You are on page 1of 6

"Peta dan Kelengkapan Perang Uthmaniyah"

1.0 Pengenalan
Pembentukan kerajaan Turki merupakan proses sejarah yang panjang dan tidak
terjadi dengan tiba-tiba. Dalam sejarahnya selama lima abad iaitu bermula pada
akhir abad ke-13 hingga awal abad ke-19 kerajaan Turki Uthmaniyah telah
mengalami pasang surut. Pada satu sudut, dapat dilihat sebuah sistem politik yang
diwarisi dari Kerajaan Turki Saljuk dan mengalami perkembangan yang gemilang
dan akhirnya mengalami kemerosotan.
Empayar Turki Uthmaniyah telah diasaskan oleh Uthman 1 yang mengistiharkan
kemerdekaan wilayah Uthmaniyah pada tahun 1299. Wilayah ini mula berkembang
melalui penaklukan Constatinople oleh Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 dan
terus gemilang semasa pemerintahan Sulaiman Al-Qanuni. Namun selepas
kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni pada tahun 1566 berlaku kemerosotan dalam
empayar Turki Uthmaniyah. Malang yang menimpa ini adalah lantaran kelemahankelemahan yang wujud dalam kerajaan Turki Uthmaniyah yang telah membawa
kepada kejatuhan empayar yang telah mencapai zaman kegemilangan.
Keruntuhan empayar yang telah mencapai kegemilangan ini merupakan peristiwa
yang kompleks bagi sebuah masyarakat Islam dari sebuah kerajaan menuju negara
moden. Pada proses keruntuhannya, Turki Uthmaniyah merupakan wilayah yang
besar meliputi semenanjung Balkan, Asia Kecil, Arab Timur Tengah, Mesir dan Afrika.
Namun, akibat daripada pelbagai faktor yang akhirnya membawa kepada kejatuhan
Empayar Uthmaniyah sehingga memberi kesan kepada negara-negara Islam di
sekitarnya yang turut terkena tempias akibat kemerosotan Turki Uthmaniyah.
2.0 Faktor-Faktor Kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.
Antara faktor yang membawa kejatuhan empayar ini adalah disebabkan beberapa
aspek iaitu politik, ekonomi, sosial dan pengaruh luar yang meresap masuk dalam
kerajaan. Justeru kelemahan-kelemahan ini telah mendorong kepada keruntuhan
empayar Turki Uthmaniyah.
2.1 Politik
Faktor politik merupakan perkara pokok yang menyebabkan empayar Turki
Uthmaniyah mengalami kemerosotan. Faktor politik ini termasuk kelemahan
kepimpinan, pentadbiran dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan
yang lemah. Hal ini merupakan pendorong ke arah kehancuran empayar Turki
Uthmaniyah.
Setelah kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni empayar Turki mula memperlihatkan
kejatuhan dan kemunduran. Hal ini adalah lantaran daripada kelemahan sultan, baik
dalam keperibadian serta yang paling utama dalam kepimpinannya. Kelemahan ini
dapat dibuktikan dengan sikap sultan itu sendiri yang mementingkan hiburan dan
kesenian sehingga menyebabkan kerosakkan moral. Contohnya, Sultan Murad III
telah dikuasai oleh nafsu sepanjang pemerintahan sehingga mempunyai 118 orang

