You are on page 1of 14

Kepentingan Seni dan Kebudayaan Kepada Masyarakat

Pengenalan

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum,
bahasa, agama, seni, budaya dan sebagainya. Negara kita juga dikenali sebagai
sebuah negara yang multikultural (multi-culture) di mana sifat-sifat kemajmukannya
dalam konteks kemasyarakatan yang luas juga. Konsep kemajmukannya yang merujuk
kepada pelbagai masyarakat campuran kumpulan manusia yang mengamalkan cara
hidup yang berlainan, mereka turut membentuk suatu entiti berasaskan kaum sendiri
dalam lingkungan komuniti yang luas. Keadaan ini bukan sahaja menjadikan
masayarakat itu menjadi kompleks sebaliknya melahirkan pelbagai aktiviti sosial dan
membentuk kehidupan sosial yang dikongsi bersama berdasarkan prosedur mantap
bagi memenuhi keperluan sosial mereka. Tahap-tahap masyarakat ini terus bekembang
daripada entiti keluarga, komuniti, negara dan global (Zaid Ahmad, et al., 2013).  

Kepelbagaian masyarakat dari segi ras, etnik dan identiti etnik ini mencetuskan
perbezaan individu-individu dalam banyak aspek seperti agama, pekerjaan, bahasa,
dan politik (Marshall, 1994). Keadaan ini akan mencorak kepelbagaian budaya yang
wujud dalam masyarakat heterogen di negara ini. Dalam hal ini, ahli masyarakat akan
terus berinteraksi dan berkongsi pola kebudayaan mereka namun tidak kurang pula
yang bersifat ekstrem dan teguh berpegang kepada prinsip mempertahankan budaya
masing-masing. Hal ini bukan menjadi masalah besar sekiranya semua golongan
masyarakat heterogen ini memahami akan konsep multikultural ini sepenuhnya.
Menurut Hassan (1994) kefahaman yang hendak diwujudkan dalam masyarakat,
mereka dapat: (1) menerima unsur perbezaan sosiobudaya yang wujud antara kaum-
kaum di Malaysia, (2) menerima dan memahami kebudayaan setiap kaum dengan hati
terbuka, (3) mendalami keunikan budaya yang wujud, (4) mengakui perbezaan
kebudayaan antara kaum serta (5) mengiktiraf unsur perbezaan dan keunikan budaya
setiap kaum. perbezaan dan keunikan budaya setiap kaum. Melalui pemahaman seperti
ini, persefahaman budaya dapat disemai dan dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Kupasan idea yang berkaitan dengan isu ini bukan sahaja tertumpu kepada
aspek budaya semata-mata malah aspek seni yang terkandung di dalamnya juga. 
Sesuai dengan keperluan tugasan ini, fokus perbincangan adalah menjurus kepada
kepentingan bidang seni dan kebudayaan kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Hal ini amat penting di mana setiap masyarakat harus menerimanya dengan tangan
dan dada terbuka. Persefahaman budaya ialah kesediaan setiap kaum menerima,
mengakui, memahami dan mengiktiraf unsur kebudayaan kaum lain (Fatimah Daud,
1984). Selain daripada itu, melalui persefahaman seperti ini, proses asimilasi budaya
dapat diterima dengan hati yang terbuka dan tidak menimbulkan konflik.
Definisi Seni dan Kebudayaan

Bidang seni dan kebudayaan merupakan dua entiti yang saling berkait rapat dan
bergantungan antara satu sama lain. Cakupan kedua-dua bidang ini sangat luas dan
kompleks, didapati juga seolah-olah kedua-duanya tidak dapat dipisahkan antara satu
dengan yang lain. Seni dan kebudayaan amat berkait rapat dengan identiti, ideologi dan
amalan seharian sesebuah kelompok masyarakat. Di seluruh dunia, setiap masyarakat
mempunyai identiti seni dan kebudayaannya yang  tersendiri lantas membentuk
keunikan cara hidup mereka.

Tidak terkecuali di Malaysia, di mana rakyatnya berbilang kaum dan keturunan


sudah pasti mempunyai kepelbagaian aspek seni dan kebudayaannya juga. Sifat
multikultural (kepelbagaian budaya) dari sudut sejarah etnik yang meninjau asal-usul
keturunan dan latar belakang sejarah setiap etnik dari segi cara hidup, sosio budaya,
asal usul, agama dan kegiatan ekonomi turut mencorak aspek seni dan budaya.
Perkara ini menjadi sebahagian daripada cara hidup dan pegang sejak zaman
berzaman lagi dan diteruskan sehingga sekarang.

