You are on page 1of 8

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

KURIKULUM STANDARD KOLEJ VOKASIONAL


MODUL PENDIDIKAN UMUM -
PENGAJIAN MALAYSIA 2

KERTAS PENERANGAN

KURSUS MODUL PENDIDIKAN UMUM - PENGAJIAN MALAYSIA 2

NO. KOD KURSUS MPU 2162

SEMESTER SEMESTER 2

NO. DAN TAJUK MODUL 04 – KEMASYARAKATAN DAN PERPADUAN


4.1 KOMPOSISI ETNIK PENDUDUK MALAYSIA

KEBOLEHAN Mengetahui tentang komposisi etnik penduduk Malaysia.

PELAJAR AKAN DAPAT:


4.1.1 Menyatakan pengertian etnik
OBJEKTIF MODUL 4.1.2 Menghuraikan komposisi etnik-etnik di Malaysia
N 4.1.3 Menjelaskan peranan etnik dalam usaha
mempromosikan pelancongan negara

TAJUK : KEMASYARAKATAN DAN PERPADUAN

PENGENALAN

Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanan dan kestabilan politik yang diasaskan oleh
hubungan etnik yang positif dan bersifat sinergi telah menarik minat negara luar untuk
mengetahui rahsia di sebalik kejayaan ini. Sesungguhnya kekuatan hubungan yang terjalin
antara pelbagai etnik inilah yang memainkan peranan yang amat besar dalam menentukkan
bentuk kerajaan Malaysia pada hari ini.

4.1.1 PENGERTIAN ETNIK

Etnik boleh didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir
seragam, termasuk adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi. Konsep etnik
mempunyai erti yang berkaitan rapat dengan konsep-konsep ras dan bangsa. Ras dan bangsa
memberikan penekanan pada perbezaan fizikal atau sifat-sifat biologi (keturunan dan pertalian
darah yang sama) antara sesama manusia. Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia,
terdapt pelbagai kelompok etnik yang hidup berlainan, tetapi dibawah sistem politik yang  sama.
Etnik dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya. Etnik sering berbeza berdasarkan ciri
budaya seperti adat resam, pola keluarga, pakaian, pandanganmengenai kecantikan, orientasi
politik, kegiatan ekonomi dan hiburan. Di Malaysia, orang Melayu, India, Cina, Kadazan Dusun,
Melanau dan pelbagai lagi dianggap sebagai etnik.
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 2 DARI 8

4.1.2 KOMPOSISI DAN TABURAN PENDUDUK DI MALAYSIA


Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, dengan kaum Melayu merupakan suku
terbesar di Malaysia. Dari segi perlembagaan, orang Melayu ialah orang yang berbudaya
Melayu, bertutur dalam Bahasa Melayu dan beragama Islam. Dalam kontek Malaysia, istilah
bumiputera sering digunakan. Kaum Bumiputera dianggap sebagai kaum asal Malaysia.

Pada tahun 2016,jumlah penduduk Malaysia adalah 31 juta yang merangkumi 92. 7 peratus
warganegara dan 7. 3 peratus bukan warganegara. 68.7% merupakan kaum bumiputera, di
mana 90. 9% terdiri daripada Bumiputera Melayu dan 9% dari Bumiputera Lain. Bumiputera Lain
adalah terdiri daripada Orang Asli, Siam, Serani, dan lain-lain minoriti bumiputera
di Semenanjung Malaysia manakala ia dikenali sebagai Bumiputera Sabah dan Bumiputera
Sarawak di Malaysia Timur.

Kira kira 23.4% daripada penduduk Malaysia ialah kaum Cina. Masyarakat Cina Malaysia terdiri
daripada orang Foochow, Hainan, Henghua, Hokkien, Kantonis, Hakka, Teochew dan lain-lain.
Masyarakat Orang India Malaysia pula merangkumi 7% daripada penduduk Malaysia yang terdiri
daripada orang Tamil yang merupakan orang India terbesar di Malaysia, orang Malayali,
Punjabi Sikh, Telugu dan lain-lain. Manakala lain-lain kaum pula seramai 0.9 % adalah orang
yang berketurunan Bangsa Asia Lain, dan Bangsa Dunia yang lain yang diberi taraf warganegara
mengikut syarat-syarat tertentu.

