You are on page 1of 4

Riwayat Hidup Salahuddin al-Ayyubi

yang boleh Dijadikan Inspirasi


Nama Salahuddin al-Ayyubi yang sebenar ialah Yusuf bin Najmuddin Ayyub. Beliau dilahirkan pada
tahun 543H bersamaan 1138M di kota Tarkit (Iraq), Baghdad. Salahuddin al-Ayyubi berketurunan
Kurdish. Ibunya bernama Monsun manakala ayahnya Najmuddin Ayub bin Shadhi yang merupakan
seorang gabenor.

Salahuddin al-Ayyubi juga mempunyai susur galur kepahlawanan yang terbilang. Bapa saudaranya,
Asadudin merupakan panglima perang kepada Sultan Nur ad-Din. Bahkan bapanya juga merupakan
anak saudara kepada Sultan Nurudin Zenggi, keturunan Kurdistan yang berasal dari Azerbaijan.

Pendidikan Salahuddin al-Ayyubi

Sejak kecil lagi Salahuddin al-Ayyubi telah terdedah dengan ilmu kepahlawanan dan kepimpinan,
serta diajar dengan pelbagai ilmu peperangan, seperti seni mempertahankan diri, memanah,
menunggang kuda dan sebagainya.

Di samping itu, beliau juga mendalami ilmu keagamaan seperti tafsir al-Quran, akidah, fikah, syariah
ilmu hadis berserta sanad berserta perawinya. Beliau juga banyak menghafal syair-syair Arab.

Salahuddin al-Ayyubi mendapat pendidikan di Damsyik selama 10 tahun dan selama itulah beliau
tinggal di kawasan istana milik Sultan Nur ad-Din.

Salahuddin al-Ayyubi Menumbangkan Kerajaan Fatimiyah

Menginjak dewasa, Salahuddin al-Ayyubi menyertai tentera berkuda Sultan Nur ad-Din. Beliau
banyak mempelajari ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya. Sehingga sekitar tahun 1160M,
beliau diperintahkan untuk menyertai misi ketenteraan ke Mesir.

Salahuddin al-Ayyubi diberi tanggungjawab oleh bapa saudaranya untuk menjatuhkan kerajaan
Fatimiyah di Mesir yang berfahaman Syiah. Dengan kekuatan semangat dan tanggungjawab
menegakkan agama, beliau bersama para tenteranya berjaya menumbangkan Fatimiyah dan
mengembalikan Islam yang sebenar di kota itu.

Di Mesir barulah Salahuddin al-Ayyubi tahu bahawa, berlaku banyak konflik seperti perebutan kuasa
para gabenor serta permasalahan dalam pentadbiran, namun beliau tidak boleh bertindak
sewenangnya. Ini lantaran beliau merupakan ketua tentera dari Syria yang tidak berkuasa ke atas
para tentera di Mesir yang ketika itu dimpimpin oleh Khalifah al-Adid.

Apabila khalifah meninggal dunia pada tahun 1171, Salahuddin al-Ayyubi mengarahkan para imam
mengumumkan nama Khalifah al-Mustadi (Khalifah Abbasiyyah di Baghdad) semasa solat Jumaat.

Selepas kemangkatan khalifah, Salahuddin al-Ayyubi dilantik menjadi pemerintah yang juga wakil
Sultan Nur ad-Din di Mesir. Banyak perubahan dilakukan dalam pentadbiran, ekonomi, termasuk
menyusun semula angkatan tentera, di samping menuruti nasihat ayahnya supaya tidak berkonflik
dengan Sultan Nur ad-Din.
Sehinggalah sultan itu mangkat pada tahun 1174, barulah beliau memulakan beberapa siri kempen
ketenteraan. Salahuddin al-Ayyubi kemudiannya menjadi Sultan Mesir lalu mengisytiharkan
kemerdekaan daripada kerajaan Seljuk dan mengasaskan kerajaan Ayubbiyyah.

Pada awalnya Salahuddin al-Ayyubi melancarkan misi ketenteraan terhadap beberapa kerajaan kecil
sebelum menentang tentera Salib dan mengembalikan kota suci Baitul Maqdis kepada umat Islam.
Beliau sedaya upaya mempertahankan Mesir daripada diserang oleh pasukan Salib di bawah
pimpinan Almaric I.

