You are on page 1of 18

Otak dan Saraf Tunjang

Pengenalan

Otak mengawal pemikiran, kecerdikan, ingatan dan emosi kita. Ia juga mengkoordinasi
fungsi tubuh (seperti pergerakan, peredaran darah dan penghasilan hormon) dan
mentafsir maklumat daripada deria-deria (penglihatan, pendengaran, bau, sentuhan dan
rasa) kita.
Berat purata otak ialah kira-kira satu setengah kilogram dan dikelilingi dan dilindungi oleh
tengkorak. Saraf tunjang (korda spina) terletak di dalam turus spina (tulang belakang):
ia terdiri daripada sel-sel saraf dan berkas saraf yang menyambung otak ke seluruh
bahagian badan. Saraf tunjang bermula dari pangkal otak dan berakhir di pangkal turus
spina.
Otak dan saraf tunjang membentuk sistem saraf pusat (central nervous system).
Bahagian-bahagian sistem saraf pusat ini sebahagian besarnya terdiri daripada sel-sel
saraf yang dipanggil neuron. Neuron menghantar mesej ke sekitar tubuh yang
membolehkan kita bertindak seperti yang kita ingini (contohnya, berdiri dan terus
berjalan). Neuron juga membolehkan fungsi badan yang kita tidak sedari langsung:
contohnya, mengawal penghadaman makanan dan menyebabkan jantung berdegup
kencang semasa kita bersenam.

Tumor-tumor Otak
Sesetengah jenis tumor otak adalah benigna dan ada juga yang malignan. Tumor
yang benigna terbentuk oleh sel-sel yang membesar dengan lambat dan jarang sekali
merebak. Sesetengah tumor yang benigna boleh menyebabkan masalah dengan
menekan dan merosakkan tisu-tisu otak di sekitarnya; walau bagaimanapun, ia selalunya
dapat dikeluarkan dengan sempurna. Jenis-jenis tumor otak yang biasa ialah
meninglomas, neuromas, pituitary cranio-pharyngiomas dan juvenile pilocytic
astrocytomas. Tumor yang malignan sangat berbeza daripada cara ia membesar dan
bertindak balas terhadap rawatan. Di dalam sesetengah tumor malignan, sel-sel kanser
hanya berada di suatu kawasan yang tertentu. Di dalam sesetengah yang lain pula, sel-
sel kanser juga didapati di dalam tisu di sekeliling tumor tersebut.

Tumor otak selalunya dikenali oleh jenis sel di mana ia bermula. Jenis tumor otak yang
malignan termasuk: gliomas (astrositomas, oligodendrogliomas, ependimomas,
glioblastomas) dan anaplastik astrositomas dan campuran sel jenis gliomas
medulloblastomas, chordomas dan limfomas sistem saraf pusat.

Hidrosefalus
Otak juga mengandungi empat kaviti (rerongga) yang dipenuhi cecair serebrospinal
(cerebrospinal fluid), yang mengalir melalui saluran-saluran sempit di antara kaviti-
kaviti itu dan permukaan otak. Kadang-kala, tumor otak boleh menyekat pengaliran ini.
Apabila ini berlaku, cecair boleh berkumpul dan semakin membesar, menyebabkan
tekanan pada otak. Ini dipanggil hidrosefalus dan ianya biasa pada kanak-kanak yang
menghidapi tumor otak.

Tumor Saraf Tunjang


Saraf tunjang menyambung saraf-saraf daripada seluruh bahagian tubuh kepada otak. Ia
bermula di pangkal otak dan berakhir di bahagian bawah pinggang. Ia setebal jari kecil
dan dilindungi oleh turus spina. Tumor jarang dijumpai di saraf tunjang berbanding
dengan otak.
Suatu tumor di saraf tunjang boleh menyekat aliran mesej sepanjang saraf-saraf di
antara otak dan tubuh, seperti sebagaimana kecederaan kepada saraf tunjang. Paling
biasa, suatu tumor di saraf tunjang akan menjejaskan saraf tunjang dengan
menekannya. Tumor boleh wujud di saraf tunjang atau di membran yang mengelilingi
turus spina. Ia mungkin benigna tau malignan. Seperti tumor otak, ia dinamakan
mengikut jenis sel di mana ia terbentuk.

Punca-punca tumor otak dan saraf tunjang


Punca-punca tumor ini belum lagi difahami sepenuhnya. Para penyelidik di seluruh dunia
sedang menyiasat punca-punca yang mungkin.

Kebiasaan berlakunya tumor otak dan saraf tunjang


Tumor-tumor yang malignan di sistem saraf tunjang didiagnosis pada 450 rakyat
Malaysia pada tahun 2002. Kami, walau bagaimanapun, percaya bahawa jumlah sebenar
kes-kes ini adalah lebih tinggi kerana banyak yang tidak didaftarkan dengan Pendaftar
Kanser Kebangsaan.

Diagnosis

Gejala-gejala tumor sistem saraf tunjang berbeza bergantung kepada bahagian otak atau saraf
tunjang yang ditekan oleh tumor tadi. Kadang-kala, apabila suatu tumor berkembang dengan
perlahan, gejala-gejala tidak begitu disedari.

Gejala-gejala tumor otak


Apabila tumor membesar di dalam tengkorak, ia akan menyempitkan tisu otak di sekelilingnya
dan ini menyebabkan tekanan. Tumor-tumor yang benigna dan malignan boleh menyebabkan
otak di sekitarnya membengkak. Pening selalunya merupakan gejala yang pertama. Pening yang
disebabkan tumor otak boleh menjadi sangat teruk, berterusan, atau berulang-ulang.
Gejala-gejala lain termasuk:

* loya dan muntah


* kesukaran bercakap atau mengingati perkataan
* gangguan pada penglihatan, pendengaran, bau dan rasa
* rasa lemah atau lumpuh di bahagian tertentu badan
* hilang keseimbangan
* keseluruhannya terasa cepat naik marah, selalu mengantuk, atau terdapat perubahan pada
personaliti

Jika anda tidak didiagnosis mempunyai tumor otak dan hanya sekadar mahu membaca maklumat
ini, anda harus ingat bahawa kebanyakan pening kepala bukan disebabkan tumor otak dan
sesetengah gejala yang tersenarai di atas boleh juga disebabkan oleh penyakit lain. Walau
bagaimanapun, berjumpalah doktor anda jika ada sesuatu yang membimbangkan tentang
kesihatan anda.
Tumor otak boleh juga menyebabkan serangan tiba-tiba (juga dikenali sebagai sawan atau
konvulsi) dengan merangsangkan sel-sel saraf di dalam otak. Serangan ini mungkin
mengakibatkan anda tidak sedarkan diri hanya selama beberapa saat, atau mungkin juga
melibatkan kekejangan otot atau pergerakan abnormal selama 30 saat atau lebih.

Gejala-gejala tumor saraf tunjang


Suatu kesakitan di bahagian pinggang merupakan gejala yang biasa, kerana tumor itu menekan
saraf tunjang di dalam ruang yang sempit di dalam turus spina. Kebanyakan sakit pinggang,
walau bagaimanapun, adalah disebabkan penyakit tulang belakang yang lain. Kehilangan rasa,
lemah otot-otot dan kehilangan pergerakan kaki dan lengan mungkin turut dialami.

Doktor dan pegawai kesihatan profesional yang manakah patut saya jumpa?
Doktor biasa anda akan merujuk anda untuk membuat ujian-ujian permulaan untuk
mengesahkan sama ada anda mempunyai tumor otak atau saraf tunjang. Dia kemudiannya akan
merujuk anda kepada seorang pakar yang akan menasihati anda tentang pilihan rawatan anda.

