You are on page 1of 8

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

KURIKULUM STANDARD KOLEJ VOKASIONAL


MODUL PENDIDIKAN UMUM -
PENGAJIAN MALAYSIA 2

KERTAS PENERANGAN

KURSUS MODUL PENDIDIKAN UMUM - PENGAJIAN MALAYSIA 2

NO. KOD KURSUS MPU 2162

SEMESTER SEMESTER 2

01 - SEJARAH DAN POLITIK


NO. DAN TAJUK MODUL
1.1 LATAR BELAKANG SEJARAH NEGARA
- Pendudukan Jepun

KEBOLEHAN Melahirkan kesedaran tentang penderitaan penduduk Tanah


Melayu untuk mendapat kemerdekaan.

PELAJAR AKAN DAPAT:


1.1.1 Menyatakan faktor-faktor kejayaan Jepun menakluk Tanah
Melayu.
OBJEKTIF MODUL 1.1.2 Menyatakan corak pentadbiran Jepun di Tanah Melayu.
1.1.3 Menyatakan kesan-kesan pentadbiran Jepun di Tanah
Melayu.
1.1.4 Menjelaskan iktibar daripada peristiwa pendudukan Jepun
di Tanah Melayu.

TAJUK: LATAR BELAKANG SEJARAH AWAL NEGARA.


- Pendudukan Jepun

Penjajahan Jepun di Tanah Melayu merupakan satu turutan pertempuran yang singkat tetapi
sengit dan merupakan satu detik perubahan antara pemerintah British kepada pemerintah Jepun.
Ini merupakan konsep baru yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran orang-orang Melayu
umum iaitu pemerintahan oleh bangsa lain selain daripada mereka yang berkulit putih sebelum
ini. Pertempuran ini membabitkan tentera negara-negara Komanwel, terdiri daripada British,
India, Australia dan penduduk Melayu dari pasukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, dengan
Tentera Empayar Jepun bermula dari 8 Disember 1941 sehingga 31 Januari 1942 semasa
Perang Dunia II. Pemerintahan Jepun telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap
penduduk di Tanah Melayu akibat daripada dasar-dasar yang telah dilaksanakan oleh tentera
Jepun di negara ini.
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 2 DARI 7

1.1.1 FAKTOR-FAKTOR JEPUN BERJAYA MENAKLUKI TANAH MELAYU

(a) Perang Dunia Kedua

Kejayaan Jepun menguasai seluruh Tanah Melayu dalam tempoh 70 hari sahaja didorong oleh
pelbagai faktor. Perang Dunia Kedua yang meletus di Eropah menjadi pemangkin utama kepada
kejayaan pihak Jepun tersebut. Pihak British bukan tidak menyedari kemungkinan bahawa pihak
Jepun akan menyerang Tanah Melayu tetapi lebih menumpukan perhatian kepada peperangan
yang meletus di Eropah lebih mendesak.  Pihak Britain yang mempunyai tanah jajahan di Afrika
dan Asia telah diminta untuk membantu Rusia, Perancis dan Belanda apabila keadaan semakin
terdesak. Hal ini menyebakan tanah jajahan di Asia Tenggara terutamanya Tanah Melayu terbiar
dan membuka peluang kepada Jepun untuk menyerangnya. Pihak British juga tidak bersungguh-
sungguh mempertahankan Tanah Melayu. Pertahanan di Timur telah diserahkan kepada
Amerika Syarikat yang berpengkalan di Pearl Habour, Hawaii. Kesan daripada pengeboman
Jepun di Pearl Habour telah melumpuhkan terus pertahanan di Timur.

(b) Sikap Pihak Barat

Selain itu, sikap pihak barat yang memandang rendah terhadap kemampuan Jepun menjadi
salah satu faktor kejayaan Jepun.  Pihak British cukup yakin dengan kemampuan tentera laut
dan udara mereka yang dianggap bahawa ianya boleh menandingi kekuatan tentera Jepun
dengan mudah. Pihak British juga cukup yakin dengan adanya kedua-dua kapal perang mereka.
Akibatnya apabila pihak Jepun dengan mudah menenggelamkan kapal-kapal tersebut, ianya
telah mengaibkan British yang terkenal sebagai kuasa laut pada Perang Dunia Pertama.

