You are on page 1of 15

LAMPIRAN: Transkrip Temu Bual

17 DISEMBER,2022 (SABTU) JAM 10 PAGI


TRANSKRIP TEMU BUAL BERSAMA GURU DI SMJK KATHOLIK TANJONG
MALIM

(0:13)
Azimah: Assalamualaikum dan selamat pagi cikgu. Saya Azimah dan ini merupakan
ahli kumpulan saya Yasmin, Putri, Rizal, Annabale, Ainaa, Saidatul dan
Norisha. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada cikgu kerana sudi meluangkan masa untuk temu bual bersama kami
bagi kajian kes mengenai isu ketagihan penggunaan gajet oleh murid-murid
dan kesannya terhadap prestasi akademik dan kesihatan murid disekolah.
Sebelum itu, saya akan bertanyakan soalan umum dahulu kepada cikgu
sebelum kita ke soalan seterusnya. Baiklah soalan pertama adalah berapa
lamakah cikgu berkhidmat sebagai guru di sekolah?
(1:01)
Responden: Assalamualaikun dan selamat sejahtera.Bismillahirrahmanirrahin. pertam
kalinya terima kasih kerana sudi menemu bual saya. Jadi sebagai seorang
guru, saya akan cuba sedaya upaya menjawab soalan-soalan yang
diutarakan dan harap dapat memenuhi apa keperluan yang dikehendaki.
Jadi, saya telah berkhidmat sebagai seorang guru lebih kurang semenjak
tahun 1992, kalau ikutkan bulan 12 ini sudah cukup 30 tahunlah.
(1:41)
Azimah: Okay soalan seterusnya, berapakah bilangan sekolah yang cikgu telah
berkhidmat sehingga sekarang?
(1:48)
Responden: Setakat ni empat buahlah. Sebenarnya saya dahulu cikgu sekolah rendah.
Maktab perguruan dan menyambungkan pelajaran peringkat ijazah di UPSI
tahun 1999 sampai 2002 ketika itu untuk tiga tahun ijazah Pendidikan.
(2:11)
Azimah: Apakah bidang pengkhususan cikgu di sekolah sekarang?

(2:15)
Responden: Ijazah tu pengkhususan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang
Matematik. Jadi di sekolah ni kita kadang-kadang, sekolah tak boleh
sediakan atau tak cukup. Terutamanya sekolah kurang murid. Seperti
sekolah cikgu, walaupun kita option Matematik tetapi kalau sekolah itu
memerlukan ataupun terdapat kekurangan guru Bahasa Melayu sebagai
contoh jadi kita diminta mengajar, sebenarnya tak boleh tolaklah. Sebab itu
waktu di universiti pelajar wajib ambil Bahasa Melayu dan lagi Bahasa
Inggris, jadi subjek-subjek ini kalau diminta mengajar walaupun kita bukan
option kita tak boleh tolak. Jadi cikgu selain Matematik, cikgu juga diminta
mengajar Bahasa Melayu untuk murid peralihan tingkatan 1 dan pernah
terpaksa mengganti cikgu yang pencen sampai SPM. Jadi tiba-tiba cikgu
diminta mengajar subjek Bahasa Melayu untuk calon SPM ketika itu. Satu
cabaran jugalah nak buat macam mana kita sebagai pendidik, guru yang
kita sudah janji kita sanggup terima apa juga mengikut keperluan sekolah
jadi cikgu ajarlah murid-murid tingkatan 5 untuk Bahasa Melayu dan masa
yang sama juga Matematik tingkatan 5. SPM ketika itu tahun yang sama
cikgu mengajar Matematik dan Bahasa Melayu. Moral, PJ, Geografi juga
pernah, sains juga beberapa tahun sebenarnya.

(4:23)
Azimah: Mengapa cikgu memilih bidang Matematik?

(4:27)
Responden: Sebenarnya cikgu suka Matematik. Cikgu suka subjek Matematik. Sebelum
ini waktu di maktab perguruan sebelum ini, cikgu mengajar di sekolah
rendah ataupun sebelum cikgu menyambung pelajar ke peringkat ijazah ni,
pengkhususan cikgu ketika itu adalah Pengajian Melayu. Jadi Pengajian
Melayu ini bukan Bahasa Melayu, dia semua subjek yang menggunakan
Bahasa Melayu. PJ, Muzik. Ketika mengajar di sekolah rendah dulu, sains,
sejarah tiada benda seperti itu. Subjek yang diajar dalam bahasa Melayu.
Jadi cikgu rasa Matematik ini lebih sesuai dengan jiwa cikgu, cikgu rasa
seronok dan berbanding dengan Bahasa Melayu ini, dia banyak sikit dari
segi bahasa. Kita kena mahir bahasa ini, silap kita ajar pelajar terutamanya
dari segi penguasaan tatabahasa itu hampirkan. Cikgu rasa Matematik,
lagipun Matematik merupakan antara subjek penting. Kalau kita nak
mohon kerja ke apa kan mesti matematik diambil kira jugalah kan? Sebagai
salah satu subjek yang perlu pelajar dapatkan kepujian. Jadi itulah antara
kenapa cikgu memilih bidang ataupun subjek Matematik.

(6:02)
Azimah: Seterusnya apakah jawatan yang disandang oleh cikgu di sekolah sekarang?

(6:05)
Responden: Sekarang ini cikgu menyandang jawatan sebagai ketua panitia Matematik.
Selain daripada itu, seorang guru kelas, penyelaras tingkatan, ketua
penasihat pasukan Badminton sekolah dan guru rumah sukan, guru unit ko-
kurikulum, Pengakap satu lagi kelab Pengguna.
(6:44)
Azimah: Soalan terakhir, berapakah jumlah pelajar di sekolah cikgu?