Sifat Peribadi Salahuddin al-Ayyubi

Banyak sikap baik dan mulia yang dimilik oleh Salahuddin al-Ayyubi. Beliau bukan sahaja seorang
muslim yang taat, tetapi seorang tentera dan pahlawan sejati yang melengkapkan dirinya sebagai
seorang pemimpin dan pemerintah yang jarang-jarang ditemui. Selain itu, Salahuddin al-Ayyubi juga
seorang yang;

1. Tidak Berbangga Diri

Walaupun beliau dibesarkan dalam keturunan yang terhormat dan ternama, beliau tidak pernah
bangga diri dan bersikap sombong. Membesar sebagai anak gabenor dan tinggal di kawasan istana,
beliau tidak pernah menunjukan keistimewaan tersebut dengan memperkecilkan orang lain. Hal ini
berikutan pendidikan agama yang diterimanya lebih awal sejak kecil lagi.

2. Memiliki Cita-cita dan Matlamat Yang Jelas

Selain menentang musuh Islam serta menegakkan kebenaran Islam, cita-cita Salahuddin al-Ayyubi
adalah untuk menawan semula Baitul Maqdis daripada tangan pasukan Salib yang mengusai wilayah
itu. Lalu beliau bertekad dan bersiap sedia serta merancang strategi peperangan, selain menguatkan
fizikal para tenteranya.

Beliau menyatupadukan semua penduduk Islam terlebih dahulu, selain mensyaratkan semua
tenteranya mendirikan solat lima waktu.

3. Pempimpin yang Mengutamakan Rakyat

Dicatatkan, Salahuddin al-Ayyubi seorang pemimpin yang akan memberi masa kepada orang ramai
pada hari Isnin dan Selasa setiap minggu. Iaitu, beliau sendiri yang akan membacakan aduan yang
diterima, serta penyelesaiannya, lalu diucapkanya dan dicatat oleh jurutulisnya dan terus
ditandatanganinya. Beliau tidak membenarkan pengadu tersebut meninggalkannya selagi beliau tidak
menyelesaikan masalah orang itu.

4. Berakhlak

Salahuddin al-Ayyubi sangat menjaga akhlaknya walau dengan pihak musuh sekalipun, beliau tidak
mencederakan atau melakukan kekerasan terhadap orang-orang Kristian yang menyerah kalah.

Beliau juga mengarahkan pasukannya untuk menghormati peraturan perang serta menjaga adab
walaupun dalam situasi peperangan. Bahkan ada suatu waktu, ketika seorang pemimpin pasukan
Kristian sakit, beliau mengirimkan buah dan ucapan selamat melalui wakilnya. Beliau tetap
melakukan kebaikan walaupun terhadap musuh atau golongan yang bukan Islam.

5. Pemurah

Salahuddin al-Ayyubi juga sering menyerahkan semua wang atau harta yang dimilikinya kepada
orang lain tanpa mengira apa-apa pulangan. Sewaktu pasukannya berjaya menawan bandar ‘Amad.
Lalu seorang tentera menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati,
Salahuddin al-Ayyubi menyerahkan kota itu kepadanya. Beliau juga sanggup menjualkan harta
miliknya hanya untuk membeli hadiah kepada orang lain tanpa berkira-kira.

6. Tidak Terpengaruh dengan Harta

Selepas kematian Khalifah Adid semua harta tinggalannya langsung tidak diambil oleh Salahuddin al-
Ayyubi. Termasuklah harta-harta rampasan perang yang langsung tidak disentuhnya, tetapi diagihkan
kepada semua tenteranya. Bahkan sepanjang hidupnya, beliau tidak pernah menyimpan atau
mengumpul apa-apa harta.

Sumbangan Salahuddin al-Ayyubi yang Tak Ternilai

Jasa dan sumbangan Salahuddin al-Ayyubi dalam perkembangan Islam khasnya memang tidak
dapat dinafikan lagi, terlalu banyak. Terutamanya dalam peperangan menentang musuh Islam.
Antara sumbangan jasa yang Salahuddin al-Ayyubi yang terbesar dalam peperangan adalah;

1. Memenangi Peperangan Salib di Hittin

Dalam satu siri peperangan sengit antara pasukan Salahuddin al-Ayyubi menentang pasukan Salib di
Tiberias, iaitu berhampiran kaki Bukit Hittin tentera Salib berjaya dikalahkan pada 24 Rabiulakhir
583H.

Bahkan Raja Kristian yang memerintah Palestin dan adiknya Reginald dari Chatillo dapat ditawan,
termasuklah para pembesarnya dan beberapa pemimpin tentera Salib berjaya ditangkap.

Pasukan Salib menjadi lumpuh lantaran kalah teruk dengan tentera Islam. Diriwayatkan setiap
tentera Islam membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawan dan diikat dengan tali khemah.

Mayat-mayat tentera Salib berkelimpangan dan bertimbun seperti batu-batu yang memutih.
Dianggarkan lebih 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini.

