You are on page 1of 9

Meningkatkan Kemahiran Menjahit Jahitan Jelujur Dengan Menggunakan

Kaedah Papan Efektif Dalam Kalangan Murid Bermasalah Pembelajaran

Nadiah Binti Abu Bakar


nadia@yahoo.com
Ahmad Sobri Shuib, PhD
sobri@ipda.edu.my
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman

ABSTRAK

Kajian tindakan ini bertujuan meningkatkan kemahiran menjahit jahitan jelujur


dengan menggunakan Papan Efektif dalam kalangan murid bermasalah
pembelajaran. Papan Efektif ialah satu papan arahan yang mengandungi arahan
termudah yang menerangkan cara menjahit jahitan jelujur berpandukan gambar.
Kaedah ini merupakan kaedah yang telah diadaptasikan daripada kaedah analisis
tugasan. Responden kajian ini terdiri daripada dua orang murid bermasalah
pembelajaran Slow Learner yang mempunyai fokus yang rendah dalam
pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian telah dikumpulkan melalui
pemerhatian, temubual dan analisis hasil kerja. Kesemua data dianalisis secara
deskriptif mengikut tema yang telah dikenalpasti. Hasil analisis data mendapati
bahawa responden menunjukkan peningkatan dalam kemahiran menjahit jahitan
jelujur dan menghasilkan kerja tangan yang baik. Keputusan kajian menunjukkan
bahawa kaedah Papan Efektif dapat meningkatkan kemahiran menjahit jahitan
jelujur dalam kalangan murid bermasalah pembelajaran.

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu

Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan sepanjang proses pengajaran dijalankan, saya


mendapati bahawa terdapat dua orang responden yang tidak dapat melakukan jahitan jelujur
dengan baik dan kemas seperti yang diajar. Selain itu, saya juga telah menganalisis hasil yang
telah dihasilkan oleh responden berkenaan dalam pengajaran tersebut. Saya juga telah
menjalankan perbincangan dan temu bual bersama guru mata pelajaran Kemahiran Hidup
mengenai dua orang responden berkenaan. Ternyata mereka berdua mempunyai kelemahan
dalam menguasai kemahiran terutamanya kemahiran menjahit jahitan asas iaitu jelujur.

2.0 FOKUS KAJIAN

Kajian ini melibatkan responden yang lemah dalam menjahit jahitan jelujur dengan kemas dan
betul. Mereka ialah murid yang tidak dapat menjahit jahitan jelujur dan tidak memahami cara
menjahit jahitan berkenaan dengan teratur. Berdasarkan pemerhatian, analisis hasil dan
temubual bersama guru yang dijalankan, saya mendapati mereka mempunyai tahap fokus yang
lemah dalam pembelajaran.

Masalah yang dihadapi ini perlu diselesaikan kerana responden yang tidak dapat menjahit
jahitan jelujur ini tidak dapat mengikuti pengajaran yang dirancang dan tidak dapat
menghasilkan kerja tangan. Mereka mengambil masa yang lama untuk memahami arahan guru
dan menjalankan aktiviti amali yang diberi. Selain itu, mereka juga kerap hilang fokus dan
sentiasa perlukan perhatian yang lebih semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang
demikian saya ingin menambahbaik fokus pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran dan
membantu responden meningkatkan kemahiran menghasilkan jahitan jelujur.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

3.1 Membantu murid bermasalah pembelajaran meningkatkan fokus dalam pengajaran dan
pembelajaran matapelajaran Kemahiran Hidup.
3.2 Meningkatkan kemahiran dalam menghasilkan jahitan jelujur dengan menggunakan
kaedah Papan Efektif di kalangan murid bermasalah pembelajaran.

4.0 SOALAN KAJIAN

4.1 Sejauh manakah Kaedah Papan Elektif dapat meningkatkan fokus murid dalam pengajaran
dan pembelajaran Kemahiran Hidup

4.2 Sejauh manakah Kaedah Papan Elektif dapat meningkan kemahiran pelajar menghasilkan
jahitan jelujur dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Kemahiran Hidup.

5.0 KUMPULAN SASARAN

Terdapat dua orang responden telah dipilih yang terdiri daripada seorang lelaki (responden A)
dan seorang perempuan (responden B). Mereka merupakan kumpulan yang lemah dalam
menguasai subtopik berkenaan. Hal ini kerana mereka mempunyai fokus yang rendah dalam
pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu, kedua-dua mereka mempunyai kelebihan
masing-masing iaitu responden A bijak dalam berkomunikasi dan responden B mempunyai
pencapaian yang baik dalam mata pelajaran Matematik.