(c) Persediaan dan Perancangan Jepun

Persediaan dan perancangan Jepun yang teratur juga menjadi pemangkin kepada kejayaan ini.
Penubuhan unit Perisikan Khas berjaya mendapatkan maklumat kekuatan tentera Britsh di
Tanah Melayu dan memudahkan pihak Jepun untuk merancang strategi. Selain perisik tempatan,
Jepun juga menghantar orang Jepun sendiri ke Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu untuk
menjalankan pengintipan. Mereka telah menyamar dengan menjalankan pelbagai jenis pekerjaan
seperti membuka kedai tukang gambar, kedai ikan peliharaan dan keda gula-gula. Mereka
mengambil gambar bangunan, jalan raya, jambatan, mengkaji sungai-sungai dan jalan di dalam
hutan dengan alasan untk mencari ikan untuk jualan. Semua maklumat ini digunakan oleh
tentera Jepun untuk mengkaji kedudukan pertahanan Tanah Melayu sebelum memulakan
serangan. Maklumat-maklumat tentang kubu  British, landasan kapal terbang dan lokasi kem
tentera telah diperoleh terlebih dahulu. Hal ini memudahkan serangan Jepun ke Tanah Melayu.
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 3 DARI 7

(d) Penyebaran Dakyah Anti-British

Selain itu, Jepun juga, melalui Doro Nawa telah berjaya menyebarkan dakyah anti-British dalam
kalangan askar-askar India yang berkhidmat dengan pasukan British di Tanah Melayu untuk
meninggalkan perkhidmatan mereka. Jepun telah berjaya menarik orang India yang berkhidmat
dengan  British untuk bekerjasama dengan Jepun. Seorang nasionalis radikal India, Subhas
Chandara Bose telah datang ke Tanah Melayu dan menubuhkan pasukan yang dikenali sebagai
Indian National Army (INA) untuk membantu Jepun. Jepun juga berjanji untuk membebaskan
India daripada penjajahan British. Pihak Jepun juga berjaya mempengaruhi penduduk tempatan
seperti golongan nasionalis radikal daripada Kesatuan Melayu Muda (KMM) di bawa pimpinan
Ibrahim Hj. Yaakob. Hal ini memudahkan penguasan Jepun di Tanah Melayu berjalan dengan
lancar.

(e) Kelengkapan Senjata Perang Jepun

Salah satu faktor juga ialah kelengkapan senjata pihak Jepun. Tentera Jepun telah
memperkuatkan serangannya dengan mengadunkan kekuatan baik dari segi laut, udara
mahupun darat. Angkatan udara Jepun telah mengambil kira jarak dan sasaran, dari pengkalan-
pengkalan baru mereka di Indo-China seterusnya telah menggunakan kapal terbang pejuang
yang dianggap lebih moden daripada pihak British. Pesawat pejuang ini juga memberikan
perlindungan kepada pesawat pengebom untuk memusnahkan instalasi penting British termasuk
yang berada di pedalaman. Begitu juga dengan bantuan perlindungan rapat kepada pesawat-
pesawat pengangkut dan logistik. Mereka juga dibantu dengan tembakan meriam daripada
kapal-kapal pemusnah Jepun yang berlabuh dekat pantai untuk melemahkan pertahanan utama
British di sekitar landasan kapal terbang Pengkalan Chepa. Secara kesuruhannya, kekuatan
tentera Jepun diperkuat sepenuhnya dengan persenjataan, kelengkapan, bekalan peluru,
makanan dan ubat-ubatan.

(f) Kelemahan Tentera British

Kelemahan tentera British dan kekurangan kelengkapan senjata perang juga menjadi faktor
kekalahan British di tangan Jepun. Pasukan tentera British yang dipertanggungjawabkan untuk
mempertahankan Tanah Melayu dan Singapura kurang terlatih dan berpengalaman. Mereka juga
bukan berasal dari kalangan satu bangsa atau terdiri daripada orang tempatan. Hal ini
menyebabkan mereka tidak mempunyai semangat cintakan tanah air yang mendorong mereka
untuk berperang bersungguh-sungguh. Kelewatan tentera bantuan dari London dan India juga
merumitkan lagi keadaan. Kelewatan ini berlaku berikutan masalah kewangan yang dihadapi
oleh kerajaan British.

