You are on page 1of 19

Isi Kandungan

1.Pengenalan

2.Jenis Ujian
Pengenalan

Guru adalah individu yang memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan,
kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid.Guru bertanggungjawab menentukan hasil
pembelajaran yang hendak dinilai. Guru juga merancang dan membina penilaian alat, mentadbir
ujian, merekod penilaian hasil, menganalisa maklumat, melapor dan melaksanakan tindakan
susulan yang perlu seperti aktiviti pengukuhan, pengayaan dan pemulihan.

Ujian adalah satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh pengamatan
yang sistematik tentang sifat, atau sifat seseorang berhubung dengan aspek pendidikan atau
psikologi (Mokhtar Ismail, 1995). Ia penting dalam memperlihatkan kejayaan atau kegagalan
calon dalam sesuatu peperiksaan. Selain itu ia juga berfungsi untuk memilih dan meletakkan
calon dalam kumpulan tertentu pelajar serta mengenalpasti kelemahan murid.

Jenis Ujian

gambarajah 1

Ujian Kecerdasan

Ujian kecerdasan dikenali juga ujian mental. Ujian ini cuba mengukur perbezaan di antara
individu. Ujian ini banyak mengalami perubahan serentak dengan perkembangan bidang
psikologi. Sejarah ujian ini bermula sejak tahun 1796. Ujian ini mula berkembang sejak Galton
pada tahun 1969 apabila beliau cuba mengukur ketajaman deria, gambaran mental serta
pencapaian intelektual di antara pelajar genius. Tokoh-tokoh lain yang turut terlibat dalam
mengukur aspek mental termasuklah Wundt, Cattell d n Binet (Abu Bakar, 1986). Ujian
kecerdasan kanak-kanak terawal ialah skala Binet-Simon.

Bagi kanak-kanak ujian kecerdasan tidak menekankan aspek kebahasaan. Ujian ini
mencerminkan pengalaman pada peringkat kanak-kanak. Ujian kecerdasan memberikan bukti
secara tidak langsung tentang potensi yang ditunjukkan murid-murid berdasarkan prestasinya.
Ujian ini kerap kali digunakan untuk membuat telahan pencapaian di sekolah atau institusi
pendidikan tinggi. Contoh ujian kecerdasan lain seperti Ujian IQ, Skala Stanford-Binet,
Weschler, Ujian Lorge-Thorndike dan lain-lain.

Ujian Pencapaian

Ujian pencapaian ialah ujian yang digubal oleh guru bagi mengukur sejauh mana sesuatu
kumpulan murid atau seseorang murid berkenaan telah menguasai sesuatu topik yang telah
dipelajari. Ujian pencapaian boleh dijalankan dalam bentuk membuat perbandingan dengan
pelajar lain dalam sesuatu bilik darjah (rujukan norma) atau membuat rujukan tertentu bagi
sesuatu aras dalam topik (rujukan kriteria) sesebuah dalam kurikulum. Kebanyakan pembinaan
ujian pencapaian serta penskoran adalah berteraskan ujian rujukan norma. Ujian pencapaian
boleh digunakan untuk mengukur aspek pencapaian akademik, aptitud, siasah, minat, sikap dan
sebagainya. Ujian pencapaian akademik dapat mengukur kebolehan, pengetahuan serta
kemahiran pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Ujian ini dibina oleh guru dan pada peringkat institusi seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia
(LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Penggubalan pada peringkat perseorangan
dikenali ujian di bilik darjah. Manakala bagi pencapaian peringkat pusat dikenali sebagai PMR,
SPM, STPM dalam sebagainya.

Ujian Prestasi

Ujian prestasi memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai tambahan
kepada menjawab soalan. Penekanan yang diberikan tertumpu kepada kebolehan murid-murid
melakukan sesuatu tugasan yang diberi berbanding hanya menjawab soalan sahaja. Hal ini
kerana maklumat personaliti seseorang tidak bernilai jika dia menyedari bahawa dia sedang
dinilai. Dengan itu dia akan melakukan dengan sebaik yang mungkin. Dalam konteks ujian
prestasi, tidak ada gerak balas boleh dianggap sebagai `baik’. Misalnya tidak ada ukuran baik
atau buruknya minat seseorang itu pada dunia perladangan. Individu yang berminat boleh
meneruskan ladang dan sebaliknya boleh memilih bidang lain yang bersesuaian dengan
minatnya.