Anda akan berjumpa beberapa pegawai kesihatan profesional berikut:

* pakar nuero surgeri dan ahli neurologi: yang mendiagnosis dan merawat orang yang
mempunyai tumor otak dan saraf tunjang (pakar neurosurgeri akan melakukan pembedahan)
* pakar onkologi perubatan: yang bertanggungjawab ke atas kemoterapi
* pakar onkologi sinaran : yang bertanggungjawab ke atas radioterapi
* Pakar pemakanan : yang mencadangkan pemakanan paling baik untuk diikuti semasa anda
dirawat dan semasa pemulihan
* juru rawat : yang membantu anda melalui semua peringkat pengalaman di hospital semasa
melawan kanser.

Bagaimana tumor otak dan saraf tunjang didiagnosis


Doktor anda akan mendapatkan sejarah terperinci gejala-gejala anda dan memeriksa anda
dengan teliti. Jika tumor disyaki, anda mungkin akan dirujuk kepada pakar neurologi atau
neurosurgeri: doktor yang pakar dalam penyakit-penyakit otak, saraf tunjang dan lain-lain saraf
yang berkaitan. Jika saraf tunjang disyaki, anda perlu mendapatkan x-ray bagi kawasan tulang
belakang yang berkenaan.
Doktor itu juga mungkin akan mengarahkan skan pengimejan resonans magnetik
(magnetic resonance imaging (MRI)).
Jika tumor otak disyaki, pakar tersebut akan memeriksa bagaimana bahagian-bahagian otak
anda yang berbeza berfungsi. Ini mungkin termasuk memeriksa refleks anda (contohnya,
pantulan lutut), kekuatan otot-otot lengan dan kaki, dan keupayaan anda merasa cucukan jarum
dan membezakan rasa panas dan sejuk pada kulit anda. Anda juga mungkin diminta membuat
latihan mental, seperti membuat pengiraan mudah secara mental.

Doktor itu juga mungkin akan melihat ke dalam mata anda menggunakan oftalmoskop, untuk
melihat bahagian hujung saraf optik anda. Saraf ini menyambungkan mata terus kepada otak
dan ia mungkin membengkak sedikit jika suatu tumor sedang menekan otak anda dan
menambah tekanan di dalam tengkorak ( tekanan intrakranial).
Dua ujian utama, skan CT dan MRI, digunakan untuk mengesan tumor otak dan membantu
doktor merancang rawatan paling berkesan bagi anda.

Skan Tomografi Berkomputer (Computerised tomography (CT))


Anda mungkin akan menjalani skan tomografi berkomputer (CT).
Skan CT ialah suatu jenis X-ray khas yang memberikan gambar tiga dimensi organ-organ dan
lain-lain struktur (termasuk sebarang tumor) di dalam badan. Biasanya, ujian yang tidak
menyakitkan ini akan mengambil masa 30 - 40 minit untuk disempurnakan.
Bagi mendapatkan gambar-gambar skan yang lebih jelas, anda mungkin diberi minum atau
suntikan sejenis pewarna atau "cecair kontras". Ini bermakna anda tidak boleh makan atau
minum lebih kurang empat jam sebelum skan tersebut. Suntikan pewarna itu akan menyebabkan
rasa pijar.
Anda akan disuruh berbaring di atas sebuah meja sambil skan CT, yang besar dan bulat seperti
donat, berputar mengelilingi anda. Kebanyakan orang boleh pulang sebaik sahaja skan ini
selesai.
Pengimejan Resonans Magnetik (Magnetic Resonance Imaging (MRI))

Ujian ini serupa dengan skan CT, tetapi menggunakan kuasa magnet dan bukannya x-ray untuk
mendapatkan suatu siri gambar kawasan terjejas itu dengan sangat jelas dan terperinci .

Seperti skan CT, MRI tidak menyakitkan dan kuasa magnetnya tidak memudaratkan. Anda akan
disuruh berbaring dengan tidak bergerak-gerak di atas sebuah kerusi panjang di dalam sebuah
silinder logam, yang mempunyai bukaan pada kedua hujung. Mesin ini agak bising. Semua ujian
mungkin akan disempurnakan dalam masa lebih kurang satu jam. Silinder ini menyebabkan
sesetengah orang berasa klaustrofobik, tetapi anda boleh membawa seseorang bersama anda di
dalam bilik untuk menemani anda.

Angiogram (juga dipanggil arteriogram)


Ujian ini jarang sekali digunakan pada orang yang mempunyai tumor. Pewarna disuntik ke dalam
arteri dan suatu siri x-ray diambil semasa pewarna tadi mengalir melalui saluran darah otak. Ini
akan menunjukkan kedudukan tumor dan saluran darah yang membekalkannya.

Ujian-ujian lanjut

Ujian-ujian lain yang kadang-kala digunakan di dalam mendiagnosis tumor otak dan saraf
tunjang ialah:

* spektroskopi resonans magnetik (magnetic resonance spectroscopy (MRS))


* tomografi emisi positron (positron emission tomography (PET))
* tomografi emisi foton tunggal berkomputer (single photon emission computerised
tomography (SPECT))
* punktur lumbar (juga dikenali sebagai spinal tap).

Jika doktor anda mencadangkan ujian-ujian yang lain, mintalah dia menjelaskan tentang ujian-
ujian itu sebelum anda menjalaninya. Memahami apa yang akan dilalui boleh membantu
melegakan kebimbangan yang anda mungkin rasai sebelum menjalani suatu ujian.

Rawatan

Tumor di sistem saraf pusat boleh di rawatan dengan pembedahan, radioterapi,kemoterapi atau
terapi steroid. Rawatan-rawatan ini boleh dilakukan bersendirian atau dalam suatu kombinasi.
Rawatan segera mungkin dapat mencegah atau mengurangkan kesan tumor saraf tunjang.
Radioterapi, kemoterapi dan pembedahan semuanya dapat memainkan peranan dalam
merawat tumor-tumor ini. Pakar anda akan menasihati anda tentang siri rawatan bagi keadaan
anda.

Rawatan yang dipilih akan bergantung kepada:


Tumor itu sendiri: jenis apa, saiz, dan kedudukan sebenarnya di dalam sistem saraf pusat;dan
pesakit itu sendiri: umur, sejarah perubatan, dan keadaan keseluruhan kesihatannya. Setelah
mendiagnosis jenis tumor, matlamat rawatan mungkin adalah untuk: mengeluarkan atau
membinasakan tumor itu, atau, jika ini tidak mungkin dapat dilakukan; melambatkan tumbesaran
tumor dan mengurangkan gejala-gejala dengan mengurangkan saiz tumor dan sebarang
bengkak di sekitarnya supaya tumor ini kurang menekan bahagian-bahagian lain otak dan saraf
tunjang.
Sebelum rawatan bermula, pastikan anda telah berbincang dengan doktor anda supaya anda
tahu apa yang harus dijangkakan termasuk sebarang risiko yang mungkin terlibat. Anda mungkin
merasa lebih lega jika kawan atau saudara anda menemani anda semasa perbincangan ini.
Adalah juga lebih baik jika anda menulis dahulu semua soalan anda sebelum perjumpaan ini.
Suatu senarai soalan-soalan yang anda mungkin ingin tanyakan kepada doktor anda ada
disertakan di bahagian akhir.

