You are on page 1of 5

Pada zaman globalisasi ini, kehadiran teknologi telah menjadikan dunia semakin maju, internet

pula telah menjadi suatu keperluan yang tidak dapat ditinggalkan dalam kehidupan masyarakat moden
kini. Pelbagai jenis peralatan moden yang telah dicipta dan dijual di dalam pasaran global dan peralatan-
peralatan canggih tersebut telah membawa banyak manfaat kepada kita. Terdapat banyak maklumat,
informasi dan berita yang dapat diperoleh dengan mudah melalui penggunaan internet. Namun, isu
penyalahgunaan internet pula semakin berleluasa di seluruh dunia dan terdapat juga pihak yang
menjadikan internet sebagai medan untuk melakukan jenayah siber. Hal sedemikian telah menimbulkan
kebimbangan masyarakat kini. Perbuatan jenayah di alam maya tersebut dikendalikan sebagai jenayah
siber. Jenayah siber adalah suatu kesan negatif akibat daripada kemajuan teknologi. Jenayah siber
merupakan jenayah yang melibatkan penggodaman perisian melalui infrastruktur internet kepada
peranti mudah alih dan komputer. Oleh itu, keselamatan siber harus menjadi satu kesedaran yang
penting dalam kehidupan seharian kita.

Keselamatan siber berfungsi seperti keselamatan luar talian biasa iaitu bertujuan untuk
memastikan pengguna dan komputer mereka selamat, keselamatan siber digunakan untuk mengenal
pasti kelemahan dan ancaman yang berkaitan dengan sistem digital supaya risiko sedemikian dapat
dikurangkan. Contoh jenayah siber adalah penipuan, kecurian identiti, cyberstalking, penciptaan dan
penghantaran perisian perosak seperti "trojan horse" atau virus untuk memusnahkan sistem pengesan
pencerobohan demi mencuri data untuk mengaut keuntungan. Serangan siber merupakan salah satu isu
transnasional yang kita bimbangkan di Malaysia. Berdasarkan statistik 1.0 yang dipaparkan oleh Statista,
terdapat sebanyak 7593 kes penipuan yang dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia. Kes penipuan
merupakan kes yang berlaku paling banyak kali berbanding dengan lain. Menurut Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dalam tempoh 5 tahun ini,
terdapat sebanyak RM2.23 billion kerugian yang direkodkan disebabkan oleh jenayah siber yang berlaku
di Malaysia. Hal ini membawa maksud bahawa keselamatan siber di negara kita masih perlu diambil
berat dan penambahbaikan.
Statistik 1.0

Ramai orang mengatakan bahawa komputer berpotensi mendedahkan kita kepada ancaman
baharu yang sebaliknya boleh dielakkan jika kita tidak menggunakan teknologi. Namun, perkara penting
yang perlu kita ingati ialah perkara ini berpunca daripada ketamakan manusia dan bukan mesin yang
berada di belakang penggodaman dan ancaman yang berkeliaran di internet. Penggodam ialah
pengguna yang menceroboh sistem komputer tanpa kebenaran untuk mencuri, menukar atau
memindahkan data. Ini dilakukan dengan memasang perisian perosak berbahaya pada komputer
mangsa. Taktik dan kemahiran teknikal terperinci penggodam-penggodam tersebut telah membantu
mereka untuk mengakses maklumat data di mana pengguna internet biasanya tidak dapat mengakses.
Penggodam akan menggunakan banyak cara yang berbeza untuk mendapatkan maklumat peribadi
mangsa yang sensitif. Peristiwa ini mendedahkan maklumat peribadi pengguna yang boleh digunakan
oleh penggodam dan disasarkan untuk kecurian identiti atau sebagai sebahagian daripada skim
penipuan. Antara taktik yang paling banyak digunakan oleh penggodam adalah melalui e-mel
berdasarkan statistic 2.0. Contohnya, apabila mangsa membuka emel bertajuk menarik yang dihantar
secara rambang daripada penggodam, mangsa tersebut telah memberi peluang kepada penggodam
untuk mengakses komputer mangsa. Oleh demikian, perisian perosak yang dipasang oleh penggodam
pada komputer mangsa akan menghantar maklumat peribadi dan kewangan mangsa kepada
penggodam tanpa pengetahuan atau persetujuan mangsa.

