You are on page 1of 8

SENARAI KANDUNGAN

BORANG MAKLUM BALAS KERJA KURSUS


ISI KANDUNGAN MUKA SURAT
1.0 PENGENALAN 1
2.0 FAKTOR OBESITI
3.0 PENCEGAHAN OBESITI 2
4.0 PENUTUP 4
Rujukan
1.0 PENGENALAN
Trend Obesiti di Malaysia ‘menggerunkan’ inilah yang dicatatkan pada tajuk utama
berita harian yang bertarikh 22 Jun 2020. Pada saat ini, rakyat Malaysia bukan sahaja
diserang oleh virus Covid – 19 namun rakyat Malaysia turut diserang dengan penyakit
obesiti yang meningkat secara mendadak sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang sedekad
(Sakini Mohd Said,2020) . Obesiti merupakan satu keadaan di mana berlaku lemak
berlebihan dalam badan apabila individu mengambil jumlah kalori yang berlebihan daripada
apa yang diperlukan oleh tubuh mereka. Kalori berlebihan akan disimpan di bawah kulit
dalam tisu adipos (Siti Rohana Din, 2009). Individu yang dikategorikan sebagai obesiti
adalah mereka yang mempunyai nilai Indeks Jisim Badan atau Body Mass Index (BMI) pada
angka 30 dan ke atas. Nilai BMI yang tinggi menggambarkan kadar lemak dalam badan
yang tinggi (Centers for Disease Control and Prevention, 2016). Menurut Sakini Mohd Said
(2020), pertambahan nilai BMI pada saat pandemik ini adalah disebabkan oleh pergerakan
yang terhad akibat daripada bekerja di rumah, mudah mendapatkan makanan sambil
bekerja serta kemudahan mengakses makanan segera. Faktor-faktor ini, merupakan
pemangkin terhadap peningkatan mendadak obesiti rakyat Malaysia pada era pandemik ini.

Keadaan tubuh badan individu yang mengalami obesiti adalah sangat berbahaya
kerana menyebabkan risiko penyakit sampingan lain seperti serangan jantung, mati
mengejut, sakit dada dan denyutan jantung yang tidak normal. Selain penyakit sakit jantung,
individu obesiti juga berisiko tinggi dalam menghidapi penyakit darah tinggi dan diabetis.
Tambahan pula, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHSM) 2011 yang
dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada tahun sebelumnya menunjukkan satu daripada
lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes (Syahira Omar, 2016). Perkara ini turut
membimbangkan kerana kumpulan ini berdepan risiko komplikasi kesihatan yang lebih
dahsyat malah turut berisiko membawa maut sekiranya disahkan positif COVID – 19 dan
tidak mendapat rawatan secepat mungkin. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr
Noor Hisham Abdullah, lebih 80 peratus daripada jumlah kes kematian bagi kes COVID-19
adalah daripada pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit
jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang (Kenyataan Akbar Kementerian Kesihatan
Malaysia, 3 Mei 2020)
2.0 FAKTOR - FAKTOR OBESITI

