You are on page 1of 12

AKBAR (1556-1605M) DAN USAHA PENYATUAN INDIA

DI BAWAH KERAJAAN MUGHAL


(Akbar (1556-1605M) and His Efforts in the Consolidation of
India Under Mughal Reign)

Oleh :
Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari*
Mohd. Roslan Mohd. Nor**

Abstrak
Akbar (1556-1605M) merupakan antara pemerintah Mughal yang dianggap hebat berdasarkan
pencapaian semasa pemerintahannya. Malah, beliau dianggap sebagai pengasas sebenar
empayar Mughal setelah berjaya menewaskan tentera pimpinan Hemu dalam Perang Panipat
1556M dan seterusnya melakukan usaha menyatukan India. Artikel ini bermatlamat meneliti
usaha yang dilakukan oleh Akbar untuk menyatukan wilayah India di bawah pemerintah
Kerajaan Mughal. Reka bentuk kajian ini ialah kajian sejarah dengan menggunakan
pendekatan kajian kualitatif dalam mengumpul dan menganalisis data. Metode yang
digunakan untuk mengumpul data ialah metode dokumentasi manakala metode pensejarahan
dan analisis kandungan digunakan untuk menganalisis data. Dapatan kajian menunjukkan
Akbar telah melaksanakan beberapa usaha untuk menyatukan seluruh India. Bagaimanapun,
wujud sebahagian usaha yang dilaksanakan tidak diterima oleh umat Islam di India kerana
merasakan usaha-usaha tersebut mencipta kontroversi dan menyimpang daripada ajaran Islam
sebenar. Namun demikian, tentangan berkenaan tidak merencatkan cita-cita Akbar untuk
melihat misi politiknya tercapai.

Kata kunci: Akbar, Mughal, India, Din Illahi, Bahasa Urdu

Abstract
Akbar (1556-1605M) was the one of great Mughal rulers based on his achievements during
his reign. In fact, he was considered as the real founder of the Mughal Empire after defeated
the military campaign which led by Hemu in the Battle of Panipat 1556M and struggled to
unite India. The objective of article is to examine the efforts of Akbar to unite the India region
under the Mughal reign. The design of this research is historical study by using qualitative
method in collecting and analyzing data. The documentation method was used to collect the
data while historical method and content analysis were used to analysis it. The research
findings showed that Akbar was did the several efforts to unify the entire of India. However,
there was some efforts were not accepted by Muslims in India because the efforts were
controversial and deviated from the pure Islamic teachings. On the other hands, that objection
was not effected to prevent the Akbar’s desire to see his political mission accomplished.

Keywords: Akbar, Mughal, India, Din Illahi, Urdu Language

*
Mohamad Zulfazdlee bin Abul Hassan Ashari merupakan calon Doktor Falsafah di Jabatan Sejarah dan
Tamadun Islam, APIUM. Beliau boleh dihubungi melalui emel: mozaha@siswa.um.edu.my.
**
Prof. Madya Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor, PhD, merupakan profesor madya di Jabatan Sejarah dan Tamadun
Islam, APIUM dan kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Pembangunan),
APIUM.

55
Jurnal Al-Muqaddimah Bil 1 (2) 2013, 55-66

Pendahuluan

Kerajaan Mughal merupakan antara sebuah kerajaan Islam yang besar di wilayah India.
Kewujudan dan pencapaian Kerajaan Mughal dianggap permata dalam tamadun Islam dan
disifatkan setara dengan tamadun Islam di al-Andalus ketika era Umawi, Baghdad ketika era
‘Abbasi dan Turki ketika era ‘Uthmani.1 Malah, penubuhannya yang diasaskan oleh Babur
pada tahun 1526M dilihat sebagai satu langkah untuk mewujudkan kerajaan Islam di benua
Asia bagi menyaingi kekuatan Kerajaan ‘Uthmaniyyah pimpinan Salim I, Kerajaan
Safawiyyah pimpinan Shah Ismail dan Kerajaan Uzbek ketika itu.2

Sepanjang sejarah kewujudan Mughal, ramai ahli sejarah bersepakat untuk mengiktiraf Akbar
sebagai pemerintah Mughal yang teragung. Hal ini dapat dilihat pada pencapaian Mughal
ketika zaman pemerintahannya, khususnya ketika menjalankan proses penaklukan wilayah di
seluruh India.3 Keupayaan Akbar menggerakkan tentera Mughal lalu menawan satu-persatu
wilayah kerajaan Hindu disifatkan sebagai satu kejayaan yang membanggakan. Berdasarkan
pencapaian ini, Akbar diiktiraf sebagai pemerintah Mughal yang terhebat lalu digelar sebagai
Akbar The Great.4 Di sebalik pencapaian yang hebat, Akbar turut menemui kegagalan,
khususnya ketika membawa gagasan kefahaman agama, yang dikenali sebagai Din-i-Illahi.
Gagasan yang cuba untuk menyatukan semua agama dengan alasan untuk menyatukan
masyarakat India ternyata ditolak oleh para ulama dan masyarakat Islam kerana dianggap
menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.5

Namun demikian, pencapaian Akbar dalam memastikan kegemilangan dan keutuhan Kerajaan
Mughal tidak boleh dinafikan sama sekali. Misi Akbar yang ingin melihat ‘Kesatuan Mughal’
berjaya dibentuk dalam pemerintahan di India menyebabkan beliau sentiasa melakukan
beberapa usaha melibatkan perubahan polisi pentadbiran dan tindakan ketenteraan. Malah,
dalam aspek penyatuan ini, Akbar disifatkan berjaya membentuk gagasan “Kesatuan
Kebangsaan India” atau Indian National Coalition dengan kerjasama daripada golongan
Hindu Rajput. Kerjasama sedemikian telah memberikan sokongan kekuatan kepada Akbar
untuk menghapuskan musuhnya, baik daripada golongan Islam mahu pun Hindu.6

