You are on page 1of 8

Proceeding of The ICECRS

Vol 3 (2019): Global Education: Perspectives, Innovations, Issues, and Challenges


Articles

Penggunaan Kaedah Pengajaran Flipped


Classroom dalam Pengajaran dan
Pemudahcaraan Matematik Tingkatan 4
Zolkefli Bahador Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden, Universiti
Utara Malaysia
Mohd Kasri Saidon Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden, Universiti
Utara Malaysia
Irdawati Ibrahim Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden, Universiti
Utara Malaysia

Sistem pendidikan kini sangat menitikberatkan pembelajaran abad ke-21 yang membawa
maksud kepada pembelajaran berpusatkan pelajar. Namun demikian kajian-kajian lepas
mendapati bahawa kebanyakan guru masih menggunakan pendekatan konvensional yang
menyebabkan penglibatan pelajar yang kurang dalam aktiviti pembelajaran. Maka pelajar
akan berhadapan dengan kesukaran membina pengetahuan sendiri kerana ia menjurus
kepada pembelajaran kurang aktif. Oleh itu, perlu ada satu kaedah pengajaran yang berupaya
mengatasi permasalahan tersebut selain menepati pembelajaran terkini seperti kaedah
flipped classroom. Kaedah flipped classroom merupakan salah satu kaedah pembelajaran
berpusatkan pelajar yang menitikberatkan penglibatan pelajar secara aktif. Jesteru itu, kajian
ini bertujuan untuk mengetahui tahap kesediaan, tahap penglibatan dan tahap keberkesanan
penggunaan kaedah flipped classroom dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik
Tingkatan 4 di salah sebuah sekolah di Yan, Kedah. Respondennya terdiri daripada 60 orang
pelajar yang dibahagikan kepada kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan melalui
pendekatan kuasi eksperimen iaitu melalui reka bentuk ujian pra dan ujian pasca. Satu set
soal selidik juga telah digunakan untuk mengukur tahap kesediaan, tahap penglibatan dan
tahap keberkesanan. Pengukuran keberkesanan kaedah flipped classroom pula telah
dilakukan dengan menggunakan set ujian pra dan ujian pasca kepada kumpulan eksperimen
dan kumpulan kawalan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kesediaan, tahap
penglibatan dan tahap keberkesanan berada pada tahap yang sederhana. Hasil dapatan ujian-
t pula menunjukkan bahawa terdapat perbezaan di antara ujian pra dan ujian pasca bagi
kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan dalam pembelajaran dan pengajaran
Matematik. Hasil kajian juga turut menunjukkan bahawa penggunaan kaedah flipped
classroom memberi kesan positif terhadap pencapaian pelajar.

I. Pendahuluan
Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah memberikan banyak impak
positif kepada pelbagai bidang, termasuklah bidang pendidikan. Tindakan Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) yang mengalakkan penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar berasaskan
Internet patut dipuji. Oleh yang demikian, adalah perlu untuk setiap pendidik menggunakan bahan-
bahan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) berasaskan Internet bagi membantu merangsang
dan meningkatkan minat dan kecenderungan pelajar terhadap sesuatu topik pembelajaran. Jesteru,
saranan KPM yang menekankan pendekatan pendidikan alaf ke-21 pada masa kini adalah selari
sekiranya pendekatan PdPc di dalam kelas ditukarkan kepada pembelajaran yang menggunakan
teknologi bagi meningkatkan daya pemikiran aras tinggi pelajar. Maka dengan ini, kaedah flipped
classroom didapati mampu mewujudkan suasana pembelajaran aktif yang menyokong pembelajaran

Copyright © Author(s). This is an open-access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution License (CC BY).
1/8
Proceeding of The ICECRS
Vol 3 (2019): Global Education: Perspectives, Innovations, Issues, and Challenges
Articles

abad ke-21 (Siegle, 2013). Flipped Classroom adalah model pembelajaran yang “membalik” kaedah
tradisional yang kebiasaannya pembelajaran dilaksanakan di dalam kelas dan pelajar mengerjakan
tugasan di rumah. Konsep flipped classroommencakupi actikve learning, keterlibatan pelajar dan
penggunaan aplikasi podcasting. Sebagai contoh dalam flipped classroom, pelajar harus menonton
video pembelajaran di rumah masing-masing. Manakala sesi pembelajaran di kelas digunakan
untuk perbincangan kelompok dan melaksanakan tugasan. Kaedah flipped classroom melihatkan
guru berperanan sebagai fasilitator ataupun pemudahcara.