Berdasarkan isu di atas, antara faktor yang menyumbang terhadap obesiti di


Malaysia pada era ini adalah pergerakan yang terhad akibat daripada bekerja di rumah,
mudah mendapatkan makanan sambil bekerja serta kemudahan mengakses makanan
segera. Faktor pertama yang menyebabkan obesiti terhadap individu adalah kerana
pergerakan yang terhad mengakibatkan kadar pembakaran kalori di dalam badan individu
berkurangan sekaligus menukarkan kalori yang tidak digunakan kepada lemak. Menurut
Kementerian Kesihatan Malaysia (2008), seorang lelaki yang aktif memerlukan sekurang-
kurang 2500 kalori setiap hari untuk kekal sihat dan cergas manakala seorang wanita
memerlukan 2000 kalori setiap hari. Namun, sewaktu pasca pandemik ini dapat dilihat
bahawa kalori yang diambil oleh seorang individu melebihi had yang ditetapkan dan kalori
yang diambil tidak ditukarkan kepada tenaga. Faktor kedua adalah kekurangan aktiviti
fizikal, hal ini disebabkan oleh pasca pandemik yang tidak membenarkan individu untuk
keluar bersukan di luar rumah dan individu lebih tertarik untuk bermain telefon serta melayari
internet berbanding melakukan aktiviti senaman di dalam rumah. Faktor ketiga pula adalah
disebabkan oleh wujudnya penghantar makanan seperti Foodpada, Grabfood, Hungry dan
lain-lain yang memudahkan individu untuk memesan makanan segera dengan hanya
menggunakan telefon bimbit. Menurut Azlan (2011) makanan segera ini mengandungi
kandungan lemak, garam, perasa, pemekat, pewarna tiruan yang tinggi. Contohnya, sebiji
burger daging mengandungi lebih 35 % lemak. Kentang goreng pula lazimnya direndam
dalam lemak (biasanya lemak tepu) dan digoreng separuh masak sebelum dibungkus.
Apabila hendak dihidangkan, kentang tersebut digoreng sekali lagi menyebabkan
kandungan lemak bertambah dua kali ganda. Maka apabila berlakunya pengambilan yang
kerap lemak tersebut akan berkumpul dibahagian lapisan badan terutamanya perut yang
mengakibatkan obesiti.

3.0 PENCEGAHAN OBESITI

Secara umumnya, obesiti boleh dicegah melalui penjagaan diet seimbang, tabiat
pemakanan yang sihat dan aktif bersenam (Hajahfarhana Tarmudi, 2015). Penulisan ini
akan berfokuskan kepada pencegahan obesiti melalui pemakanan yang sihat mengikut
piramid makanan. Piramid Makanan secara umumnya merupakan satu carta berbentuk
piramid yang berfungsi sebagai panduan untuk membantu individu merancang pengambilan
jenis-jenis makanan dan sukatan makanan yang sesuai pada setiap hari (Mahfuzah Musban
dan Noraisyah Mat Nor, t.t). Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (2012), Piramid
Makanan Malaysia merupakan satu panduan mudah bagi individu mempelbagaikan
makanan harian mengikut jumlah sajian yang disarankan. Piramid Makanan Malaysia
mempunyai gabungan lima kumpulan makanan yang diletakkan pada empat aras. Selain
daripada jenis kumpulan makanan, piramid makanan juga menyatakan jumlah sajian yang
disarankan untuk diambil dalam sehari bagi setiap kumpulan makanan. Bentuk piramid yang
lebih besar di bahagian bawah dan semakin mengecil ke atas memberikan gambaran yang
jelas kepada individu bahawa mereka perlu mengambil makanan yang lebih banyak pada
bahagian dasar piramid dan pengambilan yang sedikit bagi kumpulan makanan pada aras
paling tinggi piramid.

KARBOHIDRAT

Karbohidrat amat penting dalam pemakanan seharian individu kerana fungsinya


sebagai pembekal tenaga utama kepada manusia. Antara contoh karbohidrat yang terdapat
dalam piramid makanan ialah nasi, roti, bijirin, gandum dan mee. Namun begitu, karbohidrat
terbahagi kepada dua jenis iaitu karbohidrat berserat tinggi dan karbohidrat yang
mengandungi kanji yang tinggi. Karbohidrat yang berserat tinggi seperti roti “wholemeal”,
bijirin mil penuh dan beras perang lebih disarankan berbanding karbohidrat yang
mempunyai kanji dan glukosa yang tinggi seperti nasi putih, mee kuning dan roti putih.
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan makanan seperti nasi putih, mee dan roti putih
secara berlebihan telah menyumbang kepada peningkatan kadar penyakit diabetes dan
obesiti di seluruh dunia kerana ia mempunyai kandungan kanji dan gula yang tinggi
(Norfazlinda, 2012). Maka, seseorang individu perlu bijak memilih makanan karbohidrat
yang berserat tinggi bagi mencegah obesiti, dengan jumlah pengambilan yang disyorkan
sebanyak 4 hingga 8 sajian sehari dalam Piramid Makanan Malaysia (Kementerian
Kesihatan Malaysia, 2012).

