You are on page 1of 7

Demam Denggi 101: Gejala, Punca,

Rawatan & Pencegahan


Demam denggi adalah penyakit yang disebabkan oleh gigitan nyamuk Aedes. Ketahui lebih lanjut
tentang gejala, punca dan rawatan yang disediakan di Malaysia.

Demam denggi

Demam denggi merupakan penyakit virus berjangkit yang berbahaya berpunca daripada
gigitan nyamuk Aedes. Penularan denggi berleluasa terutamanya di kawasan-kawasan
beriklim tropik seperti Asia Tenggara, Afrika, Amerika Latin, dan pulau-pulau Pasifik
barat. 

Setakat bulan Oktober 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaporkan


peningkatan dalam jumlah kes demam denggi sebanyak 24,642 kes dan jumlah kes
kematian sebanyak 14 kes daripada tahun lepas.

Bagaimanakah denggi merebak?

Penyakit denggi disebarkan oleh kumpulan nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti
dengan virus denggi. Jangkitan denggi hanya boleh merebak melalui penularan darah.
Sentuhan secara fizikal atau seksual, air liur, dan titisan hidung atau mulut tidak boleh
menyebabkan denggi. 

Rantaian penularan denggi kebiasaannya berlaku melalui kitaran manusia-nyamuk-


manusia, seperti berikut:  

1. Nyamuk Aedes betina yang sihat menggigit orang yang telah dijangkiti virus
denggi, dan menghisap darahnya. Darah diperlukan untuk tujuan bertelur. 
2. Darah yang dijangkiti tersebut akan menyerap masuk ke dalam sistem badan
nyamuk Aedes untuk mengeram selama 8 hingga 12 hari.
3. Nyamuk Aedes yang kini telah menjadi pembawa atau vektor virus denggi
kemudian menggigit dan menghisap orang-orang lain yang sihat. 
4. Selepas lebih kurang empat hari, mangsa-mangsa tersebut akan mula merasai
simptom demam denggi.
5. Kitaran denggi akan berulang jika terdapat nyamuk Aedes betina lain yang sihat
menghisap darah orang-orang yang telah dijangkiti. 

Setelah dijangkiti, virus denggi akan kekal selamanya dalam badan nyamuk Aedes
tersebut sehingga ia mati.

Bolehkah denggi merebak tanpa gigitan nyamuk Aedes?

Oleh kerana virus denggi berjangkit apabila nyamuk Aedes menghisap darah, apa-apa
proses yang melibatkan pengaliran darah yang menjangkiti orang lain boleh
meningkatkan risiko penularan.  

Meskipun jarang sekali berlaku, ibu yang dijangkiti denggi berkemungkinan


boleh menyebarkan virus denggi kepada bayi dalam kandungan. Kajian pada
tahun 2013 menunjukkan virus denggi dapat dikesan dalam tisu janin dan plasenta. Bayi
yang terkena jangkitan denggi mempunyai risiko tinggi untuk mengalami masalah
kelahiran seperti kurang berat badan, kelahiran pramatang, malah kematian. 

Individu yang dijangkiti juga barangkali boleh menyebarkan virus denggi melalui


pemindahan organ dan darah.

Faktor risiko penularan denggi

Virus denggi terdiri daripada empat jenis iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4. Pulih
daripada jangkitan virus DEN 1 tidak semestinya anda akan menjadi imun kepada jenis
virus yang lain. Anda masih boleh terdedah kepada jangkitan denggi lebih dari sekali
kepada jenis virus yang berbeza. 

Berikut adalah faktor-faktor yang boleh memudahkan jangkitan denggi:

Air bertakung

Air bertakung menjadi tempat kegemaran nyamuk Aedes betina untuk bertelur. Nyamuk
Aedes perlu bertelur di bahagian dinding sebelah dalam bekas berisi air, di mana
telurnya boleh melekat. Oleh sebab itu, nyamuk Aedes tidak berupaya untuk bertelur di
kawasan yang tidak berdinding dan yang mempunyai pergerakan air—contohnya tasik,
laut, sungai, dan terusan air.