Menurut Graham (2013), flipped classroom digunakan oleh pendidik untuk mengurangkan jumlah
arahan langsung dalam amalan mengajar mereka malah memaksimumkan interaksi satu sama lain.
Kaedah ini menggunakan teknologi yang menyediakan tambahan yang menyokong bahan
pembelajaran bagi pelajar-pelajar yang boleh dicapai secara atas talian. Kebebasan waktu pelajar-
pelajar dapat dilakukan berbanding waktu kelas yang sebelumnya hanya digunakan untuk
pembelajaran. Flipped classroom membuatkan peranan guru-guru berubah dari berdiri di hadapan
kelas semata-mata kepada guru hanya memberi arahan agar pelajar-pelajar membentuk
pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif di dalam kelas semasa pengajaran berlansung. Diaz
et al. (2013) mendapati bahawa peranan pelajar-pelajar juga dapat dilihat setelah mereka lebih
aktif serta lebih banyak berinteraksi di dalam kelas. PdPc menggunakan pendekatan flipped
classroom akan memberikan tugas dan tanggungjawab yang lebih besar kepada pelajar-pelajar
serta memberikan mereka lebih banyak peluang untuk mencuba. Aktiviti yang dijalankan di dalam
kelas akan diterajui oleh pelajar-pelajar serta komunikasi antara pelajar menjadi lebih dinamik
ketika melakukan pembelajaran secara amali.

Penggunaan flipped classroom juga dikatakan dapat memberikan kesan positif kepada pencapaian
pelajar. Walaupun terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan flipped classroom namun
terdapat potensi yang tinggi untuk melaksanakannya dalam kelompok kumpulan yang berbeza.
Azlina A. Rahman (2014) mendapati bahawa pengajaran dan pembelajaran flipped classroom juga
dilihat sesuai untuk digunakan dalam pengajaran mata pelajaran lain seperti Sains, Teknologi,
Kejuruteraan, Matematik dan Sains Sosial. Terdapat pelbagai aplikasi yang dapat digunakan oleh
guru-guru bagi melaksanakan konsep pembelajaran ini. Screencasting merupakan salah satu
kaedah yang paling mudah bagi guru-guru mencipta bahan pengajaran sendiri (Siegle, 2013).
Sceencasting ini merujuk kepada aplikasi rakaman digital bagi paparan output skrin komputer dan
juga dikenali sebagai video screen capture yang mengandungi audio serta narasi. Aplikasi seperti
Apple, iTunes U merupakan contoh sceencasting di mana terdapat hampir setengah juta kuliah
secara percuma, video, buku dan sumber-sumber lain yang terdiri daripada pelbagai topik. iTunes
U boleh didapati melalui aplikasi pada iPad dan YouTube yang mempunyai video yang berguna
untuk sesi PdPc.

Hal ini juga akan menyumbang kepada perubahan teknik pengajaran di mana teknik pengajaran
sehala telah bertukar menjadi persekitaran pembelajaran secara bimbingan inkuiri yang
berpusatkan pelajar. Ini bermakna pelajar akan digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif
dalam aktiviti-aktiviti seperti pembinaan pengetahuan, perbincangan kolaboratif dan penyelesaian
masalah semasa proses pembelajaran berlaku. Menurut Mohd Zain (2012) dalam Azlina A. Rahman
(2014), suatu kaedah pengajaran yang menepati kualiti pembelajaran pelajar-pelajar dapat
memenuhi matlamat dan halatuju untuk pembinaan negara bangsa. Dengan itu, guru perlu berubah
dari zon selesa yang menggunakan teknik tradisional kepada mempelbagaikan teknik pengajaran
yang efektif kerana mereka berperanan sebagai agen perubahan dalam menyampaikan maklumat.