(6:48)
Responden: Di sekolah cikgu tu sekolah kurang murid tak sampai 500 dalam 490 lebih
kurang.
(7:01)
Azimah: Kita akan pergi ke soalan seterusnya dan kita akan teruskan dengan Ainaa.
(7:06)
Ainaa: Untuk soalan seterusnya, disebabkan cikgu sudah berpengalaman lama
mengajar dan kini lebih cenderung untuk menyaksikan peralihan zaman
teknologi terkini, boleh cikgu kongsikan serba sedikit berkenaan dengan
kemajuan teknologi kini berserta contoh gajet atau teknologi yang sering
kita lihat remaja atau pelajar gunakan pada zaman sekarang.

(7:32)
Responden: Jadi cikgu mula mengajar pada tahun 1992 memang tak pernah terpikir lah
ada telefon bimbit telefon tangan. Dulu walkie-talkie itu adalah biasalahkan
terutamanya dalam bidang keselamatan ataupun kalau kita nak bercakap
dari jarak jauh, kita panggil teknologi itu memang ada walkie-talkie tu tapi
bila kemunculan teknologi kita panggil telefon bimbit ini semakin
berkembang. Tak silap cikgu dalam tahun 2000 dah mula sebenarnya lebih
awal lagi. Tapi tahun 2000 itu dia berkembang begitu pesat. Jadi walaupun
beberapa gajet yang ada, pada pandangan cikgu yang paling mudah dan
yang digunakan dalam kalangan murid-murid ini handphone, telefon
bimbit selain iPad, macam tablet dan komputer riba kan biasanya ibu
bapalah kan sediakan dari segi harganya.Tapi itulah sebab kebanyakkan
ibu bapa yang berkemampuan jadi mampu belikan gajet-gajet inilah
terutamanya telefon bimbit ni oleh dikatakan setiap murid itu ada
sebenarnya telefon pintar. Telefon 33 sekupang tu Nokia 3310 tu mereka
tidak mahu. Berbanding dengan kami yang dulu dapat yang itu pun dah
rasa hebat dah masa tahun-tahun 2000.Cikgu pun belum pakai dalam tahun
tu rasanya. Ada ketika tu jenama Nokia yang berapa kali jatuh lepastu
cantum-cantum dan ikat guna getah boleh.Cikgu ingat lagi masa tu tahun
2000 adik cikgu ikut suami pergi German.Cikgu guna telefon mesti
dapat.Telefon pintar dah ada masa tu.Telefon canggih ni tak dapat. Dari
segi ketenteraan, sebenarnya telefon 33 sekupang orang susah nak kesan
sebab dia tak ada, tak pintar kan.Tapi sebenarnya paling okay dari segi
privasi satu,ketahanan dari segi bagaimana maklumat itu diterima dan
dihantar, jadi itulah apa yang cikgu boleh kongsi tentang kemajuan
teknologi terkini berkaitan gajet tadi.

(11:00)
Ainaa: Berdasarkan pemerhatian terhadap murid di sekolah cikgu, apakah aplikasi
atau media sosial yang sering mereka gunakan yang menyebabkan berlaku
masalah ketagihan kemudahan gajet ini terhadap murid tersebut?

(11:16)
Responden: Sebenarnya ada beberapa aplikasi yang digunakan seperti Instagram,Tiktok
Youtube dan adalah lagi beberapa cikgu tak biasa. Jadi aplikasi-aplikasi
ini, pada pandangan cikgu mulanya cikgu tak faham kenapa mereka ini
macam mahu dapatkan content itu, sanggup untuk sampai ke tahap yang
boleh membahayakan diri dan keselamatan. Rupa-rupanya, content-
content ini mereka yang ada, kita panggil sebagai pemilik Youtube, mereka
jadikan itu sebagai sumber pendapatan. Memang pendapatan itu bukannya
sedikit,tak silap ada sampai mencecah jutaan ringgit satu bulan. Jadi
mungkin ini jadi satu sumber inspirasi. Kononnyalah. “Aku pun nak jadi
begitu,sekarang ini aku nak belajar ke,nak terlibat sama nak buat juga”.
Ada juga Youtube macam tu kan?Jadi mereka cuba alihkan pandangan
mereka yang sepatutnya tanggungjawab mereka ini adalah untuk
akademik. Untuk berjaya ataupun menguasai kemahiran yang diajar di
sekolah ke, yang sepatutnya mereka lulus dengan cemerlang kan.

(12:45) Jadi mereka sudah ada kita panggil gangguan. Bagi cikgu gangguan lah
sebab murid-murid akan menyalahgunakan dari segi masa,dari segi ruang
ataupun masa lapang mereka termasuklah sehinggakan tanggungjawab
mereka sebagai seorang pelajar ataupun sebagai seorang murid mereka
tidak boleh laksanakan sepenuhnya. Kalau diberi contoh, ibu bapa
memberikan satu masa, satu jam boleh tengok ataupun kadang-kadang
remaja ni kita pun kena bagi satu peluang kan.Kita tidak boleh kongkong
sangat remaja ini.Bagi zaman kami dulu lain, dia tidak sama sebabkan oleh
gajet-gajet ini teknologi yang ada pada masa kini kan. Jadi kalau kita bagi,
“Okay boleh tengok handphone satu jam”, jarang la satu jam mereka akan
buat. Mesti akan lebih sebabnya konten itu memang dibuat sebegitu rupa
supaya penonton akan leka, dia akan tengok secara berterusan sebab tadi
pendapatan kan bergantung dengan view, viewer.
(14:23) Untuk memastikan penonton itu sentiasa lekat ataupun leka dan sentiasa
berada bersama dalam konten Youtube tersebut memang sangat menarik
perhatian. Kadang-kadang macam kami yang tua berumur ini pun itulah.
Kalau kita tidak perasan kan dengan masa in. “Eh dah sejam,rasa macam
sekejap” kan? Apalagi budak-budak muda ini yang dari segi kurang
kematangan belum lagi boleh sampai ke tahap sepatutnya.Jadi memang ini
akan menyebabkan mereka tidur lambat,terlepas masa untuk menyiapkan
kerja-kerja sekolah dan memang menjadi gangguan dan seterusnya
menganggu prestasi akademik merekalah.
(15:15)
Ainaa: Menurut cikgu berapakah anggaran murid atau peratusan murid daripada
sekolah cikgu ini yang mengalami isu ketagihan penggunaan gajet ini? Dan
selalunya berlaku dalam kalangan murid di tingkatan berapa?

