You are on page 1of 20

BAB 1

PENYATAAN KAJIAN

1.0 Seni persembahan secara umum

Schechner merupakan seorang tokoh yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan

disiplin ilmu yang berkaitan dengan seni persembahan ini. Seni persembahan menurut

Richard Schechner dalam (Rahmah Bujang et.al, 2002) ialah rangkuman hampir semua

kegiatan dan kejadian dalam masyarakat terutama yang ada di dalamnya struktur dan

tatacara yang jelas. Bagi mengkategorikan persembahan, beliau telah merangkumkan

kegiatan dan kejadian tesebut dalam satu konstruk kipas1 seperti yang ditunjukkan dalam

rajah dibawah.

Seni persembahan terdiri daripada seni persembahan muzik, nyanyi, tari dan

lakon. Rahmah Bujang et.al (2002) mendefinisikan seni persembahan sebagai hasil yang

dikaryakan oleh manusia dengan tujuan untuk dipertontonkan kepada masyarakat. Seni

yang dipersembahkan itu boleh berbentuk pameran dan pertunjukkan sosial, budaya,

1 Teori Kipas oleh Richard schechner akan diterangkan dengan lebih lanjut
dalam Bab 2

1
upacara dan permainan. Perlakuan mempersembahkan sesuatu merupakan usaha

seseorang manusia untuk berkomunikasi antara satu sama lain dalam kelompok mereka

atau kelompok yang lainnya. Tujuannya adalah untuk meluahkan perasaan, pemikiran

dan harapan. Seni persembahan ini juga dikawal oleh tiga elemen iaitu kawasan

berlakunya persembahan, pemain yang menjayakan persembahan dan corak pengutaraan

persembahan untuk mengisi tatacara dan struktur hasilnya.

Persembahan kehidupan tersebut meliputi kegiatan seni sebagai satu ritual atau

upacara, pengubatan (shamanism), ledakan krisis dan resolusi, persembahan harian,

sukan dan hiburan, permainan, proses penghasilan seni dan pengupacaraan. Schechner

juga mementingkan konsep seni persembahan sebagai satu daya imaginatif, satu unsur

permainan, pelepasan bahkan identifikasi kehidupan sesuatu kumpulan manusia.

Aristotle (384-322 S.M) menyatakan seni persembahan, terutama persembahan

pentas sebagai satu peniruan hidup yang tidak menggambarkan kehidupan tetapi lebih

2
daripada itu. Beliau menyatakan bahawa unsur-unsur kehidupan disaring dan diambil

sehingga peniruan tersebut telah melahirkan satu kepuasaan tertentu kepada pesertanya.

Aristotle mengukuhkan penelitian beliau tentang seni persembahan ini dalam karyanya

seperti Poietic dan Rhetoric yang telah membincangkan tentang konsep tragedi dan

komedi kepada tahap estetika yang tinggi sama ada dalam bentuk penulisan karya,

pementasan atau perbincangan keilmuan.

1.1 Bidang dan tajuk kajian

1.1.1 Sosio budaya dan Seni Persembahan Melayu

Bidang dan tajuk kajian ini berkait rapat dengan sosiobudaya dan seni persembahan

Melayu bagi masyarakat di Melaka. Seni persembahan Melayu merupakan sesuatu yang

mengekspresikan pegangan, harapan dan kefahaman serta pemikiran mereka melalui

kehidupan. Menurut Rahmah Bujang (2002), masyarakat menggunakan seni untuk

memaparkan budaya yang dimiliki oleh mereka melalui penjelmaan identiti, nilai, adat

resam, kepercayaan dan sistem hidup tersendiri. Ini menunjukkan bahawa hubungan

antara seni dan budaya dalam sesebuah masyarakat sangat erat sehingga diterap dalam

seni persembahan atau seni rupa.

E.B Taylor (dalam A. Aziz Deraman, 1984) mentakrifkan kebudayaan sebagai

satu keseluruhan kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan,

kesenian, kesusilaan, undang-undang, adat resam dan kebolehan lain serta kebiasaan

(tabiat) yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Robert Bierstedt

menyatakan budaya ialah kesemua yang kita fikir, yang kita buat dan yang kita miliki

3
sebagai ahli dalam masyarakat. Aziz deraman (1984) mendefinisikan kebudayaan

sebagai satu cara hidup yang meliputi seluruh cara hidup dalam satu-satu masyarakat

sama ada dari segi pengumpulan idea dan perasaan, kepercayaaan, lambang, nilai

kemasyarakatan, serta objek kebendaan yang diwarisi turun temurun.