6.0 PELAKSANAAN KAJIAN

Interaksi Pengajaran : Meningkatkan kefahaman tentang cara menjahit jahitan jelujur.

Pada permulaan interaksi pengajaran, saya melakukan demonstrasi cara menjahit jahitan
jelujur kepada responden. Saya menerangkan cara menjahit jahitan jelujur secara berperingkat-
peringkat mengikut langkah demi langkah. Setelah demonstrasi dibuat, saya memperkenalkan
satu papan arahan yang dinamakan Papan Efektif yang mengandungi arahan dan gambar yang
menerangkan tentang cara menjahit jahitan jelujur. Saya menulis arahan cara menjahit jahitan
jelujur di atas papan dengan menggunakan ayat yang mudah. Oleh kerana responden saya
kurang fasih membaca, maka saya kukuhkan arahan dengan padanan gambar yang sesuai.

Rajah 2 : Arahan pada Papan Efektif

Langkah 1 : Responden diberikan seutas tali kasut jenis bertali kecil dan sekeping kadbod yang
telah ditebuk (berlubang) di sekelilingnya. Saya membacakan arahan mengikut turutan yang
tertulis di Papan Efektif dan responden diminta melakukan arahan berdasarkan gambar yang
dilihat.

2
Tali Kasut

Rajah 3 : Contoh hasil kerja responden dalam langkah pertama

Refleksi : Hasil daripada pemerhatian, didapati responden dapat melaksanakan aktiviti dalam
langkah pertama seperti yang dirancang. Mereka dapat memahami arahan yang diberikan dan
mereka mampu menghasilkan kerja tangan mengikut spesifikasi yang dikehendaki. Mereka
juga menunjukkan minat dan respon yang positif sepanjang aktiviti dijalankan.

Aktiviti Latihan: Latihan dan pendedahan menggunakan alatan jahitan dan menjahit
jahitan jelujur.

Peringkat ini merupakan aktiviti berbentuk latihan dan ansur maju kepada responden. Saya
memberikan responden sebilah jarum khusus untuk jahitan silang pangkah atau ‘cross-stich’)
dan 30 sentimeter benang serta sehelai foam paper berukuran 15x10 sentimeter. Responden
dikehendaki menandakan titik berjarak satu sentimeter di sekeliling foam paper dengan
menggunakan pen marker. Seterusnya, responden dikehendaki mendengar arahan yang
diberikan oleh guru dan menjahit jahitan jelujur di atas foam paper berkenaan.

Di peringkat ini responden akan diperhatikan dan dibimbing dengan Papan Efektif yang
disediakan. Responden dikehendaki menjahit jahitan jelujur di sekeliling foam paper dengan
cara yang betul.

Rajah 4 : Contoh hasil kerja responden dalam langkah kedua

Refleksi : Berdasarkan contoh hasil kerja responden, didapati mereka dapat melaksanakan
arahan yang diberikan. Mereka juga dapat memahami arahan yang diberikan oleh guru. Selain
itu, responden juga menumpukan perhatian sepanjang aktiviti dijalankan dan dapat
menghasilkan jahitan jelujur yang baik.

Aktiviti Amali : Pengaplikasian kemahiran jahitan jelujur dan penghasilan bahan.

Setelah responden didedahkan dan dilatih dengan penggunaan alatan jahitan serta cara
menjahit jahitan jelujur, saya meneruskan aktiviti dengan pengaplikasian kemahiran jahitan
jelujur di atas kain yang digunakan khusus untuk jahitan silang pangkah bagi memudahkan
responden membuat jahitan jelujur. Aktiviti amali ini merupakan salah satu cara untuk melihat
responden menggunakan kemahiran yang telah dipelajari untuk menghasilkan bahan yang
dikehendaki. Pada peringkat ini juga, saya menggunakan Papan Efektif untuk menjalankan
aktiviti yang dirancang.

Aktiviti diteruskan dengan responden diberikan alatan jahitan menggunakan jarum biasa
bersaiz besar, benang dan kain berukuran 30x30 sentimeter. Saya menyuruh responden
menjahit jahitan jelujur di bahagian tepi kain dengan panduan Papan Efektif yang dibaca.
Responden melakukan aktiviti ini dengan dorongan dan bimbingan yang paling minima oleh
saya. Responden dikehendaki menyediakan hasil berdasarkan latihan yang telah diberikan.

