You are on page 1of 11

SOALAN 1

i) Analisis secara kritikal Penilaian Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD) yang telah
dilaksanakan di sekolah anda

PENILAIAN PENTAKSIRAN BERASASKAN BILIK DARJAH (PBD) DI SEKOLAH


KEBANGSAAN PENDITA ZA’BA

ABSTRAK
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) diperkenalkan dengan tujuan untuk mengukur perkembangan
pembelajaran seseorang murid secara menyeluruh dan dilaksanakan untuk memastikan murid-murid
dapat memupuk minat untuk belajar. Oleh itu, bebanan peperiksaan telah dikurangkan sepenuhnya
untuk memastikan pembinaan karakter murid dapat dilakukan sepanjang tempoh murid-murid ini
berada di tahun satu hingga enam. Penyelidikan ini dijalankan untuk memahami cara guru-guru
Sekolah Kebangsaan Pendita Za’ba melaksanakan PBD. Aspek utama yang dilihat ialah cara guru-
guru melaksanakan PBD. Penyelidik telah memilih untuk menggunakan pendekatan kualitatif kerana
penyelidikan ini berhasrat untuk mengenal pasti cara guru-guru melaksanakan PBD. Seramai enam
orang guru telah dipilih secara persampelan bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang
pelaksanaan PBD. Kaedah temu bual dan pemerhatian telah dilakukan untuk proses pengumpulan
data. Secara keseluruhannya, para guru didapati masih memerlukan pemantauan dan bimbingan yang
berterusan untuk memastikan mereka dapat memahami dan menzahirkan cara pelaksanaan PBD
seperti yang dihasratkan. Penyelidikan ini juga dapat menunjukkan bahawa masih terdapat beberapa
lompang yang perlu diisi oleh pihak penggubal dasar untuk memastikan objektif pelaksanaan PBD
dapat dicapai sepenuhnya.

PENGENALAN

PBD telah diperkenalkan pada tahun 2019 oleh Yang Berusaha Dr. Maszlee Malek, mantan Menteri
Pendidikan Malaysia. Matlamat PBD diperkenalkan adalah untuk mengurangkan bebanan
peperiksaan, mewujudkan budaya pembelajaran yang menyeronokkan, membantu guru untuk
mengukur perkembangan pembelajaran murid secara holistik dan mewujudkan peluang pembelajaran
yang sama rata untuk semua murid (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019). Hal ini adalah selaras
dengan apa yang telah diperkatakan oleh Yates dan Johnston (2018) bahawa setiap murid mempunyai
potensi dan kebolehan yang berbeza dan pendekatan peperiksaan adalah kurang sesuai untuk
diamalkan oleh murid-murid pada zaman ini.

Perbezaan potensi murd ini memerlukan satu pendekatan yang menyeluruh dan memerlukan
satu jangka masa yang panjang untuk mengenal pasti potensi yang ada pada murid. Murid akan
mempunyai minat dan keseronokan belajar apabila mereka tidak mempunyai bebanan peperiksaan
yang keterlaluan kerana mereka mempunyai ruang masa yang lebih banyak untuk melakukan aktiviti-
aktiviti seperti pembentangan, perbincangan kumpulan, pembelajaran berasaskan projek dan
pembelajaran bersifat penerokaan. Oleh itu satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik serta mampu
untuk mengukur perkembangan pembelajaran murid secara menyeluruh telah diperkenalkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). PBD juga dikatakan mampu memberi ruang pembelajaran
yang sama rata kepada semua murid memandangkan proses pentaksiran akan dijalankan sepanjang
masa dan murid mempunyai peluang yang luas untuk memperbaiki kelemahan mereka.

1
PERNYATAAN MASALAH

Walaupun PBD ini sebenarnya dirangka berdasarkan konsep pentaksiran formatif yang sudah lama
diperkenalkan namun setiap perubahan akan sentiasa membawa kebimbangan kepada guru yang
memainkan peranan sebagai agen pelaksana kurikulum (Keddie, 2018). Jika dibandingkan dengan
perubahan-perubahan yang telah dilakukan sebelum ini, perubahan kali ini dilihat agak drastik. Secara
rasminya maklumat telah disampaikan oleh pihak KPM bermula Oktober 2018 dan perlu
dilaksanakan diperingkat sekolah bermula Januari 2019. Rangka kerja PBD telah diberikan kepada
pihak pentadbir sekolah dan maklumat ini perlu disampaikan kepada para guru dan waris yang terlibat
secara langsung dalam tempoh empat bulan ini. Perubahan ini dikatakan sangat drastik kerana
kebiasaannya setiap perubahan yang dilakukan dalam pendidikan memerlukan tempoh masa
sekurang-kurangnya satu tahun untuk memastikan sistem itu diperkenalkan sepenuhnya kepada semua
individu yang terlibat secara langsung dengan pelaksanaan sistem tersebut. Latihan dan kursus yang
bersesuian juga perlu diberikan kepada guru-guru untuk memastikan kompetensi mereka untuk
melaksanakan perubahan yang telah diperkenalkan (Kwiek & Szadkowski, 2018).

