You are on page 1of 11

TUGASAN 2: PENULISAN LAPORAN

1.0 PENGENALAN

Sungai adalah sumber utama bekalan air minum di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi.
Namun ia mengalami banyak tekanan akibat pencemaran yang kebanyakannya dilakukan
oleh manusia secara langsung atau tidak langsung.

Dalam era 60-an, isu utama pencemaran adalah industri berasaskan pertanian
seperti kilang getah dan kelapa sawit, sehingga ada peraturan dibuat bagi membendung
masalah tersebut. Pada era industri sekitar 90-an, kilang-kilang pembuatan dan
pemprosesan pula menjadi punca utama pencemaran.

Dengan penguatkuasaan efluen kilang, pada satu ketika mutu air sungai di Malaysia
telah bertambah baik dari kelas III ke kelas II. Hanya 11 sungai dikategorikan sebagai
tercemar pada 2007. Namun kebelakangan ini, analisis pihak berkuasa mendapati hampir
22 sungai yang digunakan untuk bekalan air minum telah tercemar, satu peningkatan yang
agak drastik dalam masa 10 tahun. Antara sebab kemerosotan kualiti itu adalah kandungan
oksigen terlarut yang amat rendah. Ini disebabkan oleh bahan kimia atau organisme yang
menggunakan oksigen tersebut.

Oleh itu, bagi memastikan sungai-sungai di Malaysia terhindar daripada berlakunya


pencemaran yang disebabkan oleh bahan-bahan kimia, kita sebagai rakyat yang prihatin
perlu mengambil tindakan yang berterusan agar sungai atau sumber air utama kita sentiasa
berada dalam kualiti yang baik bagi meneruskan kehidupan seharian. Susulan daripada
kejadian tersebut, satu laporan tentang kes pencemaran sungai iaitu kajian tentang Sungai
Kim Kim di mana salah satu kes terbesar yang telah berlaku di negara kita mengenai
pencemaran air akan dikaji dan dilaporkan dalam tugasan ini.

1
2.0 LAPORAN ISU PENCEMARAN SUMBER AIR (PENCEMARAN SUNGAI KIM KIM)

Pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim 2019 ialah kejadian pencemaran air yang
berlaku pada 7 Mac 2019 yang berpunca daripada pembuangan sisa kimia di Sungai Kim
Kim di Pasir Gudang, Johor, Malaysia. Pembuangan haram itu mengeluarkan asap toksik
yang menjejaskan 6,000 orang dan 2,775 orang menerima rawatan. Kebanyakkan mangsa
yang terlibat ialah pelajar sekolah. Didapati 110 buah sekolah ditutup di sepanjang sungai.

Insiden tersebut bermula pada 7 Mac 2019 selepas beberapa pelajar dan pekerja
kantin dari dua buah sekolah berhampiran sungai mula jatuh sakit dan mengadu kesukaran
untuk bernafas. Kedua-dua sekolah itu diperintahkan untuk ditutup dan semua mangsa
dihantar ke Hospital Sultan Ismail sementara siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa
kesihatan negeri atas sebab yang berlaku. Dua puluh satu orang ditempatkan di hospital
dengan beberapa orang dimasukkan ke unit kecemasan dan unit rawatan rapi (ICU).
Beberapa pelajar yang dibawa ke hospital telah pengsan dan terdapatnya gejala seperti
muntah manakala mereka yang tidak terjejas teruk diberi rawatan pesakit luar dan
dibenarkan pulang. Semasa pulih, beberapa mangsa yang terkena penyakit serius
berkongsi pengalaman mereka dimana didapati mereka merasa sakit secara tiba-tiba
selepas menghirup bau yang tidak menyenangkan di persekitaran sekolah mereka. Bilangan
mangsa yang dimasukkan ke hospital disebabkan oleh asap beracun meningkat kepada 76
kes pada hari berikutnya dan pada 9 Mac, lima laporan polis telah dibuat mengenai isu itu
dan polis mula membuat siasatan terhadap kes tersebut.

2.1 KRONOLOGI PENCEMARAN SUNGAI KIM-KIM

8 Mac 2019 :

Jumlah mangsa yang dirawat ialah seramai 39 orang.