1. ORANG MELAYU
Orang Melayu merupakan kaum yang terbesar di negara ini iaitu lebih daripada 16 juta orang
iaitu kira-kira 59.4% daripada populasi Malaysia. Orang Melayu diistilahkan sebagai kaum
‘bumiputera’ bersama-sama dengan penduduk pribumi yang lain. Dalam Perlembagaan, orang
Melayu merujuk kepada orang yang bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu
dan beragama Islam.

Masyarakat Melayu di Malaysia wujud hasil daripada percampuran antara tiga rumpun bangsa
yang berbeza, iaitu Negrito, Austro-Asiatic dan Austronesia dengan pengaruh daripada bangsa-
bangsa dari luar Asia Tenggara. Pada abad ke-14 hingga ke 16, terdapat banyak orang Melayu
datang dari Sulawesi dan Sumatra.

Masyarakat Melayu di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan yang berbeza iaitu
anak jati, anak dagang dan peranakan.

Anak Jati

Anak Jati ialah satu istilah yang merujuk kepada sekumpulan orang Melayu yang merupakan
penduduk pribumi Malaysia. Kumpulan ini merangkumi suku-suku pribumi seperti:-
 Orang Melayu Kedah
 Orang Melayu Beruas
 Orang Melayu Manjung
 Orang Melayu Grik
 Orang Kelang
 Orang Melayu Melaka
 Orang Melayu Kelantan
 Orang Melayu Terengganu Pantai
 Orang Melayu Ulu Terengganu
 Orang Melayu Bentong
 Orang Melayu Lipis
 Orang Melayu Temerloh
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 3 DARI 8

 Orang Melayu Johor


 Orang Melayu Brunei
 Orang Melayu Kedayan
 Orang Melayu Cocos
 Orang Melayu Sarawak

Anak Dagang

Anak Dagang ialah satu istilah yang merujuk kepada orang Melayu di Malaysia yang mana nenek
moyang mereka berasal dari Kepulauan Indonesia dan selatan Thailand. Mereka terdiri daripada
rumpun bangsa Austronesia dan terdiri daripada berpuluh-puluh yang berbeza iaitu:-
 Aceh
 Ambon
 Banjar
 Batak (tidak termasuk Mandailing)
 Bawean (Boyan)
 Bugis
 Jawa
 Kerinci
 Makassar
 Mandailing
 Melayu
 Melayu Asahan (Batubara)
 Melayu Bengkulu
 Melayu Deli
 Melayu Jambi
 Melayu Langkat
 Melayu Palembang
 Melayu Patani
 Melayu Riau
 Melayu Siak
 Minangkabau
 Ocu (Kampar)
 Rao (Rawa)
 Dan juga orang Melayu Malaysia yang berketurunan kumpulan pribumi Indonesia lain

Peranakan

Peranakan ialah satu istilah yang merujuk kepada sekumpulan orang Melayu di Malaysia yang
wujud hasil daripada perkahwinan campur antara orang Melayu (Anak Jati atau Anak Dagang)
dengan bangsa-bangsa asing dari luar Asia Tenggara. Mereka ialah:-
 Peranakan Parsi
 Peranakan Arab
 Jawi Peranakan/Jawi Pekan/Peranakan Kling
 Peranakan Cina
 Peranakan Turki
 Peranakan Siam/Samsam
 Peranakan Eropah
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 4 DARI 8

2. ORANG CINA

Orang Cina merupakan kaum kedua yang terbesar di negara ini iaitu lebih daripada 7 juta orang
iaitu kira-kira 23.4% daripada populasi Malaysia pada tahun 2016.

