You are on page 1of 18

FALKULTI PEMBANGUNAN MANUSIA

KRP 60404
ANALISIS KURIKULUM SEKOLAH RENDAH

TUGASAN 1
ULASAN ARTIKEL JURNAL

NAMA : DEEPA A/P MUNUSAMY


NO MATRIKS : M20202001638
PROGRAM : PENDIDIKAN SEKOLAH RENDAH
SEMESTER : SATU
NAMA PENSYARAH : DR MAZARUL HASAN BIN
MOHAMAD HANAPI
TARIKH HANTAR : 29 MEI 2021
ISI KANDUNGAN

1.0 Pengenalan 1

2.0 Ulasan kandungan artikel secara menyeluruh dan kritis 2

Bab 1 2

Bab 2 7

Bab 3 8

Bab 4 9

Bab 5 11

3.0 Penutup 13

Rujukan
ULASAN ARTIKEL JURNAL

Tajuk Artikel : Tahap Pengetahuan Dan Sikap Guru Bahasa Melayu Daerah Sibu Dalam

Mengaplikasikan Kemahiran Abad Ke-21.

Penulis Artikel : Sofiana Hassan

Bahan Ulasan : Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu –JPBM (Malay Language Education

Journal –MyLEJ) ISSN: 2180-4842.Vol.10, Bil.2 (Nov.2021):74-81

Penerbit : Fakulti Pendidikan, UKM

1.0 Pengenalan dan latar belakang

Artikel ini mengkaji tentang tahap pengetahuan dan sikap guru Bahasa Melayu daerah

Sibu dalam mengaplikasikan kemahiran Abad ke-21. Penulisan artikel ini, melibatkan seorang

penulis. Nama beliau ialah Sofiana Hassan. Beliau seorang pegawai penyelia(Hem) yang

berkhidmat di bawah unit pengurusan pembangunan dan kemanusiaan di Pejabat Pendidikan

Daerah Sibu, Kementerian Pendidikan Malaysia. Maklumat lanjut tentang beliau dikumpulkan

melalui email.

Artikel ini dipetik daripada jurnal bertajuk ‘Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu –JPBM

(Malay Language Education Journal –MyLEJ)’. Penulisan artikel ini merangkumi sebanyak 8

muka surat iaitu bermula daripada muka surat 47 hingga 81. Artikel ini dihantar pada 24 April

2020 ke Fakulti Pendidikan, UKM dan diterima pada 15 Disember 2020. Artikel ini

merangkumi pelbagai aspek tentang kajian. Justeru itu, saya akan mengulas penulisan artikel

ini secara menyeluruh dan kritis tentang isi dan cara penulisan, kebaikan serta kelemahan

berdasarkan ciri- ciri kajian. Saya membahagikan cara pengulasan tentang artikel ini kepada

lima bab. Bab 1 merangkumi pengenalan, bab 2 menyentuh mengenai kajian lampau, bab 3

menjelaskan metodologi atau reka bentuk kajian yang digunakan, bab 4 menghuraikan tentang
analisis dan dapatan kajian dan bab 5 pula menyentuh kepada cadangan dan kesimpulan. Pada

keseluruhannya artikel ini mempunyai banyak kekuatan berbanding kelemahan.

2. 0 ULASAN KANDUNGAN ARTIKEL SECARA MENYELURUH DAN KRITIS

BAB 1

Bagi pengulasan bab pertama, saya telah mengkaji artikel ini berdasarkan beberapa

aspek iaitu tajuk kajian, pengenalan, isu kajian, tujuan kajian, persoalan kajian, tema, konsep

dan bidang kajian, teori kajian dan batasan kajian. Menurut Petton, M.Q. (1990), tajuk kajian

harus menarik minat pembaca. Tajuk kajian harus jelas, ringkas dan padat serta tidak melebihi

12 patah perkataan namun 14 patah perkataan masih boleh diterima sekiranya pengkaji tidak

dapat dielakkan. Ciri-ciri tajuk merangkumi semua skop kajian seperti reka bentuk kajian,

tujuan kajian, bidang kajian, pemboleh ubah kajian dan lain-lain. Pada asasnya artikel yang

saya pilih ini, menepati ciri–ciri tajuk kajian. Iaitu, penulis memilih tajuk kajian yang jelas dan

ringkas, padat dan tidak melebihi 12 patah perkataan. Tambahan lagi, penulis telah menyelitkan

pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tak bersandar dalam tajuk kajian.

