You are on page 1of 4

Pendahuluan:

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Salam perpaduan bertatahkan intan kemesraan saya
ucapkan kepada pengerusi majlis, barisan panel hakim nan bijak bestari, penjaga masa yang setia
dengan detik waktunya, kerabat seangkatan yang petah berhujah, dan seterusnya kulasentana
dewan yang ceria di hati tinggi pekerti.
Tajuk yang dikhususkan untuk saya ialah ________________. Saya sedar bahawa kupasan
tentang ___________ amat luas hingga boleh dikarang untuk sebuah buku yang tebal, sebagai
satu mata pelajaran kuliah di universiti, atau sebuah kajian ijazah tinggi. Namun, dalam tempoh
yang singkat ini, saya akan cuba memberikan perspektif asas tentang ___________.
Isi:
1. Erti rasuah
Sebelum gelanggang dibuka,
Dengar dahulu palun rebana,
Sebelum kata meningkah bicara,
Dengarkan dahulu kupasan tajuknya.
Secara am, rasuah ialah perbuatan menggunakan cara atau jalan yang salah untuk memperoleh
sesuatu hajat menerusi kuasa yang dimiliki oleh diri sendiri atau orang lain. Rasuah boleh sahaja
berbentuk duit kopi, makan suap, tumbuk rusuk, sogokan, urusan bawah meja, penyelewengan,
pecah amanah, salah guna kuasa, bakshees, pakatan kroni, politik wang, beli undi, mengatur
keputusan perlawanan, dan banyak lagi. Definisi rasuah secara literalnya bermaksud sogokan
atau secara konseptualnya bermaksud wang yang diberikan oleh orang tertentu kepada pihak lain
untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang
mudah dan cepat tetapi salah mengikut undang-undang negara. Rasuah umpama barah sosial,
perbuatan hina dan keji, dosa berat dan berlaku justeru iman yang tipis macam kulit bawang.
Rasuah merupakan gejala yang sinonim dengan masyarakat kita pada hari ini. Gejala ini
merupakan duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita. Rasuah yang berleluasa juga
mencemarkan integriti dan maruah Malaysia sekaligus menimbulkan kesan negatif.

2. Jenis rasuah

Duit kopi ialah satu bentuk rasuah skala kecil. Biasanya rasuah demikian berlaku terhadap
urusan pejabat seperti mempercepat proses permohonan, menaikkan fail, potong jalan dan hadiah
bagi mempengaruhi sesuatu keputusan. Duit kopi boleh diberi secara senyap, terang-terangan
atau dalam bentuk yang tidak ketara seperti buah tangan, diari dan baucer. Rasuah salah guna
kuasa skala kecil berlaku secara paksaan. Misalnya, supaya tidak diganggu, sejumlah wang
perlindungan tertentu dibayar secara tetap kepada segelintir penjawat awam yang gelap mata dan
obses terhadap gaya hidup mewah. Begitu banyak kes tertangguh di mahkamah bersabit dengan
rasuah skala kecil, tetapi penyelesaian muktamad ialah kesedaran tentang erti rasuah itu sendiri.
Rasuah bawah meja berlaku kerana sikap tidak amanah pegawai dan individu yang
berkepentingan. Undian unit rumah pangsa awam juga biasa menjadi lubuk rasuah. Begitu juga
dengan lobi mendapatkan lot rumah teres unit tepi yang ada kawasan tanah tambahan. Rasuah
skala besar berlaku dalam urusan politik, ekonomi dan sukan tahap tinggi. Individu yang tamak
dan rakus terhadap kuasa menganggap perbuatan rasuah sebagai mainan sahaja. Bagi mereka,
matlamat menghalalkan cara. Bagi perasuah politik, mereka sanggup menjanjikan bulan dan
bintang kepada para penyokong yang bersekongkol dan juga pengundi. Mereka menggunakan
pegawai-pegawai yang rasuah dan sebulu supaya proses pemilihan pemimpin kelihatan benar
dan sah. Mereka menggunakan wang haram untuk menaja para perwakilan menginap di hotel
lima bintang, melancong ke destinasi luar negara dan janji tender. Rasuah dalam bidang
perniagaan juga begitu dahsyat. Urusan tender cemar dengan peratus komisen dan sagu hati. Kos
bagi sesuatu projek melambung tinggi gara-gara perbuatan rasuah. Rasuah tidak terhad kepada
sogokan dalam bentuk wang semata-mata. Urusan pelantikan, pengisian jawatan dan urusan naik
pangkat juga sangat terdedah kepada perbuatan rasuah. Apabila orang yang belum layak atau
tidak berwibawa diberikan sesuatu jawatan atas sebab hubungan peribadi pembuat keputusan,
maka rasuah telah menjalar dalam organisasi berkenaan.