Pada umumnya, ujian prestasi adalah rumit. Guru bebas menggunakan apa sahaja kaedah seperti
pemerhatian atau laporan kendiri untuk mendapatkan maklumat pelajar. Pemerhatian boleh
dilaksanakan semasa murid melaksanakan tugas yang diberikan, misalnya perbincangan
kumpulan, peranan murid dalam aktiviti. Manakala melalui laporan kendiri pelajar sendiri
menilai diri sendiri melalui soal selidik tertentu yang menilai peribadi diri.

Ujian Diagnostik

Ujian ini mengenal pasti sesuatu perkara atau masalah yang berlaku dalam pengajaran dan
pembelajaran dan menentukan punca-punca yang menyebabkan masalah berkenaan berlaku.
Pentadbiran ujian ini bertujuan untuk menentukan kedudukan murid dalam pelajarannya dan
mengenal pasti sebab-sebab berlakunya kelemahan murid dalam pembelajarannya. Apabila
sesuatu sebab dapat dikenal pasti maka tindakan selanjutnya dalam merancang dan memulihkan
keadaan yang berlaku dapat dilaksanakan.

Ciri-ciri ujian diagnostik termasuklah ujian tidak memberikan skor atau gred kepada murid.
Disebabkan ujian ini untuk memperbaiki kelemahan tertentu, maka ujian ini dilaksanakan pada
masa pengajaran dan pembelajaran masih berjalan bukan pada akhir proses pengajaran dan
pembelajaran. Maklumat daripada ujian dalam ujian ini diterjemahkan dalam bentuk profil
individu berasaskan skor tentang aspek-aspek pembelajaran. Profil yang dibuat dapat
memperlihatkan kepada guru tentang aspek yang belum dikuasai sepenuhnya oleh murid-murid.
Contoh ujian diagnostik seperti ujian menilai bacaan murid yang bertujuan mengenal pasti
kemahiran murid untuk mengenal huruf dan menyebut huruf.

Ujian ini penting kerana ia dapat mengenal pasti kelemahan murid dan ini memberikan peluang
kepada guru untuk menjalankan langkah pemulihan kepada murid-murid berkenaan. Di samping
mengadakan secara formal iaitu melibatkan pensel dan kertas, ujian ini juga boleh dijalankan
secara soal jawab, inventory, pemerhatian dan tugasan dari semasa ke semasa.
Ujian Kecekapan

Ujian kecekapan ialah ujian yang digunakan oleh seseorang guru untuk menguji kebolehan atau
kecekapan seseorang murid atau calon dalam melaksanakan sesuatu tugas atau aktiviti yang
diberikan. Lazimnya ujian ini melibatkan penggunaan instrumen yang konkrit seperti
penggunaan gambar dan radas serta tidak semata-mata tertumpu kepada aspek bahasa dan
pensel-kertas melainkan sewaktu mendapatkan arahan. Contoh ujian kecekapan seperti ujian
pada peringkat pra-persekolahan dengan meminta murid mencantum-cantumkan perkataan
dengan gambar yang diberikan atau membina semula gambar dengan lengkap daripada
potongan-potongan gambar yang diberi atau menjalankan uji kaji menggunakan radas tertentu.

Ujian Bakat

Ujian yang dikaitkan dengan aktiviti membuat telahan ke atas calon. Suatu waktu dahulu bakat
dikenal sebagai kebolehan istimewa semulajadi yang dimiliki oleh seseorang individu. Pada
umumnya ujian bakat dapat dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu: (i) ujian bakat yang
berasaskan kajian secara besar-besaran. Misalnya pada tahun 1930, kajian yang dijalankan oleh
Universiti Minnesota tentang bakat mekanikal; dan (ii) ujian bakat yang berasaskan kepada
tujuan sesuatu ujian itu dijalankan bagi keperluan tertentu.

Pada umumnya, ujian ini memberikan maklumat asas dalam membuat telahan prestasi masa
depan calon. Ujian ini lazimnya digunakan untuk pemilihan calon melakukan pekerjaan tertentu,
kemasukan ke program latihan, permohonan biasiswa dan sebagainya. Contoh ujian bakat seperti
ujian kemasukan ke maktab perguruan (UKELP). Ujian ini juga digunakan bagi tujuan
mengelompokkan individu dalam kumpulan tertentu mengikut kebolehan calon atau individu.