Pengenalan adalah asas bagi mengarang kajian. Pengenalan dalam artikel kajian

seharusnya ringkas dan padat. Ia perlu dimulakan dengan huraian umum berhubung bidang

kajian yang hendak diselidik dan diikuti dengan perbincangan yang lebih spesifik tentang fokus

kajian. Menurut Noraini Idris (2010), terdapat beberapa elemen-elemen penting untuk

diberikan perhatian dalam penulisan pengenalan. Antaranya, seperti menjelaskan

permasalahan, mengemukakan konteks yang dapat menjustifikasikan yang dikemukakan

adalah signifikan untuk diselidik, mengemukakan rasional dan penyelidikan yang

dicadangkan, menjelaskan isu utama, mengenal pasti pemboleh ubah bersandar dan tidak

bersandar yang penting dalam kajian serta mengemukakan definisi-definisi tentang konsep-
konsep utama. Semasa mengkaji artikel ini, saya mendapati pengenalan yang diberikan adalah

tepat dan ringkas. Iaitu, penulis mulakan pengenalan dengan kenyataan umum dengan bidang

yang hendak diselidik, diikuti dengan rasional dan justifikasi penyelidikan yang dicadangkan.

Beliau juga mempunyai kebolehan untuk meringkaskan tentang kandungan keseluruhan bab

satu, di samping menjelaskan sedikit tentang kajian yang akan dilakukan dan menggunakan

literature untuk menerangkan kenyataan umum berkaitan kajian. Pada pendapat saya,

pengenalan diberikan oleh penulis dapat membina dan membangkitkan minat pembaca

terhadap tajuk yang diselidik.

Seterusnya, isu kajian merupakan aspek penting kepada pembaca mengetahui apa

masalah yang ingin dikaji oleh pengkaji. Penulis artikel yang saya kaji ini telah mengutarakan

isu utama kajian dalam penulisannya. Isu utama yang diutarakan ialah tentang tahap

pengetahuan dan tahap sikap guru Bahasa Melayu daerah Sibu dalam mengaplikasikan

kemahiran abad ke-21. Sebagai seorang pendidik saya berpendapat isu yang diutarakan oleh

penulis adalah sangat menarik. Hal ini kerana, kesediaan terhadap pengetahuan dan tahap sikap

guru amat penting dalam menentukan satu pengajaran berkesan dilaksanakan dalam konteks

pendidikan. Menurut Rafferty et.al (2013), kesediaan merupakan isu bagi mana-mana

perubahan yang dilaksanakan. Pernyataan tersebut adalah selaras dengan perubahan yang

berlaku dalam sistem pendidikan negara khususnya pembudayaan bilik darjah abad ke-21 dan

pengurusannya yang memerlukan kesediaan guru. Oleh demikian, saya dapat melihat pengkaji

membuat pemilihan isu yang relevan untuk dikaji. Jika guru sendiri tidak bersedia dan tidak

peka terhadap dengan pengaplikasian abad-ke-21, maka murid-murid juga tidak akan dapat

pendedahan tentang kemahiran abad ke-21. Melalui kajian ini, saya juga dapat lebih mendalami

tentang faedah yang peroleh apabila berlaku perubahan terhadap pengetahuan dan sikap guru.
Selain itu, aspek yang saya kaji dalam bab ini ialah permasalahan kajian. Masalah

merupakan isu-isu yang wujud dalam literature, teori dan amalan yang mewujudkan keperluan

pelaksanaan sesuatu penyelidikan. Menurut Taylor, SJ dan R Bogdan. (1984), penyelesaian

masalah didefinisikan sebagai proses seseorang itu menjadi peka terhadap masalah dan ini

melibatkan seseorang individu itu cuba mencari penyelesaian membuat andaian, mengubah

hidup, dan akhirnya melaporkan penghasilannya. Merujuk pendapat beliau, seorang penyelidik

harus mengenal pasti masalah yang dikajinya. Dalam aspek ini penulis artikel ini telah berjaya

menyatakan permasalahan kajian iaitu tidak kesediaan guru berlaku apabila seorang guru

menganggap bahawa pengajaran abad ke-21 merupakan satu perkara yang sukar, beban dan

tidak sesuai pada mereka. Ketidaksediaan guru yang masih menggunakan kaedah pengajaran

tradisional mengakibatkan murid tidak dapat menggunakan kemahiran berfikir secara optimum

yang membawa kepada pencapaian mereka.