1
Hamka, Sejarah Umat Islam (Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd., 2006), 500.
2
Kulke. H. & Rothermund. D., A History of India (New York: Routledge, 2004), 196.; Naqvi. H. K., History of
Mughal Government and Administration (Delhi: Kanishka Publishing House, 1990), 3.
3
Bosworth. C. E., The Islamic Dynasties: A Chronological and Genealogical Handbook (Edinburgh: Edinburgh
University Press, 1967), 211.
4
Hintze. A., The Mughal Empire and Its Decline: An Interpretation of the Sources of Social Power (Aldershot:
Ashgate Publishing Limited, 1997), 50.
5
Ismail Bakar, “Maharaja Akbar: Antara kejayaan dan kegagalan,” dalam al-Hadarah, ed. Muhammad Bukhari
Lubis & Anwar Zainal Abidin (Bangi: Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia, 1994), 294; Ismail Bakar, Ezad Azraai Jamsari & Mohamad Zulfazdlee Abul
Hassan Ashari, “ Maharaja Akbar (1556-1605M): Tokoh pemerintah Kerajaan Mughal Abad ke-16M,” dalam
Prosiding Simposium Isu-isu Sejarah dan Tamadun Islam (SISTI 2011) (Bangi: Jabatan Pengajian Arab dan
Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2011), 845-854..
6
Ismail Bakar, Sejarah & Tamadun Islam di India (Bangi: Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti
Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000) 209.
Akbar (1556-1605m) Dan Usaha Penyatuan India Di Bawah Kerajaan Mughal

Latar Belakang Akbar

Nama sebenar Akbar ialah Muhammad dan mempunyai beberapa gelaran seperti Abu al-Fath,
Jalal al-Din dan Akbar. Namun begitu, Akbar merupakan gelaran yang sinonim dan lebih
dikenali apabila merujuk kepada diri beliau. Malah, Akbar itu sendiri bermaksud seseorang
yang agung.7 Beliau dilahirkan pada 15 Oktober 1542M di Umarkot hasil perkahwinan antara
pemerintah Mughal kedua, Nasir al-Din Humayun dan Hamidah Banu Begum. Kelahiran
Akbar telah menggembirakan hati Humayun kerana beliau dikurniakan seorang anak lelaki
yang akan mewarisi kekuasaannya. Hal tersebut turut mengubati sedikit kekecewaan dan
memberikan harapan kepada Humayun untuk menguasai semula Delhi setelah ditewaskan
oleh Sher Shah pada tahun 1540M.8

Pada tahun 1555M, Humayun telah berjaya menguasai semula Delhi dan mengembalikan
kekuasaan Mughal di India buat kali kedua. Namun demikian, pada 24 Januari 1556M,
Humayun telah meninggal dunia setelah enam bulan menguasai semula India. Dengan
pemergian Humayun, maka Akbar telah mengambil alih pemerintahan Mughal dalam usia
yang muda, iaitu 14 tahun.9 Disebabkan beliau menaiki takhta ketika masih berusia muda,
maka beliau tidak mempunyai masa yang banyak untuk belajar dan menuntut ilmu. Ketika
usianya lima tahun, Humayun telah melantik seorang guru untuk mengajar Akbar membaca
dan menulis. Gurunya sering bertukar namun Akbar tidak boleh membaca dan menulis
lantaran beliau tiada minat untuk belajar kedua-dua kemahiran tersebut. Akbar lebih berminat
untuk mendengar sekiranya ada orang yang membacakan sesuatu sama ada buku atau syair
kepada beliau. Bagaimanapun, Akbar seorang yang tangkas dalam bidang sukan dan sering
berlatih menggunakan alatan perang.10 Disebabkan kekosongan ilmu ketika usia muda, maka
akhirnya beliau bertindak sendiri mewujudkan sebuah gagasan yang mencampuradukkan
semua agama, dikenali sebagai Din-i-Illahi, bagi mengisi jiwa kosong beliau setelah
mendengar pelbagai kata-kata nasihat daripada ulama yang datang dari pelbagai agama selain
bertujuan untuk membentuk kesatuan politik.11

Justeru, pembantu yang juga sahabat baik bapanya, Bayram Khan, telah membimbing Akbar
dalam bidang politik dan pentadbiran.12 Pada 14 Februari 1556M, Akbar telah diisytiharkan
sebagai pemerintah Mughal ketika menggantikan Humayun di Lahore. Setelah itu, Bayram
Khan telah menjemput beliau ke Agra untuk memegang teraju kepimpinan Mughal. Oleh
kerana usianya yang masih muda, segala urusan pentadbiran kepada Bayram Khan untuk
dikendalikan. Pada peringkat awal pemerintahan Akbar, Bayram Khan dilihat berkuasa
menentukan segala keputusan dengan menggunakan nama maharaja. Hal ini dapat dilihat
jelas ketika pertempuran antara tentera Mughal dengan tentera pimpinan Hemu dalam Perang
Panipat pada November 1556M.13 Dalam perang tersebut, Hemu dapat dicederakan apabila
seorang pemanah tentera Mughal berjaya melepaskan serangan panah lalu menembusi mata
Hemu. Disebabkan kecederaan tersebut, Hemu telah jatuh dari kuda dan menyebabkan
tenteranya berada dalam keadaan kucar-kacir. Dalam kekalutan tersebut, tentera Mughal

7
Hamka, Sejarah Umat Islam, 505.
8
Qureshi. I. H., Akbar The Architect of the Mughul Empire (Delhi: Idarah-I-Adabiyat-I-Delhi, 1987), 33.
9
Ismal Bakar, Sejarah & Tamadun Islam di India, 198-200.
10
Qureshi. I. H., Akbar The Architect of the Mughul Empire, 46; Srivastava. A. L., Akbar The Great, Jil. 1,
(Agra: Shiva Lal Agarwala & Company (P.) Ltd., 1962), 12 .
11
Ajid Thohir & Ading Kusdiana, Islam di Asia Selatan (Bandung: Humaniora, 2006), 97.
12
Qureshi. I. H., Akbar The Architect of the Mughul Empire, 45; Ismal Bakar, Sejarah & Tamadun Islam di
India, 205.
13
Kulke. H. & Rothermund. D., A History of India, 200; Ismail Bakar, Sejarah & Tamadun Islam di India, 202.

