You are on page 1of 12

Pengurusan Bilik Darjah

Konsep Pengurusan Bilik Darjah

Pengurusan bilik darjah menurut Mok Soong Sang (2011), merujuk kepada satu proses pembentukan
satu alam pembelajaran yang kondusif untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta
usaha-usaha untuk mengekalkannya . Suasana pembelajaran yang kondusif sangat penting agar objektif
PdP dapat dicapai dan murid berasa selesa dan bermotivasi untuk belajar. Menurut Bosch (2006) pula,
pengurusan bilik darjah merujuk kepada bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling
bekerjasama dan bagaimana PdP berlaku. Dalam hal ini, pengurusan bilik darjah merupakan pakatan
antara guru dan pelajar untuk menguruskan segala aspek yang terdapat dalam bilik darjah termasuk
pengurusan pelajar, kemudahan fizikal bilik darjah serta aktiviti yang dijalankan untuk mewujudkan satu
suasana pembelajaran yang kondusif.

Seorang guru bukan hanya berperanan untuk mengajar, tetapi juga bertindak sebagai pengurus,
yakni mengurus bilik darjah, mengurus murid- murid supaya menjalankan tugas membersihkan bilik
darjah mengikut jadual yang telah ditetapkan, memastikan murid-murid mematuhi peraturan bilik
darjah, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran
dan pembelajaran, mengurus bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan serta
mengurus aktiviti kumpulan supaya dapat dilaksanakan dengan teratur mengikut perancangan.

Pengurusan bilik darjah yang teratur dan berkesan mampu meningkatkan prestasi akademik pelajar.
Hal ini demikian kerana, pengurusan bilik darjah yang baik mampu mempengaruhi motivasi, tingkah
laku, dan penglibatan pelajar dalam proses PdP. Oleh itu, seorang guru perlu bijak mengurus bilik darjah
dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses PdP dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang
gangguan.

Contoh keadaan fizikal bilik darjah yang kemas dan menarik


Keadaan bilik darjah yang kondusif dapat memberi motivasi dan menggalakkan respon positif pelajar
terhadap proses PdP.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pengurusan Bilik Darjah

Untuk melaksanakan peranan pengurus yang berkesan, guru perlu tahu iklim persekitaran bilik darjah
dan apakah faktor-faktor yang boleh membantu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada suasana tersebut. Antaranya adalah susunan
fizikal dan tempat duduk bilik darjah dan persekitaran psikososial semasa di dalam bilik darjah.

1. Faktor fizikal

Faktor pertama yang mempengaruhi suasana bilik darjah adalah persekitaran fizikal. Bilik darjah yang
menarik adalah kondusif untuk pembelajaran. Susunan peralatan dan kemudahan dalam bilik darjah
seperti kerusi-meja, buku rujukan, pusat pembelajaran, bakul sampah, papan tulis dan lain lain akan
membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta mengekalkan disiplin murid-murid
dalam bilik darjah. Sebagai rumusan, suasana fizikal bilik darjah yang boleh meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran ialah: Penyusunan kerusi-meja murid mengikut kumpulan yang sesuai
akan memudahkan interakssi di antara murid dengan murid dan guru dengan murid.

Suasana di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai carta, gambar dan alat bantu
mengajar. Saiz bilik yang mencukupi memberi keselesaan kepada murid-murid unruk menjalankan
pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan. Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan
pengedaran udara dengan baik serta

keadaan kebersihan dan keindahan bilik darjah.

2. Faktor psikososial
Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya.
Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

Suasana selesa dan mesra.

Bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal

Perasaan diterima

Sensitif dan peka kepada perbezaan individu.

Suasana yang merangsang pembelajaran

Mewujudkan komunikasi terbuka dan menggalakkan perkongsian idea.

Menggalakkan pembelajaran koperatif.

Peluang yang sama untuk semua pelajar.

Faktor yang memberikan kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran,
gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang beliau wujudkan di dalam bilik
darjah.

