You are on page 1of 17

PPPG1243: FALSAFAH TASYRI’

TAJUK:
SEJARAH KEDATANGAN KAUM CINA DAN INDIA DI MALAYSIA DAN
KEDUDUKANNYA MENURUT PERLEMBAGAAN DAN SYARAK

DISEDIAKAN OLEH:
MUHAMMAD THAUFIQ NAIM BIN ISMAYATIM (A163338)
MUHAMMAD ‘IZZUDDIN BIN ROSLI (A163430)

DISEDIAKAN UNTUK:
ENCIK MUHAMMAD NAZIR BIN ALIAS

FAKULTI PENGAJIAN ISLAM


TAHUN: SESI 2019/2020
ISI KANDUNGAN MUKA SURAT

1.0 Pengenalan 1

2.0 Sejarah Kedatangan Kaum Cina dan India 2

3.0 Faktor Kedatangan Kaum Cina dan India 5

4.0 Kesan Kedatangan Kaum Cina dan India 7

5.0 Kedudukan Kaum Cina dan India menurut


Perlembagaan Persekutuan 8

6.0 Kedudukan Kaum Cina dan India menurut Syarak 11

7.0 Kesimpulan 13

Rujukan 14
1

1.0 PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang pernah dijajah oleh beberapa kuasa besar sebelum
mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Sebelum memasuki abad ke 19, hampir kesemua
penduduk asal di Tanah Melayu dan kepulauan Borneo adalah terdiri daripada kaum Melayu,
orang Asli, dan bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja. Pada masa kini, negara ini telah menjadi
negara yang mempunyai kepelbagaian dalam pelbagai aspek seperti masyarakat dan budaya.
Hal berikut merupakan salah satu daripada kesan penjajahan ke atas Tanah Melayu oleh pihak
penjajah.

Penjajahan yang telah berlaku terhadap Tanah Melayu antaranya adalah disebabkan
oleh kekayaan negara ini dalam pengeluaran hasil bumi seperti bijih timah, lada hitam, gambir,
emas, dan sebagainya. Bagi melaksanakan proses merampas hasil bumi di Tanah Melayu pada
ketika itu, pihak penjajah telah memasukkan imigran daripada kalangan kaum Cina dan India
secara besar besaran sehinggakan mereka kini telah menjadi sejumlah besar daripada rakyat di
negara ini.

Sebagai contoh, kaum Cina telah dimasukkan bagi mengusahakan kawasan


perlombongan dan kaum India dimasukkan bagi mengusahakan kawasan ladang getah. Strategi
yang telah diguna pakai oleh pihak penjajah adalah amat pintar kerana mereka tahu para
penduduk asal tidak akan bekerja untuk memberikan hasil bumi sendiri kepada pihak penjajah.
Tuan tanah iaitu penduduk asal negara ini boleh juga dikatakan telah mengalami kerugian
disebabkan oleh hasil bumi yang telah dihabiskan oleh pihak penjajah namun tindakan tersebut
juga telah mendatangkan kesan positif terhadap perkembangan ekonomi di negara ini.

Dalam pada itu, kebanyakan kaum Cina yang menduduki Tanah Melayu adalah berasal
daripada selatan China terutamanya daripada wilayah Kwangtung dan Fukien. Manakala bagi
kaum India pula, kebanyakan daripada mereka adalah berasal daripada selatan dan utara india
iaitu daripada wilayah Madras dan Punjab.

Terdapat pelbagai kesan baik dan buruk yang telah menimpa negara ini akibat daripada
kemasukan imigran daripada kaum Cina dan India yang boleh dilihat sehingga ke hari ini.
Namun, apa yang perlu difokuskan ialah bagaimana keamanan negara ini akan terus dicapai
sehingga ke tahap yang lebih baik dari masa ke semasa selain dari kemajuan penjanaan dari
sudut ekonomi.
2

2.0 SEJARAH KEDATANGAN KAUM CINA DAN INDIA DI MALAYSIA


2.1 Sejarah Kedatangan Kaum Cina
Menurut sejarah, kaum Cina telah lama bertapak di Tanah Melayu disebabkan oleh faktor
perdagangan dan sebahagian kecil telah menetap disini sejak daripada zaman Kesultanan
Melaka lagi. Pada ketika itu juga, dikatakan terdapat penduduk penduduk daripada kaum Cina
yang telah menetap di negeri-negeri Melayu di sebelah timur. Seterusnya pada abad ke-18 pula
ketika penjajahan belanda di Tanah Melayu, pihak belanda telah membawa masuk pelombong
pelombong Cina untuk mengerjakan lombong di negeri-negeri Melayu barat. Namun begitu,
para pelombong Cina ketika itu telah berhijrah daripada Tanah Melayu setelah berlaku
kekacauan politik yang kacau bilau yang telah memberi kesan buruk kepada perusahaan timah
lantas menyebabkan mereka berpindah ke tempat lain. Di dalam kertas kerja ini, sejarah
kedatangan kaum Cina dan India di negara ini akan difokuskan pada pertengahan abad ke-19
iaitu pada zaman penjajahan British.