3
Rajah 5 : Contoh hasil kerja responden dalam langkah ketiga

Refleksi : Hasil daripada pemerhatian ke atas hasil kerja responden, didapati langkah ketiga ini
memberi sedikit cabaran kepada responden. Hal ini kerana mereka perlu menumpukan lebih
perhatian dan fokus dalam melaksanakan aktiviti berkenaan. Walaubagaimanapun, responden
dapat menghasilkan jahitan jelujur yang baik berpandukan Papan Efektif yang disediakan.
Responden juga menunjukkan tumpuan dan fokus yang tinggi dalam melaksanakan aktiviti
yang dirancang.

7.0 DAPATAN

Analisis Data Pemerhatian

Pemerhatian ke atas responden dijalankan berdasarkan sepuluh item yang terdapat


dalam senarai semak berkenaan yang melibatkan aspek perasaan responden, melaksanakan
arahan, mengikut langkah aktiviti, menggunakan alatan jahitan, kemahiran jahitan jelujur, fokus
semasa pengajaran, fokus semasa aktiviti, rujukan, hasil jahitan dan hasil kerja tangan.

Setelah pemerhatian dijalankan, saya mendapati bahawa responden berasa seronok semasa
menggunakan Papan Efektif. Berdasarkan pemerhatian, responden menumpukan perhatian
semasa pengajaran dan pembelajaran. Mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam
menjalankan aktiviti dengan melihat dan menyentuh Papan Efektif berkenaan. Selain itu,
responden dapat mengikut dan melaksanakan arahan yang diberikan. Mereka melaksanakan
setiap peringkat aktiviti seperti yang diarahkan dan cuba memastikan jahitan yang dihasilkan itu
betul dengan bertanya kepada guru. Oleh itu, mereka kurang melakukan kesalahan dan
berusaha untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang.

Seterusnya, berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, didapati bahawa responden


dapat mengikut setiap langkah yang dinyatakan di dalam Papan Efektif. Mereka tidak
melangkau atau meninggalkan mana-mana langkah yang dinyatakan. Mereka melaksanakan
setiap peringkat jahitan dengan berpandukan gambar yang diberi. Berikutnya, hasil daripada
pemerhatian juga mendapati responden dapat menggunakan alatan jahitan dengan betul.
Mereka dapat menggunakan kesemua alatan seperti jarum pelbagai saiz, tali kasut atau
benang, kain berbeza dan gunting dengan baik sepanjang aktiviti dijalankan. Mereka juga dapat
menunjukkan cara yang betul dan selamat untuk menggunakan kesemua alatan jahitan yang
digunakan.

Hasil pemerhatian menunjukkan bahawa responden dapat menjahit jahitan jelujur


dengan betul. Mereka dapat menjahit mengikut langkah-langkah yang betul dan tersusun.
Mereka mampu menunjukkan cara menjahit dengan betul mengikut spesifikasi yang
dikehendaki seperti jarak jahitan yang baik, kekemasan jahitan yang baik dan arah jahitan yang
betul. Merujuk kepada dapatan hasil pemerhatian, responden menunjukkan penumpuan (fokus)
yang berbeza semasa pengajaran dan aktiviti yang dijalankan. Responden A menunjukkan
perhatian (fokus) yang tinggi ketika pengajaran dan aktiviti dijalankan. Beliau berusaha
bersungguh-sungguh ketika menjahit dari mula hingga akhir. Responden B juga menunjukkan
perhatian (fokus) yang tinggi semasa pengajaran dan aktiviti dijalankan. Beliau cuba untuk
menghasilkan jahitan yang terbaik dan sering memastikan bahawa jahitannya betul sepanjang
aktiviti dijalankan.

Seterusnya, berdasarkan pemerhatian juga didapati bahawa responden melakukan


rujukan pada Papan Efektif semasa aktiviti dijalankan. Semasa aktiviti dijalankan, responden
merujuk Papan Efektif pada setiap langkah yang dilaksanakan. Oleh kerana mereka melakukan

4
rujukan sepanjang aktiviti dijalankan, maka mereka dapat menjahit jahitan jelujur dengan kemas
dan betul. Hasil pemerhatian juga mendapati bahawa responden dapat menghasilkan kerja
tangan yang betul. Mereka berjaya menghasilkan kerja tangan mengikut langkah yang
ditunjukkan. Bahan kerja yang dihasilkan oleh mereka adalah mengikut spesifikasi yang
dikehendaki.