(i)                 Definisi Seni

Perkataan seni dapat ditakrifkan sebagai sesuatu yang halus iaitu kecil, elok, tipis dan
halus, enak didengar iaitu mengenai suara, comel bentuk badan (Kamus Dewan,
2005).  Sesuatu yang dikatakan seni pula adalah suatu bentuk karya seperti pantun,
ukiran, muzik dan lain-lain lagi yang dicipta dengan bakat yang tersendiri. Perkataan
‘seni’ jika ditambah dengan imbuhan ‘ke’ (awalan) dan ‘an’ (akhiran) membentuk
perkataan ‘kesenian’ yang membawa pengertian yang lebih luas lagi iaitu perihal seni,
yang berkaitan dengan keindahan dan ketelitian penciptaan sesebuah karya seni
tersebut. Kesenian telah menjadi identiti dan amalan yang amat penting kepada
kebudayaan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa sejak turun temurun lagi.
Dengan kepelbagaian amalan kesenian dalam masyarakat berbilang kaum di negara
ini, identiti masyarakat Malaysia yang bersifat multikultural lebih terserlah dan dikenali
ramai. 

(ii)               Definisi Kebudayaan

Manakala, takrifan kebudayaan pula yang berasal daripada bahasa Sanskrit, iaitu


‘buddhayah’ yang berasal daripada bentuk jamak dari ‘buddhi’  membawa maksud budi
atau akal. Pengertian ini boleh diertikan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan budi
dan akal manusia. Dalam bahasa Inggeris, kebudayaan disebut ‘culture’ yang berasal
daripada perkataan Latin ‘colere’, iaitu bermaksud mengolah atau mengerjakan.
Pengertian ini bertolak daripada tradisi pekerjaan utama manusia yang berbentuk
mengolah tanah atau bertani (kerja-kerja pertanian).

Namun, pengertian kebudayaan yang bersabit dengan tradisi akal dan budi
manusia ini lebih menjurus kepada cara hidup sesuatu bangsa atau umatnya. Untuk
kita memahami gaya hidup berbagai jenis manusia termasuklah diri kita sendiri,
sosiologi seringkali menggunakan konsep budaya, yang merujuk kepada perkongsian
bersama barangan, ilmu dan kepercayaan sebuah kumpulan manusia atau masyarakat.
Konsep ini juga berkait rapat dengan bidang seni, sastera, dan muzik klasik serta
merangkumi aspek-aspek kehidupan lain dalam masyarakat kita.

Kepelbagaian kebudayaan ini lebih merujuk kepada kepelbagaian adat dan


budaya sesebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum. Stavenhagen
(1986) berpendapat kepelbagaian budaya merupakan rangkuman dari pelbagai aspek
yang meliputi budaya, etnik, agama, amalan tradisi yang mengarah kepada
kecenderungan dan memberi kefahaman di antara sesama kaum. Kepelbagaian
Budaya menurut Kymlicka (1999) pula adalah merujuk kepada kepelbagaian yang
wujud dalam sesebuah masyarakat yang memberi tumpuan kepada : (1) memahami
fenomena perubahan setiap masyarakat secara universal (perspektif universal), (2)
mengkaji permasalahan dan konflik setiap etnik (perspektif etnik) dan (3) mengkaji cara
bagaimana setiap etnik mengekspresikan budaya mereka (perspektif budaya).

Jadi, setiap kaum mempunyai budaya yang tersendiri. Setiap budaya pula
mempunyai keunikannya. kebudayaan adalah benda-benda yang diciptakan oleh
manusia sebagai makhluk yang berbudaya, mempunyai perilaku dan benda-benda
yang bersifat nyata, misalnya pola-pola perilaku, bahasa, peralatan hidup, organisasi
sosial, religi, seni, dan lain-lain, yang kesemuanya ditujukan untuk membantu manusia
dalam melangsungkan kehidupan bermasyarakat.
Fungsi Seni Dan Kebudayaan

Bidang seni dan kebudayaan mempunyai tujuan tertentu. Sudah tentu kepentingan
kedua-dua bidang ini memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya. Sejak
berzaman lagi, bidang seni dan kebudayaan ini telah memainkan peranan yang amat
penting kepada masyarakat Malaysia. Selain menjadi simbol perpaduan dan sosialisasi,
seni dan kebudayaan juga merupakan aktiviti kesenggangan dan rekreasi yang amat
penting dalam kalangan masyarakat kita.

Di antara fungsi-fungsi bidang seni dan kebudayaan ini adalah sebagai aktiviti
riadah masyarakat. Masyarakat kita memang gemar beriadah khususnya apabila waktu
kelapangan. Bagi masyarakat yang tinggal di kampung, masa senggang mereka diisi
dengan aktiviti-aktiviti riadah seperti tarian, silat, muzik dan sebagainya. Mereka
mempelajari sesuatu tarian bukan sahaja untuk tujuan keriangan sebaliknya mengisi
masa lapang selain menjalin hubungan sesame mereka. Keadaan ini dapat
mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti mereka. Dari sudut
kesihatan, aktiviti seumpama ini dapat memberi satu bentuk senaman dan latihan
anggota badan agar menjadi sihat dan cergas. Bagi golongan lelaki, aktiviti bersilat juga
aktiviti riadah yang baik mengasah mental, emosi serta fizikal mereka agar sihat
sejahtera.

