You are on page 1of 3

REFLEKSI KENDIRI

Syukur ke hadrat Ilahi terlebih dahulu saya nyatakan kerana telah berjaya menjalani
perkhemahan Unit Beruniform ini dengan jayanya. Terima kasih juga kepada pensyarah-
pensyarah terutamanya dalam unit Pengakap yang sentiasa membantu saya serta rakan-
rakan sepanjang perkhemahan ini berlangsung.

Perkhemahan Unit Beruniform ini telah berlangsung selama empat hari tiga malam.
Banyak perkara yang telah saya pelajari sepanjang mengikuti perkhemahan Unit Beruniform
yang bertempat di Ulu Bendul tersebut lebih-lebih lagi mengenai unit beruniform Pengakap.
Pengisian program ini memberi saya pengetahuan yang berguna untuk diri saya yang bakal
menjadi pemimpin Pengakap di sekolah kelak. Pengisian program termasuk asas
pertolongan cemas, asas kawad kaki, ikatan dan simpulan, masakan rimba dan lain-lain lagi
menambah nilai serta kemahiran yang ada dalam diri saya. Setiap pagi sepanjang
perkhemahan akan diadakan laung agung bagi semua ahli Pengakap. Hal ini secara tidak
langsung akan mendisiplinkan kami semua dari segi pengurusan masa. Gadjet juga
merupakan antara perkara penting yang perlu ada semasa perkhemahan. Antara gadjet
yang kami hasilkan ialah tripod, ampaian, rak kasut, meja serta papan kenyataan. Dalam
membuat gadjet, seperkara yang perlu kami beri perhatian ialah jenis ikatan dan simpulan
yang akan digunakan semasa membina gadjet. Hal ini demikian kerana, jikalau cara ikatan
yang salah digunakan pada gadjet, mungkin gadjet tersebut tidak akan dapat digunakan
dalam tempoh yang lama.

Semasa perkhemahan ini, saya telah belajar cara untuk berdikari. Saya juga belajar
tentang ikhtiar hidup apabila berada di dalam hutan. Ilmu-ilmu seperti ini amat penting untuk
diri saya supaya mampu menjadikan saya seorang manusia yang mempunyai nilai tambah
dalam diri. Salah satu perkara yang menarik perhatian saya untuk mengangotai Unit
Beruniform Pengakap ini adalah kerana Pengakap mempunyai kelebihan dari segi
kepelbagaian lagu-lagu Pengakap. Unit Beruniform lain tidak mempunyai lagu yang dapat
dinyanyikan secara santai dan spontan. Hal ini sekali gus akan meredakan tekanan yang
dihadapi sepanjang perkhemahan berlangsung. Saya juga belajar untuk hidup di dalam
sekawan berbanding Unit Beruniform lain yang dibahagikan mengiku kumpulan sahaja.
Saya yang berada dalam sekawan biru telah belajar banyak perkara mengenai kerjasama
serta kesepaduan dalam melakukan sesuatu kerja. Tamsilnya, semasa membuat gadjet,
kami antara sekawan yang cekap dan pantas dalam membina gadjet kerana setiap orang di
dalam sekawan biru mempunyai tugas-tugas yang telah ditetapkan oleh ketua sekawan
kami. Hal ini mengajar saya, apabila kita menjalankan tugas seperti peribahasa “berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing”, bebanan tugas tersebut akan disiapkan dengan kepuasan
satu pasukan serta hasil kerja ialah lebih baik.

Antara kekuatan yang dapat saya lihat yang ada pada diri saya sepanjang
perkhemahan ini ialah saya mempunyai semangat untuk terus melangkah ke hadapan.
Walaupun mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran, saya tetap akan berusaha untuk
buat habis baik dalam setiap aktiviti yang saya sertai. Secara tidak langsung, tersemai
semangat tidak berputus asa dalam diri saya untuk melakukan yang terbaik dalam
melakukan semua perkara.

Seterusnya, terdapat juga kekurangan yang dapat saya lihat sepanjang mengikuti
perkhemahan ini. Aspek masa kurang dipatuhi para peserta perkhemahan. Saya mendapati
bahawa peserta kurang menepati masa menyebabkan sesi bagi kursus terpaksa diadakan
lewat sehinggakan tidak sempat menghabiskan sesi tertentu kerana tidak mencukupi masa.
Oleh hal yang demikian, para peserta perlulah berusaha untuk menepati masa dalam
perkhemahan ataupun program yang akan datang. Faktor cuaca juga menghalang kejayaan
sesuatu aktiviti. Tamsilnya, pertandingan kawad kaki terpaksa ditangguh ke sebelah petang
kerana keadaan hujan yang lebat serta kilat dan petir menyambar.

Sebagai seorang guru, kita perlu menambahkan pengetahuan dalam semua aspek
dalam termasuklah kebolehan dalam menjadi pemimpin Unit Beruniform di sekolah kelak.
Segala ilmu yang dipelajari sepanjang perkhemahan perlu dipraktikkan agar ilmunya tidak
akan hilang begitu sahaja. Seorang guru haruslah mempunyai ilmu pengetahuan yang
kukuh sebelum memulakan sesuatu pengajaran. Ilmu akan mengangkat darjat seseorang
itu. Seseorang yang berilmu serta mengamalkan segala ilmu yang dipelajarinya akan
dipandang tinggi oleh masyarakat. Seorang guru yang baik haruslah sentiasa bersedia
untuk menerima segala tugas yang diberikan oleh sekolah itu.

Sudah terang lagi bersuluh, segala ilmu yang dipelajari sepanjang perkhemahan unit
beruniform ini akan membantu saya di hari kelak. Hal ini demikian kerana perkhemahan ini
membantu saya menyediakan diri menjadi seorang guru yang berdaya saing serta siap
sedia menyahut segala cabaran dan dugaan. Perkhemahan ini secara tidak langsung akan
memberikan banyak pengetahuan dan pengalaman yang berguna kepada bakal pemimpin
Pengakap. Saya berhadarp setiap yang dipelajari akan digunakan oleh guru pelatih dan
disampaikan dengan sebaik mungkin kepada ahli-ahli pengakap yang baharu kelak.
REFLEKSI

You might also like