Tujuan kajian merupakan kenyataan tentang arah atau fokus secara keseluruhan bagi

sesuatu kajian. Kebiasaannya ia ditulis dalam satu perenggan dengan jelas dan tepat selepas

daripada pernyataan masalah. Dalam artikel ini, penulis memenuhi ciri-ciri asas bagi tujuan

kajian. Tujuan kajian yang dinyatakan dalam pernyataan masalah adalah mengenal pasti tahap

kesediaan guru mengaplikasikan kemahiran abad ke-21 dalam pengajarannya yang diukur dari

segi pengetahuan dan sikap mereka mengaplikasikan kemahiran abad ke-21.

Aspek seterusnya, objektif kajian. Dalam artikel yang saya kaji ini penulis telah

menyatakan dua objektif kajian. Objektif kajian yang pertama adalah mengenal pasti tahap

pengetahuan guru Bahasa Melayu dalam mengaplikasikan kemahiran abad ke-21 dalam

pengajaran mereka. Keduanya, mengenal pasti tahap sikap guru Bahasa Melayu dalam

mengaplikasikan kemahiran abad ke-21 dalam pengajaran mereka. Pada umumnya, sesuatu
objektif kajian seharusnya spesifik, boleh diukur, kebolehcapaian, realistik dan bersesuaian

dengan tempoh kajian. Penulisan objektif perlu dalam bentuk kata kerja yang berkaitan dengan

bidang dan tahap kajian masing-masing. Menurut Zamri Mahamod, Jamalul Lail Abdul Wahab

& Mohammed Sani Ibrahim. (2011)., objektif kajian yang ditulis akan menentukan arah

sesuatu kajian. Berdasarkan pernyataan di atas, saya berpendapat objektif kajian bagi tajuk

artikel ini amat sesuai dengan tajuk kajian kerana ia berunsurkan memberi jawapan kepada

kajian. Beliau telah menyatakan objektif kajian dengan mengaitkan dengan pemboleh ubah

bersandar dan tak bersandar agar pembaca jelas akan objektif yang ditulis itu ada berkaitan

dengan tajuk. Objektif yang tepat dapat mendorong kajian agar tidak tersasar daripada

penyelidikan yang telah dirancang.

Persoalan kajian merupakan perkara yang penting dalam sesuatu kajian. Persoalan

kajian harus mengandungi soalan yang hendak dijawab dalam kajian dan perlu dibina

berasaskan objektif kajian. Apabila mengkaji artikel ini, persoalan kajian tidak dinyatakan

secara spesifik. Pada pendapat saya, persoalan kajian dalam artikel ini, seharusnya boleh

dibina berpandukan kepada objektif kajian bagi memudahkan pembaca untuk memahami

perkaitan antara dua aspek tersebut dalam kajian. Contoh persoalan kajian yang boleh dibina

berdasarkan objektif kajian yang diberikan seperti berikut:

1) Apakah tahap pengetahuan guru Bahasa Melayu dalam mengaplikasikan kemahiran

abad ke-21 dalam pengajaran mereka ?

2) Apakah tahap sikap guru Bahasa Melayu dalam mengaplikasikan kemahiran abad ke-

21 dalam pengajaran mereka ?

Seterusnya, aspek bidang, tema dan konsep. Penulis telah menggunakan ketiga-tiga

aspek dalam kajiannya. Bidang merupakan satu aspek yang sangat luas. Penulis memilih
bidang pendidikan untuk dikaji. Dalam bidang pendidikan beliau telah memilih satu tema

kaedah pengajaran iaitu kemahiran abad ke-21. Daripada tema tersebut, beliau telah memilih

mengkaji konsep tahap pengetahuan dan sikap guru.