Pada ketika itu, terdapat beberapa kawasan perlombongan telah dibuka seperti di Larut,
Klang, dan Sungai Ujung yang memerlukan tenaga buruh lalu diambil buruh asing daripada
kaum Cina oleh pihak British bagi mengusahakan kawasan perlombongan tersebut. Kaum Cina
juga telah memasuki Tanah Melayu bagi membuka ladang lada hitam dan gambir selain
daripada bekerja di kawasan perlombongan. Kaum Cina telah memasuki Tanah Melayu pada
ketika itu melalui beberapa sistem iaitu sistem Kangcu, sistem tiket kredit, sistem pengambilan
kaki tangan, dan kemasukan secara berkumpulan. Sistem Kangcu ialah perpindahan orang-
orang Cina ke Johor daripada Singapura bagi membuka ladang-ladang dibawah pengawasan
seorang Kangcu iaitu ketua bagi puak-puak kaum Cina. Setiap Kangcu tersebut
bertanggungjawab untuk mengawal, membayar sewa, dan menyelesaikan setiap masalah buruh
Cina yang berada dibawah pengawasannya. Sistem Kangcu ini telah membawa masuk seramai
15000 orang daripada kaum Cina pada ketika itu. (Ruslan Zainuddin 2014).

Seterusnya ialah sistem tiket kredit. Sistem ini merupakan sebuah sistem kemasukan
yang sistematik dan teratur. Melalui sistem ini, kemasukan buruh Cina adalah melalui agensi-
agensi kerja yang bertanggungjawab mengatur hal ehwal migrasi buruh Cina ke Tanah Melayu.
Setiap daripada pendatang tersebut perlu membayar cas kepada agensi tersebut dan
kebiasaannya mereka akan berhutang terlebih dahulu dan membayar kemudian disebabkan oleh
faktor kekurangan dan ketiadaan wang.
3

Sistem pengambilan kakitangan pula ialah sistem di mana majikan yang memerlukan
buruh akan menghantar orangnya ke negara China untuk mendapatkan pekerja untuknya. Setiap
daripada perbelanjaan akan ditanggung oleh majikan dan orang yang dipertanggungjawabkan
mestilah membawa balik buruh atau pekerja yang telah dicari sehingga sampai kepada pihak
majikan. Kebanyakan buruh-buruh yang diambil adalah merupakan kenalan orang yang
dipertanggungjawabkan itu ataupun berasal daripada tempat yang sama. Seterusnya ialah
kemasukan secara berkumpulan. Terdapat juga kaum Cina yang telah memasuki Tanah Melayu
secara beramai-ramai dan berkumpulan dengan menaiki sebuah kapal pada ketika itu.

2.2 Sejarah Kedatangan Kaum India

Sejarah kedatangan kaum India ke Tanah Melayu dapat dibahagikan kepada beberapa
peringkat. Peringkat pertama ialah pada sekitar awal tahun masihi iaitu ketika hubungan antara
negeri Kedah dan negeri India adalah sangat erat. Pada masa itu, kebanyakan pendatang
daripada kaum India yang datang ke Tanah Melayu merupakan para pedagang dan penukang
yang beragama Buddha dan Jainisme. Menurut sejarah, mereka mula bertapak di beberapa
kawasan pelabuhan seperti di Sungai Bujang, Sungai Merbok, dan Kuala Muda. Pada abad ke
6 dan ke 7, pengaruh agama Hindu mula muncul di kawasan tersebut dan sehingga kini masih
terdapat beberapa kesan peninggalan pengaruh agama tersebut di beberapa kawasan seperti di
Bukit Choras dan Bukit Mertajam. Dalam pada itu, sejak abad pertama lagi orang India telah
memasuki Tanah Melayu sebagai pedagang dan mereka mengelar Tanah Melayu sebagai
Suvarnabumi atau Tanah Emas (Hairi Abdullah 1989).

Setelah itu, pada abad ke-13 dan 14, kegiatan pedagang-pedangan awal daripada India
ketika itu telah mengalami kemerosotan dan peranan mereka telah diambil oleh pedagang-
pedagang yang beragama Islam daripada Bengal, Golconda, Coromandel, dan Gujerat. Proses
tersebut berlaku semasa agama Islam telah tersebar dengan sangat pesat di Nusantara (Khoo
Kay Kim 1971).

Pada abad ke 19 pula, muncul peringkat dimana proses kemasukan kaum India ke Tanah
Melayu pada 1820 an secara beramai ramai ketika pembukaan Pulau Pinang dan Singapura.
British telah membawa masuk banduan-banduan dan buruh-buruh daripada kaum India untuk
membina jalan raya dan bangunan-bangunan awam di negeri-negeri selat setelah penubuhan
Negeri-Negeri Selat pada tahun 1826. Kebanyakan daripada kaum India yang datang ke Tanah
Melayu ini adalah berasal daripada bahagian selatan India dan utara India. Kemasukan kaum
tersebut ke Tanah Melayu secara beramai-ramai pula adalah disebabkan oleh perluasan bidang
4

pertanian dan tanaman yang menyebabkan perkembangan kaum tersebut telah meningkat
secara mendadak pada abad ke 19 dan terus meningkat hingga pada abad ke 20.