57
Jurnal Al-Muqaddimah Bil 1 (2) 2013, 55-66

berjaya menangkap Hemu lalu dibawa ke hadapan Akbar untuk dijatuhkan hukuman mati.14
Namun demikian, Bayram Khan sendiri yang memutuskan hukuman berkenaan tanpa
menunggu keputusan daripada Akbar selaku pemerintah.15 Hal ini jelas menunjukkan
pengaruh Bayram Khan cukup besar ketika peringkat awal pemerintahan Akbar. Namun,
Bayram Khan dipecat setelah Akbar berpandangan bahawa beliau seharusnya menerajui
pemerintahan tanpa campur tangan dan pengaruh sesiapa.16

Setelah Bayram Khan dipecat, Akbar telah merangka sendiri program untuk menyatukan
India di bawah Kerajaan Mughal. Beliau telah mengambil inisiatif dengan menggerakkan
tentera menghapuskan saki-baki pemberontak Afghan, menawan beberapa wilayah Hindu dan
memerangi puak pemberontak dalam kalangan kerabat Mughal. Usaha penyatuan
diperkukuhkan dengan melakukan beberapa reformasi sosial yang boleh disifatkan layanan
sama rata tanpa mengira kaum dan agama. Usaha berkenaan berterusan sepanjang
pemerintahan Akbar sehingga beliau meninggal dunia pada 25 Oktober 1605M lalu
dimakamkan di Sikandra, berhampiran Agra.17

Usaha Akbar Dalam Menyatukan India

Bagi memastikan misi Akbar untuk menyatukan India di bawah pemerintahan Kerajaan
Mughal berjaya, beliau telah melaksanakan beberapa usaha, baik bersifat gerakan ketenteraan,
perubahan polisi pentadbiran dan percetusan gagasan keagamaan dan kebudayaan.18 Justeru,
artikel ini cuba melihat dan meneliti empat usaha yang dilakukan oleh Akbar bagi
menjayakan misi ‘Kesatuan Mughal’, iaitu penaklukan ke atas wilayah Hindu, polisi
pentadbiran yang sama rata, gagasan ajaran Din-i-Illahi dan penggunaan bahasa Urdu.

i. Penaklukan ke atas wilayah India

Dasar penaklukan ke atas wilayah India merupakan antara usaha Akbar dalam melaksanakan
misi penyatuan India di bawah pemerintahan Mughal. Setelah kemenangan ke atas Hemu
dalam Perang Panipat 1556M, Akbar meneruskan usaha untuk menguasai wilayah India
sehingga ke kawasan Bengal dan Deccan. Usaha penaklukan ini dilakukan secara
berperingkat dengan peringkat pertama (1561-1576M) disasarkan kepada bahagian tengah
India, peringkat kedua (1583-1595M) pula ditumpukan ke bahagian utara India dan manakala
peringkat ketiga (1597-1601M) pula dihalakan ke wilayah Deccan.19

Usaha pertama dimulakan pada tahun 1561M dan sasaran wilayah ketika itu ialah kota
Malwa. Akibat penawanan tersebut, Raja Amber telah menghulurkan salam persahabatan dan
kerjasama serta tunduk kepada pemerintahan Mughal. Perkara tersebut dilakukan bertujuan
mengelakkan serangan dahsyat tentera Mughal ke atas kerajaannya seperti mana yang
menimpa kota Malwa.20 Setelah itu, Akbar telah memerangi Rani Durgavati, pemerintah
wilayah Gondwana pada tahun 1564M di daerah Jabalpur. Tentera Mughal yang diketuai oleh
Asaf Khan berjaya menewaskan musuh dan membunuh Rani Durgavati dan Raja Bir

14
Ismail Bakar, Sejarah & Tamadun Islam di India, 203.
15
De Laet. J., The Empire of the Great Mogol, Terj. Hoyland. J. S. (New Delhi: Oriental Books Reprint
Corporation, 1974), 142.
16
Von Garbe. R., Akbar Emperor of India (Chicago: The Open Court Publishing Company, 1909), 7.
17
Richards. J. F., The New Cambridge History of India: The Mughal Empire (Cambridge: Cambridge
University Press, 2008), 56.
18
Kulke. H. & Rothermund. D., A History of India, 202.
19
Ismail Bakar, Sejarah & Tamadun Islam di India, 206.
20
Pandey. A. B., Later Medieval India: A History of the Mughals (Allahabad: Central Book Depot, 1963), 101.
Akbar (1556-1605m) Dan Usaha Penyatuan India Di Bawah Kerajaan Mughal

Narayan. Penawanan Gondwana ini memberi jalan kepada Akbar untuk meneruskan
penaklukan ke atas kota Chittor, ibu negeri Mewar. Pada tahun 1568M, Akbar berjaya
menawan Chittor walaupun pertahanan tentera Hindu dikatakan antara pertahanan yang
terkuat.21 Setelah itu, Akbar meneruskan ekspedisinya ke Rajashtan dalam usahanya
menakluk kota Ranthambor. Pada tahun 1569M, Akbar berjaya menawan kota tersebut dan
berjaya menghancurkan Istana Raja Chauhan.22

Kejayaan tentera Mughal menawan Chittor dan Ranthambor memberi pukulan hebat kepada
tentera Hindu Rajputs. Raja Ramchandra yang memerintah wilayah Kalinjar telah
menyerahkan kota tersebut kepada Akbar pada tahun 1569M. Pada tahun 1572M, Akbar
meneruskan misinya ke wilayah Gujerat yang cukup terkenal dengan kemajuan
pelabuhannya. Antara pelabuhan-pelabuhan yang penting di wilayah Gujerat ialah Broach,
Cambay dan Surat. Kawasan Gujerat juga merupakan kawasan yang subur dengan hasil
pertanian. Penawanan Gujerat berlaku tanpa tentangan setelah pentadbiran sebelumnya, iaitu
Muzaffar Shah, telah melarikan diri. Penaklukan Gujerat memberi sumbangan yang besar
kepada ekonomi Mughal sehinggakan Akbar terpaksa menubuhkan sebuah jabatan percukaian
khas untuk mengurus hal-ehwal hasil wilayah tersebut.23