Selain itu, aspek teori juga penting bagi kajian. Sesuatu teori yang baik dapat

menjelaskan kepada kita tentang sesuatu fenomena. Ia memandu kita untuk mengisi jurang

literatur yang dikenal pasti sama ada mendalami sesuatu fakta yang telah diketahui atau

menjelaskan perkara-perkara yang masih kabur. Justeru, Sabitha Marican (2005:50)

menyarankan 3 peranan utama teori: Pertama, mengorganisasikan pengetahuan dan

menjelaskan hukum. Kedua, meramal hukum yang baru. Ketiga, menjadi panduan untuk

penyelidikan. Dalam kajian ini, terdapat kelemahan dari segi teori. Pada pendapat saya, penulis

tidak menggunakan teori atau model untuk mengukuhkan kajian ini. Jika teori digunakan

penulis boleh menyatakan secara umum tentang teori dengan ada sokongan pendapat ahli,

kenapa teori tersebut dipilih untuk kajian dan bagaimana ia digunakan dalam teori.

Batasan kajian menerangkan skop dan had kajian. Setiap kajian ada batasan yang

tersendiri. Oleh itu, batasan kajian perlu dilaporkan walaupun secara ringkas. Terdapat

pelbagai jenis batasan dalam kajian mengikut keperluan kajian. Batasan pertama yang ingin

saya nyatakan berdasarkan artikel ini adalah batasan bidang, di mana penulis memilih batasan

bidang iaitu bidang pendidikan. Keduanya, penulis menetapkan batasan sampel dalam iaitu

sebanyak 220 orang guru Bahasa Melayu untuk diselidik untuk menjawab soal selidik tetapi

hanya 210 responden yang telah mengembalikan soal selidik yang diberikan. Apabila mengkaji

artikel ini, saya mendapati bahawa penulis tidak sesuka hati memilih responden kajian malah

beliau telah mengikut pandangan K.Rejcie dan Morgan iaitu, jika populasi berjumlah 500

orang, maka sampel harus terdiri daripada sekurang-kurangnya sebanyak 217 orang. Tambahan
pula, batasan sampel yang ditetapkan ialah guru-guru Bahasa Melayu yang mengajar di

sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan sekolah rendah. Ketiganya, batasan lokasi. Iaitu

penulis memilih responden kajian di satu daerah di Sarawak iaitu daerah Sibu. Keempatnya,

beliau memilih batasan instrument kajian. Iaitu beliau menetapkan soal selidik yang dibina

mempunyai 3 bahagian iaitu bahagian A, B dan C.

BAB 2

Bab kedua ini pula, membuat tinjauan berhubung literatur yang berkaitan dengan

bidang kajian yang ingin diselidik. Dalam bab ini, penulis telah mengaitkan kajian-kajian

terdahulu dengan kajian yang dilaksanakan dan mengambil beberapa pandangan pakar tentang

pernyataan yang berkaitan dengan tajuk. Menurut Risiko, V., & Vulkelich, C. (2001), kajian

literatur merupakan sebuah huraian atau deskripsi tentang literatur relevan dengan bidang atau

topik tertentu. Ia dilaksanakan bagi membuat rujukan secara kritikal dan sistematik dokumen-

dokumen yang terkandung segala idea, kaedah pelaksanaan kajian serta kaedah pengumpulan

maklumat yang berkaitan dengan bidang yang diselidik. Dalam kajian ini, penulis telah berjaya

mengemukakan kajian literatur dari sumber berautoriti terdiri daripada buku dalam dan luar

negara, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (KPM) dan artikel jurnal. Namun, artikel ini

mempunyai kelemahan dari segi tidak mengasingkan tinjauan literature. Penulis telah

menyelitkan tinjauan literature pada bahagian, pengenalan, pernyataan masalah, metodologi,

dapatan kajian dan kesimpulan. Walaupun, penulis menyelitkan tinjauan literature sepanjang

penulisan namun ia harus dijadikan sebagai sub topik yang khusus kerana kajian literatur

merupakan bahagian penting dalam sebuah penyelidikan yang kita lakukan.

Tambahan pula, beliau tidak berusaha untuk membanding beza dan membincangkan

kesamaan dan perbezaan antara dapatan kajian-kajian terdahulu untuk mengenal pasti jurang
pengetahuan yang wujud dalam kajian yang ingin diselidik. Pada pendapat saya, penulis harus

menyampaikan pengetahuan dan idea yang telah dikembangkan berkaitan topik kajian dan apa

kelebihan dan kelemahan kajian-kajian lain kepada pembaca. Dalam aspek ini, penulis

digalakkan mengikuti beberapa langkah perlu diambil kira untuk penulisan literatur.

