You are on page 1of 18

SOALAN SATU

TUGASAN 1 (50%)

PENDAHULUAN
Dalam tugasan ini, saya akan memberikan tumpuan dan menunjukkan kemampuan untuk
menggambarkan aspek-aspek utama metodologi penyelidikan kuantitatif. Oleh itu, saya akan
menyemak artikel penyelidikan kuantitatif dan mengemukakan analisis dan penemuan yang
ditulis dalam laporan ini. Artikel yang dimaksudkan ialah sebuah artikel daripada Nilgün
Seçken dan Evrim Ural Alsan (2011) yang bertajuk ‘Kesan Pendekatan Konstruktivis
Terhadap Pemahaman Pelajar Mengenai Konsep Yang Berkaitan Dengan Hidrolisis’ yang
diambil daripada Procedia – Sains Sosial dan Tingkah Laku, Jilid 15, pada halaman 235-240.

Daripada artikel tersebut, dapat diringkaskan bahawa kajian ini bertujuan untuk
mengkaji kesan pendekatan konstruktivis terhadap pemahaman pelajar mengenai konsep yang
berkaitan dengan subjek hidrolisis, membandingkan pendekatan konstruktivis dengan kaedah
pengajaran tradisional dan menentukan perbezaan antara kejayaan pelajar dalam pendekatan
konstruktivis dan kaedah pengajaran tradisional. Seramai 100 orang pelajar yang berumur
lingkungan 18-21 telah mengambil bahagian dalam kajian ini yang dipecahkan kepada
kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan secara rawak. Kumpulan kawalan telah mengikuti
sesi pembelajaran berpandukan kepada pengajaran secara tradisional berbanding kumpulan
rawatan yang mengikuti sesi pembelajaran berpandukan kepada pendekatan pengajaran
konstruktivis. Hasil kajian menunjukkan bahawa pendekatan pengajaran konstruktivis
mempunyai sumbangan terhadap peningkatan pemahaman konsep berkaitan dengan mata
pelajaran hidrolisis.

ULASAN TERHADAP TAJUK KAJIAN


Menurut Othman Talib (2015), tajuk kajian haruslah jelas, ringkas dan padat yang sebaiknya
tidak melebihi 14 patah perkataan. Oleh itu, pengkaji perlu mengelakkan daripada menulis
tajuk kajian yang panjang serta meleret-leret dan sebaiknya memasukkan elemen-elemen
yang penting sahaja dalam tajuk kajian. Menurut Mohd Yusri Ibrahim (2017) pula, tajuk
kajian yang baik adalah tajuk yang boleh beroperasi (working title) iaitu mengandungi semua
elemen penting seperti bidang kajian, reka bentuk kajian, tujuan kajian, populasi atau subjek
kajian, pemboleh-pemboleh ubah yang terlibat dan lokasi kajian. Hal ini kerana, maklumat
yang lengkap pada tajuk akan memudahkan penyelidik lain dan pihak berkepentingan
membuat rujukan dan mengambil panduan.

1
Dalam kajian Seçken dan Alşan (2011) yang bertajuk ‘Kesan Pendekatan
Konstruktivis Terhadap Pemahaman Pelajar Mengenai Konsep Yang Berkaitan Dengan
Hidrolisis’ dapat disimpulkan bahawa pembaca boleh mengenal pasti bahawa bidang kajian
adalah pendekatan atau kaedah pengajaran dalam pendidikan, manakala tujuan kajian adalah
untuk mengenalpasti pemboleh ubah bersandar iaitu kesan terhadap pemahaman pelajar
mengenai konsep hidrolisis yang dipengaruhi oleh pemboleh ubah tidak bersandar iaitu
pelajar yang mengikuti pendekatan konstruktivis dalam pembelajaran. Daripada tajuk tersebut
juga, pembaca boleh mengetahui subjek atau populasi kajian iaitu pelajar yang mengikuti
mata pelajaran yang berkaitan dengan tajuk hidrolisis namun tidak dinyatakan lokasi, tempat
atau negeri kajian dilaksanakan. Berdasarkan tajuk juga, pembaca masih lagi belum dapat
mengenal pasti sama ada ini ialah kajian kuantitatif yang berbentuk kajian eksperimen, kajian
kuasi-eksperimen atau kajian tinjauan. Dalam 12 patah perkataan tajuk tersebut, dapat
disimpulkan ia memaparkan beberapa elemen penting kajian seperti pemboleh ubah tidak
bersandar, pemboleh ubah bersandar dan populasi atau subjek yang terlibat. Namun daripada
tajuk kajian, pembaca tidak dapat untuk mengetahui elemen penting yang lain seperti
mengetahui pendekatan dan reka bentuk yang digunakan, lokasi atau tempat kajian.

ULASAN TERHADAP LATAR BELAKANG KAJIAN


Menurut Ahmad, Thinagaran dan Nagarajah (2014), latar belakang kajian merupakan
bahagian pengenalan yang menerangkan mengenai maklumat latar belakang mengenai
penyelidikan, mengapa penyelidikan dipilih, tujuan serta objektif kajian. Dapat dirumuskan
juga latar belakang kajian memberikan konteks sejarah untuk penyelidikan atau maklumat
mengenai penyelidikan sebelumnya perbincangan mengenai topik kajian. Ini juga
memberikan ringkasan mengenai apa yang berlaku sebelum topik utama yang akan
dibahaskan. Menurut Creswell (2014), biasanya bahagian latar belakang kajian akan
membincangkan mengenai pengenalan, pernyataan masalah, tujuan kajian, objektif kajian,
skop batasan kajian dan kepentingan kajian.