Ujian Personaliti

Ujian personaliti ialah ujian yang disediakan untuk mengenal pasti potensi diri, personaliti, tahap
kemahiran, keupayaan , minat, nilai dan sikap seseorang yang diukur melalui alat-alat (instrumen
psikologi) yang berbentuk ujian, inventori, indikator dan indeks. Contoh ujian personaliti seperti
Ujian Keirsey Temperament.
Format Ujian Gerak Balas

Gambarajah 2

Dalam membina item penilaian, seseorang guru boleh membina sama ada item objektif atau
item subjektif atau gabungan item objektif dan item subjektif. Berikut akan dibincangkan format
secara ringkat tentang pembentukan jenis soalan berkenaan. Item objektif terdiri daripada
beberapa bentuk atau format seperti soalan betul-salah, soalan padanan, soalan aneka pilihan dan
soalan berbentuk melengkapkan ayat atau kenyataan. Manakala item berbentuk subjektif boleh
berbentuk soalan esei atau struktur.

Betul-salah

Soalan bentuk ini sesuai digunakan dalam bilik darjah untuk mendapatkan maklum balas murid
tentang sesuatu topik pengajaran. Item ini mudah dan pantas dibina. Walau bagaimanapun soalan
yang berkualiti dan baik memerlukan kemahiran dan tidaklah semudah yang disangka. Item
berbentuk ini mengandungi pokok soalan berbentuk kenyataan sama ada betul atau salah. Murid
dikehendaki memastikan kenyataan berkenaan sama ada betul atau salah.

Contoh:

1. Sungai Petani ibu negeri Kedah. Betul / Salah


2. Terengganu terletak di Malaysia Timur Betul / Salah

3. Manusia ialah haiwan berdarah panas Betul / Salah

Padanan

Soalan padanan terdiri daripada dua kumpulan objek atau perkara yang berkaitan. Calon atau
murid dikehendaki menjawab soalan bentuk begini dengan cara menggaris atau menanda kedua-
dua perkara yang berkaitan.

Aneka pilihan

Soalan berbentuk aneka pilihan pula sering digunakan dalam peperiksaan. Soalan jenis ini kerap
digunakan kerana ia lebih berkesan dari aspek pengujian kualiti pemikiran, kefahaman,
penguasaan kemahiran dan prestasi murid. Bentuk soalan ini mengandungi satu pokok
soalan (stem) yang berfungsi sebagai soalan diikuti dengan beberapa gerak balas (pilihan
jawapan). Pokok persoalan boleh berbentuk ayat tanya, ayat tidak lengkap, petikan atau
kenyataan asalkan jelas dan tepat. Di antara pilihan jawapan berkenaan hanya satu sahaja
jawapan yang tepat. Manakala pilihan lain dianggap sebagai pengganggu. Pengganggu
hendaklah hampir sama dari segi isi, bilangan perkataan dan mirip dengan jawapan betul.

Contoh:

Harimau bintang itu berlari sangat_______________.

A. deras

B. cepat

C. kuat

D. pantas
Gambarajah 3

Pelengkap

Bentuk soalan memerlukan calon membekalkan jawapan dalam bentuk satu perkataan atau
rangkai kata untuk memberikan maklum balas kepada soalan yang berbentuk e melengkapkan
penyataan atau ayat yang tidak lengkap. Pada kebiasaannya, soalan berbentuk begini
menghendaki murid melengkapkan ayat dengan satu perkataan atau satu rangkai kata yang
pendek. Soalan bentuk ini sesuai untuk mengukur hasil pembelajaran yang mudah, iaitu pada
peringkat pengetahuan taksonomi Bloom.

Contoh:

1. Nama ibu negeri Perlis Indera Kayangan ialah……………..

2. Kereta pertama buatan Malaysia ialah Proton………………

Esei

Soalan bentuk esei amat digemari oleh kebanyakan guru disebabkan pembinaannya lebih mudah
berbanding dengan soalan berbentuk lain. Soalan esei memerlukan pelajar mempunyai
pengetahuan yang cukup bagi membolehkan mereka menghubungkan fakta serta prinsip tertentu
untuk disusun bagi membentuk satu idea, saranan atau perbincangan yang menyeluruh dan
mantap. Soalan bentuk ini memberikan kebebasan sepenuhnya kepada murid untuk memilih,
menyusun, menghubungkan serta membentangkan idea dengan menggunakan perkataan sendiri.
Menurut Gronlund (1981) soalan jenis esei ini tidak sesuai untuk menguji soalan berbentuk
fakta. Soalan esei sesuai untuk mengukur hasil pembelajaran yang tidak dapat diukur dengan
menggunakan soalan objektif yang biasanya memerlukan aras kemahiran pada peringkat tinggi
seperti mengukur kemahiran memilih, menyusun, mengorganisasi, dan menilai idea. Walaupun
soalan esei lebih mudah untuk digubal, pemarkahannya adalah agak rumit dan seringkali mudah
menimbulkan bias.