Orang Cina bertumpu ke negara ini sejak akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19 lagi. Pulau
Pinang dan Singapura menjadi destinasi utama mereka apabila kedua-dua pulau itu dibuka oleh
British pada tahun 1876 dan 1819. Walau bagaimanapun, orang Cina telahpun berada di negara
ini sebagai peladang gambir dan lada hitam ketika Riau berada di bawah kekuasaan Johor.
Mereka kemudiannya berpindah ke Singapura selepas dibuka oleh British.

Kebanyakan masyarakat Cina ini berasal dari wilayah Kwangtung dan Tukuin. Ramai juga yang
datang dari daerah Amoy, Sen-Yu, Hok-Chi, Eng Chon dan lain-lain. Pada peringkat awal, buruh-
buruh Cina bertumpu di tapak-tapak perlombongan awal seperti di Lukut dan Sungai Ujong.
Penghijrahan semakin pesat sejajar dengan perkembangan aktiviti perlombongan.

Cara Kemasukan Orang Cina ke Tanah Melayu:


 Sistem Tiket Kredit
 Sistem Pengambilan Personal
 Sistem Pengambilan Rumah Kongsi
 Secara Persendirian
 Secara Berkumpulan

Etnik Cina di Malaysia terdiri daripada beberapa suku dialek. Terdapat 6 kumpulan dialek
utama: Hakka, Kantonis, Hokkien, Teochew, Hainan dan Fuzhou. Adalah terbukti bahawa orang
yang tergolong dalam golongan suku dialek tertentu tertumpu dalam bahagian komuniti berbeza
di Malaysia.

Orang Hakka membentuk kumpulan dialek terbesar di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak),


bahagian-bahagian di Johor terutamanya Kulai, Selangor-Kuala Lumpur dan Pahang. Suku
Hakka juga didapati di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Perak, di mana mereka mungkin dijadikan
suku dialek terbesar di tempat-tempat tersebut.

Suku Kantonis membentuk suku dialek terbesar di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri


Sembilan dan Perak di mana golongan ini membentuk peratusan besar dalam populasi. Suku
Kantonis juga membentuk suku dialek terbesar di Johor timur dan Sandakan, Sabah. Sandakan
pernah bergelar "Hong Kong Kecil" kerana bandar itu pernah dijadikan tempat tinggal kedua bagi
kebanyakan pendatang dari Guangdong, di mana pemandangannya menyerupai Hong
Kong pada 1970-an dan 1980-an. Media bahasa Kantonis juga disiarkan dalam saluran
televisyen Malaysia, terutamanya RTM2,NTV7 dan 8TV.

Suku Hokkien membentuk suku dialek terbesar di Pulau


Pinang, Melaka, Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor -- terutamanya di Klang dan kawasan
pantai Selangor serta Johor barat. Bahasa Hokkien juga ditutur di ibu negeri Sarawak,
iaitu Kuching. Kebelakangan ini saluran televisyen Malaysia menampilkan rancangan berbahasa
Hokkien dari Taiwan untuk mengimbangkan kandungan dialek-dialek Cina dalam media
Malaysia.
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 5 DARI 8

Suku Teochew ditumpukan di beberapa bahagian tertentu di Pulau Pinang, kebanyakan pulau-
pulau di Sabah dan Johor selatan, terutamanya Johor Bahru dan Pontian.

Masyarakat Cina Malaysia telah mendominasi ekonomi Malaysia dengan lebih 90% kedai
komersial dimiliki oleh orang Cina. Orang Cina lebih cenderung kepada berkerja sebagai
pengusaha perniagaan sendiri daripada berkerja di bawah orang lain. Masyarakat Cina
melibatkan diri dalam semua jenis perniagaan di sektor swasta. Orang-orang Cina yang bekerja
sebagai pekerja di sektor swasta yang paling aktif di Komputer, Automobil, Industri Perumahan
dan Jualan. Hanya sangat sedikit minoriti bekerja sebagai pegawai kerajaan di sektor awam.
Orang-orang Cina yang melakukan pekerjaan di sektor kerajaan biasanya merupakan ahli politik
serta guru guru sekolah.