Berdasarkan kepada artikel yang dikaji, latar belakang kajian dihuraikan secara
menyeluruh tentang topik utama serta bidang kajian dengan jelas, tepat dan menarik. Latar
belakang dalam artikel ini membincangkan masalah serta situasi yang menimbulkan masalah
yang akan dikaji serta kemampuan menampakkan masalah berkenaan kepada pentingnya
untuk diteliti dan difahami. Penulis artikel ini juga berjaya memberi gambaran umum tentang
masalah serta situasi yang ingin dikaji serta pemboleh ubah berkaitan yang disokong dengan
literatur. Pengkaji artikel ini juga mampu menunjukkan fokus atau objektif kajian iaitu ingin

2
mengkaji kesan pendekatan konstruktivis terhadap pemahaman pelajar mengenai konsep yang
berkaitan dengan subjek hidrolisis. Selain itu, fokus dalam kajian ini juga ialah
membandingkan pendekatan konstruktivis dengan kaedah pengajaran tradisional dan
menentukan perbezaan antara kejayaan pelajar dalam pendekatan konstruktivis dengan
kaedah pengajaran tradisional. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa artikel ini mampu
menunjukkan maklumat latar belakang yang mencukupi dan menerangkan fokus serta objektif
kajian dengan jelas dan baik.

ULASAN TERHADAP TINJAUAN LITERATUR


Parmjit, Chan dan Gurnam (2006) menjelaskan bahawa kajian literatur merupakan suatu
proses membuat rujukan secara kritikal dan sistematik ke atas dokumen-dokumen yang
mengandungi maklumat, idea, data dan kaedah memperoleh maklumat yang berkaitan dengan
tajuk kajian yang dilaksanakan. Ringkasnya, kajian literatur merupakan proses sistematik
yang memerlukan penelitian dan kemahiran mencari, mengumpul, membaca serta merumus
maklumat dengan lebih terperinci. Menurut Nik Aziz Nik Pa (2007), ciri-ciri kajian literatur
yang baik adalah rujukan semasa dan relevan dengan gaya yang konsisten dan bersesuaian.
Selain itu, kajian literatur yang baik dapat menggabungkan bahagian-bahagian penulisan
pelbagai sumber yang berasingan, memahami struktur latar belakang penyelidikan dan
mampu menunjukkan hubungan antara idea dan amalan berkaitan penyelidikan yang hendak
dijalankan.

Dalam artikel Seçken dan Alşan (2011), pengkaji telah membincangkan literatur
dengan jelas, padat, kritis dan meyakinkan berdasarkan pelbagai sumber ilmiah yang sahih
dan relevan. Artikel ini juga menunjukkan maklumat dalam tinjauan literatur disintesis dan
dirumuskan berdasarkan pelbagai sumber ilmiah yang sahih. Kekuatan artikel ini juga ialah
pengkaji mampu membuat rumusan tinjauan literatur berdasarkan pelbagai sumber ilmiah
yang merangkumi perkaitan antara semua pemboleh ubah yang terlibat dalam kajian ini.
Walau bagaimanapun, kelemahan artikel ini ialah pengkaji memetik dapatan kajian lalu yang
melebihi daripada 10 tahun yang dilihat tidak sesuai serta relevan dengan situasi dan agenda
terkini. Contohnya, penyelidik mengutip dan memetik sumber daripada Gay (1987), Yager
(1991), Brunning, Schraw dan Ronning (1999) untuk berbincang mengenai model
konstruktivis dalam pengajaran.

Pengkaji tidak memetik literatur semasa yang dilihat kurang mampu untuk
menyokong penyelidikan kajian ini terutamanya melibatkan kandungan maklumat yang

3
terkini dan relevan. Walau bagaimanapun, hasil analisis artikel ini menunjukkan pengkaji
mampu memberikan maklumat kandungan yang mencukupi mengenai topik penyelididkan
walaupun berdasarkan kepada literatur yang melebihi daripada 10 tahun. Sebagai cadangan,
tidak salah menggunakan literatur lampau yang berusia lebih daripada 10 tahun, namun
adalah lebih baik sekiranya turut menggunakan literatur terkini dan semasa sebagai bukti
analisis kritikal yang relevan dan sesuai dengan situasi, isu dan realiti penyelidikan terkini.

ULASAN TERHADAP REKA BENTUK PENYELIDIKAN


Metodologi kajian merupakan cara, kaedah dan pendekatan yang digunakan untuk mereka
bentuk, mengumpul dan menganalisis data supaya dapat mencapai objektif dan matlamat
kajian (Creswell, 2014). Metodologi menggariskan perjalanan kajian secara sistematik
melalui metodologi, proses dan strategi yang teratur bagi mendapakan bukti yang sahih
melalui kaedah-kaedah tertentu. Salah satu elemen dalam metodologi adalah pemilihan reka
bentuk penyelidikan. Pemilihan dan cara untuk menentukan reka bentuk sesuatu penyelidikan
adalah berpandukan dan bergantung kepada fokus, objektif dan persoalan kajian yang dibina.
Pendekatan dan reka bentuk yang hendak dipilih seharusnya bersesuaian dan mampu untuk
menjawab persoalan kajian yang dibina pada peringkat awal kajian.