9 Mac 2019 :

Jumlah mangsa yang mendapatkan rawatan meningkat seramai 40 orang


menjadikan jumlah keseluruhan kepada 79 orang pada hari tersebut.

10 Mac 2019 :

Penduduk Kampung Bukit Pulai, Pasir Putih mendakwa pencemaran di Sungai Kim
Kim masih belum pulih sepenuhnya walaupun pembersihan sudah dilakukan. Selain itu,
guru-guru SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih menjalankan aktiviti gotong-royong bagi
membersihkan sekolah susulan kejadian pencemaran udara akibat pembuangan sisa kimia

2
di Sungai Kim Kim. Jumlah mangsa akibat insiden ini semakin meningkat iaitu kepada 82
orang.

11 Mac 2019 :

Tiga individu iaitu seorang pekerja dan dua pemilik kilang telah ditahan kerana
disyaki membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim. Sekolah-sekolah telah dibuka pada
pukul 7 pagi dan proses pembelajaran berjalan dengan baik seperti biasa. Menjelang 11.30
pagi, insiden gelombang kedua telah berlaku apabila kedua-dua pengurusan sekolah
melaporkan kes murid pening kepala. Pihak sekolah telah mengarahkan sekolah
dikosongkan kerana disyaki akibat pembuangan sisa kimia dan pelajar-pelajar sekolah
terbabit dibenarkan pulang. Pada jam 11 malam, seramai 29 orang telah dihantar ke Klinik
Kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut rentetan pencemaran udara manakala 77
lagi dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru. Maka, jumlah keseluruhan
mangsa yang mendapat rawatan meningkat kepada 260 orang.

12 Mac 2019 :

Dua buah sekolah iaitu SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort
dalam daerah Pasir Gudang diarah ditutup apabila 50 pelajar dari SMK Tanjung Puteri
Resort dan lima murid SK Tanjung Puteri Resort mengalami simptom-simptom akibat terhidu
bahan kimia. Kemudiannya, sebanyak 13 sekolah di sekitar Pasir Gudang diarah tutup
namun belum dimaklumkan tarikh pembukaannya. Sekolah-sekolah yang ditutup ialah
Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir
Putih; SK Tanjung Puteri Resort; SMK Tanjung Puteri Resort; SK Pasir Putih; SK Kota
Masai 2; SMK Kota Masai 2; SK Kota Masai 3; SMK Kota Masai; SK Kota Masai; SK Perigi
Acheh; Sekolah Agama Kampung Pasir Putih; dan Sekolah Agama Taman Pasir Putih.
Keseluruhannya, 306 orang jumlah yang telah dirawat pada hari Selasa,12 Mac.

13 Mac 2019 :

Sebanyak 111 buah sekolah di daerah Pasir Gudang telah diarah untuk ditutup.
Tambahan pula, sejumlah 947 orang telah dirawat dengan 9 orang daripadanya dimasukkan
ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI dan 166 orang telah dirawat di wad HSI.

Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah


meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk
menjalankan kerja-kerja pembersihan, disumbangkan kepada mangsa dan keluarga serta
kakitangan keselamatan yang terlibat dengan bahaya pencemaran itu. Pada hari tersebut
juga didapati tiga orang termasuk dua pemilik kilang ditahan.

3
14 Mac 2019 :

Sehingga 12 tengah hari, seramai 2,775 orang awam telah menerima rawatan dan
tujuh daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Didapati juga 92 buah tadika dan
taska di kawasan yang terjejas juga ditutup bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa.

Bukan itu sahaja, sebanyak 51 laporan polis diterima berhubung kes pencemaran
akibat daripada bahan kimia tersebut.

Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan


berjumlah RM1 juta bagi melancarkan lagi operasi menyelamat, merawat serta mencegah
pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.

Keputusan analisis ke atas sampel yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)
dari Sungai Kim Kim menunjukkan sisa kimia yang terdapat dalam Sungai Kim Kim
mengandungi pelarut organik benzena, toluena, xilena, etil benzena dan D-Limonene.

Manakala, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan


Iklim mendapatkan bantuan daripada tentera dan Petronas untuk menghantar sumber
mereka dari segi kemudahan jentera, alat dan pakar untuk membantu menangani krisis itu.

