You are on page 1of 16

MOHAMAD ZULFAZDLEE ABUL HASSAN ASHARI & EZAD AZRAAI JAMSARI

Sejarah Penggunaan Mata


Wang Dinar Era Marini

MOHAMAD ZULFAZDLEE ABUL HASSAN ASHARI & EZAD AZRAAI JAMSARI

Abstrak

Kerajaan Banu Marin (1215-1465M) merupakan sebuah kerajaan Islam yang pernah
muncul di al-Maghrib pada abad pertengahan. Kerajaan ini mewarisi kepimpinan Islam
di al-Maghrib daripada kekuasaan al-Muwahhidun dianggap sebagai kerajaan Islam
yang kuat dan utuh apabila berjaya menguasai seluruh al-Maghrib ketika zaman
kegemilangannya. Ketika itu, pelbagai urusan termasuk pentadbiran menggunakan
mekanisme dinar untuk memastikan segala urusan dijalankan lancar dan memberi
manfaat kepada rakyat. Makalah ini bertujuan untuk mengkaji sejarah mata wang dinar
di al-Maghrib ketika era pemerintahan Kerajaan Banu Marin. Selain itu, makalah ini
bertujuan untuk mengkaji penggunaan dinar era Marini dalam pelbagai urusan seperti
muamalat, perdagangan dan pembayaran gaji pekerja. Secara keseluruhannya, kajian ini
menggunakan kaedah pendekatan kajian kualtitatif menerusi metode historical study
dan content analysis seperti penelitian terhadap kitab dan buku yang dikaji, khususnya
yang menyentuh sejarah mata wang dinar era Marini. Dapatan kajian ini mendapati
Kerajaan Banu Marin telah mengguna pakai mata wang dinarnya sendiri dalam
menjalankan segala urusan yang melibatkan masyarakat, khususnya di kawasan al-
Maghrib.

Pendahuluan
Kerajaan Banu Marin yang dikenali sebagai Marinids dalam bahasa
Inggeris merupakan antara kerajaan Islam yang muncul di Afrika Utara
selepas kejatuhan al-Muwahhidun. Antara kerajaan Islam yang lain
ketika ialah Kerajaan Banu Hafs yang berkuasa di al-Maghrib al-Adna
dan Kerajaan Banu Zayyan atau dikenali sebagai Banu ‘Abd al-Wad
yang memerintah al-Maghrib al-Awsat. Manakala, Banu Marin berkuasa
di kawasan al-Maghrib al-Aqsa iaitu negara Maghribi sekarang ini.
Kerajaan Banu Marin menempuh pelbagai cabaran ketika periode

 211 
SEJARAH PENGGUNAAN MATA WANG DINAR ERA MARINI

penubuhan dan pemantapan serta periode kelemahan dan kemerosotan.


Namun demikian, kerajaan yang bermula dari tahun 1215 hingga 1465M
ini pernah mengecap tempoh kegemilangan ketika zaman pemerintahan
sultannya yang teragung iaitu Sultan Abu al-Hasan ‘Ali (1331-1351M).
Pencapaian dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, sosial dan
kesenian dilihat sebagai ukuran pencapaian dan kejayaan Banu Marin.
Di samping itu, kekuasaan Banu Marin turut meluas di kawasan
Afrika Utara dan al-Andalus. Banu Marin pernah meletakkan kedua-dua
buah kerajaan sezamannya iaitu Banu Hafs dan Banu Zayyan di Afrika
Utara di bawah penguasaannya. Selain itu, Banu Marin turut terlibat
dalam urusan politik al-Andalus apabila membantu Kerajaan Banu al-
Ahmar di Granada menghadapi ancaman tentera Kristian. Malah, Banu
Marin pada suatu ketika pernah bertapak dan menguasai sebahagian
kawasan selatan al-Andalus iaitu di Gibraltar. Walau bagaimanapun,
kekalahan dalam Perang Tarifa pada tahun 1340M di tangan pihak
Kristian memaksa tentera Banu Marin meninggalkan bumi al-Andalus.
Kegemilangan kerajaan ini diteruskan dengan perkembangan dan
pencapaian dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakatnya seperti
pengurusan pentadbiran, perkembangan pendidikan dan kesusasteraan,
kerancakan aktiviti ekonomi dan pengekalan budaya masyarakat yang
utuh. Namun demikian, kematian Sultan Abu ‘Inan Faris (1348-1358M)
dilihat sebagai titik permulaan kepada kemerosotan Banu Marin.
Pelbagai masalah yang timbul sama ada masalah dalaman dan luaran
telah menjadi faktor kepada kelemahan Banu Marin. Kekacauan politik
dan pentadbiran dianggap faktor penting kepada kejatuhan Banu Marin
yang akhirnya menyebabkan kepimpinan di kawasan al-Maghrib al-Aqsa
dipegang oleh golongan lain pada tahun 1465M. Walau bagaimanapun,
sejarah telah mencatatkan bahawa kerajaan Banu Marin sebagai sebuah
kerajaan Islam di al-Maghrib yang turut menyumbang kepada
perkembangan tamadun Islam.

Kerajaan Banu Marin Sepintas Lalu


Banu Marin merupakan sebuah kerajaan Islam Barbar yang pernah wujud
dan berkuasa di al-Maghrib. Kerajaan yang berasal dari golongan Barbar
Zanatah ini muncul dalam tempoh dua setengah abad iaitu pada tahun
1215M hingga 1465M.
Menurut Ibn Khaldun (1968, 7:242-3), Banu Marin merupakan
cabang daripada golongan Barbar Zanatah dari kumpulan Bani Wasin.
Ini dapat diperhatikan pada nasabnya iaitu Banu Marin b. Wartajin b.

