You are on page 1of 1

BELAJAR MELALUI BERMAIN : PRINSIP UTAMA KURIKULUM

PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

SINOPSIS

Kanak-kanak membina pengetahuan melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna seperti


belajar melalui bermain. Bagi memenuhi keperluan kanak-kanak, pelaksanaan Kurikulum Standard
Prasekolah Kebangsaan 2010 menyarankan penggunaan belajar melalui bermain sebagai
pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran di prasekolah. Namun, kajian menunjukkan ramai
guru prasekolah tidak menggunakan pendekatan bermain dalam pengajaran. Kajian ini bertujuan
untuk mengenal pasti dan membincangkan isu dan kekangan yang menghalang guru daripada
melaksanakan pendekatan belajar melalui bermain dari aspek perkembangan bahasa. Kaedah
kuantitatif dan kualitatif digunakan untuk mengumpulkan data. Data diperoleh menggunakan soal
selidik dan temu bual tidak berstruktur. Sampel terdiri daripada 51 guru dari prasekolah
Kementerian Pelajaran Malaysia, Tabika KEMAS, Tabika Perpaduan dan prasekolah swasta di daerah
Hulu Langat. Seramai 12 guru dipilih daripada kumpulan sampel untuk ditemu bual. Teknik
pemilihan sampel dilakukan secara mudah dan bertujuan, manakala pemilihan sekolah berdasarkan
faktor logistik. Analisis data dilakukan menggunakan ANOVA Satu Hala. Dapatan menunjukkan guru
mengetahui kepentingan pendekatan bermain, tetapi mereka tidak mengintegrasikan main dalam
pengajaran dan pembelajaran bahasa kerana kekangan dari segi peruntukan masa, pengurusan
bahan, kawalan murid, ruang tidak sesuai, kemahiran guru, sokongan pentadbir dan ibu bapa. Guru
juga didapati tidak pasti bagaimana hendak melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui
bermain. Program intervensi dan latihan tentang kurikulum berasaskan bermain dari aspek
perkembangan bahasa perlu diberikan kepada guru bagi meningkatkan kualiti kurikulum pendidikan
prasekolah.

Kepentingan belajar melalui bermain mendapat perhatian tokoh dalam pendidikan awal kanak-
kanak dan ahli psikologi seperti Jean Piaget, Maria Montessori, Lev Semanovich Vygotsky, Eric
Erikson dan Jerome Bruner. Mereka menegaskan bermain ialah satu aktiviti dan permainan ialah
objek pembelajaran. Berdasarkan teori Piaget kebanyakan kanak-kanak pada peringkat prasekolah
adalah pada tahap praoperasional iaitu antara usia dua hingga tujuh tahun. Pada peringkat ini kanak-
kanak belajar memahami sesuatu konsep melalui permainan dengan objek-objek. Pemahaman
tentang konsep melibatkan idea dan prinsipal yang dibina kanak-kanak. Bermain membolehkan
kanak-kanak memahami konsep abstrak melalui pengalaman pembelajaran yang konkrit tanpa rasa
tertekan. National Association for Education of Young Children (NAEYC), salah sebuah organisasi
yang menekankan perlunya pembelajaran melalui bermain dalam pendidikan awal kanak-kanak,
menegaskan bahawa bermain adalah wahana utama untuk perkembangan kanak-kanak. NAECY
percaya pembelajaran kanak-kanak seharusnya berdasarkan amalan bersesuaian dengan
perkembangan ataupun Developmentally Appropriate Practices (DAP). Pengajaran dan
pembelajaran yang berasaskan DAP yang berpusatkan murid, mengutamakan keupayaan kanak-
kanak secara individu bagi membantu kanak-kanak untuk terus belajar.

You might also like