Antara ciri-ciri budaya ialah diturunkan dari generasi ke generasi, dikongsi

bersama, nilai dan identiti kelompok, dinamis dan kreatif, kerangka rujukan bagi

masyarakat, dipelajari (Mohd Syariefudin Abdullah et.al, 2009). Sistem kebudayaan juga

bermaksud nilai, adat resam tingkah laku dan artifak yang dikongsi bersama oleh

anggota masyrakat dan digunakan untuk urusan sesama di dunia. Emile Durkhem

membahagikan budaya kepada dua jenis iaitu secara terusan atau tersurat seperti

pakaian, makanan dan juga secara tersirat seperti adat resam, kesenian dan apa juga yang

mempunyai penyataan tersirat dan falsafah. Budaya tersurat juga dikenali sebagai

budaya non-material.

Seni pula bermaksud usaha untuk mencipta sesuatu yang mengasyikkan sebagai

pemuas kepada pancaindera manusia yang ingin merasai kecantikan (Herbert Read

dalam Rahmah Bujang et.al, 2002). Al Ghazali seorang ahli falsafah Islam melihat seni

sebagai pengisian kepada pancaindera manusia yang merangkumi elemen lahiriah dan

batiniah untuk membentuk seorang manusia yang lengkap dan waras. Rahmah bujang

et.al (2002), mentakrifkan seni sebagai sesuatu yang halus, elok, cantik dan menarik

kebiasaannya diciptakan dengan bakat atau kecekapan individu. Oleh itu, seni itu

merujuk kepada paparan budaya milik bangsanya yang dijelmakan melalui identiti, nilai,

adat resam, kepercayaan dan system hidup tersendiri. Syed Ahmad Jamal mentakrifkan

seni sebagai titian di antara realiti yang zahir dengan yang batin iaitu seni tersebut

4
memberikan rupa dan mencerminkan budaya masyarakat. Syed Ahmad Jamal (1976)

menyimpulkan seni sebagai manifestasi pemikiran dan budaya sesebuah masyarakat

yang menerangkan keseluruhan cara hidup sama ada dari segi berfikir, membuat

keputusan, nilai-nilai baik dan buruk, kepercayaan keagamaan, tatasusila sosial, tahap

kemajuan ekonomi dan kesejahteraan politik (Rahmah bujang et. al, 2002).

Kebudayaan adalah apa-apa yang difikirkan, dibuat dan dimiliki oleh kita untuk

mengambarkan kehidupan dalam lingkungan masyarakat kita yang di dalamnya ada

identiti, nilai, adat resam, kepercayaan dan sistem hidup tersendiri. Oleh itu, seni

bertindak sebagai manifestasi budaya yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat.

Masyarakat melihat seni sebagai satu medium untuk berinteraksi dan berhubung sesama

ahli masyarakat yang lain misalnya seni persembahan.

Seni Melayu merupakan seni yang mengetengahkan nilai-nilai murni dan

mengisi kehidupan dengan pengertian yang lebih bermakna, menjadikan perlunya satu

kelangsungan proses komunikasi dalam masyarakat misalnya melalui seni persembahan.

Seni Melayu ini terbahahagi kepada dua kategori utama iaitu seni rupa dan seni

persembahan. Seni persembahan Melayu terdiri daripada seni persembahan muzik,

nyanyi, tari dan lakon Seni muzik dan nyanyian seperti nasyid, nazam, kompang,

Dondang Sayang, dikir barat, keroncong, ghazal, asli, langgam, dangdut, pop dan R&B.

Seni tari merupakan pergerakan bahagian-bahagian anggota badan yang digayakan

dalam satu susunan dan peragaan untuk dipersembahkan kepada penonton (Rahmah

Bujang et.al, 2005). Contoh seni tari ialah tarian gamelan, mak yong, joget lambak, silat

dan gimnastik. Seni lakon pula ialah pertunjukkan yang menggabungkan penggunaan

elemen pentas, pemain peranan dan mempunyai nilai aksi yang dramatik.