 212 
MOHAMAD ZULFAZDLEE ABUL HASSAN ASHARI & EZAD AZRAAI JAMSARI

Makhukh b. Judayj b. Fatin b. Yaddar b. Yakhfit b. ‘Abd Allah bin


Wartanbis bin al-Mu‘iz b. Ibrahim bin Sahik bin Wasin. Mereka
mempunyai hubungan kerabat dengan Bani Yalumi dan Madyunah. Ibn
al-Ahmar (1991: 17) pula menyatakan Banu Marin ini berketurunan
Zanatah yang berasal dari keturunan Arab Mudar. Selain itu, keturunan
Banu Marin ini turut dikatakan mempunyai kaitan dengan Khalifah ‘Ali
b. Abi Talib r.a. Hal ini dapat dilihat kepada nasab keturunan pengasas
Kerajaan Banu Marin iaitu ‘Abd al-Haqq b. Mahyu b. Abi Bakr b.
Hamamah b. Zayyan b. Muhammad b. Muhammad b. ‘Ali b. Tashfin b.
Yahya b. ‘Ali b. Ibrahim b. Isma‘il b. ‘Umar b. Amir al-Mu’minin al-
Hasan b. Amir al-Mu’minin ‘Ali b. Abi Talib.
Penglibatan Banu Marin dalam politik dikenal pasti bermula pada
tahun 1195M apabila turut membantu al-Muwahhidun dalam Perang
Alarcos di al-Andalus (Shatzmiller 1991, 6: 571). Penglibatan Banu
Marin lebih terserlah menjelang tahun 1213 hingga 1215 apabila mereka
bertindak menentang Kerajaan al-Muwahhidun. Banu Marin yang
diketuai oleh ‘Abd al-Haqq b. Mahyu ketika itu sering memerangi
kerajaan al-Muwahhidun. Kesannya, Kerajaan al-Muwahhidun semakin
lemah dan beberapa kawasan di al-Maghrib berjaya ditawan Banu Marin
antaranya Meknes pada tahun 1244M, Fez (1248M) dan Sijilmasa
(1255M). Penentangan Banu Marin terhadap al-Muwahhidun akhirnya
berjaya apabila mereka berjaya menawan ibu kota Kerajaan al-
Muwahhidun, Marrakesh pada tahun 1269M (Shatzmiller 1991, 6: 571).
Penaklukan tersebut telah melenyapkan kekuasaan al-Muwahhidun sekali
gus menjadikan Banu Marin sebagai kuasa pemerintah yang baru di al-
Maghrib.
Banu Marin mempunyai 26 orang sultan dan susur galur
pemerintahnya berasal dari satu keturunan. Kewibawaan dan kehebatan
pemikiran pemerintah-pemerintahnya telah menjadikan Banu Marin
sebagai sebuah kerajaan yang kuat di Afrika Utara walaupun terdapat
saingan daripada kerajaan Banu Zayyan yang berpusat di Tilimsan dan
Banu Hafs di Tunis. Proses pemantapan dan pengukuhan terus berjalan
sehingga Banu Marin mencapai era kegemilangannya ketika di bawah
pemerintahan Sultan Abu al-Hasan ‘Ali (1331-1351M). Pemerintahannya
menyaksikan kehebatan Banu Marin dalam pelbagai bidang termasuk
politik, ekonomi dan sosial. Ketika zamannya, Banu Marin berjaya
menguasai sebahagian kawasan di al-Andalus apabila berjaya membantu
Kerajaan Nasriyyah menghadapi ancaman serangan tentera Islam dari
Utara Semenanjung Iberia. Selain itu, Banu Marin turut melebarkan
pengaruhnya ke atas Banu Zayyan dan Banu Hafs apabila menduduki

 213 
SEJARAH PENGGUNAAN MATA WANG DINAR ERA MARINI

Tilimsan pada tahun 1337M dan Tunis pada tahun 1347M (Shatzmiller
1991, 6: 572). Perkembangan ekonomi, sosial dan intelektual turut
berlaku dengan pesat ketika era Marini. Aktiviti kesenian dan seni bina
begitu rancak di al-Maghrib apabila banyak masjid, madrasah dan al-
zawaya didirikan (Harakat 1984, 2: 130-140).
Banu Marin mula merosot setelah kematian pemerintah Sultan Abu
‘Inan Faris (1348-1358M). Walau bagaimanapun, Kerajaan Banu Marin
mampu bertahan dalam tempoh seratus tahun sehingga kejatuhannya
pada tahun 1465M. Pelbagai konflik dalaman dan luaran antaranya
seperti pertikaian dan perselisihan dalam pentadbiran, perebutan jawatan,
ancaman luar terutama dari tentera Kristian Portugis dan Castille menjadi
faktor kemerosotan Banu Marin. Akhirnya, kekuasaan Banu Marin
lenyap dari bumi al-Maghrib dan kekuasaannya diganti oleh Banu Wattas
yang berkhidmat sebagai wazir kepada Kerajaan Banu Marin sebelumnya
(Garcia-Arenal 1978: 43). Namun demikian, Kerajaan Banu Marin tetap
dikenang antara kerajaan Islam yang hebat pernah berkuasa di al-
Maghrib. Sumbangannya yang hebat dalam perkembangan tamadun
Islam turut menjadi maklumat penting dalam karya-karya sejarah dan
tamadun Islam. Malah, Afrika Utara ini pernah melahirkan ramai tokoh-
tokoh ilmuwan Islam ketika era pemerintahan Banu Marin antaranya Ibn
Battutah, Ibn Marzuq dan Ibn Khaldun.

Dinar Kerajaan Banu Marin


Setiap kerajaan Islam yang muncul pada abad pertengahan menggunakan
mata wang dinar dalam segala urusan yang melibatkan transaksi. Perkara
ini turut berlaku ketika era pemerintahan Banu Marin di al-Maghrib.
Kerajaan ini turut menempa dinarnya sendiri sebagai instrumen dalam
menjalankan urusan seperti muamalat, perbelanjaan dan bayaran gaji.
Perkataan dinar berasal daripada denarius dalam bahasa Greek dan
kemungkinan juga dalam bahasa Parsi yang diambil daripada bahasa
Aramic dan bermaksud unit mata wang emas atau perak yang digunakan
oleh orang Rom. Daripada bahasa Greek atau Parsi, perkataan ini
memasuki bahasa Arab dan disebut sebagai dinar.
Setelah pemerintahan Islam wujud di Madinah, masyarakat Arab
khususnya di Makkah dan Madinah terus mengguna pakai mata wang
emas Byzantin dan mata wang perak Sasan dalam urusan seharian.
Ketika itu, mata wang emas Byzantin dianggap sebagai dinar manakala
mata wang perak Sasan pula dianggap sebagai dirham. Ketika zaman
Rasulullah (s.a.w.), dinar dan dirham diangkat menjadi mata wang rasmi

