You are on page 1of 13

TEKNOLOGI: Abang Johari semasa mengunjungi pameran KIK terlibat sambil diiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar

Douglas
Uggah Embas (depan, tiga kanan) dan Morshidi (kanan).

Pasar produk inovasi ke peringkat antarabangsa: KM

KUCHING: Penjawat awam khasnya perlu berani meneroka pasaran luar bagi hasil produk inovasi mereka dengan memasarkannya di
peringkat antarabangsa.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia termasuk untuk cuba berinteraksi dengan syarikat seperti Plug and
Play Techcentre, iaitu sebuah platform inovasi pemula peniaga global yang berpangkalan di Silicon Valley, Amerika Syarikat.
“Saya melihat negara-negara Asia yang ada adalah seperti Korea, Singapura dan Indonesia tetapi tiada Malaysia.
“Untuk makluman jika produk anda dipromosi di bawah Plug and Play ini ia mempunyai jutaan pasaran luar.
“Saya berharap suatu hari nanti produk anda akan disenaraikan di bawah syarikat ini untuk dipromosikan ke pasaran dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) Perkhidmatan Awam
Negeri yang dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani di sini, malam kelmarin.
Tambah Abang Johari, penjawat awam yang mempunyai produk inovatif boleh berinteraksi dengan cawangan Plug and Play yang kini
juga ada di Singapura.
Beliau berkata, dengan interaksi sedemikian diharapkan produk inovasi penjawat awam Sarawak antara yang diterima untuk
dipromosikan di pasaran dunia nanti.
“Saya tahu ia mungkin merupakan cita-cita yang terlalu tinggi tetapi untuk mencapai cita-cita itu maka kita perlu bekerja gigih
mendapatkan matlamat kita ke arah digital.
“Jika ia menjadi realiti ia bermakna kita terus menerapkan budaya mencipta menggunakan teknologi terkini demi kebaikan semua,”
katanya.
Mengenai produk inovasi yang dihasilkan perkhidmatan awam sempena Minggu KIK itu, Abang Johari berkata, dengan
penambahbaikan dan proses penghasilan menggunakan teknologi, produk berkenaan diharap dapat diguna pakai bagi tugas-tugas
mereka.
Katanya Kerajaan Sarawak dalam usaha menaik taraf sistem penyampaian perkhidmatan awamnya yang harus diiringi dengan
teknologi serta dalam satu platform yang sama.
Sebagai contoh katanya, aplikasi SarawakPay, yang mungkin boleh dibangunkan dengan satu platform sahaja bagi semua pembayaran
bil.
“Mungkin bagi pembayaran pelbagai bil kita hanya bayar dalam satu platform sahaja, ini akan kita terus bangunkan.
“Saya percaya Setiausaha Kerajaan Negeri dan rakan yang lain dapat membina platform sebegini yang sudah pasti memberi
perkhidmatan penyampaian lebih baik kepada rakyat,” katanya.
COVID-19: China pilih lapan pakar perubatan terbaik

Hafidzul Hilmi Mohd Noor - April 19, 2020 @ 1:44pm


bhnews@bh.com.my

Lapan pakar perubatan dari China yang tiba di Malaysia. - Foto FB Kedutaan China di
Malaysia
PreviousNext
KUALA LUMPUR: Lapan pakar perubatan dari China yang tiba di Malaysia semalam adalah daripada pelbagai bidang kepakaran dan dipilih
Suruhanjaya Kesihatan di Guangdong.

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian, berkata kepakaran mereka khusus dalam pelbagai bidang seperti pernafasan, rawatan rapi, psikiatri,
penyakit berjangkit, analisis data, virologi dan perubatan tradisional Cina (TCM).

“Mereka antara pakar terbaik dipilih khas China. Sebahagian mereka pernah bertugas di Hubei.

“Pasukan ini akan berada di Malaysia selama dua minggu secara tentatif. Mereka juga akan pergi ke Sabah dan Sarawak untuk berkongsi
kepakaran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tian berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan kakitangan perubatan dari seluruh negara ini bakal menerima manfaat daripada sesi pertukaran
itu.

“Kami yakin akan usaha Malaysia dalam mencegah wabak COVID-19 dan berharap Malaysia akan memenangi perang ini tidak lama lagi.

“Ketibaan pasukan pakar perubatan ini sekali lagi melambangkan hubungan baik Malaysia-China bahkan (seperti pepatah) bukit sama didaki, lurah
sama dituruni,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Pakar Perubatan, Dr Li Jun terharu menerima sambutan mesra daripada kerajaan Malaysia.

“Saya terharu dengan sambutan mesra pihak Malaysia. Kami datang ke sini atas semangat layanan baik China kepada Malaysia.

“Kami akan menggunakan masa di negara ini dengan sepenuhnya untuk membantu Malaysia mencegah COVID-19 bersama,” katanya.

