You are on page 1of 8

PENGENALAN

Mengikut Kamus Dewan (2005) pengurusan bermaksud mengurus sesuatu atau perihal
mengurus. Ini membawa pengertian yang lebih luas kearah mengendalikan sesuatu agar lebih
teratur dan tersusun. Dalam konteks pendidikan, pengurusan bilik darjah yang baik boleh
menjurus kepada situasi yang lebih baik dan berprosedur sempurna untuk mencapai objektif-
objektif aktiviti yang lebih berkesan dan bermakna. Pengurusan bilik darjah ialah suatu aspek
yang penting dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Keadaan fizikal bilik darjah seperti susun atur kerusi meja pelajar, jadual waktu mata pelajaran
dan tugasan, peraturan kelas, kemudahan asas, pencahayaan dan sebagainya seharusnya
menggalakkan proses pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah. Jadi sebagai seorang
guru, perlu tahu cara menyusun tempat duduk pelajar dan peralatan bilik darjah, mengurus
pergerakan pelajar di dalam kelas dan mengawal disiplin pelajar di dalam kelas supaya
pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

Susunan fizikal di dalam kelas boleh memberi sumbangan dari segi kawalan,
perhubungan guru dengan murid dan sesama murid di dalam kelas malah mewujudkan
keseronokan bekerja bersama-sama untuk mencapai sesuatu visi. Ini sangat sesuai
sepertimana menurut Marland (1975), suasana fizikal di dalam bilik darjah mungkin merupakan
kawan atau musuh dalam pengajaran. Menurut Savage (1999), menyusun atur persekitaran
fizikal bukan sahaja akan mempengaruhi tingkah laku murid malah ia juga boleh mempengaruhi
sikap murid dan menyumbang kepadaprestasi akademik murid.

Menurut Richard (1990 dalam Haliza Hamzah, 2009) pengurusan bilik darjah
merupakan organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid
semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurut Burden (2003 dalam Abdullah Sani Yahya, 2007) disiplin dalam bilik darjah mencakupi
iklim akademik di bilik darjah dan amalan pengajaran yang berkesan kerana disiplin yang baik
mampu menyekat pelajar daripada melakukan kelakuan yang tidak wajar. Ini bermakna
bahawa, kawalan oleh guru terhadap murid dari segi disiplin dan sikap mereka semasa
pembelajaran berlangsung adalah penting bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran guru
dan murid berlangsung dengan baik. Guru mempunyai peranan untuk menguruskan masa,
ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku murid dalam bilik darjah sebagai
seorang pengurus.
REKABENTUK PERSEKITARAN PENGURUSAN BILIK DARJAH

Pembelajaran abad ke 21 memperkenalkan rekabentuk bilik darjah dan bahan


digunakan secara dinamik di dalam dan di luar kelas di mana pelajar adalah pemaju bersama
atau pemaju utama dalam proses P&P berbanding abad ke 20 yang menjadikan guru sebagai
pemaju utama. Aktiviti bilik darjah menekankan dapatan dan aplikasi. Rekabentuk ini juga
berkait rapat dengan persekitaran pembelajaran yang kondusif iaitu tempat murid dapat
melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran.
Persekitaran ini mempunyai keupayaan untuk merangsang minat dan semangat murid untuk
terus belajar. Iklim yang dapat memotivasikan murid merujuk kepada suasana atau budaya
yang dapat mewujudkan motif dalam diri murid untuk bertindak ke arah mencapai matlamat
pembelajaran. Seorang guru perlu membina keadaan bilik darjah yang kondusif serta berkesan
dalam menghadapi tingkah laku. Hal ini melibatkan pendekatan pengajaran, corak komunikasi,
kemahiran guru dalam mengurus, cara seseorang guru mengawal murid dan aktiviti-aktiviti
dalam bilik darjah serta personaliti guru itu sendiri. Dalam persekitaran ini, murid menyedari
kelebihan sikap berdikari mempunyai perasaan bertanggungjawab dan kesepunyaan terhadap
pembelajarannya.