Pada tahun 1574M, Akbar berangkat pula ke Bengal melalui jalan laut. Tindakan Akbar ini
tidak diduga sama sekali oleh pemerintah Bengal, Daud Khan yang menganggap Maharaja
tidak berminat dengan aktiviti maritim. Keberangkatan Akbar ini sebagai reaksi kepada
tindakan Daud Khan yang memutuskan hubungan dengan Mughal dan mengisytiharkan
dirinya sebagai sultan. Penawanan Akbar ke atas wilayah Bengal tidak menghadapi tentangan
kerana Daud Khan telah melarikan diri. Setelah itu, Akbar melantik Mun’im Khan sebagai
Gabenor Bengal dan baginda berangkat pulang ke Fatehpur Sikri.24

Pada tahun 1581M, adik tiri Akbar iaitu Mirza Muhammad Hakim yang memerintah wilayah
Kabul telah memberontak dan mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Mughal. Tindakan
Mirza Muhammad Hakim ini merupakan reaksi kepada polisi Akbar yang menjalinkan
kerjasama politik yang baik dengan pemerintah Hindu Rajputs. Berbekalkan sokongan
daripada seorang pegawai tinggi Kerajaan Mughal, iaitu Khwaja Mansur, Mirza Muhammad
Hakim telah menawan Punjab dan merancang untuk menakluki keseluruhan India. Akbar
mengetuai angkatan perang berjumlah 50,000 tentera berkuda dan 500 tentera bergajah dan
mengekori Mirza Muhammad Hakim sehingga ke Kabul. Namun begitu, Akbar tidak
mengenakan hukuman kepada Mirza Muhammad Hakim malah memaafkannya dan
menyerahkan wilayah Kabul untuk ditadbir oleh Mirza Muhammad Hakim.25 Para pengkaji
sejarah berpendapat tindakan Akbar yang tidak menjatuhkan hukuman dan mengekalkan
pentadbiran Mirza Muhammad Hakim di Kabul sebagai satu tindakan yang mengejutkan
kerana kesalahan adik tirinya itu merupakan kesalahan besar dan boleh dihukum bunuh.26 Hal
ini merupakan tindakan bijak Akbar untuk menjamin pemberontakan tidak berulang kerana
beliau perlu menumpukan perhatian untuk menawan wilayah lain di bahagian utara India.

21
De Laet. J., The Empire of the Great Mogol, 146.
22
Ismail Bakar, “Maharaja Akbar: Antara kejayaan dan kegagalan,” 294-295.
23
Ismail Bakar, “Maharaja Akbar: Antara kejayaan dan kegagalan,” 296.
24
Ismail Bakar, Sejarah & Tamadun Islam di India, 208.
25
Ismail Bakar, Sejarah & Tamadun Islam di India, 210.
26
Pandey. A. B., Later Medieval India: A History of the Mughals, 138.

59
Jurnal Al-Muqaddimah Bil 1 (2) 2013, 55-66

Pada Julai 1585M, Akbar telah berjaya menawan Kabul dan menyusun gerakan untuk
menawan wilayah-wilayah lain seperti Sind, Kandahar dan Kashmir. Operasi penaklukan di
bahagian Utara mula menampakkan kejayaan setelah menawan beberapa wilayah yang kaya
seperti Swat, Bajaur dan Buner. Akbar telah berjaya menawan wilayah Kashmir (1586M) dan
Sind (1590M). Pada tahun 1595M, angkatan Mughal berjaya menawan wilayah Baluchistan
dan Kandahar. Kejayaan besar yang dicapai tentera Mughal dalam operasi penaklukan di
bahagian Utara telah meletakkan Akbar sebagai pemimpin agung dan digeruni oleh pemimpin
sezaman dengannya.27

Seterusnya, Akbar menumpukan perhatian pula ke wilayah Deccan.28 Operasi penaklukan ke


wilayah tersebut bermula pada penghujung tahun 1590 hingga 1601M. Dalam tempoh
tersebut, Akbar berjaya menumpaskan beberapa kerajaan kecil di bawah Nizam Shahi
antaranya Khandesh, Berar, Ahmadnagar, Bijapur, Golkonda dan Bedar. Pada tahun 1591M,
Akbar telah mengambil inisiatif dengan menghantar beberapa wakil untuk menemui
pemimpin-pemimpin di wilayah Deccan dan membincangkan tentang penyatuan India yang
ditajanya. Namun demikian, cadangan tersebut ditolak dan tidak mendapat perhatian oleh
pemerintah-pemerintah di wilayah Deccan. Disebabkan itu, pada tahun 1595M Akbar telah
mengirim tentera ke Ahmadanagar dan operasi ketenteraan ini berjaya setelah pemerintahnya,
Chand Bibi bersetuju untuk bergabung dengan Kerajaan Mughal. Tindakan Chand Bibi ini
menimbulkan kemarahan penduduk dan menyebabkan rusuhan. Akhirnya, pada tahun 1600M,
Akbar telah mengirim semula tenteranya dan menawan Ahmadnagar dan Berar.