Malaysia bekerjasama dengan Negara ASEAN promosi pelancongan Asia


Astro Awani
Oktober 24, 2019 19:55 MYT

Mohamaddin (lima dari kiri) bergambar selepas Seminar Pelaburan Pelancongan ASEAN-Jepun 2019 di Osaka, Jepun.
Malaysia menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan negara Anggota ASEAN bagi mempromosikan rantau ini sebagai destinasi
pelancongan tunggal yang mampan dan berdaya saing.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ASEAN perlu lebih proaktif untuk mempromosikan pelaburan
langsung asing dan peluang pelaburan pelancongan yang terdapat di negara mereka kepada bakal pelabur yang berada di Jepun.
“Bagi mencapai hasrat itu negara anggota digesa mengenal pasti produk-produk pelancongan dan prasarana berkualiti yang boleh diangkat sebagai
tarikan utama negara masing-masing.
“Seperti membangunkan taman-taman tema, pusat peranginan bermodelkan alam semulajadi atau eco-resorts, hotel-hotel lima bintang dan pusat
konvensyen bertaraf antarabangsa," katanya.
Komitmen dan hasrat itu disampaikan Mohamaddin ketika berucap pada Seminar Pelaburan Pelancongan ASEAN-Jepun 2019 di Osaka, Jepun pada
Khamis.
Seminar tersebut diadakan sempena pembukaan Ekspo Pelancongan Jepun - TEJ 2019 yang bermula 23 Oktober dan berakhir pada 26 Oktober ini.
Pada seminar tersebut sembilan negara anggota ASEAN membentangkan projek dan portfolio pelaburan pelancongan masing-masing serta insentif
yang terdapat di negara mereka kepada 50 pelabur Jepun yang menghadiri program berkenaan.
Malaysia berkongsi prospek pelaburan pelancongan terkini di Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak, serta insentif ditawarkan oleh kerajaan kepada
pelabur asing, termasuk insentif terkini yang diumumkan pembentangan belanjawan 2020 yang lalu.
Bercakap di luar seminar Mohamaddin berkata pasaran pelancongan di negara matahari terbit itu penting buat Malaysia kerana negara menyaksikan
peningkatan saban tahun kemasukan pelancong Jepun ke Malaysia.
“Ini merupakan penyertaan kali ke- 42 negara pada Ekspo Pelancongan Jepun dan ini merupakan antara pasaran penting negara.
“Jepun merupakan pasaran tradisional bagi Malaysia yang menyumbang 394,540 pelancong ke Malaysia pada tahun 2018 dan menjadikannya 10
negara teratas kehadiran pelancong ke negara kita," katanya.
Mohamaddin berkata, dari sudut perbelanjaan pelancong pula ia menyaksikan peningkatan sebanyak 37.7 peratus atau RM 1,670.1 juta pada 2018
berbanding RM1,213.1 juta pada tahun 2017.
“Terkini, dari Januari hingga Julai tahun ini, terdapat sejumlah 231,831 pelancong Jepun yang melawat Malaysia dan ia meningkat sebanyak 5.9
peratus berbanding 218,940 pelancong pada 2018.
“Melalui penyertaan dalam TEJ 2019 ini, Malaysia merancang untuk menarik sejumlah 480,000 pelancong Jepun menjelang akhir tahun ini,”
katanya.

ASEAN dan FIFA meterai kerjasama pembangunan sosial serantau


Najib Aroff
November 2, 2019 21:22 MYT

Kerjasama itu bakal menyaksikan FIFA dan ASEAN melaksanakan strategi bersama untuk mempromosi gaya hidup sihat dan penyertaan infklusif
dalam sukan bola sepak. - Reuters
ASEAN memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) komprehensif bersama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mejadikan
sukan bola sepak sebagai pemangkin pembangunan sosial dan gaya hidup sihat rantau ini.
MoU berkenaan ditandatangani Presiden FIFA Gianni Infantino dan Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi ketika Sidang Kemuncak
ASEAN ke 35 di Bangkok, Thailand.
“Di rantau ini, bola sepak dan sukan secara amnya menyatukan penduduk dan mempromosi kesalinghubungan yang lebih hebat antara penduduk
rantau ini, dan menyatukan kita sebagai satu komuniti,” kata Jock Hoi.
Majlis turut disaksikan pemimpin ASEAN termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita mempunyai misi yang sama meskipun misi anda (ASEAN) adalah lebih besar dari kami (FIFA), namun misi bersama kita adalah untuk
memberikan harapan dan senyuman kepada golongan belia kita, dan berikan kegembiraan kepada mereka. Saya yakin jika anda serahkan bola
kepada seorang kanak-kanak lelaki mahupun perempuan, mereka akan tersenyum. Inilah kelebihan bola sepak dan kita perlu perluaskan lagi,” kata
Infantino.
MoU itu merangkumi pelabagai bentuk kerjasama dengan fokus terhadap pendidikan, terutama melalui pelaksanaan Program Bola Sepak untuk
Sekolah FIFA bagi meningkatkan kepakaran dan pendidikan fizikal melalui bola sepak di Asia Tenggara.
Kerjasama itu bakal menyaksikan FIFA dan ASEAN melaksanakan strategi bersama untuk mempromosi gaya hidup sihat dan penyertaan infklusif
dalam sukan bola sepak, terutama buat golongan wanita dan masyarakat tertindas.
Selain itu kerjasama juga akan memberi tumpuan kepada mempromosi keselamatan kanak-kanak dalam sukan bola sepak selain menambahbaik
integriti sukan dengan meningkatkan tahap kesedaran tentang permainan yang adil dan bersih, serta membanteras gejalah doping.
Pemimpin ASEAN pada awal October lalu bersetuju untuk membida menjadi tuan rumah bagi penganjuran Piala Dunia FIFA 2034.
Usaha itu akan dimulakan Pengerusi ASEAN 2019, Thailand dengan kerjasama rakan negara lain termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan
Vietnam.
Antara negara lain yang menunjukkan minat untuk membida prospek tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034 adalah China, Mesir, Zimbabwe, Nigeria
dan bidaan bersama oleh Australia dan New Zealand.
Tangani perbezaan, sebarkan keharmonian
Oleh admin 17 September 2022
HARI Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September merupakan dua tarikh penting Sambutan
Bulan Kebangsaan yang dirai dengan meriahnya oleh semua pihak, baik kerajaan, agensi dan institusinya, organisasi
bukan kerajaan mahupun rakyat marhaen.
Lebih kurang enam dekad kemerdekaan dan pembentukan Malaysia disambut oleh rakyat yang terdiri daripada
pelbagai lapisan masyarakat tua dan muda, bangsa, agama dan budaya serta pelbagai latar belakang ekonomi,
pendidikan dan fahaman.

Kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia mewujudkan pandangan berbeza-beza tentang erti kemerdekaan dan juga
semangat yang ada dalam sambutan kebangsaaan. Pandangan berbeza ini bergantung kepada keprihatinan terhadap
semangat patriotisme, pemahaman terhadap konsep perpaduan dan juga usaha memupuk nilai murni setiap individu
dalam kehidupan bermasyarakat.

Ketiga-tiga perkara penting yang disebutkan ini perlulah difahami sebaiknya untuk merealisasikan pandangan yang
betul mengenai kesatuan rakyat Malaysia agar terhasilnya kemakmuran dan keharmonian dalam negara tercinta ini.
Semangat patriotisme diistilahkan sebagai perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air (Kamus Dewan 1989: 917).
Patriotisme berasal daripada perkataan Latin patria danYunani patritha yang merujuk kepada seseorang yang
mempunyai perasaan cinta, sentiasa menyokong dan mempertahankan negara sendiri secara berterusan dan
berpanjangan.

Patriotisme bukanlah sekadar luahan perasaan, bahkan ia menuntut penghayatan oleh setiap warganegara. Ia bukan
sekadar semangat, tetapi merupakan pegangan agung yang melibatkan elemen kesetiaan, keberanian, jati diri, rela
berkorban, kesukarelaan, kewarganegaraan, kemerdekaan, kedaulatan dan cinta terhadap bangsa dan negara. Oleh
itu, setiap rakyat Malaysia harus mempunyai semangat patriotisme kerana
kemerdekaan yang diperoleh bukan didapati dengan mudah, malah berlaku dalam suasana yang penuh kesukaran
dan pengorbanan.

Kita dianggap berjiwa patriot (pejuang) apabila kepercayaan, amalan dan tindakan menepati cinta dan setia kepada
negara sehingga sanggup melakukan apa saja deminya. Sesebuah negara dibentuk oleh warisan dan wawasan yang
berlandaskan sejarah yang dilalui oleh rakyat dalam negara tersebut. Warisan di sini merujuk kepada kehidupan
rakyat yang diketuai pemimpin yang mengemudi mereka melalui pelbagai liku-liku sejarah sejak zaman dahulu.

Hubungan rakyat kepada negara dan pemimpin diikat oleh semangat patriotisme. Dalam konteks Malaysia, konsep
cintakan negara yang ingin diterapkan adalah mempunyai nilai-nilai seperti berbangga sebagai rakyat dan setia
kepada negara, bersemangat kekitaan, berdisiplin dan seterusnya berusaha dan produktif. Nilai-nilai ini telah
diterima dan diguna pakai oleh Kementerian Pendidikan dan diterapkan dalam kalangan pelajar-pelajar daripada
peringkat rendah, menengah dan institut pengajian tinggi (IPT) agar dapat melahirkan modal insan yang mempunyai
jati diri yang tinggi sebagai aset yang berharga kepada agama, bangsa dan negara.

Namun persoalannya, adakah penerapan nilai-nilai ke dalam sistem pendidikan kita ini telah berjaya melahirkan
warganegara yang betul-betul mempamerkan semangat cintakan negara? Malang sekali, ia jauh daripada apa yang
diimpikan kerana terlalu banyak kepincangan berlaku dalam masyarakat, antaranya ketamakan pemimpin sehingga
sanggup menggadaikan negara dan membazirkan wang rakyat untuk kepentingan diri sendiri, tidak langsung
memikirkan kepentingan rakyat yang amat memerlukan bantuan.

Begitu juga terdapat rakyat yang tidak cintakan negara sehingga sanggup memperjudikan kedaulatan negara dengan
memilih pemimpin yang tidak berintegriti dan kompeten sebagai pemimpin mereka. Semangat patriotisme ini
amatlah penting untuk dihayati sedalamnya oleh seluruh rakyat Malaysia kerana implikasinya sangat besar kepada
kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

Tanyalah diri sendiri sama ada kita betul-betul cintakan negara kita dan telah melakukan apa yang sepatutnya,
bukan sekadar berkata-kata. Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin menyatakan bahawa inti pati semangat
cintakan negara akhirnya akan menjurus kepada perpaduan yang selanjutnya menatijahkan keadaan yang aman
damai dan melahirkan suatu bentuk kestabilan politik, ekonomi dan sosial yang baik. Keadaan ini membolehkan
rakyat daripada pelbagai etnik dapat hidup bersama dalam suasana aman dan bebas daripada konflik kekerasan
etnik yang kerap dan berpanjangan.

Kepentingan perpaduan rakyat

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk dengan kewujudan pelbagai kelompok kaum, agama dan budaya yang
berbeza sejak hampir seratus tahun. Kemasukan warga asing telah menyebabkan komposisi masyarakat semakin
berbilang bangsa. Walaupun terdapat pelbagai usaha menyatukan kelompok etnik, agama dan budaya yang berbeza
terutama di peringkat awal kemerdekaan negara, agenda keharmonian dan perpaduan perlu terus menjadi
penekanan masyarakat dan negara bagi memastikan kestabilan dan keharmonian dapat dicapai.

Memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman ketika pengisytiharan kemerdekaan negara, “Mulai 31 Ogos 1957, (kita)
akan menjadi sebuah negara berdaulat dan demokratik untuk selama-lamanya, yang dibina berdasarkan prinsip
kebebasan dan keadilan serta sentiasa memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya”. Katanya lagi,
“Kita semua adalah rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa
perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai satu bangsa dan sebagai satu negara”.

Oleh itu, kalam Tunku ini boleh difahami sebagai wajibnya pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan negara
berusaha memastikan perpaduan dan keharmonian rakyat tercapai. Walaupun terdapat pelbagai cabaran yang
mendatang dan cuba merosakkan keharmonian yang sedia terjalin, rakyat perlu terus diberi pemahamanan bahawa
mereka sepatutnya menerima hakikat yang mereka berkongsi bumi yang sama.
Agenda perpaduan dalam kalangan masyarakat perlu menjadi keutamaan dan digerakkan secara menyeluruh dan
bukan semata-mata sebagai slogan oleh semua pihak dalam masyarakat terutamanya agamawan, pendidik dan
pemimpin masyarakat.

Ia merupakan asas kepada kesatuan rakyat di Malaysia dan membawa kepada kemajuan pembangunan negara.
Kepelbagaian semestinya membawa kepada perbezaan dan ia memang menjadi lumrah kehidupan, namun tidak
semesti perbezaan itu sentiasa membawa kepada keburukan.

Dr Mohd Farid Mohd Shahran, Felow Utama dan Pengarah Pusat Kajian Syariah, Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM) ada menekankannya dalam pembentangan beliau di Kongres Nasional Islam, Keluarga Malaysia dan
Keharmonian: Membina Agenda Kalis Cabaran Masa Depan. Menurutnya, sejarah manusia banyak merakamkan
bahawa usaha dan aktiviti manusia dijalankan atas kerjasama, kesatuan fikrah dan kesepakatan. Ini dapat
ditunjukkan di dalam pelbagai tamadun dan peradaban manusia yang hebat, contohnya peradaban Islam yang
dibentuk oleh Islam berlandaskan panduan al-Quran.

Kita dapati bahawa Rasulullah SAW sendiri telah membuktikan secara amali kepentingan perpaduan dalam negara
Islam yang ideal bahkan rentas kaum dan agama. Perbezaan yang ada tidak menghalang kepada kesejahteraan dan
juga pembangunan masyarakat atau negara tersebut. Meneliti sejarah untuk mendapatkan kemerdekaan, Tunku
Abdul Rahman sendiri dari awal lagi sentiasa menekankan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama, malah tidak
pernah menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka.

Usaha beliau disokong oleh beberapa pemimpin lain seperti Tun VT Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock. Biarpun
Malaysia secara amnya lebih aman berbanding kebanyakan negara lain di skala global, polarisasi masyarakat kerana
isu-isu keagamaan, politik, sosial, pentadbiran dan sebagainya memang tidak dapat dinafikan. Sedikit jolokan isu
perkauman atau keagamaan contohnya, boleh menggegarkan atau membuka ruang untuk retakan dan ketegangan
sesama rakyat.

Di sini pentingnya peranan dan kualiti pemimpin yang kompeten dan berintegriti yang dapat menyatukan dan
bukannya memecah-belahkan rakyat. Namun sayang, di Malaysia terdapat pemimpin yang sanggup mempolitikkan
isu perpaduan semata-mata untuk mendapatkan sokongan atau atas sebab peribadi yang terus ingin berada di pucuk
pimpinan. Justeru, semua rakyat Malaysia perlu memahami bahawa perbezaan sepatutnya merupakan satu aset
besar kepada kita semua yang memungkinkan pembentukan negara yang maju dalam pelbagai segi dan bukan
dianggap satu liabiliti yang membawa kepada keruntuhannya.

Ia perlu dilihat secara objektif dan usaha perlu dilakukan bagi mengukuhkan pemahaman ini agar perpaduan rakyat
tidak mudah goyah oleh sekelompok manusia untuk kepentingan mereka. Jika kesatuan dan perpaduan dapat kita
hasilkan dalam masyarakat, maka mudah untuk kita lihat pemupukan nilai-nilai murni.

Pemupukan nilai murni antara kaum


Kerajaan Malaysia amat menitikberatkan persoalan akhlak dan nilai-nilai murni dalam masyarakat yang berbilang
bangsa. Kandungan Rukun Negara tertumpu ke arah melahirkan satu negara bangsa Malaysia yang maju progresif,
saintifik dan hidup bersatu-padu. Kajian menunjukkan bahawa tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India
masing-masing mengamalkan kebudayaan, adat resam, agama dan bahasa tersendiri.

Budaya masyarakat Melayu contohnya, menggabungkan unsur agama iaitu Islam dan adat. Kedua-dua aspek ini
menjadi asas yang utama dalam proses sosialisasi dan pembudayaan. Namun demikian, adat dan budaya yang
menjadi asas dalam proses sosialisasi tersebut hendaklah berteraskan syarak. Ini adalah kerana jati diri Melayu yang
bersandarkan adat dan budaya adalah berpaksikan konsep tauhid.

Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah agama yang sentiasa memartabatkan maruah, kemuliaan
atau harga diri manusia. Islam tidak pemah membezakan kedudukan seseorang dengan yang lain berdasarkan
perbezaan wama kulit, jantina atau lainnya. Islam sebagai agama dan sistem kepercayaan merupakan teras jati diri
orang Melayu. Perwatakan, adab dan kesusilaan orang Melayu yang bersandarkan prinsip tauhid dan hukum syarak
dihayati dalam sistem kehidupan sama ada dalam entiti keluarga, masyarakat mahupun sistem pemerintahan
negara.