Antaranya, membaca tulisan-tulisan ilmiah yang berkaitan, menilai semua tulisan ilmiah yang

dibaca, buat ringkasan, dan akhirnya gabungkan menjadi satu cerita ilmiah lengkap mengenai

suatu masalah kajian.

BAB 3

Bab ini akan menerangkan tentang metodologi kajian. Metodologi kajian diterangkan

dalam beberapa aspek. Iaitu reka bentuk kajian, peserta kajian, kaedah pengumpulan data dan

prosedur pengumpulan data. Metodologi kajian adalah meliputi cara, kaedah dan pendekatan

yang digunakan untuk mencapai objektif dan matlamat kajian. Menurut Ratna, Nyoman Kutha.

(2004), metodologi merupakan kaedah dan teknik mereka bentuk, mengumpul dan

menganalisis data supaya dapat menghasilkan bukti yang boleh menyokong sesuatu kajian.

Dalam kajian ini, penulis telah merancang dengan teratur metodologi kajian dan strategi-

strategi yang digunakan untuk mendapatkan maklumat dan data melalui kaedah-kaedah

tertentu. Kajian ini menggunakan reka bentuk kaedah tinjauan. Ia salah satu jenis kajian bukan

eksperimental. Kajian ini merupakan jenis kuantitatif secara tinjauan. Menurut Fraenkel, Jack,

R. & Wallen, Norman E. (1993), reka bentuk kajian tinjauan adalah prosedur dalam

penyelidikan kuantitatif dan kualitatif yang mana pengkaji menjalankan satu tinjauan terhadap

sampel atau keseluruhan populasi. Dalam kajian ini, peserta kajian yang dipilih adalah seramai

220 orang guru-guru Bahasa Melayu yang terdiri daripada 55 buah sekolah menengah dan

sekolah rendah. Dalam pemilihan saiz sampel, penulis menggunakan cara yang betul dengan
memilih saiz sampel merujuk kepada jadual penentu saiz sampel. (Krejcie dan Morgan (1990).

Penggunaan jadual ini amat sesuai digunakan dalam kajian kuantitatif.

Kajian ini, menggunakan satu kaedah pengumpulan data iaitu soal selidik untuk

membuat tinjauan. Soal selidik ini mengandungi tiga bahagian. Bahagian A ialah bahagian

demografi atau latar belakang responden. Bahagian B ialah soal selidik tentang pengetahuan

guru Bahasa Melayu tentang kemahiran abad ke-21. Bahagian C tentang sikap guru Bahasa

Melayu dalam mengaplikasikan kemahiran abad ke-21 dalam pengajarannya. Setiap item

dalam instrument mempunyai lima pilihan jawapan iaitu sangat tidak setuju-sangat setuju.

Sebelum melaksanakan kajian ini beliau telah melaksanakan kajian rintis kepada 30 guru

Bahasa Melayu. Data yang dapati melalui kajian rintis ini dianalisis untuk mendapatkan nilai

alpha Cronbach. Melalui ini, penulis dapati item soal selidik yang digunakan mempunyai tahap

kebolehpercayaan yang tinggi. Data soal selidik yang dikumpul telah dianalisis menggunakan

perisian Statistical Package For The Sosial Science. Data dianalisis secara deskriptif untuk

mengenal pasti tahap pengetahuan dan sikap guru-guru Bahasa Melayu daerah Sibu, Sarawak

dalam mengaplikasikan kemahiran abad ke-21 dalam pengajaran mereka. Analisis deskriptif

yang digunakan oleh penulis bertujuan untuk memberikan gambaran tentang sesuatu data,

seperti rata-rata, jumlah, simpangan baku, varian, rentang, nilai maksimum, nilai minimum dan

sebagainya. Pada pendapat saya, keseluruhan metodologi yang dipilih adalah sangat sesuai

untuk kajian beliau. Metodologi kajian yang dipilih oleh penulis menjadikan kajian yang

dijalankan ini lebih bersistematik dan perjalanan kajian lebih terarah dalam mencapai objektif.