(a) Pendekatan pengajaran

Pendekatan pengajaran guru perlu mengambil kira keperluan murid, perkembangan kognitif dan juga
gaya pembelajaran pelajar yang berbeza. Antara keperluan pelajar termasuklah keperluan untuk
memahami matlamat dan objektif pengajaran, melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran,
mengetahui hubungan antara perkara yang dipelajari di dalam bilik darjah dengan kehidupan mereka,
menikmati kejayaan, memperoleh maklum balas dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya.

(b) Gaya Kepimpinan guru

Gaya kepimpinan yang berbeza akan memberi kesan kepada suasana pembelajaran pelajar. Kepimpinan
autoritarian mengawal pelajar melalui ganjaran dan hukuman dan menekan murid yang membuat
kesilapan. Ingatkah anda, guru yang sentiasa memarahi anda, setiap kali anda membuat kesilapan
seperti tidak boleh menyelesaikan masalah matematik yang mudah? Guru jenis ini mewujudkan
suasana pembelajaran yang tertekan dan mewujudkan suasana kelas yang tidak kondusif.
Satu lagi gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh seorang guru adalah bersifat demokratik. Guru
tersebut akan berkongsi tanggungjawabnya dengan muridnya. Terdapat saling hormat dan percaya
antara guru dengan murid. Pernahkah anda mempunyai guru sedemikian semasa anda bersekolah?
Saya rasa anda mungkin suka pada guru jenis ini kerana dia selalu memberi galakan dan tidak memberi
desakan. Guru anda ini baik, mengambil berat, dan mesra, tetapi dia juga tegas. Dengan berkongsi
tanggungjawab, guru anda menolong anda membina penghargaan kendiri anda. Anda berkeyakinan
untuk cuba menyelesaikan soalan atau masalah yang anda tidak biasa. Penyelidikan telah menunjukkan
bahawa produktiviti dan pencapaian adalah tinggi bagi guru yang mengamalkan kepimpinan demokratik.

Pendekatan gaya kepimpinan yang seterusnya adalah bersifat laissez-faire. Guru akan membuat kerja
sendiri dan memberi kebebasan tanpa batasan. Murid-murid diberi kebebasan untuk membuat kerja
mereka masing-masing. Kepimpinan jenis ini menyebabkan kelas menjadi kucar kacir. Guru bersifat
laissez-faire menyebabkan bilik darjah yang tidak terancang, murid-murid yang ingin belajar berasa
kecewa.

(c) Komunikasi dan corak interaksi

Komunikasi berkesan merupakan asas kepada pengurusan bilik darjah yang baik. Kemahiran
berkomunikasi berkesan memberikan peluang kepada guru bersikap mesra dan menikmati interaksi
dengan murid-muridnya. Murid akan dapat merasakan dirinya dihargai dan disayangi oleh guru. Hal ini
juga membolehkan guru menyampaikan odjektif pengajarannya dengan jelas.

Kemahiran dalam komunikasi boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kemahiran menghantar maklumat
dan kemahiran menerima maklumat. Kemahiran menghantar maklumat termasuklah pertuturan yang
jelas dengan penggunaan bahasa yang sesuai. Penggunaan bahasa yang sesuai juga bermakna guru
perlu sopan. Guru harus memandang ke arah murid, mewujudkan kontak mata apabila bercakap dengan
murid tersebut. Apabila menegur murid, teguran harus berfokus kepada tindakan murid dan bukan
kepada murid. Misalnya, apabila guru hendak menegur murid yang bercakap semasa guru sedang
mengajar,dia boleh berkata Perbualan kamu menyukarkan pengajaran saya Hamid dan bukan Hamid,
kamu ini bising sangat. Maklum balas yang diberi kepada murid mesti jelas dan spesifik. Misalnya,
apabila Hamid bercakap semasa cikgu sedang mengajar, dia mengalihkan perhatian cikgu dan
menyukarkan pengajaran. Sekiranya guru berkata, Kamu ni kurang ajar, kenyataan ini umum dan tidak
diberitahu Hamid masalah yang sebenarnya dan bersifat menghina.