Merujuk perkara di atas, PBD telah diperkenalkan dalam sistem pendidikan kebangsaan
dalam tempoh yang amat singkat tanpa diberi kursus dan latihan kepada guru. Keadaan ini telah
memberi ruang kepada penyelidik untuk melakukan penyelidikan ini memandangkan Kwiek dan
Szadkowski (2018) turut mengatakan bahawa guru-guru memerlukan ruang masa yang agak panjang
untuk mempelajari serta menzahirkan perubahan yang telah dilakukan. Pendapat ini bercanggah pula
dengan apa yang dikatakan oleh Keddie (2018) bahawa perubahan dapat dilakukan pada bila-bila
masa sekiranya pihak penggubal dasar beranggapan guru-guru mempunyai kompetensi untuk
melaksanakan perubahan yang bakal diperkenalkan. Pelaksanaan pentaksiran di dalam bilik darjah
membantu memperbaiki kelemahan murid-murid dalam pelajaran (Siti Nor Aisah Moktar, Zaliza
Hanapi, Tee, Suriani Mohamed & Ridzwan Che Rus, 2018). Lantaran itu, kajian ini dilaksanakan
untuk meninjau sejauh mana PBD dijalankan mengikut kehendak dan keperluan yang ditetapkan oleh
KPM. Maka menjadi satu keperluan kepada penyelidik untuk menyelidik perkara ini secara mendalam
bagaimana PBD dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Pendita Za’ba memandangkan PBD merupakan
satu ilham baharu yang diperkenalkan di peringkat sekolah.

OBJEKTIF

Penyelidikan ini dijalankan untuk mengenalpasti cara guru-guru di Sekolah Kebangsaan Pendita
Za’ba melaksanakan PBD dari aspek pentaksiran untuk pembelajaran murid dan pentaksiran untuk
menentukan tahap pencapaian murid.

KAJIAN KEPUSTAKAAN

Setiap guru memiliki kaedah yang tersendiri untuk menganalisis muridnya, kajian Siti Hayati
Haji Mohd Yusoff dan Lee (2018). Sesetengah guru menganalisis murid melalui pemerhatian.
Terdapat juga guru yang menganalisis murid sebelum atau sepanjang proses pembelajaran dan
pemudahcaraan dijalankan di dalam bilik darjah. Dalam kajian Senin Khamis dan Asri Selamat
(2019) yang melibatkan empat orang guru dan empat orang pihak pentadbir dari Sekolah Kluster
Kecemerlangan di negeri Melaka mendapati bahawa amalan menggunakan maklum balas kerap
dipraktikkan oleh guru-guru semasa proses pdp, tetapi maklumat yang diberikan adalah terhad.
Guru-guru kerap menggunakan ulasan yang asas seperti “Baik”, “Memuaskan” dan “Teruskan
usaha” sebagai maklum balas dalam pentaksiran mereka.

2
Dapatan pemerhatian Halimah Jamil dan Rozita Radhiah Said (2019) pula menunjukkan
bahawa kebanyakan guru mengikut ketetapan Panduan Pelaksanaan PBD yang dibekalkan dan
memberi skor pentaksiran secara individu kepada murid kerana potensi murid adalah berbeza antara
satu sama yang lain. Namun, terdapat dua orang guru Bahasa Melayu di sekolah menengah
Negeri Sembilan didapati tidak mengikut ketetapan Panduan Pelaksanaan PBD apabila mereka
melaksanakan pentaksiran penskoran murid secara purata. Dua orang guru ini didapati
menyuruh ketua kumpulan untuk menerangkan hasil perbincangan selepas sesi perbincangan
tamat. Kemudian, guru memberi markah yang sama kepada semua murid dalam kumpulan yang sama.

DAPATAN

Hasil dapatan kajian ini adalah berdasarkan temu bual dan pemerhatian terhadap dua cara pelaksanaan
PBD di Sekolah Kebangsaan Pendita Za’ba, iaitu pentaksiran untuk pembelajaran dan pentaksiran
untuk menentukan tahap pencapaian. Kedua-dua cara pelaksanaan PBD ini dikenalpasti melalui
pemerhatian yang telah di lakukan oleh penyelidik dan penceritaan yang dilakukan oleh guru-guru.

