You are on page 1of 1

Jelaskan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mempopularkan

permainan tradisional.

Permainan tradisional semakin dilupakan dek arus pemodenan yang telah melenyapkan nilai-
nilai tradisi masyarakat. Kebanyakan generasi muda sekarang tidak mengenali permainan
tradisional kerana tiada pendedahan tentang permainan tersebut. Ada banyak langkah yang boleh
dilakukan untuk memastikan permainan ini terus popular.
Permainan tradisonal dapat diperkenalkan kepada generasi muda melalui pelbagai promosi dan
kempen yang diadakan menerusi satu pesta atau pameran tertentu seperti karnival membeli-
belah. Pendedahan sebeginilah yang mampu memberitahu generasi muda akan kewujudan
permainan tradisional sebelum mereka boleh memainkan permainan tersebut pula nanti. Semakin
banyak pameran diadakan semakin besarlah peluang permainan ini menjadi popular.
Malah, di sekolah permainan ini dapat dipupuk dalam kalangan pelajar dengan penganjuran
pertandingan permainan tradisional yang diadakan di peringkat kebangsaan. Pembabitan pelajar
dalam permainan ini memastikan lebih banyak generasi muda mengenali dan menyertai serta
memastikan permainan ini terus hidup kelak.Pertandingan peringkat sekolah dilanjutkan menjadi
peringkat daerah, negeri dan kebangsaan pula.
Selain itu, penubuhan kelab permainan tradisional di peringkat sekolah dan universiti boleh
dilanjutkan untuk disertai oleh masyarakat umum juga. Setiap kelab sudah pasti akan mampu
menarik lebih ramai ahli masyarakat untuk turut serta dalam pembabitan permainan tradisional
ini. Kelab juga boleh menjadi arena untuk memberi latihan yang betul cara memainkan
permainan lama ini.
Tambahan pula, permainan tradisional ini boleh disebarkan dengan lebih meluas menerusi
kewujudan lebih banyak kawasan khas untuk memainkan permainan tradisional ini. Kewujudan
kawasan khas atau gelanggang sebegini memudahkan sesiapa sahaja untuk bermain lalu
menimbulkan satu kesedaran yang meluas pula kepada masyarakat setempat. Masyarakat juga
mampu berlatih dengan mudah.
Kesimpulannya, permainan tradisional merupakan warisan yang perlu dikekalkan di negara ini.
Permainan ini akan luput ditelan zaman jika tiada usaha dilakukan oleh mana-mana pihak untuk
mengekalkannya. Permainan tradisional merupakan sebahagian daripada budaya bangsa negara
ini.

You might also like