You are on page 1of 2

Sambutan Hari Pengguna membawa erti yang cukup mendalam bukan sahaja kepada pengguna malahan juga kepada

peniaga, pengeluar, dan kerajaan. Pelbagai tema yang membayangkan hasrat kerajaan untuk melahirkan pengguna yang
serba bijak dan berpengetahuan diketengahkan pada setiap tahun. Walaupun pelbagai tema yang dipilih, matlamatnya
tetap sama iaitu untuk memastikan pengguna terdidik dan bijak serta tahu akan hak mereka. Kini, masalah kenaikan
harga barangan sememangnya begitu ketara bagaikan bangkai gajah tidak dapat ditutupi nyirunya lagi terutama di
kawasan urbanisasi. Sebagai pengguna, kita perlu memiliki sifat-sifat pengguna yang bijak untuk berupaya mengharungi
kehidupan sebegini. Maka, kita mempunyai kuasa untuk menentukan barangan itu perlu atau sebaliknya dalam
menjalani kehidupan harian itu. Oleh itu, untuk melahirkan pengguna yang bijak, obligasi ini terletak pada pundak ibu
bapa kerana ibu bapa merupakan guru yang terbaik dan terdekat kepada anak-anak.

Peranan ibu bapa yang paling signifikan dalam mendidik anak-anak supaya menjadi pengguna yang bijak ialah ibu
bapa perlu memupuk amalan berjimat cermat dalam kalangan anak-anak. Anak-anak perlu diajar supaya membeli
barangan yang benar-benar perlu dan tidak membazir kerana amalan membazir itu sebahagian daripada amalan syaitan.
Aktiviti membeli-belah memang menyeronokkan apatah lagi apabila kita mempunyai wang yang banyak yang
membolehkan kita membeli apa-apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang disukai. Malah, ada orang yang
menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti wajib pada setiap bulan sehingga sanggup melakukan pembaziran.
Oleh itu, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak agar berjimat cermat dalam pembelian dan perlu mengamalkan
amalan menabung untuk kepentingan masa depan. Kata orang tua-tua, beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.
Jelaslah bahawa amalan berjimat cermat juga merupakan satu amalan yang mulia yang harus dipupuk oleh ibu bapa
dalam diri anak-anak.