Seterusnya, sekiranya memberikan pujian, pastikan pujian tersebut spesifik untuk tingkah laku yang
ditunjukkan murid. Misalnya, jika pencapaian seseorang murid bertambah baik, guru boleh berkata
Usaha kamu telah membawa kepada kejayaan ini,tahniah! dibanding dengan Tahniah kamu dapat
markah tinggi!.

Kemahiran menerima maklumat atau kemahiran mendengar penting dalam menjalinkan hubungan
dengan murid. Seseorang murid akan berasa dirinya dihormati dan penting apabila guru memberikan
perhatian kepada pandangannya. Semasa mendengar, guru perlu sensitif terhadap apa yang dikatakan
oleh murid dan memberikan respon yang wajar. Memberikan respon dengan cepat semata-mata supaya
guru boleh meneruskan kerjanya boleh menyebabkan guru terlepas pandang perkara sebenar yang ingin
disampaikan oleh murid. Maka guru mesti sabar dan memberikan respon seperti mengangguk kepala,
mengerut dahi dan menjawab Aha atau Oh, memfrasa semula apa-apa yang dikatakan oleh murid
misalnya, Maksud kamu.. atau Jadi kamu sebenarnya... Apabila guru memberikan respon, murid akan
terdorong untuk meluahkan rasa hati kerana dia merasakan guru berminat dengan perkara yang hendak
dikatakannya.

Komunikasi dua hala turut menggalakkan interaksi antara guru dan murid. Pada masa yang sama,
guru boleh merancang aktiviti untuk murid boleh bekerja dalam kumpulan dan saling membantu serta
bertukar idea. Namun, kadang kala sesetengah murid akan menghadapi masalah dalam menyesuaikan
diri di dalam kelas. Ada murid yang bersikap introvert, mungkin tersingkir dan sukar diterima oleh rakan.
Manakala murid yang ekstrovert yang ingin didampingi oleh ramai murid di dalam kelas. Guru dapat
mengetahui tahap interaksi sosial melalui pemerhatian dengan menggunakan teknik sosiometri.
Pengetahuan tahap sosial murid membantu guru membentuk kumpulan yang dapat bekerjasama.

Rumusannya, guru tidak harus mengamalkan jenis komunikasi yang bersifat sehala. Komunikasi yang
diamalkan oleh guru ialah komunikasi yang terbuka dan bersifat dua hala. Dengan cara komunikasi
begini, anda akan menggalakkan murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.

3. Faktor Rutin Bilik Darjah

Konsep Rutin
Rutin bilik darjah merujuk kepada aktiviti pengurusan harian bilik darjah. Ia juga adalah satu prosedur
yang tetap dan perlu dijalankan sebagai aktiviti harian bilik darjah. Rutin pengurusan bilik darjah yang
sistematik bukan hanya membentuk persekitaran bilik darjah yang kondusif untuk aktiviti pengajaran
dan pembelajaran, tetapi juga meningkatkan semangat kekitaan murid, keselamatan dan meningkatkan
disiplin kendiri murid. Tambahan pula, ia menjimatkan masa dan tenaga guru dan murid, dan memupuk
sikap yang baik dalam diri murid seperti bersifat koperatif dan bertanggungjawab.

Guru perlu menerangkan kepada murid tentang rutin bilik darjah pada awal tahun. Semua murid
perlu faham dan jelas tentang rutin, peraturan dan prosedur bilik darjah supaya mereka boleh
menjalankan tanggungjaawab mereka secara ikhlas dan sukarela. Contoh rutin bilik darjah termasuklah
mengambil kehadiran murid, memungut yuran, menyusun kerusi dan meja serta menyiapkan jadual
bertugas.

Jenis-jenis Rutin

(a) Rutin Kelas (bukan akademik)

Seorang guru perlu mewujudkan persekitaran fizikal bilik darjah yang kondusif dan membuat beberapa
peraturan dan prosedur asas bilik darjah untuk memudahkan proses pelaksanaan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran dalam bilik darjah. Pengurusan peraturan dan kebersihan bilik darjah juga bertujuan
untuk mengurangkan masalah disiplin dan memastikan bilik darjah berada dalam suasana yang kondusif.