(15:30)
Responden: Macam cikgu mengajar tingkatan 1,3 dan 4. Tingkatan 1 ini mungkin
peluang untuk mendapatkan gajet sendiri itu agak rendah.13 tahun atas
alasan terlalu muda ataupun mereka masih dari segi kepatuhan ataupun
rasa takut pada ibu bapa itu masih kuat. Jadi tingkatan 3, mereka rasa
mereka ini sudah dewasa sudah semakin berumur orang kata boleh buat
dan kebetulan pula tingkatan 3 ini tidak ada peperiksaan peringkat
kebangsaan jadi memang kalau ikut dari segi peratusan itu berdasarkan
kelas. Kalau kelas yang baik itu mungkin dalam 30% yang mengalami
masalah yang kita panggil ketagihan. Maknanya dalam beberapa minit
sahaja bukan kira jam yang tidak pegang handphone pun tidak boleh.
Mesti ada handphone di tangan dan apa yang mereka tonton itu kalau
berkaitan dengan pelajaran tidak apa, tetapi ini tidak ada kaitan. Biasanya
perkara yang ditonton itu lebih kepada hiburan atau permainan.Untuk
kelas-kelas hujung itu lagi tinggilah peratusannya. Yang itu hampir 100%
yang kita katakan terganggu yang menjadi satu gangguan untuk mencapai
kejayaan yang baik dalam pelajaran.

(17:19)
Ainaa: Terima kasih cikgu atas jawapan yang diberikan. Kita boleh bergerak
kepada researcher seterusnya.

(17:30)
Annabale: Okay, soalan yang seterusnya berkaitan dengan faktor isu berlaku. Adakah
orang sekeliling adalah menjadi salah satu faktor utama ketagihan ini
berlaku? Dari pihak sekolah atau pihak guru atau pihak ibu bapa dan lain-
lain. Boleh jelaskan?

(17:54)
Responden: Jadi pengaruh yang menyebabkan gangguan ataupun ketagihan ini. Dari
segi pihak ibu bapa rasanya mungkin pendedahan yang terlalu awal
kepada anak-anak mereka sebab cikgu pernah lihat ibu bapa ini, anak itu
kecil lagi tidak sampai sebulan lagi kan, jadi untuk dalam keadaan
memujuk anak jangan menangis, jadi dipasangnya Youtube. Pada
awalnya betul lah itu, dipasang Youtube itu mungkin yang sesuai dengan
anaknya.Makna budak itu tonton kartun yang menarik atau warna-warna
yang menarik yang budak itu akan diam melihat.Tapi sebenarnya ibu
bapa ini tidak perasan yang mereka sedang mengajar sesuatu yang tidak
sepatutnya. Jadi apabila budak tersebut sudah boleh pegang ataupun
boleh akses sendiri, budak tersebut tidak akan tonton itu sahaja. Lagipun
Youtube ini, kecuali ibu bapa mengatur aturan Youtube itu untuk
paparan lain tidak keluar dengan sendirinya.Tapi kebanyakkan ibu bapa
akan terlupa untuk mereka sendiri ingin menonton dan tidak ingin terhad
dengan apa yang ditonton, ingin dicari ingin dilihat kan. Jadi dengan
keadaan dia yang terlupa itu, anak-anak akan menonton. Tidak perasan
rupanya anaknya menonton konten yang tidak sepatutnya. Jadi bila anak
itu mula sudah sampai ke tahap tidak boleh dilarang, inilah yang menjadi
punca anak itu akan bawa ketagihan ini serta sikap ini sampai ke usia
yang seterusnyalah. Jadi memang dari segi pihak ibu bapa kena sedar
tolonglah anak-anak muda ini jangan disogokkan dengan gajet atas apa
alasan sekalipun. Boleh alihkan pandangan mereka dengan contoh
membeli lego, permainan yang mereka boleh sentuh yang baik untuk
psikomotor jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. Biarkan
mereka memegang dan merasa dan melihat serta berfikir. Ikut peringkat
umurlah. Kemudian apabila mereka sudah pandai menulis, kita
sogokkan atau kita bagi kata silangkata,sudoku dan apa sahaja
permainan minda ini ataupun congkak. Sebenarnya kita boleh cari
permainan yang kami dahulu mainkan terutama yang kita boleh lakukan
di luar. Seronok sebenarnya. Jadi bila mereka sudah seronok dengan
permainan-permainan ataupun aktiviti tersebut, perhatian mereka
kepada gajet yang ditonton itu Inshaallah akan boleh alihkan. Dari segi
ibu bapa ke pihak sekolah,mesti menetapkan tidak boleh ataupun
larangan kepada murid-murid membawa handphone ataupun gajet, Ipad
atau tablet ke sekolah dikuatkuasakan dengan tegasnya. Kalau boleh
tidak usah bertolak ansur tidak ada kompromi pun. Kalau atas alasan
hendak menghubungi ibu bapa sediakan telefon awam yang boleh
masukkan duit.Tapi memang tidak boleh bawa handphone, banyak
sangat keburukkannya. Seperti kami cikgu ini tahulah. Kemudian dari
segi rakan sebaya ini, ibu bapa pun boleh memainkan peranan, pastikan
rakan-rakan itu bukanlah yang jenis suka ataupun ketagih dengan gajet
ini. Yang sama-sama main bola,bola jaring tidak kisah berbasikal. Yang
sihat. Yang boleh bagi satu yang positif kepada anak-anak. Itu memang
tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan pengaruh rakan sebaya itu
boleh mendorong anak-anak mereka ke arah sesuatu yang positif.