BAB 4

Bab ini menerangkan tentang dapatan kajian dan perbincangan. Dalam kajian ini,

penulis menujukkan hasil dapatan melalui data yang diterima daripada soal selidik tentang
tahap pengetahuan dan tahap penguasaan guru dalam kemahiran abad ke-21. Dapatan kajian

yang ditunjukkan oleh beliau dalam bentuk jadual. Dalam jadual 1, penulis menujukkan profil

demografi responden yang telah menjawab soal selidik kajian. Profil responden yang diperoleh

jantina, umur, kelayakan ikhtisas, pengalaman mengajar dan lokasi sekolah. Data tersebut

ditunjukkan menggunakan frekuensi dan peratusan.

Berdasarkan dapatan kajian bagi tahap sikap guru terhadap penggunaan kemahiran

abad ke-21 dalam PdPc Bahasa Melayu adalah tinggi. Dapatan kajian juga menunjukkan

majoriti guru Bahasa Melayu bersedia untuk melaksanakan dan memastikan elemen kemahiran

abad ke-21 diterapkan dalam PdPc. Guru-guru Bahasa Melayu juga berpendapat bahawa

berkolaborasi dengan lain guru mata pelajaran dalam mengaplikasikan pembelajaran

kemahiran abad ke-21 merupakan suatu yang baik untuk mereka dan juga pelajar. Kajian yang

Telah dijalankan ini memberi input terhadap kesediaan guru Bahasa Melayu terhadap PdPc

kemahiran abad ke-21 yang diukur dari segi pengetahuan dan sikap guru. Hasil kajian ini

mendapati guru Bahasa Melayu bersedia untuk melaksanakan kemahiran abad ke-21 dalam

pengajaran untuk membangun pendidikan negara yang berkualiti. Dapatan kajian ini

menunjukkan bahawa kesediaan guru Bahasa Melayu dari segi pengetahuan dan sikap untuk

mengaplikasikan kemahiran abad ke-21 dalam pengajarannya memberikan impak yang tinggi

dan positif terhadap pembelajaran pelajar.

Secara keseluruhannya, saya sangat setuju dengan hasil dapatan kajian. Hal ini kerana

penulis menggunakan kesinambungan dalam melakukan kajian ini untuk mencapai objektif

yang ditentukan. Pengkaji telah menyatakan hasil dapatan kajian dan menghuraikannya dengan

jelas satu persatu menggunakan analisis deskriptif menggunakan min dan sisihan piawai. Hasil

dapatan kajian ini meyakinkan saya disebabkan penulis menggunakan kaedah yang tepat untuk

mendapatkan hasil kajian.


Kesahan didefinisikan sebagai ketepatan, kebenaran, bermakna dan kebolehgunaan

instrument yang membolehkan data-data diinferenkan (Bahagian Perancangan dan

Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. (1995). Kesahan bertujuan bagi

memastikan sama ada ukuran atau indicator yang digunakan itu mengandungi semua ciri atau

gagasan baru adalah dalam konsep itu. Kajian ini mempunyai kesahan dari segi instrument.

Iaitu instrument mempunyai nilai alpha Cronbach yang digunakan dapat dipertahankan kerana

hasil kajiannya tepat dan berguna. Kesahan hasil dapatan tentang tahap pengetahuan dan sikap

guru Bahasa Melayu didapati melalui soal selidik terhadap 210 responden. Hal ini,

menambahkan keyakinan saya terhadap hasil dapatan. Manakala, menurut Sidek Mohd Noah.

(2002), kebolehpercayaan pula satu konsep yang merujuk kepada ketekalan dan kestabilan

sesuatu ukuran atau alat ukur atau kajian atau soal selidik merentasi masa terhadap sesuatu

gagasan. Kebolehpercayaan dalam kajian bertujuan untuk mengetahui sama ada ukuran itu

memberikan jawapan yang sama apabila ia digunakan untuk mengukur konsep yang sama

kepada populasi atau sampel atau responden yang sama. Dalam kajian ini penulis telah

menggunakan instrument soal selidik untuk kajian rintis setelah menilai kebolehpercayaan.

Data yang menggunakan min dan sisihan piawai adalah penting dalam memastikan kesahan

dan kebolehpercayaan kajian kuantitatif.

BAB 5

Bab terakhir dalam kajian ini menerangkan tentang cadangan dan kesimpulan.

Terdapat beberapa kekuatan dan kelemahan dalam bab ini. Iaitu penulis tidak menyatakan

cadangan kajian dalam bab ini. Pada pendapat saya, cadangan kajian lanjutan perlu diunjurkan

dalam bahagian ini agar menjadi panduan serta memberikan idea berkaitan tajuk dan bidang
yang sama kepada penyelidik-penyelidik akan datang. Cadangan ini melibatkan aspek

pemilihan kerangka teori, sampel kajian, lokasi kajian dan fasa penilaian kajian.