VITAMIN

Seterusnya, vitamin yang diperolehi daripada sayur-sayuran dan buah-buahan juga


penting dalam amalan pemakanan mencegah obesiti. Kumpulan makanan ini berada pada
aras kedua dalam Piramid Makanan Malaysia yang bermakna ia diperlukan dalam kuantiti
yang banyak, khususnya 3 sajian sayur-sayuran dan 2 sajian buah-buahan dalam sehari.
Sayur-sayuran dan buah-buahan bukan sahaja mengandungi vitamin, malah ia juga
mengandungi serat yang tinggi, mineral dan rendah lemak. Kandungan serat yang tinggi
mampu membantu seseorang untuk berasa kenyang dengan lebih cepat sekali gus
membantu mereka untuk mengurangkan risiko megalami obesiti akibat daripada makan
berlebihan. Antara sayuran dan buah-buahan yang mengandungi serat yang tinggi
termasuklah bayam, betik, brokoli dan buah pir (Tengu Asmadi, 2015). Tambahan pula,
panduan piramid makanan menggariskan bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai
antara diet terpenting bagi memperolehi pemakanan yang seimbang dan seterusnya
mendapat kesihatan yang optimum (Mahfuzah Musban dan Noraisyah Mat Nor, t.t).

PROTEIN

Sumber protein boleh diperoleh daripada kekacang, ikan, ayam, daging, telur, susu dan
produk tenusu. Protein yang terletak pada aras ketiga dalam Piramid Makanan Malaysia
mengandungi banyak manfaat terhadap sistem tubuh badan yang berfungsi untuk membaiki
tisu dan otot serta menguatkan tulang dan gigi. Ia juga berfungsi untuk membekalkan
tenaga apabila karbohidrat dan lemak tidak mencukupi di dalam badan (Mohd Sani
Madon, t.t). Berpandukan kepada Piramid Makanan Malaysia, protein terbahagi kepada dua
bahagian iaitu bahagian pertama terdiri daripada ikan, ayam, daging dan kekacang
manakala bahagian kedua mengandungi susu dan hasil tenusu. Bagi mencegah obesiti,
seseorang individu digalakkan untuk mengambil protein daripada sumber tumbuhan seperti
kekacang dan sumber haiwan seperti ayam, ikan, kerang dan telur. Pengambilan daging
merah seperti daging lembu dan kambing adalah tidak digalakkan untuk diambil secara
kerap kerana mengandungi kadar lemak dan kolestrol yang tinggi walaupun ia kaya dengan
sumber protein.

LEMAK

Secara umumnya, lemak yang berada di puncak piramd makanan berfungsi untuk
membekal tenaga dan haba kepada badan, menjadi sumber tenaga simpanan serta
berperanan sebagai penebat dengan menghalang haba keluar daripada badan bagi
membantu memanaskan badan apabila seseorang terdedah kepada suhu persekitaran yang
terlalu sejuk (Norhidayah Othman, t.t). Sungguhpun begitu, piramid makanan meletakkan
lemak, minyak gula dan garam di puncak piramid yang membawa maksud pengambilannya
dalam diet seharian perlu dihadkan terutamanya makanan yang mengandungi lemak tepu
seperti mentega dan burger. Sebaliknya, digalakkan untuk mengambil sumber alternatif lain
yang lebih sihat seperti minyak zaitun, minyak sayuran dan minyak ikan. Dalam usaha
mencegah obesiti, pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak dan berminyak dalam
penyediaan makanan perlu dikurangkan (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2010). Umum
mengetahui bahawa pengambilan lemak secara berlebihan akan menyebabkan masalah
obesiti sekiranya tiada kawalan pada peringkat awal. Obesiti akan menyebabkan seseorang
itu berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit sakit jantung. Lemak yang terlalu tebal akan
menyumbat saluran darah menyebabkan organ seseorang itu idak mendapat oksigen yang
mencukupi. Lemak yang berlekat pada dinding saluran darah telah menyekat pengedaran
darah ke organ dan menyebabkan kekurangan oksigen.