Kekurangan kelengkapan senjata perang juga memudahkan Jepun untuk menewaskan British.
Pihak British hanya bergantung kepada dua buah kapal perangnya iaitu kapal Prince of Wales
dan Repulse untuk menjaga peraiaran Tanah Melayu. Apabila pihak Jepun berjaya
menenggelamkan kedua-dua kapal tersebut, tentera Jepun mengusai sepenuhnya kawalan
sekitar perairan Tanah Melayu. Keadaan di pengkalan laut juga tidak memuaskan. Pengkalan
laut di Singapura hanya disiapkan pada tahun 1938 dan tidak digunakan sepenuhnya kerana
tidak ada kapal laut yang dihantar oleh kerajaan British. Dari segi pertahanan udara, ruang
angkasa Tanah Melayu dikawal oleh beberapa ratus pesawat udara sahaja dan tidak begitu baik
jika dibandingkan dengan kemampuan kapal terbang Jepun. Kekuatan pertahanan British juga
hanya bergantung kepada tiga pasukan tentera iaitu Pasukan ke-8, Pasukan ke-9  (Australia)
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 4 DARI 7

dan Pasukan ke-11 (India) dengan jumlah tentera seramai 89 000 orang berbanding dengan
tentera Jepun seramai 150 000 orang.

Pihak British juga kalah di tangan Jepun disebabkan mereka kurang bersedia. Pihak British
menyangka Jepun akan  memulakan serangan dari arah selatan  (Singapura) kerana pusat
pentadbiran British terletak di situ. Sebaliknya, Jepun memulakan serangan dari arah utara
(Kelantan) dan menakluk negeri-negeri Melayu satu demi satu. Oleh itu,semasa serangan Jepun,
semua meriam dan senapang telah dihalakan ke laut. Kemaraan Jepun dari utara sememangnya
di luar jangkaan British.

(g) Semangat Juang yang Tinggi

Faktor yang tidak kurang pentingnya juga ialah unsur moral dan semangat juang yang tinggi
dalam kalangan tentera Jepun. Pihak Jepun bukan sahaja memiliki kekuatan dari segi bilangan
tetapi mereka sangat terlatih dan mempunyai semangat juang dan disiplin yang tinggi. Tentera
Jepun di samping bermoral tinggi dan bersemangat juga menganggap perjuangan mereka itu
adalah perjuangan suci bagi Negara dan Maharaja.

1.1.2 CORAK PENTADBIRAN JEPUN DI TANAH MELAYU

Jepun meletakkan Tanah Melayu di bawah pentadbiran tentera yang dikenali sebagai Malaya
Military Administration (MMA) sesuai dengan keadaan peperangan ketika itu. Jepun memerintah
Tanah Melayu bercirikan sistem ketenteraan dengan matlamat utamanya untuk memulihkan
keadaan masyarakat tempatan yang didakwanya sebelum ini huru-hara atau tidak aman ekonomi
penentangan terhadap pemerintah Barat. Mereka ingin mewujudkan pemerintahan 'Asia untuk
Orang Asia'.

Matlamat Jepun juga untuk memonopoli sumber ekonomi di Tanah Melayu dan menggunakan
hasil ekonomi untuk membantu masalah ekonomi yang sedang melanda Jepun pada waktu itu
serta menanggung pembiayaan tentera-tenteranya di Tanah Melayu dan jajahan yang lain.
Pembiayaan adalah dalam bentuk senjata,makanan dan kemudahan ketenteraan.

Pentadbiran Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malai Baru diketuai oleh seorang Presiden
Jepun atau Gunseikan yang bertanggungjawab kepada Ketua Agung Tentera (Pengarah
Agung), kawasan ketujuh di Singapura. Negeri-negeri Selat (NNS) ditadbir secara langsung oleh
Jepun manakala sistem kerajaan di negeri-negeri lain diteruskan dan diletakkan di bawah
kawalan langsung seorang Gabenor Jepun. Majlis Mesyuarat Negeri ditukarkan menjadi Majlis
Penasihat. Majoriti ahlinya adalah orang Jepun dan orang Melayu. Walau bagaimanapun, kuasa
sebenar berada di tangan Jepun

Negeri Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan pada mulanya disatukan dalam satu unit
pentadbiran tetapi kemudiannya telah dipisahkan pentadbiran kedua-dua wilayah ini pada bulan
April 1943. Negeri-negeri Melayu Utara yang terdiri daripada Kelantan, Terangganu, Perlis dan
Kedah diserahkan kepada Negara Thai pada bulan Ogos 1943. Pada peringkat awal
pendudukan Jepun, Sumatera digabungkan dengan Tanah Melayu di bawah satu pentadbiran
yang berpusat di Singapura yang dikenali sebagai Shonan. Walau bagaimanapun, penyatuan ini
gagal dan Sumatera dipisahkan dari NNM daripada segi pentadbiran pada tahun 1944.
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 5 DARI 7