5
Dondang Sayang boleh dikategorikan sebagai seni persembahan muzik dan

nyanyian yang terkenal dalam masyarakat Melayu Melaka. Dondang Sayang ini

merupakan budaya persembahan muzik tradisional yang dipertontonkan kepada

masyarakat melalui persembahan berbentuk pantun yang diiringi bunyi-bunyian sebagai

muzik daripada beberapa peralatan muzik tradisi2. Seni persembahan Dondang Sayang

biasanya dipersembahkan sebagai suatu bentuk hiburan bagi masyarakatnya ketika masa

lapang atau sedang melakukan aktiviti.

1.1.2 Tajuk kajian

Kebudayaan Melaka dikatakan bermula lebih daripada enam kurun yang terdiri daripada

pelbagai adat etnik dan tradisi (Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka). Kebudayaan ini

juga disebabkan oleh adanya masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang

etnik. Tambahan pula, Melaka merupakan sebuah pusat perdagangan utama oleh

pedagang-pedagang dari seluruh negara untuk berniaga yang akhirnya menyebabkan ada

yang berhijrah dan terus menetap di Melaka. Maka dengan itu, adanya masyarakat-

masyarakat yang terdiri daripada orang Melayu, Cina, Baba dan Nyonya, Portugis,

Chitty dan Eurasia. Kepelbagaian etnik tersebut menyebabkan lahirnya tradisi-tradisi

yang sabahagiannya masih diamalkan sehingga kini di Melaka.

Antara kebudayaan yang masih kekal sehingga ke hari ini ialah irama Dondang

Sayang. Warisan Melayu seperti Dondang Sayang mula bertapak merupakan salah satu

tradisi warisan budaya dari zaman Melayu Melaka. Irama Dondang Sayang mula

2 Alat muzik tradisi dalam seni Dondang Sayang terdiri darpada dong,
tetawak dan rebana. Biola juga digunakan tetapi ia merupakan alat muzi dari
barat.

6
bertapak di Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu pada kurun ke-14 dan

ke-15 lagi (Mohd Yasin Ahmad, 2004). Hal ini telah disokong oleh Ahmad Yusof

(Madulara, 1984) yang menunjukkan adanya catatan sejarah Melayu Karya Tun Seri

Lanang berdasarkan pantun-pantun yang digunakan.

Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti sumbangan-sumbangan

penggiat seni Dondang Sayang dalam mengekalkan keaslian irama ini agar tidak ditelan

zaman. Usaha-usaha pengekalan ini harus diteruskan terutama golongan-golongan

penggiat seni di Melaka di samping sokongan dalam memartabatkan Dondang Sayang

daripada masyarakat Melaka itu sendiri agar irama ini terus menjadi suatu lambang

kebanggaan bagi negeri Melaka.

1.1.3 Skop kajian

Kajian ini memfokuskan kepada beberapa kumpulan penggiat seni Dondang Sayang di

Melaka yang masih bergiat dalam irama Dondang Sayang. Penggiat seni Dondang

Sayang yang terlibat di Melaka terdiri daripada pelbagai kaum. Antaranya ialah

masyarakat Melayu, masyarakat Baba dan Nyonya, sebilangan kecil masyarakat

Portugis dan Chetti. Senarai kumpulan seni Dondang Sayang yang dikeluarkan oleh

Jabatan Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Negeri Melaka adalah sebanyak 14

kumpulan. Manakala senarai kumpulan yang berdaftar di bawah Persatuan Dondang

Sayang Negeri Melaka adalah sebanyak lapan kumpulan.

Walau bagaimanapun, responden yang akan ditemui hanya melibatkan beberapa

orang individu atau kumpulan sahaja. Antara responden yang akan ditemubual ialah

7
tokoh Dondang Sayang negeri Melaka iaitu Tuan Haji Mohd Shariff (H. M Shariff) dan

Encik Mohd Baharim bin Mohd Sharip untuk melihat usaha-usaha yang dilakukan bagi

mengekalkan keaslian Dondang Sayang.