3. ORANG INDIA
Orang India merupakan kaum ketiga yang terbesar di negara ini iaitu lebih daripada 2 juta orang
iaitu kira-kira 7% daripada populasi Malaysia pada tahun 2016.

Golongan awal orang India yang datang ke negara ini dikesan sejak abad ke-19 lagi. Mereka
datang ke Tanah Melayu sebagai pedagang dan ada yang dilantik sebagai “saudagar raja”.
Penghijrahan orang India secara beramai-ramai dari sub-benua India ke Tanah Melayu menyusul
apabila peluasan pemerintahan British ke negeri-negeri Melayu yang terletak di pantai barat
sejak dekad 1870-an dan pertumbuhan ekonomi perladangan getah.

Sebahagian penghijrah India yang amat besar terdiri daripada penutur bahasa Tamil dari
negeri Tamil Nadu. Pada tahun 1947, mereka merupakan 77% daripada jumlah penduduk India
di Tanah Melayu dan Singapura. Orang India Selatan yang lain, khususnya
orang Malayalee dan Telugu, merupakan lagi 14% pada tahun 1947, dan baki komuniti India
terdiri daripada orang India Utara, terutamanya orang Punjabi, Bengali, Gurjarati, dan Sindhi.

Orang India sanggup meninggalkan India dan berhijrah ke negara ini kerana beberapa sebab
iaitu Sistem Kasta yang mengehadkan pergerakan kasta rendah (petani dan buruh) dalam
bidang pekerjaan, pertumbuhan penduduk yang menyebabkan ramai daripada mereka hidup
menderita akibat tidak mempunyai pekerjaan. bahan makanan tidak mencukupi disebabkan
keadaan iklim dan cuaca yang tidak menentu, kenaikan cukai tanah yang dikenakan oleh British
membebankan petani dan golongan miskin dan tekanan polisi British yang menekan sebarang
bentuk industri yang menyaingi industrinya dalam bidang tekstil menyebabkan pengangguran
berleluasa dan ini menambahkan lagi kesengsaraan golongan miskin. Keadaan ini menyebabkan
golongan petani dan buruh berhijrah ke Tanah Melayu yang mempunyai kemajuan ekonomi yang
pesat dan politik yang stabil. Cara kedatangan mereka ialah melalui Sistem Buruh Kontrak,
Sistem Kangani dan Sistem Kemasukan Buruh Bebas.

Etnik India yang berhijrah ke Tanah Melayu ini dapat dilihat dengan jelas melalui ringkasan yang
berikut:

Tamil
 Berasal dari Tamil Nadu
 Kumpulan etnik India yang terbesar di Tanah Melayu (80.0%) daripada jumlah penduduk
India di Tanah Melayu
 Kebanyakannya bekerja di ladang-ladang getah dan kelapa sawit
 Ada juga yang terlibat bekerja dalam sektor jabatan kerajaan

Malayali
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 6 DARI 8

 Berasal dari pantai Malabar.


 Dikenali juga sebagai orang Malabari.
 Merupakan 7.0% daripada jumlah penduduk India di Tanah Melayu, yang terdiri daripada
kelas pekerja dan kelas pertengahan.
 Kebanyakannya kelas pekerja bekerja di ladang dan kelas menengah bekerja di dalam
perkhidmatan perkeranian dan professional.
 Terkenal dengan kedai makanannya.

Telegu
 Berasal dari Andhra Pradesh.
 Merupakan 4.0% daripada jumlah penduduk India di Tanah Melayu.
 Kebanyakannya bekerja sebagai buruh di ladang-ladang.

