You are on page 1of 11

BSS 3153 SASTERA ANTARABANGSA

SEMESTER 1 SESI 2021/2022

TUGASAN INDIVIDU:

ANALISIS PENGARUH KESUSASTERAAN DUNIA DALAM NOVEL


‘MEVROUW TOGA KARYA SN ARENA WATI’

DISEDIAKAN OLEH:
NAMA NO MATRIK PROGRAM
MUHAMMAD ILYAS D20181082359 AT01 ISMP
BIN AZMI KESUSASTERAAN MELAYU

KUMPULAN KULIAH:
A211

PENSYARAH:
DR. ROHAYATI BINTI JUNAIDI
1.0 PENGENALAN

Menurut Hashim Awang (1997) menyatakan bahawa kesusasteraan itu merujuk kepada

ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Ia mungkin dituturkan iaitu disebut sebagai

sastera lisan dan sastera ditulis yang disebut sebagai sastera tulisan. Sohaimi Abdul Aziz (2014)

menyatakan bahawa “kesusasteraan merupakan suatu bentuk seni yang menggunakan bahasa

secara tersusun dan indah karangannya untuk tujuan yang baik dan berfaedah. Istilah sastera

merujuk kepada kata sifat jenis kelayakan yang dapat digunapakai sebagai gambaran kepada

semua yang berkaitan dengan kesusasteraan atau beberapa yang mempunyai hubungan

dengannya. Dari aspek kewujudan, sastera ini telah wujud sejak zaman dahulu lagi dengan

berlandaskan beberapa ciri-ciri yang pelbagai iaitu dari segi bentuk, struktur, isu dan sebagainya.

Kesusasteraan dunia atau antarabangsa membawa maksud karya yang meluas sehingga

ke peringkat luar negara tidak hanya tertumpu di negara tempatan sahaja. Sesebuah karya

tempatan dapat menjadi karya kesusasteraan di peringkat antarabangsa apabila mengandungi isu-

isu global dan bersifat universal. Secara umumnya, kesusasteraan antarabangsa atau

kesusasteraan dunia merujuk kepada suatu bentuk kesenian persuratan yang bersifat halus dan

indah di seluruh dunia dan juga merupakan seni keindahan bahasa dalam menyampaikan sesuatu

perkara melalui penghasilan karya-karya lisan mahupun tulisan.

Istilah novel berasal daripada perkataan Novella atau Novellete ( Bahasa Itali ) yang

bermaksud cerita dalam bentuk prosa panjang dan mempunyai isi yang tertentu. Ia merupakan

karya kreatif cereka naratif dalam bentuk prosa moden yang popular hingga ke hari ini. Novel

juga merupakan suatu karya kreatif yang dihasilkan pengarang berdasarkan pengalaman atau

imaginasi yang mengandungi fakta sebenar. Novel ini ditulis secara kreatif oleh penulis dengan

menggunakan sama ada watak manusia atau pun bukan manusia serta melibatkan latar alam

nyata atau pun bukan dunia nyata. Selain itu, novel ini tergolong dalam kategori karya naratif di

samping cerpen, drama, dan prosa tradisional. Isi cerita sesebuah novel menggambarkan suatu
realiti kehidupan masyarakat yang diubahsuai dalam bentuk kreatif. Gambaran masyarakat

dalam sesebuah novel adalah merupakan peniruan daripada realiti kehidupan yang sebenar. Isi

ceritanya berkait langsung dengan kehidupan sebenar sesebuah masyarakat yang mewarkahkan

novel tersebut.

1.1 BIODATA DAN LATAR BELAKANG PENGARANG

Muhammad Bin Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung atau nama

penanya Arena Wati, Duta Muda dan Patria dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang

Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia. Beliau mendapat pendidikan awal di Hollands

Indische School (HIS), iaitu sebuah sekolah Belanda di Makasar, kemudian di Meer Uigebreid

Lager Onderwijs (MULO) dan Hoogere Burger School (HBS) yang diteruskan semasa beliau

menjadi pelaut. Beliau dapat menamatkan pengajiannya di Sekolah Menengah Atas, Makasar

pada tahun 1953 selepas terhenti semasa perang meletus. Kehidupan beliau sebagai pelaut

bermula pada tahun 1945 di bawah pimpinan Kapten Muhammad, Kapten Affandi dan Kapten