Bagi kemasukan kaum India di tanah Melayu, terdapat beberapa sistem yang telah
diguna pakai iaitu sistem buruh kontrak, sistem Kangani, dan sistem buruh bebas. Sistem buruh
kontrak ialah sistem dimana pemilik sebuah ladang getah akan berhubung dengan ejen di India
yang bertanggungjawab mencari buruh-buruh daripada negara tersebut. Seterusnya ejen
tersebut akan mengumpulkan buruh-buruh tersebut dan menyerahkan kepada majikannya dan
mereka haruslah patuh kepada kontrak yang telah dipersetujui. Kebiasaannya mereka perlu
bekerja dalam tempoh lima tahun dan dibayar dengan gaji yang rendah. Dalam pada itu, mereka
juga akan dipaksa untuk bekerja sehingga 10 jam sehari dan 6 hari seminggu oleh majikan
mereka (Ruslan et.al, 2010). Namun,terdapat beberapa sebab yang menyebabkan mereka lebih
memilih untuk bekerja di sini berbanding di tanah asal mereka.

Seterusnya ialah sistem kangani. Sistem ini ialah sistem dimana seorang Kangani yang
mempunyai majikan akan pulang ke negeri mereka untuk mengumpulkan dan mencari buruh-
buruh yang sanggup datang bekerja di Tanah Melayu (Ruslan et.al, 2010). Kangani membawa
maksud ketua ataupun mereka yang bertanggungjawab memastikan buruh berada dalam
keadaan yang baik dan memuaskan. Melalui sistem ini, terdapat juga penindasan yang berlaku
terhadap para buruh dimana para Kangani telah pecah amanah dalam memberikan gaji yang
telah diperoleh daripada majikan kepada buruh-buruh yang telah melakukan kerja-kerja
mereka. (Jayzlee, 2017).

Akhir sekali, terdapat juga sebahagian buruh-buruh India yang datang ke Tanah Melayu
secara persendirian dan mencari majikan sendiri setibanya mereka ke Tanah Melayu atau
dikenali sebagai sistem buruh bebas. Mereka akan datang sendiri ke Tanah Melayu
menggunakan perbelanjaan sendiri atas beberapa faktor. Namun, jumlah mereka tidaklah
terlalu ramai disebabkan oleh faktor kemiskinan kebanyakan rakyat daripada negara India.
Kedatangan mereka ke Tanah Melayu kebanyakannya adalah untuk melepaskan diri daripada
kemiskinan diri dan keluarga agar masalah seperti kebuluran dan kemiskinan yang melampau
dapat dihindari dan ditangani. Dalam pada itu, tidak semua imigran India yang bermigrasi ke
Tanah Melayu bekerja di dalam sektor pertanian dan perladangan sahaja, terdapat juga kaum
mereka yang diambil menjadi kerani di dalam perkhidmatan kerajaan serta menceburi bidang
professional (Ruslan Zainuddin 2010).
5

3.0 FAKTOR KEDATANGAN KAUM CINA DAN INDIA

Faktor kedatangan kaum Cina dan India boleh dibahagikan kepada faktor penarik dan faktor
penolak. Terdapat beberapa faktor penarik dan penolak yang telah menyebabkan berlakunya
migrasi oleh kaum Cina dan India ke Tanah Melayu. Faktor penarik ialah faktor yang
menyebabkan kaum Cina dan India tertarik untuk datang bermigrasi ke Tanah Melayu
manakala faktor penolak pula merupakan faktor yang berpunca daripada tanah air mereka yang
menyebabkan mereka ingin keluar bermigrasi ke Tanah Melayu.

3.1 Faktor Kedatangan Kaum Cina

Faktor penarik utama yang telah menyebabkan berlakunya migrasi kaum Cina ke Tanah Melayu
ialah kerana pembukaan peluang untuk menjana ekonomi di Tanah Melayu. Faktor ini
merupakan faktor utama yang menyebabkan British membawa masuk sejumlah besar buruh
Cina melalui sistem-sistem seperti sistem Kangcu dan sistem tiket kredit. Negeri-negeri Selat
pada ketika itu telah menjadi pengkalan bagi kaum Cina untuk datang ke kawasan
perlombongan di negeri-negeri Melayu dan mereka bekerja di beberapa sektor seperti pertanian,
perniagaan, dan perladangan. Antara contoh ladang-ladang yang telah dibuka ialah ladang
gambir, lada hitam, dan juga tebu (Ruslan Zainuddin 2010). Melalui sistem Kangchu, orang
Cina telah diberi tanah untuk mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam. (Abu Talib
Ahmad 1974)

Selain itu, terdapat beberapa kemudahan yang telah disediakan oleh pihak British kepada
buruh buruh Cina termasuklah jaminan keselamatan kepada mereka. Dalam pada itu, pihak
British juga telah memperkenalkan undang-undang dan peraturan imigresen di Tanah Melayu
bagi kelancaran proses migrasi buruh daripada luar. Kesemua faktor tersebut telah
menyebabkan buruh-buruh daripada Cina telah tertarik untuk berhijrah ke Tanah Melayu pada
ketika itu.