Namun, didapati juga sebilangan penduduk di Pasir Gudang mula mengambil inisiatif
meninggalkan kediaman mereka buat sementara.

Dewan Rakyat membahaskan usul tergempar isu pencemaran bahan kimia di Pasir
Gudang pada 4.30 petang.

Pasukan Tinjau Biologi Kimia, Radiologi dan Nuklear (CBRN) dan Pasukan Unit
Pemindahan Mangsa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan ke kawasan terjejas
untuk mengesan, mengenalpasti dan menyahkan sisa kimia itu.

20 Mac 2019 :

Sungai Kim Kim diisytihar bebas daripada pencemaran sisa kimia.

24 Mac 2019 :

Tiga suspek kes pembuangan bahan kimia beracun di Sungai Kim Kim, Pasir
Gudang 7 Mac dihadapkan di Mahkamah Seksyen Johor Bahru.

4
26 Mac 2019 :

Mahkamah Tinggi Johor Bahru membenarkan jaminan terhadap pemandu lori dan
seorang pengarah syarikat dikurangkan kepada RM30,000 dan RM150,000 bagi pertuduhan
membuang dan bersubahat melupuskan bahan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir
Gudang.

28 Mac 2019 :

Kesemua mangsa kes pembuangan sisa toksik Sungai Kim Kim yang dimasukkan ke
hospital akibat menghidu asap toksik telah dibenarkan keluar dari hospital.

6 April 2019 :

Seramai 120 mangsa pembuangan bahan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir
Gudang membuat laporan polis di balai polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam pada jam
4 petang bagi menuntut ganti rugi.

2.2 KESAN DAN IMPAK

Secara keseluruhan, kesannya seramai 2,775 orang awam telah menerima rawatan
di hospital sususlan insiden pembuangan sisa toksik tersebut.

111 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang telah diarahkan ditutup akibat gas metana
yang semakin merebak. Pembuangan sisa bahan kimia itu telah menyebabkan
pembelajaran serta tahap kesihatan murid-murid dan penduduk setempat terjejas.

Sehingga jam 4 petang 15 Mac, kawasan seluas 680 meter daripada 1.5 kilometer
paling tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan. Kerja-kerja pembersihan dijalankan
selama 24 jam oleh tiga kontraktor dilantik membabitkan 90 pekerja bermula 13 Mac.

Penduduk berhampiran Sungai Kim Kim menganggap sungai itu sudah lama ‘mati’
berikutan pencemaran berlaku lebih 10 tahun di sungai itu, sejak 2009.

Pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim bagaimanapun, tidak menjejaskan


keyakinan pelancong untuk ke Johor. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
Wanita dan Pelancongan negeri Liow Cai Tung, pihaknya tidak mendapat sebarang aduan
mengenai kebimbangan pelancong untuk datang ke Johor ekoran pencemaran di sungai itu.

5
2.3 TINDAKAN

Antara tindakan-tindakan yang dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah


pencemaran Sungai Kim Kim ialah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah
mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa tersebut yang
bertujuan menyelaras dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.

Selain itu, kerajaan negeri Johor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 6.4 juta
(AS$1,565,184) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk
meningkatkan proses pembersihan Sungai Kim Kim yang akan dilakukan dengan segera di
sepanjang 1.5 kilometer (0.93 mi).

Manakala, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah melantik kontraktor


yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan kerja-kerja pembersihan
pembuangan minyak di Sungai Kim Kim.

Kemudian, dua pemilik syarikat dan seorang pekerja yang berusia antara 40 hingga
50 tahun telah ditangkap kerana disyaki menjadi dalang kepada pembuangan sisa kimia di
Sungai Kim Kim. Namun demikian, perbicaraan terhadap suspek yang sepatutnya
dijalankan pada 14 Mac telah ditangguhkan kerana kertas siasatan belum siap dilengkapkan
bagi mendakwa tertuduh.

Kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim telah dilakukan sejauh 500 meter selama
24 jam sehari dengan pekerja pembersihan melebihi 20 orang bagi membersihkan sungai
daripada sisa toksik. Sebanyak 150 tan metrik air sungai dan 300 tan metrik tanah
bercampur sisa kimia dari Sungai Kim Kim telah dilupuskan. Kesemua sisa kimia bertoksik
itu dihantar ke kilang pelupusan berlesen.

Polis meminta bantuan Interpol bagi menjejaki seorang warga Singapura berhubung
insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. Lelaki dalam
lingkungan berusia 30-an itu dikenal pasti sebagai pemilik kilang memproses tayar terpakai
yang dikatakan terlibat dalam insiden itu. Sementara itu, seorang pengarah bukan eksekutif
sebuah kilang pemprosesan tayar terpakai juga didakwa di Mahkamah Seksyen Johor
Bahru, atas pertuduhan bersuhabat dengan tiga lagi individu untuk melupuskan buangan
terjadual ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

6
2.4 RESPONS PIHAK BERKUASA KESIHATAN DAN KERAJAAN

Sultan Ibrahim Ismail Johor mendesak tindakan segera perlu diambil terhadap
pelaku yang terlibat dalam pencemaran alam sekitar yang membahayakan nyawa orang
awam sambil menyatakan penghargaannya kepada pasukan perubatan yang telah bekerja
dengan gigih untuk merawat mangsa yang terjejas di hospital. Sultan telah menjanjikan
sejumlah RM1 juta untuk membantu agensi penyelamat dan pihak berkuasa mengumpul
peralatan dan peralatan yang diperlukan untuk menyelesaikan perkara itu dan juga
menyatakan pandangannya bahawa insiden itu menunjukkan perlunya sebuah hospital
kerajaan dibina di Pasir Gudang.

Akhir sekali, Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang diiringi oleh Timbalan
Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail yang melawat mangsa pencemaran di hospital di
Johor Bahru pada 14 Mac berkata keadaan itu "terkawal" di mana penduduk tidak perlu
dipindahkan dari kawasan itu sambil memberitahu terdapat kemungkinan bahawa Akta
Kualiti Alam Sekitar negara 1974 perlu dikaji semula berdasarkan pencemaran yang serius.
Kerajaan persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8 juta untuk kerja
pembersihan sungai dan telah mengarahkan pelbagai agensi termasuk polis, tentera dan
pasukan Hazmat untuk menyokong keadaan di kawasan yang terjejas.

7
3.0 KAEDAH PENYELESAIAN MASALAH PENCEMARAN SUMBER AIR

Sungai merupakan nadi kehidupan semua benda hidup termasuk manusia, haiwan
dan hidupan lainnya. Sungai memberikan sumber air bersih kepada kita untuk
menyempurnakan kegiatan asas harian kita untuk minuman, memasak makanan dan mandi.
Sejak zaman dahulu sungai menjadi jalan perhubungan dan pengangkutan dari satu
destinasi ke destinasi lain. Malahan sungai juga memberi sumber makanan yang kaya
dengan protin kepada manusia. Namun begitu, selaras dengan peralihan zaman, masalah
pencemaran air semakin menjadi-jadi. Pencemaran yang berlaku telah memberikan
implikasi yang buruk kepada manusia dan hidupan lain, terutamanya hidupan akuatik.
Sejurusnya, kita perlu mengadakan langkah pengawalan kebersihan sungai mulai dari
sekarang.

Langkah primer ialah kerajaan perlu mengadakan Kempen Cintai Sungai. Kempen
Cintai Sungai telah dimulakan sejak tahun 1993 yang dianjurkan oleh Jabatan Pengairan
dan Saliran. Kempen ini menumpukan kepada aktiviti-aktiviti gotong-royong membersihkan
sungai. Selain dapat merapatkan hubungan antara masyarakat, aktiviti gotong-royong juga
dapat menyemai sikap menyintai sungai kita dalam kalangan masyarakat setempat. Selain
membersihkan sungai, aktiviti ini turut membabitkan kerja-kerja pengindahan sungai seperti
penyediaan kemudahan rehat di sungai-sungai berkenaan. Antara sungai-sungai yang
terlibat termasuklah Sungai Muar dan Sungai Batu Pahat. Aktiviti ini seharusnya diadakan
secara berkala sepanjang tahun dan melibatkan pelbagai kategori dimana setiap kategori
akan dipertandingkan bagi memupuk minat masyarakat setempat ke arah menyintai sungai.
Antara kategori tersebut ialah Kategori Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung, Kategori Sekolah dan Kategori Perlancongan. Selain itu, kempen ini
dipelbagaikan dengan aktiviti ceramah-ceramah kesedaran di peringkat sekolah,
pertandingan mewarna, ekspedisi sungai, gotong-royong dan sebagainya. Jelaslah melalui
Kempen Cintai Sungai bukan sahaja dapat mendidik tetapi juga mendewasakan masyarakat
tetang kepentingan sungai dalam kehidupan.