Jepun mengekalkan institusi Sultan sebagai pentadbir bersama-sama dengan pihak Jepun tetapi
Sultan hanya berkuasa sebagai ketua negeri sahaja. Sultan dibenarkan menjalankan tugas
sebagai ketua agama di negeri masing-masing. Jepun sebenarnya ingin mengambil hati para
sultan agar apa yang dihajati tercapai. Ini kerana Jepun ingin mendapatkan sokongan orang
Melayu. Pemerintah Jepun memberikan peluang kepada pemimpin Melayu untuk memegang
jawatan tinggi dalam pentadbiran Jepun. Jepun mengamalkan dasar anti-Cina kesan
Peperangan China-Jepun pada tahun 1937 atas sebab sikap orang Cina di Tanah Melayu pada
waktu itu masih memberikan taat setia kepada negara China. Orang India mendapat layanan
baik daripada Jepun kerana kerjasama orang India diperlukan untuk mengusir British di India.

Dalam menjalankan pentadbiran, MMA dibantu oleh Polis Rahsia Jepun dan Badan Perisikan
Jepun yang dikenali sebagai Kempeitai Tekkikan dan Toko untuk mengawal keamanan.
Kampetai sangat kejam dan telah menangkap serta membunuh ramai orang. Selain itu
diwujudkan Tekikan iaitu pasukan mata-mata gelap yang bertugas mencari musuh-musuh yang
menyokong Inggeris menentang pemerintahan Jepun atau menghasut melayu.

Jepun juga menyebabkan ekonomi Tanah Melayu menghadapi kemerosotan akibat dasar
sekatan daripada pihak asing. Ini menyebabkan semua sumber ekonomi dikuasai oleh Jepun
sebelum Inggeris meninggalkan Tanah Melayu. Ekonomi Tanah Melayu merosot akibat taktik
”Bumi Hangus” iaitu banyak kemudahan awam telah dimusnahkan. Jepun memaksa rakyat
menanam tanaman seperti ubi kayu, keledek dan keladi untuk mengatasi masalah kekurangan
bahan makanan.

Perusahaan tempatan didirikan semula untuk menggantikan barang impot yang tidak diimport.
Perusahaan penting diambil alih dan dikuasai oleh syarikat Jepun seperti Mitsui dan Mitsubishi.
Jepun juga memperkenalkan mata wang ” Pokok Pisang ”. Keadaan tidak terkawal serta
kekurangan bahan-bahan pengguna menyebabkan berlaku inflasi dengan harga barang yang
melambung tinggi dan nilai mata wang Jepun menjunam jatuh.

Dalam sistem pendidikan Jepun telah menggantikan sistem pendidikan yang sedia ada dengan
sistem pendidikan Jepun. Sistem pendidikan Jepun menekankan beberapa aspek seperti
pembentukan akhlak dan disiplin, taat setia pada maharaja Jepun dan kepatuhan kepada
kerajaan Jepun. Selain itu, kebudayaan Jepun disebarkan melalui sistem pendidikan Jepun.
Orang tempatan diajar adat istiadat dan lagu kebangsaan Jepun iaitu ”Kamigayo”. Jepun
mengamalkan dasar penjajaran budaya dan memaksa penduduk tempatan mempelajari bahasa
Jepun. Bahasa Jepun dijadikan bahasa perantaraan bagi menggantikan bahasa Inggeris.
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 6 DARI 7

1.1.3 KESAN-KESAN PENDUDUKAN JEPUN


 
1.    Politik

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan kesedaran politik yang mendalam di kalangan


penduduk Tanah Melayu terutamanya orang Melayu. Penderitaan yang dialami dan propaganda
Jepun “Asia untuk Asia” telah membangkitkan kesedaran penduduk tempatan untuk berjuang
menuntut kebebasan politik dan kemerdekaan. Orang Melayu yang mendapat peluang dan
pengalaman dalam pentabiran yakin bahawa mereka dapat mentadbir negara sendiri.
Masyarakat tempatan juga sedar dengan kelemahan kuasa pihak British apabila dikalahkan
dengan begitu mudah oleh sebuah kuasa Asia. Kekalahan British menyedarkan penduduk
tempatan bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada British untuk mempertahankan Tanah
Melayu. Keadaan ini menyedarkan penduduk tempatan supaya berusaha sendiri bagi
mempertahankan hak-hak dan kepentingan serta tanah air mereka.