Masyarakat Cina juga mempunyai sistem kepercayaan dan pandangan semesta yang tersendiri. Mereka memuja
nenek moyang dan tian (langit) di samping kepercayaan primitif iaitu animisme iaitu pemujaan binatang, tanaman
atau alam semula jadi. Ia wujud dalam kalangan masyarakat Cina sejak zaman silam lagi. Di Malaysia, kebanyakan
masyarakat Cina menganuti agama Buddha, Kristian, Taoisme dan Konfusianisme.

Masyarakat Cina lebih mementingkan aspek kepercayaaan yang boleh memberikan kesejahteraaan, kemakmuran,
kebahagiaan dan kekayaan. Mereka mementingkan nilai kemanusiaan di mana mereka menganggap manusia
mempunyai kedudukan yang unggul dan memainkan peranan penting dalam alam semesta.

Nilai-nilai tersebut termasuklah moral sebagai ideologi, hubungan manusia dengan alam semesta, kepentingan
institusi keluarga, keutamaan pendidikan, dan keharmonian. Ini jelas menunjukkan bahawa bagi masyarakat Cina
setiap golongan sama ada pemerintah atau yang diperintah mestilah mempunyai moral dan akhlak yang mulia.
Keluarga, masyarakat dan juga negara perlu mengetahui peranan masing-masing supaya kehidupan aman dan
sejahtera.

Masyarakat India kebanyakannya beragama Hindu. Bagi masyarakat India, keluarga merupakan unit asas dan
terpenting. Apa yang dititikberatkan oleh masyarakat India ialah perpaduan antara ahli keluarga yang dipelihara
dengan kasih sayang dan memberi perhatian kepada semua golongan. Kepercayaan serta budaya keluarga dipelihara
dan diturunkan kepada generasi muda. Agama Hindu amat menitikberatkan setiap individu supaya melakukan segala
kebaikan dan tidak melakukan kerosakan terhadap makhluk yang lain, sama ada manusia atau haiwan.
Ini membentuk keperibadian masyarakat India dari segi etika dan moral yang mantap agar kehidupan mereka
menjurus ke arah kebaikan dan dapat menghindar daripada keburukan dan perkara-perkara yang menyalahi norma-
norma dan garis panduan dalam kepercayaan mereka. Masyarakat Malaysia selain diwarnai oleh tiga bangsa terbesar
ini juga kaya dengan pelbagai etnik yang lain samada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak. Setiap kumpulan
etnik ini juga kaya dengan budaya dan nilai-nilai murni yang dihayati oleh mereka.

Justeru, pelbagai bangsa dan etnik seharusnya mempunyai budaya yang membolehkan mereka berinteraksi antara
satu sama lain. Kebudayaan masyarakat Malaysia walaupun berbeza, mempunyai asas yang sama iaitu membentuk
keperibadian dan jati diri individu ke arah yang lebih baik. Inilah yang membolehkan masyarakat rakyat dapat saling
berhubung dalam melaksanakan satu matlamat yang sama, iaitu membentuk masyarakat Malaysia yang bepegang
teguh kepada ajaran agama masing-masing dan mementingkan nilai-nilai murni yang diajar dalamnya. Penghayatan
nilai-nilai murni oleh masyarakat majmuk perlu diteruskan terutamanya yang terdapat dalam ajaran agama masing-
masing.

Perbezaan dari segi agama, bahasa dan kebudayaan tidak sepatutnya menyebabkan lahirnya budaya kesukuan yang
ketara dalam kalangan masyarakat di negara ini. Seharusnya, para pemimpin yang awal-awal meneladani nilai-nilai
murni ini dalam pelbagai aspek, dari menjaga tutur kata sehinggalah menolak rasuah dan menjaga amanah yang
telah dipertanggunjawabkan kepada mereka. Kelakuan yang tidak selari dengan nilai-nilai ketimuran semua bangsa
Malaysia yang sopan dan berakhlak membuatkan rakyat rasa muak dan skeptik terhadap ahli politik. Rakyat
sewajibnya memikirkan pimpinan jenis apa yang mereka mahukan untuk menerajui negara.

Ideologi luar pula ada yang membawa budaya hedonisme yang mengutamakan keseronokan semata-mata dan nilai-
nilai negatif, ekonomi bebas yang menindas, sains dan teknologi yang menyeleweng dan memusnahkan serta sistem
politik yang dipaksa ke atas manusia seluruh dunia. Malaysia tidak terkecuali daripada pengaruh ini pada era
globalisasi yang mendesak. Globalisasi menjadi faktor pengubah budaya yang amat kuat dan deras, mengakibatkan
semakin lenyapnya nilai-nilai luhur dan budi bahasa secara tidak disedari dan pemikiran luar diterima secara halus ke
dalam minda masyarakat.

Bagi menghindari segala ancaman daripada fahaman luar yang meruntuhkan ini serta untuk menjamin ketahanan
rakyat Malaysia, maka mereka mestilah berbalik kepada tiga perkara asas tersebut iaitu semangat cintakan negara,
konsep perpaduan sebenar dan pemupukan nilai-nilai murni yang membentuk semua rakyat sebagai satu entiti yang
boleh dikenali sebagai bangsa Malaysia.
Silang budaya pupuk perpaduan
olehJOHARI YAP11 Ogos 2019 02:57pm
MALAYSIA kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa, adat resam dan agama. Masyarakat luar sering memandang Malaysia sebagai
negara model perpaduan atas keharmonian dan kesejahteraan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Silang budaya berlaku apabila dua atau lebih individu daripada latar belakang berbeza berinteraksi.