II. Objektif Kajian


Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti sama ada penggunaan kaedah flipped classroomdalam
PdPc Matematik Tingkatan 4 menunjukkan kesan yang positif terhadap pencapaian pelajar. Berikut
adalah di antara objektif-objektif khusus kajian ini:

Copyright © Author(s). This is an open-access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution License (CC BY).
2/8
Proceeding of The ICECRS
Vol 3 (2019): Global Education: Perspectives, Innovations, Issues, and Challenges
Articles

1. Menentukan tahap kesediaan pelajar terhadap penggunaan flipped classroom dalam PdPc
Matematik Tingkatan 4.
2. Menentukan tahap penglibatan pelajar terhadap penggunaan flipped classroom dalam PdPc
Matematik Tingkatan 4.
3. Menentukan tahap keberkesanan penggunaan flipped classroom dalam PdPc Matematik
Tingkatan 4.
4. Mengenalpasti perbezaan pencapaian di antara ujian pra dan ujian pasca dalam
penggunaan kaedah flipped classroom dalam PdPc Matematik Tingkatan 4.
5. Mengenalpasti perbezaan pencapaian antara kumpulan pelajar yang menggunakan kaedah
flipped classroom dengan kumpulan yang menggunakan kaedah konvensional dalam PdPc
Matematik Tingkatan 4.

III. Pernyataan Masalah


Kebanyakan amalan pengajaran subjek Matematik di sekolah-sekolah menengah bersifat didaktik.
Menurut Davis (1989), pendekatan didaktik menjadi satu halangan bagi membentuk pelajar
berfikiran kritis. Pengajaran didaktik merupakan proses pembelajaran yang bercirikan syarahan
dan latih tubi, tiada rangsangan melalui proses penyoalan, tiada ruang untuk pelajar menolak atau
meragui maklumat dan pengajaran terlalu cepat kerana guru perlu menghabiskan sukatan
pelajaran yang padat untuk membolehkan penilaian dilaksanakan. Menurut Papert (2000), guru
menggunakan pengajaran secara tradisional untuk menghabiskan sukatan pelajaran yang
ditetapkan dengan segera. Oleh itu, pembelajaran kaedah didaktik tidak dapat merangsang
pembelajaran berkualiti di kalangan pelajar. Kaedah ini juga menyebabkan guru tidak mempunyai
masa untuk merancang serta melaksanakan pengajaran yang lebih berkesan dan kreatif untuk
menarik minat pelajar. Selain itu, guru juga telah imun dengan kaedah tradisional dan sukar untuk
membuat penyesuaian pembelajaran dengan mengaplikasikan teknologi pengajaran (Becker, 2000).

Terdapat juga kajian berkaitan ketiadaan guru di sekolah pada masa persekolahan di mana guru-
guru sering terlibat dengan urusan di luar kawasan sekolah seperti menghadiri mesyuarat, kursus,
bengkel dan sebagainya (Deria, 2008). Maka, secara tidak langsung menyebabkan keciciran pelajar
dalam pelajaran sekiranya tidak dirancang penggantian semula kelas tersebut. Keadaan guru yang
tidak mengizinkan seperti cuti sakit juga turut memberi kesan terhadap proses pengajaran dan
pembelajaran tertunda. Ekoran itu, berlakulah kekangan masa yang serius untuk menghabiskan
sukatan pelajaran di samping memastikan kefahaman yang maksimum oleh pelajar-pelajar.

Tambahan pula pada zaman moden ini, sikap dan pencapaian pelajar terhadap pelajaran dilihat
semakin merosot dari masa ke masa. Salah satu faktornya adalah kebanyakan pelajar dilekakan
oleh alat berteknologi dalam kehidupan seharian mereka. Ketersediaan video di atas talian dan
peningkatan jumlah pelajar yang dapat mengakses teknologi tidak patut disia-siakan dan keadaan
ini dapat membuka laluan baru bagi kaedah PdPc sejajar dengan konsep kelas abad ke -21.

Berbanding dengan penggunaan kaedah tradisional yang lebih menjurus kepada teknik pengajaran
sehala, pelajar-pelajar akan mudah merasa jemu dan bosan untuk belajar. Daya tumpuan di dalam
bilik darjah tidak bertahan lama dan mudah untuk hilang tumpuan kepada pembelajaran yang
disampaikan guru. Setelah pelajar pulang ke rumah untuk membuat latihan, mereka mudah
berputus asa kerana tiada bahan rujukan yang cukup dan tanpa bantuan guru. Maka mereka akan
mengambil jalan mudah untuk menunggu kelas yang seterusnya dan melihat penyelesaian yang
diberikan oleh guru tanpa berusaha sendiri.