Seterusnya ialah faktor penolak bagi kedatangan kaum Cina ke Tanah Melayu. Faktor
penolak yang utama ialah kerana keadaan ekonomi di negara mereka ketika itu adalah sangat
teruk. Sekitar zaman itu telah berlaku banjir besar di tanah air mereka yang menyebabkan
kehancuran terhadap sektor pertanian dan sekaligus menjana kemerosotan industri pertanian
mereka (Mohd Isa Othman 2002). Industri pertanian merupakan satu kegiatan utama penjanaan
ekonomi oleh majoriti rakyat negara mereka dan akibat daripada bencana tersebut, berlakunya
beberapa masalah seperti masalah kebuluran yang sangat berleluasa. Selain itu, jumlah rakyat
di negara itu juga adalah amat ramai sehinggakan peluang pekerjaan menjadi terhad. Oleh
6

kerana itu, sebahagian daripada mereka telah memilih untuk bermigrasi dan antaranya ialah ke
Tanah Melayu bagi menjana ekonomi kerana pada ketika itu terdapat peluang pekerjaan yang
luas di Tanah Melayu terutamanya dalam bidang perlombongan dan pertanian.

3.2 Faktor Kedatangan Kaum India

Bagi kedatangan kaum India ke Tanah Melayu, faktor penarik utama bagi kaum India
bermigrasi ke Tanah Melayu juga ialah disebabkan oleh faktor ekonomi. Di Tanah Melayu,
peluang ekonomi ketika itu terbuka dengan luas contohnya di dalam perusahaan industri getah.
Industri pertanian getah telah berkembang ketika itu kerana terdapat galakan daripada pihak
British dan wujud permintaan yang tinggi terhadap getah menyebabkan berlakunya migrasi
kaum India ke Tanah Melayu secara beramai-ramai untuk menjadi buruh di ladang-ladang
(Cheah Boon Kheng 1990). Selain itu, Revolusi Perindustrian di Eropah yang telah berlaku
ketika itu menyebabkan permintaan bekalan mentah yang banyak dan memerlukan tenaga
buruh yang ramai. Dalam pada itu, dikatakan kewujudan kaum India di ladang-ladang getah
adalah disebabkan oleh kaum Melayu yang tidak berminat untuk bekerja dalam industri
tersebut. Walaupun dibayar dengan gaji yang rendah, buruh-buruh daripada India masih
sanggup untuk bekerja di Tanah Melayu ketika itu kerana bagi mereka adalah lebih baik untuk
bekerja di Tanah Melayu berbanding negara asal mereka yang tidak mempunyai politik dan
ekonomi yang stabil.

Bagi faktor penolak pula, antara faktor utama ialah disebabkan masalah sosial dan
ekonomi di negara mereka. Seperti di negara China, bencana alam juga berlaku di sana malahan
dengan lebih kerap lagi seperti kemarau. Kemarau yang kerap kali berlaku di sana telah
menyebabkan industri pertanian dan tanaman di sana merosot. Hal ini telah menyebabkan
berlakunya peristiwa kebuluran masyarakat India pada pertengahan abad ke-19 di India (A.Aziz
Deraman 2003). Selain itu, negara asal mereka telah mempunyai jumlah penduduk yang terlalu
ramai. Jumlah rakyat negara mereka yang terlalu ramai menyebabkan peluang pekerjaan di sana
adalah amat terhad sekaligus menyebabkan mereka sukar untuk meneruskan kehidupan dengan
selesa. Pada tahun 1845, jumlah penduduk India berjumlah sekitar 131 juta dan pada 1941
jumlah tersebut telah meningkat kepada 390 juta.

Dalam pada itu, antara faktor lain yang menjadi faktor penolak ialah faktor penindasan
oleh tuan tanah di negara mereka sendiri. Di India, jumlah rakyat yang miskin dan tidak
mempunyai tanah sendiri adalah sangat ramai walaupun keluasan negara tersebut adalah sangat
besar. Penindasan oleh tuan tanah berlaku apabila cukai yang dikenakan oleh tuan tanah adalah
7

sangat tinggi sehinggakan mencapai 80% daripada hasil keuntungan tanaman mereka. Perkara
tersebut menyebabkan kebanyakan mereka keluar bermigrasi setelah melihat sinar peluang bagi
mereka di negara ini adalah lebih cerah kerana nasib mereka di negara ini adalah jauh lebih baik
berbanding di negara mereka.