 214 
MOHAMAD ZULFAZDLEE ABUL HASSAN ASHARI & EZAD AZRAAI JAMSARI

dalam setiap urus niaga ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi


memudahkan urus niaga. Pada era Khulafa’ al-Rashidin, masyarakat
Arab masih menggunakan dinar yang sedia ada pada zaman Rasulullah
(s.a.w.). Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perubahan kepada dinar
khususnya dari sudut ukiran perkataan. Ketika ini, perkataan-perkataan
yang berunsurkan tauhid seperti ‫ اﻟﺤﻤﺪ اﷲ‬, ‫ ﺑﺴﻢ اﷲ رﺑ ﻲ‬, ‫ﻻإﻟ ﮫ إﻻ اﷲ‬, ‫ﻣﺤﻤ ﺪ رﺳ ﻮل‬
‫ اﷲ‬dan ‫ اﷲ أﻛﺒ ﺮ‬. Namun demikian, Khalifah ‘Umar b. al-Khattab (r.a.)
telah memperkenalkan satu standard untuk dinar. Beliau telah
menetapkan standard berat bagi dinar emas iaitu 7 dinar mesti bersamaan
dengan 10 dirham.
Dinar telah mencapai satu tahap kemuncak penyeragamannya pada
zaman pemerintahan Khalifah ‘Abd al-Malik b. Marwan (646-705M),
khalifah Banu Umayyah yang kelima. Beliau telah menyeragamkan
bentuk dan penggunaan dinar dan mewajibkannya diguna pakai di
seluruh wilayah Islam dari kawasan India hingga al-Maghrib dan al-
Andalus. Beliau turut memerintahkan seluruh rakyat untuk menyerahkan
syiling lama mereka untuk ditempa semula kepada dinar berbentuk baru.
Sekiranya terdapat sesiapa yang ingkar, maka individu tersebut akan
dihukum mati. Bentuk dinar yang baru ini disifatkan sebagai satu
revolusi kepada bentuk dinar yang sedia ada. Khalifah ‘Abd al-Malik
telah memerintahkan agar gambar raja, lambang binatang dan salib
dibuang dan dihiasi dengan ayat-ayat suci. Selain itu, tahun pengeluaran
dinar turut ditempa pada permukaan dinar ketika itu iaitu 74H. Berat
dinar turut dikawal standard iaitu pada kadar 4.25 gram (Vadillo t.th.:
87).
Dinar di al-Maghrib ketika era Banu Marin mempunyai timbangan
berat yang sama dengan dinar era Muwahhidun. Dinar Banu Marin
berbentuk bulat dan bersamaan dengan 15 dirham. Dinar Banu Marin ini
digunakan secara meluas di seluruh al-Maghrib dan dikenali dengan
pelbagai nama seperti al-Dubal di Haskurah, al-Sakudu di Fas, al-Duka
di Tansifat, al-Dirham di Fas dan al-Hundus di Fas dan Suways (al-Saih
1986: 264-5).
Dinar emas Banu Marin mempunyai kualiti yang tinggi dan
menuruti cara Muwahhidun dalam menempa wang dinarnya. Dinar
ketika ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu Dinar Dhahabi dan Dinar
Fiddi. Dinar Dhahabi mempunyai berat 4.57 gram dan tertera tulisan
Arab berbentuk khat Nasakh dan Kufi. Manakala Dinar Fiddi atau ‘Ashri
mempunyai berat 2.26 gram dan kadarnya sama dengan nilai 10 dirham
(Shatzmiller 1991, 6:573). Justeru, Dinar Dhahabi boleh disifatkan

 215 
SEJARAH PENGGUNAAN MATA WANG DINAR ERA MARINI

sebagai dinar emas manakala Dinar Fiddi pula dianggap sebagai dirham
kerana diperbuat daripada perak.
Walaupun kebanyakan dinar Banu Marin berbentuk bulat, terdapat
juga dinar yang berbentuk empat segi dan bujur. Dinar emas Marini ini
bersamaan dengan kadar 4.56 gram atau 69 dirham yang kecil. Ketika
zaman pemerintahan Sultan Abu ‘Inan Faris (1351-1358M), satu dinar
emas ditempa menyamai kadar timbangan 100 dinar emas lama (Harakat
1984; 2: 122). Walaupun terdapat perbezaan kadar berat dinar antara
Harakat (1984) dan Shatzmiller (1991), namun perbezaan tersebut dalam
jumlah yang kecil iaitu 0.01 gram dan tidak sama sekali menidakkan
fakta bahawa Kerajaan Banu Marin telah menempa dinarnya sendiri
untuk kegunaan seharian.
Dinar emas Banu Marin tertera tulisan Arab yang memuji Allah dan
nama-nama sultan yang memerintah. Antara contoh tulisan yang dipahat
atas kedua-dua permukaan dinar ialah seperti(Harakat 1984; 2: 121):

‫ﺑﺴﻢ اﷲ اﻟﺮﺣﻤﻦ اﻟﺮﺣﯿﻢ ﺻﻠﻰ اﷲ ﻋﻠﻰ ﺳﯿﺪﻧﺎ ﻣﺤﻤﺪ وآﻟﮫ وﺳﻠﻢ‬


‫اﻟﺤﻤﺪ ﷲ‬
‫واﻟﻤﻨﺔ ﷲ‬
‫وﻻ ﻗﻮة إﻻ ﺑﺎﷲ‬

Pada permukaan lain, tertera ayat seperti berikut:

‫ﺿﺮب ﺑﻤﺪﯾﻨﺔ ﻓﺎس ﺣﺮﺳﮭﺎ اﷲ ﺑﻤﻨﺔ ﻋﻦ أﻣﺮ‬


‫ﻋﺒﺪ اﷲ ﻋﺜﻤﺎن‬
‫أﯾﺪه اﷲ‬

Nama sultan Banu Marin yang dimaksudkan dalam tulisan yang di


atas ialah Sultan ‘Uthman b. ‘Abd al-Haqq (614H/1217M-638H/1239M)
dan dinar tersebut ditempa di Fas.
Selain itu, terdapat contoh tulisan Arab yang ditempa atas
permukaan dinar Banu Marin yang berbentuk empat segi seperti dinar
yang ditempa di Sijilmasah ketika zaman pemerintahan Sultan Abu Sa‘id
‘Uthman (710H/1310M-731H/1331M). Tulisan Arab yang ditempa
adalah seperti berikut (Harakat 1484; 2: 121-2):