IV. Tinjauan Literatur


Flipped classroom boleh digambarkan sebagai satu konsep pedagogi yang menggantikan
pengajaran di dalam kelas dengan memberi banyak peluang untuk meneroka dan mengkaji bahan-
bahan yang di luar kelas seperti melalui tontonan klip video dan sumber ilmiah daripada internet.

Copyright © Author(s). This is an open-access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution License (CC BY).
3/8
Proceeding of The ICECRS
Vol 3 (2019): Global Education: Perspectives, Innovations, Issues, and Challenges
Articles

Ekoran itu, masa pengajaran satu hala terus berubah menjadi persekitaran pembelajaran
bimbingan inkuiri yang berpusatkan pelajar di mana pelajar digalakkan untuk melibatkan diri
secara aktif dalam aktiviti-aktiviti seperti pembinaan pengetahuan, perbincangan kolaboratif dan
penyelesaian masalah. Hal ini bermaksud guru mengaplikasikan model flipped classroom untuk
memberikan pembelajaran di dalam kelas atau kandungan pengajaran sebagai kerja di rumah. Oleh
itu, dalam persiapan untuk menghadiri kelas, pelajar diwajibkan untuk melihat video pembelajaran
terlebih dahulu. Menurut Roehl (2013) pelajar memanfaatkan masa di dalam kelas untuk
bekerjasama menyelesaikan masalah, pembangunan konsep baru dan terlibat dalam pembelajaran
kolaboratif.

Kaedah pembelajaran kolaboratif adalah salah satu konsep flipped classroom.Kaedah ini juga
adalah fleksibel kerana memberi peluang kepada guru untuk memilih sama ada perbincangan di
dalam kelas perlu diadakan secara bersemuka atau secara atas talian. Selain itu, peranan guru kini
adalah untuk membantu pelajar memahami konsep dan teori tersebut melalui sesi pembelajaran
berteraskan pembelajaran berpusatkan pelajar. Kaedah pengajaran guru perlu berubah di mana
syarahan bersemuka tidak lagi digalakkan dan ianya harus diganti dengan tugas-tugas merancang,
mengelola, menyokong dan membantu pembelajaran.

Sehubungan itu, terdapat penyelidikan yang dijalankan di institusi menengah membuktikan flipped
classroom mempunyai kesan yang positif terhadap persepsi pelajar sendiri. Kemudian, dilaporkan
juga bahawa pelajar lebih suka kaedah pengajaran yang diterbalikkan daripada kaedah
konvensional. Hal ini kerana pelajar mempercayai mereka belajar dengan lebih berkesan melalui
pendekatan kaedah flipped classroom. Hasil penyelidikan mengatakan bahawa pelajar lebih suka
melibatkan diri dalam aktiviti hands-on, daripada menghadiri kelas secara kaedah konvensional
(Berret, 2012).

Menurut Graham (2013) flipped classroom merupakan kaedah yang boleh diberikan oleh guru
dengan cara mengurangkan jumlah arahan langsung dalam amalan mengajar mereka sambil
memaksimumkan interaksi satu sama lain. Kaedah ini menggunakan teknologi yang menyediakan
sumber tambahan yang menyokong bahan pembelajaran bagi pelajar yang boleh dicapai secara
atas talian. Dengan ini, guru boleh mengarahkan pelajar menonton video pembelajaran seperti
yang diarahkan sebagai persediaan awal untuk menghadiri kelas seterusnya. Ini menunjukkan
kaedah flipped classroom dapat memberi banyak manfaat kepada guru dan pelajar serta
menjimatkan masa semasa proses PdPc di dalam kelas (Marlowe, 2012).