Contoh rutin bilik darjah: mengurus kebersihan bilik darjah, termasuk menyapu lantai, menyusun
kerusi dan meja serta membersihkan papan tulis, membentuk peraturan dan jadual bertugas murid.

(b) Rutin Pentadbiran

Guru juga memainkan peranan sebagai seorang pentadbir. Adalah penting bagi seorang guru mengurus
pentadbiran bilik darjah secara berkesan kerana ini akan membantu murid-murid belajar dalam suasana
yang selesa dan tenteram. Ini dapat menjimatkan masa dan tenaga guru serta murid. Ini boleh memberi
manfaat kepada pembelajaran murid. Murid akan lebih berasa selamat dan berdisiplin.
Contoh rutin pentadbiran: mengambil kehadiran murid, memungut yuran (seperti yuran
peperiksaan, derma PIBG), menyediakan laporan kemajuan murid dan rekod kesihatan murid.

(c) Rutin Pergerakan Murid

Murid perlu tahu prosedur pergerakan dari satu aktiviti atau bilik darjah kepada yang lain. Contohnya
kebanyakan sekolah memerlukan murid untuk beratur sebelum pergi ke makmal sains dan komputer,
bengkel kemahiran hidup dan Sains Rumahtangga. Ini bertujuan untuk melatih murid agar lebih
berdisiplin sewaktu bergerak ke makmal atau mengikuti aktiviti luar.

Contoh rutin pergerakan murid: murid bergerak dari

i. aktiviti dalam ke aktiviti luar,

ii. aktiviti kelas kepada aktiviti kumpulan,

iii. kelas ke makmal komputer.

(d) Rutin Pengurusan Tugasan

Rutin jenis ini termasuklah persediaan guru terhadap tugasan, aktiviti sumber pengajaran dan
pembelajaran dan membina pusat aktiviti. Untuk memastikan kelicinan dalam mengimplementasikan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memberitahu murid tentang hasil pembelajaran yang
diharapkan, apa yang perlu mereka lakukan dan cara mereka mengetahui pencapaian hasil
pembelajaran mereka. Guru juga perlu memantau aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian murid.

(e) Rutin Pembelajaran


Rutin jenis ini berlaku dalam pada setiap hari dan ini membantu menyokong aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Prosedur yang betul sewaktu menjalankan rutin adalah penting dan murid harus
melibatkan diri secara langsung di mana perlu. Contoh rutin pembelajaran: memungut buku latihan,
menanda latihan, mengagihkan sumber dan buku.

(f) Rutin Interaksi

Pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah menekankan aktiviti yang berfokuskan murid. Interaksi
seperti interaksi murid-murid dan guru-murid adalah digalakkan. Murid perlu tahu prosedur bertanya
atau menjawab, perkara yang diharapkan semasa berada di pusat pembelajaran semasa menjalankan
perbincangan dan aktiviti bilik darjah yang lain.

Contoh rutin interaksi: Perbincangan kelas dan kumpulan kecil, membuat ujikaji makmal, aktiviti
kumpulan seperti main peranan dan projek.

4.Faktor Disiplin Bilik Darjah

Konsep Disiplin Bilik Darjah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), disipilin ialah peraturan yang ditetapkan untuk melatih
seseorang supaya berkelakuan baik. Olivia (1956) pula mendefinisikan disiplin sebagai kawalan diri,
kawalan dari luar, patuh kepada autoriti, keadaan bilik darjah yang teratur, kursus pengajian yang
sistematik dan cara yang menetapkan peraturan atau hukuman. Disiplin dikenakan kepada pelajar di
sekolah supaya dapat mengawal tingkah laku mereka. Disiplin juga dilaksanakan di dalam bilik darjah
supaya pelajar patuh kepada peraturan bilik darjah, berkelakuan baik dan mendisiplinkan diri semasa
Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) berlangsung. Pelajar yang mematuhi peraturan dan disiplin
bilik darjah akan mewujudkan suasana yang harmoni untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Keadaan ini membolehkan Proses Pengajaran dan Pembelajaran dijalankan secara
sistematik, teratur dan lancar tanpa sebarang gangguan. Sudah pasti aktiviti pengajaran dan
pembelajaran akan menjadi lebih berkesan.

