You are on page 1of 3

Faedah kokurikulum (Karangan cemerlang SPM)

Posted by minda
Anak-anak yang masih muda khususnya mereka yang masih
berada di bangku sekolah merupakan harapan bangsa dan negara
pada masa hadapan. Justeru, menyedari akan hakikat ini sistem
pendidikan negara kita tidak hanya mementingkan pencapaian
akademik semata-mata tetapi juga pencapaian dalam bidang
kokurikulum. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
telah mewajibkan aktiviti kokurikulum kepada semua pelajar di seluruh
negara. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum bukan sahaja
memberi banyak faedah kepada pelajar tetapi dalam masa yang sama
mendatangkan pelbagai kebaikan kepada negara.
Kegiatan kokurikulum sememangnya mendatangkan pelbagai
faedah kepada pelajar. Aktiviti kokurikulum dapat menyihatkan dan
mencergaskan tubuh badan pelajar. Dalam hal ini, para pelajar
berkemungkinan bebas daripada masalah obesiti yang dialami oleh
sesetengah rakyat. Kanak-kanak akan menghadapi masalah perut
yang gendut kerana kurang bersenam. Melalui kegiatan kokurikulum
yang dijalankan, pelajar memerlukan ketangkasan dan ketahanan
fizikal. Sebagai contoh, aktiviti merentas desa dan ekspidisi mendaki
gunung boleh meningkatkan daya tahan dan stamina pelajar. Dalam
masa yang sama juga, peluh dan bahan-bahan kumuh yang berbahaya
akan dibuang.
Di samping itu, daya tahan pelajar terhadap serangan penyakit
juga meningkat. Oleh itu, berbekalkan tubuh badan yang sihat, mereka
akan dapat menumpukan perhatian semasa proses pengajaran dan
pembelajaran, bak kata pepatah otak yang cerdas lahir daripada
badan yang cergas. Oleh itu,jelas bahawa kegiatan kokurikulum
mampu menjamin kesihatan serta mencerdaskan otak pelajar sekali
gus membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Seterusnya, kegiatan kokurikulum telah dijadikan salah satu
syarat untuk melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah drastik
dengan menetapkan sepuluh peratus daripada syarat untuk
melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi melalui penglibatan
dan pencapaian yang baik dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Ini
kerana kerajaan mahu melahirkan graduan yang serba boleh dalam
pelbagai bidang. Berdasarkan keputusan itu, para pelajar diwajibkan
menyertai pelbagai badan kokurikulum yang terdapat di sekolah. Hal
ini juga mewujudkan dasar 1 Murid 1 Sukan. Oleh itu, para pelajar

tidak lagi boleh memandang remeh terhadap aktiviti kokurikulum yang


dilaksanakan di sekolah.
Selain itu, murid-murid dapat memenuhi masa lapang dengan
aktiviti yang berfaedah melalui penglibatan dalam kegiatan
kokurikulum. Hal ini kerana dengan menyertai pelbagai kegiatan
kokurikulum penglibatan pelajar dalam gejala sosial dapat dikurangkan
ke tahap yang paling minimum. Dalam masa yang sama juga, pelajar
akan bersikap lebih menghargai masa yang terluang dan sentiasa
berpegang kepada kata-kata bahawa masa itu emas. Sebagai contoh,
sekumpulan pelajar yang menyertai aktiviti perkhemahan akan
memperoleh banyak pengetahuan tentang cara terbaik berinteraksi
dengan alam. Mereka akan ditanamkan dengan perasaan cinta akan
alam sekitar, di samping mengamalkan sikap bagai aur dengan tebing
dengan peserta perkhemahan yang lain.
Dengan mengikuti aktiviti-aktiviti yang berfaedah remaja akan
kurang berhadapan dengan risiko dipengaruhi oleh gejala yang
bertentangan dengan norma-norma masyarakat timur seperti budaya
punk, merempit, lepak, vandalisme dan lain-lain lagi. Pada masa yang
sama, pelajar tidak akan mudah kehilangan arah atau petunjuk hidup
sekiranya masa yang terluang diuruskan secara efektif dan efisien.
Justeru itu, murid-murid akan lebih bersikap positif dan cenderung
untuk melakukan pelbagai aktiviti yang mendatangkan pelbagai
faedah kepada diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.
Seterusnya, kegiatan kokurikulum yang dijalankan dapat
menjalin hubungan silaturahim serta menyemai nilai-nilai murni dalam
diri para pelajar. Hal ini kerana melalui sesuatu aktiviti, mereka akan
berganding bahu melaksanakan tugasan yang diberikan. Mereka akan
bergaul mesra dan mengenali pelajar-pelajar lain yang terdiri daripada
pelbagai bangsa dan agama. Para pelajar juga berpeluang memahami
adat resam dan kepercayaan kaum-kaum lain. Dengan ini perpaduan
dapat diwujudkan dan impian Malaysia untuk mempunyai masyarakat
1 Malaysia akan dapat dicapai.
Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga merupakan satu alat
untuk menyemai nilai-nilai murni dalam sanubari pelajar supaya
menjadi insan yang kamil dan soleh. Melalui aktiviti kokurikulum, nilainilai murni seperti bekerjasama, hormat-menghormati, kesopanan dan
sebagainya dapat diterapkan dan disebatikan dalam diri murid-murid.
Dalam masa yang sama, mereka juga didedahkan untuk mengamalkan
nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Secara tidak langsung,
mereka juga turut melalui proses pembentukan peribadi yang
sempurna seperti peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air.

Selain itu, mungkin tidak pernah terlintas dalam kotak fikiran


para pelajar bahawa penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat
mengharumkan nama sekolah dan negara. Hal ini demikian kerana
aktiviti kokurikulum merupakan titik permulaan untuk para pelajar
mengembangkan bakat yang terpendam dalam diri mereka. Sebagai
contoh, atlit-atlit negara seperti Nicol David, Shalin Zulkifli dan Lim
Keng Liat dicungkil dan digilap melaui aktiviti kokurikulum yang
dijalankan di sekolah. Bermula dengan bakat yang semakin terserlah
kebolehan mereka seterusnya digilap oleh jurulatih-jurulatih yang
berpengalaman. Oleh itu, untuk membolehkan negara berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain
dalam bidang sukan, maka lebih banyak bakat harus dicungkil bagi
mengharumkan nama Malaysia.
Sebagai kesimpulannya, tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa
aktiviti kokurikulum tidak membawa kebaikan dan membuang masa
sahaja haruslah dikikis. Demi mencapai Wawasan 2020, Malaysia
memerlukan generasi penggerak wawasan yang sihat, berkaliber,
berwibawa dan berintelek selari dengan modal insan yang memiliki
minda kelas pertama. Amalan peribahasa sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak berguna haruslah dihayati dan direnungi
bersama. Justeru, sama-samalah kita menyertai aktiviti kokurikulum
kerana ia membawa banyak kebaikan.

You might also like