Penggunaan flipped classroom dalam proses PdPc dapat meningkatkan kecekapan dan
keberkesanan hasil pembelajaran (Fulton, 2012). Hal ini kerana guru dapat membuat persiapan
dan bersedia dengan lebih awal dalam menjalankan proses PdPc. Melalui kaedah ini guru dapat
mencari maklumat-maklumat berkenaan dengan pengajaran dengan lebih baik dan seterusnya
dapat menyampaikan maklumat tersebut dengan lebih jelas serta efektif. Seterusnya, proses PdPc
akan menjadi lebih menarik dan berkesan dengan menggunakan bahan-bahan daripada
powerpoint, flash, video dan visual. Flipped classroom juga menggalakkan proses PdPc supaya
dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana pelajar akan didedahkan dengan
gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk difahami. Justeru itu pelajar tidak akan
mudah merasa jemu dan bosan dalam menjalani proses PdPc kerana tertarik dengan gaya
persembahan yang ditunjukkan.

Di samping itu, kesan penggunaan flipped classroom juga dapat menjadikan proses PdPc lebih aktif
serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan kerana guru dapat mempelbagaikan
proses PdPc serta bukan hanya tertumpu kepada teknik pengkuliahan sahaja bahkan dapat
mempertingkatkan kualiti pengajaran (Mohd Azaki & Zaidatun, 2014). Setelah teknik kuliah
digantikan dengan rakaman video dan bahan-bahan lain di atas talian maka pelajar mempunyai
tahap keyakinan yang lebih tinggi dalam meningkatkan kebolehan menyelesaikan masalah
pembelajaran selain mempunyai kawalan yang lebih besar ke atas kadar dan kaedah di mana
pembelajaran akan berlaku.

Copyright © Author(s). This is an open-access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution License (CC BY).
4/8
Proceeding of The ICECRS
Vol 3 (2019): Global Education: Perspectives, Innovations, Issues, and Challenges
Articles

Menurut Mark (2015), antara ciri-ciri flipped classroom ialah berlaku perubahan dalam
penggunaan masa dalam kelas di mana kerja rumah yang diberikan dalam kelas boleh dilakukan di
luar kelas iaitu pelajar belajar secara kendiri. Seterusnya terdapat aktiviti dalam kelas yang
menekankan pembelajaran aktif, pembelajaran rakan sebaya dan kaedah penyelesaian masalah.
Dengan ini, ia dapat meningkatkan kemahiran kognitif dan sosiologi pelajar. Selain itu, aktiviti pra
kelas dan pasca kelas dilakukan dengan menggunakan bantuan teknologi berkomputer.

Oleh itu, para guru perlulah mengambil inisiatif yang terbaik bagi memilih kaedah yang berkesan
dan sesuai dalam flipped classroom untuk diaplikasikan dalam pengajaran Matematik di sekolah
menengah.

Fulton (2012) dalam tentang kemahiran dan pencapaian pelajar melalui penggunaan kaedah
flipped classroom bagi menggantikan masalah pembelian buku teks yang dijalankan di Amerika
Syarikat iaitu di Bryan School dengan menggunakan kaedah ini bagi menggantikan kaedah
konvensional. Selaras dengan konsep flipped classroom, Bryan School menggunakan teknologi
untuk menggantikan penggunaan buku teks biasa kepada buku teks digital bagi mempelajari
Matematik. Kemudian, bahan rujukan dikongsi melalui capaian internet dan digunakan
sebagaimana yang disarankan dalam kaedah flipped classroom. Hasil daripada kajian ini, prestasi
mata pelajaran Matematik sekolah tersebut meningkat dan akhirnya diakui oleh banyak pihak
terhadap keberkesanan penggunaan kaedah flipped classroom di sekolah.

V. Metodologi Kajian
Reka bentuk kajian yang dijalankan adalah bersifat kuasi eksperimen dan tinjauan. Penyelidikan ini
menggunakan reka bentuk kumpulan kawalan tidak setara kerana menggunakan kelas-kelas yang
sedia ada. Pelajar yang diajar dengan menggunakan kaedah flipped classroom dalam PdPc
Matematik dijadikan sebagai kumpulan rawatan iaitu kelas 4 Harapan. Manakala kumpulan
kawalan pula terdiri daripada pelajar yang diajar secara konvensional dalam PdPc Matematik iaitu
kelas 4 Mawar.

