You are on page 1of 4

1.

0 Pendahuluan

Menurut Bulan Pemakanan Malaysia (2014), obesiti bermaksud berat badan yang
berlebihan daripada berat badan yang ideal mengikut ketinggian. Obesiti adalah disebabkan
oleh lemak berlebihan yang terkumpul dalam badan seseorang individu. Berdasarkan kajian
yang telah dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2010, kajian
tersebut telah mencatatkan bahawa Malaysia merupakan negara yang mempunyai bilangan
paling ramai penduduk yang gemuk di Asia Tenggara dan berada di tempat yang keenam di
seluruh Asia (dipetik dalam Lembaga Promosi Kesihatan, 2011). Kajian ini menunjukkan
bahawa rakyat Malaysia mengamalkan gaya pemakanan yang tidak sihat dan makan
dengan berlebihan. Hal ini akan mendatangkan kesan yang negatif terhadap kesihatan diri
sendiri dalam jangka masa yang panjang sekiranya individu tidak mengamalkan pemakanan
yang sihat dan seimbang.

2.0 Piramid Makanan

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (2010), Panduan Diet Malaysia


mencadangkan bahawa seseorang individu perlu mengambil pelbagai jenis makanan
berpandukan Piramid Makanan Malaysia untuk mengamalkan amalan pemakanan yang
sihat.. Oleh itu, kita perlu mengambil pelbagai jenis makanan yang sihat berdasarkan
pyramid makanan. Hal ini kerana segala nutrien penting yang diperlukan oleh tubuh badan
akan dapat diperoleh dan kita akan sentiasa sihat dan bertenaga untuk melakukan aktiviti
harian.

3.0 Piramid Makanan dalam mencegah obesiti

Bedasarkan beberapa kajian, jumlah penghidap obesiti di Malaysia telah meningkat


ke angka membimbangkan pada waktu kini. Majlis Pencegahan Obesiti pula telah
menjangkakan bahawa Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara dengan pesakit
kencing manis yang teramai pada tahun 2017 dan menduduki tempat keenam di Asia Pasifik
dari segi obesiti (Utusan Malaysia, 15 Nov 2011). Seseorang individu dikatogerikan
mengalami obesiti apabila Indeks Jisim Tubuh (BMI) mereka melebihi 30. Menurut
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2003), obesiti ini adalah berpunca apabila seseorang
individu tidak melakukan aktiviti fizikal yang cukup serta mempunyai amalan pemakanan
yang tidak sihat.
Karbohidrat adalah salah satu nutrien yang sangat signifikan dalam diet seseorang.
Karbohidrat berfungsi sebagai pembekal utama sumber tenaga dalam penyediakan
keperluan glukosa untuk penyimpanan glikogen (Maryama, 2015). Karbohidrat perlu diambil
antara antara 8-12 sajian dalam sehari bergantung kepada jumlah tenaga, saiz badan dan
jenis senaman yang dilakukan. Antara contoh karbohidrat yang terdapat dalam piramid
makanan ialah nasi, roti, roti dan mi. Walau bagaimanapun, Hark dan Deen (2005)
menyarankan untuk memilih karbohidrat yang berserat tinggi seperti roti mil penuh, beras
perang dan oat berbanding memilih karbohidrat yang mempunyai kanji dan kandungan gula
yang tinggi seperti nasi putih dan roti putih. Hal ini demikian kerana makanan karbohidrat
berbijirin penuh mempunyai kandungan serat yang tinggi, vitamin, mineral dan protein untuk
membantu membekalkan sumber tenaga yang baik untuk tubuh badan serta membantu
menyingkirkan lemak-lemak berlebihan dalam badan.

Selain itu, vitamin juga mempunyai kepentingnya tersendiri dalam amalan


pemakanan yang sihat. Vitamin ini kebanyakannya boleh diperolehi dalam sayur-sayuran
dan buah-buahan. Kumpulan makanan ini diletakkan pada aras kedua piramid serta perlu
diambil secara pukal (banyak). Panduan Diet Malaysia juga mencadangkan bahawa makan
sekurang-kurangnya 3 hidangan sayur dan 2 hidangan buah setiap hari kerana ia
melindungi tubuh daripada menghidap pelbagai penyakit kronik (Kementerian Kesihatan
Malaysia, 2010). Sayur-sayuran dan buah-buahan bukan sahaja mengandungi vitamin,
malah ia juga mengandungi serat yang tinggi, mineral dan rendah lemak. Kandungan serat
yang tinggi dan rendah lemak ini tidak mempunyai kalori dan membantu seseorang untuk
berasa kenyang dengan cepat (Holford, 2008). Justeru, sayur-sayuran dan buah-buahan ini
memegang peranan penting dalam membantu pengawalan berat badan kerana ia
membantu mengurangkan risiko daripada makan secara berlebihan dan sekaligus dapat
mencegah kadar obesiti daripada terus meningkat.