‫واﻟﮭﻜﻢ إﻟﮫ واﺣﺪ ﻻ إﻟﮫ إﻻ ھﻮ اﻟﺮﺣﻤﻦ اﻟﺮﺣﯿﻢ‬


‫ﺑﺴﻢ اﷲ اﻟﺮﺣﻤﻦ اﻟﺮﺣﯿﻢ‬
‫ﺻﻠﻰ اﷲ ﻋﻠﻰ ﻣﺤﻤﺪ وآﻟﮫ‬
‫اﻟﺤﻤﺪاﷲ وﺣﺪه‬

 216 
MOHAMAD ZULFAZDLEE ABUL HASSAN ASHARI & EZAD AZRAAI JAMSARI

‫ﻻ إﻟﮫ إﻻ اﷲ‬
‫ﻣﺤﻤﺪ رﺳﻮل اﷲ‬

Pada permukaan lain, tertera tulisan seperti berikut:

‫ﺿﺮب ﺑﻤﺪﯾﻨﺔ ﺳﺠﻠﻤﺎﺳﺔ‬


‫ﻋﻦ أﻣﺮ ﻋﺒﺪ اﷲ‬
‫أﺑﻲ ﺳﻌﯿﺪ ﻋﺜﻤﺎن‬
‫أﯾﺪه اﻟﻠﻮ وﻧﺼﺮه‬

Penempaan Dinar
Ketika pemerintahan Kerajaan Banu Marin, banyak pusat-pusat
penempaan wang syiling kerajaan termasuk dinar dibina. Antaranya
seperti Fas, Miknas, Sabtah, Marrakesh, Sijilmasah, Zumur dan Tilimsan
(Harakat 1984; 2: 120-1). Menurut Shatzmiller (1991; 6: 573) pula, pusat
penempaan wang syiling turut wujud di bandar-bandar yang dikuasai
oleh Banu Marin seperti Tilimsan, Algiers, Bougie, Tunis dan Tarifa.
Pusat penempaan ini dikenali sebagai Dar al-Sikkah. Industri penempaan
dinar ini turut mendapat perhatian sepenuhnya daripada pemerintah.
Perkara ini terbukti apabila Dar al-Sikkah di Fas al-Jadidah (Fas Baru)
dibina berdekatan dengan istana sultan ketika pemerintahan Sultan Abu
Yusuf Ya‘qub al-Mansur b. ‘Abd al-Haqq (656H/1258M-685H/1286M).
Justeru, sultan akan melantik beberapa orang menjadi Nazir al-Dar untuk
menyelia dan memantau perjalanan proses penempaan wang syiling
Kerajaan Banu Marin termasuk dinar (Harakat 1984; 2: 122). Individu
pertama dilantik memegang jawatan tersebut ialah ‘Ali b. Muhammad al-
Kumi al-Madinuni, yang memegang jawatan ini selama 50 tahun dari
tahun 1275M (al-Hariri 1987: 297).
Fas ketika era Marini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat
pentadbiran dan pemerintahan. Malah, kota ini turut berperanan sebagai
pusat perniagaan, perdagangan, kewangan dan industri (Le Tourneau
1961: 83). Pelbagai industri yang berkembang pesat di Fas antaranya
industri makanan, pakaian, ternakan dan pertukangan. Justeru,
perkembangan pelbagai industri ini turut menggalakkan penempaan
wang dinar untuk dijadikan sebagai instrumen melancarkan segala
transaksi di Fas.
Dinar Banu Marin ini ditempa daripada emas yang diimport
daripada Sudan (al-Hariri 1987: 297). Sudan menjadi pusat perniagaan
bahan galian emas kerana kawasan ini mempunyai emas yang banyak.

 217 
SEJARAH PENGGUNAAN MATA WANG DINAR ERA MARINI

Ibn Battutah, seorang pengembara Islam terkenal, telah dihantar oleh


Sultan Abu ‘Inan Faris (1351-1358M) ke Sudan untuk meninjau
kawasan-kawasan ini (Bovill 1958: 92). Perkara ini membuktikan
perdagangan emas berlaku antara Sudan dengan al-Maghrib dan emas
yang diimport ini kebanyakan digunakan untuk penempaan mata wang
dinar. Selain itu, emas turut diperoleh di dalam wilayah al-Maghrib
sendiri misalnya di Pergunungan Taza.

Penggunaan Dinar Marini


Dinar merupakan instrumen penting dalam penjanaan ekonomi dan
transaksi kewangan negara. Malah, Ibn Khaldun yang pernah menjadi
pegawai pentadbir Kerajaan Banu Marin menyifatkan dinar amat berguna
dalam kalangan manusia dan ditentukan kadarnya dengan penentuan
kadar yang sahih dan tepat (al-Hariri 1987: 297).
Dinar Banu Marin digunakan secara meluas dalam pelbagai aspek
dan bidang. Antaranya untuk pembayaran cukai kerajaan, pembayaran
gaji pegawai dan pekerja, transaksi perdagangan serta menampung
perbelanjaan pembangunan negara.

