You are on page 1of 10

PENGGUNAAN PETA MINDA BAGI MENINGKATKAN TAHAP KEFAHAMAN

PELAJAR BAGI MATA PELAJARAN SEJARAH TINGKATAN SATU CAPELLA

Oleh

Muhammad Luqman Hakiim bin Hamzah

ABSTRAK

Kajian ini dilaksanakan dengan tujuan bagi menentukan keberkesanan penggunaan peta minda
ketika sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PDPC) tingkatan 1 Capella. Kaedah penggunaan
peta minda ini dipercayai akan membantu pelajar memahami dan mengingati sesebuah tajuk
dengan lebih mendalam atau terperinci. Terdapat tiga tindakan yang dilaksanakan bagi dalam
kajian tindakan ini. Tindakan yang pertama ialah mendengar penerangan guru dengan
menggunakan peta minda yang dipaparkan dengan menggunakan projector. Tindakan yang
kedua ialah meminta pelajar melengkapkan maklumat dalam peta minda yang kosong melalui
soalan faktor-faktor perluasan kuasa Tamadun India dan ciri-ciri sistem pendidikan tamadun
China. Tindakan yang ketiga ialah memberi gambaran menyeluruh melalui peta minda. Aktiviti
pengajaran dan pembelajaran melibatkan penggunaan peta minda oleh guru untuk memberi
gambaran menyeluruh, perbincangan bersama kelas, melengkapkan fakta dan maklumat dalam
peta minda, pembacaan buku teks untuk mencari maklumat dan fakta terperinci yang penting.
Penilaian dibuat melalui ujian pos yang akan menunjukkan tahap keberkesanan penggunaan
kaedah ini dalam sesi PdPC. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa kaedah penggunaan
peta minda dalam sesi PdPC memberikan sedikit kesan bagi pelajar 1 Capella kerana terdapat
sedikit peningkatan prestasi yang dapat dilihat melalui keputusan ujian pos.

1
1.0 PENGENALAN
Secara amnya kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan ke atas amalan oleh pengamal, baik
secara individu mahupun bersama pengamal lain; untuk mengubah dan menambah baik amalan
sedia ada. Dalam bidang pendidikan, pengamal boleh terdiri daripada seorang guru, pentadbir
atau seseorang kaunselor sekolah, atau individu lain yang terlibat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Elliot (1981) menyifatkan kajian tindakan sebagai suatu kerangka penilaian
kendiri (framework for self-evaluation) dan pendekatan yang digunakan, mementingkan aktiviti
refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk memperbaiki atau mengubah amalan kendiri dalam
lingkungan situasi sosial yang terdiri daripada guru, pelajar, pentadbir, ibu bapa dan individu-
individu lain yang berkepentingan. Menurutnya, kajian tindakan juga merupakan penyelidikan
situasi sosial yang bertujuan untuk memperbaiki kualiti tindakan dalam lingkungan sendiri.
Definisi yang selalu dijadikan rujukan, khususnya di Malaysia, ialah kajian tindakan guru
berkaitan dengan permasalahan harian yang dilalui oleh guru, bukannya masalah teoritikal
seperti mana yang dikemukakan oleh penyelidik akademik.
Kajian tindakan ini dijalankan kerana guru telah mendapati bahawa pelajar tingkatan 1
Capella amat lemah dalam mata pelajaran Sejarah. Peperiksaan pertengahan tahun membuktikan
bahawa kebanyakan pelajar tidak memahami dan mengetahui fakta-fakta sejarah yang sudah
diajar oleh guru sewaktu PdPC. Selain itu, guru juga melaksanakan ujian pra berkaitan dengan
bab 6 iaitu Tamadun Rom dan Yunani. Pelajar juga didapati menghadapi masalah untuk
memahami konsep keseluruhan mengenai urutan peristiwa sejarah dalam setiap bab yang
dipelajari. Keadaan ini akan menyebabkan kekeliruan ketika menjawab soalan yang berkaitan
dengan urutan peristiwa dan pelajar akan menghadapi masalah dalam mengaitkan sesuatu
peristiwa dengan peristiwa yang lain. Pelajar juga dilihat gagal mendapatkan markah dalam
soalan struktur serta objektif dimana soalan yang diberikan adalah berkaitan dengan fakta-fakta
sejarah berserta dengan urutan peristiwa. Oleh sebab itu, guru telah melakukan kajian tindakan
dimana sewaktu PdPC, peta minda akan digunakan bagi meningkatkan lagi kefahaman pelajar
terhadap konsep-konsep sejarah.

