You are on page 1of 2

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak tentang isu pembukaan bandar-bandar baharu

lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang gah di persada dunia. Pembukaan
bandar-bandar baharu yang canggih menjadikan Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan negara-negara gergasi yang lain. Jika dikaji sehingga ke akar umbi, terdapat banyak
bandar yang canggih dan cantik di negara Malaysia. Antara contoh bandar yang menjadi buah mulut
dan dipolemikkan di kedai-kedai kopi mahupun dewan parlimen ialah bandar Putrajaya di Malaysia.
Selain itu, terdapat juga bandar canggih dan cantik di negara lain seperti bandar Limerick di Ireland
dan bandar Kontanz di German. Oleh yang demikian, semua warganegara Malaysia sudah tentu
mengimpikan bandar idaman untuk didiami bersama-sama keluarga yang tercinta. Tidak terkecuali
saya yang turut mendambakan bandar idaman saya yang lengkap dengan segala yang diperlukan.

Pada realitinya memang tidak dapat dinafikan bahawa bandar idaman semua mestilah mempunyai
prasarana yang memenuhi kehendak rakyat. Begitulah juga halnya dengan diri saya yang
menginginkan kemudahan lengkap di tempat saya tinggal seperti kemudahan bekalan air dan
elektrik, pengangkutan awam, khidmat Unifi, tandas awam dan perpustakaan awam. Pada era
pascaperindustrian dan pascaglobalisasi ini, ilmu sudah mendominasi kemajuan sesebuah negara.
Untuk rakyat berkomunikasi dan memperoleh ilmu, khimat Unifi dan kemudahan jaringan internet
hendaklah diperluas dan dipermudah untuk dicapai oleh komuniti bandar. Selain itu, bekalan air dan
elektrik hendaklah mencukupi menampung keperluan masyarakat setempat dengan menggunakan
kemajuan dalam proses kitar semula. Tidak cukup dengan itu, pengangkutan awam yang diguna
pakai di bandar idaman saya mestilah mesra alam. Sampah-sampah juga dilupuskan dengan
menggunakan teknologi insenerator yang telahpun diaplikasikan di negara-negara maju. Dengan
perkataan lain, segala-galanya ada di bandar idaman saya. Tegasnya, bandar idaman saya mestilah
mempunyai prasarana yang mencukupi agar rakyat dapat hidup dengan selesa sambil menikmati
segala kemudahan yang disediakan.

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah bandar yang menjadi idaman
saya perlulah berkonsepkan lestari alam semula jadi. Dalam konteks ini, bandar tersebut perlulah
dipenuhi dengan tumbuhan hijau serta bebas daripada pencemaran alam. Memandangkan keadaan
yang sedemikian, bandar tersebut perlulah berjauhan dari kawasan perindustrian yang pastinya akan
menyebabkan pencemaran udara dan pencemaran air. Bukan itu sahaja, bandar yang berkonsepkan
lestari alam semula jadi dapat menyegarkan minda di samping pemandangan yang indah saujana
mata memandang. Bertitik tolak daripada itu, tumbuh-tumbuhan yang dapat menyerapkan gas
karbon dioksida perlu ditanam dengan banyak di sekeliling bandar idaman saya. Hal ini secara tidak
langsung, akan mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida yang dihasilkan oleh manusia dan
haiwan sekali gus mengurangkan risiko penyakit berbahaya. Sudah terang lagi bersuluh, bandar yang
berkonsepkan lestari alam semula jadi yang banyak membawa maslahat merupakan bandar idaman
saya.

Hakikatnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bandar idaman saya perlulah bertemakan
hiburan. Hal ini adalah kerana bandar berkonsepkan hiburan sudah lama terpahat dalam memori
saya untuk dijadikan bandar idaman saya. Aspek utama dalam konsep ini ialah bandar yang dapat
memberikan hiburan kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat yang merangkumi peringkat usia
kanak-kanak, remaja, golongan dewasa mahupun warga tua. Sebagai analoginya, bandar idaman
saya mestilah bertemakan hiburan seperti Disneyland di New York, Resort World of Sentosa di
Singapura. Dengan ini, rakyat boleh mengurangkan stres dan melarikan diri seketika daripada
memikirkan tekanan di tempat kerja. Secara tidak langsung, setiap ahli keluarga boleh meluangkan
masa pada hujung minggu dengan membawa keluarga pergi ke tempat tersebut yang ada di depan
mata. Tidak perlu lagi mengeluarkan kos yang besar untuk menikmati bandar bertemakan hiburan
yang sama di luar negara. Izharlah bahawa dengan adanya bandar idaman saya ini, keluarga yang
bahagia sudah pasti dapat dilahirkan dan diperkukuhkan.

Sebagai menggulung tajuk yang diperbincangkan, bandar idaman saya mestilah berunsurkan mesra
alam, memiliki pelbagai prasarana dan kemudahan yang canggih untuk keselesaan komuniti.
Dengan ini, sebagai rakyat Malaysia, saya akan sentiasa memberikan sokongan ke atas projek yang
diperkenalkan oleh kerajaan seperti Perbandaran Hijau yang akan menjadi model rintis kepada
pembangunan bandar-bandar lain di Malaysia. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, bandar-bandar idaman yang dihasratkan sudah pasti
akan dapat memajukan negara setanding dengan negara moden serta dapat merealisasikan visi
kudsi Wawasan 2020. Oleh itu, masyarakat perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana
yang bulat takkan datang bergolek dan yang pipih takkan datang melayang. Belajar dari keadaan
pentadbiran sekarang dan mempraktikkan dalam pentadbiran akan datang malah berusaha untuk
memperbaikinya lagi supaya semua rakyat Malaysia dapat menikmati kelengkapan kemudahan dan
tubuh badan yang sihat dari segi minda mahupun fizikal. Dengan keizinan Tuhan Yang Maha Esa,
saya berharap agar bandar idaman saya akan menjadi realiti sebelum saya menutup mata.

You might also like