2. Menawan Baitul Maqdis

Kemenangan Perang Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin al-Ayyubi dan pasukan
Islam untuk menawan kota suci Baitul Muqaddis. Beliau sangat bercita-cita tinggi dan berimpian untuk
menawan Baitul Muqaddis demi Islam tak tidak rela kota itu dimiliki oleh orang bukan Islam.

Selepas berhempas pula penuh semangat, mengorbankan nyawa melawan pasukan Salib,
Salahuddin al-Ayyubi bersama tentera Islam akhirnya berjaya menawan kota itu pada hari Jumaat, 27
Rejab 583H.

Selepas 90 tahun, laungan ‘Allahu Akhbar’ berkumandang, solat Jumaat didirikan semula di Baitul
Muqaddis dan lambang salib telah diturunkan. Peristiwa itu menjadi satu kemenangan besar yang
begitu bermakna bagi seluruh umat Islam, dan diraikan oleh para ulama seluruh dunia sehinggalah
seluruh umat Islam berkumpul untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

3. Menguasai Perang Salib Ketiga

Perang Salib Pertama merupakan detik kejatuhan Baitul Maqdis kepada tentera Salib iaitu pada
tahun 1099 (490H), manakala Perang Salib Kedua telah dimenangi oleh Salahuddin al-Ayyubi dan
pasukan Islam dalam Perang Hittin pada tahun 1187M (583H) yang kemudiannya berjaya menawan
semula Baitul Maqdis.
Seluruh penganut Kristian amnya tidak dapat menerima kekalahan itu, lalu pelbagai bantuan
ketenteraan dari negara-negara di Eropah ditawarkan untuk mendapatkan semula Baitul Maqdis.

Hampir semua raja, pemerintah dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa
iaitu raja Jerman, Philips Augustus yang juga maharaja Perancis, Leopold dari Austria, Richard The
Lion iaitu pemerintah England, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersepakat dan
bersatu untuk menyerang balas demi mendapatkan semula kota suci itu.

Salahuddin al-Ayyubi bersama-sama saudara-maranya, para pembesar dan pasukan Islam tetap
teguh dan langsung tidak berundur melawan pasukan Salib sehinggga serangan dari pasukan
Kristian yang berjumlah besar itu berjaya dipatahkan.

Peperangan itu berlanjutan selama 5 tahun sehinggakan kedua-dua belah pihak menjadi lesu dan
semakin kurang semangat, namun demi memiliki semula kota Baitul Maqdis pasukan Islam tidak
sesekali undur dengan pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Sehingga akhirnya kedua-dua belah pihak
bersetuju untuk membuat perjanjian di Ramla pada September 1192M atau 588H.

Perjanjian tersebut mengakui Salahuddin al-Ayyubi sebagai penguasa Palestin seluruhnya, kecuali
bandar Acra yang diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Dengan itu berakhirlah Perang Salib
ketiga dan kota suci Islam kekal di bawah naungan umatnya.

Kematian Salahuddin al-Ayyubi

Salahuddin al-Ayyubi meninggal dunia pada pagi Rabu, sebelum subuh pada 27 Safar tahun 589H.
Ketika itu usianya 57 tahun. Diriwayatkan, ketika meninggal dunia, beliau tidak meninggalkan apa-apa
harta kecuali satu dinar dan 47 dirham sahaja selain tidak juga mempunyai rumah, mahupun tanah
atau apa-apa harta. Bahkan semua barangan tinggalannya juga tidak cukup untuk membiayai kos
pengebumiannya dan keluarganya terpaksa berhutang.

Ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang mengorbankan segala hartanya demi negara dan
kepada sesiapa yang memerlukan. Beliau lebih mementingkan orang lain daripada mengumpulkan
kekayaan demi dirinya sendiri. Apatah lagi bertindak tidak amanah dengan harta negara.

Penutup: Salahuddin al-Ayyubi pahlawan Islam sejati yang mengembalikan kota al-
Quds kepada umat Islam.

Salahuddin al-Ayyubi telah membuktikan bahawa pemimpin yang baik adalah yang berpegang teguh
kepada agama, serta berperibadi soleh untuk dijadikan contoh kepada golongan bawahannya.
Bahkan ianya juga akan dihormati dan dipandang tinggi oleh orang yang bukan beragama Islam.

Salahuddin al-Ayyubi boleh diumpamakan sebagai sebutir bintang yang pernah dilahirkan dalam
dunia sejarah Islam. Beliau bukanlah calang-calang pemimpin tetapi seorang tokoh yang telah
membebaskan kota suci al-Quds dengan nyawa dan darahnya menjadi gadaian, jasa dan baktinya
sememangnya tidak terbayar. Semoga roh beliau sentiasa dirahmati-Nya dan ditempatkan dalam
golongan yang Allah kasihi, amiin

You might also like