Telur tersebut kebiasaan berada di atas permukaan air. Apabila paras air meningkat
disebabkan oleh hujan atau banjir, telur itu akan tenggelam dan menetas di dalam air
sebagai jentik-jentik sebelum membesar menjadi nyamuk Aedes dewasa.
Iklim tropikal

Negara-negara tropik termasuk Malaysia adalah kawasan berisiko tinggi kerana mereka
mempunyai cuaca panas dan lembap sepanjang tahun disebabkan oleh hujan bermusim
—iklim yang digemari nyamuk Aedes.

Oleh itu, jika anda menetap atau pergi melancong ke negara-negara sebegini, risiko
anda untuk terdedah dengan jangkitan denggi adalah lebih tinggi. 

Akan tetapi, pemanasan global yang semakin meningkat dijangka akan menyebabkan
penyakit denggi menular dengan lebih luas menjelang tahun 2050. Ini bermaksud
negara-negara bukan tropik seperti Eropah, Amerika Syarikat, dan Kanada juga
berkemungkinan akan terjejas.

Proses pembandaran 

Proses pembandaran atau urbanisasi telah membangunkan bandar-bandar baru yang


menggalakkan orang ramai untuk berhijrah dari luar bandar atas sebab peluang
pekerjaan. 

Walaubagaimanapun, populasi tinggi dalam satu kawasan malangnya telah


menghasilkan penempatan yang terlebih padat. Ini akan memudahkan virus denggi
untuk merebak.

Kemudahan mobiliti

Sistem pengangkutan yang semakin maju membolehkan seseorang bergerak dari satu
tempat ke satu tempat. Hal ini juga meningkatkan risiko jangkitan kerana ada
kemungkinan anda menjadi pembawa virus denggi apabila melancong ke kawasan atau
negara lain. . 

Sejarah demam denggi

Anda lebih mudah terdedah kepada simptom denggi yang lebih serius, jikalau anda
pernah menghidap penyakit demam denggi sebelum ini. 

Gejala demam denggi klasik

Terdapat tiga fasa demam dengi iaitu:

1. Fasa demam (fasa Febrile) : Hari ketiga hingga ketujuh


2. Fasa kritikal (Fasa kritikal) : Satu atau dua hari selepas suhu badan menurun
3. Fasa kesembuhan (Fasa pemulihan): Hari ketujuh dan ke atas

Tanda-tanda demam denggi kebiasaannya tidak dialami dengan segera. Simptom


hanya akan mula muncul dua atau tiga hari selepas digigit nyamuk Aedes. Simptom
demam denggi klasik selalunya bertahan selama satu minggu.

Antara gejala-gejala biasa demam denggi klasik adalah:

 Demam panas secara tiba-tiba dan berterusan selama beberapa hari


 Sakit kepala yang agak teruk
 Sakit sendi, otot, dan tulang
 Sakit di bahagian belakang mata
 Rasa loya 
 Muntah-muntah
 Hilang selera makan
 Keletihan
 Ruam

Gejala demam denggi berdarah/sindrom kejutan denggi

Demam denggi berdarah (DDB) merupakan sejenis denggi pada tahap yang parah
kerana ia boleh membawa maut. Jikalau anda pernah dijangkiti denggi lebih dari sekali,
risiko anda untuk mendapat DDB adalah lebih tinggi. 

Pesakit mengalami simptom DBB dalam fasa kritikal iaitu satu atau dua hari selepas
suhu demam menurun. Ini bermaksud apabila demam anda semakin reda, ia mungkin
tidak bererti denggi anda sudah hilang. Malah, ia mungkin berubah menjadi penyakit
yang lebih berbahaya. 

