You are on page 1of 2

RINGKASAN

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang manfaat pelbagai budaya kepada negara. Panjangnya ringkasan anda hendakklah
tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda
sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Satu daripada keistimewaan masyarakat Malaysia yang menjadi tarikan utama dunia
ialah kepelbagaian budaya. Malaysia yang didiami oleh masyarakat pelbagai bangsa, agama
dan etnik telah melahirkan identiti yang menarik kepada negara. Perkara ini jika dipelihara
dengan sebaik-baiknya akan menjadi aset penting kepada negara yang akan memberikan
impak yang besar. Warna-warni kepelbagaian budaya di Malaysia telah merancakkan
industri pelancongan sehingga berjaya membawa masuk jutaan ringgit terhadap pendapatan
negara.

Industri kraf tangan negara daripada pelbagai budaya yang mempunyai nilai yang tinggi
dan bermutu telah memberikan sumbangan yang besar sehingga dapat menjanakan
pendapatan yang tinggi kepada pengusaha dan negara. Bidang pendidikan juga menerima
impak positif daripada kepelbagaian budaya di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana
murid-murid dapat menceburi bidang kesenian tradisional tempatan dan seterusnya
menggilap bakat untuk dijadikan kerjaya. Selain itu, kepelbagaian budaya yang terdapat di
negara ini memberikan peluang kepada nurid-murid untuk mempelajari seni persembahan
bagi melatih dan melahirkan bakat seni serta mengekalkan warisan budaya bangsa.

Selanjutnya, impak kepelbagaian budaya kepada negara dapat dilihat dalam bidang
sukan apabila aktiviti riadah tradisi kaum-kaum di Malaysia diangkat menjadi sukan
berprestij. Contohnya, permainan sepak takraw dan seni mempertahankan diri seperti silat,
wusyu, silambam dan Muay Thai yang telah berjaya dibawa ke medan sukan antarabangsa
seperti Sukan Komanwel dan Sukan SEA. Tidak banyak negara di dunia ini yang
mempunyai kehebatan seumpama Malaysia terutamanya dalam mengurus kepelbagaian
budaya rakyatnya sehingga mampu menghasilkan impak berguna yang menyumbang
kemajuan negara. Seharusnya, kita sebagai rakyat Malaysia berbangga mempunyai negara
seperti yang dinikmati hari ini.

(Dipetik dan diubahsuai daripada


“Kepelbagaian Budaya dan Impak kepada Negara”
oleh Noor Azam Abdul Rahman, Dewan Siswa, Jun 2017)
CONTOH RINGKASAN

Antara manfaat pelbagai budaya kepada negara adalah dengan merancakkan industri
pelancongan sehingga berjaya membawa masuk jutaan ringgit terhadap pendapatan negara.
Selain itu, industri kraf tangan negara daripada pelbagai budaya yang mempunyai nilai yang
tinggi dan bermutu telah memberikan sumbangan yang besar sehingga dapat menjanakan
pendapatan yang tinggi kepada pengusaha dan negara. Seterusnya, murid-murid dapat
menceburi bidang kesenian tradisional tempatan dan seterusnya menggilap bakat untuk
dijadikan kerjaya. Di samping itu, murid-murid diberikan peluang mempelajari seni
persembahan bagi melatih dan melahirkan bakat seni serta mengekalkan warisan budaya
bangsa. Akhir sekali, aktiviti riadah tradisi kaum-kaum di Malaysia diangkat menjadi sukan
berprestij.
( 97 patah perkataan)

You might also like