2
2.0 Latar Belakang Kajian
Dalam kajian tindakan ini, masalah yang dikenal pasti adalah pelajar yang tidak lulus mata
pelajaran Sejarah dalam peperiksaan pertengahan tahun. Mengikut tinjauan pengkaji, sebab
utama pelajar tidak menguasai mata pelajar Sejarah adalah disebabkan pelajar kurang meminati
mata pelajaran Sejarah. Pelajar menganggap bahawa mata pelajaran Sejarah merupakan satu
mata pelajaran yang amat membosankan. Walaupun mata pelajaran sejarah memainkan peranan
penting dalam pemupukan minda, akhlak dan jiwa manusia, namun ianya tetap berada dalam
kondisi yang menyedihkan. Sejarah dianggap mata pelajaran yang membosankan, tidak memberi
manfaat dan sekadar membuang waktu sahaja bagi pelajar. Ini menyebabkan mereka sukar
mengingati fakta-fakta, tajuk dan nama tokoh yang memerlukan penghafalan.
Pelajar juga menghadapi masalah dalam mendapatkan konsep keseluruhan mengenai
urutan peristiwa bersejarah dalam sesuatu bab. Pelajar tidak dapat melihat peristiwa-peristiwa
secara keseluruhan atau urutan yang berterusan. Justeru itu, ini tidak membantu pelajar
membentuk konsep kandungan keseluruhan sesuatu bab ataupun membantu mereka mengaitkan
satu topik dengan topik yang lain dalam sesuatu bab.
Seterusnya, teknik pengajaran guru juga mempengaruhi minat pelajar dalam menguasai
mata pelajaran Sejarah. Pengkaji yang sebelum ini menggunakan teknik pengajaran berpusatkan
guru ternyata tidak menarik hati pelajar sewaktu sesi PdPC. Cara pengajaran pengkaji ini
menyebabkan pelajar kurang meminati mata pelajaran ini. Pengkaji merasakan perlu adanya satu
kaedah pembelajaran yang berlainan dimana pelajar dilibatkan dengan lebih banyak sewaktu sesi
PdPC bagi menarik minat pelajar serta mengelakkan pelajar daripada terus bosan dan hanyut
didalam kelas.
Oleh sebab itu, kajian yang dijalankan oleh guru adalah menumpukan kepada
penggunaan peta minda bagi memastikan sesi PdPC lebih menarik dan memastikan mereka
boleh menguasai konsep-konsep serta urutan peristiwa melalui penggunaan peta minda. Antara
kelebihan peta minda ialah ianya dapat membantu pelajar mendapat gambaran yang lebih jelas
dalam sesuatu urutan peristiwa, faktor-faktor serta nama-nama tokoh yang perlu dihafal.
Penggunaan peta minda juga boleh mempelbagaikan kaedah pengajaran guru dan ianya
menjadikan guru lebih proaktif dan mahir dalam menyampaikan fakta sewaktu sesi PdPC dan
penyampaian guru akan menjadi lebih efektif serta meninggalkan kesan.

3
3.0 Fokus Kajian
Fokus kajian ini ialah penggunaan peta minda dalam PdPC sejarah dengan tumpuan khusus
kepada pelajar tingkatan 1 Capella. Peta minda merupakan salah satu medium pembelajaran
berkesan yang terdapat dalam kategori alat-alat berfikir. Peta minda telah digunakan sejak
berzaman untuk tujuan pembelajaran, percambahan fikiran, ingatan, pemikiran visualisasi dan
penyelesaian masalah oleh pendidik seperti guru. Penggunaan peta minda adalah pendekatan
yang digunakan oleh pengkaji bagi mengatasi masalah pelajar dalam meminati mata pelajaran
Sejarah. Ia juga digunakan untuk mengatasi masalah pelajar dalam mengingati fakta dan urutan
peristiwa Sejarah dalam sesuatu bab yang telah dipelajari. Masalah ini berlaku kerana pelajar
sukar mendapat gambaran jelas tentang urutan peristiwa sejarah secara keseluruhan. Sekiranya
masalah ini tidak diatasi, pelajar akan mempunyai masalah untuk mengingati fakta dan urutan
peristiwa sejarah dalam sesuatu bab dimana ianya akan memberi kesan terhadap markah mereka
pada peperiksaan akhir tahun.
Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana mata pelajaran Sejarah merupakan
mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Maka, pengkaji harus
mengatasi masalah ini seawal mereka berada di tingkatan 1 bagi memastikan masalah ini tidak
berlarutan dengan panjang. Berdasarkan ujian Pra yang dilakukan oleh guru sewaktu PdPC,
seramai 70% pelajar 1 Capella yang terdiri daripada 38 orang pelajar telah gagal dalam
menjawab soalan sejarah yang berkaitan dengan ciri-ciri demokrasi di Athens bab 6. Ini
merupakan satu jumlah yang amat membimbangkan kerana seramai 26 orang telah gagal dalam
ujian pra yang diberikan.