Kaedah kuasi eksperimen yang diterapkan adalah dengan pemerhatian skor ujian prarawatan untuk
kumpulan pelajar yang mengikuti pendekatan penggunaan flipped classroom dalam PdPc
Matematik. Selepas kelas 4 Harapan menjalani rawatan, maka pemerhatian skor ujian pasca
dilakukan. Langkah-langkah yang serupa dilaksanakan bagi kelas 4 Mawar di mana diadakan
pemerhatian skor ujian prarawatan sebelum rawatan diberikan. Seterusnya selepas rawatan
konvensional dilakukan, maka pemerhatian skor ujian pasca pula dilaksanakan.

Seterusnya, bagi mencapai matlamat objektif satu hingga tiga, maka borang soal selidik digunakan
untuk melihat tahap kesediaan pelajar, tahap penglibatan pelajar dan tahap keberkesanan
penggunaan flipped classroom dalam PdPc Matematik tingkatan 4. Kaedah borang selidik ini dipilih
kerana ianya baik bagi soalan yang agak sensitif kerana identiti responden dianggap rahsia dan
dengan itu menggalakkan maklum balas yang jujur daripada responden (Sekaran, 2003). Soal
selidik juga mudah ditadbir dan jika dibina dengan baik maka adalah mudah untuk dianalisis.

Sampel kajian ini terdiri daripada 60 orang pelajar daripada dua kelas Tingkatan 4 di sebuah
sekolah menengah kebangsaan harian yang terletak di daerah Yan, Kedah. Pemilihan kelas 4
Harapan sebagai kumpulan eksperimen dan 4 Mawar sebagai kumpulan kawalan adalah
disebabkan tahap pencapaian dalam subjek Matematik adalah lebih kurang sama bagi kedua-dua
kelas.

Kajian ini menggunakan dua jenis instrumen kajian iaitu soal selidik dan soalan ujian yang meliputi
bab satu hingga empat dalam silibus Matematik tingkatan empat. Soal selidik ini diperolehi
daripada kajian Tang Keow Ngang dan Abdul Ghani Kanesan Abdullah (2006), dalam kajian mereka
“Kesediaan Dan Keberkesanan Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Biologi

Copyright © Author(s). This is an open-access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution License (CC BY).
5/8
Proceeding of The ICECRS
Vol 3 (2019): Global Education: Perspectives, Innovations, Issues, and Challenges
Articles

Di Sebuah Sekolah Menengah”. Namun begitu penyelidik telah membuat sedikit pengubahsuaian
terhadap soal selidik ini. Ia mengandungi 20 item yang terdiri daripada tiga komponen iaitu tahap
kesediaan pelajar terhadap penggunaan kaedah flipped classroom dalam pengajaran dan
pembelajaran sebanyak tujuh item, pengalaman dan penglibatan pelajar dalam penggunaan flipped
classroom sebanyak enam item dan keberkesanan penggunaan flipped classroom dalam PdPc
sebanyak tujuh item. Soalan ini telah disemak oleh ketua panitia Matematik dan guru ICT dari
sekolah kajian bagi mencapai kehendak kajian.

VI. Dapatan Kajian


Dapatan kajian ini dibincangkan berdasarkan objektif kajian untuk menilai sejauh mana tahap
kesedian pelajar, penglibatan pelajar, keberkesanan, perbezaan pencapaian dalam ujian pra dan
pasca serta perbezaan pencapaian antara kumpulan pelajar dalam penggunaan flipped
classroomdalam PdPc Matematik.

Tahap Kesedian

Sebelum penggunaan flipped classroom dalam pengajaran Matematik, didapati kesediaan pelajar
menunjukkan tahap yang rendah terhadap penggunaan flipped classroom dalam PdPc iaitu dengan
min dan sisihan piawai keseluruhan sebanyak (M = 2.33, SP = 2.21). Min dan sisihan piawai
keseluruhan tahap kesediaan ini meningkat kepada (M = 3.33, SP = 1.09) setelah beberapa kali
penggunaan kaedah flipped classroom dalam PdPc Matematik dijalankan. Selepas penggunaan
flipped classroom dalam pembelajaran, pelajar telah menunjukkan sikap suka akan kaedah ini dan
menimbulkan minat dalam mengikut pembelajaran Matematik dengan bantuan flipped classroom.