Jika doktor anda mencadangkan lebih daripada satu jenis rawatan, ini tidak bermakna yang
penyakit anda lebih teruk atau lebih elok daripada penyakit seseorang lain yang hanya menjalani
satu jenis rawatan. Setiap orang berbeza dan rawatan harus dirancang mengikut individu.

Pembedahan
Sesetengah tumor boleh dikeluarkan dengan sempurna melalui pembedahan. Di mana tumor
lebih merebak, atau tidak dapat dikeluarkan keseluruhannya tanpa menjejaskan bahagian-
bahagian penting sistem saraf pusat yang lain, pakar bedah itu mungkin dapat mengeluarkan
sebahagian daripada tumor ini. Ini dapat melegakan gejala-gejala anda dengan mengurangkan
tekanan pada bahagian lain otak atau saraf tunjang. Kadang-kala ini tidak mampu dilakukan.
Sama ada pembedahan mengeluarkan keseluruhan atau hanya sebahagian tumor, ia selalunya
memperbaiki keadaan seseorang dan kerap kalinya membolehkan seseorang, yang sangat teruk
sakitnya sebelum ini, menjalani kehidupan aktif, sekurang-kurang buat seketika.

Pembedahan ke atas tumor otak


Pembedahan untuk merawat tumor otak dipanggil kraniotomi (suatu bukaan sementara pada
tengkorak). Sebahagian daripada rambut anda akan dicukur, dan anda akan diberi anestetik
am.

Pakar bedah akan membedah dan mengetepikan kulit, kemudian mengeluarkan sekeping
tengkorak di atas tumor. Tumor itu kemudiannya akan dikeluarkan, kepingan tengkorak tadi
disambung semula dan kulit akan dijahit semula pada tempatnya.

Jika tumor berada di belakang otak anda, pakar bedah itu mungkin tidak perlu meletakkan
semula kepingan tengkorak tersebut kerana otot di belakang tengkuk anda selalunya cukup kuat
untuk menyokong otak. Pembedahan jenis ini dipanggil kraniotomi (pengeluaran kepingan otak
secara kekal).

Jika hidrosefalus (pengumpulan cecair serebrospinal dalam otak) merupakan suatu masalah,
terutamanya jika tumor itu sendiri berada di kedudukan yang terlalu membahayakan untuk
dikeluarkan, pakar bedah itu mungkin akan meletakkan suatu tiub pengalir, dipanggil
shunt, betul-betul di bawah kulit. Shunt ini akan mengambil cecair lebihan daripada otak dan
mengalirkannya ke dalam abdomen. Kadang-kala jika hidrasefalus itu menjadikan seseorang sakit
teruk, suatu shunt akan dimasukkan terlebih dahulu untuk melegakan gejala-gejala, dan
pembedahan bagi tumor otak akan menyusul seminggu dua kemudian. Semasa pembedahan,
pakar itu akan melakukan suatu biopsi. Kadang-kala ini dilakukan dengan berpandukan
komputer melalui suatu lubang kecil yang ditebuk pada tengkorak. Sebahagian kecil tumor akan
dikeluarkan dan diteliti di bawah mikroskop untuk mengenal pasti jenis tumor tersebut. Ini
membantu doktor memberikan nasihat tentang rawatan selanjutnya.

Selepas pembedahan
Dalam masa 12 jam atau lebih selepas pembedahan, seorang jururawat akan memerhatikan
anda secara rapi. Kepala anda mungkin dibalut keseluruhannya dan pada hari pertama, suatu
tiub yang kecil mungkin disambung untuk mengalirkan keluar sebarang darah lebihan daripada
tempat bedah ke dalam suatu botol. Muka dan mata anda mungkin terasa bengkak selepas
pembedahan, tetapi ia akan surut dalam masa seminggu. Tempoh anda tinggal di hospital akan
bergantung kepada tahap pembedahan, dan kepada rawatan yang mungkin diperlukan selepas
ini.

Pembedahan ke atas tumor saraf tunjang


Pembedahan utama bagi tumor saraf tunjang ialah laminektomi. Ini merupakan suatu bukaan
sementara pada turus spina. Pakar bedah membedah turus spina dan mengeluarkan tumor
yang menjejaskan turus spina. Ini dilakukan dengan berwaspada untuk mengelakkan turus spina
menjadi lemah.

Selepas pembedahan
Selepas pembedahan, juru rawat akan kerap memeriksa nadi, tekanan darah, suhu dan pembalut
luka anda, serta memeriksa pergerakan dan sensasi kaki anda. Anda akan dipusingkan di atas
katil dalam cara yang mengelakkan tulang belakang dan pinggul anda terherot. Para staf,
termasuk pakar fisioterapi, akan mengajar anda cara bergerak untuk mengurangkan ketegangan
pada tulang belakang. Anda mungkin terpaksa berehat dengan berbaring di katil selama tiga
hingga lima hari untuk membolehkan luka sembuh. Doktor anda akan memberitahu anda bila
anda dapat kembali melakukan aktiviti normal.

Radioterapi
Radioterapi (rawatan x-ray) merawat kanser dengan menggunakan x-ray bertenaga tinggi untuk
membunuh sel-sel kanser sambil dengan sebaik mungkin, tidak memudaratkan tisu-tisu yang
sihat di sekitarnya.

Pada kanak-kanak, radioterapi pada kepala diberikan dalam dos yang lebih rendah daripada
orang dewasa kerana ia boleh melambatkan perkembangan intelektual kanak-kanak itu. Oleh
sebab ini, ia amat jarang digunakan pada kanak-kanak berumur di bawah dua atau tiga tahun.
Bagi sesetengah jenis tumor kanak-kanak, adalah perlu dilakukan radioterapi ke atas tulang
belakang dan juga kepala. Ini boleh melambatkan tumbesaran tulang di tulang belakang dan
kanak-kanak itu mungkin tidak dapat membesar menjadi begitu tinggi. Radioterapi juga boleh
melambatkan tumbesaran kanak-kanak dengan memberi kesan kepada kelenjar pituitary di
dalam otak yang mengeluarkan hormon yang mengawal tumbesaran. Kanak-kanak ini mungkin
memerlukan terapi hormon bagi membantu mereka membesar dan berkembang secara normal.

Pada orang dewasa, radioterapi selalunya digunakan selepas pembedahan bagi tumor otak
malignan dan tumor saraf tunjang malignan. Siri radioterapi yang anda akan terima akan
bergantung kepada jenis dan saiz kanser yang anda hidapi. Sesetengah orang mendapati gejala-
gejala meningkat selepas pembedahan dan semasa radioterapi. Tahap peningkatan ini berbeza-
beza pada setiap orang. Supaya benar-benar memastikan yang bahagian yang sama dirawat
setiap kali, ahli terapi sinaran akan melukis beberapa tanda pada kulit anda. Tanda-tanda ini
terdiri daripada garis-garis, pangkah-pangkah dan titik-titik yang dilukis dengan dakwat yang
khas. Kadang-kala tanda-tanda tidak kekal ini perlu dilukis semula semasa siri rawatan. Ada
kalanya, tanda-tanda yang kekal, setiap satunya terdiri daripada titik-titik halus, merupakan
cadangan kepada anda. Titik-titik 'tatu' yang kecil dan hitam ini bersaiz sebesar kepala jarum
peniti. Jika ianya perlu, prosedurnya akan diterangkan kepada anda supaya anda boleh memberi
keizinan setelah anda memahaminya.

