You are on page 1of 7

TUGASAN 1 : PENULISAN AKADEMIK 1

1.0 SINTAKSIS

Sintaksis ialah satu bidang ilmu linguistik yang mengkaji pembinaan sesuatu ayat
yang terbina daripada penggabungan dan penyusunan rentetan kata mengikut rumus atau
hukum tatabahasa. Sintaksis juga dapat diertikan sebagai bidang yang mengkaji hukum
atau rumus tatabahasa yang digunakan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa. Nik,
Farid, Hashim dan Abdul (2015) menyatakan bahawa sintaksis ialah satu bidang ilmu
bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis juga
dikenali sebagai kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah
penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat
dalam sesuatu bahasa.

Asmah (2009) menyatakan bahawa ayat ialah unit yang paling tinggi dalam skala
tatatingkat nahu. Pengucapan sesuatu ayat mesti dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan.
Satu ayat boleh terdiri daripada morfem, perkataan, frasa dan klausa serta tidak terhad
jumlah bilangannya (Suraiya, 2014). Ayat boleh terdiri daripada satu perkataan atau lebih
yang mengandungi makna dan mempunyai intonasi yang sempurna. Binaan ayat terdiri
daripada dua bahagian penting iaitu subjek dan predikat (Abdullah, 2006). Bahagian subjek
ialah unsur yang hendak diterangkan atau judul ayat manakala bahagian predikat ialah
unsur yang menerangkan atau cerita. Sebagai contoh, ‘Abang guru Matematik’. Ayat
tersebut boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu frasa nama abang berfungsi sebagai
subjek manakala frasa nama guru Matematik berfungsi sebagai predikat.

2.0 JENIS-JENIS AYAT

Berdasarkan Tatabahasa Dewan, pembentukan atau binaan sesuatu ayat boleh


dilihat melalui jenis-jenisnya. Terdapat empat jenis ayat dalam bahasa Melayu iaitu ayat
penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

1
2.1 AYAT PENYATA

Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan untuk membuat sesuatu pernyataan atau
memberikan keterangan tentang sesuatu perkara. Ayat jenis ini disebut sebagai ayat berita
atau ayat keterangan. Ayat penyata perlu dimulai dengan tulisan huruf besar pada awal ayat
manakala tanda baca noktah (.) digunakan pada akhir ayat. Antara contoh ayat penyata
ialah:

a. Mereka berkelah di tepi pantai.


b. Rumah itu milik Puan Hakimah.

2.2 AYAT TANYA

Selain itu, ayat tanya ialah ayat yang digunakan bertujuan untuk menanyakan
sesuatu hal. Penulisan ayat tanya perlu dimulai dengan huruf besar dan diakhiri dengan
tanda soal (?). Ayat tanya dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu ayat tanya tanpa kata
tanya dan ayat tanya dengan unsur tanya berdasarkan nada suara dan penggunaan
perkataan yang tertentu,

2.2.1 AYAT TANYA TANPA KATA TANYA

Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang diucapkan dengan nada suara meninggi
sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Tanda soal (?) perlu digunakan pada akhir sesuatu
ayat tanya tanpa kata tanya. Walau bagaimanapun, ayat ini boleh menerima partikel tanya
–kah, yang diletakkan pada unsur yang dijadikan fokus atau judul ayat. Partikel –kah
selalunya diletakkan pada akhir ayat biasa. Sebagai contoh, ayat tanya tanpa kata tanya
dapat dilihat dalam contoh (a) manakala ayat yang menerima partikel –kah dapat dilihat
dalam ayat (b).

i. a. Fatin ke pasar pagi?


b. Fatin ke pasar pagikah?
ii. a. Tiga hari yang lalu kamu ke Pahang?
b. Tiga hari yang lalu kamu ke Pahangkah?

2
2.2.2 AYAT TANYA DENGAN UNSUR TANYA

Ayat tanya dengan unsur tanya pula ialah ayat tanya yang mengandungi unsur
seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak bila. Terdapat tiga golongan
yang terdiri daripada ayat jenis ini iaitu ayat tanya dengan kata tanya, ayat tanya dengan
kata ganti nama diri tanya dan ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya.

Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang mengandungi kata tanya seperti
berapa, bagaimana, bila, mengapa dan kenapa. Kata tanya perlu menduduki bahagian
predikat dalam susunan biasa seperti dalam ayat (a). Walaupun begitu, ayat tersebut boleh
mengalami proses pendepanan predikat justeru, partikel –kah perlu ditambah selepas kata
tanya seperti dalam ayat (b).
i. a. Harga baju kurung itu berapa?
b. Berapakah harga baju kurung itu?
ii. a. Ariel hendak pergi ke Seoul bila?
b. Bilakah Ariel hendak pergi ke Seoul?