1. Pentaksiran untuk Pembelajaran Murid

Terdapat tiga orang guru yang dipilih untuk dijalankan kajian tentang pentaksiran untuk
pembelajaran. Identiti sebenar guru-guru ini dirahsiakan. Oleh itu, untuk tujuan laporan penyelidikan
ini penyelidik telah memberi nama samaran kepada guru-guru ini. TM1, TM2 dan TM3 merupakan
tiga orang guru yang melaksanakan PBD untuk pembelajaran murid. Data temu bual guru-guru ini
mempunyai keselarian dengan data pemerhatian yang telah dikumpulkan.

Biasanya saya membuat pentaksiran semasa murid-murid ini melakukan perbincangan dalam
kumpulan (TM1).

Daripada aktiviti yang dilakukan dalam kumpulan, saya membuat pemerhatian untuk mentaksir
kebolehan murid (TM2).

Walaupun aktiviti dilakukan secara berkumpulan, namun pentaksiran saya lakukan secara individu
(TM3).

Merujuk kepada hasil temu bual di atas, penyelidik mendapati bahawa guru-guru di Sekolah
Kebangsaan Pendita Za’ba menjalankan aktiviti berkumpulan ketika mentaksir murid. Menurut
Gardner dalam Teori Kecerdasan Pelbagai dan Perkembangan Kreativiti Kanak-kanak, semua kanak-
kanak berpotensi berfikir secara kreatif apabila bekerja dalam kumpulan. Pada peringkat awal, kanak-
kanak sentiasa melintasi sempadan-sempadan norma apabila tekun melakukan sesuatu aktiviti dalam
kumpulan. Namun, kreativiti kanak-kanak boleh ditingkatkan dengan memberi pendedahan awal
kepada individu lain yang selesa mengambil risiko dan yang tidak mudah mengalah, membentuk
hubungan dengan rakan sebaya yang rela diuji dan tidak takut gagal, serta mewujudkan hubungan
toleransi terhadap sifat kanak-kanak yang gemar mencabar autoriti. Ini bermakna guru-guru ini telah
memilih kaedah yang sesuai ketika membuat pentaksiran kerana murid-murid lebih cenderung untuk
beraksi dan menunjukkan kebolehan diri apabila bekerja dalam kumpulan. Justeru dapat membantu
murid mendapatkan keputusan yang baik dan tinggi ketika ditaksir. Data juga menujukkan bahawa
guru-guru ini menghubungkaitkan kurikulum, pengajaran dan pentaksiran dalam bilik darjah. Mereka
menjadikan Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) sebagai panduan dan sumber untuk
melaksanakan pengajaran dan seterusnya pentaksiran.

3
Saya merujuk DSKP yang dibekalkan dan memilih kaedah pengajaran seperti yang dicadangkan.
Dalam DSKP juga ada dicadangkan kaedah untuk melaksanakan pentaksiran (TM3).

Dalam DSKP ada diberi cadangan, tapi saya buat ikut kesesuaian. Jika sesuai dan mampu untuk saya
laksanakan saya akan guna, jika tidak saya buat ikut kemampuan murid (TM2).

Cara pelaksanaan PBD dalam kalangan guru-guru ini menujukkan bahawa guru sentiasa
merujuk DSKP semasa merancang aktiviti pengajaran dalam bilik darjah. Mereka juga menghubung
kaitkan kurikulum, pengajaran dan pentaksiran untuk memastikan proses pentaksiran murid
dijalankan dengan betul dan secara berterusan. Hal ini dapat dikaitkan dengan model CIPP yang
memandang penilaian sebagai proses berterusan. Maka model ini telah menetapkan tujuan, kaedah,
dan saling kaitan antara tiap-tiap penilaian dengan pengambilan keputusan dalam konteks proses
perubahan untuk meningkatkan keberkesanan kurikulum. Keadaan ini sama halnya dengan PBD yang
dilaksanakan kerana dalam DSKP itu sendiri ada dicadangkan kaedah pengajaran dan pentaksiran
untuk setiap tajuk yang telah ditetapkan. Oleh itu, guru bebas untuk memilih kaedah pentaksiran,
sama ada ikut cadangan pentaksiran dalam DSKP ataupun memilih kaedah pentaksiran yang lain dan
sesuai dengan suasana bilik darjah.

Pentaksiran untuk Menentukan Tahap Pencapaian Murid

Terdapat tiga orang guru yang melaksanakan PBD untuk menentukan tahap pencapaian murid, iaitu
TM4, TM5 dan TM6. Ketiga-tiga orang guru ini mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu untuk tahun
empat hingga enam. Salah satu aspek yang diperkenalkan dalam PBD ialah untuk menentukan tahap
pencapaian murid (TP) secara berterusan. Terdapat enam peringkat pencapaian yang dinyatakan
dalam PBD, iaitu tahap satu hingga tahap enam. Setiap TP memberikan diskripsi dan pencapaian yang
berbeza. Guru-guru ini didapati menjadikan TP sebagai indikator utama semasa melaksanakan PBD.