(22:46)
Yasmin: Saya ingin bertanya pendapat cikgu, adakah diri pelajar itu sendiri
menjadi faktor kepada isu ketagihan penggunaan gajet ini?

(22:50)
Responden: Diri sendiri adalah salah satu faktor. Sebenarnya kalau seorang murid itu
minat lebih kepada bersukan main bola. Minat bermain badminton dan
sebagainya, dan bila fokus mereka kepada aktivit-aktiviti tersebut, masa
untuk ralit ke gajet ini sangat berkurangan. Sebab biasanya selain mereka
belajar kemudian pergi sekolah berlatih sukan mereka akan letih. Jadi
biasanya mereka akan tidur awal. Tidak ada masalah tidur lambat dan
bangun awal dan seterusnya. Boleh lah mereka sebagaimananya seorang
murid menjalani kehidupan untuk mencapai kejayaan yang lebih baik
dalam pelajaran. Sebagai contoh atlet di Perak, Azim pelari yang
cemerlang dalam pelajaran. Jadi sebenarnya kita seorang guru ini apa
kejayaan mendidik anak-anak ini bukanlah bergantung pada kehebatan
mereka dalam pelajaran semata-mata atau akademik semata-mata sebab
kita faham, setiap individu murid-murid itu dari segi kemampuan mereka
untuk mecapai ataupun lulus dalam bidang akademik ini tidak sama.
Sampai tahap seperti kami ini, murid tidak lulus atau tidak mendapat
keputusan yang baik tetapi mereka pandai menghormati orang. Suka
membantu juga menjadi satu kejayaan bagi seorang guru. Begitu juga,
kebanyakkanya sekolah cikgu mempunyai murid yang berlatar-
belakangkan yang bukan ahli akademik ataupun orang yang bekerja
sederhana. Biasanya mereka habis sekolah ingin menjadi machenic.
Sebab itu kadang-kadang cikgu pergi ke suatu tempat, ada yang sudah
berpuluh belas tahun sudah dipanggilnya cikgu. Cikgu ketika itu
memakai kereta Saga dan mantan murid itu memakai Toyota dan
mempunyai bengkel.”Cikgu, cikgu tak kenal saya?”Dia ingat balik
cikgu.Cikgu menjadi bangga. Jadi bergantung diri sendiri faktor murid
itu memang merupakan antara faktor yang sangat penting untuk
membatasi diri mereka dari terlibat dalam ketagihan gajet ini.

(26:09)
Yasmin: Apakah pendapat cikgu, bolehkah cikgu jelaskan lebih lanjut tentang
pengaruh rakan sebaya dalam faktor ketagihan gajet kerana ikutkan
murid kini meluang banyak masa di sekolah jadi mereka mungkin terikut-
ikut dengan trend masa kini. Trend yang dilakukan oleh rakan-rakan di
sekolah. Jadi apakah pendapat cikgu tentang faktor pengaruh rakan
sebaya?

(26:33)
Responden: Memang faktor ini tidak boleh dinafikan. Sebab murid-murid ini bila
sudah mencapai umur sekolah menengah, dia akan lebih percaya kawan-
kawannya. Bagi mereka kawan-kawan mereka itulah yang the best.
Kadang-kadang ibu bapa pun sudah tidak hairan. Jadi apa yang kita
semua cuba usahakan, maksudnya bila rakan sebaya ini merupakan
individu murid-murid itu selain daripada pendidikan yang diberi,
contohnya kita yang Islam ini Pendidikan Islam, yang bukan Islam
Pendidikan Moral. Dari situ kita cuba terapkan, kalau hendak buat
sesuatu, yang pertama adakah perkara tersebut memberikan kesan yang
positif? Kalau memberikan kesan yang positif, okay kita boleh teruskan.
Jika yang negatif tinggalkan. Jadi jika setiap individu itu ada ketetapan
pemikiran sedemikian, jadi masalah rakan sebaya ini boleh diatasilah.
Sebab masing-masing sentiasa faham apakah tanggungjawab, apakah
perkara yang patut mereka ambil, apakah perkara yang mereka patut
tinggalkan dan dari situ masalah rakan sebaya itu bolehlah diatasi.

(28:07)
Annabale: Soalan terakhir untuk faktor, jika ketagihan ini gajet ini dilakukan
bertujuan untuk mendapatkan hiburan atau mengisi masa lapang,adakah
itu salah satu faktor kepada isu ketagihan ini juga?