Kesan-kesan sampingan radioterapi


Radioterapi ke atas kepala anda boleh menyebabkan rambut di kawasan yang dirawat gugur.
Rambut ini selalunya akan tumbuh semula dengan perlahan-lahan, walaupun ianya tidak setebal
dahulu. Kulit kepala dan kulit di kawasan itu juga boleh menjadi merah, kering dan pedih. Jangan
gunakan sebarang krim, losen atau sabun tanpa berbincang terlebih dahulu dengan doktor atau
pakar terapi sinaran anda. Anda juga harus bertanya dahulu sebelum mencukur bahagian kulit
yang terjejas. Adalah penting melindungi kulit daripada cahaya matahari kerana sinaran matahari
akan merosakkan kulit dengan mudah. Suatu kesan sampingan radioterapi yang jarang sekali
berlaku kepada tulang belakang ialah kerosakan kepada saraf tunjang yang dipanggil mielopati.
Ini kadang-kala berlaku beberapa bulan selepas radioterapi. In menyebabkan sensasi luar biasa
daripada tengkuk kepada tangan atau kaki. Jika anda menyedari sensasi ini, maklumilah doktor
anda. Kesan-kesan sampingan radioterapi yang biasa ialah keletihan, yang mungkin akan dirasai
selama sebulan atau lebih selepas radioterapi tamat, dan rasa loya yang boleh dilegakan dengan
ubat. Pening kepala yang tidak teruk juga agak biasa.

Kemoterapi
Kemoterapi ialah penggunaan dadah anti kanser (sitotoksik) untuk merosak atau membinasakan
sel-sel kanser. Dadah ini bertindak dengan menghentikan sel-sel kanser daripada membesar dan
membiak. Kemoterapi bukan merupakan rawatan yang biasa bagi tumor otak dan saraf tunjang
pada orang dewasa. (Pada kanak-kanak, kesan ke atas tumor lebih efektif dan oleh itu digunakan
dengan lebih meluas). Jika anda menjalani kemoterapi ke atas tumor anda, doktor akan
menentukan dos dan kekerapan rawatan. Setiap rawatan selalunya akan disusuli dengan tempoh
berehat selama beberapa minggu untuk membenarkan badan anda pulih daripada kesan-kesan
sampingan rawatan. Jumlah siri rawatan yang bergantung kepada jenis kanser dan betapa baik
tindak balasnya terhadap dadah yang diberikan. Anda boleh diberikan kemoterapi di hospital
selama beberapa hari melalui titisan intravena. Pilihan yang lain pula ialah anda boleh mengambil
kemoterapi di dalam bentuk tablet sebagai pesakit luar.

Kesan-kesan sampingan kemoterapi


Sesetengah dadah yang digunakan dalam kemoterapi boleh menyebabkan kesan-kesan
sampingan. Orang yang menjalani kemoterapi selalunya akan berasa lesu. Bertanyalah kepada
doktor anda kesan-kesan sampingan yang harus dijangkakan daripada rawatan, kerana ianya
berbeza-beza bergantung kepada jenis kemoterapi yang anda terima.

Terapi steroid ke atas tumor otak


Dadah steroid (biasanya deksametason) digunakan untuk mengurangkan bengkak yang
selalunya di sekeliling tumor otak sama ada sebelum atau selepas pembedahan dan radioterapi.
Steroid sendiri tidak merawat tumor tetapi ia membantu melegakan bengkak dan tekanan
disebabkan tumor. Steroid boleh digunakan pada banyak peringkat rawatan dalam tempoh-
tempoh yang berbeza lamanya. Sesetengah orang mungkin perlu mengambilnya selama
beberapa hari dan ada juga selama beberapa bulan.

Kesan-kesan sampingan terapi steroid


Dos steroid yang diberikan akan dikekalkan serendah yang mungkin kerana steroid boleh
menyebabkan kesan-kesan sampingan yang berikut jika diambil di dalam tempoh yang agak
lama.

Selera makan anda mungkin meningkat, dan anda akan dapati berat badan anda naik dengan
agak mendadak (dalam masa beberapa minggu) terutamanya pada muka, pinggang dan bahu.
Steroid selalunya akan menyebabkan rasa sihat sejahtera dan boleh juga menyebabkan anda
berselera makan.
Tahap gula di dalam darah anda juga mungkin meningkat dan anda perlu melakukan ujian yang
mudah setiap hari untuk mengesan gula dalam kencing atau darah. Doktor atau juru rawat akan
menunjukkan kepada anda cara melakukannya.

Steroid juga menyebabkan kelemahan otot pada sesetengah orang dan ini boleh menyusahkan
terutamanya jika pengawalan pembuangan air juga lemah. Kesan sampingan ini agak jarang dan
lebih biasa bagi rawatan steroid yang berdos tinggi dan dalam tempoh yang panjang. Beritahu
juru rawat atau doktor anda jika anda menghadapi sebarang lemah otot.

Steroid boleh menyebabkan jerawat dan retensi air.


Kesan-kesan sampingan ini adalah sementara dan akan perlahan-lahan lenyap apabila dos
steroid anda dikurangkan. Dadah steroid selalunya menjadi seseorang merasa lebih bersemangat
dan adalah biasa jika anda merasa agak murung buat seketika selepas dos anda tamat.
Kemurungan ini lebih lama dirasai oleh sesetengah orang.

Jangan berhenti mengambil steroid dengan tiba-tiba, kerana ini boleh membahayakan. Apabila
sampai waktunya anda berhenti mengambil steroid, doktor anda akan menasihati anda cara anda
harus mengurangkan dos dengan perlahan-lahan.

Jika anda menjalani rawatan steroid, anda harus sentiasa membawa bersama anda kad steroid
(yang akan diberi oleh doktor atau juru rawat anda) untuk menunjukkan jenis steroid yang anda
gunakan dan dosnya. Ini ialah supaya doktor yang merawat anda dapat mengetahui jenis
rawatan yang anda terima jika tiba-tiba anda jatuh sakit dan memerlukan rawatan perubatan.

Rawatan paliatif
Jika penyakit anda tidak mungkin dapat disembuhkan, maka doktor akan membincangkan
beberapa rawatan bagi masalah-masalah tertentu yang disebabkan oleh kanser. Rawatan paliatif
ialah rawatan yang melegakan atau mengurangkan kesakitan dan gejala-gejala lain penyakit.
Penjagaan paliatif juga disediakan bagi orang-orang yang mengalami kesakitan dan rasa cemas
yang berkaitan dengan kanser tidak kira peringkat rawatan kanser. Ini merupakan jenis rawatan
yang mustahak bagi orang yang mengalami kanser yang telah lanjut, yang tidak mampu
disembuhkan tetapi boleh berharap untuk menjalani hidup tanpa rasa sakit atau cemas jika ianya
boleh dielakkan.

Penjagaan paliatif termasuk kelegaan kesakitan menggunakan dadah tahan sakit dan langkah -
langkah lain. Kesakitan selalunya boleh dikawal dengan baik dengan ubatan secara oral. Jika
kesakitan itu teruk atau sukar dikawal, maka suntikan ubat tahan sakit boleh diberi. Steroid
merupakan rawatan paliatif yang bernilai bagi orang yang diserang tumor otak. Berbincanglah
dengan doktor anda kebaikannya berbanding dengan kesan-kesan sampingan. Pengamal
perubatan, pakar-pakar kanser dan pasukan-pasukan pakar penjagaan paliatif di hospital
semuanya memainkan peranan penting di dalam rawatan paliatif bagi orang yang menghidapi
kanser peringkat awal atau yang telah lanjut. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, hubungi
Pusat Sumber dan Kesejahteraan (Resource and Wellness Centre) di talian 03 2698 7300 atau e-
mel contact@cancer.org.my

Prognosis
Prognosis (atau "gambaran masa depan") bagi tumor otak dan saraf tunjang berbeza-beza. Ia
bergantung kepada umur, jenis tumor yang dihidapi, berapa banyak tumor yang boleh
dikeluarkan, dan sebaik mana ia bertindak balas terhadap radioterapi atau kemoterapi. Jika anda
mempunyai tumor benigna yang telah dikeluarkan dengan sempurna, anda mungkin sembuh
sepenuhnya. Kadar tumbesaran dan merebak tumor malignan juga berbeza. Sesetengah jenis
tumor malignan membesar dan membiak dengan cepat dan ada pula yang berkembang dengan
perlahan selama beberapa tahun. Tindak balas terhadap rawatan juga sangat berbeza.