4.0 PENUTUP

Kesimpulannya, rakyat Malaysia perlulah menjadikan Piramid Makanan sebagai


panduan untuk mengamalkan diet pemakanan yang sihat iaitu mengikut kuantiti yang
disarankan. Pengambilan karbohidrat, vitamin, protein dan lemak sememangnya perlu untuk
memenuhi keperluan nutrisi tubuh badan tetapi perlulah dikawal dan diseimbangkan
pengambilannya. Sekiranya makanan diambil dengan kerap dan tidak seimbang antara
kumpulan-kumpulan makanan tersebut, maka ia akan menyebabkan pertambahan berat
badan dan mengundang kepada masalah obesiti serta penyakit sampingan yang lain. Oleh
itu, amalan pengambilan makanan yang sihat berpandukan Piramid Makanan Malaysia perlu
dititikberatkan untuk mengekalkan berat badan yang ideal serta mengelak daripada obesiti
dan penyakit berbahaya yang lain untuk kesihatan sepanjang hayat. Tambahan lagi, dalam
keadaan pandemik ini rakyat Malaysia harus memikirkan mengenai kesihatan diri dengan
lebih mendalam agar dapat memelihara diri untuk melawan COVID – 19.
RUJUKAN
Centers for Disease Control and Prevention. (2016). Defining Adult Overweight and Obesity.
Diakses pada 2 Mac 2018 daripada https://www.cdc.gov/obesity/adult/defining.html

Hajah farhana Tarmudi. (2015). Bebaskan Diri daripada Obesiti. Diakses pada 2 Mac 2018
daripada https://www.hmetro.com.my/node/80591

Kementerian Kesihatan Malaysia. (2008). Berlebihan Berat Badan & Obesiti. Diakses pada 1
Mac 2018 daripada http://www.myhealth.gov.my/berlebihan-berat-badan-a-obesiti/

Kementerian Kesihatan Malaysia. (2012). Piramid Makanan Malaysia. Diakses pada 1 Mac
2018 daripada http://www.myhealth.gov.my/piramid-makanan-malaysia/

Mohd Sani Madon. (t.t). Modul pembelajaran PJJ UPSI. Dimuat turun pada 2 Mac 2018
daripada http://www.docfoc.com/modul-pembelajaran-qgk-3013-pjj-upsi-final-format-
pdf

Mohd Azlan Abdullah dan Noraziah Ali. (2011). Amalan Pemakanan dalam Kalangan Pelajar
Universiti dan Implikasinya Terhadap Pembelajaran. Jurnal Personalia Pelajar, Bil
(14) : 59 – 68.

Noor Hisham Abdullah. (2020). Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019
(Covid-19) Di Malaysia. Kenyataan Akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia. Diakses pada
12 September 2020 daripada file:///C:/Users/Dell/Downloads/Kenyataan%20Akhbar
%20KPK%20COVID-19%20(3%20Mei%202020).pdf

Norfazlinda Mustaffa, Nurul Ain Abd Raub, Suzieliana Salleh, & Farah Zuli Abd Rahman.
(2012). Piramid makanan baru. Dimuat turun pada 3 Mac 2018 https://inspirasilmu
.wordpress.com/2012/05/11/piramid-makanan-baru/9

Norhidayah Othman. (t.t). Kepentingan Pemakanan Seimbang. Diakses pada 5 Mac 2018
daripada https://norhidayahothman.wordpress.com/kepentingan-pemakanan-seimba
ng/
Sakini Mohd Said. (2020). Trend Obesiti di Malaysia 'menggerunkan'. Berita Harian Online.
Diakses pada 10 September 2020 daripada https://www.bharian.com.my/wanita/
sihat/2020/06/702978/trend-obesiti-di-malaysia-menggerunkan

Siti Rohana Din. (2009). Pengubahsuaian Diet untuk Mencegah dan Merwata Obesiti.
Diakses pada 1 Mac 2018 daripada https://tsnra.files.wordpress.com/2009/10/diet-
utk-mengawal-berat-badan.pdf

Syahira Omar. (2016). Obesiti Di Malaysia Kian Serius. Diakses pada 2 Mac 2018 daripada
http://www.ukm.my/nbnews/obesiti-di-malaysia-kian-serius/#.WqjUNehuZPY

Tengku Asmadi. (2015). 8 Makanan Serat Tinggi Untuk Diet Sihat. Diakses pada 3 Mac
2018 daripada http://mrtengkuasmadi.com/makanan-serat-tinggi/

You might also like