Berpandukan kepada artikel yang dikaji, pengkaji menyatakan bahawa kajian ini
menggunakan reka bentuk kajian kuasi-eksperimen yang melibatkan 100 orang pelajar. 50
orang pelajar telah berada dalam kumpulan kawalan dan 50 yang selebihnya diletakkan dalam
kumpulan rawatan. Kajian ini dijalankan melibatkan pelajar yang mengikuti Kursus Kimia
Analitik (Analytical Chemistry Course) yang berumur 18-21 tahun. Pemboleh ubah bebas
dalam kajian ini adalah pendekatan pengajaran yang dibahagikan kepada dua iaitu pendekatan
konstruktivis dan kaedah tradisional dalam mengajar pelajar mengenai topik hidrolisis.
Pelajar dalam kumpulan kawalan akan mengikuti sesi pembelajaran menggunakan kaedah
tradisional manakala pelajar dalam kumpulan rawatan akan mengikuti sesi pembelajaran
menggunakan kaedah konstruktivis. Pemboleh ubah bersandar dalam kajian ini pula adalah
pemahaman pelajar mengenai konsep hidrolisis. Kajian ini dihadkan kepada tajuk hidrolisis
sahaja tanpa melibatkan tajuk-tajuk yang lain dalam Kursus Kimia Analitik yang diikuti oleh
peserta kajian.

Dapat diulas bahawa reka bentuk kajian yang dipilih oleh pengkaji iaitu kuasi-
eksperimen adalah bersesuaian dengan objektif dan persoalan kajian yang dibina. Hal ini
kerana kajian yang melibatkan eksperimen dianggap sebagai satu kaedah yang terbaik untuk

4
mengkaji kesan pemboleh ubah tidak bersandar ke atas pemboleh ubah bersandar kerana
interpretasi terhadap keputusan kajian yang menggunakan kaedah eksperimen adalah sangat
jelas dan kukuh berbanding dengan kaedah yang lain (Cohen, Manion & Morrison,2002;
Fraenkel & Wallen,2006). Oleh itu, kita akan dapat mengetahui sama ada pendekatan
konstruktivis adalah bersesuaian ataupun tidak untuk meningkatkan kefahaman pelajar
terhadap konsep hidrolisis. Melalui reka bentuk kuasi-eksperimen yang dipilih, kita akan
dapat membanding beza kefahaman pelajar dalam kumpulan rawatan dengan kumpulan
kawalan terhadap konsep hidrolisis setelah mereka mengikuti pendekatan pengajaran yang
berbeza. Hal ini kerana, kajian yang melibatkan eksperimen merupakan satu-satunya
penyelidikan yang mampu menguji hipotesis berkaitan dengan hubungan sebab dan akibat
(Wiersma, 2000). Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa artikel ini mempunyai kekuatan yang
tersendiri apabila menggunakan penyelidikan yang tepat iaitu berpandukan kajian eksperimen
untuk menjawab objektif utama kajian iaitu mengkaji kesan pemboleh ubah tidak bersandar
ke atas pemboleh ubah bersandar.

Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kekeliruan di sini yang melibatkan pemilihan


reka bentuk kajian iaitu kajian dalam artikel ini lebih menjurus kepada kajian eksperimen atau
kuasi-eksperimen sebenarnya. Menurut Tanner (2018), kuasi-eksperimen sama juga seperti
kajian eksperimen iaitu mengkaji kesan satu atau lebih pemboleh ubah tidak bersandar ke atas
pemboleh ubah bersandar, namun terdapat sedikit perbezaan iaitu pemilihan kumpulan
rawatan kajian kuasi-eksperimen tidak dilakukan secara rawak tetapi dikekalkan dalam kelas
semula jadi dan dibandingkan dengan kumpulan kawalan. Pemilihan sampel dalam kajian
eksperimen dilakukan secara rawak bagi kumpulan rawatan dan juga kumpulan kawalan.
Dapat dirumuskan bahawa pemilihan sampel dalam kajian eksperimen dilakukan secara
rawak dan pemilihan sampel dalam kajian kuasi-eksperimen dilakukan secara tidak rawak
atas beberapa sebab dan kekangan.

Apa yang mengelirukan di sini adalah pada bahagian abstrak dalam artikel ini
menyatakan bahawa 100 orang sampel yang terlibat telah dibahagikan secara rawak dalam
kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Apabila sampel kajian dipecahkan secara rawak,
maka ia merupakan kajian eksperimen tetapi sebaliknya pada bahagian model kajian pada
artikel ini menyatakan bahawa kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi-eksperimen. Ini
adalah bertentangan dengan maksud kuasi-ekperimen kerana kajian berbentuk kuasi-
ekperimen tidak membahagikan peserta kajiannya secara rawak. Menurut Seel (2012), kuasi-
eksperimen dilakukan tanpa membuat pemilihan secara rawak kerana kesukaran penyelidik

5
untuk mengubah kedudukan pelajar atas sebab sistem pentadbiran dan pengurusan di sekolah.
Pemilihan peserta kajian yang tidak rawak berkemungkinan menyebabkan berlakunya
pemilihan yang bias dan akan memberikan ancaman semasa membuat generalisasi terhadap
dapatan kajian. Sebagai cadangan, untuk mengelakkan unsur bias ini penyelididk perlu
memastikan kedua-dua kumpulan kawalan dan rawatan adalah setara tahapnya.