Secara keseluruhannya, didapati kedua-dua responden dapat memenuhi kesemua item


yang dinilai. Mereka menunjukkan minat yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran,
mampu untuk melaksanakan arahan guru dan dapat mengikut setiap langkah aktiviti. Selain itu,
responden juga mahir dalam menggunakan alatan jahitan dan menghasilkan jahitan jelujur
yang baik. Seterusnya, responden juga menunjukkan fokus yang tinggi dalam pengajaran dan
aktiviti kerana mereka sentiasa merujuk kepada Papan Efektif untuk menghasilkan jahitan dan
hasil kerja yang baik. Kedua-dua hasil pemerhatian ini dapat memenuhi kehendak soalan
kajian iaitu meningkatkan fokus murid dalam pengajaran dan pembelajaran serta menghasilkan
jahitan jelujur yang betul.

Analisis Data Temubual

Sepanjang pelaksanaan kajian ini, saya juga telah menggunakan kaedah temubual
sebagai salah satu instrumen untuk mengumpul data. Temubual ini dijalankan secara
berstruktur berdasarkan lima item iaitu tahap pemahaman responden, minat responden, fokus
responden, cara menjahit jahitan jelujur dan pendapat responden.

Semasa pelaksanaan intervensi, responden dapat memahami arahan yang telah


diberikan oleh guru. Ini dapat dibuktikan berdasarkan kata-kata responden:

“saya faham apa cikgu cakap”


(Responden A)
“faham cikgu”
(Responden B)

Ini bermakna kedua-dua responden dapat memahami apa yang dikatakan oleh guru tentang
Papan Efektif. Mereka juga dapat melaksanakan arahan yang diberikan oleh guru dalam
pengajaran dan pembelajaran.
Seterusnya, hasil temubual juga mendapati bahawa Papan Efektif dapat menarik minat
responden dengan tajuk yang dipelajari. Perkara ini dikukuhkan dengan kata-kata responden :

“Shahmil suka menjahit. Shahmil suka gambaq ni. Lepas tu dia boleh tolong Shahmil
bila tengok gambaq ni”.”
(Responden A)
“berminat!”, “suka!”, “ada gambaq!”, “besaq!”.
(Responden B)
Berdasarkan kata-kata kedua-dua responden, Papan Efektif berjaya menarik minat mereka
dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana mereka menyatakan tentang ciri-ciri Papan
Efektif yang membantu mereka dalam melaksanakan aktiviti
Berikutnya, melalui temubual yang dijalankan juga didapati bahawa Papan Efektif dapat
membantu responden memberi perhatian(fokus) semasa pengajaran dan pembelajaran.
Perkara ini dibuktikan dengan tindak balas responden seperti

”saya tengok gambaq ni masa menjahit”.


(Responden A)
“papan boleh tolong kita... boleh tengok gambaq... besaq”.
(Responden B)

Merujuk kepada kenyataan di atas, kedua-dua responden dapat memberi perhatian(fokus)


semasa pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana mereka melakukan rujukan dan
pemerhatian ke atas Papan Efektif semasa P&P dijalankan.
Berdasarkan temubual yang dijalankan juga, didapati bahawa responden dapat menjelaskan
cara menjahit jahitan jelujur dengan baik. Perkara ini dibuktikan apabila responden memberi
jawapan seperti

5
“kita masuk kot bawah, masuk kot atas, masuk kot bawah, atas, bawah, atas, bawah, sampai
hujung kain. Kita gunting, matikan”.
(Responden A)
“mula dari bawah, atas, bawah, atas sampai habis......siapkanlah. kita matikan!”.
(Responden B)

Berdasarkan kata-kata responden tersebut, mereka dapat menjelaskan cara menjahit


jahitan jelujur mengikut setiap langkah yang diajar. Hal ini membuktikan bahawa Papan Efektif
mampu membantu mereka dalam menyatakan cara menjahit jahitan jelujur dengan betul.