Protein pula terletak di aras ketiga piramid makanan. Protein boleh diperoleh
daripada kekacang, ikan, ayam, daging, telur, susu dan produk tenusu. Protein
mengandungi banyak manfaat terhadap sistem tubuh badan yang berfungsi untuk membaiki
tisu dan otot serta menguatkan tulang dan gigi. Ia juga berfungsi untuk membekalkan
tenaga apabila karbohidrat dan lemak tidak mencukupi di dalam badan (Mohd Sani Madon,
t.t). Dalam usaha untuk mencegah obesiti, kita digalakkan untuk mengambil protein daripada
sumber tumbuhan seperti kekacang dan sumber haiwan seperti ayam, ikan, kerang dan
telur. Pengambilan daging merah seperti daging lembu dan kambing adalah tidak digalakkan
untuk diambil secara kerap. Hal ini kerana daging merah mempunyai kandungan lemak tepu
dan kolesterol yang tinggi walaupun ia kaya dengan sumber protein. Ini boleh
mengakibatkan kepada penyakit kardiovaskular dan obesiti sekiranya ia diambil secara
berlebihan. Panduan Diet Malaysia 2010 juga mencadangkan untuk mengambil protein
daripada ikan, ayam, kekacang, susu dan produk tenusu kerana ianya mengandungi rendah
lemak dan pelbagai nutrien yang penting untuk kesihatan dan kecergasan (Kementerian
Kesihatan Malaysia, 2010). Di samping itu, obesiti dapat dicegah dengan mengambil
sumber protein yang mengandungi kandungan lemak tepu yang rendah, tiada kolesterol dan
mempunyai sumber nutrien yang lain. Tambahan lagi, susu dan produk tenusu seperti keju
dan yogurt merupakan sumber protein yang sangat membantu dalam pengurangan berat
badan kerana sumber ini mengandungi kalsium. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan
kalsium dalam pengamalan diet telah meningkatkan proses pemecahan lemak dan
menurunkan jumlah penghasilan lemak dalam badan (Bowen, Noakes, & Clifton, 2004).

Selain itu, lemak juga merupakan komponen penting yang terdapat dalam piramid
makanan. Lemak berfungsi untuk mengawalatur suhu badan, melindungi organ dalaman,
membekalkan vitamin larut lemak dan asid lemak perlu serta bertindak sebagai penebat
haba untuk melindungi badan daripada kesejukan (Mahadiah Muda, 2013). Walau
bagaimanapun, lemak, minyak, gula dan garam perlu diambil dengan sedikit. Dalam
pengamalan diet yang sihat, elakkan pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak tepu
seperti mentega, ayam goreng, burger dan sebagainya. Sebaliknya, amalkan pengambilan
lemak daripada sumber lemak tak tepu seperti minyak zaitun, minyak ikan, minyak sayuran
dan lain-lain. Lemak perlu diambil di antara 1-2 sajian. Namun, pengambilan lemak secara
berlebihan akan mengundang kepada masalah berat badan seterusnya kepada masalah
obesity dan peluang menghidap pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, sakit
jantung dan darah tinggi amat tinggi.

4.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, ramai orang yang kurang menyedari akan kepentingan piramid


makanan yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Menurut Bulan
Pemakanan Malaysia (2014), individu perlulah mengambil makanan harian mengikut
keperluan tenaga, jantina, umur, dan aktiviti fizikal yang dilakukan. Sekiranya tidak dijaga, ia
menyebabkan pertambahan berat badan dan mengundang kepada masalah obesiti. Oleh
itu, amalan pengambilan makanan yang sihat berpandukan Piramid Makanan Malaysia perlu
dititikberatkan untuk mengekalkan berat badan yang ideal serta mengelak daripada obesiti
dan penyakit berbahaya yang lain untuk kesihatan sepanjang hayat.

(1000 patah perkataan)


Rujukan

Bulan Pemakanan Malaysia. (2014). Makan sihat bergerak aktif: Cegah obesiti. Petaling
Jaya: Bulan Pemakanan Malaysia.

Hark, L., & Deen, D. (2005). Nutrition for life: The definitive guide to eating well for good
health. United Kingdom: Dorling Kindersley Ltd.

Kementerian Kesihatan Malaysia. (2010). Panduan diet Malaysia. Putrajaya: Kementerian


Kesihatan Malaysia.

Kementerian Kesihatan Malaysia. (2010). Modul intervensi obesiti di tempat kerja. Putrajaya:
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Lembaga Promosi Kesihatan. (2011). Modul program promosi kesihatan: Pencegahan


obesiti. Petaling Jaya: Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia

Maryama Awang Daud. (2015). Nutrisi sukan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahadiah Muda. (2013). Xpress Bestari: Biology. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

Noorsyarzielah Salleh. (2013). Kesedaran terhadap amalan pemakanan seimbang dalam


kalangan pelajar Politeknik Merlimau, Melaka: Satu tinjauan. Fakulti Pendidikan
Teknikal dan Vokasional: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Pertubuhan Kesihatan Sedunia. (2003). Diet pemakanan dan pencegahan penyakit kronik:
Laporan bersama WHO perundingan / FAQ pakar. Geneva: World Health
Organization.

Utusan Malaysia. (15 Nov 2011). Obesiti: Malaysia nombor satu. Dimuat turun pada 3 Feb
2017 dilaman web: http://www.ukm.my/nbnews/obesiti-di-malaysia-kian-serius/

You might also like