ULASAN TERHADAP SAMPEL KAJIAN


Sebelum memulakan sesuatu penyelidikan, penyelidik perlu tahu siapa dan berapa ramaikah
populasi kajian yang digunakan. Menurut Sidek (2002), populasi merujuk kepada sekumpulan
manusia yang akan dikenal pasti serta mempunyai beberapa ciri tertentu yang sama dan
seragam. Manakala merujuk Hallberg dan Eno (2015), persampelan merupakan proses
pemilihan elemen-elemen dalam populasi kajian bagi tujuan mewakili populasi sesebuah
kajian. Menurut Mohd. Majid Konting (1998), sampel yang dipilih sekurang-kurangnya
mempunyai sifat yang sama dengan populasi dalam penyelidikan. Proses persampelan yang
baik dan sempurna dapat membantu membuat generalisasi melalui pengujian hipotesis kajian.
Tujuan persampelan adalah untuk meminimunkan kos membuat penyelidikan, menjimatkan
masa dan tenaga penyelidik serta untuk mendapatkan ketepatan yang maksimum dan
jangkaan yang akan berlaku dalam penyelidikan.

Berdasarkan artikel ini, dapat dikenalpasti bahawa sampel yang digunakan adalah
pelajar yang mengikuti Kursus Kimia Analitik seramai 100 orang yang berumur antara 18-21
tahun. Pemilihan sampel ini adalah bersesuaian kerana selari dengan pemboleh ubah
bersandar dalam kajian ini iaitu kesan terhadap pemahaman pelajar mengenai konsep
hidrolisis. Oleh itu, pelajar Kursus Kimia Analitik adalah bersesuaian kerana mereka
mengikuti subjek serta tajuk hidrolisis dalam kursus mereka. Sampel ini juga adalah terdiri
daripada pelbagai peringkat umur dan tidak terhad kepada suatu peringkat umur sahaja. Oleh
itu, ia akan menambahkan lagi kesahan dan kebolehpercayaan kepada sampel untuk
digeneralisasikan kepada populasi pelajar yang mengikuti subjek hidrolisis. Pemilihan sampel
dalam artikel ini juga dilakukan secara rawak yang dilihat mempunyai kekuatan tersendiri
iaitu meningkatkan kesahan terhadap dapatan data kajian yang diperoleh.

Bilangan ukuran sampel dalam artikel ini juga adalah bersesuaian kerana melibatkan
100 orang pelajar dan dipecahkan kepada dua kumpulan secara sama rata. Kajian eksperimen
dan kuasi-eksperimen tidak sama seperti kajian tinjauan yang memerlukan jumlah sampel
yang lebih besar sekiranya populasi itu besar. Menurut Costantini dan Higginson (2011)

6
biasanya penyelidik menggunakan 100 orang peserta kajian sebagai ukuran saiz sampel
apabila populasi itu besar dalam kajian berbentuk eksperimen. Walau bagaimanapun, menurut
Seel (2012) saiz sampel bawah daripada 100 peserta adalah dibolehkan sekiranya populasi
yang diwakili adalah berada dalam ruang lingkup yang kecil. Oleh itu, dapat disimpulkan
bahawa bilangan saiz sampel dalam artikel ini adalah bersesuaian untuk mewakili saiz sampel
keseluruhan pelajar yang mengikuti pelajaran dalam tajuk hidrolisis.

ULASAN TERHADAP INSTRUMEN KAJIAN


Disebabkan kajian ini berasaskan dan berpandukan kepada eksperimen, maka salah satu
instrumen kajian yang bersesuaian adalah berbentuk ujian. Ujian akan dipecahkan kepada dua
iaitu ujian pra dan juga ujian pasca. Ujian pra ialah satu ujian yang diberikan kepada peserta
kajian sebelum pengkaji menggunakan pendekatan pengajaran yang dipilih iaitu kaedah
rawatan ataupun kaedah kawalan untuk mengetahui dan mengesan pengetahuan awal peserta
kajian sebelum mengikuti sesi intervensi yang akan dilaksanakan oleh pengkaji (Creswell,
2009). Manakala, ujian pasca pula akan diberikan selepas pelaksanaan sesi intervensi
bertujuan untuk mengetahui tahap pencapaian pelajar dalam menguasai kemahiran yang dikaji
berbanding ujian pra.

Dalam artikel tersebut, pengkaji telah menggunakan Ujian Konsep Hidrolisis


(Hydrolysis Concept Test) yang merupakan ujian untuk mengukur kefahaman tentang sesuatu
konsep yang terdiri daripada 10 soalan yang telah disediakan untuk kajian ini. Lima soalan
daripada 10 soalan tersebut telah diambil daripada buku “Prinsip Kimia Umum dan Aplikasi
Moden edisi ke-8” dan lima soalan selebihnya dibina oleh pengkaji sendiri. Oleh itu, dapat
diketahui bahawa berdasarkan artikel ini, pengkaji telah menggunakan ujian yang betul dan
tepat untuk menjawab objektif kajian iaitu untuk mengetahui pemahaman pelajar mengenai
konsep yang berkaitan dengan hidrolisis setelah menggunakan pendekatan konstruktivis. Hal
ini kerana ujian yang digunakan ini adalah bertepatan dan sesuai untuk menguji mengenai
konsep hidrolisis tanpa melibatkan elemen dan ujian yang lain seperti ciri-ciri hidrolisis dan
pengaplikasian hidrolisis ke dalam kehidupan seharian.