Selain itu, temubual juga akan dijalankan bersama Tuan Haji Abd Aziz bin Haji

Othman selaku pengerusi Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka. Penggiat-pengiat

seni Dondang Sayang dijadikan sebagai responden dalam kajian ini kerana mereka

merupakan antara golongan yang penting dalam usaha mengekalkan dan memelihara.

Selain itu, mereka juga merupakan golongan-golongan yang telah mewarisi seni

Dondang Sayang secara terus daripada nenek moyang.

Skop kajian juga adalah berkaitan dengan sejarah asal usul Dondang Sayang,

persembahan Dondang Sayang serta sumbangan-sumbangan penggiat seni Dondang

Sayang dalam memartabatkan budaya ini sehingga kini. Kajian ini dibuat untuk melihat

usaha-usaha yang telah dijalankan oleh mereka bagi memastikan keaslian Dondang

Sayang yang telah mereka warisi daripada golongan terdahulu.

Melaka dikatakan tempat di mana lahirnya irama ini. Oleh itu, destinasi kajian

adalah bertempat di sekitar Melaka. Manakala, tempat yang lebih spesifik bergantung

kepada responden-responden yang akan ditemubual di sekitar negeri Melaka.

1.2 Permasalahan kajian

Penggiat seni merupakan golongan yang sangat penting dalam meneruskan warisan

nenek moyang agar terus terpelihara. Misalnya, penggiat seni dan warisan negeri Melaka

8
iaitu irama Dondang Sayang di. Walau bagaimanapun, sumbangan mereka terhadap

perkembangan dan pengekalan irama Dondang Sayang tidak begitu ditonjolkan dalam

media massa dan media cetak. Masih terdapat di antara penggiat seni Dondang Sayang

ini yang masih bergiat aktif dalam menerima jemputan persembahan juga berkhidmat

sebagai tenaga pengajar.

Hal ini demikian kerana kehadiran pelbagai genre muzik dan peralatan moden yang

jauh lebih menepati citarasa masyarakat kini sekaligus menyebabkan sebahagian irama

tradisi ini diketepikan dan hanya didengari oleh golongan-golongan veteran sahaja.

Irama Dondang Sayang ini juga tidak mendapat perhatian dihati masyarakat walaupun

irama Dondang Sayang ini telah menerima pelbagai pembaharuan dari segi penggunaan

alat muzik dan rentaknya.

Oleh itu, kajian ini adalah untuk mengetengahkan sumbangan-sumbangan penggiat

seni Dondang Sayang dalam mengangkat tradisi di Melaka melalui pengekalan keaslian

dan kesinambungan irama ini sehingga ke hari ini. Kajian ini juga adalah untuk

menambah koleksi bahan bacaan yang berkaitan dengan sumbangan-sumbangan

penggiat seni dan warisan tanah air terutama irama Dondang Sayang agar masyarakat

lebih menghargai penat lelah yang telah dilakukan oleh mereka dalam mengekalkan

tradisi yang menjadi identity masyarakat Malaysia amnya, masyarakat Melaka khasnya.

1.3 Objektif kajian


i. Untuk mengkaji sejarah asal usul Dondang Sayang
ii. Untuk meneliti ciri seni persembahan dalam Dondang Sayang sebagai

suatu persembahan harian dan hiburan

9
iii. Untuk mengenalpasti sumbangan penggiat seni Dondang Sayang dalam

mengekalkan keaslian irama ini

1.4 Teori kajian

1.4.1 Teori Kipas

Teori kipas merupakan teori yang melihat peranan Dondang Sayang sebagai satu bentuk

persembahan harian dan hiburan dalam sesebuah masyarakat. Teori ini mengetengahkan

seni persembahan sebagai semua kegiatan dan kejadian dalam masyarakat terutama yang

ada di dalamnya struktur dan tatacara yang jelas. Schechner sebagai pelopor kepada teori

ini telah merangkumkan kegiatan dan kejadian tesebut dalam satu konstruk kipas untuk

mengkategorikan persembahan. Teori kipas ini mengemukakan tujuh asas yang dilihat

dari aspek ritual dan upacara, pengubatan (shamanism), ledakan krisis dan resolusi,

persembahan harian, sukan dan hiburan, proses penghasilan seni dan pengupacaraan.