anak. Di samping itu, Sultan Ibrahim membunuh 100 000 orang dan menyaksikan
sendiri pembunuhan 25 000 orang daripadanya. Kehidupan sultan yang hidup
bermewah-mewah akhirnya mendorong perlakuan tidak bermoral yang telah
membawa kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.
Umum mengetahui bahawa Turki Uthmaniyah mempunyai pemimpin silih berganti.
Namun, tidak dinafikan bahawa keadaan ini telah menyumbang kepada kejatuhan
Turki Uthmaniyah kerana masalah perebutan takhta dalam kalangan pembesar dan
pemerintah. Sistem syura tidak diamalkan dan pemilihan pemimpin kebiasaannya
adalah berdasarkan kekuatan. Keadaan ini telah mendorong ke arah peperangan
antara putera-putera raja yang menyebabkan ketidakstabilan politik dan
kepimpinan yang menurun. Kelemahan kepimpinan ini menyebabkan kerajaan
dikuasai oleh anggota-anggota harem atau kelompok tertentu dalam istana.
Kelemahan dalam pentadbiran dan pemerintahan ini telah ditunjukkan dalam
pemerintahan selepas kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni dan mengakibatkan
keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat semasa pemerintahan
Ibrahim dipengaruhi oleh Bonda dan tiga orang isterinya yang masuk campur dalam
pemerintahan untuk menyingkirkan Wazir Agung Kara Mustafa. Keadaan ini
membawa kepada kejatuhan Turki Uthmaniyah.
Pertahanan merupakan aspek terpenting dalam politik sesebuah negara. Oleh itu,
kelemahan dalam sistem ketenteraan merupakan penyumbang kepada kejatuhan
kerajaan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan ini bermula dengan kelemahan disiplin
ketenteraan dalam kalangan pegawai atasan. Hal ini disebabkan oleh pertandingan
ketenteraan yang sebenarnya telah ditinggalkan yang menyebabkan putera-putera
raja yang berpontensi telah disisihkan dan memilih putera sulung kerana perkara ini
memberi kebebasan kepada para pegawai. Hal ini dapat dibuktikan dengan
perlantikan Bayezid 1 dan Salim II dipilh bukan berdasarkan kemampuan yang
unggul. Di samping itu kelemahan ketenteraan juga dapat dilihat melalui
penghapusan aristokrasi tentera lama yang menjadi saingan kepada kuasa
kerajaan. Penghapusan ini menyebabkan sistem tentera hamba mejadi terbatas
kerana seksyen ketenteraan yang dominan dalam angkatan tentera telah
membenarkan anak-anak pegawai mendapat pangkat, lantas menghapuskan asas
disiplin dalam tentera. Jelaslah bahawa faktor politik yang akhirnya telah membawa
kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.
2.2 Ekonomi
Kelemahan dalam tadbir urus ekonomi merupakan punca kepada tercetusnya
kemerosotan dalam kerajaan Turki Uthmaniyah. Kelemahan adalah disebabkan
perlantikan jawatan yang bukan didasari oleh kebolehan. Hal ini dibuktikan melalui
jawatan memungut cukai diberikan kepada sesiapa sahaja yang berikrar untuk
memberi sumbangan kutipan yang besar kepada perbendaharaan negara. Keadaan
ini bertambah buruk apabila kadar cukai yang tinggi dikenakan membebankan
rakyat. Kelemahan ini mendorong kepada kemerosotan Turki Uthmaniyah.
Perdagangan yang lembab menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.
Kegiatan perdagangan merupakan suntikan dalam membangunkan ekonomi Turki