Bagi aktiviti seni dan kebudayaan yang berkait rapat dengan agama, seluruh
penduduk dan masyarakat kampung terbabit dalam aktiviti berkenaan. Dari sudut
agama, hukumnya adalah wajib. Aktiviti-aktiviti seperti nasyid, marhaban dan hadrah
merupakan aktiviti kesenian Islam yang berkait rapat dengan amalan keagamaan.
Melalui aktiviti kesenian sebegini, pemupukan amalan keagamaan dapat dilaksanakan
secara berkesan serta memberi keinsafan sebagai seorang Islam. Hal ini dapat
mendidik ahli masyarakat supaya akur dengan perintah agama dan mengerjakan
perkara-perkara yang wajib dan sunat.

Hubungan masyarakat adalah amat penting. Proses sosialisasi yang


membabitkan sebilangan besar masyarakat adalah perlu bagai memupuk semangat
kerjasama dan perpaduan dalam kalangan mereka. Integrasi sosial ialah proses
menyatupadukan berbagai-bagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti
bersama dengan menghapuskan perbezaan dan identiti masing-masing. Keadaan ini
merupakan harapan bagi kebanyakan masyarakat, khasnya bagi masyarakat berbilang
kaum (Ting, 1997). Proses sosialisasi ini menggambarkan hubungan etnik sosial dalam
masyarakat. Melalui aktiviti ini, perpaduan antara kaum serta sikap saling hormat
menghormati dapat dibentuk sekaligus melahirkan masyarakat majmuk yang harmoni.

Dari segi pendidikan, bidang ini dapat memupuk bakat dan minat dalam jangka
masa panjang  supaya memiliki ciri insan yang memiliki seni dan budaya, mempunyai
citarasa seni yang tinggi dan kreatif.  Dalam konteks sebagai guru yang mengajar di
sekolah, pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran yang pelbagai serta
mengintegrasikan unsur-unsur lain seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
dalam pendidikan supaya menjadi lebih berkesan dan kreatif. Peranan sebagai seorang
guru seni yang kreatif dan inovatif amat penting dalam memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran terus berkesan dan relevan. Hal ini dapat menjadikan murid-murid
lebih berkreativiti bagi melahirkan insan pelajar yang celik dalam bidang seni dan
kebudayaan.
Sebagai ahli dalam masyarakat, aspek komunikasi yang berkesan amat penting.
Proses penyampaian komunikasi yang baik dan berkesan dapat mencerminkan
perspektif sosialisasi yang baik. Bidang seni dan kebudayaan ini sebagai media
mendidik dan mengkritik yang lazim digunakan pada zaman dahulu dan berkesan
sebagai media komunikasi. Aspek seni seperti wayang kulit, wayang orang dan seni
teater, syair dan seumpamanya mempunyai pesanan atau mesej dalam bentuk
komunikasi lisan dengan tujuan mendidik masyarakat. Oleh yang demikian, komunikasi
adalah alat dan sumber kepada manusia untuk terus berhubung dengan orang lain.
Tuan Yacob (1998), menyatakan komunikasi sebagai informatif, iaitu seseorang
individu itu mengerti dan mengetahui, dan juga sebagai persuatif, iaitu agar seseorang
individu itu bersedia menerima sesuatu perubahan atau keyakinan untuk melakukan
sesuatu perbuatan atau kegiatan.

Seterusnya, aspek identiti. Identiti masyarakat merupakan medium seni dan


kebudayaan dalam masyarakat Malaysia. Aktiviti seni dan kebudayaan telah
membentuk suatu identiti bangsa Malaysia yang amat unik sekali. Identiti ini seterusnya
menjadi pegangan dan amalan hidup seharian masyarakat di negara kita. Keunikan
identiti ini telah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai salah sebuah masyarakat di
dunia yang mempunyai kepelbagaian amalan dan aktiviti seni dan kebudayaan.
Justeru, hal ini merupakan simbol keagungan negara di mata dunia sebagai sebuah
negara multikultural yang disanjung tinggi serta dihormati.

Penglibatan Masyarakat

Konsep budaya dan masyarakat memang tidak dapat dipisahkan. Ibarat kata pepatah
Melayu, ‘bagai aur dengan tebing’ begitulah keakraban hubungan kedua-dua entiti ini.
Kepelbagaian budaya bukanlah merupakan halangan hubungan kaum di negara ini.
Masyarakat Malaysia mulai menerima kepelbagaian budaya yang diamalkan dalam
kehidupam seharian. Misalnya, amalan budaya makanan dalam masyarakat Malaysia
semakin diterima dan dikongsi secara bersama. Menururt Zaid Ahamad et al,.(2013)
semangat penerimaan kepelbagaian budaya ini sekaligus telah memajukan masyarakat
Malaysia dengan nama ‘kesatuan dalam kepelbagaian’.