Oleh itu, teori ini digunakan untuk melihat peranan seni persembahan Dondang Sayang

sebagai satu bentuk persembahan harian dan hiburan dalam masyarakat.

Rajah 1.1: Teori Kipas Oleh Richard Schechner (1970)


10
(Sumber: Rahmah Bujang & Nor Azlin Hamidon, 2002)

1.4.2 Teori Fungsional

Teori fungsional ini pula menekankan soal kestabilan dan integrasi dalam kalangan

masyarakat. Oleh itu, teori ini digunakan untuk menjawab objektif ketiga kajian iaitu

untuk melihat fungsi yang dimainkan oleh penggiat seni dalam mengekalkan dan

melestarikan irama tradisi Dondang Sayang.

Antara tokoh-tokoh bagi teori fungsionnal ini ialah Auguste Comte, Herbert

Spencer dan Emile Durkheim, Talcott Parsons, Robert Merton dan jeffrey Alexender.

Emile durkhiem merupakan pendokong kepada teori fungsional klasik manakala, tokoh-

tokoh lain merupakan pendokong kepada teori struktural-fungsional moden. Emile.

Auguste Comte, Herbert Spencer dan Emile Durkheim merupakan ahli falsafah yang

memperkenalkan teori ini dan mereka berpendapat bahawa penekanan diberikan tentang

soal perpaduan, keseimbangan sosial peraturan integrasi dan organisasi (J. Joseph,

2005). Masyarakat merupakan golongan yang mempunyai peranan penting dalam

memastikan pengekalan fungsi-fungsinya. Oleh itu, masyarakat yang dikatakan oleh ahli

fungsionalis ialah masyarakat yang berfungsi berdasarkan kepada sesebuah institusi

seperti institusi keluarga.

1.4.3 Teori Fungsionalisme mengikut Talcott Parsons

Talcott Parsons menyatakan masyarakat merupakan satu sistem sosial yang

memperlihatkan perhubungan yang tetap antara beberapa sub-sistem utama seperti

11
ekonomi, politik, agama, perundangan, keluarga dan pendidikan. Oleh itu, setiap

bahagian dalam masyarakat mempunyai fungsi masing-masing. Fungsi setiap bahagian

itu dilihat dari segi sumbangan masing-masing bagi meneruskan kewujudan dan

pengekalan masyarakat itu sebagai satu keseluruhan.

Dalam seni Dondang Sayang kita boleh lihat rantaian penggiat seni dari dahulu

sehingga kini telah banyak menyumbang kepada pengekalan tradisi ini dari luput ditelan

zaman. Golongan veteran misalnya berperanan dalam memartabatkan irama ini melalui

penubuhan kumpulan-kumpulan Dondang Sayang agar irama ini mempunyai

kesinambungan generasi dan tidak terkubur begitu sahaja. Penggiat seni ini memainkan

peranan yang begitu besar dalam memastikan irama ini kekal sehingga ke hari ini. Jika

mereka tidak melakukan sesuatu usaha pastinya irama ini tidak wujud pada hari ini

walaupun irama ini agak kurang dipertontonkan. Selain itu, mereka juga merupakan

antara orang penting dalam memastikan keaslian irama ini terus terpelihara.

Sebagai seorang pendokong teori fungsionalis, Talcott Parsons menumpukan

perhatian kepada soal memenuhi keperluan (needs) dalam masyarakat, di mana fungsi

setiap bahagian (parts) atau sub-sistem dalam masyarakat memenuhi keperluan

masyarakat yang berbagai-bagai. Parsons menyatakan bahawa setiap sistem dalam

masyarakat mesti digerakkan bagi memenuhi empat keperluan utama atau bagi

mencapai empat functional imperatives atau AGIL. AGIL merujuk kepada adaptation,

goal attainment, integration dan latency.

1.5 Metodologi kajian

12
Bahagian ini akan menerangkan tentang reka bentuk kajian dan kaedah kajian yang akan

digunakan bagi mengumpul data dan maklumat untuk menjawab objektif kajian yang

telah dikemukakan. Antara perkara yang akan disentuh di dalam bab ini ialah mengenai

reka bentuk kajian, kajian lapangan, kaedah pengumpulan data dan cara menganalisis

data.