Saya akan memastikan murid mencapai sekurang-kurangnya TP3. Jadi aktiviti dan soalan yang saya
sediakan adalah berdasarkan TP3 hingga TP6. Sekiranya murid mencapai TP3 dan ke atas maka
saya akan beralih ke pentaksiran yang berikutnya (TM4).

Murid harus mencapai sekurang-kurangnya TP3 barulah boleh dikatakan telah menguasai
pembelajaran yang diajar (TM5).

Saya rangka aktiviti berdasarkan TP yang sesuai. Kalau murid dah menguasai TP3 maka aktiviti
yang dirancang adalah berdasarkan TP4 hingga TP6 dan semestinya lebih mencabar dan menguji
KBAT. (TM6).

Guru-guru ini didapati menggunakan Tahap Penguasaan (TP) sebagai indikator untuk
melaksanakan PBD. Diskripsi TP yang dinyatakan dengan jelas dalam DSKP sedikit sebanyak dapat
memudahkan guru menentukan aktiviti murid. Guru-guru ini juga didapati memberikan aktiviti yang
berkaitan dengan TP kepada murid sama ada menggunakan kreativiti kendiri dan mengikut betul
seperti yang dicadangkan dalam DSKP. Semasa pemerhatian dilakukan, didapati guru-guru ini
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran seperti yang dirancangkan dalam RPH. Cara guru-guru
ini melaksanakan PBD menampakkan bahawa mereka mampu menghubungkaitkan kurikulum,
pengajaran dan pentaksiran. Hal ini demikian kerana tajuk yang diajar adalah merangkumi tajuk-tajuk
yang diberikan dalam DSKP dan mengikut kemahiran yang disusun dalam buku teks.

4
PERBINCANGAN

Cara yang digunakan oleh guru-guru di Sekolah Kebangsan Pendita Za’ba adalah mirip kepada lima
saranan yang telah dilakukan oleh Chappuis & Stiggins (2017) iaitu; (1) menetapkan sasaran
pembelajaran yang jelas sebagai asas untuk pengajaran dan penilaian, (2) pilih kaedah penilaian yang
sejajar dengan sasaran pembelajaran tersebut, (3) pilih dan/atau cipta penilaian berkualiti tinggi yang
mengukur kemajuan pelajar dengan tepat kepada sasaran pembelajaran, (4) menyampaikan keputusan
penilaian dengan jelas kepada pelajar untuk tujuan formatif dan sumatif, dan (5) melibatkan pelajar
dalam proses penilaian untuk mengembangkan keupayaan mereka untuk menjadi pelajar terarah
kendiri. Hal ini demikian kerana apabila guru-guru melaksanakan pentaksiran maka secara tidak
langsung guru telah jalankan aktiviti pembelajaran. Guru-guru dalam kajian ini telah menggunakan
maklumat yang diberikan dalam DSKP dan aktiviti PBD dirancang berpandukan cadangan yang
diberikan.

Secara keseluruhannya, PBD berjaya dilaksanakan seperti yang dicadangkan oleh KPM
namun terdapat beberapa kelemahan yang masih perlu dibuat penambahbaikan. Salah satu kelemahan
yang jelas kelihatan ialah ketidakselarian guru-guru dalam melaksanakan PBD. Ada dalam kalangan
guru yang melaksanakan PBD bermotifkan untuk pembelajaran manakala ada pula yang memberi
penekanan terhadap tahap pencapaian. Walaupun kedua-dua aspek ini mempunyai kepentingan dalam
pelaksanaan PBD, namun tumpuan terhadap tahap pencapaian menyebabkan guru kurang memberi
perhatian kepada proses perkembangan pembelajaran murid. Konklusinya, kajian ini menjelaskan
bahawa guru-guru harus mempunyai kepekaan bahawa PBD diperkenalkan dengan tujuan membantu
murid-murid agar tiada keciciran berlaku dalam arus pembelajaran. Penyelidik mendapati guru-guru
yang menjadi sampel dalam kajian ini memahami tujuan PBD yang diperkenalkan, namun PBD
belum dizahirkan sepenuhnya seperti yang dihasratkan oleh KPM.

Aspek ini memerlukan perhatian daripada pihak penggubal dasar. Sekiranya perkara ini
berterusan maka aspek perkembangan pembelajaran murid akan terbantut. Hal ini demikian kerana
PBD mementingkan proses perkembangan pembelajaran murid berbanding dengan pencapaian.
Perkara ini perlu disemak semula agar tumpuan terhadap TP ini dikurangkan dalam kalangan guru-
guru yang melaksanakan PBD di Malaysia. Secara keseluruhannya guru-guru harus mempunyai
kepekaan bahawa PBD diperkenalkan dengan tujuan membantu muruid-murid agar tidak keciciran
dalam arus pembelajaran. Guru-guru ini memahami tujuan PBD diperkenalkan namun belum
menzahirkan sepenuhnya proses pelaksanaan PBD seperti yang dihasratkan.

