You are on page 1of 4

Langkah Pengekalan Hutan

Hutan dan tumbuh-tumbuhan hijau banyak memberikan kesejahteraan kepada kehidupan


manusia.Sehubungan dengan itu, kawasan hutan di negara ini perlu dikekalkan. Pada pendapat
anda, apakah langkah-langkah yang perlu dijalankan untuk mengekalkan kawasan hutan di
negara ini?
Bumi bertuah Malaysia diliputi kawasan hutan beriklim khatulisiwa yang mempunyai
ekosistem alam semula jadi yang kompleks dan unik. Hutan kaya dengan tumbuhan yang terdiri
daripada berbagai-bagai jenis pokok, paku-pakis,lalang,dan tumbuhan epifit serta parasit lain.
Hutan mengandungi binatang liar yang menjadikan hutan sebagai habitat. Flora dan fauna
membiak dan meneruskan kesinambungan genetik yang berharga kepada manusia. Malangnya,
hutan di negara kita telah dimusnahkan untuk dijadikan sebagai kawasan perindustrian, kawasan
perkilangan, dan kawasan pertanian. Oleh sebab itu, permukaan bumi semakin tandus.
Persoalannya, apakah modus operandi yang efektif bagi mengekalkan kawasan hutan?
Sebagai langkah mengatasi, penanaman semula pokok-pokok bagi menggantikan pokok
yang telah ditebangkan haruslah dilakukan dengan segera. Spesies pokok tertentu yang dikenal
pasti cepat membesar sepatutnya ditanam untuk menutupi permukaan bumi yang tandus.
Tindakan tersebut dapat mengelakkan tanah mengalir ke dalam sungai apabila hujan, di samping
dapat mengelakkan masalah peningkatan suhu bumi. Kehilangan hutan akan menyebabkan bumi
kehilangan organ yang mengekalkan kadar oksigen dan karbon dioksida dlam atmosfera.
Jelasnya, pokok-pokok yang telah ditebang haruslah ditanam semula
Bukan itu sahaja, perancangan yang strategik, iaitu perancangan teliti dan terperinci
dengan mengambil kira kesan terhadap sesuatu projek pembangunan. Sebagai contohnya,
implikasi terhadap alam sekitar jika tebing tinggi lagi curam dipotong untuk memberi laluan
kepada pembinaan pembangunan dari segi jangka masa pendek dan jangka masa panjang perlu
diambil perhatian, di samping mengambil kira sama ada projek tersebut akan menjejaskan
kesihatan penduduk yang berhampiran atau tidak. Sememangnya, perancangan haruslah
dilakukan terlebih dahulu agar sesuatu projek adalah mesra alam.
Di samping itu, pengurangan pengeluaran balak dengan mengehadkan kawasan
pembalakan juga harus dilakukan. Pengurangan aktivitipenerokaan alam semula jadi akan
memberi sumbangan kepada pengekalan kehijauan dan keindahan alan semula jadi. Negeri
Sabah, misalnya pernah mengawal eksport balak untuk menjamin pasarannya yang lumayan
pada masa hadapan. Ketika penerokaan hutan dibuat demi nama pembangunan dan kemajuan,
pengiraan terhadap kepentingan generasi masa depan yang sejahtera perlu diperhitungkan.
Ertinya,terdapat kawasan hutan yang terpaksa dibiarkan kekal sementara menunggu pembesaran
pokok baru melalui proses perhutanan semula di kawasan yang telah diterokai. Jadi, pengehadan
kawasan haruslah dilakukan.
Tambahan pula, kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpanan hendaklah ditambah
dari semasa ke semasa. Sebagai contohnya, di Semenanjung Malaysia terdapat lebih kurang 458
buah kawasan telah diwartakan sebagai hutan simpanan kekal seluas 4.64 juta hektar yang
meliputi kawasan hutan darat, paya laut,dan paya gambut. Hutan simpan kekal atau dikenali
sebagai pemuliharaan merupakan satu pemuliharaan kepelbagaian biologi bagi mengekalkan
tumbuhan dan kehidupan liar di habitat asalnya. Jadi, hutan simpan haruslah diusahakan untuk
menyelamatkan bumi kita.
Kempen kesedaran juga haruslah dilakukan untuk mendedahkan kepentingan hutan
kepada kita selain menyalurkan cara memelihara dan memulihara hutan kepada orang ramai.
Kempen kesedaran boleh dilakukan dalam bentuk ceramah mahupun pertandingan dengan
bertemakan menyayangi alan sekitar. Risalah juga boleh diedarkan untuk mengedarkan orang
ramai. Poster-poster yang menyarankan pemeliharaan dan pemuliharaan alam boleh diletak dan
dipaparkan di kawasan awam, seperti bas stesen, pusat beli-belah, kawasan sekolah, dan
sebagainya. Jelasnya, kempen kesedaran juga berperanan penting untuk memulihara kecantikan
permukaan bumi kita.
Sebagai menggulung, sanggupkah kita melihat permukaan bumi kita cacat mukanya?
Hutan haruslah dilindungi bagi mengelakkan berlakunya pelbagai bencana alam. Sebagai
contohnya,gempa bumi di Shicuan,China merupakan satu amaran kepada kita untuk
menyelamatkan bumi kita.Kita juga akan kehilangan kawasan tadahan air disebabkan ketiadaan
akar pokok yang akan menyerap air hujan. Sayangilah hutan kita!