Seterusnya, bab ini mempunyai kekuatan dari segi aspek kesimpulan. Kesimpulan

adalah bahagian terakhir subtajuk dalam bab ini dan merupakan penutup kepada semua bab .

Kesimpulan secara keseluruhan dinyatakan dalam satu atau dua perenggan sebagai rumusan.

Dalam bab ini penulis telah menyatakan kajian yang telah dijalankan ini memberi input

terhadap kesediaan guru Bahasa Melayu terhadap PdPc kemahiran abad ke-21. Beliau juga

merumuskan hasil dapatan kajian secara umumnya. Iaitu kajian mendapati guru Bahasa

Melayu bersedia melaksanakan kemahiran abad ke-21 dalam pengajaran untuk membangun

pendidikan negara yang berkualiti. Tambahan lagi, kajian ini membuktikan guru Bahasa

Melayu boleh menjayakan dalam menentukan keberhasilan sebarang perubahan yang

dilaksanakan dalam sistem negara. Beliau menyatakan hasil dapatan kajian ini menjayakan

keperluan PPPM 2013-2025 dalam aspirasi sistem, iaitu peningkatan keberhasilan murid

standing dengan sumber yang disalurkan ke dalam sistem. Pada keseluruhannya, beliau telah

merumuskan hasil dapatan yang memberi jawapan kepada objektif kajian iaitu kesediaan guru

Bahasa Melayu dari segi pengetahuan dan sikap untuk mengaplikasikan kemahiran abad ke-21

dalam pengajarannya memberikan impak yang tinggi dan positif terhadap pembelajaran

pelajar. Menerusi PdP abad ke-21, pelajar dapat belajar dalam situasi pembelajaran yang lebih

seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek yang difokuskan dalam Falsafah

Pendidikan Kebangsaan.

Berdasarkan kajian ini, saya berpendapat penulis telah mengambil langkah yang

relevan bagi memastikan etika penyelidikan dipatuhi disebabkan bahasa dan soalan yang

digunakan dalam soal selidik difahami oleh semua responden. Hal ini jelas apabila instrument

yang digunakan dalam kajian rintis mempunyai kebolehpercayaan. Beliau juga menjaga

perasaan responden, mengetahui tahap pendidikan responden, berterus-terang dengan


responden dan menjaga kerahsiaan responden. Seterusnya, penulis juga mengambil kira etika

dalam semua peringkat kajian dan utarakan data yang tepat terhadap hasil dapatan. Artikel ini

memberi kesan terhadap cara saya berfikir tentang perkara yang dibangkitkan. Sebagai seorang

pendidik juga perlu bersedia mengikuti perubahan dan perlunya peningkatan dalam tahap

pengetahuan dan sikap. Sebelum ini keinginan melaksanakan penyelidikan agak sederhana

dalam diri saya keran tidak ada pengetahuan yang arif tentang kaedah penyelidikan. Malah,

penglibatan saya lebih kepada melakukan inovasi di sekolah dan menyertai pertandingan

inovasi sahaja. Setelah mendapat pengetahuan melalui pembacaan artikel ini, saya jelas akan

perkara –perkara yang penting bagi melaksanakan penyelidikan serta perbezaan antara kajian

kualitatif dan kuantitatif dengan jelas. Maklumat ini dapat memberi gambaran yang jelas

tentang cara menulis artikel penyelidikan dan saya juga berminat akan melaksanakan penulisan

artikel berkaitan inovasi yang saya sertai. Saya juga lebih jelas tentang elemen yang perlu

digunakan sebelum, semasa, dan selepas kajian dalam sesuatu penyelidikan.