Jika hanya berdasarkan kepada artikel sahaja, pengkaji tidak menceritakan dan
membincangkan kesahan dan kebolehpercayaan ujian. Oleh itu, kita tidak dapat mengetahui
sama ada ujian yang digunakan ini berada pada tahap kesahan dan kebolehpercayaan yang
tinggi atau rendah. Pengkaji juga tidak menyatakan ketekalan dalaman ujian yang boleh
diukur melalui pekali Alpha Cronbarch di mana jika nilai Alpha Cronbarch tinggi maka akan

7
menunjukkan bahawa ujian yang dilaksanakan adalah bagus serta boleh dipercayai. Selain itu,
berdasarkan artikel juga pengkaji tidak menceritakan dengan lebih lanjut sokongan teori
penyelidikan untuk membina instrumen yang digunakan. Sebaliknya, pengkaji membina
sendiri lima soalan daripada ujian tersebut dan lima soalan selebihnya diambil daripada
sebuah buku kimia yang mempunyai tajuk hidrolisis. Oleh itu, ia akan meragukan pembaca
apabila lima soalan yang dibina sendiri oleh pengkaji tidak diberitahu rujukan pakar bidang
ataupun sumber kajian-kajian lalu dalam pembinaan soalan tersebut. Sebagai cadangan,
adalah lebih baik sekiranya soalan yang dibina sendiri oleh pengkaji adalah berpandukan
kepada kajian-kajian lepas dan pakar-pakar bidang dalam tajuk tersebut agar dapat
meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan ujian instrumen yang digunakan kepada
responden kajian.

ULASAN TERHADAP PROSEDUR PENYELIDIKAN


Dalam mengulas prosedur penyelidikan daripada artikel tersebut, dapat dipecahkan kepada
dua bahagian iaitu prosedur rawatan (intervensi) dan prosedur pengumpulan data.

a) Ulasan Prosedur Rawatan (Intervensi)


Dalam artikel tersebut, prosedur rawatan telah dibincangkan oleh pengkaji dengan sangat
baik dan mendalam. Pengkaji telah memberitahu satu demi satu langkah yang digunakan
dalam mengaplikasikan kaedah konstruktivis kepada kumpulan rawatan dan kedah
tradisional kepada kumpulan kawalan. Berdasarkan artikel, pada peringkat pembahagian
kumpulan, pelajar dibahagikan secara rawak di mana pencapaian pelajar antara kumpulan
kawalan dan kumpulan rawatan adalah setara dan lebih kurang. Selain itu, pengkaji juga
menggunakan tenaga pengajar yang sama untuk kedua-dua kumpulan. Latar belakang
pencapaian pelajar yang setara dan tenaga pengajar yang sama untuk kedua-dua kumpulan
adalah penting untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan kajian ini. Oleh itu,
unsur bias dan berat sebelah dapat dikurangkan dan dielakkan terutamanya melibatkan
pengumpulan data.

Artikel tersebut juga menceritakan tentang penggunaan strategi pengajaran yang


digunakan ke dalam kaedah tradisional (kumpulan kawalan) dan kaedah konstruktivis
(kumpulan rawatan). Kaedah tradisional yang digunakan oleh guru dalam artikel tersebut
adalah berpandukan kepada strategi seperti kuliah di kelas, buku teks, lembaran kerja dan
perbincangan mengenai lembaran kerja. Manakala kaedah konstruktivis yang digunakan
oleh guru dalam artikel ini adalah berpandukan kepada empat langkah yang sistematik

8
yang digunakan oleh Yager pada tahun 1991. Kaedah konstruktivis Yager (1991) telah
menggariskan langkah-langkah seperti Engage, Explore and explain, Elaborate dan
Evaluate. Walau bagaimanapun, dalam prosedur intervensi ini, artikel tidak menceritakan
tempoh masa yang diambil. Biasanya prosedur rawatan atau intervensi bagi kajian
eksperimen akan mengambil masa berminggu-minggu untuk mengukuhkan kesahan dan
kebolehpercayaan data yang diperoleh (BADROL,2020). Sebagai cadangan, pengkaji
perlu memasukkan tempoh masa yang diambil untuk melaksanakan prosedur ini sebagai
mengukuhkan lagi eviden yang dipaparkan dalam penulisan artikel.

b) Ulasan Prosedur Pengumpulan Data


Jika hanya berpandukan kepada artikel ini sahaja, pengkaji hanya membincangkan dan
menceritakan prosedur pengumpulan data secara asas sahaja tanpa dengan lebih
mendalam. Pengkaji memberitahu bahawa kedua-dua kumpulan kajian iaitu kumpulan
kawalan dan kumpulan rawatan telah dinilai dengan menggunakan Ujian Konsep
Hidrolisis. Maka, data daripada ujian inilah yang diambil sebagai data mentah untuk
dimasukkan kedalam prosedur penganalisisan data yang menggunakan aplikasi statistik
untuk menguji objektif kajian yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, pengkaji tidak
menceritakan dengan lebih lanjut berkenaan masa dan waktu ujian ini dilaksanakan.
Dalam artikel ini juga, pengkaji tidak menyentuh berkenaan ujian pra dan ujian pasca
yang biasanya dilaksanakan oleh kajian eksperimen atau kuasi-eksperimen. Sebaliknya,
pengkaji hanya menceritakan secara asas sahaja bahawa kajian ini menggunakan Ujian
Konsep Hidrolisis yang dibina sebagai data yang akan dianalisis pada peringkat
seterusnya.

