You are on page 1of 5

EDUP2102 SOSIOLOGI DALAM PENDIDIKAN

JULIA BINTI DASRIL


HAZIQAH BINTI MAHAMAD BAKRI

Bagaimanakah Iklim Sekolah Memainkan Peranan Dalam Kemenjadian


Seseorang Pelajar?

Dalam menerajui dunia pendidikan masa kini semestinya kita ingin melihat
hasil kepada pelajar terhadap apa yang telah dipelajari. Pada akhir persekolahan,
setiap pelajar seharusnya telah mencapai matlamat berdasarkan objektif yang telah
ditentukan oleh pihak guru dan sekolah. Kemenjadian pelajar merupakan hasil yang
ingin dilihat sehingga tamat persekolahan. Terdapat beberapa pengukuran dan
penilaian yang dilakukan terhadap pelajar untuk mendapatkan hasil yang ditentukan
(Azmina, Saemah, & Ruslin 2014).
Iklim dan budaya sekolah merupakan antara unsur penting dalam
menentukan kejayaan sesebuah sekolah. Kedua-dua konsep ini penting dalam
meningkatkan kemenjadian pelajar. Walaubagaimana pun,sering berlaku polemik
antara fahaman budaya dan iklim sekolah dalam kalangan pendidik. Prestasi
kemenjadian pelajar secara keseluruhannya dapat dicapai dengan pelaksanaan iklim
sekolah yang berkesan dari perspektif timur dan barat.
Iklim sekolah merujuk kepada kesan persekitaran sekolah terhadap pelajar
termasuk amalan pengajaran, kepelbagaian budaya dan hubungan antara pentadbir,
guru, ibu bapa dan pelajar (Mohamad Adnan, Siti Noor, Suhaila & Hasliza, 2016 :
Zullig, Koopman, Patton Ubbes, 2010). Manakala budaya sekolah pula merujuk
kepada cara guru dan kakitangan sekolah bekerja dengan memiliki set kepercayaan,
nilai dan anggapan yang mereka kongsi bersama (Noor Muhammadi, 2015 : Ruhani,
2009).
Kemenjadian pelajar adalah satu platform untuk menilai serta mencungkil
potensi dan bakat kerjaya pelajar secara holistik iaitu menyeluruh ketika
meninggalkan alam persekolahan (Mohd Anuar & Rafidah 2013). Penilaian
kemenjadian pelajar ini dinilai berasaskan tiga domain utama iaitu akademik,
kokurikulum dan juga sahsiah. Penilaian ini adalah untuk mengenal pasti
kecenderungan minat dan bakat pelajar sebelum melanjutkan pelajaran dalam
bidang yang diminati seperti mana yang telah dirancang dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (2013).
Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah sebagai
suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitarannya dirasakan selesa,
tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar. Para pengkaji juga telah
mengenalpasti apakah faktor-faktor yang mempengaruhi iklim sekolah. Faktor yang
pertama ialah bilangan dan kualiti perhubungan antara orang dewasa dan para
pelajar (Kupermine, Leadbeater dan Blatt,2001). Kedua, persepsi pelajar dan guru
terhadap persekitaran sekolah atau personaliti sekolah (Johnson, Johnson dan
Zimmerman,1996). Ketiga, perasaan terhadap kepercayaan dan hormat antara
pelajar dan guru (Manning and Saddlemire, 1996). Keempat, pencapaian akademik
(Johnson & Johnson, 1993) dan yang kelima, perasaan terhadap keselamatan dan
saiz sekolah (Freiberg, 1998).
Maka jelaslah bahawa iklim sekolah adalah suatu dimensi pelbagai yang
mempengaruhi banyak individu termasuklah para pelajar, ibu bapa, pentadbir dan
juga komuniti sekeliling. Ciri-ciri iklim sekolah yang positif juga memainkan peranan
yang penting dalam kemenjadian seseorang pelajar. Menurut Halpin dan Croft
(1963), iklim sekolah yang berkesan mempunyai ciri-ciri seperti guru-guru merasa
selamat, berpuas hati dan berkeyakinan. Guru-guru tidak rasa tertekan dan
mengambil perhatian tentang kemajuan murid-muridnya. Manakala bagi pengetua
pula merasa penuh yakin terhadap kerjanya serta bertimbang rasa dan akhir sekali
pelajar akan merasa selamat dan belajar bersungguh-sungguh.
Bagi mewujudkan atau merealisasikan kemenjadian pelajar, pentingnya iklim
sekolah yang positif. Menurut pandangan Hayness Comer, 1993, sekolah yang
berada dalam kawasan bandar berisiko tinggi menunjukkan iklim sekolah yang positif.
Selain daripada saling bekerjasama dan kesedaran terhadap budaya sekolah dapat
memberikan kesan secara signifikan terhadap pencapaian akademik di kalangan
pelajar. Ini menunjukkan bahawa sekolah yang beriklim positif dapat menghasilkan
pelajar yang mempunyai jati diri. Akan wujud juga suasana pembelajaran yang sihat
dan kemahiran sosial yang baik. Selain itu, iklim sekolah yang positif ini juga menjadi
faktor pelindung kepada pelajar lelaki terutamanya pembelajaran yang sihat kepada
pelajar yang bermasalah seterusnya dapat mengelakkan tingkah laku antisosial di