Pembayaran Cukai Kerajaan

Kerajaan Banu Marin memperoleh pendapatan ekonomi daripada sumber


yang pelbagai, iaitu seperti zakat, al-kharaj, al-jizyah, al-ghanimah dan
cukai-cukai lain. Namun demikian, sumber-sumber ini tidak tetap
sepanjang pemerintahan sultan-sultan Banu Marin kerana sebilangan
sultan lebih cenderung untuk menerima sumber kewangan daripada yang
diperintah oleh syarak dan tidak mementingkan sumber kewangan yang
tidak diperintah syarak seperti cukai kastam. Malah, ada sebilangan
sultan yang menghapuskan sebahagian cukai yang tidak disyariatkan
seperti mana yang dilakukan oleh Sultan Abu Ya‘qub Yusuf dan Sultan
Abu Sa‘id ‘Uthman yang membuat peraturan cukai yang terhad pada
kutipan zakat daripada orang Islam dan al-jizyah daripada ahl al-
dhimmah. Selain itu, terdapat sultan yang mengurangkan cukai yang
wajib dibayar seperti mana yang dilakukan ketika pemerintahan Sultan
Abu al-Hasan ‘Ali (al-Hariri 1987: 280).
Sumber-sumber kewangan Kerajaan Banu Marin ialah seperti
berikut (al-Hariri 1987: 280-3):
i. Zakat
ii. al-Kharaj

 218 
MOHAMAD ZULFAZDLEE ABUL HASSAN ASHARI & EZAD AZRAAI JAMSARI

iii. al-Jizyah
iv. al-Ghanimah
v. Cukai-cukai lain
Zakat merupakan sumber ekonomi yang penting untuk Kerajaan
Banu Marin dan pelaksanaannya juga dituntut oleh syarak. Zakat dikutip
berdasarkan kepada kadar yang telah ditentukan. Namun demikian, pada
zaman Sultan Abu Ya‘qub Yusuf, rakyat dibenarkan untuk membayar
zakat fitrah secara bebas kadarnya dan pihak kerajaan akan
mengumpulkan wang zakat tersebut dan memantau agar pengagihan dan
pembahagian dilakukan dengan tepat kepada sasarannya. Para
pemerintah Marini menggunakan khidmat ahli fuqaha untuk memantau
kutipan dan agihan zakat dilaksanakan dengan adil. Antara faqih yang
terlibat ialah Abu ‘Abd Allah al-Qashtali, yang dilantik oleh Sultan Abu
al-Hasan ‘Ali (al-Hariri 1987: 280).
Cukai al-kharaj ini merupakan cukai yang diambil daripada hasil
tanah yang diusahakan rakyat (al-Salih 1990: 359). Cukai tanah ini
merupakan cukai yang penting kepada perbendaharaan Kerajaan Banu
Marin. Namun demikian, cukai hasil bumi ini pada zaman Marini tidak
dianggap sebagai al-Kharaj seperti mana digunakan pada zaman al-
Muwahhidun di kawasan al-Maghrib. Kerajaan Banu Marin lebih
cenderung menggunakan cukai ushr kerana tanah-tanah di kawasan
tersebut banyak diusahakan oleh majoriti orang Islam. Disebabkan itu,
pada zaman Marini, perkataan al-Kharaj tidak diguna pakai dan
digantikan dengan ushr. Malah, cukai ini dikenali sebagai ‘Ashar al-Rum
(al-Hariri 1987: 280).
Cukai ushr dikenakan sebanyak 10% dari hasil tanah kepada
pengusaha tanah yang menggunakan sistem pengairan semula jadi
manakala separuh daripada 10% untuk pengusaha tanah yang
menggunakan perbelanjaan untuk membina parit, terusan dan kincir
angin sebagai sistem pengairan di tanah yang diusahakan. Walau
bagaimanapun cukai ‘Ashar al-Rum, antara sumber pendapatan Kerajaan
Banu Marin, turut diambil daripada harta dan hasil daripada tanah yang
diusahakan ahl al-Harb dan ahl al-dhimmah yang tinggal di kota-kota
dalam wilayah Banu Marin. Cukai yang dikumpulkan daripada sumber
ini dibelanjakan untuk pembangunan infrastruktur seperti pembaikan
masjid-masjid (al-Hariri 1987: 281).
Cukai al-Jizyah merupakan antara sumber pendapatan penting untuk
perbendaharaan Kerajaan Banu Marin. Cukai ini wajib dikenakan kepada
ahl al-dhimmah yang bernaung di bawah pemerintahan Kerajaan Banu
Marin. Golongan ahl al-dhimmah membayar cukai ini setiap tahun

 219 
SEJARAH PENGGUNAAN MATA WANG DINAR ERA MARINI

sebagai balasan kepada jaminan keamanan dan keselamatan yang mereka


peroleh daripada penguasa dan pemerintah kerajaan Islam (al-Sa’ih 1986:
269). Cukai ini dikenakan kepada orang lelaki yang berakal dan merdeka
tetapi tidak dikenakan kepada perempuan, kanak-kanak, orang yang gila,
hamba, orang miskin, orang kurang upaya dan orang tua yang lemah
sehingga tidak mampu bekerja. Pemerintah Banu Marin menggunakan
peruntukan dari sumber ini untuk pembinaan dan pembaikan semula
masjid-masjid, pembinaan hospital, rawatan pesakit, bantuan orang
miskin dan pembayaran gaji. Kadar yang dikenakan kepada individu
ialah sebanyak 2 dinar (al-Hariri 1987: 281).
Kerajaan Banu Marin telah memperkenalkan pelbagai cukai sebagai
sumber perolehan perbendaharaan negara. Namun demikian, cukai-cukai
yang diperkenalkan tidak tetap sepanjang masa dan sentiasa berubah
mengikut dasar atau polisi setiap sultan yang memerintah. Terdapat
sebilangan sultan-sultan Banu Marin yang memperkenalkan cukai baru,
menaikkan atau menurunkan kadar cukai dan menghapuskan cukai yang
membebankan atau tidak disyariatkan. Misalnya pada awal pemerintahan
Sultan Abu Ya‘qub Yusuf, beliau telah memperkenalkan cukai kediaman
yang dikenali sebagai cukai al-Inzal (al-Hariri 1987: 281).
Pada zaman Sultan Abu al-Hasan ‘Ali, cukai-cukai lain telah
diperkenalkan, antaranya seperti berikut:
1. al-Jumun (‫) اﻟﺠﻤ ﻮن‬: Cukai hasil tanaman seperti kurma yang
dikenakan kepada penduduk Sijilmisa.
2. al-Inzal (‫) اﻹﻧ ﺰال‬: Cukai yang dikenakan kepada penduduk yang
kaya. Cukai ini disifatkan seperti cukai pintu pada hari ini.
3. al-Fitrah (‫) اﻟﻔﻄﺮة‬: Diambil pada bulan Ramadan.
Cukai-cukai yang diperkenalkan ini merupakan sumber terbesar
untuk pendapatan Kerajaan Banu Marin. Cukai lain seperti cukai
perdagangan yang dikenali sebagai al-Qabalat dan dikenakan kepada
penjual barang-barang keperluan utama khususnya barang-barang import
seperti pakaian, makanan dan muatan kapal yang akan diperdagangkan di
al-Maghrib. Selain itu, terdapat juga cukai lain yang penting kepada
pendapatan Kerajaan Banu Marin seperti cukai barangan di pelabuhan.
Misalnya, cukai barang-barang import yang berjaya dipungut di
Pelabuhan Sabtah dalam lingkungan 500 hingga 700 dinar satu hari dan
kadang-kadang mencecah sehingga 2,000 dinar satu hari (al-Hariri 1987:
282).