Langkah-langkah melestarikan hutan


Sememangnya hutan negara sedang mengalami proses kemusnahan yang mahu hebat.
Setiap hari akhbar akan menyiarkan kemusnahan hutan, hidupannya dan impak sampingannya
seperti kejadian banjir serta tanah runtuh. Cuma, masyarakat masih belum menyedari dan
mengambil pengajaran daripada berita-berita yang menyedihkan ini. Kerajaan pula memang
mempunyai tanggung jawab besar untuk memastikan hutan negara terus wujud dalam tempoh
100 tahun akan datang dengan melakukan pelbagai langkah drastik.
Sebenarnya, tindakan yang paling mudah ialah kerajaan mewartakan semua kawasan
hutan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal. Tindakan secara undang-undang ini
memastikan kawasan hutan itu akan terus terpelihara tanpa ada usaha untuk menebangnya demi
mengaut keuntungan jangka pendek. Peruntukan undang-undang turut memberi satu peringatan
yang jelas bahawa kerajaan memang serius dalam usahanya untuk mengawal kemusnahan hutan
yang merupakan khazanah tidak ternilai negara itu.
Tindakan ini dipanjangkan terhadap hukuman kepada pesalah yang memusnahkan hutan
negara. Hukuman yang dikenakan haruslah lebih berat yang melibatkan hukuman penjara dan
denda. Pesalah turut dimaklumkan kesalahannya di dalam media massa untuk memberi
peringatan kepada masyarakat. Sikap tegas dan telus kerajaan dalam melaksanakan undang-
undang memberi impak yang ketara dalam usaha menangani kemusnahan hutan.
Malah, kerajaan boleh mewajibkan semua pokok yang ditebang atas sebarang aktiviti
ekonomi seperti projek perumahan, pembalakan, dan pembinaan empangan diganti secepat
mungkin dalam kuantiti yang tertentu. Kerajaan boleh mengenakan syarat bahawa setiap pokok
yang ditebang harus diganti dengan dua atau tiga batang pokok. Langkah ini akan menyebabkan
semua ahli perniagaan berfikir dua kali sebelum bersetuju untuk menjalankan sebarang projek
atau berhati-hati dalam tindakan mereka menebang pokok yang berada di dalam kawasan projek
mereka.
Langkah ini boleh dilanjutkan dengan menjalankan kempen kesedaran terutama dalam
kalangan remaja. Pihak kerajaan seharusnya menjalakan kempen di sekolah-sekolah dengan
menerangkan peri pentingnya hutan dalam ekosistem kita terutama ketika dunia sedang
mengalami perubahan cuaca global ini. Remaja yang sudah memahaminya akan lebih bijak
bertindak apabila mereka menjadi dewasa atau terlibat dalam projek pembangunan yang
memerlukan satu kawasan hutan dimusnahkan. Lagipun, remajalah yang akan menjadi warisan
hutan negara kita.
Selain itu, pasukan penguatkuasa terutama renjer hutan harus ditambah jumlahnya.
Kawasan hutan yang terlalu luas agak sukar untuk dipantau oleh kaki tangan yang kecil
bilangannya. Penggunaan teknologi seperti kapal terbang, satelit dan helikopter untuk tujuan
pengawasan turut memudahkan kerja kerana kawasan hutan negara memang luas. Pengawasan
yang cekap mampu memastikan kawasan hutan belantara kita tidak dicerobohi begitu mudah.
Kesimpulannya, masalah hutan negara memang serius dan semua pihak harus
bertanggungjawab. Usah kita semua menuding jari tanpa mahu menerima atau mengakui
kesilapan yang telah berlaku. Semua pihak harus duduk semeja dan mencari jalan untuk
menyelesaikan kemelut yang memang sukar diatasi ini. Tanpa kerjasama semua terutama
masyarakat, hutan kita pasti akan lenyap.

Langkah memupuk semangat kejiranan


Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan
juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang
sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah
yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi
kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa
berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati
dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil
untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui
aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang
aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-
kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati
budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang
mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan
secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk
kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan
hubungan sesama jiran.
Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu
sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh
semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat
bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui
majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan
berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa
perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-
majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka
mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat
lagi.
Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua
ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak,
memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga
diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga.
Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman
rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat
sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin
membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam
aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu
persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini
hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela
ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan
dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh,
melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi
keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini
dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan
semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan
rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup
bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui
masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke
hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap
sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat
mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang
pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai
semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang
dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat
meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk
setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak
mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah
Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini
dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara.
Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu,
dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi,
dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan
sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

You might also like