You are on page 1of 3

Laporan Aktiviti Minggu Bahasa Melayu 2017

Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria, Sungkai telah menganjurkan Minggu Bahasa
Melayu sebagai salah satu daripada aktiviti tahunannya dari 13 hingga 17 Mac 2017 yang lalu. Pelbagai
aktiviti seperti persembahan dan pertandingan telah dijalankan selama lima hari tersebut. Puan Noor
Hayani bt Yahaya selaku Penyelaras Persatuan Bahasa Melayu bersama dengan guru-guru penasihat
yang lain telah merangka pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang minggu Bahasa Melayu ini
berlangsung. Majlis Perasmian Minggu Bahasa Melayu telah dijalankan dengan begitu meriah sekali
pada 13 Mac 2017. Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang dalam ucapan perasmian beliau telah
memuji usaha yang dijalankan oleh Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria kerana telah
mengambil langkah proaktif menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai satu usaha untuk
memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Pada hari tersebut juga telah diadakan persembahan syair oleh dua orang pelajar tingkatan lima
iaitu Nurul Najwa binti Ali dan Mohd Shauki bin Aflin. Mereka mendendangkan syair yang telah dipilih
sebagai johan Pertandingan Menulis Syair sempena Hari Kokurikulum 2016. Syair tersebut bertajuk
Martabatkan Bahasa Melayu dan merupakan hasil tinta Anis Kartini binti Azman, pelajar Tingkatan 5.
Selain dendangan syair, majlis perasmian juga diserikan oleh persembahan mendeklamasikan sajak oleh
tiga orang pelajar berbilang kaum iaitu Nurul Sofea Husin, Preethi a/p Jayaseelan dan Jackiee Loke Jun
Kit. Mereka berpadu suara mendendangkan sajak yang bertajuk Bahasa nukilan penulis terkenal Abdul
Rahman Shaari dan Dirgahayu Bahasaku buah tangan Ahmad Sarju. Sajak yang didendangkan begitu
harmoni dan memaparkan betapa perlunya kita menggunakan bahasa dengan betul kerana bahasa
mempunyai kepentingan yang tersendiri sebagai medium untuk berkomunikasi.

Pada 14 Mac 2017, Pertandingan Menulis Esei dan Cerpen kategori menengah rendah dan
menengah atas telah dijalankan. Tema penulisan cerpen dan esei tersebut ialah Bahasa Jiwa Bangsa.
Hakim bagi pertandingan ini ialah Encik Saleh bin Shukur, Cik Petimah Ibrahim dan Puan Siti Shafiena
Ayub. Sebanyak 30 orang peserta mengambil bahagian dalam kategori masing-masing. Penilaian adalah
berdasarkan isi, bahasa dan pengolahan. Tiga orang pemenang bagi setiap kategori telah dipilih
berdasarkan esei dan cerpen masing-masing. Anis Sophia Zulkafli telah dipilih sebagai johan kategori
menengah rendah dengan eseinya “Langkah-langkah Memartabatkan Bahasa Melayu” dan Fatin Adila
Suraya binti Mohd Kamil pula muncul sebagai johan kategori menengah atas. Tajuk esei beliau ialah
“Bahasa Melayu Bahasa Ilmu”. Manakala Pertandingan Menulis Cerpen pula dimenangi oleh
Muhammad Ammar bin Azman bagi kategori menengah rendah dan kategori menengah atas dimenangi
oleh Nurul Najwa Mohd Ali. Pertandingan seperti ini dapat mencungkil bakat para pelajar dalam bidang
penulisan di samping melatih mereka menghasilkan karangan yang baik sebagai persiapan menghadapi
peperiksaan. Selain itu, karya-karya yang terpilih akan dimuatkan dalam majalah sekolah untuk tatapan
warga SMK Taman Satria.