Contoh:

1. Ceritakan pengalaman yang kamu tidak dapat lupakan.

2. Tuliskan satu ceritakan tentang keluarga kamu.

JENIS-JENIS PENILAIAN

Penilaian ialah proses yang digunakan untuk membuat keputusan atau pertimbangan nilai
daripada beberapa pemerhatian. Oleh itu tujuan menilai dalam konteks persekolahan atau di bilik
darjah adalah berkait rapat dengan pengajaran dan pembelajaran. Dari segi pengajaran,
maklumat yang diperolehi hasil penilaian yang dijalankan akan dapat membantu guru
memperbaiki pengajaran. Sekiranya penyampaian kurang berkesan, maka guru boleh membuat
keputusan untuk menggunakan kaedah atau pendekatan lain yang difikirkan lebih bersesuaian.

Dalam konteks pembelajaran pula, maklumat daripada penilaian tersebut, guru boleh
mendiagnos kelemahan dan kekuatan pelajar tentang sesuatu topik pembelajaran. Daripada
maklumat tersebut juga, guru boleh memberi gred atau markah serta menempatkan pelajar
mengikut aliran pengajian tertentu. Penilaian yang dijalankan oleh guru boleh diklasifikasikan
kepada beberapa bentuk seperti penilaian rujukan norma, rujukan kriteria, penilaian formatif dan
penilaian sumatif.

Penilaian Rujukan Norma

Keputusan yang diperolehi oleh murid-murid memberikan beberapa maklumat kepada guru.
Pertama, keputusan yang diperolehi oleh murid-murid itu dibandingkan dengan keputusan murid
yang lain yang mengambil ujian yang sama atau kedudukan seseorang murid boleh dibandingkan
dengan murid lain boleh dalam bilik darjah yang sama atau dalam sesebuah negara. Pendekatan
ini dikenali sebagai ujian atau penilaian rujukan norma.
Ujian atau penilaian yang dibina adalah bertujuan untuk mendapatkan perbezaan yang
maksimum antara murid-murid berkenaan. Bagi memastikan tercapai tujuan berkenaan, tahap
kesukaran item dikawal agar tidak terlalu sukar dan terlalu mudah. Lazimnya kesukaran soalan
adalah berdasarkan nisbah 25% mudah, 50% sederhana dan 25% sukar. Keputusan daripada
penilaian atau ujian akan mencerminkan siapa lebih pandai atau di mana kedudukan seseorang
pelajar dalam sesuatu bilik darjah atau sekolahnya.

Ujian rujukan norma ini tidaklah memberikan maklumat secara terperinci tentang
kemahiran seseorang murid. Sebaliknya apa yang diberikan penekanan ialah tentang siapa lebih
baik daripada siapa. Keadaan ini memerlukan item penilaian benar-benar dapat memastikan
perbezaan (mendiskriminasikan) antara pelajar.

Menurut Popham (1981), ujian rujukan norma digunakan bagi menentukan status
seseorang murid berpandukan prestasi murid yang lain dalam sesuatu ujian berkenaan. Misalnya,
seorang murid dapat menjawab 50 item dengan betul daripada 60 butiran ujian. Skor mentah
murid ini ialah 50. Kedudukan murid ini dibandingkan dengan calon lain dengan menggunakan
satu jadual norma. Jadual berkenaan akan menunjukkan kedudukan calon dalam bentuk pangkat
peratusan berbanding dengan satu kumpulan norma yang ditetapkan. Andaikan skor mentah tadi
memberikan bacaan pangkat peratusan ke-83 mengikut jadual norma, maknanya muri tersebut
berprestasi melebihi atau menyamai 82 peratus daripada murid-murid lain dalam kumpulan
norma.

Dalam konteks penilaian ini, jika ramai murid yang mendapat skor yang rendah, markah
lulus lazimnya cenderung akan rendah. Begitu juga sebaliknya. Dengan itu, ada kemungkinan
murid yang lemah akan lulus kerana terdapat murid-murid lain yang lebih lemah.

Penilaian Rujukan Kriteria

Ujian atau penilaian rujukan kriteria memberikan penekanan yang berbeza daripada ujian
rujukan norma. Matlamat ujian ini bukan untuk membandingkan prestasi antara murid. Tetapi
lebih menumpukan kepada perbandingan kepada kriteria yang sama yang telah ditetapkan sama
ada tercapai atau tidak. Pendekatan ini dipelopori oleh Glaser pada tahun 1963 (dipetik daripada
Popham, 1971). Menurut Glaser (1973) kriteria yang digunakan tidak bermaksud akhiran sesuatu
kemahiran, tetapi kriteria itu bergantung kepada penetapan oleh guru, yakni pada aras mana yang
ingin guru tetapkan kriteria yang harus dicapai oleh murid-murid.

