You are on page 1of 3

BINCANGKAN PERANAN PERISIKAN TENTERA JEPUN SEMASA PERANG DUNIA

KEDUA YANG MEMBAWA KEPADA KEJAYAAN MEREKA DI MALAYA

Pendahuluan

Kejayaan Jepun dalam kempen di Tanah Melayu dan seterusnya menakluk Singapura
dari tangan British pada 15 Februari 1942 merupakan satu tamparan hebat kepada kuasa
barat yang selama ini memandang rendah keupayaan kuasa Asia terutamanya Jepun.
Kempen yang memakan masa hanya selama 70 hari dari hari pertama tentera Jepun
menjejakkan kaki di Kota Bharu pada 7 Disember 1941 sehinggalah jatuhnya Singapura
amat menakjubkan di mana sebelum itu, British menjangkakan masa yang diperlukan
oleh Jepun untuk menawan Singapura adalah selama enam bulan jika menyerang dari
arah utara, iaitu melalui Semenanjung Tanah Melayu. Antara faktor yang amat penting
bagi kejayaan Jepun dalam kempen di Tanah Melayu adalah faktor peranan Perisikan
Tentera Jepun yang telah menyalurkan maklumat terperinci sebelum serangan
dilaksanakan oleh ketumbukan Tentera Darat ke 25 di bawah pimpinan Lt Jeneral
Tomoyuki Yamashita. Esei ini akan membincangkan peranan Perisikan Tentera Jepun
yang menyumbang kepada kejayaan kempen tentera Jepun di Tanah Melayu semasa
Perang Dunia Kedua.

Pasukan Perisikan Tentera Jepun

Pertukaran kerajaan Jepun kepada kepimpinan Jeneral Tojo telah mengubah dasar Jepun
daripada meneruskan kempen menentang Rusia kepada perluasan kuasa ke selatan. Bagi
merealisasikan tujuan tersebut, dua pasukan perisikan telah ditubuhkan bagi mendapatkan
maklumat untuk merangka strategi kempen ke selatan. Pasukan pertama dikenali sebagai
Fujiwara Kikan yang diketuai oleh Mejar Fujiwara Iwaishi, sementara pasukan kedua
dikenali sebagai Unit nombor 82 Tentera Taiwan atau lebih dikenali dengan gelaran unit
Doronawa yang dikendalikan oleh Kolonel Masanobu Tsuji. Selain daripada itu,
menjelang tahun 1940 dianggarkan sejumlah 6,000 orang warga Jepun telah menetap di
Tanah Melayu. Kalangan mereka ini terdapat agen perisik Jepun yang menyamar sebagai
tukang gunting rambut, jurugambar, nelayan, peniaga peralatan dapur, pekedai basikal,

1
doktor gigi, nelayan dan pelacur. Penempatan mereka ini adalah di serata bandar di
Tanah Melayu seperti di Kota Bharu, Kuala Besut, Machang, Muar, Kuala Pilah dan
Bahau. Mereka sangat bijak menutup identiti sebenar mereka dan membuat hubungan
yang baik dengan orang tempatan seperti menjual barang dengan harga murah serta
menarik minat orang tempatan terhadap produk dan bangsa Jepun. Malah mereka boleh
berinteraksi dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil dengan baik seperti Gotoh, Ohira dan
Matsunaga di Kuala Pilah, Ozaki di Bahau dan ‘Tok Keropok’ di Kota Bharu. Mereka ini
mengumpul maklumat berupa gambar-gambar dan peta jalan perhubungan di Tanah
Melayu. Selain dari itu juga terdapat ramai agen Jepun yang menyamar sebagai
pelancong di Tanah Melayu dan Singapura sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua di
rantau Asia Pasifik.