Mukmin. Pengalamannya yang luar biasa sebagai pelaut banyak memberinya ilham dalam

berkarya dan meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam bidang penulisan khasnya untuk

menghasilkan novel dan cerpen yang baik. Kerjaya beliau di laut lepas bermula sebagai kerani

muatan dan kewangan perahu penisi (Mei 1942-April 1943) yang berpangkalan di Singapura

seterusnya menjadi nakhoda (Mei 1943-Ogos 1945). Kemudian beliau bertugas sebagai taikong

kapal kayu (Januari 1946-Mei 1948), jurumudi (Jun 1948-April 1950) dan nakhoda panisi di

sekitar perairan Sulawesi-Makasar yang berpangkalan di Makasar. Kerjaya terakhir beliau di

lautan ialah sebagai Pegawai Perancang Harian Dinas Angkutan Angkatan Darat Teritorium VII

(Januari 1952-Jun 1954) di Makasar yang mengelola pengiriman pasukan dan logistik dari

Makasar ke seluruh Sulawesi, Bali, Kalimantan Timur, Nusa Tenggara, Maluku Selatan dan

Maluku Utara.
Pada 1974, Arena Wati yang telah pun menjadi rakyat Malaysia, ditawarkan pekerjaan

sebagai Pegawai Penyelidik, merangkap Ketua Jabatan Perancangan dan Penyelidikan di

Yayasan Sabah. Jawatan ini disandangnya selama 12 tahun. Di Yayasan Sabah, beliau telah

membangunkan sebuah perpustakaan yang kini boleh dianggap sebagai sebuah perpustakaan

umum yang cukup baik di Sabah. Ketika bekerja di Yayasan Sabah ini, beliau telah diberikan

fellowship untuk menjalankan penyelidikan di Amerika Syarikat, Holland dan Jepun antara Ogos

1983 hingga Januari 1984. Dalam rangka menjalankan penyelidikannya ini, beliau telah dilantik

menjadi Felo oleh Universiti Cornell di Amerika Syarikat, Universiti Leiden di Holland, dan

Universiti Kyoto di Jepun. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya, dan pandangan dunianya

menjadi lebih terbuka sehingga menjadikannya seorang sasterawan Melayu yang mempunyai

sudut pandangan global dan universal. Hasil daripada pengalamannya di Universiti Cornell,

Leiden dan Kyoto ini telah lahir tiga buah novel yang memaparkan pandangan seorang Melayu

dari dunia Timur terhadap pelbagai peristiwa di Amerika Syarikat, Holland dan Jepun.

2.0 DAPATAN KAJIAN

Novel Mevrouw Toga merupakan sebuah novel hasil karangan Sasterawan Negara yang

hebat mutu penulisannya iaitu Arena Wati. Novel ini mempunyai intipati yang mengisahkan

tentang seorang tokoh wanita kelahiran negara seberang iaitu Indonesia yang gigih dan

berwawasan iaitu Mevrouw Toga. Watak wanita ini dijadikan sebagai seorang tokoh yang sangat

istimewa apabila beliau hidup di dalam dekad yang penuh dengan dugaan dan cabaran dari segi

pergolakan politik, ekonomi, sosial dan pencorakan falsafah kehidupan baru bangsanya. Novel

ini menjadi novel pilihan pengkaji kerana didapati kandungan novel tersebut memaparkan

pengaruh kesusasteraan dunia yang bertepatan dengan tajuk kajian. Justeru itu, bahagian ini akan

menjelaskan pengaruh Kesusasteraan Dunia yang telah dikenalpasti melalui novel ‘Mevrouw

Toga’ karya Sasterawan Negara Arena Wati ini.


2.1 Pengaruh Sastera Islam

Shahnon Ahmad (1981) mentakrifkan Sastera Islam sebagai sastera kerana Allah SWT,

berhikmah kepada manusia sejagat. Justeru itu, Shahnon Ahmad menegaskan bahawa

kesusasteraan itu bukan suatu yang bersifat kosong dan semberono, malah ianya terikat dengan

nilai-nilai ketuhanan yang mengalirkan hikmah dan kebijaksanaan terhadap kemanusiaan. El-

Muhammady mendefinisikan sastera Islam sebagai;“sastera yang memancarkan faham alam,

faham ilmu dan faham nilai Islam yang dimanifestasikan dalam jalinan naratif, pembentukan

peristiwa, perwatakan serta keindahan bahasa, prosa atau puisi dan kebenaran perlambangan

oleh penulis yang mempunyai iltizam terhadap pegangan dan kehidupan Islam serta

peradabannya. Ianya memancarkan akidah Islam yang merangkumi hidup pengabdian (‫عبودية‬