4.0 Objektif Kajian


Pengkaji membahagikan objektif kajian kepada dua bahagian iaitu objektif am dan juga objektif
khusus.

4.1 Objektif Am
 Meningkatkan daya ingatan pelajar dalam mengingati fakta dan urutan peristiwa Sejarah
melalui penggunaan peta minda sewaktu sesi PdPC sedang berlangsung.

4
4.2 Objektif Khusus
 Pelajar dapat melengkapkan maklumat sejarah dengan menggunakan peta minda.
 Pelajar dapat menyenaraikan faktor-faktor melalui penggunaan peta minda
 Pelajar dapat menjawab soalan objektif dan subjektif dengan tepat sewaktu ujian pos.

5.0 Kumpulan Sasaran


Kumpulan sasaran bagi ujian ini terdiri daripada 38 orang pelajar kelas 1 Capella. Mengikut
keputusan peperiksaan pertengahan tahun, sebanyak 18.42% pelajar telah lulus mata pelajaran
Sejarah. Tiada pelajar yang mendapatkan keputusan A dan B yang markahnya diantara 60 hingga
100. Sebanyak 65.78% pelajar mendapatkan markah D yang markahnya diantara 30 hingga 40
dan sebanyak 15.8% pelajar mendapatkan keputusan E dimana markahnya diantara 0 hingga 30
markah. Ringkasnya, kumpulan sasaran iaitu kelas 1 Capella ini terdiri daripada pelajar yang
lemah dalam pencapaian akademik bagi mata pelajaran Sejarah.

6.0 Metodologi Kajian


Metodologi kajian yang digunakan ialah melalui pemerhatian, ujian pra, respon ketika sesi PdPc
dan juga Ujian pos.
a) Pemerhatian
Respon pelajar ketika sesi PdPc dilihat dan dinilai secara langsung sewaktu aktiviti PdPc.
b) Ujian pra
Ujian ini diberikan kepada pelajar untuk mengukur tahap pencapaian pelajar dalam kefahaman
mereka terhadap subjek Sejarah.
c) Respon ketika sesi PdPc
Respon pelajar dinilai semasa mereka menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru ketika sesi
PdPc sedang berlangsung
d) Ujian Pos
Ujian ini diberikan kepada pelajar bagi mengukur tahap pencapaian pelajar setelah penggunaan
peta minda dalam sesi PdPC dilaksanakan.

7.0 Pelaksanaan Kajian


7.1 Tinjauan Masalah

5
Berdasarkan pemerhatian dan soal jawab guru dengan pelajar 1 Capella, didapati bahawa pelajar
kurang berminat terhadap mata pelajaran Sejarah sewaktu sesi PdPC sedang berlangsung. Ini
menyebabkan pelajar tidak menguasi fakta-fakta serta urutan peristiwa dalam mata pelajaran
Sejarah.
7.2 Analisis Tinjauan Masalah
Berdasarkan pemerhatian dan soal jawab guru dengan pelajar 1 Capella, dapat disimpulkan
bahawa kebanyakan pelajar kurang berminat dengan mata pelajaran Sejarah. Soal jawab ini
dilakukan sewaktu guru mengajar kan bab yang lalu iaitu bab 6 Tamadun Rom dan Yunani.