Perbezaan latar belakang ini mencakupi budaya luaran yang ketara seperti pakaian, rupa, bahasa, adat resam, makanan dan tempat
tinggal. Manakala budaya dalaman yang tidak ketara adalah seperti pengetahuan, kepercayaan, moral dan nilai hidup. Apabila
perbezaan budaya ini difahami, ia akan melahirkan hubungan yang positif dan harmoni.

Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik, dalam ucapannya sempena forum Bahasa Jiwa Bangsa yang telah berlangsung di Wisma
DBP pada akhir tahun lepas, turut menyeru lebih ramai pihak mengadakan aktiviti dan program silang budaya antara sekolah
kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama, bagi mencorak pemikiran generasi masa depan. Kementerian

Pendidikan mahu menekankan lebih penghayatan terhadap silang budaya dan kaum di peringkat sekolah dan universiti agar semangat
perpaduan antara pelbagai bangsa dapat terus dipupuk.

Menurut Dr. Maszlee, “Tak kenal maka tak cinta, tapi yang lebih bahaya, tak kenal akhirnya prejudis dan salah faham.” Beliau
berpandangan program seperti pertukaran murid dan guru, bermain sukan dan persembahan budaya secara bersama, mungkin boleh
menjadi penawar kepada masalah hubungan antara kelompok masyarakat yang berbeza.

Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) merupakan salah satu NGO yang sering mempromosi agenda perpaduan. Lebih 80 peratus
daripada ahli Macma berkahwin campur, terutama antara Melayu dan Cina. Anak-anak yang dilahirkan daripada perkahwinan campur
biasanya menjadi “buta warna” dan tidak rasis kerana mereka tidaklah terlalu Melayu mahupun terlebih Cina. Mereka mudah
memahami dan menghormati perbezaan budaya antara dua kaum terbesar di Malaysia ini.

Baru-baru ini, dalam majlis makan malam sempena 25 tahun penubuhan Macma yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Agama), YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, terdapat beberapa persembahan silang budaya yang menarik perhatian
tetamu jemputan pada malam tersebut. Tetamu bukan sahaja terdiri daripada ahli-ahli Macma dari seluruh negara serta Jabatan
Agama Negeri dan NGO dakwah, tetapi juga Cina Muslim dari negara China, Indonesia, Thailand, Hong Kong dan Taiwan.

Antara persembahan yang menarik perhatian adalah nasyid dalam bahasa Melayu dan Mandarin yang diketuai oleh Ustaz Shasainie
Siau, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan. Beliau juga merupakan Pengerusi Macma
Negeri Sembilan. Selain mengadakan kelas fardu ain untuk saudara baharu serta mengajar di masjid dan surau di seluruh Negeri
Sembilan, beliau turut menjadi imam solat Jumaat dan juga solat terawih pada bulan Ramadan.

Persembahan gamelan turut mendapat pujian tetamu yang hadir. Perkataan gamelan berasal daripada perkataan Jawa, gamel, yang
bermaksud memukul ataupun tukul dan amat sinonim dengan kebudayaan Melayu. Pada malam tersebut, pasukan gamelan
mempersembahkan lagu “On the General’s Orders”, lagu rakyat China yang masyhur sebagai lagu tema filem kungfu Wong Fei Hung,
“Once Upon A Time in China”.

Selain itu, seorang penyanyi bernama Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul turut menyanyikan dua buah lagu iaitu Ching Ai (Raihan)
dan InsyaAllah (Maher Zain). Beliau yang lebih dikenali sebagai Meer Nash merupakan anak campur Melayu dan Cina. Ibu beliau,
Selena Lee, adalah ahli Macma Pulau Pinang. Meer Nash pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi tempat kedua
dalam pertandingan nyanyian peringkat antarabangsa di Beijing pada tahun 2017.

Persembahan silang budaya pada malam itu diakhiri dengan nyanyian berbentuk acapella oleh kumpulan Pinyin, sekumpulan anak
Melayu yang diketuai saudara Johan. Mereka merupakan bekas penuntut pengajian Bahasa Mandarin di Beijing. Nyanyian lagu Wau
Bulan yang menggabungkan lirik Melayu dan Cina turut memukau para hadirin.
Semoga lebih banyak program silang budaya seumpama ini dijalankan demi menyemarakkan semangat perpaduan kaum di negara
kita.

Jinping mahu hak asasi manusia dinikmati secara adilJun 14, 2023 @ 8:19pm

BEIJING: Presiden China, Xi Jinping berkata manusia sekali lagi berada di persimpangan, manakala tadbir urus hak asasi manusia global pula
sedang menghadapi cabaran serius ketika ini.

Justeru, beliau mengesyorkan supaya melindungi hak asasi manusia dengan keselamatan, menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua
negara, menempuh jalan pembangunan aman dan melaksanakan Inisiatif Keselamatan Global, demi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk
menzahirkan hak asasi manusia.

Jinping berkata demikian menerusi surat tahniah kepada Forum Tadbir Urus Hak Asasi Manusia Global yang dirasmikan di sini, hari ini.

Dalam surat itu, beliau turut menyarankan untuk mempromosikan hak asasi manusia melalui pembangunan, melaksanakan Inisiatif Pembangunan
Global.

Pada masa sama, usaha meningkatkan aspek inklusif, manfaat umum dan kemampanan pembangunan, demi memastikan hak asasi manusia dapat
dinikmati oleh rakyat semua negara secara adil harus diusahakan, dengan laluan pemodenan masing-masing.

Pada masa sama, beliau juga mencadangkan untuk menggalakkan hak asasi manusia melalui kerjasama, saling menghormati dan berinteraksi secara
sama rata antara satu sama lain.