4.0 KESAN KEDATANGAN KAUM CINA DAN INDIA KE TANAH MELAYU

Kedatangan imigran ke Tanah Melayu terutamanya daripada kaum Cina dan India pada masa
dahulu telah mendatangkan beberapa kesan terhadap negara ini terutamanya dari aspek sosial
dan ekonomi. Dari segi aspek ekonomi, proses migrasi kaum Cina dan India ke Tanah Melayu
telah menyebabkan kewujudan sistem ekonomi berteraskan industri buruh. Perkara tersebut
telah menimbulkan satu kelainan daripada adat asal masyarakat negara ini yang hanya
menumpukan perusahaan ekonomi sara diri sahaja seperti sektor pertanian dan perikanan yang
tidak memberi banyak sumbangan kepada ekonomi negara. Kesan daripada kehadiran imigran
Cina dan India ke Tanah Melayu ini telah menyebabkan ekonomi berkembang secara komersial
dan lebih pesat membangun. Sebagai contoh, tanaman getah telah dijalankan secara lebih giat
setelah kemasukan mereka dan pada tahun 1910, keluasan kawasan industri getah telah
mencapai setengah juta ekar dan telah meningkat dua kali ganda pada tahun 1914 (Ranjit Singh
Malhi,1985). Selain itu, Tanah Melayu juga pernah menjadi penjadi pengeluar bijih timah
terbesar di dunia selain daripada pernah menjadi pengeluar lada hitam dan gambir terbaik.
Ringkasnya, kemasukan imigran daripada China dan India oleh pihak British telah
menyebabkan hasil bumi yang sebelum ini dibiarkan sahaja terutamanya bijih timah
dimanfaatkan. Dalam pada itu, setelah kemasukan kaum Cina dan India, masyarakat Melayu
mula sedar akan risiko yang bakal ditimpa lalu mengatur langkah untuk mula bersaing dengan
mereka menerusi sektor ekonomi kerana takut hasil bumi akan habis dimanfaatkan oleh
golongan imigran. Kesemua perkara tersebut merupakan kesan positif yang telah diperoleh
daripada proses migrasi kaum Cina dan India ke Tanah Melayu oleh pihak British.

Dari aspek sosial pula, kemasukan kaum Cina dan India ke Tanah Melayu telah
mewujudkan daerah-daerah penempatan dan fungsi ekonomi mengikut kaum. Sehingga kini,
kebanyakan masyarakat Melayu telah mengambil tempat sebagai kaum petani dan menjalani
kehidupan di kampung kampung. Kaum Cina pula telah mengambil tempat sebagai kaum
peniaga dan menetap serta membangunkan bandar-bandar dan pekan-pekan yang ada.
Manakala kaum India pula telah mengambil tempat sebagai kaum peladang dan menetap di
8

ladang-ladang ataupun estet-estet. Perkara tersebut telah menyebabkan kesemua kaum tidak
bersatu walaupun dilihat dari pandangan positif iaitu kesemua kaum telah menjalankan tugasan
dan kerja masing-masing di tempat masing-masing. Sungguhpun begitu, kesemua masyarakat
tetap berpeluang untuk mempelajari dan mengenali tentang budaya masing-masing. Perkara
tersebut amat sukar untuk didapati di negara lain yang tidak mempunyai masyarakat majmuk
dan berbilang kaum seperti di negara ini. Selain itu, terdapat ilmu perubatan tradisional yang
dibawa oleh para imigran daripada negara asal mereka yang telah memberikan banyak manfaat
kepada penduduk di negara ini.

Seterusnya, terdapat juga beberapa kesan negatif lain yang berpunca daripada
kemasukan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu iaitu kewujudan kongsi gelap yang berasal
daripada tanah air mereka. Penubuhan serta kewujudan beberapa kongsi gelap telah
mendatangkan pelbagai masalah yang langsung tidak membawa kepada penyatuan kaum di
negara ini malahan pelbagai konflik telah ditimbulkan. Antaranya ialah sentimen perpaduan
yang kuat, perbezaan monopoli pekerjaan, pergaduhan, dan sebagainya yang dapat
mencetuskan suasana tidak aman dan genting (Mohd Isa Othman, 1999) Kesimpulannya,
terdapat pelbagai kesan positif dan negatif yang berpunca daripada kemasukan kaum Cina dan
India di Tanah Melayu. Bagi memastikan negara terus berada dalam keadaan yang aman dan
harmoni, semua masyarakat mestilah berlapang dada dan bersatu padu dalam membina
kesejahteraan negara ini.

5.0 KEDUUDKAN KAUM CINA DAN INDIA MENURUT PERLEMBAGAAN


PERSEKUTUAN

Kaum Cina dan India sememangnya mempunyai kedudukan mereka di negara kita sebagaimana
yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

5.1 Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Semua orang tidak kira rumpun, bangsa atau warna kulit dan keturunan atau pertuturannya yang
mendiami negara kita mendapat kedudukan dan hak yang sama rata di sisi undang-undang.
Perkara tersebut termaktub di dalam Perkara 8 (1) yang memperuntukkan semua orang adalah
sama rata di sisi unfang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi
undang-undang (Perlembagaan Persekutuan 2010) dan ini termasuklah kaum Cina dan India.
Perkara 8 (2) pula memperuntukkan kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh
9

Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan
agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam
pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau
dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan,
pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-
apa perdagangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan (Perlembagaan Persekutuan
2010).

5.2 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan

Kebebasan bercakap dan bersuara bagi warganegara Malaysia adalah dijamin di bawah Perkara
10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan (Apandi Ali 2016) yang memperuntukkan bahawa tiap-
tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara . Fasal (1)(b) dan (c) pula
memperuntukkan semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata
serta berhak untuk membuat persatuan (Perlembagaan Persekutuan 2010).