Secara keseluruhannya, berdasarkan temubual didapati bahawa responden


memberikan maklum balas dan respon yang positif mengenai pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran yang dirancang. Responden dapat memahami arahan yang diberikan oleh guru,
menyatakan minat yang tinggi terhadap pengajaran dan pembelajaran serta memberikan fokus
yang baik sepanjang aktiviti dijalankan. Perkara ini dapat membuktikan soalan kajian yang
pertama iaitu berkenaan meningkatkan fokus murid dalama pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, hasil temubual juga mendapati bahawa murid mampu menyatakan cara menjahit
jahitan jelujur yang betul dan memberikan pendapat yang positif terhadap pengunaan Papan
Efektif. Hasil temubual ini pula menjawab soalan kajian yang kedua iaitu berkenaan dengan
penggunaan Papan Efektif dalam membantu murid dalam menghasilkan jahitan jelujur.

Analisis Hasil Kerja

Hasil kerja responden dianalisis berdasarkan lima item yang dititikberatkan dalam
penilaian iaitu kemahiran memulakan jahitan, proses jahitan, mematikan jahitan, kekemasan
hasil dan hasil kerja.

Jadual 1 : Markah Hasil Kerja Jahitan Responden A dan B.

Responden A Responden B
Hasil Hasil
Bil Perkara/Item Jahitan Markah Jahitan Markah
(%) (%)
1. Memulakan jahitan 20% 5 20% 5
2. Proses jahitan 20% 5 16% 4
3. Mematikan Jahitan 12% 3 12% 3
4. Kekemasan Hasil 12% 3 12% 3
5. Hasil Kerja 16% 4 12% 3
JUMLAH
KESELURUHAN 80% 20/25 72% 17/25

Berdasarkan Jadual 1, kedua-dua responden murid mendapat markah keseluruhan yang


berbeza. Bagi kemahiran memulakan jahitan, kedua-dua responden mendapat markah yang
cemerlang iaitu lima markah. Mereka dapat memulakan jahitan di tempat yang betul tanpa
bantuan daripada guru.

(Responden A) (Responden B)

Seterusnya, bagi aspek proses jahitan, responden A mendapat keputusan cemerlang iaitu
lima markah kerana beliau dapat menjahit jahitan jelujur sebanyak 90 peratus. Manakala,
responden B mendapat 3 markah kerana beliau dapat menjahit jahitan jelujur sebanyak 80
peratus sahaja.

6
(Responden A) (Responden B)

Merujuk kepada kemahiran mematikan jahitan pula, kedua-dua responden mendapat


tiga markah iaitu pada tahap yang sederhana. Hal ini kerana, kedua-dua responden kurang
cekap untuk mematikan jahitan mereka dan guru terpaksa memberi bantuan tetapi secara
minima.

(Responden A) (Responden B)

Berikutnya, merujuk kepada kekemasan hasil kerja tangan, kedua-dua responden mendapat
markah yang sama iaitu tiga markah. Jahitan yang dihasilkan agak kemas kerana benang
kurang berbelit, jarak dan panjang jahitan juga sesuai.

(Responden A) (Responden B)

Hasil kerja keseluruhan menunjukkan bahawa responden A mendapat empat markah


kerana beliau dapat menghasilkan hasil kerja tangan keseluruhan dengan betul sebanyak 80
peratus. Manakala, responden B pula mendapat tiga markah kerana beliau dapat menghasilkan
hasil kerja tangan keseluruhan dengan betul sebanyak 60 peratus sahaja.

(Responden A) (Responden B)

Secara keseluruhannya, responden A mendapat markah keseluruhan sebanyak 20/25


manakala responden B mendapat markah 17/25. Responden A mendapat purata markah
keseluruhan sebanyak 80 % dan mencapai tahap cemerlang. Manakala, responden B
mendapat purata markah sebanyak 72 % iaitu di tahap sederhana. Kedua-dua responden
berjaya menghasilkan hasil kerja jahitan yang baik. Keputusan analisis kerja ini memenuhi

7
soalan kajian yang kedua iaitu Papan Efektif dapat membantu murid dalam menghasilkan
jahitan jelujur.

8.0 REFLEKSI

Sepanjang kajian dijalankan, segala perancangan kajian dapat dilaksanakan seperti


yang dirancang. Kedua-dua responden memberikan kerjasama dan respon yang positif serta
memberangsangkan. Proses pengumpulan data dan maklumat juga dijalankan dengan lancar.
Namun, terdapat juga beberapa kekangan dan masalah yang timbul semasa kajian
dilaksanakan. Kehadiran responden yang tidak menentu dan penglibatan responden dalam
aktiviti luar sekolah merupakan antara masalah yang dihadapi. Namun, masalah berkenaan
dapat diselesaikan dengan baik. Saya telah merancang semula jadual pelaksanaan mengikut
peluang dan masa yang sesuai.