Tindakan Jepun menyerahkan Negeri-negeri Melayu Utara kepada Siam pada Ogos 1943
menyedarkan penduduk tempatan bahawa Jepun tidak berminat untuk memberi kemerdekaan
kepada Tanah Melayu. Jepun yang dianggap sebagai pembebas yang akan membebaskan
Tanah Melayu juga merupakan kuasa penjajah. Apa yang berlaku sebenarnya ialah penjajahan
British digantikan dengan penjajahan Jepun malah penjajahan Jepun lebih kejam daripada
penjajahan British.

Pendudukan Jepun telah menaikkan semangat nasionalisme penduduk Tanah Melayu. Pasukan
Force 136 yang ditubuhkan oleh tentera Berikat mendapat sokongan penduduk tempatan. Force
136 mendapat kerjasama Pegawai Daerah Hulu Perak, Kapten Mohd Salleh Sulaiman dan
menamakan pasukan gerila sebagai Askar Melayu Setia (AMS). Di Pahang, Persatuan Melayu
Pahang memberikan bantuan kepada Force 136 dan membentuk pasukan sulit yang dinamakan
Wataniah. Kaum Cina pula menyertai Parti Komunis Malaya (PKM). PKM menubuhkan Malayan
People Anti -Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai “Bintang Tiga” yang dianggap
sebagai gerakan yang mewakili semua kaum.

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan munculnya kesedaran politik secara berparti dan
berpersatuan di kalangan penduduk Tanah Melayu selepas pendudukan Jepun. Di antara parti-
parti yang wujud ialah UMNO, MCA, MIC, API, AWAS, PKMM, Hizbul Muslimin dan sebagainya.
Idea kemerdekaan juga didapati akibat daripada pendudukan Jepun. Ia telah berjanji untuk
memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu di bawah lingkungan “Indonesia Raya”. Untuk
tujuan tersebut, Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) telah ditubuhkan pada Julai
1945. Rundingan telah diadakan di antara pemimpin Tanah Melayu iaitu Ibrahim Yaacob dan Dr.
Burhanuddin dengan pemimpin Indonesia iaitu Sukarno dan Hatta untuk menjayakan matlamat
kemerdekaan bersama. Rundingan diadakan di Singapura pada 8 Ogos 1945 dan Taiping pada
12 Ogos 1945. Walau bagaimanapun, KRIS gagal memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu
akibat daripada kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945.

2.    Ekonomi

Tanah Melayu mengalami kemerosotan ekonomi pada peringkat individu dan keluarga semasa
pendudukan Jepun. Harta benda terpaksa dibelanjakan untuk memperoleh makanan dan
keperluan lain. Penduduk menderita kerana bekalan makanan yang tidak mencukupi dan harga
barangan keperluan melambung tinggi. Barangan utama seperti beras dikenakan kawalan yang
ketat melalui permit khas. Kegiatan ekonomi sara diri digalakkan dengan menanam bahan
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 7 DARI 7

makanan sendiri seperti ubu kayu dan keledek bagi menggantikan beras. Banyak barang
keperluan utama tidak dapat diperoleh seperti tekstil dan ubat-ubatan.

Perusahaaan bijih timah dan getah yang pesat sebelum ini merosot dan hampir terhenti ekoran
daripada kerosakan dan kemusnahan yang berlaku pada lombong, ladang dan kilang. Kerosakan
ini disebabkan serangan Jepun untuk menakluk Tanah Melayu. Tanah Melayu juga telah putus
daripada pasaran antarabangsa bijih timah dan getah kerana Jepun mengharamkan eksport
kedua-duanya kecuali Jepun. Selain itu, Jepun juga mengeksploitasikan sumber-sumber yang
diperlukan di negara Jepun terutamanya besi dan bauksit.

Kemusnahan sistem perhubungan dan lain-lain infrastruktur yang tidak dibaiki oleh Jepun telah
mengakibatkan kemerosotan ekonomi Tanah Melayu. Walapun Jepun melaksanakan beberapa
industri seperti kilang kasut, tayar dan sebagainya, tetapi ia tidak mencapai kejayaan.