Menurut Popham (1981) ujian rujukan kriteria digunakan untuk menentukan status
individu berhubung domain tingkah laku yang didefinisikan. Ujian rujukan kriteria merujuk
kepada satu set tingkah laku kriteria yang telah ditetapkan.

Penilaian Formatif

Bagi mencapai matlamat dan objektif yang dirancangkan, aktiviti penilaian seringkali
memberikan maklumat penting kepada guru untuk melaksanakan tindakan seterusnya. Penilaian
yang dijalankan bagi tujuan memperoleh maklumat bagi memperbaiki kurikulum dikenali
penilaian formatif. Penilaian ini dijalankan sepanjang masa dan maklumat yang diperolehi
daripada penilaian ini digunakan secara terus menerus. Penilaian lazimnya mendatangkan kesan
negatif sama ada kepada murid, guru atau ibu bapa sendiri. Hal ini demikian kerana penilaian
sering kali menimbulkan ketegangan kepada golongan berkenaan. Dengan itu, penilaian formatif
cuba mengurangkan ketegangan tersebut tanpa membandingkan pencapaian antara pelajar.

Pendidik yang beramanah seharusnya memberikan penerangan dan bimbingan kepada


murid dan kepada ibu bapa murid akan kegunaan serta tujuan penilaian formatif. Ujian yang
dibentuk dalam penilaian ini seharusnya bercorak ujian diagnostik yakni yang dapat memberikan
input akan masalah yang dihadapi murid dalam mengikuti pembelajaran. Ujian dijalankan
sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Manakala maklumat yang diperolehi
hendaklah digunakan serta merta dalam memperbaiki pengajaran dan pembelajaran agar pelajar
dan guru sama-sama memperolehi manfaat daripadanya. Misalnya, guru dapat mengenal pasti
kelemahan penyampaian pengajarannya, manakala murid dapat mengetahui kelemahan aspek
tertentu dalam pembelajaran. Dengan itu penilaian ini bukan sekali-kali bertujuan
membandingkan pelajar sebaliknya ingin membantu murid. Dengan itu, tidak ada gred diberikan
kepada penilaian atau ujian yang dijalankan. Contoh penilaian formatif seperti sesi soal jawab,
latihan yang diberikan guru dan ujian di bilik darjah yang tidak ditentukan gred.

Bagi memastikan pelaksanaan penilaian yang berkesan, beberapa langkah atau prosedur
perlu diberikan tumpuan atau perhatian oleh guru, iaitu:
iv. Menentukan topik pembelajaran. Dalam sesuatu sukatan pelajaran, mengandungi beberapa
topik yang seharusnya dihabiskan sepanjang sesi persekolahan untuk satu tahun. Pengajaran
topik-topik berkenaan memerlukan masa yang lama untuk menghabiskan semua sukatan
berkenaan. Langkah terbaik ialah menyusun topik berkenaan mengikut peringkat kesukaran.
Seandainya topik tersebut mempunyai cakupan yang luas, maka penekanan harus diberikan dan
mungkin diperlukan dikecilkan kepada sub-topik tertentu. Dengan cara ini guru akan dapat
memastikan murid-murid menguasai sesuatu sub-topik tertentu terlebih dahulu sebelum
meneruskan kepada topik-topik seterusnya. Sebelum beralih kepada topik lain, guru akan
mengadakan ujian formatif untuk melihat tahap penguasaan sesuatu topik.

v. Menyatakan aspek dan tahap pencapaian bagi sesuatu topik pembelajaran. Guru harus
mengenal pasti aspek-aspek tertentu setiap topik yang perlu dikuasai oleh pelajar. Misalnya
pelajar dapat mengenal warna, simbol, membaca dan lain-lain mengikut keperluan topik
berkenaan. Setelah aspek berkenaan ditentukan, maka guru boleh menentu tahap penguasaan
murid-murid dalam bilik darjah terhadap satu-satu topik berkenaan. Dalam hal ini apabila
keputusan menunjukkan 80% hingga 90% pelajar telah menunjukkan penguasaan terhadap
sesuatu topik, memperlihatkan bahawa kebanyakan pelajar sudah menguasai topik berkenaan.