Sebagai cadangan, pengkaji perlu memberitahu pembaca bahawa masa dan tempoh
yang digunakan untuk melaksanakan ujian ini. Pengkaji perlu menyatakan bahawa
pelaksanaan ujian dilakukan sejurus sahaja sesi intervensi yang terakhir ataupun selang
beberapa hari selepas sesi intervensi terakhir untuk mengikuti ujian ini. Hal ini kerana
ujian yang dilakukan setelah selang beberapa hari akan menunjukkan kesan yang lebih
baik sama ada kaedah rawatan (kaedah konstruktivis) itu adalah benar-benar berkesan dan
mempengaruhi kefahaman pelajar. Hal ini kerana pelajar akan dipengaruhi oleh faktor
ingatan, kefahaman dan pengaplikasian dalam kehidupan seharian. Sekiranya kaedah
konstruktivis benar-benar berkesan, maka pelajar tetap akan dapat memahami dan
mengingati konsep hidrolisis walaupun telah melalui tempoh masa yang lama sebelum
mengikuti sesuatu ujian dalam kajian berbentuk eksperimen.

9
ULASAN TERHADAP ANALISIS DAN HASIL DATA
Menurut Fraenkel dan Wallen (2006), data yang dikutip perlu dianalisis untuk menjawab
objektif kajian dan hipotesis yang dibina sebelum ini dan ianya tidak akan memberikan
sebarang makna sekiranya data tidak ditafsirkan. Berdasarkan artikel, penganalisisan data
dalam kajian ini telah menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences
(SPSS). Selain itu, maklumat yang diperoleh melalui penganalisian data ini juga
diorganisasikan dalam bentuk jadual supaya analisis maklumat menjadi lebih tersusun untuk
menunjukkan data supaya dapatan kajian dapat disimpulkan dengan lebih berkesan. Dapat
disimpulkan di sini bahawa pengkaji dalam artikel ini telah menganalisis data dengan tepat
dan sesuai iaitu menggunakan ujian-t sampel bebas (independent samples t-test) untuk
membandingkan skor ujian pencapaian kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan.

Oleh itu, ujian-t yang digunakan adalah bersesuaian dan tepat untuk menjawab
persoalan kajian iaitu “adakah terdapat perbezaan yang siginifikan antara pelajar yang
mengikuti pembelajaran hidrolisis menggunakan kaedah tradisional dengan pelajar yang
mengikuti pembelajaran hidrolisis menggunakan kaedah konstruktivis”. Bogdan dan Biklen
(2003) dan Creswell (2009) menyatakan bahawa ujian-t adalah analisis yang tepat untuk
melihat perbezaan antara pemboleh ubah yang melibatkan pengujian hipotesis. Oleh itu, dapat
kita rumuskan bahawa penggunaan ujian-t dalam artikel ini adalah bertepatan dan bersesuaian
untuk menjawab persoalan kajian yang telah ditetapkan oleh pengkaji. Justeru itu, kita dapat
mengetahui perbezaan pencapaian antara kumpulan kawalan dengan kumpulan rawatan dalam
menilai kefahaman mereka terhadap konsep hidrolisis.

Jadual : Hasil ujian-t sampel bebas yang membandingkan skor ujian pencapaian kumpulan
rawatan dan kumpulan kawalan

Jadual 1 menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan yang signifikan antara kumpulan
kawalan dengan kumpulan rawatan dalam ujian pra (p>0.01, M=0.24). Tetapi terdapat
perbezaan yang signifikan antara kumpulan kawalan dengan kumpulan rawatan dalam ujian
pasca (p<0.01, M=2.12). Menurut BADROL (2020), apabila tahap signifikan yang diperoleh
lebih rendah daripada 0.01 (p<0.01), maka terdapat perbezaan yang signifikan dalam
pencapaian antara sampel yang mendapat pembelajaran secara tradisional dengan sampel

10
yang mendapat pembelajaran dengan menggunakan kaedah konstruktivis. Hasil penelitian
daripada jadual dalam artikel tersebut, dapat disimpulkan bahawa pencapaian dan kefahaman
pelajar daripada kedua-dua kumpulan tersebut berjaya ditingkatkan namun peningkatan
prestasi bagi kumpulan rawatan adalah lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan dengan
perbezaan min sebanyak (M=2.12). Nilai signifikan bagi ujian pasca juga berapa pada tahap
(p=0.00) iaitu lebih rendah daripada (p<0.01) yang menunjukkan bahawa terdapat perbezaan
yang signifikan antara kaedah tradisional dan kaedah konstruktivis yang menunjukkan
pencapaian pelajar dalam kaedah konstruktivis jauh lebih tinggi berbanding pencapaian
pelajar dalam kaedah tradisional.

Dapat disimpulkan bahawa pengkaji dalam artikel ini berjaya menjelaskan hasil
analisis data dengan justifikasi serta penjelasan yang baik. Selain itu, artikel ini juga
memaparkan tafsiran yang jelas, tepat dan terperinci berkenaan hasil data yang diperoleh.
Analisis data yang dipaparkan dalam artikel ini jelas sama sekali menjawab objektif dan
persoalan kajian iaitu melihat perbezaan antara kefahaman pelajar tentang konsep hidrolisis
antara kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Justeru itu, ujian-t yang digunakan adalah
amat tepat dan bersesuaian untuk menjawab persoalan kajian dalam artikel ini. Menurut
BADROL (2020), dapatan kajian yang baik haruslah dibincang dan disusun dengan jelas
mengikut subtajuk yang sesuai berasaskan soalan dan hipotesis kajian. Dalam pada itu, artikel
ini juga memaparkan dapatan dirumuskan dan dipersembahkan dengan bantuan jadual yang
bersesuaian.