Uthmaniyah. Kelemahan ini disebabkan oleh saingan dengan negara Eropah yang
semakin maju dalam bidang perdagangan. Hal ini dapat dibuktikan pada abad ke16, Turki Uthmaniyah bersaing dengan Portugis untuk menguasai jalan perdagangan
di perairan India. Dalam pada itu, sistem kapitalisme yang diperkenalkan di Eropah
menyebabkan revolusi perindustrian muncul dan menenggelamkan industri
tradisional masyarakat Turki. Selain itu, kemunduran dalam ekonomi Tuki adalah
akibat berlaku peperangan yang tidak pernah berhenti. Pendapatan yang semakin
berkurang dan dibebankan dengan belanja negara yang semakin besar termasuk
perbelanjaan perang mendorong kepada kemelesetan ekonomi Turki Uthmaniyah.
Kesannya, kegemilangan Turki dari aspek ekonomi semakin suram dan menuju
kejatuhan.
2.3 Sosial
Masalah sosial seperti pemberontakan, ajaran Islam telah diselewengkan dan
rasuah telah menyebabkan berlakunya kejatuhan Turki Uthmaniyah. Pemberontakan
merupakan faktor terpenting dalam kejatuhan empayar yang terbilang ini kerana
tiada lagi penyatuan antara golongan pemerintah dan rakyat jelata. Keadaan dapat
dilihat apabila berlaku pemberontakan dalam kalangan puak Kurdish, puak Druze di
Syiria, tuan-tuan tanah tentera di Anatolia dan Janissari di ibu kota yang ingkar dan
suka memberontak telah mengganggu tumpuan tentera empayar menentang
Austria, Poland dan Safavi. Pemberontakan ini mencetuskan masalah dalaman yang
teruk sehingga membawa kepad kejatuhan Turki Uthmaniyah.
Gejala rasuah yang semakin berleluasa merupakan faktor kritikal yang
menyumbang kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Rasuah telah
menyerap dalam kalangan pegawai atasan menyebabkan pentadbiran menjadi
lumpuh disebabkan pemimpin yang tamak haloba. Hal ini dapat dibuktikan apabila
Sulaiman sendiri meminta hadiah daripada orang yang hendak dilantiknya pada
waktu perlantikan dan mereka perlu juga berbuat demikian pada peringkat
bawahan untuk menampung kos tersebut. Gejala rasuah ini telah menimbulkan
kekacauan dalam pemerintahan dan melemahkan kedudukan kerajaan khususnya
semasa pemerintahan Sultan Mustafa IV kerana bebanan cukai yang tinggi untuk
memperkayakan individu yang dilantik untuk mengutip cukai dan memberi hadiah
kepada pembesar yang membantunya memperoleh jawatan berkenaan. Oleh itu,
rasuah merupakan faktor yang mendorong kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.
Keruntuhan akhlak dan kurang penghayatan Islam sedikit sebanyak mempengaruhi
kejatuhan empayar agung ini. Ajaran Islam telah dicemari dengan ajaran khurafat,
tahayyul, amalan tasawuf yang melampaui batas tanpa menghiraukan tugas wajib
iaitu untuk berjihad dan menegakkan amar makruf serta mencegah yang mungkar.
Di samping itu, golongan istana juga terlibat dalam krisis moral dengan adanya
pesta yang dilengkapi dengan minuman keras, dendangan musik dan para dayang
yang menghiburkan para pembesar negara. Jelaslah bahawa permasalahan sosial
yang berlaku telah menyebabkan kejatuhan emapayar Turki Uthmaniyah.
2.4 Pengaruh Luar
Kebangkitan kekuatan Eropah telah menjadi faktor kejatuhan empayar Turki