3. Gejala rasuah di Malaysia

Gejala rasuah di Malaysia berada pada tahap sederhana dan terkawal. Namun begitu, amalan
rasuah masih berlaku dalam semua peringkat kehidupan manusia. Amalan rasuah juga
merupakan penyakit masyarakat yang sukar diatasi kerana pengetahuan tentang keburukan gejala
rasuah ini kurang diketahui oleh masyarakat pada hari ini. Walau bagaimanapun, masyarakat
sekarang yang masih mengamalkan amalan rasuah ini harus sedar bahawa undang-undang
negara kita tidak akan memandang enteng amalan rasuah ini kerana perkara ini merupakan
amalan yang buruk yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman masyarakat setempat
mahupun negara. Jika amalan ini masih berterusan, ia dapat menggugat keutuhan masyarakat dan
tidak mustahil suatu hari nanti negara kita akan tergadai.

4. Kesan gejala rasuah

Indikator saya yang pertama, rasuah mencemarkan ketuanan bangsa Tidak ada satu pun bangsa
di dunia ini yang menghalalkan rasuah. Firman Allah dan sabda Nabi jelas menegaskan rasuah
sebagai perbuatan yang hina. Ini kerana rasuah mencemarkan imej dan maruah diri, keluarga,
masyarakat dan negara. Bak kata pepatah, seekor kerbau membawa lumpur, terpalit semua. Pada
masa kini, Indeks Persepsi Rasuah mencatatkan negara Myanmar dan Somalia sebagai negara
yang sangat tinggi dari segi amalan rasuah. Lihat sajalah bagaimana keadaan masyarakatnya
yang menghadapi pelbagai krisis sosial seperti kemiskinan dan kebuluran. Oleh itu, tidak dapat
dinafikan, rasuah sememangnya parasit kesejahteraan masyarakat kerana ianya mencemarkan
imej dan ketuanan sesuatu bangsa.
Indikator saya yang kedua, rasuah melindungi dan menggalakkan jenayah. Denis Osborne,
seorang pakar pengurusan awam dan etika berkata, kesan rasuah lebih menyeluruh, termasuk
mewujudkan jenayah yang akan mengancam nyawa masyarakatnya. Ini kerana, gejala rasuah
boleh meresap dalam institusi polis dan kehakiman. Bank Dunia mendapati bahawa jenayah
terancang dan keganasan di negara-negara Amerika Latin dalam dasawarsa ini telah didalangi
penjenayah rasuah. Misalnya, kegiatan ‘gang’ dan ‘mafia’ di Mexico. Pegawai-pegawai polis
menerima sogokkan untuk melindungi dan mengabaikan kegiatan jenayah. Selain itu, rasuah
juga boleh membawa kepada pembunuhan, misalnya jika seorang hakim ‘dibayar’ untuk
melepaskan seorang pembunuh daripada sabitan. Akibatnya, kegiatan jenayah terus beraja di
mata, bersultan di hati. Kehidupan masyarakat ibarat ‘telur di hujung tanduk’.