Rohana Yusof (2004) menyatakan bahawa metode kajian ialah teknik-teknik

kajian yang mengkaji secara teratur dan teliti mengenai semua aspek sesuatu masalah.

Ini menunjukkan bahawa sesuatu kajian itu perlu dinyatakan dengan jelas bentuk kaji

selidik yang hendak dilakukan bagi menjawab persoalan serta objektif kajian secara

terancang agar tidak berlaku keciciran maklumat atau data. Selain itu, bentuk kajian ini

juga membantu pengkaji untuk membuat kajian dengan lebih teratur dan kemas.

1.5.1 Reka bentuk kajian

Menurut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, kaedah merujuk kepada cara atau

peraturan membuat sesuatu (terutamanya yang bersistem atau yang biasa). Kaedah

penyelidikan merupakan segala langkah yang diambil untuk mencapai segala objektif

penyelidikan (Ahmad Mahdzan Ayob, 1992:44). Secara umumnya, kaedah penyelidikan

boleh dilakukan melalui dua pendekatan iaitu pendekatan kaedah kuantitatif atau kaedah

kualitatif. Walau bagaimana pun, gabungan kaedah kualitatif dan kuantitatif juga boleh

digunakan dengan serentak semasa menjalankan penyelidikan. Teori-teori sosiologi,

teori yang berbentuk makro akan menggunakan kaedah kuantitatif manakala kaedah

kualitatif pula akan digunakan sekiranya menggunakan teori mikro.

13
Berdasarkan kepada objektif, reka bentuk kajian yang sesuai ialah kajian secara

kualitatif kerana tidak melibatkan responden yang ramai. Pendekatan ini juga digunakan

kerana maklumat atau data yang diperlukan bersifat subjektif yang diperoleh melalui

temubual, pemerhatian dan penyertaan mengenai perkara-perkara yang berkaitan

dengan objektif kajian. Kaedah ini melibatkan penganalisaan maklumat yang diperoleh

secara deskriptif.

Selain itu, kaedah kualitatif pula memberi penekanan kepada kualiti penulisan.

Pendekatan ini bersifat deskriptif yang mementingkan penghuraian makna perkara-

perkara yang dikaji. Reka bentuk kajian deskriptif selalunya dijalankan bertujuan untuk

memberi penerangan yang sistematik mengenai fakta dan ciri-ciri sesuatu populasi atau

bidang yang diminati secara fakta dan tepat. Pendekatan ini juga tidak menjadikan data-

data numerikal sebagai keutamaan kerana kaedah ini kurang berstruktur, terbuka dan

menumpukan kepada proses. Responden yang digunakan guna dalam jumlah yang kecil.

Maklumat-maklumat diperoleh melalui kajian keperpustakaan dan kajian

lapangan iaitu berbentuk temubual. Kaedah temubual yang digunakan ialah kaedah

temubual separa struktur. Dalam temubual semi struktur, pengkaji menyoal sebilangan

soalan formal yang telah dibina sebelum sesi temubual dijalankan, tetapi penemubual

juga diberi kebebasan untuk menyoal dan menjelajah lebih mendalam tentang jawapan

responden kepada soalan formal yang telah ditanya ( Chua Yan Piaw, 200:116).

1.5.2 Kajian lapangan

1.5.2.1 Tinjauan literature

14
Tinjauan ini dilakukan berdasarkan kepada kajian-kajian lepas. Kajian-kajian lepas ini

penting sebagai sokongan kepada kajian yang akan dilakukan. Antaranya ialah buku

yang telah dikarang oleh Ahamd Yusof (1984) iaitu Dondang Sayang Seni Tradisi Negeri

Melaka. Buku ini mengandungi beberapa aspek yang diperlukan oleh pengkaji oleh

penyelidik seperti sejarah Dondang Sayang, teknik-teknik mencipta pantun serta

berbalas pantun, teknik jual beli pantun dalam Dondang Sayang, teknik menyanyikan

Dondang Sayang dan kategori-kategori pantun untuk Dondang Sayang. Seterusnya ialah

penulisan oleh Narizan Jantan (1990) iaitu Dondang Sayang Warisan Seni Negeri

Melaka. Penulisan ini membantu dari segi sejarah dan asal Dondang Sayang di Melaka.