Namun begitu, perlu diingati bahawa kebebasan ini bukanlah suatu hak yang mutlak
(Apandi Ali 2016) dan ada batasnya. Perkara 10 (2) memperuntukkan Parlimen berkuasa untuk
mengenakan sekatan melalui undang-undang kepada kebebasan bercakap dan bersuara demi
memelihara kepentingan Persekutuan (Perlembagaan Persekutuan 2010). Kebebasan bersyarat
ini bukanlah suatu yang baharu. Suruhanjaya Reid melalui the Report of The Federation of
Malaya Constitutional Commission, atau lebih dikenali sebagai Laporan Suruhanjaya Reid,
turut mengakui kepentingan sekatan-sekatan tertentu terhadap kebebasan bercakap dan
bersuara demi menjamin ketenteraman awam semasa peruntukan ini dibincangkan di peringkat
penggubalannya pada tahun 1957 (Apandi Ali 2016).

5.3 Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan

Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tiap-tiap orang berhak menganuti


dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada fasal (4), mengembangkannya. Perkara ini
menjelaskan bahwa semua agama boleh diamalkan dengan aman dan damai di negara ini. Tiada
paksaan dalam menganuti mana-mana agama. Tetapi agama-agama lain selain agama Islam
tidak boleh disebarkan atau dikembangkan kepada masyarakat beragama Islam. Sebagai
contoh, seorang Kristian menyebarkan agamanya melalui risalah kepada orang Islam maka
perbuatan tersebut adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-
undang (Perlembagaan Persekutuan 2010).
10

Perkara 11 (4) memperuntukkan bahawa undang-undang negeri dan undang-undang


Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan
agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam. Justeru, peruntukan ini adalah satu
perlindungan dan sekatan ke atas hak orang ramai untuk menyebarkan agama atau kepercayaan
mereka (bukan Islam) kepada orang lain di dalam Persekutuan (orang Islam) (Zaini Nasohah
2012) dengan wujudnya enakmen-enakmen bagi mengawal dan menyekat penyebaran agama-
agama lain kepada orang Islam. Oleh yang demikian, kaum Cina dan India berhak
mengamalkan agama mereka dengan aman tetapi dilarang menyebarkannya kepada orang
Islam.

5.4 Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan

Sistem pendidikan merupakan asas penting bagi membangunkan masyarakat dan negara kearah
yang lebih baik. Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk di mana
setiap dasar yang dilaksanakan perlu selari dengan keperluan masyarakat. Dasar pendidikan
yang dilaksanakan bukan sahaja bertujuan untuk memberi pelajaran di sekolah semata-mata
tetapi sebagai alat untuk merealisasikan perpaduan bangsa (Khairul Azrin 2011).

Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) berlandaskan Falsafah Pendidikan kebangsaan


(FPK) ialah : “Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan
lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara” (Kementerian Pendidikan
Malaysia 2017).

Seiring dengan FPK, rakyat Malaysia tidak mengira kaum berhak mendapatkan
pendidikan di prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, pendidikan lepas
menengah sehingga pendidikan tinggi. Hak pendidikan tersebut telah diperuntukkan di dalam
Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan iaitu setiap kumpulan agama berhak untuk menubuhkan
dan menyelenggara institusi pendidikan bagi kanak-kanak dalam agamanya dan tidak boleh
terdapat diskriminasi semata-mata disebabkan agama tetapi Persekutuan dan kerajaan negeri
adalah sah bagi membantu menyelenggara bagi mengadakan ajaran dalam agama Islam. Bagi
fasal 3 pula, tiada sesiapa yang diwajibkan menerima ajaran agama lain selain daripada
agamanya (Perlembagaan Persekutuan 2010).
11

Oleh itu, berdasarkan hak-hak pendidikan yang diperuntukkan di dalam perkara 12


Perlembagaan Persekutuan, maka golongan bukan Islam di Malaysia juga berhak mendapatkan
pendidikan bagi kanak-kanak dalam agama mereka dan ini termasuklah kaum Cina dan India.
Tambahan pula, mereka juga diberikan kebebasan tanpa perlu menerima ajaran agama lain
selain daripada agama mereka sendiri.

Kesimpulannya, kaum Cina dan India berhak mendapatkan perlindungan sama rata di
sisi undang-undang. Selain itu, mereka juga mempunyai kebebasan hak untuk mengamalkan
agama mereka dengan aman. Namun begitu, ada sekatan untuk mengembangkannya seperti
yang termaktub di dalam Fasal (4) Perkara 11 dan Enakmen-Enakmen Kawalan Negeri.
Seterusnya, hak kebebasan bercakap dan bersuara juga diberikan kepada kaum Cina dan India
tanpa menyentuh isu sensitif. Akhir sekali, mereka berhak mendapatkan pendidikan tanpa perlu
menerima ajaran agama lain.