(28:27)
Responden: Jikalau setakat untuk mengisi masa lapang ataupun mungkin kalau dalam
Bahasa inggris release tension tiada masalah. Memang banyak sangat
maklumat-maklumat penting ataupun perkara-perkara yang dapat kita
faham dengan lebih mendalam melalui media sosial ini cuma bagaimana
murid-murid itu memilih sesuatu yang perlu dibuat, sesuatu yang perlu
ditinggalkan, itu sebenarnya cabaran mereka. Sekiranya murid tersebut
mempunyai hala tuju mereka “saya boleh tengok hiburan-hiburan seperti
Instagram, Tik Tok saya perlu tetapkan masa saya menggunakannya satu
jam sahaja,selepas itu saya perlu berhenti,seronok bagaimanapun saya
perlu berhenti,saya akan teruskan menyambung sesi mengulangkaji
pembelajaran saya’’. Kalau murid boleh berbuat sedemikian masalah
ketagihan ini tidak ada sebenarnya.

(29:34) Sebab ketagihan ini maksudnya dia mahu juga, dan dalam satu tempoh
masa yang sangat lama sehingga perkara-perkara yang sepatutnya murid
selesaikan,tanggungjawab tanggungjawab yang patut dilaksanakan
murid itu tidak buat dan itu masalahnya tetapi,kalau dari segi pelajaran
ataupun kerja rumah cikgu berikan yang perlu murid buat,mereka
selesaikan,siapkan dan ulangkajinya cukup dalam tempoh yang
ditetapkan dan mereka gunakannya pada masa lapang,oleh itu
gunakanlah kerana tiada masalah. Itulah cabaran kita, kita mahu
pastikan murid tahu hala tuju mereka. Merka tahu perkara yang perlu
mereka lakukan, dan perkara yang perlu mereka tinggalkan.

(30:18)
Azimah: Baiklah kita akan teruskan dengan soalan seterusnya iaitu kesan atau
impak bagi isu ini.

(30:24)
Putri: Soalan pertama saya,adakah isu ini memberi kesan kepada tahap prestasi
akademik murid, jika iya apa dan bagaimana?

(30:33)
Responden: Pastilah. Sebagaimana yang kita bincangkan sebentar tadi, apabila
murid-murid ini menggunakan gajet itu dalam tempoh yang terlalu
lama,manusia dalam satu hari ada 24 jam sahaja tidak kurang dan tidak
lebih,jadi apabila mereka menggunakan gajet itu terlalu lama dan
content yang murid itu tidak sepatutnya lihat, maka pastilah yang
pertama murid itu akan mengalami kekurangan waktu rehat, murid
tersebut tidak cukup tidur. Apabila mereka tidak cukup tidur, kita
sebagai manusia jika tidak makan masih lagi dalam keadaan baik, tapi
jika tidak cukup tidur kita berjalan pun tidak tentu arah dan tidak betul.
Jadi cikgu pernah tanya murid yang mengantuk kadang-kadang sering
mengantuk,kalau sehari tidak mengapa tetapi kerap setiap kali kelas
murid itu mengantuk jadi cikgu bertanya kepada murid tersebut “Tidur
malam tadi pukul berapa?” murid tersebut tidak sempat untuk
membalas,kawannya terus memberitahu “Cikgu semalam dia tidur
pukul 2 pagi.” “Aik,tidur pukul 2 pagi buat apa?” terus kawannya
memberitahu “ Di ni suka main phone cikgu, suka main game.” Jadi
kawan-kawan ni kalau tidak betul takkanlah dia mahu beritahu.

(31:58) Jadi cikgu nasihatkan pada murid tersebut,”Begini,awak ni baru


tingkatan 1, 13 tahun kecil lagi, sel-sel dalam badan awak tu muda
lagi,tahu tak gajet ini,handphone ni sebenarnya menghasilkan
radioaktif tahu tak radioaktif?” budak kecil ni kalau kita cakap dan
takutkan mereka,mereka akan takut sedikit. “Radioaktif ni kan kalau
awak lama-lama tengok nanti habis sel-sel dalam badan ni akan sakit,
belum sampai umur berapa lagi dah sakit, tengokkan ada yang kene
kanserlah ada yang kene macam-macam lah penyakit yang awak
tengok dalam media sosial tu kan. Jadi murid-murid umur 13 tahun ini,
perlu tidur sekurang-kurangnya 8 jam. Jadi cuba begini, malam ni tidur
pukul 9 malam, esok bangun pukul 6 lihat macam mana mengantuk
ataupun tidak”. Tetapi memang betul,keesokkannya murid itu tidak
mengantuk. Saya tanya, “Malam tadi awak tidur pukul berapa?” “Pukul
9 malam.” Jadi jelaslah penggunaan gajet sehingga tahap ketagihan ini
yang pertama sekali akan menggangu kesihatan mereka dari segi
kekurangan waktu rehat,kekurangan waktu tidur.

(33:19) Apabila kekurangan waktu rehat dan waktu tidur, esoknya murid pergi
sekolah dalam keadaan yang tidak sihat dan pasti mereka tidak boleh
fokus,memberi tumpuan terhadap pelajaran ataupun kemahiran yang
perlu mereka terapkan pada hari itu. Jadi sekiranya perkara ini
berlarutan,pastilah murid tersebut tidak mampu lulus dengan baik
dalam ujian ataupun peperiksaan dan seterusnya menggangu dan
menjejaskan pretasi akademik mereka.

(33:59)
Rizal: Soalan seterusnya, apakah kesan ketagihan penggunaan gajet terhadap
murid selain terhadap prestasi akademiknya dan tahap kesihatan pelajar
tersebut?