Sikh
 Berasal dari Punjab.
 Kebanyakannya terlibat dalam pekerjaan perkhidmatan polis dan keretapi, pengawal
keselamatan dan penternak lembu.
 Dikatakan perkhidmatan kereta lembu orang Sikh berperanan penting dalam pengangkutan
di kawasan lombong bijih timah.
 Berkhidmat dalam Malay Studies Guides yang ditubuhkan oleh British pada tahun 1896.
 Mulai tahun 1920-an terdapat ramai orang Sikh terlibat dalam bidang perniagaan dan
professional.

4. ORANG ASLI
Orang Asli merangkumi 149,512 penduduk di Malaysia (2016). Orang Asli juga merupakan
penduduk pribumi di negara ini. Mereka diistilahkan sebagai bumiputera bersama-sama dengan
orang Melayu dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Orang Asli merupakan perkataan generik bahasa Melayu yang digunakan secara rasmi


di Malaysia bagi merujuk kewujudan orang asal yang menduduki tanah Semenanjung Tanah
Melayu sejak azali lagi. Secara rasmi, terdapat sekurang-kurangnya 18 suku dari etnik Orang Asli
di Semenanjung Tanah Melayu.

Mereka dikategorikan kepada 3 kumpulan utama berikutan tutur bicara dan adat istiadat
(etnolinguistik) mereka yang berbeza diantara satu sama lain.

(i) Senoi
o Terdiri daripada suku Semar (Semai), temiar, Che Wong, Jah-hut (Jahut), Semoq Beri
dan Mah Meri
o Kebanyakannya terdapat di Perak, Pahang, selatan Kelantan, pantai Terengganu dan
pantai Selangor

(ii) Melayu Asli (Proto-Malay)


o Terdiri daripada suku Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala dan
Orang Seletar
o Terdapat di Selangor, Negeri Sembilan, bahagian tengah dan pantai Pahang, Kota
Tinggi dan bahagian pantai Johor

(iii) Semang (Negrito)


o Terdiri daripada suku Kensiu, Kintaq, Jahai, Lanoh, Bateq dan Mendriq
o Terdapat di timur laut Kedah, bahagian utara, tengah dan timur laut Perak, bahagian
timur di timur laut Kedah, bahagian utara, tengah dan timur laut Perak

Terdapat Muzium Orang Asli yang dibina bagi memberi penerangan dan pengetahuan umum
tentang kewujudan dan kebudayaan Orang Asli di Malaysia. Misalnya Muzium Orang
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 7 DARI 8

Asli Gombak, kira-kira 25 km ke utara Kuala Lumpur. Muzium Orang Asli yang lain juga boleh
ditemukan beberapa tempat dalam Malaysia. Kini di Malaysia, tangungjawab mengurus tanah
adat, kemajuan, kebajikan dan hal ehwal Orang Asli diletakkan dibawah Jabatan Kemajuan
Orang Asli Malaysia. Selain itu terdapat usaha bersepadu oleh jabatan kerajaan yang lain untuk
mengintegrasi orang asli dan meningkatkan taraf hidup mereka dengan menggalakkan dan
membantu mereka mendapat pekerjaan. Usaha ini dilakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja
Semenanjung Malaysia bersama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia.

Pencapaian orang-orang asli turut dipantau bagi memastikan kejayaan program-program


seumpamanya.  Terdapat juga Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia yang
bertujuan bagi membentuk sebuah pertubuhan lepasan institusi pengajian tinggi dikalangan
Orang Asli. Selain itu terdapat juga Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia yang
membantu memperjuangkan kepentingan orang-orang asli di Malaysia.

5. PRIBUMI SARAWAK DAN SABAH.


SARAWAK:
Sarawak mempunyai bilangan penduduk pelbagai etnik yang paling banyak antara negeri
di Malaysia, iaitu seramai 2.07 juta orang. Sebagai ibu negeri, Kuching merupakan rumah
kepada 458,300 orang. Hal ini menyebabkan ia menjadi bandar yang mempunyai penduduk yang
terbanyak di Sarawak dan mendapat kedudukan yang ketujuh di Malaysia.