Dalam menilai kejayaan Akbar, ramai ahli sejarah mengiktiraf beliau pemimpin Kerajaan
Mughal yang hebat kerana berjaya mengubah uasana politik India. Dan menyatukan
keseluruhan India daripada pelbagai wilayah yang sebelum ini diperintah oleh pemimpin
sesuatu kaum dan etnik. Ketika pemerintahannya selama 50 tahun (1556-1605M), Kerajaan
Mughal berjaya mencapai kegemilangan dalam pelbagai bidang. Dari segi politik, Kerajaan
Mughal telah mendapat pengiktirafan dari kerajaan luar iaitu Kerajaan Safawiyyah di Parsi
dan Kerajaan Uthmaniyyah di Turki. Pengiktirafan ini cukup penting bagi membolehkan
Kerajaan Mughal menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara-negara
terbabit. Selain itu, pengiktirafan tersebut dianggap sebagai satu bonus dari segi moral kepada
Akbar bagi menghadapi musuh-musuhnya dalam kalangan raja-raja Hindu. Ketika beliau
meninggal dunia, wilayah Kerajaan Mughal dikatakan terdiri daripada lebih 15 kawasan,
antaranya termasuk Subah, Agra, Ajmer, Allahabad, Ahmadabad (Gujerat), Bengal, Bihar,
Delhi, Kabul, Kashmir, Lahore, Malwa, Multan, Sind, Qudh, Berar, Ahmadnagar dan
Khandesh.29

ii. Polisi pentadbiran yang sama rata

Dalam soal pentadbiran, Akbar menganggap semua rakyat adalah sama dari segi hak dan
kedudukan tanpa mengira ras dan agama. Oleh itu, Akbar merealisasikan pendapatnya dengan
melantik bangsawan Hindu menduduki jawatan penting yang melibatkan pembentukan dasar.
Misalnya, Akbar telah melantik Bhagwan Das, seorang putera raja Hindu di Amber sebagai
panglimanya. Bahkan, Akbar telah mengurniakan gelaran Amir al-Umara’ kepada Bhagwan
Das disebabkan jasa beliau yang membantu tentera Mughal mencapai kemenangan dalam

27
Ismail Bakar, Sejarah & Tamadun Islam di India, 211.
28
Pandey. A. B., Later Medieval India: A History of the Mughals, 152; De Laet. J., The Empire of the Great
Mogol, 199..
29
Abdullah Ishak, Islam di India, Nusantara dan China, 48.
Akbar (1556-1605m) Dan Usaha Penyatuan India Di Bawah Kerajaan Mughal

beberapa peperangan.30 Akbar turut melantik beberapa orang dalam kalangan Hindu sebagai
pemungut cukai dan pegawai kewangan.31 Selain itu, Akbar turut melantik seorang ilmuwan
berfahaman Shi‘ah, ‘Abd al-Rahman Khan, sebagai penterjemah di istana Mughal. Walaupun
terdapat polemik kerana perlantikan tersebut ditolak oleh umat Islam yang majoriti Sunni,
namun Akbar tetap dengan keputusan meneruskan perlantikan tersebut kerana beranggapan
kedua-dua tokoh dapat membantu beliau meningkatkan kedudukan Kerajaan Mughal. Selain
itu, perlantikan tersebut secara tersirat ingin memberitahu kepada seluruh rakyat bahawa
Akbar boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dilantik berdasarkan kelayakan dan
kewibawaan.

Akbar turut melaksanakan reformasi pendidikan dengan menyediakan peluang pendidikan


kepada semua lapisan rakyat, termasuk anak-anak Hindu dibenarkan untuk belajar di sekolah-
sekolah yang didirikan oleh orang Islam. Sekolah, madrasah dan institusi pendidikan
dibangunkan di merata daerah manakala tenaga pengajar dipilih daripada calon-calon yang
berkebolehan tanpa mengira kaum dan agama. Pelbagai jenis bantuan seperti biasiswa
diberikan dan pelajaran percuma pula ditawarkan kepada mereka yang kurang kemampuan.
Selain itu, pendidikan kaum wanita turut diberikan perhatian sehingga Akbar dikatakan telah
menubuhkan sebuah yayasan khusus untuk kaum wanita di istananya.32 Langkah yang
diambil ini bertujuan memastikan setiap rakyat berhak mendapat peluang pendidikan
sekaligus membentuk masyarakat yang taat kepada pemerintah Mughal.

Dari segi ekonomi, Akbar telah membuat beberapa perubahan kerana banyak cukai yang
dikenakan sebelum itu dianggap membebankian rakyat. Justeru, beliau menghapuskan cukai
yang dikenakan ke atas golongan petani dan orang miskin, antaranya cukai penjualan tanah,
cukai penjualan ternakan, cukai garam, cukai pasar, cukai pakaian dan cukai pembelian
rumah. Beliau turut menghapuskan pelbagai jenis bayaran yang lazimnya dikenakan oleh
pegawai-pegawai tertentu ke atas rakyat.33 Demi memastikan layanan sama rata diberikan
kepada semua rakyatnya, Akbar telah menghapuskan cukai yang dikenakan ke atas
masyarakat Hindu. Antara cukai yang dihapuskan ialah cukai jizyah dan cukai kepada orang
Hindu yang ingin melakukan ziarah ke tempat suci mereka di Mathura.34 Penghapusan cukai
tersebut amat menggembirakan penganut Hindu dan beranggapan Akbar telah menghapuskan
sebarang bentuk diskriminasi ke atas mereka. Bagaimanapun, umat Islam, termasuk para
ulama, membantah penghapusan cukai tersebut dengan alasan cukai berkenaan dibenarkan
oleh syarak dan penghapusannya akan menyebabkan perbendaharaan negara semakin
berkurangan. Namun demikian, Akbar tetap melaksanakan pembaharuan tersebut demi
memastikan rakyatnya diberikan hak sama rata sekaligus menyatukan mereka di bawah
pemerintahan Mughal.