"Inisiatif Peradaban Global perlu diamalkan, pertukaran dan saling belajar antara peradaban harus diperkukuh untuk mencapai konsensus melalui
dialog, supaya bersama-sama mewujudkan pembangunan dan kemajuan peradaban hak asasi manusia," tambah Jinping.

Tegas beliau, China komited terhadap prinsip rakyat diutamakan, berpegang kepada jalan pembangunan hak asasi manusia yang menepati trend
semasa dan sesuai dengan keadaan negaranya sendiri.

"Kami (China) akan terus meningkatkan tahap perlindungan hak asasi manusia dalam proses membangunkan pemodenan ala China.

"China bersedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan semangat Deklarasi Vienna dan Program Tindakan,
menggalakkan tadbir urus hak asasi manusia global ke arah lebih adil, saksama, munasabah dan inklusif.

"Kami juga mahu mewujudkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan dan bersama-sama membina dunia yang lebih indah," kata
Jinping.

Forum Tadbir Urus Hak Asasi Manusia Global anjuran Pejabat Penerangan Dewan Negara, Kementerian Luar dan Agensi Kerjasama Pembangunan
Antarabangsa China ini bertemakan 'Kesaksamaan, Kerjasama, Pembangunan: Ulang Tahun ke-30 Deklarasi Vienna dan Program Tindakan dan
Tadbir Urus Hak Asasi Manusia Global'. - BERNAMA-CMG
Malaysia, Thailand jalin kerjasama terokai sektor pelanconganMahani Ishak - Jun 29, 2019 @ 9:30amahani@bh.com.my

Gabenor Narathiwat, H E Ekkarat Leesen (kanan) dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi merasmikan program Sukan Dan Kebudayaan Thailand-
Malaysia 2019 di Taman NarKrom Luang Narathiwat Ratchanakarin Park. - Foto Supian Ahmad

NARATHIWAT: Sektor pelancongan Malaysia mempunyai prospek cerah untuk memberikan pengalaman lancar dalam kalangan pelancong asing
yang memilih negara ini sebagai destinasi tunggal mereka.

Pesta Pelancongan, Kebudayaan dan Sukan Dua Negara antara Malaysia dan Thailand, disifatkan inisiatif saling sokong-menyokong dalam bidang
pelancongan dan budaya sekali gus menjadikannya sektor yang berdaya menarik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata Malaysia meletakkan sasaran menjadi destinasi pelancongan unggul
dalam rantau sekali gus dikenali sebagai negara yang kaya dengan keunikan budaya, warisan dan tarikan semulajadi.

"Festival ini menggabungkan rakan industri dan pihak berkepentingan negara kita, tetapi membabitkan penyertaan dari negara jiran bersama dan
mengenali antara satu sama lain, berkongsi maklumat mengenai usaha untuk membangunkan pelancongan dan potensi budaya di kedua-dua negara.

"Menerusi platform ini ia mempromosikan kepelbagaian budaya dan tarikan mempesonakan yang terdapat di Narathiwat selain memberi peluang
menerokai pengalaman berbeza yang sesuai diperkenalkan di negara kita," katanya di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikiann pada majlis Kebudayaan Thailand Malaysia yang juga adalah lawatan rasmi sekali gus menjadi yang pertama bagi
wilayah sempadan negara jiran ini.

Antara persembahan yang dipamerkan oleh artis kebudayaan dua negara sempena program Sukan Dan Kebudayaan Thailand-Malaysia 2019 di
Taman NarKrom Luang Narathiwat Ratchanakarin Park. - Foto Supian Ahmad
Sempena festival itu, pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya perlawanan bola sepak, acara tarik tali, permainan golf serta tarian kebudayaan kedua
negara yang turut disaksikan Gabenor Narathiwat, H E Ekkarat Leesen.

Malaysia dan Thailand, antara negara ASEAN menikmati hubungan diplomatik dan hubungan dua hala kukuh dalam bidang sukan, pelancongan,
budaya dan hubungan serta pembangunan sosio-ekonomi di kawasan sempadan.

Mohamaddin berkata, hubungan itu diharapkan menjadi asas yang mengukuhkan hubungan budaya dan pelancongan yang sedia terjalin.

"Dalam mencapai tujuan berkenaan Malaysia akan terus mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan pelancongan dan kebudayaan,
termasuk kerjasama antara pihak berkepentingan industri pelancongan dan penggiat kebudayaan bagi memastikan industri terus berkembang.

"Menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bakal dilancarkan mulai Julai ini, kita menjangkakan ketibaan 30 juta pelancong dengan
pulangan pendapatan berjumlah RM100 bilion, pada tahun depan.

Katanya, kedudukan jenama global 'Malaysia Truly Asia' dilihat menjadi daya penyerlah pelbagai budaya dan masyarakat berbilang kaum yang
hidup harmoni.

Sementara itu, Leesen berkata acara dua negara itu menonjolkan keunikan budaya yang hampir mempunyai persamaan, selain memperkenalkan
tempat tarikan yang ada di wilayahnya antaranya keindahan pantai, alam semulajadi dan lain-lain.

"Ini satu penghormatan kepada kita dan memberikan galakan kepada kedua-dua pihak, kerana sebelum ini kita mempunyai banyak aktiviti menarik
antaranya pesta buah, perahu golek, perahu panjang dan lain-lain," katanya.