Seterusnya, pihak kerajaan perlu mengadakan undang-undang melarang


pembuangan sampah-sarap domenstik ke dalam sungai. Menurut Akta Kualiti Alam
Sekeliling 1974, sampah ditakrifkan sebagai semua bahan buangan sama ada dalam bentuk
pepejal, cecair atau dalam bentuk gas yang dilepaskan, dikeluarkan atau diletakkan dalam
alam sekeliling yang akan menyebabkan pencemaran. Sampah domestik boleh dibahagikan
kepada tiga bahagian utama iaitu organik, inorganik dan sampah sarap yang bersaiz besar.
Sebagai contohnya, sampah jenis organik seperti plastik dan kertas. Sampah inorganik pula
terdiri daripada kaca, tin alumunium, dan contoh sarap yang bersaiz besar ialah barangan

8
perabot dan sampah tanaman. Pelepasan sampah ke dalam sungai akan menjejaskan
penembusan sinaran matahari dan kadar kandungan oksigen yang terlarut dalam air. Alga
dan lelumut yang menjadi sumber makanan hidupan akuatik juga akan terjejas. Akibatnya
kelangsungan rantaian makanan hidupan sungai musnah. Kedegilan masyarakat
membuang sampah merata-rata perlu dikenakan hukuman yang berat dan setimpal seperti
saman wang tunai dan hukuman penjara serta mengadakan khidmat sosial secara percuma
dalam tempoh yang telah ditetapkan. Justeru itu, cadangan mengadakan program mendidik
pesalah dengan mempelbagaikan kegunaan sampah dan pengurusan secara positif seperti
proses kitar semula dan membuat baja kompos sebagai satu langkah yang bijak.
Pelaksanaan undang-undang akan memastikan persekitaran sungai yang harmoni dapat
diwujudkan.

Selanjutnya, peranan pihak media massa juga ditagih dalam menangani isu
pencemaran sungai. Media massa ini termasuklah televisyen, radio, telefon pintar, komputer
dan surat khabar. Sejak dahulu lagi, semua masyarakat menyedari bahawa media massa
memainkan peranan penting dalam mempengaruhi, membentuk dan mengubah cara
pemikiran pembacanya. Apa sahaja ditayangkan dan dihebahkan akan menjadi ikutan
masyarakat. Telefon pintar melalui rangkaian internet adalah satu media elektronik yang
hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Sudah pasti info
mengenai keadaan sungai yang semakin tercemar serta langkah untuk menjaganya dapat
diakses dengan mudah. Sejurusnya, media massa kini perlulah lebih banyak memberi
maklumat tentang isu-isu pencemaran sungai diseluruh negara melalui slot-slot iklan dan
dalam siaran-siaran di televisyen dan media sosial seperti Facebook, Website, Twitter dan
sebagainya. Salah satu rancangan televisyen dikenali Program Aduan Rakyat TV3 menjadi
tatapan ramai. Hal ini disebabkan rancangan ini telah banyak membantu menyelesaikan
pelbagai polemik dalam Negara. Justeru itu, program ini perlu mengupas dan membuat
pendedahan tentang pencemaran sungai secara kerap. Hal ini disebabkan, penyelesaian
kepada segala masalah ini dapat diselesaikan secara tuntas apabila pihak pelaku, pemilik
tanah dan pihak berkuasa tempatan dilibatkan bersama. Jelaslah, media massa juga dapat
memainkan peranannya dalam memastikan sungai sentiasa bersih.