vi. Menghubungkaitkan elemen-elemen yang terdapat dalam setiap topik. Guru perlu menyusun
elemen-elemen yang terdapat dalam topik-topik pembelajaran pada peringkat perlakuan tertentu
dengan berdasarkan taksonomi pendidikan. Setelah pemeringkatan mengikut tahap perlakuan
selesai, gurus seterusnya mengaitkan semua elemen berkenaan yang terdapat dalam satu-satu
topik agar saling bertautan dan tidak terpisah.

vii. Membentuk soalan ujian. Selepas penentuan elemen-elemen berkenaan, misalnya ada
sepuluh elemen dalam sesuatu topik, maka setiap elemen berkenaan seharusnya diuji kepada
pelajar sekurang-kurangnya satu soalan.

viii. Mencadangkan langkah susulan. Tujuan penilaian formatif dijalankan ialah antara lain untuk
mengetahui tahap penguasaan sesuatu topik pembelajaran di samping kesukaran yang dihadapi
oleh murid-murid. Dengan itu tindakan susulan harus dilaksanakan berdasarkan keputusan ujian
yang diperolehi. Misalnya, murid-murid masih menunjukkan kelemahan ketara dalam sesuatu
topik, maka tindakan selanjutnya yang harus diambil oleh guru ialah mengulang semula topik
berkenaan atau mengubah suai pendekatan penyampaian agar murid-murid boleh menguasai
topik tersebut.

Penilaian formatif atau ujian formatif dianggap sebagai suatu strategi pengajaran dan
pembelajaran yang dapat membantu guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Guru dan murid-murid masing-masing saling memperolehi maklumat akan kelemahan-
kelemahan yang wujud semasa pengajaran pembelajaran berlangsung berdasarkan keputusan
ujian yang ditunjukkan. Ini memberikan motivasi kepada guru dan murid untuk membaiki
prestasi masing-masing. Guru memperbaiki prestasi penyampaian manakala murid memperbaiki
strategi pembelajaran.

Tujuan Penilaian Formatif

Pada asasnya, penilaian formatif bertujuan untuk memperbaiki pengajaran pembelajaran. Di


samping memperbaiki pengajaran dan pembelajaran, secara langsung penilaian yang dijalankan
dapat meningkatkan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu pelajaran. Hal ini dapat direalisasikan
melalui ujian-ujian yang dikendalikan dapat memperlihatkan kelemahan-kelemahan yang wujud
sama ada pada penyampaian guru atau penguasaan murid dan seterusnya guru akan memperbaiki
agar murid dapat menguasai dengan lebih baik. Situasi ini akan menolong murid-murid
menguasai sesuatu unit atau topik pembelajaran dan ini memungkinkan mereka memperolehi
pencapaian yang lebih baik pada akhir penggal atau semester persekolahan.

Penilaian formatif juga dapat memperbaiki kualiti serta dapat meramal pencapaian
pelajar. Menjadi satu kepuasan kepada seseorang guru apabila beliau dapat meningkatkan
pencapaian murid-murid dari semasa ke semasa. Dengan mengadakan ujian formatif, guru dapat
meninggi pencapaian dan mengekalkan pencapaian yang memuaskan. Hal ini melalui
perbandingan yang boleh dibuat antara pencapaian murid sekarang dengan pencapaian murid-
murid lalu melalui rekod ujian formatif yang telah dikendalikan dan mencatatkan masalah yang
dihadapi oleh murid-murid dahulu serta langkah penyelesaian yang telah diambil. Dengan cara
ini, guru dapat mengekalkan prestasi pelajar dan meramal pencapaian pada akhir penggal
persekolahan.

Di samping itu, kegunaan penilaian formatif juga bertujuan mengubah suai pengajaran
seseorang guru. Hal ini kerana pencapaian yang rendah di kalangan murid-murid barangkali
disebabkan oleh kelemahan pengajaran guru itu sendiri. Pendekatan yang diambil oleh guru
berkenaan tidak semestinya sama dalam semua sesi pembelajaran yang dikendalikan. Begitu juga
murid-murid yang dihadapinya terdiri daripada pelbagai peringkat kebolehan. Ada yang
sederhana, lemah dan cemerlang. Keadaan ini memerlukan pengubahsuaian dalam penyampaian
guru agar pembelajaran lebih berkesan. Berasaskan penilaian yang dijalankan guru dapat
mengenal pasti aspek atau topik yang menunjukkan kecenderungan murid-murid masih lemah
dan topik yang telah dikuasai oleh murid. Selain mengatasi kelemahan dalam pengajaran, guru
juga dapat menentukan pendekatan yang lebih baik dalam penyampaian. Misalnya, guru
menggunakan pendekatan syarahan dalam menyampaikan pengajaran. Pada akhir topik
berkenaan, satu ujian formatif dilakukan dan mendapati kebanyakan murid kurang memahami
topik yang diperkatakan. Dengan itu guru dapat memahami bahawa pendekatan berkenaan tidak
sesuai dan beliau boleh mengubah dengan menggunakan pendekatan lain seperti perbincangan
dan sebagainya.