Antara gejala-gejala biasa demam denggi berdarah adalah:

 Sakit di bahagian abdomen


 Kerap muntah-muntah
 Sukar untuk bernafas
 Kulit pucat dan sejuk
 Lesu dan lemah
 Hidung atau gusi berdarah
 Darah dalam muntah dan najis

Sindrom Kejutan Denggi (DSS) 

Dalam fasa kritikal, anda juga boleh mengalami tahap denggi yang terakhir iaitu Dengue
Shock Syndrome. DSS berlaku apabila plasma—sejenis cecair yang membawa darah
dan nutrien ke seluruh badan—kebocoran daripada saluran darah anda. Keadaan ini
akan menyebabkan kejutan dalam badan yang mengganggu sistem peredaran darah.

DSS boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti:

 pengsan atau badan bengkak disebabkan cecair terkumpul dalam badan 


 darah bocor dari saluran membawa kepada pendarahan dalaman 
 kesukaran pernafasan
 tekanan darah menurun secara mendadak
 kerosakan organ

Isu-isu kesihatan di atas boleh menyebabkan kematian. Oleh itu, tindakan yang terbaik
adalah untuk bergegas ke ruang kecemasan tanpa berlengah.
Diagnosis demam denggi

Sekiranya anda mula mengalami mana-mana gejala di atas, segera ke klinik atau
hospital berdekatan untuk mendapatkan diagnosis yang betul. Diagnosis awal sangat
penting kerana bukan sahaja ia boleh mencegah virus denggi daripada terus merebak,
malah ia juga dapat menyelamatkan nyawa anda sebelum terlambat. 

Penilaian gejala

Sebelum pemeriksaan fizikal, doktor anda akan bertanyakan beberapa soalan berkaitan:

 Jangka masa simptom 


 Jenis ubat-ubatan yang telah diambil
 Jikalau anda ada melawat atau melancong tempat-tempat tropikal 
 Tahap kebersihan di rumah

Ujian pengesanan

Jika anda disyaki menghidap demam denggi, ujian pengesanan akan dijalankan untuk
mengesan kehadiran virus denggi dalam badan. 

Terdapat pelbagai jenis ujian yang disediakan oleh institusi kesihatan, seperti:

 Ujian kiraan darah lengkap : Denggi boleh menyebabkan bilangan sel darah
putih dan platelet menurun.
 Ujian IgM/IgG : Untuk menilai antibodi dalam darah
 Ujian antigen NS1 : Untuk mengesan sejenis protein denggi pada peringkat
awal

 Sampel anda daripada ujian tersebut kemudian akan dihantar ke makmal untuk
dikaji dengan lebih lanjut. Keputusan ujian juga mungkin dapat mengenal pasti
jenis virus denggi mana (antara DEN 1, DEN 2, DEN 3, atau DEN 4) yang
menyebabkan jangkitan tersebut.

 Rawatan demam denggi

 Demam denggi masih tidak mempunyai penawar khas yang boleh merawat
denggi sepenuhnya.  

Sehingga hari ini, tiada lagi vaksin demam denggi yang telah mendapat kelulusan dari
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Para saintis masih dalam proses menghasilkan
vaksin pencegahan untuk melawan penyakit demam denggi. 

Rawatan demam denggi klasik

Bagi pesakit demam denggi klasik, doktor anda kebiasaanya akan:

 memberi preskripsi paracetamol untuk melegakan demam dan sakit badan


 menyaran untuk banyak berehat
 menasihati untuk memperbanyak minum air bagi mengekalkan hidrasi badan 
 mengelak daripada digigit nyamuk dengan mengambil langkah pencegahan di
sekeliling rumah 

Rawatan demam denggi berdarah

Bagi pesakit demam denggi berdarah, keadaan anda dikategorikan sebagai kecemasan
yang perlu segera mendapatkan rawatan medikal di hospital. Setelah dimasukkan dalam
wad, anda akan diletakkan di bawah pantauan pakar perubatan untuk:  

 diberikan ubat-ubatan dan elektrolit melalui titisan intravena (IV) 


 mengawasi tekanan darah
 melakukan pemindahan darah atau platelet jika perlu

JANGAN sesekali membeli perubatan di kaunter farmasi tanpa mendapatkan nasihat


daripada doktor anda. Ini kerana terdapat ubat-ubatan tahan sakit yang boleh
membuatkan pendarahan anda bertambah teruk, seperti ibuprofen dan aspirin. 