(34:11)
Responden: Selain daripada akademik, sebenarnya kalau kita perhatikan murid
yang terlalu lama ataupun sampai ke tahap ketagih ini, dari segi
pergaulan mereka pun tidak mesra ataupun kita boleh lihat mereka
sebagai seorang yang introvert seperti dia susah untuk bergaul dengan
orang yang lain kerana dunia mereka itu tidak realistik, mereka tidak
biasa untuk bergaul dengan dengan orang lain seperti bersemuka dan
itu dari segi sosial dari segi kita panggil sebagai pergaulan
sememangnya ada kesan. Yang keduanya, dari segi kesihatan tadi iaitu
pelbagai penyakit dan sebagainya. Apa yang kita paling takut sekali,
mereka yang berusia 13 dan 14 tahun ini, mereka kekurangan air.
Main sehingga tidak minum,tidak makan,tidak mandi. Sebab itu
pernah satu ketika dahulu,cikgu terbaca murid meninggal dunia kerana
terlalu lama ataupun ketagih menggunakan perlaatan gajet ini kerana
mungkin murid tersebut main video game dan sebagainya. Oleh
kerana kekurangan air dalam badan,tanpa mereka sedari pastilah
pelbagai jenis penyakit yang mungkin akan mereka hadapi.
(35:55) Juga dari segi percakapan. Mereka mungkin terpengaruh dengan apa
yang mereka baca, lihat dan dengar yang bukan semuanya elok untuk
dipertontonkan sehingga kita sendiri tertanya “Dari mana dapat
perkataan ini? Ibu tak pernah cakap pun?”. Macam-macam lah
perkataan yang sepatutnya ibu bapa tidak pernah sebut tak pernah
cakap dengan mereka dan mereka boleh keluarkan sendiri. Oleh itu,
berkemungkinan mereka dapat daripada content-content ataupun
aplikasi yang mereka layari itulah melalui internet.

(36:49)
Azimah: Saya nak bertanya sedikit cikgu, untuk kesan ini adakah menurut
cikgu kesan ketagihan gajet ini ianya akan memberikan kesan kepada
pelajar itu dari segi tingkah lakunya? Boleh cikgu terangkan sedikit
tingkah laku murid tersebut mungkin tidak beradab ataupun
bagaimana?

(37:10)
Responden: Seperti yang cikgu beritahu tadi, pengaruh media sosial ini sangat
tinggi terutama dalam kalangan murid sekarang ini. Kita sebagai ibu
bapa ini, kalau mahu melarang anak seperti “Haa sudah jangan main
handphone tu, letak, simpan”. Rasanya susah oleh itu kita perlu
alihkan pandangan mereka itu,alihkan perhatian mereka itu mungkin
kita boleh mengajak mereka bermain aktivti-aktiviti di luar yang
berkaitan dengan permainan ke, ataupun riadah. Jadi apabila mereka
sudah seronok dengan aktiviti itu,rasanya boleh kita mengalihkan
atau mengurangkan masa mereka Bersama gajet tersebut. Lagi
satu,seperti kit aini orang islam atupun mana-mana agama,kitab oleh
mengamalkan kepentingan seperti apa yang ditetapkan oleh agama
kita atau semua agama akan menetapkan perkara-perkara yang baik
sahaja untuk kita amalkan dalam kehidupan kita seharian ini.

(38:35)
Norisha: Untuk soalan seterusnya,seperti cikgu ulaskan sebentar tadi ibu bapa
memainkan peranan untuk mengatasi isu penggunaan ataupun
ketagihan gajet ini kepada anak-anak mereka. Sekarang saya ingin
bertanya bagaimana dengan tugas pihak sekolah atau pihak guru
mungkin pengaruh rakan sebaya atau daripada diri pelajar tersebut
untuk mengatasi masalah-masalah seperti untuk mengelakkan
masalah ketagihan penggunaan gajet ini.

(39:14)
Responden: Pertama sekali,yang paling penting sekali pihak sekolah perlu
menetapkan peraturan iaitu murid-murid tidak boleh membawa
sebarang gajet ke sekolah untuk atas alasan apa sekali pun kerana
kami pernah cuba membenarkan tapi lain jadinya. Banyak masalah
yang susah untuk dibendung dan susah untuk kami menyelesaikan
terutamanya kehilangan telefon bimbit. Telefon bukannya murah.
Mereka tidak mahu membeli dalam harga dua ratus ataupun tiga
ratus. Perlu seribu lebih seperti iPhone yang berapa ribu harganya.
Apbila hilang, murid tersebut meraung satu sekolah dan cikgu pula
kelam kabut perlu mencarinya sedangkan terdapat banyak lagi kerja
yang perlu cikgu uruskan.

(40:09) Jadi yang pertama tadi menetapkan murid-murid dilarang membawa


sebarang gajet ke sekolah. Yang kedua, kita boleh mengadakan
program yang kita boleh jemput penceramah yang mengadakan suatu
pengisian tentang betapa buruknya kesan jika seseorang murid itu
ketagih menggunakan gajet ini. Dari segi rakan sebaya, di sekolah
juga terdapat rakan sebaya jadi mereka boleh menjadi polis cikgu dan
mata-mata cikgu samada dia boleh menjadi spy ataupun menasihati
antara satu sama lain. Itulah apabila murid ini di peringkat
remaja,mereka akan lebih mempercayai kawan-kawan, mereka lebih
selesa,kita tidak boleh nafikan seperti ibu bapa tidak boleh marah
terhadap anak mereka kerana keadaan itu memang semula jadinya
seperti begitu. Kita sokong dan kita pastikan dan cuba betulkan laluan
mereka supaya apa yang mereka buat itu berada di landasan yang
betul.

(41:40)
Saidatul: Seterusnya, bagi pandangan cikgu sendiri, apakah tindakan cikgu
semasa PDPR dijalankan secara online disebabkan pandemik covid-
19, bagaimana cikgu mahu membendung penyalahgunaan gajet ini
oleh murid-murid semasa kelas online dijalankan?