Penilaian formatif juga bertujuan untuk memberikan bimbingan pembelajaran kepada


murid-murid. Maklumat yang diperolehi daripada siri ujian yang dijalankan dapat digunakan
oleh murid-murid untuk mengatasi kelemahan mereka. Mereka boleh berbincang dan mendapat
bimbingan serta khidmat nasihat daripada guru mereka. Dengan cara itu, murid-murid berkenaan
dapat mengatasi masalah mereka dan seterusnya meningkatkan penguasaan pembelajaran.
Mereka juga akan menjadi sentiasa bersedia untuk menduduki siri ujian yang dijalankan dan
dengan itu memerlukan ketekunan dan tumpuan kepada topik-topik pembelajaran.

Kesimpulannya, penilaian atau ujian formatif adalah suatu strategi dalam proses pengajaran dan
pembelajaran yang bermanfaat dalam membantu pelajar dan guru. Maklum balas yang diperolehi
dapat digunakan oleh guru dan murid-murid serta merta dalam memperbaiki kelemahan-
kelemahan yang wujud. Ia memberikan motivasi kepada guru untuk terus berusaha dengan gigih
bagi memastikan kecemerlangan pelajar. Manakala pada pihak murid-murid pula, ia memberikan
harapan tinggi mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Penilaian Sumatif

Berbeza dengan penilaian formatif yang lebih menumpukan menilai tahap penguasaan pelajar
dalam satu-satu topik pembelajaran, penilaian sumatif bertujuan untuk menentukan pencapaian
pelajar pada akhir sesuatu penggal persekolahan dan digunakan untuk menentukan keberkesanan
sesuatu kurikulum secara keseluruhan.

Tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu murid-murid secara individu dalam
meningkatkan pencapaian. Tujuan penilaian sumatif ialah untuk menentukan sejauh mana
objektif-objektif sesuatu bidang mata pelajaran yang telah disampaikan oleh guru semasa
pengajaran pembelajaran berlangsung di bilik darjah telah dicapai oleh murid-murid. Dengan
berdasarkan objektif yang telah ditetapkan melalui pembinaan jadual penentuan ujian, peratusan
objektif yang dapat dicapai oleh pelajar dapat diketahui.

Kedua, penilaian sumatif bertujuan memberikan gred kepada murid-murid berdasarkan


pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diadakan. Dengan adanya gred yang
diberikan, akan memudahkan guru untuk membuat perbandingan antara individu dalam satu-satu
bilik darjah atau membuat perbandingan mengikut tingkatan atau kumpulan pelajar. Dengan cara
ini guru boleh membuat kesimpulan peringkat pencapaian pelajar mengikut kumpulan tertentu
misalnya kumpulan pelajar lemah, sederhana dan cemerlang. Contoh penilaian sumatif seperti
penilaian pada akhir penggal, peperiksaan percubaan, UPSR, PMR dan sebagainya.

Bagi memastikan keberkesanan dalam pentadbiran penilaian sumatif, langkah-langkah


berikut harus diberikan penekanan:

vii. Membentuk jadual penentuan ujian yang mengandungi maklumat yang lengkap
berkaitan objektif, bentuk item, jumlah item, tempoh penilaian, kandungan dan
sebagainya. Ini bagi memastikan kesahan ujian yang bakal dilaksanakan dan
kebolehpercayaan keputusan yang diperolehi.

ii. Menggubal soalan-soalan yang berkaitan dengan isi dan perlakuan yang ingin diuji. Setiap
item haruslah menguji objektif pelajaran yang telah ditetapkan.

iii. Mengumpul item secara sistematik. Misalnya mengelompokkan item mengikut bentuk yang
sama. Item objektif diasingkan dengan item mengisi tempat kosong, esei dan sebagainya. Item
juga boleh disusun mengikut susunan topik atau mengikut aras kemahiran kognitif. Misalnya
menyusun soalan bermula aras rendah diikuti aras lebih tinggi.
iv. Menyiapkan skema pemarkahan bagi tujuan penyemakan kertas ujian. Ini dapat mengelakkan
berlakunya bias dalam pemberian markah murid-murid.