Walau bagaimanapun, apa yang boleh diulas di sini ialah penggunaan nilai signifikan
yang digunakan oleh pengkaji iaitu mereka memilih untuk menggunakan nilai signifikan
(p<0.01) berbanding menggunakan nilai signifikan (p<0.05). Bagi kajian dalam bidang sains
sosial seperti artikel ini, cukup hanya sekadar menggunakan nilai signifikan (p<0.05) kerana
bidang sains sosial tidak memerlukan data yang terlalu spesifik, tepat dan tekal berbanding
kajian dalam bidang sains perubatan yang memerlukan data daripada ujian makmal yang
spesifik kerana melibatkan risiko dalam penghasilan ubat, vaksin dan sebagainya. Menurut
BADROL (2020), nilai signifikan (p<0.01) biasanya digunakan oleh pengkaji dalam bidang
yang berisiko seperti sains perubatan berbanding bidang sains sosial seperti kajian artikel ini
yang cukup sekadar nilai signifikan (p<0.05).

11
ULASAN TERHADAP DAPATAN DAN PERBINCANGAN
Menurut BADROL (2020), dapatan dan perbincangan melibatkan rumusan analisis
penerokaan data awal, dapatan kajian sebenar yang disokong atau dihubungkaitkan dengan
tinjauan literatur yang relevan. Perbincangan mengenai dapatan yang diperoleh juga
seharusnya melibatkan perkaitan antara dapatan dan kesignifikan kajian. Berdasarkan artikel
tersebut, dapat dirumuskan bahawa perbincangan yang dilakukan oleh pengkaji adalah
bersesuaian dengan penemuan dapatan kajian dan berjaya dihubungkan dengan bahagian
artikel yang lain seperti pernyataan masalah, fokus kajian dan persoalan kajian. Pengkaji
berjaya membincangkan satu demi satu soalan berpandukan kepada 10 soalan Ujian Konsep
Hidrolisis (Hydrolysis Concept Test) dengan membandingkan perbezaan antara kumpulan
rawatan dan kumpulan kawalan. Dapat disimpulkan, hasil perbincangan daripada kesemua
soalan ujian tersebut didapati bahawa pencapaian kumpulan rawatan lebih tinggi berbanding
kumpulan kawalan. Hal ini menunjukkan bahawa kaedah konstruktivis adalah lebih berkesan
berbanding kaedah tradisional dalam meningkatkan kefahaman pelajar mengenai konsep
hidrolisis.

Berdasarkan artikel juga, pengkaji berjaya memberikan cadangan untuk penyelidikan


akan datang dengan baik dan berkesan. Oleh kerana artikel ini berfokuskan kepada pelajar
universiti, maka pengkaji mencadangkan agar kajian akan datang boleh melibatkan pelajar
sekolah rendah dan menengah dengan menggunakan aplikasi konstruktivis yang sama.
Pengkaji juga mencadangkan agar apa jua mata pelajaran juga dibolehkan untuk menjadi asas
kepada kajian yang melibatkan kuasi-eksperimen ini. Adalah lebih baik sekiranya kaedah
konstruktivis ini turut diaplikasikan kepada kumpulan yang berbeza seperti pelajar yang
berbakat dan pelajar kurang upaya untuk melihat keberkesanannya. Oleh itu, pengkaji
berharap dengan wujudnya artikel ini akan menggalakkan tenaga pengajar terutamanya guru
di sekolah untuk mengaplikasikan kaedah konstruktivis setelah ia didapati berkesan untuk
meningkatkan kefahaman pelajar memahami sesuatu konsep pembelajaran. Dapat
disimpulkan bahawa hasil daripada penyelidikan ini mampu memberikan implikasi kepada
banyak pihak terutamanya guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran yang berkesan.

Walau bagaimanapun, daripada perbincangan artikel tersebut didapati bahawa


pengkaji tidak membincangkan dapatan kajian secara bijaksana iaitu tidak melibatkan teori
dan penemuan kajian masa lalu ke dalam perbincangan artikel ini. Sebaliknya, pengkaji hanya
melaporkan dan membincangkan dapatan semata-mata tanpa dikaitkan dengan teori dan
kajian lepas sebagai sokongan. Jika diteliti bahagian perbincangan artikel tersebut, pengkaji

12
hanya membincangkan 10 soalan ujian pasca yang membandingkan perbezaan pencapaian
antara kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Pengkaji juga tidak mengaitkan
peningkatkan bagi pencapaian kumpulan rawatan dengan teori dan kajian konstruktivis yang
lepas. Oleh itu, perbincangan menjadi kurang berilmiah, kurang menarik dan kurang
sokongan kerana tidak dibuktikan dengan literatur lepas yang relevan. Sebagai cadangan,
pengkaji seharusnya mengaitkan dan menyokong dapatan kajian yang diperoleh dengan teori
dan kajian literatur sebagai hujah dan sokongan dalam memantapkan penulisan perbincangan
kajian. Oleh itu, dapatan kajian ini akan lebih dipercayai serta mendapat perhatian pembaca
apabila disokong dengan teori dan kajian lampau yang berkait dengan bidang kajian yang
dijalankan.