3.0 PENUTUP

Sebagai seorang bakal penyelidik, saya telah mendapat pelbagai ilmu pengetahuan

yang baru daripada artikel ini. Pertamanya, saya mengetahui kepentingan untuk melaksanakan

inovasi dalam PdP ke arah pembelajaran abad ke-21. Keduanya, Saya juga dapat idea untuk

menguruskan kelas supaya pembelajaran abad ke-21 dapat berlaku dengan berkesan. Dengan

adanya ilmu pengetahuan yang dapat dari artikel ini, saya akan memastikan elemen kemahiran

abad ke -21 diterapkan dan PdP. Saya juga akan melakukan kolaborasi dengan guru lain bagi

menjayakan kemahiran abad ke-21 dalam PdP serta sentiasa mewujudkan suasana

pembelajaran yang melibatkan persekitaran digital dalam PdP. Seterusnya, saya mendapat

penjelasan dalam pembentukan tajuk iaitu ia perlu ditulis berlandaskan sekurang –kurang
menggunakan dua pemboleh ubah. Selain itu, saya dapat mengetahui cara menulis objektif

kajian dan persoalan kajian yang betul.

Dengan itu, saya akan berusaha melaksanakan penyelidikan yang tepat setelah

menganalisis kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam artikel ini. Ilmu yang saya dapati

melalui artikel ini dapat membantu saya melaksanakan kajian pada masa akan datang. Saya

akan menggunakan kekuatan yang terdapat dalam artikel ini dalam kajian saya serta akan

memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang perlu dielakkan semasa melaksanakan

penyelidikan. Justeru itu, saya akan menggunakan ilmu ini untuk melaksanakan kajian saya

bertajuk amalan kreativiti guru Bahasa Tamil dalam mengaplikasikan kemahiran abad ke-21.

Jika saya melakukan kajian seperti yang dibincangkan dalam artikel ini, saya akan

menggunakan teori atau model untuk menyokong kajian serta selitkan kajian literatur sebagai

sub topik dan juga memastikan persoalan kajian dinyatakan dalam kajian saya untuk menjamin

proses kajian dilaksanakan dengan terancang. Pada keseluruhannya, saya ingin melaksanakan

kaedah kualitatif bersifat penerokaan bagi tajuk ini.


Rujukan

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. (1995).


Modul Kajian Tindakan. Kuala Lumpur: PIER - Sub program 4, BPPP, KPM.

Fraenkel, Jack, R. & Wallen, Norman E. (1993). How to Design and Evaluate Research in
Education. New York: McGraw-Hill.

Krejcie , R.V. & Morgan, D.W.(1970). Determining sample size for research activities.
Educational and Psychological Measurement 30: 608-702

Noraini Idris. (2010). Penyelidikan dalam pendidikan. Kuala Lumpur: McGraw Hill

Education.

Petton, M.Q. (1990). Quantitative Evaluation and Research Methods (2nd ed.) Newbury Park,
CA: Sage Publications, Inc.

Ratna, Nyoman Kutha. (2004). Penelitian Sastera: Teori, Metode, dan Teknik. Yogyakarta:

Pustaka Pelajar.

Rafferty, A. E., Jimmieson, N. L., & Armenakis, A. A. (2013). Change Readiness: A Multilevel
Review. Journal of Management, 39(1), 110-135.

Risiko, V., & Vulkelich, C. (2001). Prospective teacher’s refelction: Strategies, Qualities, and
perceptions in learning to teach reading. Reading Research and Instruction, 41(2), 149-
175.

Sidek Mohd Noah. (2002). Reka bentuk penyelidikan: Falsafah, Teori dan Praktis. Serdang:
Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Sofia Hassan. (2020).Tahap Pengetahuan dan Sikap Guru Bahasa Melayu daerah Sibu dalam

mengaplikasikan kemahiran abad ke-21. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu-JPBM

(Malay Languange Educational Journal-MyLE) ISSN : 2180-4842. Vol. 10, Bil 2

(Nov.202220): 74-81
Taylor, SJ dan R Bogdan. (1984). Introduction to Qualitative Research Methods: The Search

for Meanings. Second Edition. Toronto: John Wiley dan Sons.

Wan Ismail, W. A., Hamzah, M. I. & Lubis, M. A. (2016). Kesediaan Guru Pendidikan Islam
Sekolah Rendah di Selangor terhadap Penerapan KBAT dalam Pengajaran dan
Pembelajaran. Journal of Advance Researchin Social and Behavioural Sciences,
(2015), Vol 3(1): 79-95.

Zamri Mahamod, Jamalul Lail Abdul Wahab & Mohammed Sani Ibrahim. (2011).
Transformasi dan Inovasi dalam Pendidikan.. Bangi: Penebrit Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

You might also like