(akhlaq atau moral, dan disiplin kehidupan Islam mengikut peraturan syari‘atnya serta tradisi dan

keseniannya yang semuanya terjalin dalam pengisahan yang indah dan menarik. Nilai-nilai

estetika Islam yang mempunyai paras setingginya berupa bayangan adalah sebahagian daripada

tanggapan atau pengertian pengarang tentang jalinan keindahan Ilahi (al-jamal), kehebatan-Nya

(al-jalal) dan kesempurnaan-Nya (al-kamal) pada paras manusiawi” (Mohd Uthman el

Muhammady, 2000: 1-2) .

'Sastera Islam' adalah suara tradisi keislaman yang lahir dari impak peradaban Islam.

Peradaban Islam ini telah membuahkan banyak perkara positif yang berkaitan agama antara;

ajaran-ajaran agama, nilai-nilai agama, institusi-institusi, hukum-hakam dan segala aturannya

juga seni dan sainsnya (Mohd Uthman el-Muhammady, 1977: 202). Oleh kerana sastera atau

seni yang lahir dari cabang agama yang bersifat “samawi”, maka sastera Islam adalah seni suci

(sacred art) yang wujud ilhamnya dari sumber wahyu yang mutlaq dari segi kebenarannya. Ia

amat berbeza dari seni duniawi (profane art) dalam setiap segi( Mohd Uthman el-Muhammady,

1977: 202-203) yang tidak semua melahirkan cetusan haq atau kebenaran dalam setiap karyanya .
2.1.0 Agama Mencegah Kemungkaran

Kemungkaran (Al-Munkar) secara bahasanya diertikan sebagai hal yang buruk ( al-amru

al-qabih) hal yang disepakati oleh segenap umat islam dan beberapa ahli ulama sebagai

kemungkaran akan dinilai sebagai kemungkaran dan tidak dibolehkan bagi sesiapa untuk

mempertikaikannya. Namun begitu, kesepakatan yang dimaksudkan di atas adalah dari segi

kelompok yang besar dan luas bukan dari kelompok yang kecil seperti umat islam sekampung,

sedaerah dan sebagainya.

Novel Mevrouw Toga karya Sasterawan Negara Arena Wati ada menceritakan tentang

larangan untuk melakukan kemungkaran yang perlu dipatuhi dan dituruti oleh masyarakat yang

beragama Islam. Contoh bagi petikan yang memaparkan wujudnya pengaruh agama islam dalam

mencegah kemungkaran berdasarkan novel Mevrouw Toga adalah seperti yang berikut;

I. Dia juga arif, Islam melarang zina, tetapi masih terlalu ramai bangsawan Bugis

terutama yang mendapat kurnia pangkat dari Belanda dan sudah bertaraf orang Eropah ;

pada rasminya bersembunyi namun pada hakikatnya orang tahu, bahawa mereka

menyimpan gundik dalam rumah-rumah khusus dalam kawasan perumahan orang

Eropah di Makasar dan di Batavia

(Petikan Novel Mevrouw Toga: hlm 22)

Berdasarkan petikan novel di atas, jelas menunjukkan bahawa Islam amat melarang dan

mencegah umatnya untuk melakukan kemungkaran seperti zina. Masyarakat pada zaman

tersebut mengetahui bahawa zina itu adalah perkara yang dilarang dah usulan ini dibawa oleh

watak Karaeng Cora yang merupakan seorang yang arif dan berilmu. Meskipun dia merupakan

orang Bugis yang selalu didampingi dengan persekitaran dan suasana yang dekat dengan
kemungkaran, namun dia tahu bahawa zina itu merupakan perkara yang salah dan dia tidak

mudah terpengaruh . Jelaslah daripada petikan ini bahawa pengaruh islam begitu kuat sehingga

mampu untuk menarik orang yang berlainan agama dan bangsa untuk menurutinya.