 220 
MOHAMAD ZULFAZDLEE ABUL HASSAN ASHARI & EZAD AZRAAI JAMSARI

Pembayaran Gaji Pegawai

Diwan al-Kharaj dibentuk untuk menguruskan segala pendapatan dan


perbelanjaan kerajaan. Jabatan ini akan menyiapkan laporan kira-kira
untuk dibentangkan kepada sultan sebagai langkah mengesahkan laporan
pendapatan dan perbelanjaan negara (al-Hariri 1987: 277). Ibn Khaldun,
yang merupakan antara pegawai Kerajaan Banu Marin, mempunyai
pendapat tentang peranan Diwan al-Kharaj ini. Menurutnya, Diwan al-
Kharaj cukup penting kepada kerajaan kerana jabatan ini berfungsi
memungut cukai, menjaga hasil pendapatan dan perbelanjaan negara,
bancian dan pembahagian gaji askar-askar, merekodkan segala butiran
kira-kira negara dan melaksanakan draf undang-undang al-Kharaj
sebagai langkah pengawalan keluar masuk harta kerajaan. Rekod kira-
kira ini dibuat oleh orang yang mempunyai kemahiran dan kepakaran.
Berdasarkan pendapat Ibn Khaldun ini, peranan Diwan al-Kharaj amat
penting dalam urusan perbendaharaan Kerajaan Banu Marin.
Pada era Sultan Abu al-Hasan ‘Ali (1331-1351M), pegawai yang
mengetuai Diwan al-Kharaj ini dikenali sebagai Katib al-Jibayah wa al-
‘Asakir atau Sahib al-Ashghal, yang berfungsi memungut cukai dan
mengagihkan pemberian dan upah kepada tentera dan pegawai-pegawai
kerajaan lain (al-Hariri 1987: 278). Antara pegawai yang pernah
mengetuai jabatan ini ketika era pemerintahan Sultan Abu al-Hasan ‘Ali
ialah seperti ‘Amir b. Fath ‘Abd Allah Sidrati (Ibn al-Ahmar 1991: 36).
Fungsi jabatan ini yang lebih terarah kepada pengurusan perbendaharaan
negara boleh disamakan dengan peranan Kementerian Kewangan di
Malaysia. Pada zaman Sultan Abu ‘Inan Faris (1348-1358M), Diwan al-
Kharaj ditukarkan nama kepada Diwan al-Jund wa al-Hisab.
Diwan al-Kharaj ini mempunyai beberapa orang pakar yang
mengawal dan menyelia segala urusan cukai masuk dan belanja keluar.
Namun demikian, terdapat sesetengah pemerintah Banu Marin melantik
seseorang individu yang penting untuk menjalankan tugas mengagihkan
gaji dan pemberian di kawasan-kawasan yang dianggap sensitif.
Misalnya, Sultan Abu al-Hasan ‘Ali telah melantik al-Khatib Ibn Marzuq
menjalankan tugas membahagikan gaji dan pemberian kepada
masyarakat Jabal al-Fath dan Ronda. Selain itu, Kerajaan Banu Marin
turut mewujudkan satu jawatan baru di Diwan al-Kharaj yang tidak
pernah ada pada zaman al-Murabitun dan al-Muwahhidun. Jawatan
tersebut dikenali sebagai Shuhada’ al-Bayt yang berfungsi untuk

 221 
SEJARAH PENGGUNAAN MATA WANG DINAR ERA MARINI

mengawasi hasil mahsul dan belanja keluar Bayt al-Mal mengikut garis
panduan yang telah ditetapkan (al-Hariri 1987: 278).
Diwan al-Kharaj turut berperanan dalam mengatur pemberian gaji
kepada individu-individu yang terlibat dalam sesetengah sektor pekerjaan
seperti tentera dan qadi. Misalnya pada era Sultan Abu al-Hasan ‘Ali,
tentera-tentera Banu Marin yang terlibat dalam pengepungan al-Jazirah
al-Khadra’ telah diberi gaji sebanyak 50,000 dinar emas setiap bulan.
Menurut al-Qalqashandi (t.th., 5: 198-9), gaji yang diberikan berbeza
mengikut pangkat dan kedudukan seseorang dalam pelbagai sektor.
Pegawai atasan menerima 10,000 mithqal emas setiap tahun manakala
pegawai bawahan menerima separuh daripada jumlah yang diterima oleh
pegawai atasan. Untuk pegawai-pegawai yang terlibat dalam ketenteraan,
gaji diberikan mengikut peringkat yang telah ditetapkan. Pegawai tentera
paling kanan kedudukannya di sisi sultan menerima 60 mithqal emas
setiap bulan, pegawai tentera yang berada di tahap kedua menerima 30
mithqal emas dan pegawai yang paling bawah menerima 6 mithqal emas
setiap bulan. Selain itu, gaji untuk qadi al-Qudat pula ialah satu mithqal
emas setiap hari dan dikurniakan tanah untuk bercucuk tanam. Untuk
Katib al-Sirr, gaji diberikan sebanyak 2 mithqal emas setiap hari dan
dikurniakan dua kawasan yang subur (al-Hariri 1987: 279).