Jenis-jenis disiplin

Lingdren (1976) membahagikan disiplin bilik darjah kepada empat jenis iaitu disiplin arahan guru, disiplin
arahan kerja, disiplin arahan kumpulan dan disiplin arahan diri.

1. Disiplin arahan guru

Dalam konteks pengurusan bilik darjah, guru bertanggungjawab untuk mengawal disiplin pelajar.
Disiplin yang baik dalam bilik darjah dapat menjamin kelancaran dan keberkesanan Proses Pengajaran
dan Pembelajaran (PDP) dalam kelas. Seseorang guru bertanggungjawab untuk menentukan peraturan
dalam bilik darjah dan memastikan semua pelajar mematuhinya. Pelajar yang melanggar peraturan
hendaklah dihukum. Disiplin arahan guru ini bersifat autokratik kerana guru mempunyai kuasa mutlak
atas pengurusan, arahan, kawalan dan hukuman berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan.

2. Disiplin arahan kerja

Disiplin arahan kerja wujud apabila seseorang guru memberikan arahan kepada pelajar untuk
menyiapkan sesuatu kerja dalam tempoh yang ditetapkan. Disiplin jenis ini dibentuk berlandaskan
kesedaran keperluan dan kebaikannya untuk pelajar mematuhi arahan dan menyempurnakan tugasan
mengikut masa yang telah ditetapkan. Disiplin ini mempunyai ciri motivasi yang positif kerana dapat
mengalakkan pelajar untuk menyiapkan tugasan untuk kebaikan dan kepentingan mereka sendiri.
Namun begitu, bukan semua pelajar yang dapat mematuhi disiplin yang telah ditetapkan. Sudah
pastinya ada pelajar yang tidak mempunyai disiplin arahan kerja dan tidak menyempurnakan tugasan
mereka mengikut yang telah dijadualkan. Kematangan pelajar dan jenis tugasan yang diberikan
mempengaruhi tahap disiplin ini dipatuhi. Guru memainkan peranan penting dalam situasi ini. Guru
harus bertindak lebih tegas dan mengenakan hukuman kepada pelajar yang ingkar arahan. Selain itu,
guru juga perlu menyesuaian tugasan dengan kemampuan pelajar supaya mereka dapat menyiapkan
kerja pada tempoh yang telah ditetapkan.

3. Disiplin arahan kumpulan

Disiplin arahan kumpulan wujud dalam sesuatu kumpulan dengan tujuan untuk menjalankan sesuatu
aktiviti pembelajaran dengan lancar dan berkesan. Guru memainkan peranan sebagai pembimbing dan
pemantau manakala ketua kumpulan akan mengawal pelajar supaya aktiviti kumpulan dapat dijalankan
dengan sistematik. Guru akan membimbing ketua kumpulan terlebih dahulu supaya norma dan
kepercayaan yang diamalkan adalah sesuai, sihat dan setimpal dengan disiplin bilik darjah. Proses
penyesuaian mengikut norma satu-satu kumpulan akan berlaku dan menghasilkan kawalan disiplin
dalam kalangan ahlinya.

4. Disiplin arahan diri

Disiplin arahan diri bermaksud keadaan yang membuatkan pelajar mematuhi peraturan yang sudah
ditentukan tanpa didenda. Pelajar mematuhi peraturan bilik darjah secara sukarela tanpa dipaksa atau
diarah oleh guru. Disiplin arahan diri ini boleh diwujudkan secara tidak langsung apabila pelajar telah
mencpai tahap kematangan, iaitu boleh berfikir secara rasional. Namun begitu, disiplin ini juga boleh
dipupuk melalui latihan dan bimbingan oleh guru. Pelajar perlu difahamkan tentang kepentingan dan
kebaikan mematuhi peraturan sama ada dalam bilik darjah ataupun sekolah.