Kertas kerja oleh Fauziah Mamat (1985) iaitu Dondang Sayang Satu Bentuk

Persembahan Melayu Tradisional juga merupakan bahan untuk menyokong kajian yang

akan dijalankan.

Masyarakat dahulu baik dari golongan kanak-kanak mahupun orang dewasa,

sama ada masyarakat Bandar ataupun desa baik golongan berada mahupun biasa rata-

rata di Melaka penduduknya boleh mengenali dan meminati Dondang Sayang. Mereka

boleh memahami pantun yang dialunsuarakan dan mengetahui melodi dan iramanya

sekalipun mereka secara individu agak aib tentang muzik dan nyanyian. (Ahmad Yusof,

1984)

Petikan ini diambil daripada karangan Ahmad Yusof (1984) dalam Dondang

Sayang seni tradisi negeri Melaka menunjukkan bahawa suatu masa dahulu Dondang

Sayang ini menjadi sebuah irama yang disukai dan digemari oleh masyarakat di

Melaka. Selain itu, Ahmad Yusof juga menyentuh tentang irama Dondang Sayang

sebagai tradisi masyarakat di Melaka. Beliau telah mengemukakan beberapa bukti yang

15
menyatakan bahawa Dondang Sayang tersebut adalah milik masyarakat Melaka khasnya

dan Malaysia amnya.

1.5.2.2 Tinjauan awal

Kajian ini dilakukan kerana kurangnya maklumat tentang sumbangan-sumbangan

penggiat seni irama Dondang Sayang ditonjolkan sama ada di media cetak mahupun di

media massa. Penggiat seni tradisi dilihat kurang mendapat liputan yang meluas sedang

mereka telah banyak berkorban demi memastikan pengekalan dan kesinambungan

budaya dan tradisi yang ditinggalkan ini. Hal ini memperlihatkan seolah-olah penggiat

seni kebudayaan ini akan dilupakan jika sebarang tindakan yang lebih wajar tidak

dilakukan.

Oleh itu, kajian ini dibuat agar sumbangan-sumbangan penggiat seni Dondang

Sayang dapat di ketengahkan. Tujuannya ialah untuk menunjukkan bahawa mereka juga

merupakan golongan-golongan yang perlu diberikan perhatian dan diberikan

penghormatan oleh masyarakat di Malaysia.

1.5.2.3 Penglibatan dan pemerhatian

Kaedah ini dijalankan secara langsung dengan membuat lawatan ke kawasan kajian iaitu

di Muara Sungai Duyung yang menjadi tempat persembahan Dondang Sayang

dipertontonkan di samping di tempat-tempat lain ketika persembahan Dondang Sayang

diadakan. Kaedah ini digunakan adalah untuk memastikan kawasan yang dikaji

menepati ciri-ciri yang dikehendaki dalam kajian ini.

16
Pemerhatian juga dilakukan semasa persembahan-persembahan yang dijalankan

oleh kumpulan-kumpulan Dondang Sayang untuk melihat sendiri dendangan Dondang

Sayang secara langsung. Penglibatan secara langsung membantu untuk memastikan data

yang diperlukan tersebut menepati objektif yang diperlukan dalam kajian. Di samping

itu, penglibatan dan pemerhatian ini juga membantu pengkaji untuk mendapatkan

maklumat tambahan untuk menampung maklumat yang diperolehi melalui kaedah

temubual.

1.5.2.4 Temubual

Temubual yang dijalankan adalah berbentuk temubual semi struktur (Rohana Yusof,

2010). Temubual semi struktur ini digunakan kerana sifatnya yang tidak terlalu formal.

Selain itu, bentuk temubual ini juga membolehkan penambahan soalan dilakukan untuk

memenuhi objektif kajian yang dijalankan.Soalan akan disediakan terlebih dahulu oleh

penyelidik sebelum sesi temubual dilangsungkan. Tujuannya ialah untuk memastikan

kesemua maklumat yang diperlukan dapat dipenuhi. Selain itu, persediaan awal soalan-

soalan yang berkaitan membantu penyelidik untuk menemubual responden dan dapat

memudahkan sesi temubual dijalankan. Rakaman berbentuk suara dan video juga akan

digunakan sebagai langkah persediaan dan akan dijadikan sebagai rujukan pada masa

akan datang.