Hasil daripada dapatan kajian yang telah dijalankan, saya mendapati kaedah Papan Efektif
dapat meningkatkan kemahiran jahitan jelujur dalam kalangan murid bermasalah pembelajaran.
Murid-murid bermasalah pembelajaran dapat melaksanakan aktiviti yang dirancang dengan
berpandukan Papan Efektif. Selain itu, pencapaian responden dalam menghasilkan jahitan
jelujur juga didapati meningkat dan mereka juga menunjukkan minat yang tinggi dalam mata
pelajaran Kemahiran Hidup terutamanya dalam sub-tajuk jahitan. Penggunaan Papan Efektif ini
sekaligus memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan
pembelajaran saya di dalam bilik darjah. Hal ini kerana ia merupakan salah satu kaedah baru
bagi murid-murid bermasalah pembelajaran yang mempunyai minat yang tinggi dalam
mempelajari kemahiran menjahit.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan ke atas


Papan Efektif berkenaan. Berdasarkan respon daripada responden melalui temubual dan
pemerhatian, mereka mengatakan bahawa adalah lebih menarik jika Papan Efektif tersebut
menggunakan warna yang lebih terang dan berwarna-warni. Selain itu, saiz papan dan gambar
juga boleh diperbesarkan lagi bagi membantu mereka melihat dengan lebih jelas di dalam kelas
yang besar.

Secara keseluruhannya, kajian tindakan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Hasil
daripada kajian ini banyak memberi saya pendedahan dan celik akal dalam memperbaiki
amalan pengajaran dan pembelajaran saya serta membuat saya sentiasa peka dengan
perubahan dan persekitaran. Selain itu, ia juga memberi saya peluang untuk melakukan inovasi
dan strategi baru dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran saya dijalankan secara
berkesan. Saya berharap agar kajian ini dapat membantu guru-guru dan murid-murid
Pendidikan Khas dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah khususnya dalam bidang kemahiran dan analisis tugasan. Hal ini supaya dapat memberi
peluang kepada warga pendidik menjadi lebih kompeten, mahir, aktif, produktif dan inovatif.

9.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA

Melalui kajian tindakan yang telah dijalankan, terdapat beberapa cadangan kajian yang
boleh diteruskan. Kajian ini boleh diteruskan lagi tentang bagaimana untuk meningkatkan
kemahiran jahitan sembat atau silang pangkah dalam kalangan murid bermasalah
pembelajaran. Selain itu, kajian juga boleh dijalankan dengan melibatkan kemahiran-kemahiran
lain di dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup seperti bagaimana untuk meningkatkan
kemahiran berkebun, pertukangan dan mendobi.

RUJUKAN

Best, S. J., Heller, K. W., & Bigge, J. L. (2005). Teaching Individuals with Physical and
Multiple Disabilities. New Jersey: Pearson Prentice Hall

Hanafi bin Mohamed Kamal (1994). Buku Panduan Khas Kemahiran Hidup Tahun
Enam. Selangor Darul Ehsan : Dewan Bahasa dan Pustaka.

8
Meier F. E. (1992). Competency-Based Instruction For Teachers of Students With Special
Learning Needs. Needham Heights, Massachusetts : Allyn and Bacon.

Prater M. A. (2007). Teaching Strategies for Students with Mild to Moderate Disabilities.
United States of America : Pearson Education.

Widad Othman., Abd. Razak Habib., Ramlee Mustapha dan Mohd Noh Ahmad (2003).
Perancangan Kurikulum Dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional. Kuala Lumpur :
Univision Press.

Yahya Emat (2005). Pendidikan Teknik dan Vokasional Di Malaysia. Selangor Darul
Ehsan : IBS.

Gromisch, E. (2011). Task Analysis Activities. Dimuat turun pada 01 April, 2011, daripada
http://www.brighthub.com/education/special/articles/104379.aspx

Wagner, S. A. (2008) Task Analysis : Using roundabout in in the U.K. Dimuat turun pada 01
April, 2011, daripada https://www.grin.com/login/#documents/170547/text

You might also like