You are on page 1of 2

PENULISAN SPM : CIRI-CIRI BANDAR IDAMAN SAYA

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak tentang isu pembukaan bandar-bandar baharu lantaran
terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang gah di persada dunia. Pembukaan bandar-
bandar baharu yang canggih menjadikan Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan
negara-negara gergasi yang lain. Jika dikaji sehingga ke akar umbi, terdapat banyak bandar yang
canggih dan cantik di negara Malaysia. Antara contoh bandar yang menjadi buah
mulut dandipolemikkan di kedai-kedai kopi mahupun dewan parlimen ialah bandar Putrajaya di
Malaysia. Selain itu, terdapat juga bandar canggih dan cantik di negara lain seperti bandar Limerick
di Ireland dan bandar Kontanz di German. Oleh yang demikian, semua warganegara Malaysia sudah
tentu mengimpikan bandar idaman untuk didiami bersama-sama keluarga yang tercinta. Tidak
terkecuali saya yang turut mendambakan bandar idaman saya yang lengkap dengan segala yang
diperlukan.

Pada realitinya memang tidak dapat dinafikan bahawa bandar idaman semua mestilah mempunyai
prasarana yang memenuhi kehendak rakyat. Begitulah juga halnya dengan diri saya yang
menginginkan kemudahan lengkap di tempat saya tinggal seperti kemudahan bekalan air dan elektrik,
pengangkutan awam, khidmat Unifi, tandas awam dan perpustakaan awam. Pada era
pascaperindustrian dan pascaglobalisasi ini, ilmu sudah mendominasi kemajuan sesebuah negara.
Untuk rakyat berkomunikasi dan memperoleh ilmu, khimat Unifi dan kemudahan jaringan internet
hendaklah diperluas dan dipermudah untuk dicapai oleh komuniti bandar. Selain itu, bekalan air dan
elektrik hendaklah mencukupi menampung keperluan masyarakat setempat dengan menggunakan
kemajuan dalam proses kitar semula. Tidak cukup dengan itu, pengangkutan awam yang diguna pakai
di bandar idaman saya mestilah mesra alam. Sampah-sampah juga dilupuskan dengan menggunakan
teknologi insenerator yang telahpun diaplikasikan di negara-negara maju. Dengan perkataan lain,
segala-galanya ada di bandar idaman saya. Tegasnya, bandar idaman saya mestilah mempunyai
prasarana yang mencukupi agar rakyat dapat hidup dengan selesa sambil menikmati segala
kemudahan yang disediakan.

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah bandar yang menjadi
idaman saya perlulah berkonsepkan lestari alam semula jadi. Dalam konteks ini, bandar tersebut
perlulah dipenuhi dengan tumbuhan hijau serta bebas daripada pencemaran alam. Memandangkan
keadaan yang sedemikian, bandar tersebut perlulah berjauhan dari kawasan perindustrian yang
pastinya akan menyebabkan pencemaran udara dan pencemaran air. Bukan itu sahaja, bandar yang
berkonsepkan lestari alam semula jadi dapat menyegarkan minda di samping pemandangan yang
indah saujana mata memandang. Bertitik tolak daripada itu, tumbuh-tumbuhan yang dapat
menyerapkan gas karbon dioksida perlu ditanam dengan banyak di sekeliling bandar idaman saya.
Hal ini secara tidak langsung, akan mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida yang dihasilkan
oleh manusia dan haiwan sekali gus mengurangkan risiko penyakit berbahaya. Sudah terang lagi
bersuluh, bandar yang berkonsepkan lestari alam semula jadi yang banyak membawa maslahat
merupakan bandar idaman saya.

Hakikatnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bandar idaman saya perlulah bertemakan
hiburan. Hal ini adalah kerana bandar berkonsepkan hiburan sudah lama terpahat dalam memori saya
untuk dijadikan bandar idaman saya. Aspek utama dalam konsep ini ialah bandar yang dapat
memberikan hiburan kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat yang merangkumi peringkat usia
kanak-kanak, remaja, golongan dewasa mahupun warga tua. Sebagai analoginya, bandar idaman saya
mestilah bertemakan hiburan seperti Disneyland di New York, Resort World of Sentosa di Singapura.
Dengan ini, rakyat boleh mengurangkan stres dan melarikan diri seketika daripada memikirkan
tekanan di tempat kerja. Secara tidak langsung, setiap ahli keluarga boleh meluangkan masa pada
hujung minggu dengan membawa keluarga pergi ke tempat tersebut yang ada di depan mata. Tidak
perlu lagi mengeluarkan kos yang besar untuk menikmati bandar bertemakan hiburan yang sama di
luar negara. Izharlah bahawa dengan adanya bandar idaman saya ini, keluarga yang bahagia sudah
pasti dapat dilahirkan dan diperkukuhkan.

Sebagai menggulung tajuk yang diperbincangkan, bandar idaman saya mestilah berunsurkan mesra
alam, memiliki pelbagai prasarana dan kemudahan yang canggih untuk keselesaan komuniti. Dengan
ini, sebagai rakyat Malaysia, saya akan sentiasa memberikan sokongan ke atas projek yang
diperkenalkan oleh kerajaan seperti Perbandaran Hijau yang akan menjadi model rintis kepada
pembangunan bandar-bandar lain di Malaysia. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, bandar-bandar idaman yang dihasratkan sudah pasti akan
dapat memajukan negara setanding dengan negara moden serta dapat merealisasikan visi kudsi
Wawasan 2020. Oleh itu, masyarakat perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana yang bulat
takkan datang bergolek dan yang pipih takkan datang melayang. Belajar dari keadaan pentadbiran
sekarang dan mempraktikkan dalam pentadbiran akan datang malah berusaha untuk memperbaikinya
lagi supaya semua rakyat Malaysia dapat menikmati kelengkapan kemudahan dan tubuh badan yang
sihat dari segi minda mahupun fizikal. Dengan keizinan Tuhan Yang Maha Esa, saya berharap agar
bandar idaman saya akan menjadi realiti sebelum saya menutup mata.

You might also like