(42:09)
Responden: Biasanya penggunaan Google Meet. Jadi salah satu caranya,murid
perlu membuka kamera mereka, namun apabila mereka membuka
kamera, masing-masing membuat muka seperti itu dan ini dimana
susah juga untuk dikawal kerana cikgu mahu fokus di mana dan
akhirnya guru juga tidak dipandang. Kadang-kadang kita memberi
soalan perangkap “Ok,Abu jawab soalan ini.” Kalau Abu jawab
kiranya baiklah kerana dia masih di situ dan fokus. Seperti itulah yang
kita mampu lakukan.

(42:45)
Norisha: Cikgu saya ada satu lagi soalan, di sekolah cikgu sendiri, adakah
guru-guru melakukan spot check atau tindakan apabila murid
membawa gajet di sekolah ataupun apakah sebarang bentuk hukuman
dan dendaan kepada murid tersebut?
(42:13)
Responden: Spot check itu memang kerap dilakukan dan memang kerap dibuat
oleh pihak sekolah kemudian sekiranya murid tertangkap,untuk kali
pertama pihak sekolah akan memegang gajet yang dibawa murid itu
selama tiga hari. Hanya ibu bapa murid sahaja yang dibenarkan untuk
mengambil gajet tersebut,murid adalah dilarang sama sekali. Selagi
ibu bapa tidak hadir untuk mengambil,kami tidak akan
memberikannya kepada murid. Sekiranya untuk kali kedua murid
tersebut ditangkap membawanya semula, gajet tersebut akan ditahan
selama seminggu dan sekiranya ianya berlarutan untuk kali yang
ketiga, gajet itu tidak boleh diambil oleh mana-mana pihak. Itulah
cara kami untuk membendung bagi semua pihak.

(43:54)
Norisha: Untuk diri pelajar itu sendiri, bagaimana mereka mahu mendidik diri
sendiri supaya tidak membawa gajet itu ke sekolah?

(44:10)
Responden: Maksudnya ibu bapa yang tidak boleh mengawal ke atau bagaimana?

(44:15)
Norisha: Apabila ibu bapa murid sudah mengawal mereka, kawan-kawan
sudah pun menasihati mereka tetapi diri pelajar itu sendiri,
bagaimana cara untuk pelajar itu sendiri mengusahakan untuk tidak
terjebak membawa gajet itu di sekolah?

(44:29)
Responden: Jadi pada pandangan cikgu ini, apabila peraturan sekolah juga tidak
berkesan,cikgu berpendapat bahawa pelajar itu sendiri perlu
menasihati dirinya sendiri, ataupun begini, seperti guru kaunselor
mereka akan menggunakan kaedah atau teknik mereka untuk
memujuk murid tersebut tentang keburukan ketagihan gajet ini.
Sekiranya pelajar ini menggunakannya, gunakanlah mengikut
keperluan dan ianya tidak menjadi satu masalah sekiranya murid
tersebut tidak ketagih menggunakannya. Tiada siapa melarang.

(45:17) Tetapi apabila ianya sampai ke tahap ketagihan,menggangu tahap


prestasi akademik mereka, kalau tidak sampai ke tahap menggangu
prestasi akademik mereka,berkemungkinan murid-murid tu berada
dalam kalangan pelajar yang lemah. Namun apabila ianya tidak
menggangu tingkah laku mereka, mereka tidak melakukan amalan-
amalan yang tidak sepatutnya, ianya tidak menjadi suatu masalah
kerana kita tidak boleh menafikan keperluan gajet ini dalam
kehidupan seharian kita cuma,bagaimana kita mahu memastikan
penggunaan itu mengikut keperluan kita.
(45:54)
Azimah: Saya ingin bertanya memandangkan cikgu sudah mengajar selama 30
tahun, di empat buah sekolah boleh cikgu terangkan perbezaan
murid-murid dahulu dengan murid-murid pada zaman sekarang
berdasarkan akademik dan tingkah laku murid tersebut sebelum
hadirnya kecanggihan telefon pintar seperti kini.
(46:26)
Responden: Dulu kali pertama, selepas cikgu menyelesaikan maktab,cikgu
mengajar disebuah sekolah tradisional, sekolah yang kelasnya
bercantum, maksudnya murid tahap 1 bersama dengan tahap 2 dan
tahap 3 bersama dengan tahap 4 dan sekolah itu juga kekurangan
murid tidak sampai kepada 50 bilangan murid. Jadi ketika itu,cikgu
mengajar murid tahun 1,murid-murid tradisonal ini,mereka sewaktu
di tadika juga mereka tidak mampu untuk pergi, tidak pandai
membaca, namun dari segi tingkah laku murid tersebut tiada masalah.
Senang untuk kami mendidik dan mengajar murid tersebut. Namun
dari segi akademik itu,mereka perlu berusaha lebih dan cikgu juga
perlu berusaha lebih disebabkan zaman dulu tuition pun tidak ada,jadi
apabila mereka balik ke rumah mereka,tiada siapa yang mereka boleh
harapkan dan untuk dibantu.

(47:23) Oleh itu, guru-guru di sekolah itu perlu berusaha untuk memastikan
murid-murid mencapai prestasi akademik yang sepatutnya,kerana
seperti kita pun, kita mahu menetapkan pencapaian murid-murid
tersebut juga berdasarkan dan bergantung kepada kemampuan dan
kebolehan murid-murid kerana bukan semua murid itu sama. Jadi
berbanding dengan sekarang ini murid yang mempunyai hala tuju dan
mahu berjaya dengan cemerlang, kita memberi sedikit sahaja tetapi
mereka boleh membuatnya dengan bersungguh-sungguh. Oleh
itu,penggunaan teknologi terutamanya perisian content cikgu-cikgu
di dalam Youtube sangat membantu pelajar seperti SPM tahun lepas,
cikgu berasa sangat seronok kerana murid di dalam satu kelas cikgu
semua mendapat A+ dan A di sekolah harian.