Instrumen Perdagangan

Dinar turut digunakan sebagai alat untuk menjalankan transaksi


perdagangan di wilayah al-Maghrib. Perdagangan di al-Maghrib ketika
era Marini dapat dibahagikan kepada dua iaitu perdagangan domestik dan
antarabangsa. Justeru, dinar sebagai mata wang rasmi menjadi instrumen
penting agar kegiatan perdagangan ini berjalan lancar.
Aktiviti perdagangan merupakan sumber terpenting perbendaharaan
Kerajaan Banu Marin. Aktiviti ini sentiasa diberikan perhatian oleh
kerajaan agar ia sentiasa bergerak pesat sekali gus menjana pertumbuhan
ekonomi di al-Maghrib. Selain itu, aktiviti ini turut menyumbang cukai
yang lumayan kepada kerajaan sebagai perbelanjaan pembangunan
negara. Kota-kota di al-Maghrib seperti Fas, Marrakesh, Tilimsan dan
Sabtah menjadi laluan perdagangan dan menjadi tumpuan para pedagang
untuk menjalankan urusan. Perdagangan ketika era Marini boleh
dibahagikan kepada dua iaitu perdagangan domestik dan perdagangan
antarabangsa (al-Hariri 1987: 293).
Perdagangan domestik berkembang pesat dalam wilayah kekuasaan
Banu Marin. Pasar-pasar wujud di setiap kota dan dijadikan sebagai pusat

 222 
MOHAMAD ZULFAZDLEE ABUL HASSAN ASHARI & EZAD AZRAAI JAMSARI

penjualan hasil pengeluaran industri. Masjid turut dijadikan tempat atau


medan perniagaan barang-barangan. Kawasan di sekeliling masjid
dipenuhi gerai-gerai untuk menjual barang-barang kepada masyarakat
khususnya untuk kegunaan para jemaah yang hadir ke masjid. Antara
barang-barang yang dijual di sekitar masjid seperti lilin, minyak wangi
dan buku. Kerancakan aktiviti ini telah menyebabkan pertumbuhan
kompleks-kompleks niaga di kota-kota untuk dijadikan medan jualan
pelbagai barangan seperti pelita, pakaian, hasil kraf tangan kayu dan
kertas. Misalnya di kota Fas, terdapat kompleks niaga yang dikhaskan
sebagai pusat jualan pakaian dan dikenali sebagai al-Qisariyyah. Selain
itu, kedai-kedai makan turut dibina di kota-kota untuk memenuhi
keperluan rakyat, pedagang dan musafir bagi mendapatkan bekalan
makanan seperti roti, bijirin, daging kisar, manisan dan buah-buahan.
Pemerintah Banu Marin turut memberi perhatian kepada pembinaan
hotel-hotel khususnya di ibu kota, Fas sebagai lokasi persinggahan
musafir dan pedagang yang datang dari luar al-Maghrib. Antara hotel
terkenal ketika itu ialah Funduq al-Shama‘in, yang kerap dijadikan
tempat persinggahan khususnya orang-orang kenamaan (al-Hariri 1987:
293).
Perdagangan antarabangsa turut berkembang pesat di kawasan al-
Maghrib ketika era Marini. Perkara ini disebabkan Kerajaan Banu Marin
menguasai sebahagian kawasan Laut Mediterranean dan Lautan Atlantik
sekali gus membolehkan pelabuhan-pelabuhan dibina di kawasan pantai
al-Maghrib untuk dijadikan pusat laluan perdagangan antarabangsa.
Selain itu, kedudukan al-Maghrib yang terletak di tengah-tengah laluan
perdagangan antara kawasan Afrika Barat dan Tengah seperti Mali dan
Sudan serta Eropah seperti al-Andalus, Perancis, Rom dan Sicily turut
menjadi faktor perkembangan perdagangan di al-Maghrib. Misalnya,
pedagang-pedagang khususnya dari kawasan al-Maghrib akan membawa
barang dagangan seperti emas dan gam ke Eropah melalui pelabuhan di
al-Maghrib (al-Hariri 1987: 294). Oleh itu, Kerajaan Banu Marin amat
mementingkan pertumbuhan perdagangan antarabangsa kerana aktiviti
ini banyak mendatangkan hasil cukai yang lumayan.
Antara pelabuhan-pelabuhan yang terkenal ketika era Marini seperti
Sabtah dan Tangier. Pelabuhan-pelabuhan ini menjadi pusat
pengumpulan barang dagangan seperti kain sutera, kain kapas, kain bulu,
hasil tenunan, alat-alat tajam, batu marmar dan pakaian. Hasil tenunan
seperti pakaian bulu dan kulit menjadi produk penting di Eropah dan
dikenali sebagai Merinos di kalangan orang Eropah.

 223 
SEJARAH PENGGUNAAN MATA WANG DINAR ERA MARINI

Selain jalan perdagangan laut, laluan darat turut menjadi jalan


perhubungan perdagangan antarabangsa di kawasan al-Maghrib. Kafilah-
kafilah haji dari al-Maghrib menjadi penghubung utama hubungan
perdagangan antara al-Maghrib dengan dunia Arab di sebelah Timur
seperti Mesir dan Hijaz (al-Hariri 1987: 295). Peluang perniagaan ini
digunakan sepenuhnya oleh kafilah-kafilah haji untuk memperdagangkan
barangan yang dibawa dari al-Maghrib seperti pakaian dan barang
perhiasan ke tempat-tempat persinggahan seperti al-Qayrawan, Tarablus,
Barqah, al-Iskandariyyah, al-Qahirah sebelum tiba di Makkah.
Pemborong di wilayah Banu Marin lebih banyak terlibat dalam
urusan perdagangan antarabangsa kerana saling berhubung dengan
pedagang luar khususnya pedagang Eropah yang menetap di Malilah,
Paris dan Sabtah untuk mendapatkan produk-produk luar yang akan
dijual kepada kafilah-kafilah haji. Pemborong-pemborong turut
mendapatkan produk dari luar untuk kegunaan domestik dengan menjual
produk-produk harian yang diperoleh kepada peruncit. Golongan
peruncit lebih tertumpu dalam urusan perdagangan domestik kerana
barang-barang jualan mereka merupakan barang kegunaan masyarakat.
Golongan ini boleh dibahagikan kepada dua kelompok iaitu kelompok
pertama ialah peruncit yang mendapat keuntungan lumayan dan kaya
manakala kelompok kedua ialah peruncit yang mendapat keuntungan
yang sederhana dan tidak terlalu kaya. Kelompok pertama ini terlibat
dalam jualan pakaian seperti baju dan kasut di pusat-pusat niaga di kota-
kota besar. Kelompok kedua pula menjual barangan keperluan harian
seperti makanan (al-Hariri 1987: 295). Namun demikian, aktiviti
perdagangan ini sentiasa berkembang kerana kebanyakan barang-barang
dagangan merupakan barang kegunaan harian masyarakat.