Ayat tanya dengan kata ganti nama diri tanya pula terdiri daripada ayat yang
mengandungi kata ganti nama tanya seperti apa, siapa dan mana. Kata ganti nama tanya
perlu menduduki bahagian predikat dalam susunan biasa seperti dalam ayat (a). Ayat
tersebut boleh mengalami proses pendepanan predikat maka, partikel –kah perlu ditambah
selepas kata ganti nama diri tanya seperti dalam ayat (b).
i. a. Nama kucing kamu apa?
b. Apakah nama kucing kamu?
ii. a. Guru Sains kamu siapa?
b. Siapakah guru Sains kamu?

Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya terdiri daripada ayat yang didahului oleh
frasa sendi nama tanya seperti di mana, dari mana, ke mana, sejak bila, sampai bila dan
sebagainya. Ayat tersebut boleh mengalami proses pendepanan predikat justeru, partikel
–kah perlu ditambah selepas frasa sendi nama tanya seperti dalam ayat (b).
i. a. Tuan Ajib tinggal di mana?
b. Di manakah Tuan Ajib tinggal?
ii. a. Penyakit itu merebak sejak bila?

3
b. Sejak bilakah penyakit itu merebak?

2.2.3 AYAT TANYA TERTUTUP DAN AYAT TANYA TERBUKA

Di samping itu, ayat tanya juga boleh dilihat dari segi jawapan yang dikehendaki iaitu
sama ada ayat tanya tertutup ataupun ayat tanya terbuka. Ayat tanya tertutup ialah ayat
tanya yang memerlukan jawapan ya atau tidak/bukan. Berikut ialah contoh ayat tanya
tertutup beserta jawapan.

a. Encik Aman guru Persatuan Bahasa?


Ya, Encik Aman guru Persatuan Bahasa.
b. Ke sekolahkah anak-anak Puan Bashirah?
Ya, anak-anak Puan Bashirah ke sekolah.

Selain itu, ayat tanya terbuka pula ialah ayat tanya yang jawapan tidak terhad
kepada perkataan ya atau bukan/tidak tetapi sebaliknya bergantung pada maksud yang
terkandung dalam ayat tanya tersebut. Ayat tanya terbuka wujud dengan kehadiran kata
tanya seperti apa, bagaimana, berapa, bila, siapa, mana, kenapa, di mana, yang mana.
Jawapan ayat tanya terbuka tidak terbatas kepada satu-satu jenis tertentu sahaja. Berikut
ialah contoh-contoh ayat tanya terbuka beserta jawapan.

a. Apakah benda itu?


Benda itu komputer riba.
b. Di manakah Cikgu Hamidah tinggal?
Cikgu Hamidah tinggal di Taiping, Perak.

2.3 AYAT PERINTAH

Di samping itu, ayat perintah ialah ayat yang mengandungi sesuatu arahan yang
diujarkan bertujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang
kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamu dan
sebagainya. Biasanya, kata ganti nama diri kedua ini digugurkan dalam sesuatu ayat
perintah. Terdapat empat jenis ayat perintah seperti ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan
dan ayat permintaan.

4
2.3.1 AYAT SURUHAN

Ayat suruhan ialah ayat yang diucapkan oleh seseorang untuk memberi perintah
atau arahan. Kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, engkau yang berperanan
sebagai subjek biasanya digugurkan dalam ayat suruhan. Antara contoh ayat suruhan ialah:

a. Jaga barang-barang ini.


b. Pujuk adik yang menangis itu.

2.3.2 AYAT LARANGAN

Selain itu, ayat larangan ialah ayat yang diujarkan bertujuan untuk mencegah
seseorang daripada melakukan sesuatu. Kata larangan seperti jangan atau usah digunakan
sebelum kata kerja dalam ayat. Berikut merupakan contoh ayat larangan.

a. Jangan buang sampah di sini.


b. Usah dikenangkan perkara yang menyedihkan itu.

2.3.3 AYAT SILAAN

Ayat silaan pula ialah ayat yang menggunakan kata silaan sebelum kata kerja yang
bertujuan untuk menjemput atau mempersilakan seseorang. Kata silaan seperti sila atau
jemput selalunya digunakan pada permulaan ayat, sebagai contoh:

a. Sila masuk ke rumah saya.


b. Jemput datang ke majlis perkahwinan kakak saya.

2.3.4 AYAT PERMINTAAN

Ayat permintaan pula ialah ayat yang menggunakan kata permintaan seperti minta
atau tolong untuk memohon permintaan atau pertolongan daripada seseorang. Berikut
merupakan contoh ayat permintaan.

a. Tolong kemaskan bilik ini.


b. Minta semua hadirin duduk.