1.5.2.5 Analisis data

17
Data yang telah dikutip akan dianalisis dalam bentuk perkataan, gambar atau artifak dan

bukan berbentuk nilai angka. Menurut Patton (1990) tidak ada satu pun teknik analisis

data yang ditetapkan dalam kajian kualitatif, ia bergantung kepada kemampuan pengkaji

itu sendiri. Tambahnya lagi, garis panduan dalam penganalisisan data secara kualitatif

bukanlah suatu perturan yang rigid. Rohana(2004) menyatakan bahawa, proses ini

bergantung kepada kreativiti dan kemampuan pengkaji sendiri kerana setiap kajian

berbentuk kualitatif adalah unik dan teknik menganalisisnya juga adalah unik.

Data akan direkodkan dengan menggunakan peralatan seperti perakam video

atau perakaman suara. Tujuannya adalah untuk merekod perbualan-perbualan yang

dibuat sepanjang temubual dijalankan. Rakaman tersebut juga penting untuk

memastikan pengkaji dapat mendengar semula kenyataan-kenyataan yang telah dibuat

oleh responden secara berulang kali untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Selain itu,

rakaman tersebut juga membantu pengkaji terutama jika terdapat keciciran maklumat

yang dicatat dalam nota pengkaji.

Data-data yang diperoleh dalam setiap perbualan akan ditranskripkan serta merta ke

kertas secara ayat demi ayat sebaik sahaja perbualan berakhir. Pentranskripsian serta

merta ini perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kecuaian, (Rohana Yusof,2004).

Huberman & Miles,1984 (dalam Rohana Yusof, 2004) menyatakan bahawa adalah satu

kesilapan yang besar jika data yang diterima tidak ditranskripsikan dengan segera kerana

keterbatasan kemampuan manusia untuk mengingati sesuatu perkara. Penggunaan pita

rakaman adalah penting untuk memastikan data-data yang diperlukan lengkap dan tidak

ketinggalan. Selain itu, rakaman ini akan digunakan dalam menganalisis data.

18
1.7 Kepentingan kajian

1.7.1 Kepada pengkaji budaya

Kajian ini penting sebagai sumber rujukan pada masa akan datang kepada pengkaji-

pengkaji budaya. Data-data kajian diperlukan oleh pengkaji budaya untuk dijadikan

rujukan serta penambahbaikan kepada kekurangan dalam kajian yang telah dibuat oleh

pengkaji sebelumnya.

1.7.2 Masyarakat setempat

Kajian-kajian baharu penting sebagai satu medium menyampaikan maklumat kepada

masyarakat secara langsung. Penyampaian maklumat yang dibuat dalam bentuk kajian

diharapkan dapat menambah pemahaman masyarakat terdapat budaya dan tradisi yang

telah ditinggalkan. Selain itu, kajian juga penting untuk memastikan warisan dan tradisi

tidak hanya menjadi bualan tanpa meninggalkan suatu bentuk dokumen yang sahih

untuk dijadikan rujukan. Kajian tentang Dondang Sayang ini diharapkan menjadi

rujukan pada masa akan datang kepada masyarakat untuk melihat warisan yang ada

dalam lingkungan persekitaran mereka.

1.7.3 Kerajaan atau badan bukan kerajaan

Maklumat atau data yang ada penting terutama kepada pihak kerajaan khususnya dalam

bidang pelancongan serta pembentukan dasar baharu dalam menjaga kebajikan penggiat

seni serta melestarikan warisan agar tidak luput ditelan zaman. Selain itu, di Melaka

IKSEP atau Institusi Kajian Sejarah dan Patriotirme Malaysia (IKSEP) merupakan

badan yang bertanggungjawab dalam mengumpul bahan-bahan sejarah serta

19
menyediakan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan negeri Melaka juga Malaysia.

Diharapkan agar kajian ini menjadi sebahagian daripada bahan rujukan serta dokumen

yang boleh diguna pakai untuk rujukan pada masa akan datang bagi Institut Kajian

Sejarah dan Patriotisme (IKSEP).

20

You might also like