Cara-Cara Membanteras Jenayah Antarabangsa


Dalam meniti arus kemodenan yang serba mencabar akal dan minda kita terbit satu polemik yang menjadi wadah perbincangan
secara global. Pola peningkatan jenayah antarabangsa semakin membimbangkan kita sebagai penghuni ibu pertiwi ini dan juga
masyarakat dunia secara amnya. Jenayah pemerdagangan manusia, jenayah siber, penyeludupan dadah dan senjata api yang kian
melarat sehingga memakan nyawa ribuan manusia yang tidak bersalah perlu ditangani secara kolektif. Persis kata mutiara, berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing yang membawa maksud semua pihak harus bersama-sama menyumbang tenaga dalam
menyelesaikan masalah ini dan menikmati hasilnya di waktu kelak. Oleh itu, kita perlu mencari cara-cara terbaik untuk membanteras
jenayah antarabangsa supaya kesejahteraan sejagat dapat dicapai.

Prakarsa utama dalam memastikan jenayah yang melibatkan negara asing ini tidak berlaku adalah dengan mempunyai hubungan
multilateral yang kukuh. Pucuk pimpinan negara kita sudah pun memastikan kita sentiasa mempunyai hubungan multilateral dengan
negara asing apabila menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN. Penyertaan negara dalam organisasi
internasional yang melibatkan pelbagai negara membolehkan kita mendapat bantuan ketenteraan dan teknologi keselamatan yang
terkini daripada negara yang lebih maju. Namun begitu, kewujudan negara berkuasa veto telah merencat usaha untuk mencapai
keamanan sejagat. Hal ini kerana terdapat jenayah antarabangsa berpunca daripada tindakan negara berkuasa veto ini dalam
mendapatkan atau menjaga kepentingan mereka. Sekiranya setiap negara mengamalkan sikap toleransi dan terbuka dalam mengejar
kemajuan, sudah pasti impian keamanan sejagat tidak mustahil.

Pada masa yang sama, kita wajar mengambil kesempatan akan kemajuan teknologi mutakhir ini. Perkongsian data atau maklumat
yang berkaitan jenayah antarabangsa akan membantu dalam membanteras konflik yang mengganggu keharmonian global.
Kerjasama antara agensi keselamatan antarabangsa seperti Interpol dengan agensi keselamatan tempatan seperti Polis Di Raja
Malaysia (PDRM) hendaklah digalakkan. Sebagai contoh, kita dapat lihat di dada akhbar dan siaran berita di televisyen akan tindakan
pantas PDRM menangkap individu yang terlibat dengan fahaman ekstrimis dan berkompolt untuk melakukan jenayah seperti
pengeboman dan sebagainya. Kecekapan anggota keselamatan negara kita seharusnya dipuji kerana dengan tindakan pantas dan
bantuan maklumat daripada agensi keselamatan antarabangsa telah memastikan tiada insiden ekstrim yang berlaku di dalam negara
kita.

Selain itu, cara yang dapat dilakukan bagi mengelakkan aktiviti jenayah antarabangsa adalah dengan merapatkan jurang ekonomi
antara negara maju dengan negara yang ketinggalan. Faktor tekanan ekonomi dan kekurangan sumber telah menyebabkan jenayah
seperti pemerdagangan manusia berlaku dek kerana mereka terpaksa mencari jalan demi mencari sesuap nasi. Maka, negara-negara
maju seharusnya bersikap prihatin akan nasib negara lain yang sukar untuk menjalankan aktiviti pembangunan dengan berkongsi
teknologi, ilmu pengetahuan dan model ekonomi yang dapat membantu mereka menjadi negara yang lebih baik berbanding sebelum
ini. Bantuan pakar-pakar ekonomi dan idea bernas daripada generasi muda diperlukan dalam mewujudkan kesamarataan ekonomi
dunia yang sekaligus mensejahterakan ketamadunan manusia hari ini.

Akhir sekali, tindakan jelas yang dapat dilakukan dengan pantas dalam membanteras jenayah antarabangsa adalah dengan
memastikan sempadan negara dikawal ketat. Kita tidak boleh menafikan kecekapan anggota keselamatan kita dalam menjaga
sempadan negara tetapi penjenayah hari ini semakin licik dan bijak untuk meloloskan diri daripada dicekup pihak berkuasa.
Tamsilnya, anggota keselamatan negara seharusnya mengadakan kerjasama rondaan dalam kalangan negara berjiran seperti di
sempadan laut dan darat negara. Kerjasama ini dapat mencegah kemasukan warga asing sacara haram yang boleh mengancam
keselamatan negara. Hal ini berlaku kerana kedudukan Malaysia dengan negara jiran terutamanya Indonesia dan Thailand yang
kondusif kepada kemasukan pendatang asing tanpa izin. Dalam hidup berjiran kita seharusnya membantu satu sama lain dalam
menyelesaikan masalah bak kata peribahasa Melayu, ibarat aur dengan tebing.

Konklusinya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh semua pihak dalam membanteras jenayah antarabangsa. Pemimpin-pemimpin
negara harus berganding bahu memanifestasi fikiran dalam mengorak langkah untuk membanteras kes jenayah antarabangsa
sekaligus memastikan keselamatan sejagat terjamin. Kepentingan yang bersifat menguntungkan satu pihak sahaja dimana sebelah
pihak akan menerima akibat haruslah dibuang dan diselesaikan dengan bersikap toleransi dan terbuka. Setiap nyawa di muka bumi ini
berharga dan alangkah ruginya jika tiada tindakan diambil dalam membanteras jenayah antarabangsa yang mungkin membunuh
seorang bakal doktor atau bakal pemimpin di masa hadapan. Semoga kita dikurniakan pemimpin yang berwibawa serta masyarakat
yang madani agar keamanan dan keharmonian global dapat dicapai dengan jayanya.

Ⓒ Artikel Asal Di : https://www.ipendidikan.my/cara-membanteras-jenayah-antarabangsa.html

You might also like