            Dalam konteks seni dan kebudayaan yang melibatkan masyarakat secara
keseluruhannya ianya banyak memberi manfaat serta penting dalam pertumbuhan
hubungan antara kaum. Melalui aktiviti-aktiviti seni dan kebudayaan ini penglibatan
masyarakat dalam memberi impak ke atas daya kecergasan fizikal, perpaduan kaum,
dan pertumbuhan ekonomi.

            Kecergasan Fizikal

Penglibatan masyarakat di dalam aktiviti seni dan kebudayaan dapat meningkatkan


kecergasan fizikal. Hal ini dapat dibuktikan melalui aktiviti yang dilakukan iaitu
permainan tradisional yang melibatkan banyak pergerakan yang ringkas tetapi mampu
memberikan impak senaman ringan yang sesuai untuk dilakukan setiap hari. Melalui
aktiviti seni dan kebudayaan di Malaysia berbentuk seni suara, seni gerak , seni rupa,
dan permainan tradisional masyarakat dapat bergerak aktif dan menggunakan tulang
empat kerat sepenuhnya. Pergerakan yang berlaku secara optimum ini bukan sahaja
sebagai latihan fizikal tetapi juga dapat menyihatkan tubuh badan dan dapat dianggap
sebagai satu bentuk senaman.

Bagi kebanyakan bentuk seni, seni tari misalnya tidak lepas daripada
pergerakan. Suatu pergerakan yang berirama merupakan medium ekspresi individu
melalui gerak-geri berirama yang indah yang membawa kepada kecergasan fizikal.
Selain itu juga, aktiviti seperti galah panjang juga dapat meningkatkan kecergasan
fizikal masyarakat kerana apabila mereka bermain bersama di dalam suasana yang
gembira dan kondusif, mereka dapat menunjukkan seratus peratus potensi diri dan
seterusnya menjamin kesihatan diri kerana aktiviti senaman seumpama ini dapat
membakar kalori di dalam badan.

            Perpaduan Kaum

Penumpuan penglibatan aktif semua golongan dalam aktiviti seni dan kebudayaan juga
menyumbang ke arah membangun individu secara total, mempererat perpaduan
negara serta mempertingkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Aspek perpaduan kaum
bukan suatu isu yang remeh temeh. Usaha yang berterusan untuk membangun nilai
budaya yang positif dan mewujudkan satu Bangsa Malaysia adalah penting untuk
mengekalkan perpaduan negara dan keharmonian dalam mencapai matlamat
pembangunan terutamanya dalam suasana kepelbagaian etnik di Malaysia.

Sehubungan ini, beberapa kempen budi bahasa dan integriti ke arah


memperkukuh nilai sosial dan sikap akan diberi penekanan. Kempen dan program lain
yang berkaitan akan memberi tumpuan kepada perlunya rakyat Malaysia mengamalkan
sikap bertolak ansur, hormat-menghormati dan nilai positif lain yang perlu untuk
mengekal perpaduan negara, keharmonian sosial dan kemuafakatan. Bagi memupuk
penghayatan yang lebih baik kepada bidang seni dan kebudayaan ini Program
Merakyatkan Seni dan Budaya yang bertujuan untuk mendekatkan kembali seni kepada
masyarakat serta menjadikan seni sebahagian daripada kehidupan seharian
dilaksanakan. Aktiviti ini merangkumi persembahan seperti tarian tradisional dan
moden, drama dan muzik serta aktiviti berkaitan seni dan kraf dan akan melibatkan
masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar. Program untuk mendidik dan
menghebahkan kepentingan dan penghayatan nilai budaya, seni dan warisan di
kalangan masyarakat diberi penekanan agar selari dengan hasrat penyatuan kaum di
Negara ini dicapai. Kesemua ini amat penting kepada masyarakt bagi menjamin
hubungan kaum terus terpelihara dan negara berada dalam keadaan aman dan
sejahtera.

            Ekonomi

Dari sudut ekonomi, aktiviti seni dan kebudayaan juga tidak kurang penting
sumbangnya. Perkembangan semasa ekonomi global menunjukkan industri kreatif
adalah salah satu sumber penting pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya di
negara-negara maju. Misalnya, di Amerika Syarikat, industri ini telah menyumbang
sebanyak USD$3 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dalam
perspektif ekonomi dan sosiobudaya Malaysia, industri kreatif telah memberi
sumbangan sebanyak RM9.4 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2008 dan
berpotensi menjana ekonomi berpendapatan tinggi serta memartabatkan budaya
bangsa. Justeru, amat penting industri ini dibangunkan secara bersepadu dan
terancang melalui satu dasar dan hala tuju yang komprehensif (Kementerian
Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia, 2005).