kalangan mereka.
Guru-guru dan pelajar mempunyai hubungan interpersonal yang lebih positif.
Guru sentiasa bersemangat dalam meningkatkan profesionalisme mereka dan bagi
pelajar pula mereka akan merasa seronok berada di sekolah tersebut. Dalam
perhubungan interpersonal pula dapat meningkatkan aras pencapaian pelajar.
Peluang pembelajaran dalam persekitaran yang positif juga dapat mengurangkan
tingkah laku Maladaptive dalam kalangan pelajar.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran juga merupakan peranan yang penting
bagi guru dan pelajar. Guru boleh menggunakan kreativiti masing-masing semasa
mengajar walaupun mereka telah mengamalkan panduan kurikulum yang telah
ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Para pelajar pula akan mengikuti aktiviti
tersebut mengikut tahap keupayaan masing-masing.
Dalam konteks kepimpinan pentadbiran pula, sebagai pengetua atau pun
guru besar bagi sesebuah sekolah mereka boleh mengambil kira idea yang datang
daripada guru dan juga pelajar untuk dipraktikkan. Pentadbir boleh melibatkan staf
dalam pembuatan keputusan tentang sesuatu perkara dan sentisa memberi
sokongan kepada guru dalam menggunakan inovasi terhadap amalan pengajaran
mereka serta menggalakkan pelajar bekerjasama dalam aktiviti pembelajaran
mereka.
Seterusnya adalah berkaitan dengan pencapaian pelajar. Setiap pengetua
dan guru hendaklah mengawasi kemajuan murid mengikut kehendak dan objektif
pengajaran. Pelajar pula disarankan bertanggungjawab dalam menguruskan
kegiatan seharian mereka seperti menjaga alatan kemudahna sekolah dan buku-
buku. Memperbanyakkan kerja rumah dan latihan kepada pelajar dan kemudiannya
hendaklah diperiksa oleh guru. Guru sentiasa memberi galakan kepada pelajar
supaya belajar bersunguh-sungguh dan memberi penghargaan kepada mereka yang
berjaya. Oleh kerana peranan pelajar sendiri lebih penting berbanding guru, pihak
sekolah perlu memberi keyakinan kepada pelajar bahawa pelajaran adalah
tanggungjawab mereka.
Pelajar dan guru di sekolah akan merasa sangat selesa dengan kemudahan
fizikal yang mereka ada dan sentiasa menolong untuk mengekalkan keadaan
kemudahan tersebut dalam keadaan yang baik. Kemudahan fizikal seperti
persekitaran sekolah yang sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur dapat
menjadikan guru dan pelajar bangga selain mempunyai ruang yang mencukupi untuk
pengajaran dan pembelajaran.
Akhir sekali, pelaksanaan disiplin atau peraturan sekolah. Ia sangat penting
untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang harmonis dan selesa. Sekolah yang
mempunyai suasana disiplin yang teratur secara amnya selesa untuk suasana
proses pembelajaran tanpa perlu membina peraturan ketat dan tenang tanpa
penindasan. Bagi membentuk budaya sekolah yang berdisiplin pelajar-pelajar
haruslah diterapkan dengan nilai-nilai murni yang mana membentuk peribadi dan
sahsiah pelajar yang cemerlang. Seperti yang kita sedia maklum, kebiasaannya
sekolah yang mempunyai masalah disiplin akan menjejaskan reputasi pengetua,
para guru, pelajar dan sekolah itu sendiri contohnya dalam peperiksaan utama
seperti SPM.
Kesimpulan yang dapat dinyatakan adalah betapa pentingnya peranan iklim
sekolah dan budaya yang positif dalam kemenjadian pelajar. Kedua-dua konsep iklim
dan budaya ini memberi pengaruh yang besar terhadap kemenjadian murid. Pihak
sekolah dan guru serta ibu bapa bertangungjawab memainkan peranan yang penting
dalam mendidik serta membentuk tingkah laku murid. Dengan kepelbagaian iklim
dan budaya yang wujud ini haruslah menekankan ke arah pembentukan nilai murni
seseorang murid. Bukan hanya kecemerlangan akademik sahaja malah meliputi
sahsiah serta ciri positif murid itu sendiri. Selaras dengan kehendak dalam Pelan
Induk Pembangunan Negara, penekanan terhadap disiplin pelajar dan kemuliaan
akhlak serta sumbangan pelajar kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.
RUJUKAN:

KEMENJADIAN PELAJAR BERASASKAN STRATEGI DAN PELAKSANAAN IKLIM


DINI: SATU KONSEPTUALISASI, Raihan Mohd Arifin & Kamarul Shukri Mat Teh ,
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),
Malaysia dimuat naik pada 19 November 2022

http://sshamzela.blogspot.com/2011/05/kepentingan-iklim-sekolah-yang-positif.html
dilayari pada 19 November 2022

https://www.academia.edu/9157063/Budaya_dan_Iklim_Sekolah dilayari pada 19


November 2022

Iklim Dini@Biah Solehah (myiklimdini.blogspot.com) dilayari pada 19


November 2022

You might also like