5
SOALAN 2

Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) anjakan yang


pertama iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf
antarabangsa. Sejauh manakah kurikulum berperanan untuk mencapai matlamat yang
ditetapkan.

PENDAHULUAN

Sebelum mencapai kemerdekaan daripada kerajaan British pada tahun 1957, didapati tiada satu sistem
pendidikan yang bersepadu. Setiap kaum menubuhkan sekolah sendiri. Sekolah Melayu, Inggeris,
Cina, dan Tamil mempunyai bahasa pengantar, kurikulum, buku-buku dan guru yang dilantik sendiri.
Kanak-kanak berbilang kaum hanya dapat belajar bersama-sama di sekolah Inggeris. Guru-guru
sekolah Cina dan Tamil dibawa masuk dari China dan India, manakala orang Melayu tempatan dilatih
untuk menjadi guru-guru sekolah Melayu. Pada masa itu, pendidikan berfokus kepada mengekalkan
kesetiaan terhadap negara asal mereka, menyebabkan berlakunya pengasingan antara kaum.

Sebelum kemerdekaan, terdapat kesedaran dalam kalangan pemimpin dan rakyat tempatan
untuk menggantikan sistem pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah dengan satu sistem
pendidikan untuk semua. Kesedaran ini membawa kepada terhasilnya Laporan Razak 1956. Laporan
Jawatankuasa Pendidikan 1956 telah mewujudkan satu sistem pendidikan yang mempunyai ciri-ciri
nasional dan menjamin peluang pendidikan tanpa mengira kaum atau agama. Dasar pendidikan yang
digariskan dalam Laporan Razak merupakan asas kepada pembentukan sistem pendidikan kebangsaan
yang berteraskan perpaduan.

Selain itu, isu sosial dan ekonomi merupakan dua aspek penting yang membentuk
pembangunan pendidikan negara daripada tahun 1971 hingga tahun 1990. Keharmonian kaum dan
usaha untuk mengawal keseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat merupakan usaha kritikal
untuk mengekalkan pembangunan, kestabilan dan kemajuan. Era Dasar Ekonomi Baru (DEB) ini
merupakan satu era yang penting untuk mencapai perpaduan dan pembangunan secara menyeluruh,
dengan memberi fokus terhadap pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat
Malaysia, serta mengelakkan sesuatu kaum itu dikenal pasti mengikut fungsi ekonomi dan lokasi
geografi. Usaha yang sangat penting pada waktu ini termasuk meningkatkan pendapatan golongan
miskin terutama di kawasan luar bandar serta merapatkan jurang antara kaum dan lokasi. Kerajaan
juga beurusha meningkatkan pengeluaran dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk kaum
bumiputera dalam sektor perdagangan, industri dan profesional.

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM 2013-2025)

Pelan pembangunan pendidikan Malaysia berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem
pendidikan di Malaysia. Antaranya ialah menyediakan kesamarataan akses kepada Pendidikan
berkualiti bertaraf antarabangsa. Akses secara umumnya merupakan proses atau cara untuk mencapai
atau memperoleh sesuatu data, maklumat atau capaian.  Kesamarataan akses kepada Pendidikan
bermaksud setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang
pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian berhasrat
memastikan kadar akses sejagat adalah tinggi dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah
sehinggalah ke peringkat menengah atas menjelang tahun 2020. Oleh itu, sistem pendidikan akan

6
menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi
jantina dan latar belakang sosioekonomi dan pencapaian antara jantina sehingga 50% menjelang 2020.

Selain itu, keperluan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa
merupakan tunjang kepada kejayaan sistem persekolahan yang bergantung kepada apa yang murid
tahu, faham dan mampu lakukan. Semenjak dahulu lagi murid di Malaysia mampu mengemukakan
semula kandungan mata pelajaran yang dipelajari. Namun, kemahiran ini kurang penting kerana
ekonomi Negara yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Oleh itu, murid hendaklah ada
kemahiran menaakul, membuat unjuran dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana
baharu yang berlainan keadaan. Selain itu, murid perlu mempunyai ciri kepimpinan bagi bersaing di
peringkat antarabangsa. Hal ini demikian kerana hasil penilaian PISA dan TIMSS antarabangsa jelas
menujukkan bahawa murid-murd di Malaysia sukar mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi
(KBAT). Oleh itu kurikulum dilihat sebagai satu platform penting yang dapat membantu negara
mencapai cita-cita tersebut.