Dari segi sosial, beliau telah menggubal undang-undang yang mengharamkan poligami
kerana amalan tersebut disifatkan boleh mengganggu kesihatan dan ketenteraman seseorang.
Bahkan, Akbar berpendapat poligami merupakan punca keretakan rumah tangga sekaligus
menimbulkan permasalahan dalam masyarakat. Akbar turut menggalakkan perkahwinan
campur bagi menghasilkan integrasi dalam masyarakat seterusnya mampu menjamin
perpaduan dan keharmonian. Hal ini dapat dilihat apabila beliau sendiri menikahi seorang

30
Abdullah Ishak, Islam di India, Nusantara dan China, 49.
31
Richards. J. F., “Mughal state finance and the premodern world economy,” Comparative Studies in Society
and History, Vol. 23(2) (1981), 9
32
Abdullah Ishak, Islam di India, Nusantara dan China, 56.
33
Abdullah Ishak, Islam di India, Nusantara dan China, 57.
34
Gascoigne. B., The Great Moghuls, 81-82.

61
Jurnal Al-Muqaddimah Bil 1 (2) 2013, 55-66

puteri Hindu Rajput, iaitu anak kepada Raja Amber pada tahun 1562. 35 Perkahwinan ini
sekaligus mengeratkan lagi hubungan antara Kerajaan Mughal dengan beberapa kerajaan
Hindu di Rajputana yang bersedia untuk bernaung di bawah pemerintahan Mughal. Malah,
putera Akbar, iaitu Salim, turut berkahwin dengan puteri Hindu, anak kepada Baghwan Das. 36
Berikutan itu, terdapat beberapa peraturan istana lebih cenderung kepada tradisi Hindu seperti
pengharaman menyembelih dan memakan daging lembu yang menjadi simbol ketuhanan
orang Hindu. Akbar sendiri tidak memakan daging lembu sebagai penghormatan kepada
penganut agama Hindu.37 Selain itu, amalan-amalan Hindu dibenarkan untuk diadakan di
istana, antaranya seperti perayaan Diwali, tradisi memakai rakhi dan sembahan patung tuhan
Hindu.38

Berdasarkan amalan polisi ini, masyarakat Mughal, khususnya beragama Hindu, menyanjung
tinggi ketokohan Akbar dan menganggap beliau sebagai seorang tokoh yang
berperikemanusiaan. Justeru, tidak hairan masyarakat Hindu memberi sokongan kepada
Akbar dan berpendapat bahawa polisi yang diamalkan oleh beliau lebih baik daripada polisi
pentadbiran sebilangan raja-raja Hindu. Sokongan sedemikian telah memperkukuhkan lagi
kedudukan Akbar sekaligus usaha penyatuan India dapat direalisasikan.

iii. Gagasan Ajaran Din-i-Illahi

Bagi memperkukuhkan kedudukan politik dan mencari persefahaman dalam kalangan rakyat
pelbagai agama, Akbar telah memperkenalkan satu gagasan keagamaan yang baru dikenali
sebagai Din-i-Illahi. Gagasan ini merupakan satu ciptaan agama baru yang menggabungkan
Islam, Hindu, Kristian, Majusi dan Yahudi. Akbar beranggapan sekiranya semua penganut
agama yang berlainan akan dapat hidup dalam harmoni dengan mengamalkan kesatuan agama
sekaligus menghindarkan krisis dalam masyarakat akibat fahaman agama yang berbeza.
Selain itu, beliau turut berpendapat kehidupan yang mewah boleh menarik kecenderungan
rakyat supaya memberi ketaatan kepada pemerintah secara menyeluruh.39

Ajaran Din-i-Illahi diusahakan oleh Akbar kerana didorong oleh beberapa faktor. Antaranya
ialah faktor personaliti Akbar sendiri yang berminat dalam bidang falsafah. Menurut
kefahaman beliau, perbezaan antara agama ini dapat diselesaikan sekiranya semua agama
yang wujud di India dapat disatukan.40 Faktor yang lain pula perselisihan pendapat di antara
ulama tentang beberapa masalah yang timbul. Akbar merasakan perselisihan tersebut tidak
dapat menyelesaikan masalah dan beranggapan bahawa perlunya seorang tokoh yang
berautoriti dalam memberikan kata putus terhadap sesuatu masalah. Justeru, Akbar
mengisytiharkan dirinya sebagai al-Imam al-‘Adil sebagai langkah mengangkat dirinya lebih
tinggi daripada para ulama. Tindakan sedemikian dilakukan semata-mata untuk meletakkan
dirinya sebagai seorang yang mempunyai kefahaman agama dan menundukkan para ulama.41
Selain itu, perbalahan rakyatnya akibat perbezaan agama turut menjadi faktor beliau
mengagaskan ajaran Din-i-Illahi. Pada andaiannya, tindakan tersebut akan dapat
menyelesaikan perbalahan yang berlaku kerana rakyatnya menganut agama yang satu.42

35
Gascoigne. B., The Great Moghuls, 81.
36
Abdullah Ishak, Islam di India, Nusantara dan China, 53.
37
Ismail Bakar, “Maharaja Akbar: Antara kejayaan dan kegagalan,” 299.
38
Gascoigne. B., The Great Moghuls, 82.
39
Abdullah Ishak, Islam di India, Nusantara dan China, 49-51.
40
al-Faqi, ‘Isam al-Din ‘Abd al-Ra’uf, Bilad al-Hind fi al-‘Asr al-Islami Mundhu Fajr al-Islam wa Hatta al-
Taqsim, 197.
41
Kulke. H. & Rothermund. D., A History of India, 206.
42
Abdullah Ishak, Islam di India, Nusantara dan China, 52.
Akbar (1556-1605m) Dan Usaha Penyatuan India Di Bawah Kerajaan Mughal

Faktor lain ialah kejahilan Akbar sendiri yang tidak mempunyai kefahaman agama meluas.
Disebabkan itu, beliau mudah terpengaruh dengan ajaran sufi yang dibawa oleh penasihatnya,
seperti Shaykh Mubarak, Abu Fadl dan Mir Abdul Latif.43