Antara lain, usaha yang berterusan diambil untuk membangun dan


meningkatkan kualiti kraf Malaysia. Usaha ini meliputi penyelidikan dan pembangunan
mengenai kaedah baru bagi meningkatkan kemahiran pertukangan serta
membangunkan reka bentuk dan teknologi baru. Usaha mempromosi kraf Malaysia di
pasaran tradisi dan baru dilaksanakan secara meluas dengan kerjasama sektor swasta.
Kaedah pemasaran yang inovatif dan kreatif serta penjenamaan kraf negara
diusahakan. Potensi ekonomi industri budaya kreatif terus berkembang dan
menyediakan peluang perniagaan kepada para usahawan. Industri kraftangan juga
dapat memastikan keutuhan ekonomi melalui bidang pelancongan iaitu menarik minat
pelancong asing membeli barangan tersebut.

Justeru itu, penglibatan masyarakat amat penting bagi menarik kedatangan


pelancong asing untuk berkunjung ke Malaysia, melalui aktiviti seni dan kebudayaan ini
masih relevan dilakukan dan seterusnya dapat menjana ekonomi negara Malaysia.

Penglibatan Murid

Di peringkat bangku sekolah, penglibatan murid dalam aktiviti seni dan kebudayaan
turut penting dan memberi kesan positif ke atas perkembangan diri dan kemajuan
akademik mereka. Bagi memaksimumkan pencapaian ini, sebagai seorang murid yang
berdaya saing dan tabah menghadapi cabaran, kemahiran komunikasi mereka juga
turut terserlah di mana hubungan mereka secara personal dan interpersonal dapat
ditingkatkan lagi sejajar dengan nilai empati, harmoni dan pemahaman sesama insan
yang lain di sekolah. Hubungan baik dengan rakan-rakan dan guru merupakan aspek
yang penting bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat. Keadaan ini akan
mendorong proses pengajaran dan pembelajaran ke tahap yang tinggi serta memberi
faedah kepada semua pihak.

Aktiviti kesenian dan kebudayaan memainkan peranan penting di dalam


membentuk sahsiah dan jati diri murid. Kepelbagaian budaya yang datang dari setiap
pelosok negara turut mencorakkan lagi landskap kebudayaan dan kesenian di
Malaysia. Dalam hal ini, aktiviti seni dan kebudayaan yang dapat melibatkan murid
adalah aktiviti tarian dan permainan tradisional.
            Tarian

Tarian adalah boleh didefinisikan sebagai sebagai suatu pergerakan yang berirama.
Dalam kebudayaan masyarakat Malaysia terdapat berbagai-bagai jenis tarian , sama
ada tarian asli ataupun tarian yang telah dipengaruhi oleh unsur-unsur moden. Tarian-
tarian yang bercorak seni tari istana yang dipersembahkan pada waktu perkahwinan,
pertabalan, istiadat menyembah dan sebagainya. Tarian-tarian ini termasuklah tarian
siti payung, mak inang, asyik , gamelan dan sebagainya.

Berkenaan dengan penglibatan murid dalam seni tarian ini ianya lazim berlaku di
peringkat sekolah. Murid-murid selalunya mengemari aktiviti tarian ini sejak kecil lagi
dan bergerak aktif sebagai gerak kerja luar bilik darjah mereka. Penglibatan murid-
murid dalam tarian dapat menonjolkan lanskap bakat dan potensi diri mereka
keseluruhannya. Dalam pergerakan seni tarian ini, pergerakan kreatif merupakan satu
bentuk aktiviti yang menggabungkan gerakan-gerakan fizikal anggota badan secara
menyeluruh dan dilakukan secara kreatif (meliputi aktiviti gerak tari) bertujuan untuk
membantu murid-murid menyelesaikan masalah dan melahirkan perasaan masing-
masing (expressive and functional ).

Dalam aktiviti muzik, pergerakan kreatif adalah pergerakan di mana murid-murid


bergerak mengikuti muzik yang dimainkan. Setiap individu meluahkan perasaan dan
persepsi mereka berkenaan muzik yang didengari. Potensi pergerakan murid-murid
boleh dirangsang melalui ritma dan pelbagai bentuk tari. Kanak-kanak mempunyai
keiginan untuk bergerak dan sentiasa aktif. Salah satu satu cara untuk memuaskan
keiginan untuk begerak ialah menerusi tarian. Kanak-kanak dapat menikmati kepuasan
melalui gerak-tari yang berentak dan berirama dalam tarian.

             Di sekolah proses pengintegrasian merupakan satu aspek yang penting dalam


proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat banyak jenis pengintegrasian  yang
boleh dijalankan dalam pengajaran di sekolah. Antaranya pengintegrasian pelbagai
kemahiran dan mata pelajaran tertentu dalam konteks kurikulum di sekolah rendah.
Bagi aktiviti seni tarian ini, pengintegrasian mata pelajaran yang boleh dijalankan
adalah yang berkaitan dengan integrasi Seni Visual  dalam pendidikan, muzik dan
pergerakan. Pengintegrasian ini banyak memberi manfaat kepada pelajar terutama
dalam menguasai kemahiran belajar dan seterusnya mengembangkan bakat serta
potensi mereka dalam bidang tarian.