PERSEKITARAN FIZIKAL

Persekitaran fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran kerana ia boleh
menggalakkan atau menghalang pembelajaran. Persekitaran bilik darjah yang teratur
merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan. Menurut Marland (1975),
suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan kawan atau musuh dalam pengajaran.
Ruang bilik darjah perlu diurus bersesuaian dengan aktiviti pengajaran. Tempat duduk
perlu disusun,papan kenyataan dihias dan karel pembelajaran dan rak-rak buku perlu
dipasang. Di samping itu, pengurusan bilik darjah juga termasuk menunjukkan sikap
positif terhadap sekolah dan pembelajaran secara umum. Seorang guru haruslah
sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada anak murid mereka. Bagi memainkan
peranan sebagai pengurus yang berkesan, kita perlulah memahami kesukaran situasi
bilik darjah dan mengenali faktor-faktor yang boleh membantu untuk menghasilkan
suasana pembelajaran yang sihat.
Faktor pertama yang mempengaruhi suasana bilik darjah adalah persekitaran
fizikal. Rekabentuk bilik darjah abad ke 21 adalah kondusif untuk pembelajaran.
Susunan peralatan dan kemudahan dalam bilik darjah seperti kerusi-meja, buku rujukan,
pusat pembelajaran, bakul sampah, papan tulis dan lain lain akan membantu
keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta mengekalkan disiplin murid-
murid dalam bilik darjah. Sebagai rumusan, suasana fizikal bilik darjah yang boleh
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran ialah penyusunan kerusi-
meja murid mengikut kumpulan yang sesuai akan memudahkan interaksi di antara murid
dengan murid dan guru dengan murid. Hal ini kerana pembelajaran abad ke 21 amat
menitik beratkan pembelajaran secara kolaboratif serta menggalakkan penglibatan
murid dalam P&P. Suasana di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan
pelbagai carta, gambar dan alat bantu mengajar. Saiz bilik yang mencukupi memberi
keselesaan kepada murid-murid unruk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau
permainan. Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran
udara dengan baik serta.

PERSEKITARAN PSIKOSOSIAL

Menurut Ahmad Mohd Salleh (2008), psiko-sosial merujuk kepada hubungan


antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran psiko-
sosial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri antaranya seperti suasana
selesa, komunikasi terbuka, perkongsian idea, pergaulan guru dengan murid dan lain-
lain lagi. Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan
persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah
mempunyai ciri-ciri seperti suasana selesa dan mesra, bebas daripada ancaman dan
bahaya fizikal. Faktor yang memberi kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat
ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak
interaksi yang wujud di dalam kelas.

Pendekatan pengajaran guru perlu mengambil kira keperluan murid,


perkembangan kognitif dan juga gaya pembelajaran pelajar yang berbeza. Antara
keperluan pelajar termasuklah keperluan untuk memahami matlamat dan objektif
pengajaran, melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran, mengetahui
hubungan antara perkara yang dipelajari di dalam bilik darjah dengan kehidupan
mereka, menikmati kejayaan, memperoleh maklum balas dan berinteraksi secara positif
dengan rakan sebaya. kepimpinan yang ditunjukkan oleh seorang guru adalah
bersifat demokratik. Guru tersebut akan berkongsi tanggungjawabnya dengan
muridnya. Terdapat saling hormat dan percaya antara guru dengan murid. Pernahkah
anda mempunyai guru sedemikian semasa anda bersekolah? Saya rasa anda mungkin
suka pada guru jenis ini kerana dia selalu memberi galakan dan tidak memberi
desakan. Guru anda ini baik, mengambil berat, dan mesra, tetapi dia juga tegas.
Dengan berkongsi tanggungjawab, guru anda menolong anda membina penghargaan
kendiri anda. Komunikasi berkesan merupakan asas kepada pengurusan bilik darjah
yang baik. Kemahiran berkomunikasi berkesan memberikan peluang kepada guru
bersikap mesra dan menikmati interaksi dengan murid-muridnya. Murid akan dapat
merasakan dirinya dihargai dan disayangi oleh guru. Hal ini juga membolehkan guru
menyampaikan objektif pengajarannya dengan jelas.