Statistik 2.0

Serangan-serangan siber telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan perniagaan, kerajaan


dan juga individu. Walaupun terdapat banyak kawalan dan sistem, tetapi masih terdapat banyak
serangan siber yang berlaku di negara kita. Matlamat utama keselamatan siber pula adalah untuk
menghalang penggodam daripada mengakses kepada maklumat atau manipulasi maklumat pengguna.
Untuk membolehkan semua pihak dapat menggunakan internet dengan selamat dalam dunia teknologi
hari ini, mereka perlu melaksanakan perlindungan keselamatan siber. Perlindungan ini termasuk
perlindungan firewall, program anti-virus, pop-up blocker, anti-spyware, anti-malware dan anti-
ransomware yang dapat menghalang penggodam daripada mengakses data sensitif dan sistem sandaran
data sekiranya berlaku sebarang gangguan sistem keselamatan yang menyebabkan kerosakan pada
sistem atau maklumat. Tiada agensi keselamatan siber yang boleh melindungi sepenuhnya organisasi
mereka daripada semua jenis ancaman. Walau bagaimanapun, sebuah agensi yang baik haruslah
mempunyai pelbagai teknik pertahanan sebagai strategi yang berkesan untuk melindungi organisasi
daripada aktiviti penjenayah siber. System hardening ialah proses perlindungan sistem komputer atau
server dengan menghapuskan risiko serangan siber. Proses ini melibatkan pengalihan keluar atau
melumpuhkan aplikasi sistem, begitu juga dengan akaun pengguna dan fungsi lain yang menjadi
serangan oleh penggodam yang berjaya mengakses ke dalam rangkaian komputer. Perkara ini dikenali
sebagai serangan permukaan suatu rangkaian. Ia penting kerana serangan permukaan rangkaian syarikat
atau individu adalah salah satu portal yang paling terdedah kepada serangan siber. Melalui pintu masuk
pada permukaan serangan, penggodam, perisian hasad dan ancaman siber lain mungkin boleh
mengakses maklumat sensitif organisasi. Dengan sistem tersebut, syarikat boleh mengurangkan
pendedahan mereka terhadap ancaman siber daripada mengakses rangkaian mereka.

Kemunculan laman sosial telah menyebabkan ramai berlumba-lumba menyertai laman sosial
tanpa mengetahui risiko dan kesannya. Contohnya, LinkedIn, Instagram, Reddit, Facebook, Twitter yang
mendapat sambutan hangat daripada pengguna dari pelbagai peringkat umur. Terdapat pengguna yang
cuai akan mempamerkan butir-butir peribadi yang penting seperti nombor telefon, alamat rumah,
nombor kad pengenalan, lokasi dan sebagainya di laman sosial, hal ini akan menyebabkan berlakulah
pencurian, pengintipan atau peniruan identiti. Sikap pengguna yang cuai akan menyebabkan mereka
terperangkap dalam perancangan penjenayah siber. Antara faktor utama penyumbang jenayah siber
dalam masyarakat adalah kekurangan maklumat kesedaran dalam penggunaan teknologi yang selamat.
Untuk menangani masalah jenayah tersebut, pihak kerajaan perlulah memberikan kesedaran seumpama
kepada masyarakat akan ancaman sebenar jenayah siber melalui kempen dan iklan. Kempen langkah-
langkah keselamatan apabila menggunakan aplikasi-aplikasi dalam peranti perlu diadakan di dalam iklan
supaya masyarakat dapat mengambil serius akan amaran tentang risiko dan ancaman siber ini ,supaya
mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber. Masyarakat perlulah bersikap
inteligensia apabila menggunakan aplikasi teknologi dan sentiasa peka akan taktik-taktik baharu yang
digunakan oleh penjenayah siber. Selain itu, pendidikan etika dalam penggunaan teknologi harus
diperkenalkan pada setiap institusi pendidikan. Institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti perlu
memberikan ilmu pengetahuan tentang isu-isu tersebut agar dapat melahirkan pengguna teknologi yang
bersikap etika. Di samping itu, undang-undang yang sedia ada perlu dikaji semula keberkesanannya.
Pihak yang berkenaan juga perlu mengkaji lebih mendalam lagi tentang tindakan dan hukuman yang
boleh dikenakan supaya masalah tersebut dapat diatasi.

Kesimpulannya, keselamatan siber adalah salah satu keperluan terbesar dunia kerana ancaman
keselamatan siber boleh menjejaskan keselamatan sesebuah negara. Kerajaan dan rakyat haruslah
bersama-sama menyebarkan kesedaran di kalangan rakyat supaya mengemaskini tetapan keselamatan
rangkaian dan sistem peranti dan komputer mereka. Penggunaan anti-virus dan anti-malware yang betul
juga dapat membebaskan diri kita daripada ancaman jenayah siber dan menjamin keselamatan serta
keamanan negara kita.

You might also like