5
2.4 AYAT SERUAN

Sejajar dengan itu, ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada
atau intonasi seruan untuk menggambarkan perasaan sama ada gembira, terkejut, sedih,
marah, takut, sakit dan sebagainya. Tanda seru (!) biasanya diletakkan di akhir ayat seruan,
sama ada ayat itu didahului oleh kata seru atau tidak. Antara kata seru yang sering
digunakan ialah oh, amboi, wah, cis, aduh dan sebagainya. Berikut merupakan contoh ayat
seruan.

a. Amboi, gembiranya Mak Zimah!


b. Aduh, sakitnya kakiku!

3.0 KESALAHAN TATABAHASA

Beberapa kesalahan tatabahasa dikenalpasti dalam ayat yang terdapat di media


cetak seperti akhbar, buku, majalah dan lain-lain. Ahmad (1996) menyatakan bahawa
kesalahan bahasa bukan hanya berlaku semasa seseorang itu bertutur bahkan berlaku
semasa seseorang itu menulis.

Antara contoh kesalahan tatabahasa yang boleh dilihat dalam ayat ialah kesalahan
penggunaan kata tanya apa dalam ayat penyata. Kesalahan penggunaan kata tanya apa
dalam ayat penyata boleh dilihat dalam petikan akhbar Harian Metro “Sekiranya tidak
berhati-hati, ia boleh menyebabkan apa sahaja dianggap sebagai benar sedangkan perkara
itu tidak mendapat pengesahan pihak berkuasa berkenaan.” (Mohd, 19 Mac 2019).
Penggunaan kata tanya apa seharusnya digunakan dalam ayat tanya bagi menimbulkan
sesuatu persoalan atau pertanyaan terhadap seseorang, bukan untuk pernyataan atau kata
ganti nama benda yang tidak tentu. Oleh yang demikian, kata tanya apa yang digunakan
dalam ayat penyata perlu digandakan menjadi apa-apa yang membawa maksud tidak tentu.

Selain itu, kesalahan tatabahasa tentang penggunaan kata tanya bila sebagai kata
hubung dalam ayat penyata. Sebagai contoh, kesalahan penggunaan kata tanya bila boleh
dilihat dalam karya Yahya (2005) “Guru selalunya membina soalan terancang ataupun tidak
langsung dengan mengemukakan soalan bila difikirkan perlu sahaja”. Kata tanya bila hanya
boleh digunakan dalam ayat tanya manakala kata hubung pancangan apabila digunakan
dalam ayat penyata dan berfungsi untuk menghubungkan klausa yang menjadi keterangan
pada klausa utama (Asraf, Suhaimi & Shamsul, 2016). Oleh sebab itu, kata tanya bila perlu
digantikan dengan kata hubung pancangan apabila bagi membentuk ayat penyata.

6
Di samping itu, kesalahan tatabahasa juga berlaku apabila dua kata perintah seperti
tolong dan jangan atau sila dan jangan diletakkan dalam satu ayat. Sebagai contoh,
penggunaan dua kata perintah seperti tolong dan jangan digunakan dalam ayat perintah
jenis larangan dalam petikan program TV Astro Awani “Tolong jangan halang pelancong
untuk melawat tempat yang perlu dan yang nak dilawati oleh pelancong-pelancong ini.”
(Irwan, 2020). Kata larangan jangan bermaksud larangan atau tidak boleh melakukan
sesuatu manakala kata permintaan tolong bermaksud meminta pertolongan atau bantuan
daripada seseorang. Oleh yang demikian, kata permintaan tolong perlu digugurkan kerana
bentuk ayat perintah jenis permintaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif
sebagaimana yang terdapat dalam ayat perintah jenis larangan.

Sejajar dengan itu, kesalahan tatabahasa yang sering berlaku ialah partikel –kah
tidak diletakkan selepas kata tanya di hadapan ayat tanya. K.A Razhiyah (2006) dalam
karyanya tidak meletakkan partikel –kah di hadapan kata tanya “Angka ini mewakili apa?
Mengapa angka ini terbalik?”. Unsur fokus dalam sesuatu ayat mengalami proses
penjudulan, iaitu pendepanan konstituen-konstituen yang menjadi fokus itu. Oleh sebab itu,
kata tanya mengapa perlu menerima partikel –kah pada unsur yang dikedepankan iaitu
‘mengapakah’.

4.0 KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, ayat ialah satu aspek penting dalam komunikasi sama ada
secara formal atau tidak formal. Terdapat empat jenis ayat yang boleh dilihat iaitu ayat
penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan. Ayat-ayat yang dinyatakan mempunyai
ciri dan makna yang berbeza. Ayat-ayat tersebut juga mempunyai tujuan dan juga
mempunyai peranan masing-masing

You might also like