Merujuk perkara di atas, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Y.Bhg. Dato’ Dr.
Rosli bin Mohamed turut menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan kekal komited untuk
meningkatkan pencapaian setiap murid dalam sistem pendidikan kebangsaan. Keutamaan diberikan ke
arah meningkatkan akses dan kualiti pendidikan kepada semua murid. Kelangsungan daripada perkara
ini menyumbang kepada perubahan yang bermakna kepada kualiti kehidupan rakyat Malaysia. Pelan
Pembangunan Pendidikan 2013-2025 menggariskan hala tuju dasar jangka panjang bagi
merealisasikan perubahan ini. Hal ini mampu dilaksanakan melalui artikulasi yang jelas dan inisiatif
mengikut bidang keutamaan ke arah memastikan pulangan atas pelaburan yang optimum dalam
bentuk keberhasilan murid.

PERANAN KURIKULUM DALAM MENGATASI ISU KESAMARATAAN AKSES KEPADA


PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA

Isu akses kepada pendidikan tidak sama rata kepada semua penduduk telah dikenal pasti kerana
faktor-faktor berikut; (1) kedudukan sekolah, (2) latar belakang pelajar, (3) status sosioekonomi, (4)
pencapaian akademik, (5) minat, (6) jantina dan (7) kumpulan minoriti. Oleh itu, kurikulum perlu
digubal dari semasa ke semasa untuk mengatasi isu-isu yang timbul.

1.     Kedudukan sekolah
Pelajar yang berada di bandar lebih mudah menerima akses pendidikan berbanding bandar.
Kemudahan yang disediakan untuk pelajar adalah lebih banyak dan lebih meluas penggunaannya.
Walaupun sejumlah peruntukan telah dilaburkan bagi mengelakkan jurang antara pelajar bandar dan
luar bandar, namun masih terdapat banyak halangan dalam perlaksanaannya seperti tiada kemudahan
elektrik dan jalur lebar yang meluas. Sekolah luar bandar juga berhadapan dengan masalah kurang
guru mahir dalam opsyen yang diajar serta kekurangan guru yang ditempatkan di pedalaman.

Oleh hal yang demikian, Kementerian Pendidikan telah menetapkan standard kemasukan
yang lebih tinggi bagi guru baharu. Baru-baru ini juga Kementerian Pendidikan telah membuka
pengambilan secara one-off untuk mengatasi kekurangan guru bagi mata pelajaran tertentu untuk
ditempatkan di kawasan pedalaman. Selain itu, murid akan memperoleh akses kandungan yang lebih
luas, menarik dan interaktif. Ini kerana melalui pembelajaran jarak jauh, bukan sekadar pelajar
mempunyai pilihan sumber yang lebih luas malah guru juga mempunyai akses kepada sumber yang

7
mampu membantu proses pembelajaran dan pengajaran lebih berkualiti setaraf peringkat
antarabangsa. Kemudahan teknologi menjadi sebahagian daripada kehidupan harian di sekolah, tanpa
jurang pemisah antara bandar dengan luar bandar.

2.     Latar belakang pelajar


Pelajar yang berlatar belakang ibu bapa yang berpendidikan pada kebiasaannya menitik beratkan
pendidikan anak-anak. Mereka cenderung berkorban wang ringgit semata-mata menyekolahkan anak
agar tidak ketinggalan dan setaraf atau lebih tinggi daripada pendidikan yang pernah mereka peroleh.
Sebaliknya, bagi pelajar yang berada di luar bandar kebanyakan mereka cenderung untuk menikmati
cara hidup yang mereka selesa. Misalnya pelajar yang terbiasa dengan ibu bapa sebagai petani lebih
meminati bidang pertanian berbanding ilmu lain. Mereka hanya gemar mendalami ilmu pertanian.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan akses pendidikan dalam
bidang pertanian di mana sekolah teknik dan vokasional menjadi laluan mudah untuk mereka yang
meminati bidang ini. Kurikulum yang dirancang juga membuka berpeluang kepada pelajar untuk
mengambil aliran antara teknikal dan vokasional. Aliran teknikal mempunyai lebih banyak komponen
akademik manakala aliran vokasional mempunyai lebih banyak komponen hands-on. Secara tidak
langsung, kurikulum telah memainkan peranan yang penting dalam mengatasi isu ini.