Uthmaniyah. Kemajuan dari aspek ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh Eropah
telah mendorong perluasaan kuasa atau imperialisme Barat berlaku. Gerakangerakan renaisans melahirkan perubahan-perubahan yang besar dalam sejarah
dunia iaitu kebangkitan Eropah dan kemunduran kerajaan Islam di empayar Turki
Uthmaniyah. Hal ini telah melumpuhkan Turki Uthmaniyah akibat daripada saingan
kuasa-kuasa Eropah.
Peperangan demi peperangan dengan kekuasaan Eropah telah memperlihatkan
kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat melalui peperangan
dengan Austria sekitar tahun 1682-1689 yang menyebabkan kerugian yang besar
bagi Turki Uthmaniyah. Penyatuan bangsa Eropah untuk menentang Turki telah
menawan Hungary, kota Budapest, wilayah Transilvania dan beberapa wilayah yang
melemahkan pertahanan Turki Uthmaniyah. Kejatuhan Turki Uthamniyah semakin
terserlah akibat kekalahan dalam peperangan. Penyatuan Prince Eugene of Savoy
dengan tentera Austria telah mengalahkan Turki dalam Peperangan Petewarden
pada tahun 1716. Kekalahan ini merupakan faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah.
Selain itu, siri perjanjian dengan negara Eropah yang akhirnya membawa kepada
kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah. Perdamaian melalui perjanjian menyebabkan
Turki semakin lemah yang akhirnya membawa kemerosotan. Hal ini dapat
dibuktikan melalui Perdamaian Passarowit yang ditandatangani pada Julai 1718
menyebabkan Turki kehilangan Timsuar, Belgrad, sebahagian besar negeri Serbia
dan negeri Rumania. Perjanjian Radsin telah ditandatangani selepas kekalahan Turki
kepada Russia dan menyebabkan sultan Turki terpaksa menyerahkan Ukraine
kepada Russia dan membuka perniagaan kepada bangsa Cossack di Laut Hitam
setelah mengusainya selama beberapa abad. Jelaslah pengaruh luaran merupakan
punca kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah terutamanya kebangkitan
semula Eropah selepas berlakunya zaman gelap.
3.0 Kesan Terhadap Negara-Negara Islam
Kejatuhan Turki Uthmaniyah secara tidak langsung telah memberi kesan kepada
negara-negara Islam dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Hal ini merupakan
petunjuk kepada pengakhiran kegemilangan kerajaan Islam yang dahulunya telah
berkembang pesat. Rentetan kejatuhan ini menyerlah ketika Mustafa Kamal
Antartuk mengisytiharkan Turki sebagai negara republik.
3.1 Politik
Kejatuhan Turki Uthamniyah telah memberi kesan kepada negara Islam yang lain
dari aspek politik. Antaranya ialah kehilangan institusi khilafah dalam kerajaan
Islam dan perpecahan negara-negara Islam di bawah satu pemerintahan. Hal ini
telah memberi kesan yang buruk dalam politik negara Islam. Apabila kejatuhan
Turki Uthmaniyah, setelah bertukar menjadi negara republik menyebabkan institusi
khalifah telah hilang dan membawa kesan yang buruk kepada suasana politik
negara Islam. Hal ini bermula selepas Mustafa Kamal menggantikan Kesultanan
Uthmaniyah dan menjadi Pemoden Turki muda dan membawa perubahan dalam
sistem politik Turki. Negara Islam turut mendapat kesannya kepada negara Iran di
bawah pemerintahan Reza Shah yang memperkenalkan sebuah parti sahaja, sama
dengan Parti Republikan Rakyat Antartuk. Pembaharuan ini telah melenyapkan

sistem pemerintahan Khalifah di negara-negara Islam.