Tahap Penglibatan

Hasil kajian mendapati, sebelum penggunaan flipped classroom dalam pengajaran Matematik,
didapati penglibatan pelajar menunjukkan tahap yang rendah terhadap penggunaan flipped
classroom dalam PdPc iaitu min keseluruhan (M = 2.42, SP = 1.53). Selepas pelaksanaannya, min
keseluruhan tahap penglibatan ini meningkat kepada (M = 3.48, SP = 0.92) berdasarkan
pengalaman dan penglibatan pelajar dengan penggunaan kaedah flipped classroom dalam PdPc
Matematik.

Tahap Keberkesanan

Sebelum penggunaan flipped classroom dalam pembelajaran Matematik, hasil kajian menunjukkan
pelajar berada dalam tahap yang rendah terhadap keberkesanan penggunaan flipped classroom
dalam PdPc Matematik dengan min keseluruhan (M = 2.13, SP = 1.11). Selepas penggunaan
flipped classroom dalam PdPc Matematik, kecenderungan pelajar telah menunjukkan peningkatan
min keseluruhan sebanyak (M = 3.45, SP = 0.99).

Pencapaian dalam Ujian Pra dengan Pasca

Secara keseluruhan min ujian pra kumpulan eksperimen (N = 30, M = 5.63) manakala min ujian
pasca (M = 2.80). Peningkatan min bagi kumpulan eksperimen ialah sebanyak 2.83. Analisis ujian-t
menunjukkan nilai t ialah (t = 18.61) dan nilai p menunjukkan 0.00 lebih kecil daripada 0.05. Oleh
itu, dapatan ini menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan terhadap pencapaian ujian pra
dan ujian pasca dalam penggunaan kaedah flipped classroom dalam PdPc Matematik Tingkatan 4.

Perbezaan Pencapaian antara Kumpulan

Hasil kajian mendapati, min ujian pra kumpulan eksperimen dengan (N = 30, M = 5.63), manakala

Copyright © Author(s). This is an open-access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution License (CC BY).
6/8
Proceeding of The ICECRS
Vol 3 (2019): Global Education: Perspectives, Innovations, Issues, and Challenges
Articles

min ujian pasca (M = 2.80). Terdapat peningkatan min keseluruhan yang lebih tinggi berbanding
min ujian pra kumpulan kawalan (N = 30) yang mempunyai (M = 5.40) dan min ujian pasca (M =
5.03). Ini menunjukkan pencapaian kumpulan eksperimen adalah lebih tinggi berbanding
pencapaian kumpulan kawalan. Hasil dapatan daripada ujian-t berpasangan menunjukkan bahawa
terdapat perbezaan signifikan antara min kumpulan eksperimen dan min kumpulan kawalan iaitu
dengan nilai (t = -10.24, p = 0.00). Oleh kerana jika nilai p adalah lebih rendah daripada 0.05,
maka terdapat perbezaan pencapaian yang signifikan antara penggunaan kaedah flipped classroom
dengan kaedah konvensional dalam PdPc Matematik.

VII. Kesimpulan
Penggunaan kaedah flipped classroom dalam proses PdPc menjadikan ilmu lebih mudah diperoleh
dan disebarkan di antara guru dan pelajar. Kemampuan penyampaian maklumat secara cepat, tepat
dan menarik dapat memupuk minat pelajar dan menggalakkan para guru untuk mempelbagaikan
kaedah pengajaran mereka. Para pelajar juga berpeluang mengakses maklumat tanpa bergantung
kepada guru. Oleh itu, pihak sekolah bertanggungjawab untuk memotivasikan para guru dan
pelajar untuk menggunakan kaedah flipped classroom dalam PdPc mereka.