Kesimpulan

Seperti kerajaan-kerajaan Islam yang lain, Kerajaan Banu Marin turut


menempa wang dinarnya sendiri sebagai instrumen kepada segala
transaksi ekonomi dan kewangan yang berjalan di wilayah al-Maghrib
al-Aqsa. Dinar Marini yang banyak dipengaruhi oleh dinar Muwahhidun
dijadikan mata wang rasmi dan penempaannya sentiasa mendapat
perhatian dan penyeliaan daripada sultan. Dinar turut ditempa sebagai
lambang menunjukkan kekuasaan seseorang sultan. Hal ini dapat
disaksikan apabila nama sultan yang memerintah turut diukir pada
permukaan dinar.

 224 
MOHAMAD ZULFAZDLEE ABUL HASSAN ASHARI & EZAD AZRAAI JAMSARI

Dinar Marini digunakan dalam pelbagai aspek transaksi kewangan


seperti bayaran cukai, gaji pegawai dan perdagangan. Berdasarkan
pengalaman Kerajaan Banu Marin ini, tidak mustahil sekiranya umat
Islam pada hari ini khususnya di Malaysia mengguna pakai wang dinar
dalam transaksi kewangan. Apa yang penting usaha bersungguh-sungguh
dan sokongan kuat daripada kerajaan dan pihak berkaitan dapat
menjadikan impian penggunaan dinar pada masa sekarang menjadi
kenyataan.

Rujukan
Abu Yusuf, Ya‘qub b. Ibrahim. t.th. Kitab al-kharaj. Bayrut: Dar al-Ma‘rifat li al-
Tiba‘at wa al-Nashr.
Abun-Nasr, Jamil M. 1975. A history of the Maghrib. Cambridge: Cambridge
University Press.
Abun-Nasr, Jamil M. 1993. A history of the Maghrib in the Islamic period.
Cambridge: Cambridge University Press.
Bovill, E.W. 1958. The golden trade of the Moors. London: Oxford University Press.
al-Fasi, ‘Ali b. Abi Zar‘. 1972. al-Dhakhirat al-saniyyah fi tarikh al-Dawlah al-
Mariniyyah. al-Ribat: Dar al-Mansur li al-Tiba'ah wa al-Waraqat.
Garcia-Arenal, Mercedes. 1978. The revolution of Fas in 869/1465 and the death of
Sultan ‘Abd al-Haqq al-Marini. Bulletin of the School of Oriental and African
Studies University of London. 41: 43-66.
Harakat, Ibrahim. 1984. al-Maghrib ‘ibr al-tarikh. Jil. 1 & 2 Dar al-Bayda’: Dar al-
Rashad al-Hadithah.
al-Hariri, Muhammad ‘Isa. 1987. Tarikh al-Maghrib al-Islam wa al-Al-Andalus fi al-
‘asr al-Marini. Kuwait: Dar al-Qalam li al-Nashr wa al-Tawzi‘.
Ibn al-Ahmar, Isma‘il. 1991. Rawdat al-Nisrin fi dawlat Bani Marin. Tahqiq. Ibn
Mansur, ‘Abd al-Wahhab. al-Ribat: al-Matba‘at al-Malkiyyah.
Ibn Khaldun, ‘Abd al-Rahman. 1968. Kitab al-‘ibar wa diwan al-mubtada wa al-khabar
fi ayyam al-‘arab wa al-‘ajam wa al-barbar wa min ‘asarihim man dhawa al-
sultan al-akbar. Jil. 7. Bayrut: Dar al-Kitab al-Lubnani.
Le Tourneau, Roger. 1961. Fez in the age of the Marinids. Norman: University of
Oklahoma Press.
Mohyeddin Mohd Amin. 2002. Sejarah pemerintahan dan sumbangan Kerajaan Banu
Marin di al-Maghrib al-Aqsa. Projek Ilmiah. Jabatan Pengajian Arab dan
Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Osman Khalid. 1996. Pengurusan di zaman Rasulullah dan khulafa’ al-Rashidin. Dlm.
Abd. Halim el-Muhammady. Pengurusan dalam Islam. Bangi: Persatuan Bekas
Mahasiswa Islam Timur Tengah.
Pennell, C.R. 2003. Morocco: From empire to independence. Oxford: Oneworld
Publications.
al-Qalqashandi, Ahmad b. ‘Ali. t.th. Subh al-‘asha fi sina‘at al-insha’. Jil. 5. Bayrut:
Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
al-Ra’is, Muhammad Diya’ al-Din. 1969. al-Kharaj wa al-nuzm al-maliyyah li al-
dawlah al-Islamiyyah. al-Qahirah: Dar al-Maa’rif.

 225 
SEJARAH PENGGUNAAN MATA WANG DINAR ERA MARINI

al-Sa‘ih, al-Hassan. 1986. al-Hadarah al-Islamiyyah fi al-Maghrib. Dar al-Bayda’: Dar


al-Thaqafah.
al-Salawi, Abu al-‘Abbas Ahmad b. Khalid. 1954. Kitab istiqsa li akhbar duwal al-
Maghrib al-’Aqsa. Jil. 3-4. Tahqiq. al-Nasiri, Ja‘far & al-Nasiri Muhammad. Dar
al-Bayda’: Dar al-Kitab.
al-Salih, Subhi. 1990. al-Nuzm al-Islamiyyah. Bayrut: Dar al-‘Ilm li al-Malayin.
Shatzmiller, Maya. 1991. Marinids. Dlm. The encyclopaedia of Islam. hlm. 571-575. Jil.
6. Leiden: E.J Brill.
Shatzmiller, Maya. 2000. The Berbers and the Islamic state: The Marinid experience in
pre-protectorate Morocco. Princeton: Markus Wiener Publishers.
Shatzmiller, Maya. 2009. Marinid Fez: Global order and the quest for empire. In
Conference The City of Fez in the world history. Fez: Al-Akhawayn University.
Vadilo, ‘Umar Ibrahim. t.th. The return of the Islamic gold dinar: A study of money in
Islamic law & the architecture of the gold economy. Cape Town: Madinah Press.

 226 

You might also like