13
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, keseluruhan artikel ini telah dilaporkan dan dibentangkan dengan baik
oleh pengkaji. Kesemua aspek asas kajian telah disentuh oleh pengkaji seperti latar belakang
kajian, fokus kajian, reka bentuk kajian, prosedur kajian, analisis kajian, dapatan kajian,
perbincangan kajian dan cadangan kepada kajian akan datang. Pengkaji juga berjaya
mengaitkan setiap satu bahagian dengan bahagian yang lain seperti laporan dapatan kajian
dikaitkan dengan persoalan kajian. Oleh itu, kajian ini dilihat selari dan selaras antara setiap
bahagian tanpa melibatkan unsur bias atau kontradik antara satu sama lain. Reka bentuk
kajian juga adalah tepat dan selari untuk menjawab persoalan kajian yang dibina. Prosedur
intervensi, prosedur pengumpulan data dan penganalisisan data juga berjaya dilaporkan
dengan jelas dan baik dalam artikel ini. Dapatan kajian dan perbincangan juga dilihat berjaya
untuk menjawab persoalan kajian yang dibina dengan menunjukkan bahawa kaedah
konstruktivis merupakan salah satu kaedah yang berkesan untuk meningkatkan pencapaian
dan kefahaman pelajar dalam konsep hidrolisis yang juga boleh diaplikasikan kepada mata
pelajaran serta ruang lingkup yang lain. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang
boleh dibangkitkan dan diperbincangkan dalam laporan artikel ini. Namun, isu-isu yang
timbul tidak menjejaskan keseluruhan kajian ini kerana ianya merupakan isu kecil (minor)
sahaja dan setiap satunya telah diberikan cadangan di akhir perenggan untuk
penambahbaikan.

14
RUJUKAN
Chua, Y.P. (2014). Kaedah penyelidikan : Kaedah dan statistik penyelidikan (3rd ed.). Shah
Alam : McGraw-Hill.

Creswell, John W. (2014): Research Design. Qualitataive, Quantiative and Mixed Methods
Approaches (4th ed.). Lincoln: Sage Publications

Nik Aziz Nik Pa. (2007). Kualiti Tinjauan Literatur bagi Penyelidikan dalam Pendidikan
Matematik oleh Pelajar Ijazah Tinggi. Jurnal Pendidikan, 27 (1). pp. 7-18. ISSN
01265261

Parmjit, S., Chan, Y. F., & Gurnam, K. S. (2006). A comprehensive guide to writing a
research proposal. Selangor, Malaysia: Venton.

Seçken, N., & Alşan, E. U. (2011). The effect of constructivist approach on students’
understanding of the concepts related to hydrolysis. In Procedia - Social and
Behavioral Sciences (Vol. 15, pp. 235–240).
https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2011.03.079

Sidek Mohd Noah. (2002). Reka bentuk penyelidikan. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Wong, M.S.L., Chuah, K.H. & Mohd Richard Neles Abdullah. (2013). Buku panduan
penulisan artikel penyelidikan. Kuching: IPG Kampus Batu Lintang.

Costantini, M., & Higginson, I. J. (2011). Experimental and quasi-experimental designs. In


Research Methods in Palliative Care. Oxford University Press.

Hallberg, K., & Eno, J. (2015). Quasi-Experimental Designs. In International Encyclopedia


of the Social & Behavioral Sciences: Second Edition (pp. 742–746). Elsevier Inc

Seel, N. M. (2012). Experimental and Quasi-Experimental Designs for Research on Learning.


In Encyclopedia of the Sciences of Learning (pp. 1223–1229). Springer US.

Tanner, K. (2018). Experimental research. In Research Methods: Information, Systems, and


Contexts: Second Edition (pp. 337–356). 

15
SOALAN DUA

16
TUGASAN 1 (6 MARKAH)
Budaya membaca adalah sangat penting dan satu keperluan dalam mempertingkatkan ilmu
pengetahuan seseorang individu. Syed Abu Bakar Syed Akil (1994 dalam BADROL (2020)
menyatakan membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat
dengan menggunakan deria dan minda sama ada melalui bahan-bahan bercetak atau media
elektronik. Deria dan minda yang dicerna dengan ilmu pengetahuan hasil pembacaan akan
menjana kehidupan manusia yang sentiasa inginkan perubahan. Ilmu yang diperolehi akan
merangsang minat dan naluri untuk menambah ilmu pengetahuan yang lain seterusnya akan
terbentuk satu budaya membaca di kalangan masyarakat.

Kepentingan amalan membaca memang telah disedari oleh semua golongan sama ada
pemimpin politik, ibu bapa, pendidik, pentadbir, masyarakat dan termasuklah para pelajar.
Membaca merupakan suatu kegiatan yang amat wajib dalam kehidupan seseorang manusia
kerana dengannya ia mampu membangunkan masyarakat dalam aspek intelektual serta
membangunkan insan yang kreatif dan dinamis. Maka, tidak hairanlah ungkapan “Membaca
Jambatan Ilmu” acapkali diungkapkan untuk menunjukkan pentingnya amalan membaca
dalam mencari ilmu pengetahuan. Napoleon Bonarparte, raja Perancis yang menaiki taktha
pada 1799 pernah berkata: “Sesiapa yang membaca dan mengamalkan apa-apa yang
dibacanya, akan dapat memerintah dunia.” (Hashim Muzbidi Ahmad, 1998).

17

You might also like