Indikator saya yang ketiga, rasuah meragut kemakmura negara. Rasuah merupakan musuh
pembangunan dan kemakmuran ekonomi sesebuah negara. Bank Dunia menganggarkan bahawa
rasuah menyebabkan deflasi sebanyak 0.5 hingga 1 peratus setahun. Pakar ekonomi berpendapat
beberapa buah negara Asia dan Afrika sangat lemah daripada sudut pembangunan ekonomi,
khususnya di Afrika, kerana rasuah menghalang penyertaan pelaburan tempatan dan menyekat
pelabur asing. Kajian IMF membuktikan bahawa pelaburan di negara-negara yang korup, kurang
5 peratus berbanding negara yang bebas korup. Negara Thailand misalnya, kerugian RM14
billion pada tahun 2006 kerana rasuah. Nah! Hadirin sekalian bukankah sudah terang lagi
bersuluh, bahawa rasuah sememangnya parasit kesejahteraan masyarakat lantaran ianya meragut
kemakmuran ekonomi, ‘ibarat dedalu api hinggap di pohon kayu, hinggap di batang, batang
mati, hinggap di ranting, rantingnya patah!’

Indikator saya yang keempat, rasuah memperkaya yang kaya, yang miskin papa kendana. Rasuah
menyebabkan pengagihan kekayaan yang tidak seimbang. Natijahnya, golongan yang kaya
bertambah kaya dan golongan miskin bertambah miskin kerana tidak mempunyai ‘kabel’ yang
baik. Transparency International 2006 mendedahkan bahawa terdapat perkaitan yang rapat antara
gejala rasuah dan kemiskinan. Ini kerana, ¾ daripada negara-negara yang tegar rasuah adalah
terdiri daripada negara-negara yang miskin, di mana rakyatnya berpendapatan kurang 1 dolar
amerika sehari. Jika rasuah terus bermaharajalela, masyarakat biasa akan terbeban dengan kos
sosial yang semakin meningkat seperti cukai-cukai dan frasarana yang boleh dibilang dengan
jari. Akibatnya, yang kaya, bertambah kaya, rakyat miskin menjadi papa kedana.

Indikator saya yang terakhir, rasuah melemahkan kepimpinan negara. Budaya rasuah
melemahkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. Sejarah telah membuktikan bahawa
banyak negara-negara di dunia yang tumbang dek pemimpin yang korup. Kepimpinan yang
lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan kerana setiap kali ‘transaksi’ berlaku pemerintah
kehilangan hasil dan swadaya. Ibarat kendur mengecut, tegang memutus; pentadbiran negara
menjadi kucar kacir dan akhirnya akan menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi
dan pengabaian kepentingan masyarakat. Mengambil iktibar daripada negara jiran kita Filipina
yang satu ketika dahulu rebah tampuk pemerintahannya kerana pimpinan Marcos yang korup.
Kita juga pasti tidak mahu mengulangi sejarah silam kerajaan Abassiyah dan Mamluk yang turut
kecundang bahana rasuah.

Penutup:

Warga dewan yang dikasihi,

Setiap yang bermula pasti akan berakhir, sebelum lidah berhenti bicara, sebelum kaki mengatur
langkah, kita perlu meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh
tanggungjawab dalam menghapuskan rasuah. Tuan-tuan, puan-puan, penjawat awam serta pihak
yang terlibat, fahamilah, renungilah dan hayatilah bahawa virus rasuah ini adalah virus
pemusnah. Janganlah kita mudah termakan dengan janji manis dan hasutan yang diberikan oleh
pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Adalah menjadi harapan kita semua untuk
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing dan bebas dari segala
ancaman dalam dan luar negara. Tanamkan tekad di hati, bulatkan azam penuh bermisi, jadikan
bangsa Malaysia, bangsa bebas rasuah bangsa berintegriti!

You might also like