Bagi memperkukuhkan ajaran Din-i-Illahi, Akbar telah membina sebuah tempat bagi
memperdebatkan perbandingan antara agama, yang dikenali sebagai Ibadat-Khanna pada
tahun 1575M. Beliau selalu menjemput ahli ilmuwan bagi setiap agama untuk hadir ke tempat
tersebut bagi membincangkan perkara-perkara yang melibatkan agama. Malah, koloni
Portugis di Goa turut menghantar tiga orang paderi Kristian ke Ibadat-Khanna, yang terletak
di Fatehpur Sikri, atas jemputan Akbar.44 Bagaimanapun, ajaran berkenaan gagal mencapai
matlamatnya kerana rakyat, khususnya umat Islam, menentang ajaran salah tersebut dan
menganggap gagasan keagamaan berkenaan sebagai dasar pro-Hindu. Penentangan tersebut
turut dilakukan oleh para ulama Akbar sendiri, antaranya Mullah Muhammad Yazdi, yang
memberikan sokongan kepada adik tiri Akbar, Mirza Muhammad Hakim, untuk menjadi
pemerintah Mughal yang baru kerana beranggapan Akbar sudah jauh menyeleweng daripada
ajaran Islam sebenar. Justeru, usaha Akbar untuk menyatupadukan masyarakat India melalui
reformasi agama ini bukan sahaja gagal, bahkan menambahkan lagi kekusutan dalam
kalangan rakyat beragama Islam.45

iv. Penggunaan Bahasa Urdu

Bahasa Urdu merupakan antara bahasa Islami di dunia selain bahasa Arab, Parsi, Turki,
Swahili dan Melayu. Hal ini disebabkan bahasa Urdu digunakan oleh majoriti umat Islam dan
mempunyai sistem tulisan yang menggunakan huruf Arab. Ketika era Mughal, bahasa ini
telah dijadikan sebagai bahasa rasmi kerajaan oleh Akbar sebagai usaha untuk
menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama sekaligus membentuk jatidiri Mughal
dalam kalangan masyarakat. Disebabkan itu, bahasa Urdu dilihat sebagai satu saduran atau
gabungan daripada tiga bahasa utama, Arab, Parsi dan Turki, serta ditambah sedikit daripada
unsur bahasa Sanskrit Hindu.46 Ketika itu, bahasa Arab digunakan sebagai bahasa agama,
iaitu ketika menjalankan ritual dan mengajar pelajaran agama, bahasa Turki digunakan
sebagai bahasa pertuturan dalam kalangan kerabat Mughal dan bangsawan dan bahasa Parsi
pula digunakan sebagai bahasa ilmu, pentadbiran dan kesusasteraan.47 Sementelahan itu,
bahasa Sanskrit Hindu diambil sebagai satu usaha meraikan masyarakat Hindu di India agar
mereka merasa selesa menggunakan bahasa Urdu.

Wujud beberapa pendapat yang dikemukakan berkaitan asal-usul dan perkembangan bahasa
Urdu ini. Aziz Ahmad telah menukilkan beberapa pendapat tentang isu ini. Antaranya
pendapat daripada Mahmud Sharani dan T. Grahame Bailey yang menyatakan bahasa Urdu
telah wujud lebih awal dan dikatakan berasal daripada kalangan masyarakat Ghaznavid
Punjab. Kewujudan bahasa Urdu bermula pada tahun 1027M di Lahore. Namun demikian,
nama bahasa tesebut yang dikenali sebagai Urdu selepas 750 tahun kemudian. Sebelum itu,
bahasa Urdu, atau pra-Urdu, dikenali dengan pelbagai nama seperti Hindi, Dihlawi, Dakani
dan Gujari disebabkan sifatnya masih lagi sebagai bahasa dialek sesuatu daerah. 48 Pendapat
43
Ajid Thohir & Ading Kusdiana, Islam di Asia Selatan, 97.
44
Gascoigne. B., The Great Moghuls, 110.
45
Abdullah Ishak, Islam di India, Nusantara dan China, 54.
46
Hamka, Sejarah Umat Islam, 511.
47
Alam. M., “The pursuit of Persian: Language in Mughal politics,” Modern Asian Studies, Vol. 32 (2) (1998),
325.
48
Ahmad. A., (1969), An Intellectual History of Islam in India (Edinburgh: Edinburgh University Press, 1969),
92.

63
Jurnal Al-Muqaddimah Bil 1 (2) 2013, 55-66

lain seperti yang diutarakan oleh Siraj al-Din ‘Ali Khan Arzu menyatakan bahasa Urdu
berasal dari bahasa Sindi atau Haryani kerana bahasa tersebut digunakan oleh masyarakat di
utara India. Manakala, pendapat lain pula seperti yang diutarakan oleh S. K. Chatterji
menyatakan bahasa Urdu berasal dan berkembang di wilayah Deccan. 49 Walau apa pun
pendapat yang dikemukakan, usaha yang dilakukan Akbar menjadikan bahasa Urdu sebagai
bahasa rasmi Mughal dilihat sebagai langkah berkesan untuk menyatupadukan rakyat. Hal ini
disebabkan bahasa Urdu yang menerima pengaruh daripada bahasa-bahasa lain, iaitu bahasa
pertuturan masyarakat Islam dan Hindu, dilihat mempunyai sifat kesepunyaan untuk rakyat di
bawah pemerintahan Mughal. Kedua-dua golongan, Muslim dan Hindu, berasa selesa
menggunakan bahasa Urdu sebagai medium komunikasi kerana bahasa tersebut menerima
unsur bahasa Islami dan Hindu selain bertujuan untuk membina jatidiri Mughal yang sejati
dalam kalangan masyarakat di India.