Sarawak mempunyai 27 etnik besar buat setakat ini dan etnik Iban adalah etnik majoriti.
Kesemua kumpulan etnik ini mempunyai bahasa, kebudayaan, dan cara kehidupan yang
tersendiri. Etnik di Sarawak terbahagi mengikut kawasan penempatan seperti persisiran pantai,
lembah sungai, daerah pendalaman, dan kawasan tanah tinggi. Kawasan yang paling padat
dengan penduduk adalah di dataran pantai, lembah sungai di bahagian barat Kuching, dan
kawasan antara Sungai Kayan dengan Sungai Mukah.

Corak penempatan dan taburan penduduk yang berselerak di Sarawak menyebabkan mereka
tidak banyak berhubung dengan orang luar. Keadaan ini mendorong setiap kelompok etnik
membentuk identiti kebudayaan masing-masing mengikut persekitarannya.

Terdapat 3 kumpulan besar penduduk pribumi di Sarawak iaitu kumpulan tanah tinggi, kumpulan
tanah rendah dan kumpulan pesisiran pantai.

(a) Penduduk Tanah Tinggi.


 Orang Murut
 Kelabit
 Penan

(b) Penduduk Tanah Rendah Beralun.


 Orang Iban (Dayak Laut)
 Bidayuh (Dayak Darat)
 Kayan
 Bisaya
 Kenyah
 Punan
 Berawan

(c) Penduduk Pesisiran Pantai


 Orang Melayu
PENGAJIAN MALAYSIA 2 MPU 2162 MUKA SURAT : 8 DARI 8

 Melanau
 Kedayan

SABAH:
Penduduk Sabah adalah terdiri dari berbagai-bagai kaum dengan latar belakang dan
kebudayaan masing-masing. Penduduk aslinya atau lebih dikenali sebagai bumiputera, terdiri
daripada sekurang-kurangnya 33 kumpulan dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak
kurang dari 90 dialek. Etnik majoritinya ialah etnik Kadazan-Dusun.

(a) Kadazan
 Kaum yang terbesar bilangannya
 Juga dikenali sebagai orang Dusun
 Berasal dari Kalimantan dan kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman
 Tertumpu di lembah Ranau dan lembah Tambunan

(b) Bajau
 Kaum yang berasal dari Pulau Mindanao dan Sulu
 Dikenali sebagai orang laut dan orang Sama
 Tertumpu di kawasan Semporna, Kota Belud dan Pulau Timbang di teluk Sandakan

(c) Murut
 Kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman seperti di Tenom, Rundu dan
Pensiangan
 Terdapat juga di kalangan mereka yang masih tinggal di rumah panjang dan
sering hidup berpindah

(d) Sulu
 Berasal dari Kepulauan Sulu dan sekarang tertumpu di Sungai Sugut
 Beragama Islam

(e) Brunei
 Berasal dari Brunei dan sekarang tertumpu di Beaufort, Kimanis dan Papar
 Beragama Islam

4.1.3 PERANAN ETNIK DALAM USAHA MEMPROMOSIKAN PELANCONGAN NEGARA

 Mempromosi makanan tradisi masing-masing


 Memperaga pakaian mengikut etnik
 Mempamerkan adat masing-masing
 Memperkenalkan perayaan masing-masing
 Menjaga imej negara
 Bersatu padu
 Mengamalkan nilai-nilai murni

RUJUKAN :

1. Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin. 2014. PENGAJIAN MALAYSIA, Edisi kelima.
Kuala Lumpur. Oxford Fajar.
2. Normurni Mohamad, Razana Fatin Abdullah @ Razali, Mohamad Faizal Ahmad. 2016.
PENGAJIAN MALAYSIA. Kuala Lumpur. Oxford Fajar.

You might also like