuatu yang wajar
dihayati dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Namun, semangat cinta akan budaya
dilihat semakin pudar dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia dan beliawanis.
Amsalnya, para marhaen lebih gemar menikmati hiburan daripada negara asing seperti
Amerika Syarikat dan Korea Selatan. Sebelum kebudayaan pelbagai kaum ini pupus ditelan
zaman, pelbagai inisiatif hendaklah dilakukan. Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk
mengekalkan kebudayaan pelbagai kaum?

Prakangsa perdana untuk mengekalkan kebudayaan pelbagai kaum ialah pihak yang
berkenaan mengadakan pertandingan bertemakan kebudayaan pelbagai kaum. Hal ini
dikatakan demikian kerana dengan adanya aktiviti sebegini masyarakat bukan sahaja dapat
mencungkil bakat terpendam malahan boleh menimba ilmu baharu tentang kebudayan
berbilang kaum. Sebagai uswah, pertandingan persembahan kebudayaan diadakan
sekurang-kurangnya sekali setiap tahun dapat memberi peluang kepada para murba untuk
menghayati seni tradisi pelbagai kaum. Tindakan ini juga akan menyebabkan pelancong luar
tertarik untuk melancong di negara ibunda kita ini. Bak kata pepatah, sambil menyelam
sambil minum air. Sesungguhnya, pertandingan bertemakan kebudayaan pelbagai kaum
haruslah diadakan supaya dapat membuka peluang kepada orang ramai untuk menunjukkan
bakat mereka.

Mari kita capahkan lensa perbincangan kita dengan menghuraikan uslub mengekalkan
kebudayaan pelbagai kaum ialah pihak sekolah mengadakan lawatan ke tempat-tempat
yang penuh dengan kebudayaan. Hal ini begitu kerana pelajar dapat menimba ilmu baru
kerana jauh perjalanan, luas pemandangan. Amsalnya, pihak sekolah boleh mengadakan
lawatan ke rumah panjang di Sarawak bagi mempelajari tentang budaya kaum Iban. Andai
kata perkara ini dilakukan, maka murid-murid dapat menambahkan pengetahuan tentang
kaum-kaum yang ada di Malaysia kerana laut ditimba tak akan kering. Pendek kata, lawatan
ke tempat-tempat yang penuh dengan kebudayaan menjadi kunci utama dalam menanam
semangat cinta akan budaya dalam diri para pelajar.

Lontaran idea yang terakhir minhaj mengekalkan kebudayaan pelbagai kaum ialah pihak
kerajaan mewujudkan hari kebudayaan. Hal ini dikatakan demikian kerana hari kebudayaan
ini boleh disambut seperti hari sukan negara. Tamsilnya, pada hari kebudayaan ini, semua
rakyat Malaysia digalakkan memakai pakaian tradisional masing-masing semasa
berkerja,belajar, dan melakukan aktiviti lain. Selain itu, perarakan pakaian tradisional boleh
diadakan bagi memeriahkan lagi hari tersebut. Andai kata perkara ini dilakukan, maka para
marhaen akan berasa bersemangat dan ingin mengekalkan kebudayaan berbilang kaum. Hal
ini kerana hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri
sendiri. Izharlah bahawa dengan adanya hari kebudayaan ini, rakyat akan lebih cinta akan
budaya kaum tersendiri.

Akhir kalam, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa terdapat pelbagai langkah-
langkah yang dapat dilakukan untuk mengekalkan kebudayaan berbilang kaum. Oleh itu,
semua pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing agar kebudayaan berbilang
kaum ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Dengan kerjasama daripada pelbagai
pihak, pastinya negara kita mampu kekal makmur dan harmoni. Jika aspirasi ini dapat
dikekalkan, maka negara kita dipandang tinggi dan dihormati oleh negara-negara luar yang
lain. Tegaslah bahawa kebudayaan pelbagai kaum ini penting untuk dijaga oleh kalangan
murba.

You might also like