7.3 Tindakan yang dijalankan


Antara tindakan yang dijalankan oleh pengkaji dalam kajian tindakan ini ialah :
I. Mendengar penerangan guru dengan menggunakan peta minda yang dipaparkan dengan
menggunakan projector.
II. Meminta pelajar melengkapkan maklumat dalam peta minda yang kosong melalui soalan
faktor-faktor perluasan kuasa Tamadun India dan ciri-ciri sistem pendidikan tamadun
China.
III. Memberi gambaran menyeluruh melalui peta minda. Guru meminta pelajar membuat peta
minda bagi memastikan mereka mudah mengingati sesuatu fakta sejarah.
7.4 Pelaksanaan Tindakan yang dijalankan
7.4.1 Pelaksanaan Tindakan 1
Guru memaparkan slideshow yang mengandungi peta minda dalam bab 7.1 berkaitan dengan
Tamadun India dan Tamadun China. Pelajar mendengar penerangan guru dengan melihat peta
minda yang dipaparkan di papan putih. Melalui aktiviti ini, dapat dilihat pelajar lebih tertarik
kerana penggunaan peta minda sewaktu sesi PdPC terlihat ringkas dan tidak dipenuhi dengan
perkataan yang membuatkan pelajar merasa bosan. Tindakan 1 ini dilihat berjaya kerana pelajar
memberikan respon sewaktu sesi PdPC sedang berlangsung dan mereka dapat menjawab soalan-
soalan yang diberikan oleh guru sewaktu sesi PdPC. Objektif pembelajaran guru sewaktu PdPC
ini juga tercapai.

7.4.2 Pelaksanaan Tindakan 2

6
Guru membuat satu peta minda kosong dimana pelajar diminta untuk melengkapkan maklumat
didalam peta minda itu. Soalan didalam peta minda itu ialah faktor-faktor perluasan kuasa
Tamadun India dan ciri-ciri sistem pendidikan Tamadun China. Sebelum melengkapkan
maklumat itu, guru telah membimbing pelajar sewaktu sesi PdPC dengan memaparkan peta
minda berkaitan dengan tajuk yang diajarkan. Dapatan kajian adalah sebanyak 27 daripada 35
orang pada ketika itu telah dapat melengkapkan maklumat dialam peta minda yang kosong.
Walaubagaimanapun, terdapat 8 orang pelajar kelas 1 Capella tidak dapat melengkapkan
maklumat didalam peta minda. Ini menunjukkan bahawa tindakan 2 berjaya dan berkesan kerana
lebih daripada separuh pelajar kelas 1 Capella berjaya melengkapkan soalan dalam peta minda
yang diberikan oleh pengkaji.

7.4.3 Pelaksanaan Tindakan 3


Pengkaji telah memberi gambaran menyeluruh mengenai topik yang diajarkan dengan
menggunakan peta minda. Kemudian, guru meminta pelajar untuk membuat peta minda didalam
buku nota bagi memastikan pelajar dapat mengingati serta menghafal fakta yang sudah
diterangkan oleh pengkaji. Setelah membuat peta minda, guru telah mengadakan sesi soal jawab
atau “mini quiz” selama 10 minit sebelum berakhirnya sesi PdPC bersama pelajar 1 Capella bagi
memastikan mereka mendapat input sewaktu sesi PdPC dan juga bagi memastikan mereka
mengingati fakta-fakta sejarah yang telah dipelajari. Setelah berakhir sesi soal jawab atau “mini
quiz” tersebut, didapati seramai 30 orang daripada 36 orang pelajar telah berjaya menjawab
soalan yang diberikan oleh pengkaji dengan betul. Kuiz sejarah ini berkesan sebagai pengukuhan
bagi membantu pelajar mengingati fakta diakhir sesi PdPC.

8.0 Refleksi Kajian


8.1 Penilaian Pencapaian Pelajar
Sebelum kajian ini dijalankan ke atas pelajar-pelajar 1 Capella dengan menggunakan peta minda,
satu ujian ringkas telah dijalankan ke atas mereka. Ujian Pra ini terdiri daripada 20 soalan
objektif berkaitan dengan bab 7 tingkatan 1. Kumpulan sasaran ini diberikan masa setengah jam
untuk menjawabnya . Keputusan Ujian Pra dapat dirumuskan dalam Jadual 1 berikut :

Markah Bilangan Pelajar

7
15-20 0
10-15 2
5-10 15
0-5 21
Jadual 1 : Keputusan Ujian Pra
Berdasarkan jadual diatas, didapati bahawa seramai 21 orang pelajar atau 55.26% pelajar
kelas 1 Capella mendapat markah 0-5. Ini menunjukkan bahawa pelajar lebih daripada separuh
pelajar 1 Capella amat lemah dalam mata pelajaran Sejarah. Seramai 15 orang pelajar atau
39.47% mendapat markah diantara 5-10 dan sebanyak 2 atau 5.26% pelajar mendapat markah
diantara 10-15.
Selepas ujian pra ini dijalankan, pelajar 1 Capella telah diajar bab 7 dengan menggunakan
peta minda. Sepanjang sesi PdPC, peta minda digunakan dan pelajar juga diminta untuk
membuat nota dengan menggunakan peta minda. Di akhir bab 7, satu ujian pos telah
dilaksanakan oleh pengkaji bagi memastikan keberkesanan penggunaan peta minda sewaktu sesi
PdPC sedang berlangsung. Pelajar telah diberi tempoh selama 3 hari sebagai tempoh persediaan
bagi ujian pos ini. Keputusan ujian pos boleh dirumuskan dalam jadual 2 di bawah :