Selepas rawatan ke atas tumor otak, sesetengah orang kelihatan seperti telah sembuh
sepenuhnya dan boleh terus hidup bertahun-tahun. Bagi kebanyakan orang pula, walau
bagaimanapun, tumor otak berulang.
Apabila penyembuhan tidak mungkin berlaku, rawatan selalunya dapat melegakan gejala-gejala
dan anda mampu menjalani hidup yang sejahtera dan agak bebas daripada gejala-gejala kadang-
kala beberapa tahun lamanya. Berulangnya gejala-gejala selepas rawatan berbeza-beza bagi
setiap orang. Semua jenis tumor otak boleh terjadi pada kanak-kanak. Sesetengah tumor mudah
ditangani dan senang disembuhkan sementara ada juga yang lebih sukar dirawat dan peluang
untuk sembuh agak tipis.

Walaupun jumlah kanak-kanak yang sembuh sepenuhnya agak tinggi, sebahagiannya yang
mempunyai tumor yang telah sembuh atau terkawal selama bertahun-tahun mengalami
kecacatan. Kecacatan ini mungkin masalah-masalah pembelajaran dan perlakuan yang tidak
teruk hinggalah kepada kecacatan fizikal dan intelektual yang teruk.

Membuat keputusan tentang rawatan


Kadang-kala membuat keputusan tentang rawatan yang betul bagi anda adalah sangat rumit.
Anda mungkin merasakan segala-galanya berlaku terlalu cepat sehinggakan anda tiada masa
untuk berfikir semasak-masaknya. Orang lain pula akan mendapati bahawa penantian bagi
keputusan ujian-ujian dan bagi rawatan amat merunsingkan.

Walaupun ada sesetengah orang merasakan yang maklumat yang diperoleh terlalu banyak, ada
juga yang merasakan yang ianya tidak mencukupi. Anda harus memastikan yang anda faham
sepenuhnya penyakit anda, rawatan-rawatan dan kesan-kesan sampingan yang mungkin supaya
anda dapat membuat keputusan sendiri. Jangan tergesa-gesa membuat keputusan. Mengambil
masa beberapa hari tidak akan menjejaskan kejayaan rawatan anda. Jika anda diberi pilihan
rawatan-rawatan, anda perlu menimbangkan kebaikan dan keburukan setiap rawatan. Jika hanya
satu rawatan sahaja dicadangkan, minta doktor anda menjelaskan mengapa rawatan-rawatan
lain tidak dicadangkan.

Sesetengah orang yang diserang kanser yang telah lanjut akan selalunya memilih rawatan yang
aktif walaupun peluang untuk sembuh amat tipis. Yang lain pula mahukan kepastian bahawa
faedah rawatan adalah setimpal dengan sebarang kesan sampingan. Ada juga yang memilih
rawatan yang pada pendapat mereka memberikan kualiti hidup yang terbaik.

Berbincang dengan orang lain


Sebaik sahaja anda telah berbincang pilihan-pilihan rawatan dengan doktor anda, anda mungkin
mahu berbincang dengan lebih lanjut perkara ini dengan keluarga atau kawan-kawan, dengan
para juru rawat, atau guru agama atau penasihat anda. Berbincang tentang perkara ini akan
membuka jalan bagi anda menentukan tindakan yang paling sesuai bagi anda.

Pendapat lain
Anda mungkin mahu mendapatkan pandangan seorang pakar yang lain. Ini boleh difahami dan
boleh menjadi sesuatu yang sangat berguna dalam proses anda membuat keputusan. Pakar atau
doktor anda dapat merujuk anda kepada seorang pakar yang lain dan anda boleh meminta
semua rekod anda dihantar kepadanya bagi mendapatkan pendapat lain. Anda masih boleh
mendapat pendapat lain jika anda telah memulakan rawatan atau masih mahu dirawat oleh
doktor pertama anda.

Mengambil bahagian dalam percubaan klinikal

Doktor anda mungkin akan mengesyorkan anda supaya menimbang untuk mengambil bahagian
di dalam percubaan klinikal.
Percubaan klinikal merupakan suatu bahagian yang penting di dalam kajian untuk mencari
rawatan kanser yang lebih baik. Doktor-doktor menjalankan percubaan-percubaan klinikal untuk
menguji rawatan yang baru atau yang diubahsuai dan melihat sama ada rawatan itu lebih baik
daripada rawatan yang sedia ada. Ramai orang di seluruh dunia telah mengambil bahagian
dalam percubaan-percubaan klinikal yang telah menghasilkan peningkatan dalam rawatan
kanser. Walau bagaimanapun, keputusan untuk mengambil bahagian di dalam percubaan-
percubaan klinikal terletak di tangan anda.

Jika doktor anda mengesyorkan anda mengambil bahagian di dalam percubaan klinikal, pastikan
yang anda benar-benar faham tentang tujuan-tujuan percubaan itu dan faedahnya kepada anda.
Sebelum membuat keputusan untuk mengambil bahagian atau tidak, anda mungkin ingin
bertanya kepada doktor:

 Rawatan apakah yang diuji dan mengapa?

 Ujian-ujian apakah yang terlibat?

 Apakah risiko-risiko atau kesan-kesan sampingan yang mungkin ada?

 Berapa lama percubaan itu?

 Perlu saya pergi ke hospital untuk menjalani rawatan?

 Apakah yang akan saya lakukan jika sebarang masalah timbul semasa saya dalam
percubaan itu?

Jika anda mengambil keputusan untuk menyertai percubaan klinikal rawak, anda akan diberi
rawatan terbaik yang sedia ada atau rawatan baru yang mempunyai harapan cerah. Anda akan
dipilih secara rawak untuk menerima salah satu rawatan tersebut.
Jika anda menyertai percubaan klinikal, anda berhak menarik diri pada bila-bila masa. Berbuat
demikian tidak akan menjejaskan rawatan kanser anda.
Keputusan untuk menyertai percubaan klinikal terletak di tangan anda. Jika anda tidak mahu
mengambil bahagian, doktor anda akan membincangkan tentang pilihan-pilihan rawatan terkini
yang terbaik dengan anda.

Susulan
Selepas rawatan, anda perlu menjalani pemeriksaan yang kerap. Pada mulanya, pemeriksaan-
pemeriksaan ini akan diadakan beberapa kali setahun, dan kemudian kelak anda biasanya perlu
menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya sekali setahun. Pemeriksaan-pemeriksaan ini
mustahak bagi memastikan kanser yang asal tidak timbul kembali dan yang baru tidak
membentuk.