6.0 KEDUDUKAN KAUM CINA DAN INDIA MENURUT SYARAK

Seperti yang kita ketahui. Islam merupakan agama bagi persekutuan seperti yang termaktub di
dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mana majoriti masyarakat yang beragama
Islam di Malaysia adalah orang Melayu. Namun begitu, Malaysia merupakan sebuah negara
yang memiliki entiti masyarakat bersifat pluralistik. Ia terdiri daripada kalangan masyarakat
majmuk yang hidup bersama dengan kewujudan kepelbagaian agama dan kaum sejak sebelum
kemerdekaan dicapai pada tahun 1957 (Nazmi Abd Halim, Jaffary Awang dan Helmy Abd
Gapar 2016) dan ini termasuklah kaum Cina dan India. Dalam membincangkan kedudukan
kaum Cina dan India yang mana agama dominan mereka adalah Buddha dan Hindu menurut
syarak, dua perincian utama perlu disandarkan iaitu aspek kepercayaan dan kenegaraan.

6.1 Aspek Kepercayaan

Penentuan dari aspek kepercayaan atau agama lebih berkait rapat dengan kedudukan mereka di
akhirat. Golongan bukan Islam boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kafir, musyrik dan
murtad. Kafir diddefinisikan sebagai pengingkaran dan penolakan Allah sebagai satu-satunya
tuhan yang berhak disembah serta tidak mengakui kedudukan Rasulullah SAW sebagai utusan
Allah yang terakhir. Musyrik pula bermaksud kepada perbuatan menyekutukan Allah serta
menyamakan Allah dengan sesuatu selain-Nya dalam aspek pengabdian dan penyembahan.
Manakala murtad pula adalah mereka yang keluar dan meniggalkan Islam sebagai agama yang
12

dianuti sama ada kerana hilang kepercayaan terhadap Islam ataupun disebabkan kepentingan
lain (Khairul Azhar 2016).

6.2 Aspek Kenegaraan

Antara isu yang mendapat perhatian dunia hari ini adalah isu kewujudan bersama anatara orang
Islam dan bukan Islam di dalam sesebuah negara. Rakyat dalam sesebuah negara sama ada
orang Islam atau Bukan Islam diikat dengan hubungan kenegaraan (Zulkifli al-Bakri 2018).
Kaum Cina dan India merupakan dhimmi kerana mereka merupakan golongan bukan Islam
yang menetap dan menaung di negara Islam serta terikat dengan status kewarganegaraan
Malaysia (Khairul Azhar 2016). Hal ini kerana menurut (Zaharuddin Sani 2009), kerakyatan
bukan Muslim kerakyatannya melalui ikatan perjanjian kemasyarakatan yang dipanggil Aqd al-
Dhimmah. Dengan perjanjian ini mereka menjadi rakyat negara Islam sebagaimana seorang
Muslim yang mendapat hak dan menanggung tanggungjawab. Rasulullah SAW bersabda
daripada Buraidah bin Hasib :

‫فإن أبوا هم أبوا فادعهم إىل إعطاء اجلزية فإن أجابوا فاقبل منهم وكف عنفإن فاستعن اهبلل تعاىل وقاتلهم‬

Maksudnya: Maka sekiranya mereka (golongan musyrikin) itu enggan menerima seruan
dakwah islam, mintalah mereka untuk membayar jizyah. Sekiranya mereka bersetuju, terimalah
pemberian (jizyah) mereka dan tahanlah diri daripada mereka. Sekiranya mereka enggan
(membayar jizyah), maka mohonlah pertolongan Allah dan perangilah mereka

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Hadis tersebut diucapkan oleh Rasulullah selepas penurunan ayat al-Quran berkaitan
pensyariatan jizyah. Lafaz hadis tersebut dalam teks penuhnya menjadi bukti keumuman
penerimaan akad dhimmah daripada semua golongan orang bukan Islam. Sehubungan dengan
itu, majority sarjana Muslim memnberikan ciri yang sama berkaitan syarat penerimaan
golongan orang bukan Islam sebagai ahl al-dhimah seorang lelaki yang baligh, berakal,
merdeka, mengakui status agmanya, menetap di dalam negara Islam sama ada hidup bersama
orang Islam atau hidup dalam komuniti seneiri, keterlibatan dalam hukum hakam dan
perundangan negara tersebut serta kemampuan membayar jizyah (Khairul Azhar 2016).

Selain itu, al-dhimmah merupakan kontrak kewarganegaraan yang diperuntukkan secara


kekal kepada kaum Cina dan India. Kontrak tersebut diberikan melalui kontrak perjanjian dan
kontrak perkahwinan. Dalam kontrak perjanjian, mereka mesti membuat pengakuan berkaitan
13

status agama mereka, menunjukkan komitmen dan kemampuan untuk menunaikan pembayaran
jizyah serta patuh terhadap undang-undang (Khairul Azhar 2016).

Menerusi kontrak kedua iaitu perkahwinan, jika seseorang wanita bukan Islam
berkahwin dengan mana-mana lelaki yang telah diberikan kontrak dhimmah, maka mereka
berhak mendapat taraf kewarganegaraan secara langsungberdasarkan status kewarganegaraan
pasangannya (Khairul Azhar 2016).

