You are on page 1of 1

Berita tentang keselamatan sekolah telah menjadi bahan perbualan masyarakat.

Huraikan ciri-ciri sekolah selamat.

Sekolah yang selamat bermaksud tidak berlakunya kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan
pelajar dan guru di situ. Antara kejadian yang pernah berlaku di kawasan sekolah ialah kejadian
pergaduhan, kecurian, dan perkosaan. Oleh itu, wujud pelbagai ciri yang menjadikan sesebuah sekolah
itu selamat pada mata masyarakat umum.

Ciri yang paling mudah ialah pihak sekolah menempatkan pengawal keselamatan di pintu masuk
sekolah itu. Pengawal ini juga boleh meronda kawasan sekolah mengikut masa tertentu sebagai usaha
memastikan keselamatan sekolah terjaga. Jadi, tindakan menggaji pengawal keselamatan menjadi
langkah mudah untuk memastikan sekolah selamat.

Selain itu, setiap bilik di sekolah itu perlulah dilengkapi dengan alat pemadam api yang mudah untuk
diperoleh. Maknanya, pelajar bukan sahaja diberi latihan menggunakannya tetapi hendaklah diletakkan
di tempat yang paling strategik untuk keberkesanan penggunaannya kelak. Jelaslah, alat pemadam api
boleh memastikan kebakaran yang berlaku dikawal sebelum ketibaan pihak bomba.

Tambahan pula, sebuah sekolah yang selamat turut memiliki pelan arah keselamatan apabila berlakunya
sebarang kejadian seperti kebakaran, banjir, dan sebagainya. Pelan ini memudahkan pelajar mengetahui
tindakan yang harus diambil oleh mereka dan arah yang dituju ketika perkara kecemasan berlaku.
Sebenarnya, kewujudan pelan sebegini memastikan pelajar dapat menyelamatkan diri dalam keadaan
tenang dan teratur apabila berlaku sesuatu perkara buruk.

Kewujudan pengawal lalu lintas terutama di kawasan sekolah yang berhampiran jalan utama lalu lintas
turut penting dalam menjamin keselamatan penghuni sekolah. Pengawal ini akan memastikan pelajar
melintas jalan dengan selamat dan memerhatikan persekitaran ketika pelajar sedang menunggu
kedatangan ibu bapa mereka itu. Sesungguhnya, pengawal lalu lintas menjadikan pelajar lebih selamat
ketika keluar dari kawasan sekolah.

Kesimpulannya, setiap sekolah hendaklah memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pelajar
mereka. Jika pihak sekolah masih berdolak-dalih dalam hal ini sudah pasti sesuatu tragedi hanya
menanti masa sahaja untuk berlaku. Mungkin sudah sampai masanya pihak sekolah melihat
keselamatan pelajar melebihi segala-galanya sebelum nasi menjadi bubur.

You might also like