Adalah biasa berperasaan bimbang tentang kemungkinan perubahan-perubahan selanjutnya


berlaku. Berbicara tentang rasa bimbang ini dengan keluarga dan doktor anda boleh membantu.
Pemeriksaan yang kerap juga akan meyakinkan anda yang segalanya dalam keadaan baik. Jika
terdapat sebarang masalah, ia boleh dikesan pada peringkat awal apabila rawatan selalunya lebih
berjaya.

Perasaan yakin terhadap lawatan-lawatan pemeriksaan mengambil masa. Anda perlu membina
semula keyakinan terhadap tubuh anda dan masa depan. Anda juga akan mendapati yang anda
perlukan jaminan daripada pakar anda. Ini adalah perkara biasa. Bertanyalah apa sahaja soalan
yang anda ingini dan cubalah pastikan yang semua keraguan anda terjawab. Ingatlah bahawa
anda bukan keseorangan dan bahawa perasaan ini adalah normal. Bersabarlah dengan diri anda
sambil anda mencari jalan untuk hidup dengan tumor dan hidup setelah pernah mempunyai
tumor. Tumor otak boleh memberi kesan kepada fungsi-fungsi normal otak seperti pertuturan,
pergerakan, keseimbangan atau ingatan. Jika anda mempunyai masalah dalam bidang-bidang ini,
anda mungkin perlukan bantuan dan nasihat ahli-ahli pasukan jagaan kesihatan yang lain
termasuk juru pulih pertuturan, juru fisioterapi dan juru pulih pekerjaan. Ini boleh bermula di
hospital dan orang yang memerlukan bantuan buat jangka masa agak lama boleh meneruskan
terapi mereka sebagai pesakit luar.
Masalah pertuturan boleh termasuk kesukaran mencari perkataan yang sesuai, menggunakan
ayat dengan betul, atau kesukaran mengawal percakapan anda. Juru pulih pertuturan anda boleh
membantu anda memahami masalah ini dan memberi anda dan keluarga anda buah fikiran dan
bantuan tentang cara terbaik untuk berkomunikasi. Beberapa tumor otak menyebabkan masalah
untuk menelan; juru pulih pertuturan dan pakar pemakanan boleh juga membantu anda.

Juru fisioterapi anda boleh membantu anda mengatasi atau menangani masalah-masalah
pergerakan, imbangan atau koordinasi, dan juru pulih pekerjaan boleh membantu anda
menghadapi tugas-tugas praktikal biasa yang melibatkan kehidupan sehari-hari.

Adakah sebarang kajian dilakukan?


Kajian sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca-punca tumor otak dan saraf tunjang,
mencari rawatan yang lebih baik dan menilai rawatan-rawatan yang terkini.
Rawatan-rawatan kajian termasuk mempertingkatkan lagi rawatan sedia ada seperti radioterapi
berpandukan komputer. Yang lainnya adalah rawatan-rawatan baru seperti terapi gen, yang
menggunakan gen-gen normal untuk merawat penyakit yang berpunca daripada gen-gen
abnormal.

Mendapatkan Sokongan

Apabila anda pertama kali didiagnosis dengan kanser, anda mungkin dilanda pelbagai perasaan
seperti takut, sedih, murung, marah atau kecewa.
Kadang-kala anda akan dapati yang kawan-kawan dan keluarga anda tidak tahu apa yang harus
diperkatakan kepada anda; mereka mungkin menghadapi kesukaran menyatakan perasaan
mereka juga. Sesetengah orang akan merasa serba salah sehinggakan mereka mengelak bersua
dengan anda. Mereka mungkin mahukan anda 'membuka jalan' dengan memberitahu mereka
apa yang anda perlukan. Perkara ini boleh menjadi sangat sukar untuk ditanggung dan boleh
membuat anda berasa kesunyian. Anda mungkin berupaya mendekati kawan-kawan anda secara
langsung dan memberitahu mereka apa yang diperlukan. Anda juga boleh memilih untuk
meminta ahli keluarga atau kawan yang rapat untuk berbicara dengan orang lain bagi pihak
anda.

Diet
Diet yang seimbang dan berkhasiat akan membantu anda merasa sesihat yang mungkin dan
berdepan dengan kanser dan kesan-kesan sampingan rawatan. Bergantung kepada jenis rawatan
yang anda telah jalani, anda mungkin mempunyai keperluan diet yang khas. Seorang pakar
pemakanan boleh membantu merancang makanan terbaik bagi keadaan tertentu anda -
makanan yang menyelerakan, mudah dimakan dan berkhasiat. Pusat Sumber dan Kesejahteraan
(Resource and Wellness Centre) mempunyai seorang pakar pemakanan tetap. Untuk
mendapatkan temu janji sila hubungi 03 2698 7300 atau e-mel contact@cancer.org.my

Senaman
Anda mungkin akan merasakan hidup aktif dan melakukan senaman dengan kerap banyak
membantu. Jumlah dan jenis senaman yang anda lakukan akan bergantung kepada apa yang
anda biasa lakukan dan tahap kesihatan anda. Pusat Sumber dan Kesejahteraan menawarkan
beberapa kelas senaman yang berlainan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau mendapatkan
temu janji, hubungi Pusat Sumber dan Kesejahteraan (Resource and Wellness Centre) di talian
03 2698 7300 atau e-mel contact@cancer.org.my
Berbincang dengan doktor anda apa yang mungkin paling baik buat anda.

Teknik-teknik bersantai

Sesetengah orang mendapati bahawa bersantai atau tafakur membantu mereka rasa lebih sihat.
Pusat Sumber dan Kesejahteraan menawarkan kelas-kelas bersantai dan Tafakur. Bagi
mendapatkan maklumat lanjut atau mendapatkan temu janji, hubungi Pusat Sumber dan
Kesejahteraan (Resource and Wellness Centre) di talian 03 2698 7300 atau e-mel
contact@cancer.org.my

Menjaga seseorang yang diserang kanser


Menjaga seseorang yang diserang kanser boleh menimbulkan ketegangan, terutamanya jika
orang itu sangat anda sayang. Jaga diri anda semasa waktu ini. Berilah peluang kepada diri anda
untuk berehat dan berkongsilah kebimbangan dan keraguan anda dengan seseorang yang lain.
Anda mungkin terpaksa membuat banyak keputusan. Anda juga mungkin terpaksa memenuhi
banyak temu janji dengan doktor, perkhidmatan sokongan dan hospital-hospital. Ramai orang
mendapati bahawa membawa bersama seorang ahli keluarga yang lain atau kawan yang rapat
amat melegakan. Adalah juga membantu apabila anda menulis semua soalan terlebih dahulu dan
mengambil nota semasa temu janji. Keahlian kumpulan sokongan kanser biasanya terbuka
kepada para pesakit dan penjaga mereka. Kumpulan sokongan boleh menawarkan peluang
berkongsi pengalaman dan cara-cara menghadapi. Untuk mendapatkan maklumat lanjut,
hubungi Pusat Sumber dan Kesejahteraan (Resource and Wellness Centre) di talian 03 2698
7300 atau e-mel contact@cancer.org.my

Jika anak anda menghidapi tumor otak


Walaupun tumor otak jarang timbul pada kanak-kanak berbanding orang dewasa, ia masih
merupakan kanser kedua paling biasa di kalangan kanak-kanak (selepas leukemia). Walaupun
gejala-gejala, diagnosis dan rawatan bagi tumor otak pada kanak-kanak adalah lebih kurang
sama dengan orang dewasa, tumor otak kanak-kanak menimbulkan beberapa masalah yang
berbeza.