3.     Status sosioekonomi
Status sosioekonomi menjadi penentu kejayaan akademik dan merupakan faktor utama yang berupaya
mewujudkan jurang pencapaian murid. Peratus pencapaian pelajar dilihat semakin meningkat apabila
pendapatan keluarga semakin tinggi dan rendah sekiranya ibu bapa miskin. Penerimaan pendidikan
yang berkualiti dapat dilihat daripada hierarki sosial dan keadaan sosioekonomi penduduk di mana
akses yang meluas diterima bagi mereka yang mempunyai taraf sosial yang tinggi berbanding mereka
yang miskin. Golongan atasan yang berpendapatan tinggi mempunyai keupayaan kewangan untuk
menikmati akses pelbagai pilihan pendidikan sama ada daripada dalam mahupun luar negara.

Oleh itu, pendidikan dilihat sebagai cara untuk mengubah mobiliti sosial. Misalnya, kanak-
kanak yang dilahirkan dalam keluarga miskin berpeluang meningkatkan ekonomi mereka apabila
dewasa dengan meraih pendapatan yang lebih lumayan hasil usaha mereka kerana berpeluang
mendapat pendidikan yang tinggi. Justeru, sarana toolkit penglibatan ibu bapa dilaksanakan di 10,000
buah sekolah bagi membantu ibu bapa menyokong pembelajaran anak-anak. Murid yang dikenalpasti
mempunyai sosioekonomi yang rendah turut diberikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT),
bantuan KWAMP dan biasiswa kecil Persekutuan. Pelbagai bantuan disediakan untuk murid yang
kurang berkemampuan supaya mereka juga boleh berjaya dan mengubah kehidupan keluarga pada
masa akan datang.

4.     Pencapaian akademik
Sistem pendidikan negara menghadkan kemasukan ke sekolah berasrama penuh serta universiti
berdasarkan keputusan dan gred peperiksaan serta sekiranya pelajar aktif dalam bidang kokurikulum.
Akses pendidikan yang disediakan lebih cerah buat mereka dan lebih meluas untuk melanjutkan
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu, kurikulum akan mengkaji semula struktur sekolah
untuk menentukan keperluan bagi mengoptimumkan laluan dan pilihan persekolahan. Selain itu,
standard pembelajaran yang jelas juga perlu dirangka agar murid dan ibu bapa memahami kemajuan
yang bakal diperoleh oleh anak-anak mereka.

8
5.     Minat pelajar
Pelajar yang berlatar belakang sosioekonomi rendah pada kebiasaannya tidak berminat untuk ke
sekolah dan belajar. Mereka tidak dibiasakan dengan budaya ilmu maka minat untuk belajar tidak
bercambah dalam diri mereka. Namun ianya dapat diatasi sekiranya terdapat akses pendidikan di
dalam bidang yang mereka minati seperti bidang vokasional. Bagi pelajar yang sentiasa mendapat
keputusan yang cemerlang kerana minat mereka terhadap sesuatu bidang, peluang pendidikan terbuka
luas untuk mereka sama ada di dalam mahupun luar negara. Malah pembiayaan dan biasiswa
disediakan buat mereka agar pendidikan yang diterima berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Oleh itu transformasi Pendidikan telah melaksanakan program dan inovasi ICT bagi
kumpulan berkeperluan khusus di seluruh negara untuk meningkatkan standard pembelajaran dan
melaksanakan 1BestariNet ke semua sekolah untuk integrasi ICT dalam pembelajaran harian. Selain
itu, kurikulum sekolah rendah dan menengah turut dirombak semula agar lebih memberi tumpuan
kepada  pengajaran berpusatkan murid dan mempelbagaikan pengajaran serta lebih penekanan kepada
penyelesaian masalah. Secara tidak langsung, minat pelajar dapat dipupuk melalui aktiviti
pembelajaran yang berkonsepkan abad-21 yang mana menekankan aspek murid seronok belajar di
dalam kelas dengan pelbagai aktiviti kumpulan, projek dan kajian lapangan.

6.      Jantina
Jurang pencapaian juga dilihat ketara jika dibandingkan keputusan peperiksaan lelaki dan perempuan.
Akses pendidikan telah diberi secara sama rata namun akibat daripada jumlah wanita lebih tinggi
daripada lelaki menyebabkan berlakunya jurang perbezaan antara lelaki dan perempuan. Misalnya
dalam bidang perguruan bilangan guru wanita lebih ramai berbanding guru lelaki. Oleh itu,
Pendidikan telah ditransformasikan untuk memperluas tawaran pendidikan vokasional melalui
perjanjian pelaksanaan dengan pembekal pendidikan vokasional swasta. Justeru isu jurang dalam
mendapatkan pekerjaan antara jantina dapat dikurangkan. Hal ini demikian kerana psikologi lelaki
lebih cenderung kepada kemahiran vokasional.