7.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, kemasukan imigran daripada kaum India dan Cina secara besar-besaran adalah
disebabkan oleh penjajahan pihak British ke Tanah Melayu pada sekitar abad ke-19 bagi
membantu mereka dalam mengaut hasil bumi di negara ini. Terdapat pelbagai cara yang telah
digunakan dalam memasukkan imigran-imigran tersebut untuk dijadikan sebagai buruh bagi
pihak British seperti sistem Kangani dan sistem Kangcu. Selain itu, kaum Cina dan India telah
berhijrah dan bekerja di Tanah Melayu pada ketika itu adalah disebabkan beberapa faktor
terutamanya faktor ketidakstabilan ekonomi dan politik di negara asal mereka yang amat teruk.
Setelah beberapa puluh tahun bermigrasi, kini kedua-dua kaum tersebut telah menjadi rakyat
tetap di negara ini dan telah mendapat pelbagai keistimewaan yang telah diberikan oleh negara.
Perkara itu juga bermaksud masyarakat asal di negara ini mempunyai toleransi yang tinggi
dalam menerima tetamu luar yang datang ke negara ini untuk mengubah nasib mereka sekaligus
membantu membangunkan negara ini bersama sama.

Seterusnya, menurut Perlembagaan Persekutuan, kaum Cina dan India telah mempunyai
kedudukan tersendiri dan beberapa kebebasan telah diberikan seperti kebebasan beragama,
kebebasan bercakap dan bersuara, hak perlindungan serta hak pendidikan. Selain itu, menurut
hukum syara’ pula, mereka merupakan golongan al-dhimmah dan mereka berhak untuk
mendapatkan perlindungan serta hak-hak sebagai golongan bukan Islam yang menetap di
negara Islam. Akhirnya, kedatangan kaum-kaum tersebut telah memberikan pelbagai kisah dan
kesan yang mendalam kepada negara ini. Semoga semua kaum dan masyarakat di negara ini
mampu bersatu padu dalam membina masa hadapan negara supaya lebih cemerlang dan aman
pada masa akan datang.
14

RUJUKAN

Abu Talib Ahmad, Masyarakat Berbilang Kaum di Tanah Melayu, Kuala Lumpur, Fajar Bakti.
1974.

Cheah Boon Kheng dan Ali Abdul Talib Ahmad, Kolonialisme di Malaysia dan Negara-Negara
Lain, Kuala Lumpur, Fajar Bakti. 1990.

Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri. 2018. Kosep Fiqh al-Ta’ayush : Isu di Malaysia
dan Penyelesaiannya, Bayan Linnas Siri ke-155, https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-
linnas/2826-bayan-linnas-siri-ke-155-konsep-fiqh-ta-ayush-isu-di-malaysia-dan
penyelesaiannya.

Dr. Hj. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Muhammad Adli Musa. 2009. Konsep
Kerakyatan Orang Bukan Islam Moden: Satu Kajian Berdasarkan Fiqh Ahl Dhimmah,
Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam di Malaysia.

Dr. Nor Saidatul Rajeah binti Zamzam Amin, Datin Haryati binti Mohamed Razali, Dr. Haniza
binti Mahmood. 2017. Dasar Pendidikan Kebangsaan, Ed. Ke-4. Perpustakaan Negara
Malaysia.

Hairi Abdullah. 1989. Penduduk Semenanjung Malaysia. Bangi, Penerbit Universiti


Kebangsaan Malaysia.

Khairul Azhar bin Meerangani. 2016. Isu Semasa terhadap Hubungan Sosial dengan Non
Muslim di Malaysia daripada Perspektif Hukum Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti
Malaya.

Khoo Kay Kim, Latar Belakang Sejarah Masharakat India dan China di Tanah Melayu, Kuala
Lumpur, Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 1971.

Mior Khairul Azrin bin Mior Jamaluddin. 2011. Sistem Pendidikan di Malaysia: Dasar,
Cabaran dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan Nasional, Sosioumanika, 4(1).4.

Mohd Isa Othman.(2002). Sejarah Malaysia (1800-1963). Kuala Lumpur : Utusan Publications.

Muhammad Nazmi Abd Halim, Jaffary Awang, Muhamamd Helmy bin Abdul Gapar. 2016.
Tahap Pengetahuan Rakyat Malaysia Terhadap Asas Agama-agama Dominan di Malaysia:
Kajian Lapangan di Negeri Kedah dan Selangor, Jurnal Komunikasi Borneo Edisi Khas
(Konvokesyen ke-18 UMS).
15

Perlembagaan Persekutuan, 1 November 2010, Pesuruhjaua Penyemak Undang-Undang,


Malaysia.

Ruslan Zainuddin (ed.),Mohd.Mahadee,Zaini Othman. (2010). Kenegaraan Malaysia Edisi


Kedua. Selangor : Oxford Fajar Sdn.Bhd.

Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi bin Ali (Peguam Negara Malaysia), Media dan
Undang-Undang: Perspektif Negara, Luncheon Talk bersama Editor dan Pengamal Media 26
April 2016.

Zaini Nasohah. 2018. Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia : Peruntukan akta dan
enakmen, Ed. Ke-2. Bangi: Penerbit Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangsaan Malaysia.

You might also like