Penggunaan bahasa Urdu sebagai bahasa rasmi dan lingua franca bermula setelah Akbar
berkahwin dengan puteri Rajput. Isterinya yang tidak fasih berbahasa Parsi mahu pun Turki
hanya boleh bertutur dalam bahasa Hindi. Disebabkan itu, Akbar memutuskan untuk
memperkenalkan bahasa Urdu sebagai bahasa rasmi dalam komunikasi dengan mengambil
pengaruh daripada bahasa-bahasa yang digunakan sebelum itu, Parsi-Arab-Turki-Sanskrit
Hindu.50 Hal sedemikian jelas memberikan keselesaan kepada golongan Hindu, khususnya
raja-raja Hindu, sekaligus mengiktiraf unsur-unsur Hindu dalam pembinaan tamadun Mughal.
Bahkan, usaha Akbar ini ternyata disifatkan sebagai bentuk penghargaan kepada kewujudan
masyarakat India pelbagai kaum dan menyemarakkan lagi kegiatan kesusasteraan ketika era
Mughal. Bahasa Urdu terus dikenang sebagai antara warisan Mughal kepada masyarakat, baik
Muslim atau Hindu, dan menjadi bahasa komunikasi serantau atau lingua franca seterusnya
sebagai bahasa rasmi bagi negara Pakistan pada era moden ini.51

Kesimpulan

Kejayaan Akbar menyatukan India di bawah satu pemerintahan, iaitu Kerajaan Mughal, telah
meletakkan kedudukan Akbar sebagai pemimpin yang ulung dalam sejarah Mughal. Malah,
kejayaan tersebut dianggap sebagai satu pencapaian yang hebat dan disamakan dengan
pencapaian Maharaja Asoka ketika berkuasa pada zaman tamadun India klasik dahulu.
Melalui gerakan ketenteraan, perubahan polisi pentadbiran dan reformasi keagamaan serta
kebudayaan, Akbar berjaya mencapai misinya untuk menyatukan India di bawah Kesatuan
Mughal. Bagaimanapun, terdapat sebahagian usaha Akbar tidak mendapat sokongan bahkan
dikritik hebat oleh pegawainya dan umat Islam, antaranya gagasan agama Din-i-Illahi dan
polisi pentadbiran pro-Hindu. Walaupun usaha berkenaan dilaksanakan oleh Akbar atas nama
menyatupadukan rakyat, namun tindakannya yang disifatkan membelakangi ajaran Islam
tidak disokong sepenuhnya seperti yang diharapkan. Namun begitu, pencapaian hebat Akbar
dalam menguasai hampir keseluruhan wilayah India tetap diingati sebagai perintis kepada
‘Kesatuan Mughal’ walaupun gagasan agama Din-i-Illahi mencalarkan kewibawaan beliau
dari perspektif Islam.

49
Ahmad. A., An Intellectual History of Islam in India, 93.
50
Alam. M., “The pursuit of Persian: Language in Mughal politics,” 343.
51
Jaffar. S. M.,Some Cultural Aspects of Muslim Rule in India (Delhi: Idarah-I Adabiyat-I Delhi, 1972), 84.
Akbar (1556-1605m) Dan Usaha Penyatuan India Di Bawah Kerajaan Mughal

Rujukan

Abdullah Ishak, Islam di India, Nusantara dan China (Kuala Lumpur: Nurin Enterprise,
1992).
Ahmad. A., An Intelectual History of Islam in India (Edinburgh: Edinburgh University Press,
1969).
Ajid Thohir & Ading Kusdiana, Islam di Asia Selatan, (Bandung: Humaniora, 2006).
Alam, M., “The pursuit of Persian: Language in Mughal politics,” Modern Asian Studies,
Vol. 32 (2), (1998) 317-349.
Bosworth. C. E., The Islamic Dynasties: A Chronological and Genealogical Handbook,
(Edinburgh: Edinburgh University Press, 1967).
De Laet. J., The Empire of the Great Mogol, Terj. Hoyland. J. S., (New Delhi: Oriental Books
Reprint Corporation, 1974).
al-Faqi, ‘Isam al-Din ‘Abd al-Ra’uf, Bilad al-Hind fi al-‘Asr al-Islami Mundhu Fajr al-Islam
wa Hatta al-Taqsim (al-Qahirah: Dar al-Fikr al-‘Arabi, 2002).
Gascoigne. B., The Great Moghuls (London: Jonathan Cape Ltd, 1976).
Hamka, Sejarah Umat Islam (Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd, 2006).
Hintze. A., The Mughal Empire and Its Decline: An Interpretation of the Sources of Social
Power (Aldershot: Ashgate Publishing Limited, 1997).
Ismail Bakar, “Maharaja Akbar: Antara kejayaan dan kegagalan,” dalam al-Hadarah,
Muhammad Bukhari Lubis & Anwar Zainal Abidin (Bangi: Jabatan Pengajian Arab dan
Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1994).
Ismail Bakar, Sejarah & Tamadun Islam di India (Bangi: Jabatan Pengajian Arab dan
Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000).
Ismail Bakar, Ezad Azraai Jamsari & Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari, “Maharaja
Akbar (1556-1605M): Tokoh pemerintah Kerajaan Mughal Abad ke-16M,” Prosiding
Simposium Isu-isu Sejarah dan Tamadun Islam (SISTI 2011) (Bangi: Jabatan Pengajian Arab
dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2011) 845-
854.
Jaffar. S. M., Some Cultural Aspects of Muslim Rule in India (Delhi: Idarah-I-Adabiyat-I-
Delhi, 1972).
Naqvi. H. K., History of Mughal Government and Administration (Delhi: Kanishka
Publishing House, 1990).
Pandey. A. B., Later Medieval India: A History of the Mughals (Allahabad: Central Book
Depot, 1963).
Qureshi. I. H., Akbar The Architect of the Mughul Empire (Delhi: Idarah-I-Adabiyat-I-Delhi,
1987).
Richards. J. F., “Mughal state finance and the premodern world economy,” Comparative
Studies in Society and History, Vol. 23 (2), (1981) 285-308.
Richards, J. F., The New Cambridge History of India: The Mughal Empire, (Cambridge:
Cambridge University Press, 2008).

65
Jurnal Al-Muqaddimah Bil 1 (2) 2013, 55-66

rivastava. A. L., Akbar The Great, Jil. 1 (Agra: Shiva Lal Agarwala & Company (P.) Ltd.,
1962).
Von Garbe. R., Akbar Emperor of India (Chicago: The Open Court Publishing Company,
1909).

You might also like