            Sementara itu unit Fujiwara Kikan yang ditubuhkan pada tahun 1940 di Bangkok,
Thailand telah melakukan penyusupan ke Tanah Melayu dan mendapatkan maklumat
berhubung keadaan pertahanan British dan lain-lain maklumat serta menubuhkan
rangkaian dan kerjasama dengan pertubuhan dan penduduk Tanah Melayu terutamanya
dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Fujiwara Kikan juga turut membiayai KMM
untuk membeli akhbar Warta Malaya dengan sumbangan sebanyak $40,000 ringgit
kepada Ibrahim Yaakub. Jepun menggunakan KMM melalui akhbar Warta Malaya untuk
menyebarkan propaganda dan semangat anti British serta menyemai fahaman ‘Asia untuk
Asia’. Unit ini juga bekerjasama dengan penduduk Acheh bagi mendapatkan maklumat
kedudukan Belanda di kepulauan Indonesia di samping itu juga mereka turut bekerjasama
dengan kumpulan berhaluan kiri di India.

            Sementara itu, pasukan Doronawa yang berpusat di Taiwan telah diberikan
tempoh selama enam bulan untuk mendapatkan maklumat berkaitan peperangan di
kawasan tropika. Skop penyelidikan adalah merangkumi seluruh rantau perang Pasifik,
Tanah Melayu, Filipina, Indonesia dan Burma. Maklumat penting diperolehi dari kapten
kapal dagang, pegawai perlombongan, peniaga, pegawai bank dan rakyat Jepun di Tanah
Melayu. Mereka juga memperoleh maklumat berkaitan pelayaran ke selatan melalui carta
rahsia Indonesia termasuklah foto udara kedudukan Tanah Melayu dan Singapura.
Maklumat penting mengenai penjagaan kebersihan dan operasi di hutan tropika
termasuklah berkaitan pencegahan malaria amat berguna bagi tentera Jepun. Mereka juga

2
menerbitkan risalah bertajuk “baca sendirian – dan perang boleh dimenangi” sebanyak
40,000 naskhah untuk kegunaan tentera Jepun sebagai panduan dalam kempen di
kawasan tropika yang berhutan tebal dan panas serta lembap. Sebelum ini pasukan
tentera darat ke 25 berperang di Russia yang beriklim sejuk dan arahan untuk mereka
berperang di kawasan tropika memerlukan persediaan, latihan dan peralatan yang sesuai
dengan operasi di kawasan tropika. Oleh yang demikian semua maklumat dari unit
Doronawa amat penting dan berguna kepada mereka. Sementara itu Mejar Asaeda, salah
serang pegawai unit Doronawa telah menyusup ke Tanah Melayu melalui Thailand dan
melaporkan keadaan muka bumi, keadaan pantai, maklumat geografi ketenteraan dan
kedudukan pertahanan British yang amat berguna bagi persiapan latihan tentera Jepun.
Maklumat dari pasukan ini seterusnya digunakan bagi melaksanakan latihan pendaratan
dan serangan di Pulau Hainan.

            Kolonel Tsuji juga telah membuat tinjauan udara dari pangkalan udara Jepun di
Saigon ke Tanah Melayu sebanyak dua kali dengan menggunakan pesawat peninjau
“Type 100” yang lebih laju dan berkuasa dari pesawat British. Tinjauan tersebut adalah
bagi mendapatkan maklumat berhubung keadaan rupa bumi dan pantai termasuklah
kedudukan lapangan terbang Singgora, Kota Bharu, Alor Setar dan Taiping. Beliau juga
turut meninjau kedudukan jambatan Sungai Perak yang amat penting bagi pihak Jepun
menawannya sebelum jambatan itu dimusnahkan British yang akan melambatkan
kemaraan mereka ke Singapura.

Kesimpulan

            Hasil dari maklumat agen perisikan Jepun, pasukan Fujiwara Kikan dan  unit
Danowara, pihak tentera Jepun mengambil keputusan untuk melancarkan serangan secara
serentak pada 7 Disember 1941 ke atas Tanah Melayu dan Pearl Harbour. Serangan di
Tanah Melayu dilaksanakan serentak ke atas Singgora dan Patani serta Kota Bharu
melalui jalan laut dan dibantu oleh perlindungan dari pasukan tentera udara. Pengetahuan
mengenai peperangan di kawasan tropika dan maklumat terhadap rupa bumi dan
kedudukan pertahanan British serta bantuan penduduk tempatan yang anti British telah
membolehkan tentera Jepun mara dengan pantas ke Singapura

You might also like