You are on page 1of 2

Tunku Abdul Rahman utamakan

perpaduan kaum, kata Tengku


Razaleigh
November 26, 2016 18:37 MYT

Inisiatif Tunku Abdul Rahman (gambar) mewujudkan parti gabungan iaitu Parti Perikatan yang menggunakan
lambang 'Kapal Layar' pada masa itu telah berjaya menyatukan kaum-kaum utama di negara. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Perpaduan kaum merupakan asas utama yang mendasari
perjuangan dan pentadbiran perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-
Haj, kata anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Atas dasar itu juga, katanya ketika negara mahu menuntut kemerdekaan daripada
penjajah British, Tunku Abdul Rahman yang ketika itu presiden UMNO telah
mewujudkan kerjasama dengan MCA dan MIC kerana percaya hanya melalui
perpaduan kaum kemerdekaan negara dapat dicapai.
Beliau berkata inisiatif beliau dalam mewujudkan parti gabungan iaitu Parti Perikatan
yang menggunakan lambang 'Kapal Layar' pada masa itu telah berjaya menyatukan
kaum-kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India.

"Tunku Abdul Rahman menegaskan kemerdekaan negara akan hanya dicapai melalui
kerjasama di antara kaum Melayu, Cina dan India," katanya semasa menyampaikan
syarahan bertajuk 'Visi Tunku Abdul Rahman untuk Keamanan dan Kemakmuran' di
Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Tengku Razaleigh yang juga bekas naib presiden UMNO berkata gabungan itu
kemudiannya menjadi sebuah badan dominan yang memperjuangkan kemerdekaan
sehingga negara memperolehi kebebasan mutlak pada 31 Ogos 1957.

"Parti Perikatan ini kemudian bertukar kepada Barisan Nasional (BN) yang
merupakan sebuah gabungan parti politik yang menjalankan pemerintahan demokrasi
sehingga hari ini," katanya.

Tunku Abdul Rahman menjadi perdana menteri Malaysia dari 31 Ogos 1957 hingga
22 Sept 1970. Beliau meninggal dunia pada 6 Dis 1990 pada usia 87 tahun.

Syarahan mengenai al marhum Tunku Abdul Rahman yang merupakan Bapa


Kemerdekaan negara dianjurkan Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang
(MPMNPP) dengan kerjasama USM, Think City dan Arkib Negara Malaysia
bersempena forum 'Visi Tunku Abdul Rahman Terhadap Perpaduan dan Kemakmuran
Negara' yang berlangsung di Dewan Utama Pelajar USM.

Panel forum terdiri daripada Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang; Ketua
Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saifulruddin
Wan Jan dan kolumnis akhbar The Sun R.Nadeswaran. Ia dipengerusikan oleh
Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam USM Mohamad Abdullah.

Ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan syarahan itu, Tengku Razaleigh


berkata sudah tiba masanya kerajaan melakukan sesuatu berikutan ramai dalam
kalangan generasi muda tidak tahu tentang peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah
negara.

Ditanya adakah kerajaan perlu menubuhkan sebuah institut khusus tentang Tunku
Abdul Rahman, beliau berkata kerajaan patut mempertimbangkan cadangan itu.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tunku-abdul-rahman-utamakan-perpaduan-kaum-kata-
tengku-razaleigh-123875

You might also like