PERATURAN BILIK DARJAH

Murid-murid di sekolah rendah memerlukan struktur dan prosedur-prosedur kerja


yang jelas agar mereka boleh berfungsi dengan baik di dalam bilik darjah. Menurut Mok
Soon Sang (2009), peraturan memfokuskan jangkaan atau standard tingkah laku yang
spesifik atau umum. Apabila seseorang guru berjaya membentuk peraturan yang
bersesuaian dengan aspek psiko-sosial murid-murid yang belajar di dalam bilik darjah
berkenaan, proses pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dengan terkawal
tanpa sebarang gangguan seterusnya meningkatkan keberkesanan pemerolehan ilmu.

Rekabentuk bilik darjah abad ke 21 abad menitik beratkan disiplin murid. Disiplin
murid merupakan salah satu aspek penting yang berkaitan dengan pengurusan bilik
darjah. Mengurus dan mewujudkan disiplin dalam bilik darjah adalah salah satu unsur
utama bagi mencapai kejayaan dalam proses pengajaran pembelajaran. Tiada masalah
pengajaran yang lebih mencabar guru daripada masalah disiplin. Guru yang baru mula
mengajar sering merasa khuatir mengenai masalah- masalah didiplin. Ini kerana
kejayaan dan kegagalan disepanjang tahun adalah bergantung kepada kebolehannya
mengawal persekitaran bilik darjah.Menurut Lindgren (1976) menghuraikan bahawa
disiplin membawa maksud hukuman dan kawalan untuk mematuhi tatatertib.
Contoh peraturan yang biasa digunakan ialah setiap murid perlulah hormat,
mesra dan membantu rakan-rakan mereka, murid perlu menyiapkan tugasan diberikan
serta murid dilarang makan atau minum di dalam kelas ketika guru mengajar di dalam
kelas. Mengikut Model Pengurusan Kounin, asas kepada keberkesanan pengurusan
disiplin bilik darjah bergantung kepada pengawasan dan penyeliaan yang teliti guru
terhadap bilik darjah.

KEMUDAHAN BILIK DARJAH

Sumber pengetahuan utama abad ke 21 kelak merupakan sumber yang


berkaitan dengan teknologi maklumat. Dengan itu kemudahan seperti komputer,
multimedia, cekera padat dan corridorraya multimedia seperti 'internet' perlu disediakan
untuk digunakan oleh semua pelajar. Adalah diharapkan pengajaran dan pembelajaran
pada abad ke-21 dibentuk sepenuhnya oleh komputer. Ini bukan bertujuan
menggantikan guru dengan penggunaan teknologi tetapi untuk menimbulkan suasana
pengajaran dan pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berkesan dan lebih bermakna
kepada pelajar.