Selain itu, ibu bapa harus memberikan teladan kepada anak-anak dengan tidak berbelanja di kawasan-kawasan
mewah dan mengamalkan sikap kesederhanaan. Sikap ini dapat dikaitkan dengan kata slogan yang berbunyi kepimpinan
melalui teladan. Biasanya, barangan yang dijual di kawasan mewah seperti di KLCC, Pavillion, Mid Valley dan sebagainya
lebih mahal harganya bukan kerana kualiti tetapi kerana faktor kawasan, suasana dan sewa kedai yang lebih tinggi
menyebabkan kos barang menjadi mahal. Selain itu, kebanyakan pengguna ingin membeli di tempat yang elit ini kerana
mereka mengutamakan jenama. Impaknya, sikap terlalu mengutamakan jenamalah yang membawa pengguna
berbelanja besar. Sebenarnya, semua barang hampir serupa sahaja kualitinya tetapi harga yang dijual berbeza-beza
mengikut kawasan tertentu. Oleh itu, mengapakah kita perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan barangan yang
hampir sama kualitinya? Tepuk dada tanyalah selera. Konsep hidup sederhana dan tidak mementingkan aspek
kebendaan membolehkan kehidupan pengguna lebih selesa dan tenang tanpa sebarang masalah kewangan pula. Jadi,
sikap ibu bapa yang tidak berbelanja di kawasan yang mewah dan mengamalkan kesederhanaan akan diteladani oleh
anak-anak untuk menjadi pengguna yang bijak kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Seperkara lagi, ibu bapa seyogianya mengajar anak-anak supaya bijak mengurus kewangan peribadi. Pengguna
yang bijak ialah pengguna yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal
perbelanjaan mereka. Untuk itu, diri anak-anak perlu dilengkapkan dengan ilmu kewangan yang dapat membantu anak-
anak menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan. Antara yang perlu dilakukan termasuklah
merubah corak perbelanjaan harian keluarga dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang baik. Selain itu, ibu
bapa juga boleh membimbing anak-anak membuat perancangan yang lebih sistematik dengan membuat catatan wang
simpanan dan wang perbelanjaan. Perancangan kewangan yang baik dan pengurusan kewangan yang sistematik akan
membantu berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan. Selain itu, ibu bapa perlu menasihati anak-anak
agar sentiasa menyediakan senarai barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan pengguna
membeli barangan yang tidak diperlukan. Dengan itu, anak-anak dapat mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap
perancangan yang telah ditetapkan dan sekali gus usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak dapat direalisasikan.
Jika kita lihat dari dimensi yang lain, ibu bapa perlu menerangkan keburukan membeli barangan atau perkhidmatan
yang menawarkan harga jualan yang lebih murah. Hal ini kerana pengguna akan berbelanja boros semasa jualan murah
diadakan. Misalnya, ketika musim perayaan, pelbagai potongan harga yang menarik ditawarkan. Pengeluar barangan
dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba menghasilkan pelbagai produk dan barangan dengan tawaran yang cukup
mengasyikkan pengguna. Lebih mengujakan pengguna, tentulah lambakan tawaran daripada pelbagai barangan
berjenama di pasaran. Siapakah yang tidak tergoda apabila melihat tawaran harga barangan berjenama yang menjunam
sehingga 70 peratus? Syarikat kewangan pula menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan kad kredit untuk
memudahkan pengguna berbelanja. Namun begitu, yang membimbangkan adalah apabila seronok membeli-belah
menyebabkan pengguna akhirnya tidak dapat mengawal perbelanjaan bulanan, yang kemudiannya terjerumus ke dalam
beban hutang yang tidak disangka-sangka. Oleh itu, sikap ibu bapa yang tidak mudah terpedaya oleh jualan murah dan
tidak menggalakkan pembelian ketika jualan murah merupakan antara peranan yang wajar untuk melahirkan pengguna
yang bijak dalam kalangan anak-anak.

Lebih-lebih lagi, amalan pembelian barangan tempatan perlu diamalkan oleh ibu bapa dan diterapkan dalam diri
anak-anak. Barangan buatan Malaysia ialah barangan yang dihasilkan di dalam negara kita. Banyak kilang yang didirikan
untuk menghasilkan barangan tempatan. Barangan tempatan bukan sahaja murah bahkan juga berkualiti. Ibu bapa
sendiri perlu menggunakan barangan buatan Malaysia di rumah, contohnya perabot, pakaian, makanan dan barangan
elektrik. Antara barang buatan Malaysia yang terkenal ialah kereta Proton Saga Proton Waja, Proton Perdana. barangan
tembikar, batik lukis dan perabot rotan. Di samping menjimatkan perbelanjaan seseorang, amalan ini juga dapat
menunjukkan sokongan kita terhadap usaha anak watan kita sendiri bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang,
hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Usaha kerajaan mendirikan Kedai Satu Malaysia merupakan
usaha yang efektif untuk menggalakkan rakyat membeli produk tempatan. Ibu bapa perlulah membeli-belah di kedai
tersebut supaya tindakan yang sama akan dilakukan oleh anak-anak kelak. Secara implisitnya, usaha untuk melahirkan
pengguna yang bijak akan menjadi kenyataan kelak.

Sebagai akhir kalam, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk melahirkan pengguna yang bijak dalam
dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa mestilah menjalankan obligasi masing-masing dengan menitikberatkan amalan
kepenggunaan yang bijak. Jikalau anak-anak kini berjaya menjadi pengguna yang bijak sudah tentu masa depan mereka
akan lebih bersinar dan lebih cerah. Usaha ini bukan sahaja berguna kepada diri anak-anak malahan juga memberi
tempias kepada negara kelak kerana mereka yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara. Diharapkan generasi
pelapis negara ini akan lebih bijak merancang perbelanjaan peribadi dan negara supaya negara kita tidak terheret dalam
lembah kemiskinan kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya.

You might also like