Disiplin arahan diri merupakan jenis disiplin yang paling berkesan dalam pengurusan bilik darjah. Hal ini
demikian kerana apabila pelajar menyedari kepentingan mematuhi peraturan-peraturan bilik darjah
mahu pun sekolah, masalah disiplin di sekolah dapat dikurangkan ke peringkat yang minimun.

Punca masalah disiplin dalam bilik darjah

1. Proses Pengajaran dan Pembelajaran yang bosan

2. Pengurusan guru yang lemah

3. Interaksi rakan sebaya, perbualan dan bunyi bising dari luar kelas

Cara menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar

1. Amaran konstruktif

Amaran ini digunakan apabila pelajar menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini sehingga menganggu
Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP). Keberkesanan tindakan ini bergantung kepada perkara yang
diperkatakan dan cara amaran tersebut disampaikan. Prosedur unutk menyampaikan amaran
konstruktif yang berkesan adalah seperti berikut :

i. Guru perlu mendapatkan perhatian pelajar dan menegaskan bahawa ini adalah satu
amaran.

ii. Guru menjelaskan tingkah laku yang dikehandaki secara eksplisit.

iii. Guru menjelaskan tindakan yang akan diambil terhadap pelajar yang tidak memberikan
kerjasama.

iv. Guru hendaklah memberikan amaran secara ringkas.

v. Guru meneruskan pengajaran dan memberikan pujian sekiranya pelajar yang bermasalah
menunjukkan perubahan tingkah laku.

vi. Beri pelajar satu amaran sahaja.

2. Hukuman

Respon yang kerap kali diberikan terhadap pelajar yang bertingkah laku negatif ialah hukuman.
Hukuman boleh menimbulkan kesan yang positif dan boleh juga menimbulkan kesan yang negatif.
Menurut Englander (1986), hukuman mungkin menghalang pembelajaran dan gagal mendidik pelajar
cara-cara mempelbagaikan tingkah laku. Emmer dan Aussiker (1987) pula menyatakan bahawa hukuman
mungkin tidak dapat menghasilkan perubahan pada tingkah laku. Kesan sesuatu hukuman bergantung
kepada guru. Guru memainkan peranan yang penting sama ada hukuman tersebut akan menimbulkan
kesan yang negatif atau kesan positif.

3. Pencegahan salah laku

Guru haruslah berupaya untuk mencegah salah laku pelajar sebelum ia menjadi lebih serius. Antara
langkah yang boleh guru ambil untuk mencegah tingkah laku yang negatif ialah :

a. Memahami dinamika bilik darjah

Seseorang guru hendaklah berupaya untuk memahami tingkah laku dan perhubungan antara pelajar
dalam kelas.

b. Pengajaran berkesan
Kebanyakkan masalah disiplin dalam bilik darjah berpunca daripada aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang membosankan. Pengurusan bilik darjah yang tidak berkesan juga menyumbang
sebgagai faktor berlakunya masalah displin dalam kalangan pelajar. Pelajar yang hilang minat semasa
proses PDP akan bertukar kepada tingkah laku negatif. Oleh hal yang sedemikian, guru hendaklah
merancang pengajaran dan pembelajaran yang sistematik dan menarik. Guru perlulah kreatif dan
menggunakan teknik berpusatkan pelajar untuk menarik perhatian pelajar. Bahan bantu mengajar juga
penting untuk merangsang minat pelajar terhadap pembelajaran.

c. Susun atur tempat duduk

Guru bertanggungjawab untuk menyusun atur tempat duduk pelajar bagi memudahkan guru
memerhati dan memudahkan pergerakan mendekati pelajar. Tempat duduk pelajar hendaklah
memudahkan guru membuat kontak mata dan berkomunikasi dengan pelajar semasa Proses Pengajaran
dan Pembelajaran.

Kesimpulannya, guru berperanan penting dalam membentuk disiplin dalam diri pelajar. Pelajar
perlulah berdisiplin sama ada di sekolah atau di dalam bilik darjah. Kewujudan disiplin dalam bilik darjah
sudah pastinya akan melancarkan Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP). Aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dapat dijalankan secara sistematik dan berkesan. Disiplin juga dapat membentuk akhlak
pelajar supaya menjadi seorang pelajar yang baik.

You might also like