Dalam konteks pendidkkan, teknologi maklumat merupakan peralatan teknologi


komunikasi atau sistem rangkaian elektronik yang boleh digunakan untuk mengumpul,
menyimpan, memproses, menyalurkan dan menyampaikan maklumat secara pantas
dan tepat seperti internet atau multimedia atau hypermedia untuk membantu proses
pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan bidang teknologi maklumat telah dapat
memudahkan manusia berkomunikasi dalam mengurus, menyimpan dan menyebar
maklumat dengan lebih canggih sama ada dalam bentuk data teks, imej atau
suara.Pelajar dalam abad ke 21 pasti berada dalam gelombang teknologi maklumat,
untuk itu setiap pelajar perlu celik komputer. Ini kerana komputer beupaya meningkatkan
mutu pembelajaran. Sudah sampai ketikanya komputer menjadi alat standard di semua
sekolah di peringkat rendah, menengah dan lepasan menengah.
Rutin bilik darjah merujuk kepada aktiviti pengurusan harian bilik darjah. Ia juga
adalah satu prosedur yang tetap dan perlu dijalankan sebagai aktiviti harian bilik
darjah. Rutin pengurusan bilik darjah yang sistematik bukan hanya membentuk
persekitaran bilik darjah yang kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran,
tetapi juga meningkatkan semangat kekitaan murid, keselamatan dan meningkatkan
disiplin kendiri murid. Tambahan pula, ia menjimatkan masa dan tenaga guru dan
murid, dan memupuk sikap yang baik dalam diri murid seperti bersifat koperatif dan
bertanggungjawab.

Contoh amalan rutin ialah guru mengambil kehadiran setiap hari, cara mengedar
dan menyimpan bahan pengajaran, membentuk kumpulan dalam kelas, menghantar
buku latihan atau kerja rumah dan lain-lain. Setiap rutin yang dibentuk hendaklah
sentiasa dipantau dan diberi peneguhan sehingga prosedur-prosedur ini menjadi satu
budaya dalam kalangan murid dan seterusnya menjadi suatu budaya di sekolah
tersebut.
PENUTUP

Rupa dan bentuk pendidikan yang sesuai dengan generasi abad ke-21 telah banyak
diperkatakan dan banyak bahan- bahan penulisan yang mengulas mengenai pendidikan yang
mampu memenuhi harapan dan keperluan pendidikan masa kini dan masa depan. Rata-rata
pakar pendidikan bersetuju bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu berubah sesuai
dengan perkembangan teknologi cyber dan akses kepada internet yang semakin maju. Kaedah
pengajaran konvensional seperti chalk and talk semata-mata kurang berhasil menarik minat
murid sebaliknya memerlukan kaedah yang lebih dinamik dan kreatif dengan kandungan
pengajaran yang relevan sesuai dengan perkembangan semasa.

Cabaran pendidikan abad ke-21 adalah untuk menyediakan pembelajaran yang


menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan mengurus bilik darjah atau ruang
pembelajaran yang lebih dinamik. Namun cabaran utama adalah bagaimana guru-guru
menggunakan pelbagai sumber sokongan teknologi serta maklumat bagi melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan berkualiti serta relevan dengan perkembangan
semasa. Untuk mendepani cabaran ini, guru secara berterusan perlu mengemaskini
pengetahuan (kandungan kurikulum) dan kompetensi (pedagogi PdP) supaya kekal relevan
dengan keperluan semasa dan akan dating.

Oleh itu, semua pihak perlu besama-sama dalam menerapkan rekabentuk persekitaran
bilik darjah abad ke 21 di semua sekolah di selruh sekolah-sekolah yang ada di Malaysia. Perlu
ditegaskan bahawa apapun bentuk reformasi kurikulum yang dianjurkan tidak akan dapat hasil
yang diharapkan jika tidak diikuti dengan penyusunan semula di dalam bidang-bidang lain,
kerjasama di antara agensi-agensi di Kementerian Pendidikan dan mengambil perhatian yang
berat tentang pelaksanaannya. Dalam menjayakan hasrat penubuhan Sekolah Bestari,
tumpuan utama seharusnya diberikan kepada pembangunan prasarana teknologi, penyediaan
latihan semula guru, penyediaan bahan kursus dan format penilaian, di samping penglibatan
pihak swasta, ibubapa dan komuniti dalam menangani tugas yang besar ini.
RUJUKAN

Bahagian Pendidikan Guru.(2002). Unit 2: Pengurusan pengajaran bilik darjah.


Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kamarudin, H. (1990). Pedagogi 2. Petaling Jaya: Longman Malaysia.

You might also like