Kesan yang jelas kelihatan adalah perpecahan wilayah umat Islam yang dulunya di
bawah pemerintahan Turki Uthamaniyah. Kelemahan Turki menyebabkan negara di
bawah naungannya telah membebaskan diri dan di takluk oleh pihak Eropah.
Pemberontakan oleh negara seperti Montenegro, Bosnia, Balkan, Prins Milaan,
Serbia, Herzegovina dan di tempat-tempat lain membebaskan diri menyebabkan
perpecahan negara umat Islam. Hal ini dibuktikan lagi dengan perpecahan wilayah
Turki Uthamaniyah. Raja Husein hanya dapat menguasai tidak lebih dari bumi Hijaz.
Raja Faizal pula yang telah berusaha memerdekakan bumi Syam dari kuasa Turki.
Jelaslah bahawa kejatuhan Turki memberi implikasi kepada negara-negara Islam
yang lain.
3.2 Ekonomi
Ekonomi negara-negara Islam turut mendapat kesan akibat daripada kejatuhan
empayar Turki Uthmaniyah. Kemerosotan ekonomi Turki akibat perang kerana
negara terpaksa membuat perbelanjaan yang besar untuk biaya perang. Hal ini
telah menyebabkan negara Islam yang dahulunya di bawah pengaruh seperti Timur
Tengah dan Afrika Utara mengalami kemerosotan ekonomi. Negara Islam semakin
teruk terjejas ekonominya apabila selepas tamat Perang Dunia 1 kerana dengan
persetujuan Sykes-Picot 1916 wilayah Turki Uthmaniyah telah dibahagikan kepada
Perancis, Inggeris, Russia dan Itali. Hal ini menyebabkan ekonomi negara Islam yang
dibahagikan telah terjejas akibat daripada penguasaan orang Eropah.
Perdagangan negara Islam semakin merosot kerana masyarakat Eropah telah
menguasai perdagangan di Laut Hindi, Laut Mediternean, Terusan Suez dan jalan
perdagangan yang lain. Hal ini telah menyebabkan Eropah semakin mengusai
ekonomi negara Islam. Contohnya, Perancis dan Inggeris telah mengawal syarikat
Terusan Suez dan orang Yahudi di Mesir memiliki hampir seluruh gedung besar
perniagaan dan banyak melibatkan diri dalam pasaran saham. Selain itu,
penguasaan Soviet Union yang menguasai sekitar satu pertiga daripada jumlah
perniagaan asing Iran. Penguasaan ekonomi oleh masyarakat Eropah di negara
Islam telah melemahkan ekonomi negara Islam.
3.3 Sosial
Kesan yang paling ketara yang menimpa negara Islam adalah aspek sosial akibat
kejatuhan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan tindak tanduk sosial hasil daripada
kejatuhan Turki telah mempengaruhi negara Islam yang lain. Permodenan Turki
telah menjadi ikutan negara Islam yang lain. Hal ini dapat dibuktikan kepercayaan
sosialis Fabian Qibti Salama Musa di Iran yang berpendapat bahawa kebudayaan
Barat menjadi kunci kepada reformasi sosial. Kebudayaan Barat ini telah
menyebabkan keruntuhan akhlak masyarakat di negara-negara Islam. Kejatuhan
Turki Uthmaniyah telah memberi kesan terhadap negara Islam dan rakyatnya yang
membawa kepada perpecahan umat Islam. Contohnya, Inggeris menggalakkan
pemisahan kaum Assyria dengan menubuhkan tentera khas untuk menindas kaum
Kurdi dan Turki yang tinggal di utara Iraq. Jelaslah bahawa perpaduan umat Islam
mula retak selepas kejatuhan Turki Uthmaniyah.

4.0 Penutup
Turki Uthmaniyah mempunyai sorotan sejarahnya yang tersendiri yang telah melalui
era kegemilangan, kemerosotan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan.
Kedudukan kuasa Turki Uthmaniyah yang besar dan luas pada suatu ketika dahulu
telah hilang sama sekali pada penghujung abad ke-18 dan yang tinggal hanya
beberapa daerah kecil yang masih berada di bawah taklukan Sultan Turki.
Pengakhiran kerajaan Turki Uthmaniyah bermula selepas Mustafa Kamal Antartuk
mengisytiharkan Turki sebagai kerajaan Republik.
Sejarah telah memperlihatkan kejatuhan Turki akibat masalah dalaman dan luaran
yang tidak dapat diselesaikan secara sistematik. Antara masalah tersebut adalah
kelemahan Sultan Turki, pemberontakan, penyelewengan seperti rasuah, ekonomi
yang tidak teratur, tentera yang lemah dan pengaruh luaran akibat daripada
kebangkitan Eropah. Masalah ini telah menyebabkan kejatuhan Turki Uthmaniyah
dan memberi tempias kepada negara Islam yang lain sama ada dari aspek ekonomi,
sosial dan politik. Di samping itu, kejatuhan Turki sering dikaitkan dengan
permasalahan pemimpinnya yang mementingkan hiburan dan keseniaan. Hal ini
dibuktikan dengan kenyataan orientalis barat yang mengatakan bahawa salah satu
faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah adalah disebabkan oleh pemimpin dan sehingga
rakyat golongan yang mementingkan hiburan dan keseronakkan. Oleh itu,
sewajarnya keadaan ini dijadikan iktibar dan sehingga kebangkitan semula institusi
Khilafah seterusnya Islam kembali terbilang.

You might also like