Markah Bilangan Pelajar


15-20 8
10-15 14
5-10 7
0-5 9
Jadual 2 : Keputusan Ujian Pos
Dalam ujian pos ini, telah berlaku peningkatan jika dibandingkan dengan ujian pra. Jika
dibandingkan dengan keputusan ujian pra, keputusan ujian pos menunjukkan lebih banyak murid
dapat menjawab soalan yang diberikan. Sebanyak 21% telah mendapat markah 15-20. Bagi julat
markah 10-15, sebanyak 36.84% pelajar telah mencapainya. Ini menunjukkan peningkatan yang
ketara jika dibandingkan dengan ujian pra dimana hanya sebanyak 5.26% pelajar mendapat julat
markah diantara 10-15. Bagi julat markah 5-10, sebanyak 18.42% pelajar telah mencapainya dan
ianya menunjukkan penurunan berbanding ujian pra dimana sebanyak 39.47% pelajar mendapat
markah diantara 5-10. Namun, masih terdapat pelajar yang mendapat julat markah 0-5 iaitu

8
sebanyak 9 orang yang mewakili 23.68% daripada jumlah kelas. Namun, dapat disimpulkan
bahawa pelajar 1 Capella mengalami peningkatan yang ketara dengan menggunakan teknik
PdPC berasaskan peta minda.

9.0 Rumusan Aktiviti yang Dijalankan


Tuntasnya, penggunaan peta minda sewaktu PdPC berjaya menarik minat pelajar dan
meningkatkan lagi kefahaman mereka. Ini kerana, penggunaan peta minda dapat meningkatkan
kekuatan ingatan jangka pendek bagi kelas yang mempunyai pelajar-pelajar yang lemah dari segi
pencapaian akademik. Semua ini dapat diperhatikan apabila pelajar dapat menjawab soalan-
soalan yang diberikan oleh guru sebelum sesi PdPC berakhir. Penggunaan peta minda juga
membolehkan pelajar menumpukan perhatian kerana penggunaan peta minda berserta dengan
projector LCD telah menarik minat pelajar kerana peta minda kurang mempunyai perkataan-
perkataan yang banyak dan pelajar boleh terus menumpukan perhatian terhadap penerangan guru
berdasarkan peta minda yang telah dipaparkan.

10.0 Rujukan
Abdullah, N., Osman, Z., & Ismail, A. M. (2021). KESAN PENGGUNAAN PETA
PEMIKIRAN TERHADAP PENGAJARAN PENULISAN KARANGAN MURID
TAHUN LIMA: The Effect of Using Thinking Maps on The Teaching of Essay Writing
Among Year Five Students. MANU Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB),
32(1).

Abdullah, W., & Ijazah, T. Y. D. U. M. Guru Inovatif Pendidikan Islam Dalam Inovasi
Pengajaran.

Daud, R., Ab Rahman, R., & Wahab, N. A. (2020). Sikap dan Tingkah Laku Guru Terhadap
Penggunaan Peta Pemikiran i-Think dalam Proses Pengajaran Pendidikan Islam di
Sekolah. Asian People Journal (APJ), 3(2), 24-35.

Idris, N., & Noor, N. M. (2018). Kesan Penggunaan Peta Minda Digital Terhadap Pencapaian
Dan Minat Murid Dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu (The Effect of Using

9
Digital Mind Map on Student’s Achievement and Interests in Malay Language
Writing). Innovative Teaching and Learning Journal (ITLJ), 2(2), 89-96.

Suliaman, S. R., & Abd Rahman, M. J. (2023). Penggunaan Aplikasi Coggle (Mind Map) dalam
Meningkatkan Kemahiran Berfikir dalam Kalangan Pelajar bagi Subjek Geografi. Jurnal
Dunia Pendidikan, 5(2), 191-201.

10

You might also like