7.     Kumpulan minoriti
Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa perbezaan di antara kaum atau etnik
menyebabkan penyediaan peluang pendidikan tidak sama rata. Misalnya masyarakat orang asli yang
tinggal jauh di kawasan pedalaman. Walupun mereka mengikuti kurikulum yang sama seperti pelajar
lain namun golongan minoriti ini kemungkinan mengalami masalah buta huruf sekaligus menjadi
punca tiada minat untuk belajar.

Oleh itu, transformasikan pendidikan mensasarkan untuk mengukuhkan program bagi


kumpulan berkeperluan khusus seperti Orang Asli dan kumpulan minoriti lain, pintar cerdas dan
berkeperluan khas yang mana kumpulan ini akan menerima bantuan tambahan supaya mereka dapat
menikmati peluang yang sama seperti murid lain. Kemudahan dan peralatan yang disediakan mampu
mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif sekaligus menarik minat mereka untuk menimba
ilmu dengan lebih mendalam. Pelajar kumpulan minoriti juga disediakan guru yang telah dilatih untuk
memahami keperluan mereka yang berada di luar Bandar.

9
KESIMPULAN

Perubahan yang dirancang dalam pelan perancangan bercita-cita tinggi dan dibentuk ke arah
menyampaikan transformasi pendidikan yang komprehensif, berterusan dan pantas. Perubahan ini
disusun mengikut tiga gelombang seiring dengan penambahbaikan keupayaan dan kebolehan.
Gelombang transformasi pertama akan memberikan tumpuan terhadap usaha meningkatkan kualiti
guru dan memperbaik kualiti kepimpinan sekolah. Gelombang kedua akan memperkenalkan
perubahan yang lebih berstruktur untuk mempercepat kadar perubahan, yang terdiri daripada pakej
kerjaya guru dan pengetua/guru besar yang baharu, dan kurikulum baharu sekolah menengah serta
kurikulum semakan sekolah rendah. Gelombang akhir bertujuan mewujudkan budaya kecemerlangan
profesional pemimpin rakan sebaya. Hal ini bermaksud keluwesan operasi yang lebih tinggi pada
peringkat sekolah – memberi daerah dan sekolah peluang membuat keputusan yang sesuai dengan
masyarakat dan murid mereka. Pada masa hadapan, untuk memastikan sistem pendidikan Malaysia
terus relevan dalam dunia yang berkembang hebat ialah menggabungkan semangat inovasi dan
kreativiti dalam sistem itu sendiri. Anjakan paradigma ini mestilah berlaku pada setiap peringkat–
pusat, negeri, daerah, sekolah dan guru. Hanya melalui usaha yang bersepadu dan perubahan pada
setiap pihak yang berkepentingan, maka sistem pendidikan Malaysia dapat benar-benar menangani
cabaran abad ke-21 yang sentiasa berubah.

Kesimpulannya, sistem pendidikan semasa perlu meningkatkan keberhasilan pelajar. Melalui


akses pendidikan yang disediakan setiap kanak-kanak di Malaysia berhak mendapat kesamarataan
peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Guru perlu
meningkatkan keupayaan agar bertaraf dunia seperti yang diperlukan bagi membantu keberhasilan
pelajar seperti yang dihasratkan. Pihak kementerian sewajarnya berindak sebagai pemangkin
perubahan dengan menguruskan dan membimbing warga pendidik ke arah kecemerlangan sekolah
yang bertaraf antarabangsa.

10
RUJUKAN

Chappuis & Stiggins (2017). The Perfect Assessment System. Alexandria Virgina USA.

Halimah Jami & Rozita Radhiah Said. (2019). Pelaksanaan penskoran pentaksiran lisan
Bahasa Melayu dalam pentaksiran bilik darjah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 9(1).

Kalai Selvan Arumugham (2020) Kurikulum, pengajaran dan pentaksiran dari perspektif
pelaksanaan pentaksiran bilik. Asian People Journal, 3(1).

Keddie, A. (2018). Adult education: An ideology of individualism. In Adult education for a


change. Routledge.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2014). Pengurusan dan pengendalian pentaksiran bilik


darjah sekolah rendah. Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-


2025. Putrajaya: Bahagian Pendidikan Guru.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2018). Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah.


Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kwiek, M., & Szadkowski, K. (2018). Higher education systems and institutions, Poland.
Encyclopedia of International Higher Education Systems and Institutions, 1-10.

Senin Khamis& Asri Selamat.(2019). The Use of Feedback in the Classroom Assessment: A
Case Study. International Journal of Academic Research in Progressive Education and
Development, 8(3),325-334.

Siti Nor Aisah Moktar, Zaliza Hanapi, Tee, T.K., Suriani Mohamed & Ridzwan Che
Rus.(2018). Kesediaan, Penerimaan Dan Pengoperasian Guru Reka Bentuk dan Teknologi
Terhadap Amalan dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Sains Humanika,10(3-3), 89-94.

11

You might also like