v. Menyediakan arahan yang jelas tentang apa yang seharusnya murid lakukan dalam menjawab
setiap soalan yang dikemukakan.

vi. Menguji item tersebut terlebih dahulu melalui ujian rintis kepada sampel pelajar bagi
memastikan ujian yang bakal dijalankan itu benar-benar sah dan boleh dipercayai serta dapat
membaiki kelemahan-kelemahan yang wujud pada item berkenaan.

vii. Menganalisis item yang telah ditadbir secara rintis bagi mengetahui aras kesukaran item,
daya diskriminasi item, ketunggalan item, kesahan dan kebolehpercayaan berkenaan serta
memastikan pilihan jawapan yang disediakan (distraktor) dapat berperanan dengan baik.

Tujuan Penilaian Sumatif

Pada umumnya, penilaian sumatif untuk menentukan pencapaian murid sebagai satu kumpulan
dengan membezakan antara pencapaian pelajar berdasarkan gred yang telah ditentukan. Selain
itu, penilaian sumatif juga bertujuan untuk mengiktiraf kebolehan dan kemahiran yang dimiliki
oleh pelajar. Ini berdasarkan skor yang diperolehi oleh pelajar dalam penilaian yang dijalankan.

Guru atau pendidik juga dapat membuat ramalan akan kejayaan murid dalam sesuatu
mata pelajaran. Pencapaian pada peringkat awal biasanya mempunyai perhubungan yang tinggi
dengan peringkat pencapaian yang seterusnya. Misalnya, kemahiran mengenal huruf murid akan
menjadi ramalan kepada kemahiran untuk menyusun huruf-huruf dalam membentuk perkataan
pada masa depan.

Penilaian sumatif juga dapat dijadikan petunjuk dalam memulakan sesuatu kursus baru
yang berkaitan. Sebelum memulakan sesuatu kursus baru murid-murid dikehendaki terlebih
dahulu menduduki ujian yang menentukan peringkat pencapaian mereka agar dapat memastikan
murid-murid berkenaan telah menguasai kemahiran asas yang diperlukan dalam sesuatu kursus
baru berkenaan. Sekiranya murid-murid berkenaan sudah mencapai peringkat tertentu, barulah
mereka dibenarkan untuk mengambil kursus tersebut.
Selain itu, keputusan penilaian sumatif juga dapat memperlihatkan peringkat pencapaian
yang berbeza mengikut kumpulan. Item yang sama ditadbir kepada beberapa kumpulan bagi
tujuan membuat perbandingan pencapaian yang diperolehi. Dengan cara itu, perbandingan
pencapaian dapat dibuat dalam menentukan kelompok pelajar lemah, sederhana dan cemerlang
serta kelas (bilik darjah) yang lemah dan cemerlang.

Kesimpulannya, penilaian sumatif ialah penilaian yang dijalankan telah lama


dilaksanakan dalam dunia pendidikan dengan tujuan utama ialah untuk memberikan gred kepada
pencapaian murid. Di samping itu, penilaian ini juga dapat digunakan secara menyeluruh dalam
memperbaiki sesuatu kurikulum kerana keputusan yang diperolehi lebih menyeluruh.

Perbez aan Penilaian Formatif Dan Penilaian Sumatif

Gambarajah 4
Kertas Ujian Sains Tahun 2 dibina berdasarkan Taksonomi Bloom

Gambarajah 5

RUMUSAN

Dalam menyediakan ujian yang baik dan berkesan, guru merupakan penggerak utama. Hal ini
demikian kerana guru yang lebih arif tentang bidang yang telah diliputi sepanjang pengajaran
dan pembelajaran berlangsung. Ujian yang dilaksanakan oleh guru dapat memberikan tentang
kesan pembelajaran untuk tempoh yang pendek mahupun jangka waktu yang lebih panjang.
Ujian yang dilakukan dalam tempoh pengajaran pembelajaran yang berlangsung membolehkan
guru mengetahui tahap penguasaan pelajar tentang topik-topik yang telah dibincangkan di
samping mengetahui masalah yang dihadapi pelajar dan seterusnya menjalankan aktiviti yang
bersesuaian seperti aktiviti pemulihan. Sementara ujian yang dijalankan pada akhir sesuatu
penggal aman memberikan maklumat berkenaan pencapaian pelajar secara umum setelah
pengajaran pembelajaran berlangsung dalam tempoh tertentu. Dengan itu juga guru-guru dapat
membandingkan serta menggredkan pelajar mengikut pencapaian yang diperolehi sama ada
dalam kumpulan pelajar yang lemah sederhana atau cemerlang.

You might also like