           Banyak peluang dan ruang untuk mereka melibatkan diri dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pelajar-pelajar didedahkan dengan pelbagai
kemahiran dan pengetahuan yang berguna dalam usaha melatih mereka menjadi
pelajar yang aktif dan progresif. Penggunaan strategi ini membolehkan pelajar
berpeluang menguasai beberapa kemahiran yang berkaitan dengan cara bersepadu.
            Permainan Tradisional

Penglibatan murid-murid dalam permainan tradisional juga penting. Ianya bukan sahaja
memenuhi tuntutan kurikulum tetapi yang lebih penting sebagai usaha
mempertahankan jenis permainan ini tidak pupus dan diketepikan oleh golongan
muda. Di peringkat sekolah telah ditubuhkan banyak kelab permainan dalaman seperti
congkak, batu seremban dan sebagainya. Ini bagi mendedahkan murid kepada aktiviti
permainan tradisional bermula daripada peringkat sekolah rendah lagi. Lazimnya,
permainan ini bersifat kekampungan sahaja dan dimainkan oleh golongan dewasa
sahaja. Hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan jenis-jenis
permainan tradsional ini dipelajari di sekolah-sekolah adalah tepat demi kelangsungan
permainan ini terus terpelihara dan diminati golongan generasi muda.

            Di Malaysia permainan tradisional ini juga dikenali sebagai permainan rakyat
atau folk games. Permainan ini juga dikenali sebagai pemainan masa senggang atau
sukan rakyat. Permainan rakyat berfungsi sebagai medium hiburan, sosialisasi dan
meningkatkan kecergasan. Selain itu, permainan rakyat juga menjadi aktiviti utama
untuk menyerikan majlis keramaian dan perkahwinan pada zaman sebelum
kemerdekaan. Bagi permainan tradisional yang melibatkan murid-murid termasuklah
main telaga buruk, guli-guli, main galah, main kapal terbang, cina buta, ketup atau
sembunyi dan lain-lain. Permainan tradisional ini wujud sejak sekian lama lagi,
permainan ini mudah, jimat dan boleh dimainkan bila-bila dan di mana sahaja. Selain
melibatkan kos yang rendah, permainan tradisional ini melibatkan penggunaan bahan
yang mesra alam berbanding alatan dalam permainan moden.

            Penglibatan murid-murid dalam permainan tradisional ini tidak harus dipandang
sepi. Mereka harus didedah pada peringkat awal lagi dan diberi peluang mewarisi
warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan, justeru,
penglibatan murid secara langsung dalam permainan tradisional ini nescaya dapat
mempopularkan permainan ini dan mengelakkan ianya pupus dan lenyap begitu sahaja
di negara ini.

Kepentingan Keterlibatan

Sejajar dengan kepentingan penglibatan aktif murid-murid sekolah rendah dalam


aktiviti seni dan kebudayaan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan perkembangan
domain psikomotor, kognitif dan afektif mereka. Hal ini memang tidak dapat disangkal
lagi. Bagi membincangkan kepentingan keterlibatan secara langsung murid-murid ini,
pendekatan secara teori berhubung dengan gaya pembelajaran mereka di sekolah turut
diambil kira.
Pada pandangan pengkaji, Teori Pembelajaran Konstruktivisme di mana aliran
Behaviorisme, proses pembelajaran individu mensasarkan pengetahuan diperolehi
secara kognitivisme. Kaedah pembelajaran telah ditemui berhubung dengan manusia
sebagai cara untuk mengubah tingkah laku manusia (behavior change) dan
potensi (potential behavior change) yang ada pada seseorang, khususnya murid-murid.
Dengan lain perkataan, proses pembelajaran murid-murid berlaku berasaskan ‘hukum
pekaitan’ (Law of Association) yang diutarakan oleh ahli Falsafah Yunani awal seperti
Aristotle. Ivan Pavlov seorang ahli psikologi Rusia telah menjalankan satu siri
percubaan secara saintifik dan sistematik mengkaji bagaimana pembelajaran berlaku
pada sesutau organisma. Menurut Ivan  Pavlov (1849-1936) ‘sesuatu organisma akan
teringat sesuatu kerana sebelum ini ia pernah mengalami sesuatu yang berkaitan’.
Tambah  beliau lagi, ‘Learning is a result  on an association formed between a stimulus
(such as food) and a respond (the animal salivating)’. Dalam kajian ini, anjing telah
‘belajar’ mengaitkan bekas makanan yang dilihat dengan makanan yang diberikan
kelak. Oleh sebab itu, pemilihan prinsip pedagogi pengajaran yang sesuai untuk
sesuatu pelajaran amat penting supaya penglibatan murid-murid pada tahap optimum.