2.1.1 Solat Fardhu

Solat merupakan tiang agama yang dinyatakan solat itu sebagai sebesar-besar ibadah

yang dapat mendekatkan diri hamba dengan tuhannya serta mampu untuk menjadi unsur

mendidik akhlak manusia kepada keperibadian yang tinggi. Anisah Ab Ghani (2011)

menyatakan bahawa solat itu merupakan ibadat yang agung dalam Islam dengan kemuliaan

pensyariatanNya melalui Isra’ dan Mikraj Rasulullah bertemu Allah berbanding ibadat-ibadat

yang lain seperti puasa, haji dan lain-lain. Ini menunjukkan bahawa solat itu terlalu istimewa di

sisi Allah SWT. Menjadi satu kewajipan kepada umat islam untuk menjaga dan tidak

meninggalkan solat fardhu walau sesibuk mana sekalipun. Asas kepada lahirnya umat islam

yang sejati adalah berlandaskan kepada solat lima yang dijaga kerana ianya merupakan tiang

kepada agama Islam, jika tiada tiang maka tidaklah dapat berdiri sebuah agama itu.

Novel Mevrouw Toga karya Sasterawan Negara Arena Wati merupakan sebuah

novel yang diterapkan di dalamnya perihal solat fardhu yang merupakan suatu kewajipan bagi

umat islam. Solat merupakan satu bentuk peribadatan yang sangat penting dan berfungsi untuk

membentuk peribadi seseorang. Semakin banyak seseorang itu melakukan ibadat solat, maka

semakin bertambah kukuhlah keimanannya. Hal ini jelas dipaparkan dalam petikan novel yang

berikut;

I. “ Hari ini,” kata Rita dan berdiri dari kerusi. “Saya bawa ini dan akan bantu ibu

persiapkan diri,” Dia unjuk beberapa gulung pembebat luka dan satu botol kecil berisi

cairan merah. “Darah ayam saja. Kita kerjakan dalam kamar ibu. Sudah solat zuhur?”

(Petikan novel Mevrouw Toga, hlm 23)


II. Berapa jauh dari Kota Makassar? Cuma 120 kilometer. Kalau kelaziman dulu, kita

capai dengan mobil paling lama cuma satu setengah jam. Tetapi itu dulu. Sekarang tidak

boleh begitu. Mungkin ambil masa lima atau enam hari. Tahukan? Kita tinggalkan kota

setelah solat subuh.

(Petikan novel Mevrouw Toga, hlm 28)

Berdasarkan daripada contoh petikan I dan II ini jelas menunjukkan bahawa pengaruh

Islam di dalam karya ini sangat kuat khususnya dari aspek pentingnya solat fardhu apabila

meskipun terdapat tanggungjawab, masalah dan konflik yang melanda, namun perihal solat itu

tetap diberikan keutamaan. Hal ini dapat dilihat melalui perbualan watak Maya yang

mementingkan untuk menunaikan solat subuh terlebih dahulu meskipun mereka akan melalui

perjalanan yang panjang. Perjalanan yang jauh itu tidak menjadi penghalang kepada mereka

untuk meninggalkan perkara yang wajib untuk dilaksanakan.

2.2 Pengaruh Budaya

Istilah budaya dalam bahasa Inggeris ialah ‘culture’ yang berasal daripada perkataan

bahasa Latin yang berbunyi ‘colere’. Ia bermaksud kehidupan manusia yang sentiasa memelihara

dan mengerjakan pelbagai tindakan yang boleh menghasilkan tindakan budaya (Suwardi

Endraswara, 2006:4). Budaya merujuk kepada sekumpulan barang kebendaan dan kerohanian

dari kumpulan sosial yang diturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain yang

bertujuan untuk membimbing amalan individu dan kumpulan. Hal ini merangkumi dari aspek

bahasa, proses, cara hidup, adat, tradisi, nilai, kebiasaan, alat, corak dan pengetahuan. Menurut

Rohana Yusof (2010), Budaya didefinisikan sebagai perkara-perkara berkaitan dengan budi dan

akal. Istilah budi membawa maksud asli, pertama, sejati dan dipandang sempurna manakala daya

pula dimaksudkan sebagai akal, jalan fikiran dan ciptaan (Rohana Yusof, 2010: 75). Menurut

Kamus Dewan pula, budaya diertikan sebagai tamadun atau peradaban serta melibatkan
kemajuan fikiran dan akal budi. Setiap budaya merangkumi pandangan dunia sebagai tindak

balas terhadap kenyataan bahawa kumpulan sosial hidup. Oleh itu tidak akan ada kumpulan

sosial yang kurang berbudaya atau tidak berpendidikan. Apa yang ada adalah budaya yang

berbeza dan di dalamnya terdapat kumpulan budaya yang berbeza malah ianya berkenaan

dengan budaya yang lebih dominan.