Kesan-kesan rawatan
Tumbesaran dan perkembangan normal terganggu pada sesetengah kanak-kanak akibat
kerosakan pada bahagian otak yang menghasilkan hormon-hormon tumbesaran. Kerosakan ini
mungkin berpunca daripada tumor itu sendiri atau kesan daripada rawatan. Terapi hormon
mungkin diperlukan.

Apa yang harus saya beritahu anak saya?


Adalah menjadi naluri kita untuk melindungi anak daripada sesuatu yang mengancam seperti
tumor otak dan sesetengah ibu bapa akan mendapati adalah amat sukar untuk berterus terang
dengan anak mereka tentang tumor tersebut. Walau bagaimanapun, kanak-kanak cepat dapat
merasakan yang ada sesuatu yang serius telah berlaku sama ada diberitahu ataupun tidak. Jika
anda berupaya untuk berbincang secara terbuka dan jujur dengan anak anda tentang tumor
otak, buatlah begitu kerana ini akan membantu anak anda menjadi kurang cemas dan
merasakan bahawa dia dapat mengawal keadaan itu. Berapa banyak yang anak anda harus tahu
akan bergantung kepada umur dan keperluannya. Kanak-kanak selalunya berpuas hati dengan
sedikit sahaja maklumat atau dengan jawapan-jawapan yang mudah bagi soalan-soalan mereka.
Sifat berterus terang, tenang dan yakin akan menolong menenteramkan anak anda.

Bagaimana saya melayan anak saya?


Sebarang sakit yang serius adalah amat mengganggu rutin sehari-hari kanak-kanak dan
keluarga. Ia juga amat menakutkan sesiapa yang berkenaan dan selalunya menimbulkan
ketidakselesaan ataupun kesakitan kepada kanak-kanak. Hospital, ujian darah, peralatan yang
besar, pembedahan, radioterapi dan kemoterapi sangat mencemaskan. Anak anda, seperti juga
anda, akan mudah merasa marah, murung, keliru, takut atau terharu. Perasaan-perasaan ini
akan berubah-ubah dengan mendadak.

Anak anda perlukan sebanyak jaminan yang mungkin untuk membantunya mengatasi semua ini.
Sepanjang tempoh penyakit dan rawatan, salah satu keperluan utamanya ialah supaya segala
yang mungkin kekal seperti biasa dan konsisten. Adalah mustahak untuk terus menunjukkan rasa
kasih dan sokongan anda. Adalah agak membantu untuk terus mengikuti peraturan-peraturan
dan disiplin seperti biasa jika mungkin kerana walaupun anda terasa cenderung untuk
memanjakan anak anda atau melonggarkan disiplin yang lazim, ini boleh mengelirukan dalam
jangka masa panjang. Sama ada anak anda berada di hospital atau di rumah, cubalah melayan
dia sebagaimana lazimnya, dalam had batasan penyakitnya.

Bagaimana dengan ahli-ahli keluarga yang lain?


Bagaimana anda mengimbangi keperluan dan permintaan anak anda yang sakit dengan isteri
atau suami dan anak-anak yang lain? Tiada penyelesaian mudah kepada masalah ini tetapi
mungkin yang paling mustahak ialah mengakui perubahan-perubahan yang wujud, berbincang
semua masalah dan mintalah bantuan bila ianya diperlukan daripada sanak saudara dan rakan-
rakan, daripada kakitangan hospital atau sesiapa sahaja yang boleh membantu.

Setiap orang bertindak balas dengan cara yang berbeza: ibu-ibu dan bapa-bapa, serta juga sanak
saudara yang lain selalunya akan memberi tindak balas berbeza-beza terhadap kanser pada
kanak-kanak itu. Seseorang itu, contohnya, akan berfokus kepada berita-berita baik, yang lainnya
kepada yang buruk. Sesetengahnya pula akan cuba melindungi diri dengan menjauhkan diri, atau
sibuk bekerja, sedangkan yang lain menghadapinya dengan melibatkan diri dalam penjagaan
kanak-kanak itu. Ini kadang-kala menimbulkan ketegangan di dalam perhubungan kekeluargaan,
terutamanya hubungan anda dengan pasangan anda pada waktu yang anda sangat memerlukan
hubungan yang kukuh.

Adalah mustahak mengakui bahawa tiada suatu cara yang betul atau salah untuk bertindak balas
atau berdepan dengan keadaan ini: setiap orang adalah berbeza. Cara yang terbaik untuk
memahami perbezaan-perbezaan ini ialah berbincang tentang perkara ini dengan pasangan anda,
jika boleh, dan berkongsi perasaan marah dan sedih serta harapan anda dengannya tanpa
menyalahi atau mengkritik sesiapa.

Jika anda akan menjaga anak anda yang menghidapi kanser atau lain-lain penyakit yang serius,
dan pada waktu yang sama, memenuhi keperluan ahli-ahlu keluarga yang lain, anda perlu makan
dan tidur secukupnya, dan paling mustahak, luangkan waktu untuk diri anda sendiri. Menjaga diri
anda akan membantu anda kekal sihat dan sentiasa dapat mengawal keadaan, dan juga
berupaya memberi sokongan kepada anak dan keluarga anda seefektif yang mungkin.

Mungkin saya dapat mencegahnya daripada berlaku?

Kebanyakan ibu-bapa terfikir-fikir tentang ini dan merasa bersalah tetapi jawapannya yang pasti
ialah 'TIDAK'. Tiada bukti yang menunjukkan yang ibu-bapa bertanggungjawab di dalam apa
cara pun terhadap tumor otak anak mereka.

Siapa yang sedia menghulur bantuan?


Kakitangan hospital yang merawat anak anda lazimnya merupakan orang yang pakar dalam
penjagaan kanak-kanak. Sesetengah hospital dan pusat rawatan kanser mempunyai seorang juru
pulih permainan yang membantu kanak-kanak mengatasi ketakutan dan perasaan mereka dan
menyediakan mereka untuk berhadapan dengan rawatan-rawatan seperti radioterapi dan
kemoterapi. Jika anak anda mempunyai masalah pertuturan atau pergerakan, juru pulih
pertuturan, juru pulih anggota atau juru pulih pekerjaan boleh dipanggil. Beberapa organisasi
dan kumpulan sokongan ibu bapa menawarkan sokongan praktikal dan emosi bagi keluarga dan
kanak-kanak, mengadakan khemah-khemah bagi kanak-kanak dan beberapa lagi perkhidmatan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, hubungi Pusat Sumber dan Kesejahteraan (Resource and
Wellness Centre) di talian 03 2698 7300 atau e-mel contact@cancer.org.my

Jika anda seorang remaja yang menghidapi tumor otak

Zaman remaja anda merupakan waktu yang anda mula tidak lagi bergantung kepada ibu bapa
anda dan bertanggung jawab ke atas diri sendiri. Penyakit yang serius seperti tumor otak
menyebabkan semuanya berubah: tiba-tiba anda merasakan yang anda tidak lagi dapat
mengawal hidup anda dan ibu dapa dan doktor pula yang mengambil alih. Walaupun anda
perlukan sokongan dan kasih sayang mereka, anda mungkin benci perhatian begini. Salah satu
perkara lain yang paling sukar untuk dihadapi ialah perubahan kepada rupa anda, terutamanya
jika rambut anda telah gugur. Adalah membantu jika anda berbicara tentang segala kerumitan
yang dihadapi dengan keluarga, rakan-rakan atau seseorang yang tiada kaitan dengan situasi ini.

Senarai semak Maklumat

Anda mungkin akan mendapati yang senarai semak yang berikut berguna apabila memikirkan
tentang soalan-soalan yang anda mungkin ingin tanyakan kepada doktor anda tentang penyakit
dan rawatan anda.