(48:29) Jadi dari segi murid-murid ini apabila mereka sudah ke tahap
menengah atas jadi kita tidak boleh memarahi mereka. Walaupun
mereka teruk dalam membuat sesuatu keputusan, gagal ataupun apa,
janganlah memarahi mereka. Sentiasa memberi galakan dan
semangat “Boleh,awak cuba lagi,boleh.” Kalau pelajar perempuan
itu,kita mengusap belakang badannya,jadi murid itu akan seronok
sebenarnya berbanding dari kita memarahinya. Tetapi itulah
kelemahan kita,kadang-kadang kita ini mengikut emosi kita yang
tidak boleh ditahan. Seperti mengajar murid di tingkatan satu yang
ramai bilangannya, melihat mereka punya tingkah laku juga terpaksa
kami faham sehingga mencabar keimanan. Tetapi di situlah kita
memanggilnya seni sebagai seorang guru.
(49:30) Itulah yang pertama tadi sebelum teknologi gajet ini seperti
handphone, iPad, tablet dan sebagainya dan dari segi kesukaran
mengajar itu hanya tertumpu kepada bagaimana untuk memastikan
pencapaian akademik murid-murid itu terbaik dan paling maksimum
yang kitab oleh usahakan. Dari segi gangguan dan tingkah laku
perbuatan yang kita panggil seperti tidak menghormati cikgu ini
sebenarnya ada berlaku. Sebab itu kita tidak boleh menyalahkan 100
peratus gajet ini yang menyebabkan masalah tidak menghormati guru
ataupun melakukan perkara-perkara yang tidak baik kerana sebelum
kehadiran gajet ini juga terdapat masalah yang sebegitu. Jadi kalau
ditanya tentang perbezaan itu mungkin sesuatu yang cikgu itu sendiri
tidak pernah explore tidak pernah tahu murid-murid itu ada masalah
itu pada diri mereka sendiri seperti kita kata “Eh dapat dari mana ni?
Tak pernah tahu pun?” rupanya itulah yang mereka dapat daripada
aplikasi-aplikasi ataupun perisian-perisian yang ada dalam gajet
tersebut.

(50:56)
Azimah: Baiklah sebelum kami menamatkan temu bual ini, boleh cikgu
berikan sepatah dua kata untuk memberi nasihat kepada pelajar
sekarang?

(51:07)
Responden: Jadi sebenarnya memang kita panggil tingkahlaku sikap seorang
murid itu sebenarnya bergantung kepada didikan ibu bapa tersebut
dan yang secara asasnya sangat banyak dipengaruhi oleh latar
belakang pendidikan atau pengaruh ibu bapa. Apabila murid itu
berjaya dididik dengan didikan yang baik dan sepatutnya,murid-
murid ini mereka akan tahu hala tuju masing-masing, mereka tahu
apa perkara yang patut mereka buat dan apa perkara yang murid tidak
buat kerana jiwa mereka itu kuat. Yang menjadi masalah ini, apabila
anak-anak ini kurang pengisian dalaman mereka,sebab itu apabila
mereka semakin mencecah remaja dan boleh melakukan sesuatu
perkara itu sendiri, mereka akan mengikut perkara apa yang banyak
mempengaruhi mereka, apabila mereka banyak melihat gajet dan
content di dalam gajet tersebut, maka content gajet itulah yang
banyak mempengaruhi mereka. Jadi kalau ikutkan nasihat kepada
murid-murid ini, kita harus faham kenapa kita dating sekolah, kenapa
kita diminta belajar bersungguh-sungguh, kenapa harus
mengurangkan penggunaan gajet ataupun melayari aplikasi-aplikasi
yang tidak sepatutnya,kenapa mereka harus tahu kerena murid
sekarang mereka mahu tahu mengapa, mereka suka apabila kita
memberitahu mereka mengapa. Seperti kami dahulu,”Aipp, jangan
pergi ke tempat tu.” “Baik” kami tidak soal lagi tetapi murid sekarang
ini mereka akan kata “Kenapa tak boleh pergi?” mereka akan
bertanya. Oleh itu, ibu bapa, cikgu, abang kakak ataupun orang yang
lebih dewasa atau mungkin rakan sebaya perlu ada jawapan yang
boleh memenuhi ataupun sekurang-kurangnya separuh daripada apa
yang mereka ingin tahu dan ada jawapannya. Murid-murid itu harus
faham sekiranya mereka dilarang ianya membawa maksud perkara
itu tidak baik dan tidak patut diteruskan. Cuba belajar untuk
mempercayai kepada orang-orang yang lebih matang orang yang
lebih banyak berpengalaman terutamanya ibu bapa,guru-guru,abang
kakak ataupun orang dewasa yang sentiasa inginkan mereka berjaya.
Mereka lihat orang yang memberi nasihat itu ibu bapa mereka yang
ingin melihat mereka berjaya dan mendengar cakap ibu bapa mereka.

(54:14)
Azimah: Baiklah kami ingin mengucapkan terima kasih kepada cikgu kerana
sudi meluangkan masa untuk kami temu bual bersama cikgu.

(54:22)
Responden: Sama-sama, diharapkan saya dapat menjawab soalan-soalan dan
keperluan yang ingin diminta di dalam tajuk isu ketagihan
penggunaan gajet ini dalam kalangan murid-murid.

You might also like