2.2.1 Budaya pemakaian busana

Pakaian ditakrifkan sebagai penutup untuk badan dan anggota, serta tangan, kaki, kasut,

sandal, but dan kepala. Pakaian berfungsi sebagai medium yang melindungi badan manusia

daripada cuaca yang keterlaluan, ciri-ciri persekitaran yang lain serta atas alasan keselamatan.

Namun begitu, setiap pakaian juga membawa maksud kebudayaan dan sosial. Pemakaian dapat

menjadi kayu ukur masyarakat pada hari ini dalam menilai kemajuan seseorang. Dalam konteks

Islam, tidak ada penetapan secara khusus berkaitan pemakaian seseorang Muslim dan Muslimah

seperti perlu memakai kain jenis apa, buatan apa, berapa helai, warna apa dan sebagainya

asalkan ianya tidak melanggar konsep takwa dalam pemakaiannya.

Novel Mevrouw Toga karya Sasterawan Negara Arena Wati mengandungi paparan

berkaitan budaya pemakaian busana di mana menjadi pakaian untuk sehari-hari serta ada yang

digunakan untuk majlis atau peristiwa-peristiwa tertentu. Hal ini jelas dipaparkan dalam petikan

novel yang berikut;

I. “ Apa akan dikatakan sahabat-sahabat saya tuan-tuan Belanda kalau mereka datang

ke rumah ini?” Andi Botok bertanya kembali. “Bulaeng Karaeng Cora juga,” dia

menggunakan nama rasmi isterinya, “ Jangan pakai kebaya dan batik wirun saja. Akan

lebih baik nanti kalau buang kebaya dan batik itu. Boleh kekalkan baju bodo dan sarung

sutera busana kita sendiri setiap hari di rumah. Tetapi kalau ada majlis rasmi yang

dihadiri tuan-tuan Belanda, mesti pakai seperti perempuan Belanda juga.”

(Petikan novel Mevrouw Toga, hlm 21)


Berdasarkan daripada petikan di atas jelas menunjukkan bahawa terdapat pengaruh dari

aspek budaya pemakaian busana yang diterapkan oleh pengarang di dalam karya beliau apabila

disebutkan tentang busana kebaya dan batik. Baju kebaya merupakan busana yang berasal dari

negara Arab apabila dipercayai kumpulan pedagang dari negara itu membawa dan

memperkenalkan busana dan fesyen tersebut ke Nusantara. Kebaya atau dikenali sebagai Abaya

dalam bahasa Arab kemudiannya disebarkan ke Tanah Melaka, Sumatera, Bali, Jawa dan

Sulawesi. Hasil dari asimilasi budaya sejak ratusan tahun lalu, busana ini mula di terima oleh

penduduk di kawasan berkenaan. Justeru itu, pengaruh budaya pakaian dari negara Arab pada

asalnya ini telah diterapkan oleh pengarang novel ini ke dalam karya beliau. Meskipun pada

contoh (I) ada menyatakan berkaitan pakaian lain seperti baju bodo dan sutera, namun begitu

pemakaian kebaya dan batik telah mempengaruhi masyarakat di Indonesia sehingga ke hari ini.

3.0 KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kewujudan sastera dunia adalah bertujuan untuk mengenalpasti

apakah tahap perkembangan yang menjurus kepada jumlah literatur di dunia secara keseluruhan.

Kesusasteraan dunia dalam konteks dunia hari ini adalah menerima sudut pandangan dari segi

global. Masyarakat pembaca pada hari ini mempunyai akses kepada pelbagai jenis karya yang

baharu serta mempunyai perbezaan daripada apa yang berlaku sebelum ini. Novel Mevrouw

Toga hasil penulisan Sasterawan Negara Arena Wati merupakan sebuah karya yang

menunjukkan serta menonjolkan pengaruh Kesusasteraan Dunia yang tinggi iaitu pengaruh

sastera Islam dan pengaruh budaya dalam menyebarkan ideologi dan fahaman berkaitan Islam

dan Budaya kepada masyarakat.


4.0 RUJUKAN

Arena Wati. 1925. Mevrouw Toga. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Hashim Awang. 1997. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka

Mohd. Affandi Hassan (1990). Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid. Dewan Sastera,

Januari, 31-35

Mohd Uthman el-Muhammady, 1977, Memahami Islam, Insan, Ilmu dan Kebudayaan, Pustaka

Aman Press: Kota Bharu.

Shahnon Ahmad. 1981. Kesusasteraan dan Etika Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti

Sdn. Bhd

Sohaimi Abdul Aziz. 2014. Teori dan Kritikan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

You might also like