Langkah pencegahan demam denggi


Mempraktikkan langkah pencegahan boleh membantu mencegah pembiakan nyamuk
sekaligus menghindarkan jangkitan denggi. 
Mengatasi pembiakan 

Proses pembiakan nyamuk Aedes betina mengambil masa hanya lapan hingga sepuluh
hari sahaja, tetapi ia boleh bertelur sebanyak 100 biji dalam satu masa. 

Membuang air yang bertakung adalah langkah utama dalam mencegah pembiakan
nyamuk Aedes. Anda boleh mempraktikkan langkah yang berikut:

 Elakkan menyimpan bekas yang boleh mengumpul air seperti piring pasu, tong
air, tayar, baldi, dan tin-tin. Anda juga boleh terbalikkan bekas-bekas tersebut
supaya
 Jangan membuang plastik beg merata-rata kerana ia boleh memerangkap
takungan air.
 Sentiasa menukar air dalam pasu setiap minggu. 
 Pastikan piring pasu bunga yang basah dan kolah bilik mandi dibasuh serta
digosok sekurang-kurangnya seminggu sekali.
 Bersihkan longkang atau parit yang tersumbat agar air dapat mengalir.
 Tangki air dan bekas tadahan hujan sebaiknya ditutup dengan rapat.
 Jika ada kolam hiasan, digalakkan cuci dengan kerap. Anda juga boleh membela
ikan supaya jentik-jentik di permukaan air dapat dikurangkan.
 Kerap menukar air minuman haiwan peliharaan anda. 

Melindungi diri daripada gigitan nyamuk

Membasmi semua nyamuk adalah perkara yang mustahil, tetapi kita boleh cuba untuk
mengurangkan ia daripada berkeliaran di dalam rumah.

Misalnya anda telah dijangkiti denggi, anda harus menjauhkan diri daripada digigit
nyamuk sebaik mungkin terutamanya pada minggu pertama. Ini kerana virus denggi
berkemungkinan masih ada dalam badan anda, jadi jika anda digigit lagi, risiko untuk ia
merebak kepada ahli serumah yang lain adalah sangat tinggi. 

Antara langkah yang dapat membantu adalah:

 Menggunakan ubat nyamuk dalam bentuk penyembur. Lingkaran nyamuk tidak


digalakkan kerana ia lebih berbahaya disebabkan oleh bahan toksin yang boleh
memudaratkan kesihatan jika dinyalakan sepanjang malam.
 Perangkap nyamuk elektrik juga boleh digunakan. 
 Tidur dalam kelambu.
 Memasang jaring atau skrin serangga pada tingkap dan pintu.
 Memakai pakaian yang berwarna terang dan menutupi badan (lengan dan seluar
panjang).
 Mengasingkan pesakit denggi di bilik khas. 

Menjaga diri sebelum dan selepas melancong

Jika anda bercadang untuk pergi melancong terutamanya untuk tujuan berkhemah,
pastikan anda membawa kit kesihatan dan barang keperluan termasuklah ubat
nyamuk serta perubatan.

Sekiranya anda mula mengalami simptom demam dan sengal badan selepas pulang
daripada melancong, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor anda serta
merta. 

Menjadi ahli komuniti yang bertanggungjawab

Kita harus mendidik dari kecil mengenai kepentingan menjaga persekitaran. Contohnya,
pihak sekolah dan rukun tetangga boleh mengadakan kempen pembersihan alam
sekitar dan gotong-royong secara mingguan.

Bagi pesakit denggi, anda dinasihatkan untuk tidak berlengah membuat laporan


kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah agar mereka akan segera membuat
semburan kabus (fogging) di sekitar kawasan perumahan anda. Senarai Pejabat
Kesihatan Daerah boleh disemak di sini.

You might also like