You are on page 1of 1

BENCANA ALAM

Bencana alam sering berlaku terutama banjir dan tanah runtuh. Huraikan
cara-cara mengatasinya.

Bencana alam tidak kerap berlaku di negara ini berbanding negara jiran seperti Filipina
dan Indonesia. Antara bencana alam yang sering melanda Malaysia meliputi banjir,
tanah runtuh dan kebakaran hutan. Maka, ada beberapa inisiatif yang boleh
dilaksanakan untuk menghalang bencana alam berlaku.

Kaedah yang paling mudah ialah kerajaan mewujudkan satu sistem amaran awal
apabila bencana alam berlaku di negara ini. Sistem ini boleh melibatkan penggunaan
siren, telefon bimbit dan juga pengumuman menerusi televisyen supaya masyarakat
boleh melarikan diri dengan segera. Sesungguhnya, pengenalan sistem awal ini boleh
menghalang nyawa manusia daripada terkorban itu.

Selain itu, masyarakat harus dilatih dengan pelbagai latihan kecemasan supaya
bersedia menghadapi bencana alam. Golongan muda harus didedahkan dengan teknik
menyelamatkan diri apabila berlaku kejadian banjir dan angin taufan supaya mereka
tahu tindakan yang betul untuk dilaksanakan itu. Sebenarnya, kefahaman tentang
kaedah menyelamatkan diri boleh membantu mengurangkan kadar kematian apabila
bencana alam berlaku.

Tambahan pula, bencana alam boleh dikekang apabila kita menjaga keseimbangan
alam itu. Kawasan bukit dan hutan hendaklah dipelihara supaya wujud dalam keadaan
yang sempurna tanpa ada pembangunan tertentu. Jadi, alam yang dikekalkan
keadaannya boleh memastikan bencana alam tidak akan berlaku sewenang-
wenangnya.

Pasukan khas menangani bencana alam boleh ditubuhkan oleh pihak kerajaan dalam
mengatasi isu bencana alam ini. Penyertaan ahli pasukan ini mestilah mempunyai
kemahiran dalam pelbagai bidang dan fizikal yang lasak serta kuat. Ringkasnya,
pasukan khas ini boleh dihantar untuk melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa
bencana alam dengan pantas.

Kesimpulannya, semua kaedah tadi boleh menghalang bencana alam daripada meragut
nyawa manusia di Malaysia. Kerjasama semua pihak terutamanya masyarakat amat
diperlukan agar bencana alam tidak menjadi sesuatu yang lazim di negara ini.
Peribahasa malang tak berbau mengingatkan kita bahawa kejadian bencana alam
boleh menimpa sesiapa sahaja yang tidak berdosa itu.

You might also like