1. Kanser jenis apakah yang saya hidapi?

2. Berapa teruk kanser saya? (Berapa besar kanser ini?)

3. Apakah rawatan yang doktor nasihati bagi kanser saya dan mengapa?

4. Adakah rawatan saya akan dilakukan oleh seorang doktor pakar dalam tumor sistem saraf
pusat?

5. Adakah terdapat pilihan-pilihan rawatan bagi saya? Jika tidak, mengapa?

6. Adakah terdapat percubaan-percubaan klinikal rawatan-rawatan baru yang patut saya ketahui?
7. Apakah risiko-risiko dan kesan-kesan sampingan yang mungkin setiap rawatan tersebut?

8. Adakah saya terpaksa tinggal di hospital, atau adakah saya akan dirawat sebagai pesakit luar?

9. Berapa lama masa yang diambil bagi rawatan? Berapa banyak kesannya ke atas apa yang
saya boleh lakukan? Berapa tinggi kosnya?

10. Adakah saya akan menanggung kesakitan akibat rawatan? Apakah yang akan dilakukan
untuk mengatasinya?

11. Jika saya perlukan rawatan lanjut, bagaimanakah rawatan itu dan bilakah ianya akan
bermula?

12. Adakah rawatan itu akan menjejaskan hubungan seksual saya?

13. Berapa kerap pemeriksaan yang harus diadakan dan apakah yang terlibat?

14. Adakah terdapat sebarang masalah yang harus saya berwaspada akannya?

15. Saya inginkan pendapat yang lain. Bolehkah anda merujuk saya kepada doktor lain?

16. Adakah kanser saya penyakit keturunan?

Jika terdapat sebarang jawapan yang anda tidak fahami, janganlah ragu-ragu untuk
mengatakan, "Bolehkan anda jelaskan perkara tadi sekali lagi?" atau, "Saya tidak faham apa
yang anda maksudkan dengan ..."

Lain-lain soalan dan nota


Adalah berguna untuk mencatat sebarang maklumat yang anda mungkin mahu bincangkan
dengan doktor-doktor anda.

Glosari

anestetik
Sejenis dadah yang diberikan untuk menghentikan rasa sakit seseorang. Anestetik 'setempat'
memberi rasa kebas pada sesuatu bahagian tubuh; anestetik 'am' menyebabkan diri tidak sedar
buat sementara.

angiogenesis
Pembentukan saluran-saluran darah baru untuk membekal tisu. Angiogenesis membolehkan
tumor membentuk bekalan darah sendiri yang membantunya hidup dan membesar.

angiogram
Suatu x-ray saluran-saluran darah yang telah disuntik dengan sejenis pewarna.

benigna
Tidak berkanser. Sel-sel benigna tidak dapat membiak seperti sel-sel kanser.
biopsi

Pengeluaran suatu sampel tisu daripada badan untuk diperiksa di bawah mikroskop supaya dapat
membantu mendiagnosis sesuatu penyakit

otak

Suatu gumpalan tisu saraf yang membentuk bahagian hujung atas sistem saraf pusat.

karsinoma in situ
Kanser yang melibatkan hanya sel-sel yang ia bermula dan belum berkembang ke tisu lain.

sel-sel
"Blok binaan" tubuh badan. Seorang manusia terdiri daripada berjuta-juta sel, yang disuakan
bagi fungsi-fungsi yang berlainan. Sel berupaya membahagi dan membiak, kecuali jika ianya
abnormal atau rosak, seperti mana sel kanser.

sistem saraf pusat


Otak dan saraf tunjang.

cecair serebrospinal
Cecair yang jernih dan berair yang mengelilingi dan melindungi otak dan saraf tunjang.

kemoterapi
Penggunaan dadah-dadah tertentu untuk membunuh sel-sel kanser atau melambatkan
tumbesaran mereka.

skan tomografi berkomputer (CT)


Teknik bagi membentuk gambar-gambar daripada keratan rentas tubuh dengan melakukan x-ray
pada bahagian yang hendak diperiksa daripada berbagai sudut yang berlainan.

kraniotomi
Sejenis pembedahan pada tengkorak di mana kepingan tulang dikeluarkan supaya pakar bedah
mendapat laluan ke otak. Kepingan-kepingan tulang tersebut tidak diletakkan kembali.

kraniotomi
Pengeluaran secara pembedahan suatu bahagian tengkorak.

gen-gen
Faktor-faktor yang amat kecil yang mengawal cara sel-sel tubuh membesar dan bertindak. Setiap
orang mempunyai suatu set beribu-ribu gen yang diwarisi daripada kedua ibu bapa. Gen dijumpai
di dalam setiap sel tubuh

hidrosefalus
Suatu pengumpulan cecair serebrospinal di dalam otak.

laminektomi
Suatu bukaan melalui pembedahan di tulang belakang yang sementara.

salur-salur limfa
Sistem limfa ialah sebahagian daripada sistem daya tahan badan yang melindungi tubuh daripada
'penyerang-penyerang' seperti bakteria dan parasit-parasit. Ia merupakan suatu rangkaian
nodus limfa yang kecil yang disambungkan oleh salur-salur limfa yang sangat halus yang
bercabang ke dalam setiap bahagian tubuh.

Imejan resonans magnetik (MRI)


Seperti skan CT, tetapi ujian ini menggunakan kuasa magnet dan bukannya x-ray untuk
membentuk gambar-gambar keratan rentas tubuh.

malignan
Berkanser. Sel-sel malignan boleh merebak (metatesis) dan akhirnya boleh mengancam nyawa
jika tidak dirawat.

metatesis
Sesuatu yang sekunder yang membentuk di dalam suatu bahagian tubuh yang lain daripada yang
asal (primer)

neurologi
Seorang yang pakar di dalam struktur, pengendalian dan penyakit sistem saraf (termasuk otak,
saraf tunjang dan saraf-saraf saraf periferal).

neuron
Suatu sel yang khas untuk mengalirkan impuls-impuls elektrik saraf dan dengan ini membawa
maklumat daripada satu bahagian tubuh kepada yang lain. Kita dilahirkan dengan 40 bilion
neuron. Tidak seperti lain-lain sel dalam badan, sel-sel saraf tidak membahagi dan membiak.

Pakar neurosurgeri
Seorang pakar bedah yang mahir di dalam pembedahan sistem saraf.

oftalmoskop
Suatu alat untuk melihat bahagian dalam mata.

kanser primer
Kanser yang asal. Pada suatu peringkat tertentu, sel-sel daripada kanser primer akan terpisah
dan dibawa ke bahagian lain tubuh, di mana kanser sekunder boleh terbentuk.

juru terapi sinaran


Seorang penjaga kesihatan profesional (bukan seorang doktor perubatan) yang memberi
rawatan

radioterapi
Penggunaan beberapa jenis sinaran yang tertentu, selalunya x-ray atau sinaran gamma, untuk
membunuh sel-sel berpenyakit.

kanser sekunder
Kanser metatesis.

turus spina
Tulang yang mengelilingi saraf tunjang.
saraf tunjang
Bahagian sistem saraf pusat yang terletak di dalam turus spina, yang terdiri daripada sel-sel dan
berkas-berkas saraf yang menyambungkan semua bahagian tubuh dengan otak.

steroid
Hormon yang digunakan di dalam rawatan penyakit.

tisu
Suatu kumpulan sel.

tumor
Suatu tumbesaran tisu yang baru atau abnormal pada atau di dalam tubuh.

You might also like