Nilai mata wang negara turut jatuh dengan teruk. Matawang daun pisang yang diperkenalkan
oleh Jepun pada waktu itu adalah tidak bernilai kerana percetakannya tidak terkawal. Tanah
Melayu mengalami inflasi kerana pengedaran wang kertas yang tidak terkawal dan kekurangan
barang pengguna terutamanya makanan. Pada tahun 1945, pengedaran wang kertas di Tanah
Melayu berjumlah $4000 juta sedangkan sebelum pendudukan Jepun pengedaran wang kertas
hanya $200 juta.

3.    Sosial

Pendudukan Jepun telah menimbulkan pelbagai penderitaan pada rakyat Tanah Melayu.
Kekejaman polis rahsia Jepun khususnya Kempeitai telah menambahkan lagi penderitaan rakyat
Tanah Melayu terutamanya mereka yang anti-Jepun seperti orang Cina. Ramai orang Cina telah
dibunuh dan dizalimi oleh Jepun menyebabkan mereka lari ke dalam hutan. Mereka tinggal di
dalam hutan dan menanam tanaman makanan untuk keperluan sendiri. Negara mengalami
masalah kekurangan beras disebabkan sistem perdagangan antarabangsa yang bermasalah.
Kekurangan beras menyebabkan penduduk tempatan bergantung kepada ubi kayu sebagai
sumber makanan utama. Taraf kesihatan penduduk tempatan merosot dengan teruk akibat
kekurangan zat makanan dan bekalan perubatan. Di antara penyakit yang banyak membawa
maut ialah malaria dan beri-beri. Keadaan bertambah teruk apabila tentera Jepun merampas
makanan dan ubat-ubatan untuk kegunaan mereka sendiri.

Ramai pemuda terutama pemuda India yang terpaksa menjadi buruh paksa untuk membina
Landasan Kereta Api Maut yang menghubung negara Thai dan Burma. Kebuluran dan penyakit
menyebabkan ramai meninggal dunia sehingga jalan keretapi itu dikenali sebagai “Jalan Keretapi
Maut”.

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan wujudnya permusuhan kaum di antara orang Melayu
dengan orang Cina akibat daripada dasar Jepun yang berbeza kepada kaum-kaum tersebut.
Layanan baik Jepun kepada orang Melayu telah menimbulkan kemarahan orang Cina. Malah
Jepun telah mengambil orang Melayu untuk dijadikan polis dan tentera dimana mereka
digunakan oleh Jepun untuk menentang MPAJA yang terdiri daripada orang Cina. Tindakan
orang Melayu menjadi pengintip Jepun telah menambah lagi kemarahan orang Cina
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 8 DARI 7

Pendudukan Jepun telah menimbulkan semangat rajin dan berdikari di kalangan orang Melayu
seperti menghasilkan barang daripada daun nanas dan gula dari nira kelapa. Pendudukan Jepun
turut menimbulkan kesedaran orang Melayu terhadap pentingnya pembelajaran, dimana selepas
perang sekolah-sekolah Melayu tumbuh dengan pesatnya di seluruh negara.

1.1.4 IKTIBAR DARIPADA PERISTIWA PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU


a. Sesebuah negara atau bangsa itu perlu mempertahankan identiti sendiri, walaupun masa dan
persekitaran sentiasa berubah.
b. Penjajahan memberikan banyak kesan negatif kepada sebuah negara bangsa.
c. Rakyat yang tidak bersatu padu dan tidak taat kepada negara akan menyebabkan negara itu
dijajah.
d. Sesuatu bangsa itu perlu mempunyai ilmu yang secukupnya agar minda mereka tidak mudah
terpengaruh dengan dakyah asing.
e. Ilmu penting untuk mengangkat martabat sesuatu bangsa.
f. Setiap individu perlu mengetahui asal-usul bangsanya sendiri untuk melahirkan perasaan
sayang kepada negara.
g. Kita perlu berusaha keras untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara..

RUJUKAN :

1. Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin. 2014. PENGAJIAN MALAYSIA, Edisi kelima.
Kuala Lumpur. Oxford Fajar.
2. Normurni Mohamad, Razana Fatin Abdullah @ Razali, Mohamad Faizal Ahmad. 2016.
PENGAJIAN MALAYSIA. Kuala Lumpur. Oxford Fajar.

You might also like