You are on page 1of 2

Selamat pagi dan salam sejahtera, saya akan membuka arena perdebatan

pada hari ini. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih saya ucapkan kepada
Tuan Yang Dipertua, barisan kerajaan yang disegani, perwakilan pembangkang,
Ahli-ahli berhormat dan sidang parlimen yang saya muliakan. Selamat bersua dan
selamat bersidang di arena perdebatan pada pagi ini.
Tuan Yang Dipertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Saya amat bersyukur kerana dengan berkat keamanan dan keharmonian di
bawah pimpinan kerajaan negara kita dari dahulu sehingga kini. Oleh itu, pada hari
ini, dewan kembali bersidang untuk membahaskan satu usul penting yang pastinya
akan mencuri perhatian sidang dewan sekalian.
Tuan Yang Dipertua,
Usul pada hari ini berbunyi, sistem pendidikan Malaysia telah berjaya
memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar. Oleh itu, izinkan saya terlebih dahulu
menerangkan tentang perpaduan melalui pendidikan. Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat, perpaduan bermaksud perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, atau
sepakat. Kamus Dewan Edisi Keempat pula mendefinisikan pendidikan sebagai
didikan, latihan atau ajaran. Dalam erti kata lain perpaduan melalui pendidikan boleh
diertikan sebagai semangat kekitaan yang wujud hasil daripada didikan di institusi
pendidikan. Pendidikan merupakan elemen penting dalam mewujudkan perpaduan
dalam kalangan murid. Oleh itu, institusi pendidikan memainkan peranan yang
sangat penting terutamanya dalam pembinaan dan pembentukan sesebuah negara
yang aman dan harmoni.
Tuan Yang Dipertua,
Menggalas tanggungjawab selaku Menteri Pertama, saya akan
mengemukakan satu hujah ampuh untuk memantapkan lagi perjuangan murni
gagasan kerajaan. Hujah saya iaitu berpaksikan frasa, bahasa kebangsaan dijadikan
bahasa pengantar utama di semua sekolah kebangsaan. Bahasa merupakan satu
alat komunikasi verbal yang dapat mewujudkan persefahaman antara satu individu
dengan yang lain. William A. Haviland yang juga merupakan professor emeritus di
Universiti Vermont pernah mengatakan bahawa bahasa merupakan sebuah sistem
bunyi yang apabila digabungkan menurut aturan akan menimbulkan erti yang boleh
difahami oleh semua orang yang bertutur dengan menggunakan bahasa tersebut.
Hal ini bermakna sekiranya suatu kelompok masyarakat menggunakan bahasa
yang sama, maka akan wujud persefahaman dalam kalangan masyarakat tersebut.
Persefahaman yang wujud itu seterusnya akan menimbulkan semangat perpaduan
dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar sekolah. Dengan ini, perhubungan
yang lebih erat dapat diwujudkan dalam kalangan pelajar sekolah. Untuk
pengetahuan semua, bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa kebangsaan
negara kita mempunyai kekuatan untuk membina hubungan dalam kalangan pelajar
yang berbilang kaum dan agama. Perkara ini telah dinyatakan dalam Laporan Razak

dan Laporan Rahman Talib yang menjadi asas kepada Akta Pelajaran 1961 yang
mana mukamidahnya menyatakan semula tujuan dasar kebangsaan ialah untuk
membina sistem pendidikan kebangsaan yang akan memenuhi keperluan negara.
Tuan Yang Dipertua,
Seperti yang kita sedia maklum, bahasa kebangsaan merupakan bahasa
yang mudah difahami dan seringkali dituturkan oleh majoriti masyarakat berbilang
kaum di negara kita. Hal ini bermakna penggunaan bahasa tersebut tidak hanya
terhad kepada kaum Melayu sahaja tetapi juga boleh dituturkan oleh masyarakat
Cina,India dan lain-lain. Selain itu, bahasa kebangsaan juga merupakan subjek teras
dan setiap pelajar diwajibkan untuk lulus dalam peperiksaan Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah bagi mata pelajaran tersebut. Walaupun bahasa melayu iaitu
bahasa kebangsaan dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah, namun bahasa
lain masih boleh ditutur dan digunakan di setiap sekolah. Hal ini bagi memastikan
supaya kaum bukan bumiputera seperti kaum Cina dan India dapat berkomunikasi
sesama kaum dengan bebas dan tanpa rasa terbatas. Selain itu, kita juga dapat
melihat keharmonian dalam negara kita hasil dari pelaksanaan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kerajaan. Sebagai contoh kita dapat
melihat para pelajar yang berlainan kaum di sekolah rendah dan sekolah menengah
bergaul dan berkomunikasi dengan begitu akrab sekali tanpa rasa curiga. Malahan,
para pelajar tersebut juga mengadakan ulang kaji bersama-sama. Hal ini
menunjukkan bahawa pelajar-pelajar tersebut tidak mendiskriminasi antara satu
sama lain. Oleh hal yang sedemikian, jelaslah bahawa bahasa kebangsaan telah
berjaya menyatukan rakyat di negara kita sehingga kita dapat hidup dengan aman
dan harmoni.
Tuan Yang Dipertua,
Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini dengan
penuh yakin sekali dan memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini
dengan suara majoriti.
Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadang.
Sekian, terima kasih.

You might also like