Pada 15 Mac 2017 iaitu hari ketiga Minggu Bahasa Melayu dilancarkan, Pertandingan Bahas Ala
Parlimen telah dijalankan. Pertandingan yang dijalankan secara kalah mati ini telah disertai oleh lapan
buah pasukan. Sebanyak empat pertandingan telah dijalankan pada pusingan awal dan empat pasukan
telah layak ke peringkat separuh akhir. Setelah tamat pusingan separuh akhir, pasukan Hang Jebat dan
Hang Tuah telah berjaya mara ke peringkat akhir yang dijalankan pada 17 Mac 2017. Dalam
pertandingan akhir ini, pasukan Hang Jebat sebagai pasukan pembangkang telah dinobatkan sebagai
pemenang dengan menewaskan pasukan kerajaan yang diwakili oleh pasukan Hang Tuah. Pertandingan
bahas sememangnya boleh dijadikan sarana bagi para pelajar untuk mengasah bakat berhujah di
samping melahirkan idea yang mantap kerana para pelajar perlu menghujahkan idea-idea bagi
mematahkan hujah pihak lawan.

Pertandingan Kuiz Bahasa Melayu dan Kuiz Sastera Melayu telah dijalankan pada hari keempat bertarikh
16 Mac 2017. Pertandingan yang terbuka penyertaannya telah mendapat sambutan begitu
menggalakkan daripada para pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Pertandingan ini telah
dijalankan di Dewan Seri Kenanga secara bertulis dan diawasi oleh enam orang Ahli Jawatankuasa
Persatuan Bahasa Melayu. Sebanyak 30 soalan objektif Tatabahasa dan 30 soalan struktur Sastera
Melayu telah dikemukakan dalam kuiz tersebut yang memperuntukkan masa selama satu jam.
Pertandingan ini diadakan bertujuan menguji pengetahuan pelajar dalam tatabahasa Bahasa Melayu
dan aspek-aspek Sastera Melayu seperti gaya bahasa, teknik penceritaan, persoalan dan lain-lain lagi
yang biasanya disoal dalam peperiksaan bagi kertas bahasa Melayu. Pihak penganjur amat berharap
agar aktiviti begini dapat membantu para pelajar menambahkan ilmu pengetahuan di samping
mewujudkan semangat bersaing demi mencapai kegemilangan. Setelah keputusan pertandingan
diumumkan, kemenangan berpihak kepada kumpulan Mawar yang terdiri daripada tiga orang ahli
kumpulan.

Seterusnya, pada 17 Mac 2017, Majlis Penutupan Rasmi Minggu Bahasa Melayu telah diadakan. Pada
tarikh ini, Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria berasa begitu berbesar hati kerana Tuan
Pengarah Pelajaran Negeri Perak telah sudi merasmikan majlis penutupan ini. Hati setiap ahli Persatuan
Bahasa Melayu berbunga riang mendengar pujian daripada Tuan Pengarah dalam Ucapan Perasmian
Penutupan beliau. Beliau telah melahirkan harapan agar program-program sebegitu diteruskan pada
setiap tahun kerana banyak manfaat yang diperoleh oleh para pelajar. Beliau juga berharap agar aktiviti
begini diteladani dan diikuti oleh persatuan-persatuan lain di sekolah ini. Selepas ucapan berakhir,
persembahan nyanyian lagu-lagu tradisional dan moden telah dipersembahkan oleh Persatuan Budaya
SMK Taman Satria. Tamat sahaja persembahan nyanyian, upacara penyampaian hadiah dijalankan.
Sekali lagi, Tuan Pengarah telah sudi tampil ke atas pentas untuk menyempurnakan majlis penyampaian
hadiah kepada para pemenang dengan diiringi oleh Tuan Pengetua. Para pemenang telah menerima
trofi, sijil dan wang tunai. Diharapkan hadiah yang diterima menjadi penyuntik semangat kepada para
pelajar untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Selepas penyampaian hadiah, cenderamata kenang-
kenangan telah disampaikan oleh Tuan Pengetua kepada Pengarah Pelajaran Negeri Perak sebagai
penghargaan kepada beliau yang sanggup meluangkan masa beliau yang begitu berharga untuk hadir ke
majlis ini.

Pada keseluruhannya, Minggu Bahasa Melayu 2017 telah dapat dijalankan dengan jayanya hasil paduan
tenaga para guru penasihat dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu. Aktiviti ini yang dijalankan
selama lima hari berturut-turut telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan iaitu menggalakkan
penglibatan pelajar dalam aktiviti bahasa demi mempertingkatkan kemahiran berbahasa selaras dengan
cogan kata, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Semoga Minggu Bahasa Melayu dapat diteruskan pada setiap tahun
dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik.

Laporan disediakan oleh 20 MAC 2017

Kavitha a

You might also like