Bertitik tolak daripada aliran Behaviorisme ini, proses pembelajaran murid-murid


mensasarkan  pengetahuan diperolehi secara kognitivisme. Seorang sarjana, Jean
Piaget mengatakan bahawa kognitivisme adalah perwakilan mental yang dikenali
skema. Skema akan menentukan bagaimana data dan maklumat yang diterima akan
difahami oleh minda manusia. Jika maklumat tersebut sesuai dengan skema yang ada,
maka skema tersebut diterima atau mungkin ditolak atau diubah suai.

Pandangan  kognitivisme telah melahirkan Teori Pembelajaran Konstruktivisme


yang menjelaskan pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Dalam
konteks ini, murid-murid tidak menerima sebarang maklumat (pengetahuan) tanpa
berfikir dan menyesuaikannya dengan idea dan maklumat baru selaras dengan
pengetahuan sedia ada mereka. Keadaan ini terbentuk hasil daripada interaksi sosial
bersama guru dan rakan mereka. Bagi mencapai matlamat ini, guru perlu memilih
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan
minat pelajar.

Teori Konstruktivisme ini merupakan proses pembelajaran yang mewujudkan


bagaimana pengetahuan (knowledge) disusun dalam minda pelajar. Teori ini bertitik
tolak daripada pandangan aliran Behaviorisme yang mengkaji perubahan tingkah laku
sehingga kepada kognitivism yang mengkaji tentang cara manusia (murid-murid)
belajar dan memperolehi pengetahuan yang menekankan perwakilan mental mereka.
Pengetahuan (knowledge) dikembangkan secara aktif dan lazimnya pembelajaran
berpusatkan murid-muird (student-centred).                                          

Prinsip pembelajaran teori konstruktisvisme lebih menekankan aspek


pembelajaran (learning) berbanding dengan pengajaran (teaching). Kekuatan teori ini
memberi peluang dan ruang bagi murid-murid memilih goal (goal), strategi dan
penilaian ke  atas pembelajaran mereka. Para guru hanya berperanan sebagai
fasilitator (pemudah cara) serta membimbing murid-murid ke arah pembelajaran
mereka. Keadaan ini akan memberi lebih keyakinan dan motivasi kepada murid-murid
dalam meneroka pembelajaran berdasarkan inisiatif sendiri. Keupayaan murid-murid
mengkonstruk pengetahuan melalui aktiviti pembelajaran seperti projek atau kajian dan
seumpamanya telah memaksimumkan kecenderungan kognitif (cognitive
predisposition) mereka. Bagi mengatasi murid-murid yang lemah membaca, penekanan
diberi kepada mereka bagi membentuk kemahiran (skill) dan
pengetahuan (knowledge) dengan mengaitkan pengalaman lampau untuk kegunaan
masa depan. Murid-murid harus membina sendiri proses berfikir mereka dan kemahiran
berkomunikasi yang baik dan jelas.

Psikomotor

          Berhubung dengan aspek psikomotor murid, perkembangan domain ini aplikasi


sesuatu konsep yang berkaitan dengan kecekapan dan keberkesanan pergerakan yang
boleh dipindahkan dan digunakan dalam pelbagai situasi semasa perlaksanaan
sebarang pergerakan. Proses ini berkembang dari peringkat rendah ke tinggi. Terdapat
beberapa prinsip asas yang boleh diaplikasikan agar pelaksanaan sesuatu pergerakan
akan menjadi lebih baik, efisen,dan selamat. Peningkatan kemahiran psikomotor juga
membolehkan individu bertindak balas dengan pantas dan tepat. Keupayaan ini
pastinya akan mewujudkan suatu budaya masyarakat yang aktif dan progresif.
Bertepatan dengan penglibatan murid dalam aktiviti seni dan kebudayaan ini
berpanduan teori kontruktivisme ini menekankan agar murid belajar memahami, aplikasi
dan menilai akan keupayaan diri mereka.
         Kognitif

Aspek kognitif pula, menekankan proses pemindahan pembelajaran bergantung kepada


pembelajaran aktif dimana murid akan memproses maklumat yang telah diperolehi
secara aktif supaya ianya dapat digunakan kemudian. Domain kognitif menganggap
proses pembelajaran adalah satu proses perolehan pengetahuan dan disusun semula
melalui proses pemprosesan maklumat dan disimpan sebagai maklumat yang berguna.