Hasil kajian ini telah membuktikan bahawa pelajar lebih berminat dan telah bersedia untuk
penggunaan kaedah flipped classroom dalam PdPc. Penggunaan kaedah flipped classroom didapati
lebih berkesan berbanding dengan pengajaran konvensional dalam pembelajaran konsep
Matematik. Kesimpulannya, kaedah PdPc yang menggunakan pendekatan flipped classroom
merupakan salah satu cara yang baik dan berkesan untuk meningkatkan minat pelajar terhadap
mata pelajaran yang diajar khususnya Matematik. Hal ini kerana, pengajaran dan pembelajaran
yang menggunakan pendekatan abad ke-21 ini banyak memberikan manfaat kepada pelajar dan
juga guru-guru. Walaupun terdapat beberapa kekangan yang dihadapi samada oleh pelajar atau
guru, namun pelaksanaan flipped classroom ini seharusnya dilihat dari sudut yang positif iaitu
untuk meningkatkan kualiti PdPc di dalam kelas. Selain daripada itu guru juga perlu menyiapkan
diri dengan kemahiran ICT supaya ia akan memberi impak yang maksimun dalam PdPc yang
berteraskan teknologi semasa. Sesuai dengan sistem pendidikan abad ke-21 pengetahuan guru
perlulah bersifat dinamik, berubah mengikut keadaan terkini samada perubahan daripada pelajar
mahu pun dari segi teknologi. Oleh itu, bagi meningkatkan tahap kesediaan, penglibatan dan
keberkesanan penggunaan kaedah ini, maka kaedah flipped classroom seharusnya dilaksanakan
dan ditekankan oleh pihak KPM serta pihak sekolah bagi merealisasikan hasrat untuk
meningkatkan mutu prestasi pendidikan di Malaysia yang seiring dengan mutu prestasi pendidikan
di luar negara.

Rujukan

Azlina A.Rahman. (2014). Flipped Classroom Dalam Konteks Malaysia. Tidak diterbitkan, Fakulti
Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Baker, W. The “Classroom Flip”: Using Web Course Management Tools Too Become The Guide By
The Side, 11th International Conference on College Teaching and Learning, Jacksonville, Florida,
United State, Oct 10-12, 2000. In J. A. Chambers (Ed.); Jacksonville, 2000.

Berrett, D. (2012).How 'Flipping' the Classroom Can Improve the Traditional Lecture. The
Chronicle Of Higher Education, 7-14.

Davis, P. and Rinvolucri, M. (1989). Dictation. Cambridge: Cambridge University Press.

Deria. (2008). Guru-guru tiada di Sekolah Pada Masa Persekolahan.

Diaz,V., McDaniel, S., Bonamici, A., Getman, J. & Edward, R. (2013). 7 Things You Should Know

Copyright © Author(s). This is an open-access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution License (CC BY).
7/8
Proceeding of The ICECRS
Vol 3 (2019): Global Education: Perspectives, Innovations, Issues, and Challenges
Articles

About Flipped Classrooms. EDUCAUSE Learning Initiative (ELI).

Fulton, K. (2012). Upside Down and Inside Out: Flip Your Classroom To Improve Student learning.
International Society for Technology In Education 1. 12-13.

Graham, B. & Johnson. (2013). Student Perceptions Of The Flipped Classroom. The University Of
British Columbia, Columbia.

Marks, D. B. (2015). Flipping The Classroom: Turning An Instruction Methods Course Upside
Down. Journal of College Teaching and Learning.Vol.12, No. 4.

Marlowe, N. A. (2012). The Effect Of The Flipped Classroom On Student Achievement And Stress.
Montana State University, Montana.

Mohd Azaki, M.K & Zaidatun, T. (2014). Pembelajaran Berkonsepkan ‘Flipped’ Menerusi Aktiviti
Projek. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Papert, S. (2000). The Children’s Machine: Rethinking School In The Age Of The Computer. New
York: Basic Books.

Roehl, A. & Linga, S.(2013). The flipped classroom: an opportunity to engage millennial students
through active learning strategies. Jurnal International.Vol.105, No.2.

Sekaran, U. (2003). Research method for business. A Skill Building Approach (4th Ed.), New York.
John Wiley & Son, Inc.

Siegle, D. (2013). Technology: Differentiating Instruction by Flipping The Classroom.Gifted


Education and Talent Development, 37, 1-11.

Tang Keow Ngang & Abdul Ghani Kanesan Abdullah (2006). Kesediaan dan keberkesanan
penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran Biologi di sebuah sekolah. Jurnal
Pendidikan, ms.79-92.

1. http://deriakacamata.blogspot.my/2008/11/guru-guru-tiada-di-sekolah-pada-masa.html.
Dimuat turun pada 28 Januari 2017.

References

Copyright © Author(s). This is an open-access article distributed under the terms of the Creative Commons Attribution License (CC BY).
8/8

Powered by TCPDF (www.tcpdf.org)

You might also like