Sejurusnya, peranan pihak sekolah wajar terlibat sama dalam memupuk nilai-nilai
murni dalam penjagaan sungai. Anak murid sedari usia muda perlu diberi kesedaran tentang
kepentingan sungai bak kata pepatah melentur buluh biarlah ketika rebung. Poster-poster
yang menyentuh isu pencemaran sungai perlu digantung dan ditampal di sudut-sudut khas
dalam sekolah. Program 5 minit tentang sungai wajar diadakan. Pembelajaran berkenaan
topik sungai juga banyak disentuh dalam subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Islam,
Pendidikan Moral, Geografi dan Sejarah. Secara tidak langsung sungai telah menjadikan

9
alat pendidikan yang merentasi kurikulum untuk mengembangkan pemupukan nilai positif
terhadap sungai. Dalam pedagogi bahasa, pembelajaran dan pengajaran menggunakan
pendekatan Kajian Masa Depan membolehkan murid dengan bimbingan guru membuat
ekspedisi menjelajah sungai di kawasan tempat tinggal masing-masing. Khidmat Panitia
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan boleh diminta sebagai salah satu aktiviti Khidmat
Masyarakat. Sebagai contohnya, beberapa aktiviti yang sesuai boleh dilakukan seperti
melihat punca pencemaran, mengenalpasti komuniti, memungut sampah, menebas rumput
di pinggir dan membersihkan taman sekitar sungai. Hasil laporan beserta refleksi yang
disiapkan kemudiannya diberi markah dan sijil sebagai penghargaan kepada murid. Tidak
cukup dengan aktiviti di dalam dan luar sekolah, pihak sekolah boleh mengadakan ekspedisi
keluar negeri seperti melawat sungai yang paling tercemar dan sungai yang terurus dengan
baik seperti Sungai Gombak dan Sungai Melaka. Pelajar dapat membezakan kandungan
sampah terampai, saiz sungai, kedalaman sungai dan kepelbagaian aktiviti ekonomi di
sekitar tebing sungai. Jelaslah, sekolah dapat menyedarkan masyarakat tentang sungai
sejak dari usia muda.

Akhir sekali, ibu bapa juga memainkan peranan dalam mendidik anak-anak tentang
pemeliharaan sungai. Ibu bapa adalah orang yang paling dekat dengan anak-anak sejak
mereka dilahirkan. Ibu bapa adalah 'role model' kepada mereka ketika mereka belum
memasuki alam persekolahan. Masyarakat luar akan menilai tingkah laku anak-anak ini
umpama baik tingkah laku anak, baiklah tingkah laku induknya. Oleh itu, Ibu bapa perlulah
menunjuk dan melakukan pembuangan sampah di tempat yang betul di hadapan anak-anak
sejak usianya kecil lagi disamping menyuruh anak melakukan dengan arahan-arahan dan
panduan yang betul. Jika berada di luar rumah, sediakan bekas sampah atau jika tiada
bekas makanan seperti gula-gula pastikan anak-anak dipesan memasukkannya dalam poket
dan membuangnya bila terjumpa tong sampah.

10
3.0 RUJUKAN

Bernama. (2019). Kronologi Terkini Pencemaran Kimia Di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.
Retrieved on 8 Oktober 2019. From http://www.astroawani.com/berita-
malaysia/kronologi-terkini-pencemaran-kimia-di-sungai-kim-kim-pasir-gudang-
201186

Noor Atiqah Sulaiman (2019). Lebihan Bahan Toksik Sungai Kim Kim Dipercayai Punca
Pencemaran Baharu. Retrieved on 9 Oktober 2019. From
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/577523/lebihan-bahan-
toksik-sungai-kim-kim-dipercayai-punca-pencemaran

Wikipedia Ensiklopedia Bebas. (2019). Pencemaran Sisa Kimia Sungai Kim Kim 2019.
Retrieve on 8 Oktober 2019. From
https://ms.wikipedia.org/wiki/Pencemaran_sisa_kimia_Sungai_Kim_Kim_2019http
s://ms.wikipedia.org/wiki/Pencemaran_sisa_kimia_Sungai_Kim_Kim_2019

11

You might also like