Penglibatan aktif dianggap murid dalam aktiviti seumpama ini memerlukan dialog dan
perbincangan sesama murid atau antara guru dan murid. Oleh yang demikian, faktor
berbahasa (komunikasi) dan kemahiran berfikir dalam kalangan  murid perlu
dititikberatkan dalam proses komunikasi mereka. Kemahiran berfikir juga intipati kepada
aspek kognitif yang amat penting itu.
            Afektif

          Domain afektif juga penting dalam perkembangan murid-murid yang aktif dalam
aktiviti seni dan kebudayaan. Aspek ini  merupakan sesuatu yang berkaitan dengan
sikap dan nilai. Dalam penglibatan murid dalam aktiviti seni dan kebudayaan, aspek
afektif ini mencakupi perasaan, minat, sikap, emosi dan nilai. Dalam penglibatan, murid
mempunyai perasaan terhadap sesuatu yang ingin disertai. Minat akan menjadi fokus
utama tahap penglibatan mereka. Manakala emosi pula banyak mempengaruhi semasa
penyertaan tersebut dan nilai yang dapat ditunjukkan adalah nilai menghargai warisan,
sahsiah yang baik dan rasa kesyukuran. Ini jelas menunjukkan bahawa domain afektif
ini menekankan kepada kepentingan emosi dan perasaan murid-murid.

Justeru itu, seseorang murid yang mempunyai domain afektif yang tinggi dalam dirinya
akan dapat dilihat menerusi berbagai tingkah laku. Antaranya adalah seperti,
pemerhatian murid tersebut terhadap aktiviti yang disertai, disiplin, motivasi yang tinggi
yang tinggi ditunjukkan.  Fokus utama murid-murid dalam aktiviti- aktiviti seni dan
kebudayaan adalah meluahkan perasaan dalam karya dan penglibatan serta memiliki
motivasi yang sangat tinggi sehingga tumpuan diberikan seratus peratus terhadap
karya yang ingin dihasilkan. Keadaan ini mempunyai perkaitan dengan
sifat  naluri (instinc) yang dimiliki oleh seseorang murid yakni keupayaan murid
menggunakan dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan
berinteraksi dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial.

Rumusan

           Sebagai rumusan dapatlah disimpulkan bahawa aspek seni dan kebudayaan


amat penting kepada masyarakat di negara ini. Kedua-dua entiti ini sememangnya
berkait rapat dan sangat senonim dengan masyarakat di negara ini yang terdiri
daripada pelbagai bangsa, keturunan, agama dan nilai budayanya. Perbezaan seni dan
kebudayaan bukanlah merupakan halangan satu bentuk perhubungan dan komunikasi
yang baik dan mantap sebaliknya menjadi sumber kekayaan kepada nilai seni dan
budaya masyarakat kita di mata dunia. Sifat multikultural yang dimiliki oleh masyarakat
di negara ini menjadi aset penting dalam memperkayakan khazanah seni dan budaya
malah turut menjadi daya tarikan pelancong luar. Keadaan ini telah memberi impak
positif ke atas ekonomi negara pada masa kini.

         Penglibatan pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan pelajar dalam bidang


seni dan kebudayaan ini turut memberi kesan positif terhadap pertumbuhan diri,
khususnya tahap kecergasan fizikal, aspek perpaduan kaum, dan ekonomi masyarakat
secara keseluruhannya. Keadaan ini telah melonjakkan nilai tambah (add
values) bidang seni dan kebudayaan dalam ruang lingkup masyarakat majmuk di
Malaysia sekaligus menjadikan kedua-dua bidang ini amat penting dan terus
menyumbang terhadap pembangunan negara secara keseluruhannya. Penglibatan aktif
golongan murid di peringkat sekolah menandakan evolusi seni dan kebudayaan ini
terus berkembang dan mendapat tempat di benak sanubari golongan muda hari ini.
Sejajar dengan kepentingan bidang ini dalam mencorakkan tahap perkembangan
domain psikomotor, kognitif dan afektif murid di sekolah pada tahap yang optimum juga.

Rujukan

Fatimah Daud. (1984). Some patterns of ethnic relations in Malaysia. Asia Profile 13(2): 117-
29.

Hassan, S.H. (1994). Modul Sejarah Sebagai Alat Pendidikan. Jakarta: Universitas


Terbuka.

Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia. (2005). Kuala Lumpur: Ministry of
Culture, Arts and Heritage of Malaysia Press.
Kymlicka, W. (2002). Kewargaan Multikultural, Terjemahan Edlina Hafmini Eddin. Jakarta:
LP3ES.

Marshall, G. (pent).(1994). The Concise Oxford Dictionary of Sociology. Oxford: Oxford


University Press.

Modul QGJ3033 Sukan Sepanjang Hayat dan Rekreasi. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan
Sultan Idris.
Stavenhagen, R.(1986). Problems and Prospects of Multiethnic States. Tokyo: United Nations
University Press.

Ting Chew Peh. (1997). Konsep Asas Sosiologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Tuan Yacob Bin Raja Mohamad. (1998).‘Gaya Komunikasi Guru Besar Hubungan Dengan
Komitmen Guru-Guru’. Majalah CERANA Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Bil. 3,
1998.

Zaid Ahmad, Ruslan Zainudin, Sarjit Singh, Ahmad Tarmizi Talib, Ho Hui Ling, Lee Yok Fee.
Najeemah Mohd Yusof & Nazri Muslim. (2013). Hubungan Etnik di Malaysia. Edisi
Ketiga. Selangor: Oxford Fajar.

You might also like