You are on page 1of 1

Kisah Solat Para Sahabat

Assalamualaikum, sekadar buat renungan untuk saya dan kita semua,

Solat sahabat-sahabat Nabi saw begitu khusyuk dan nikmat sehinggakan selemah-lemah
sahabat pun diriwayatkan sekurang-kurangnya mereka solat 200 rakaat setiap hari.

Kisah 1:

Pada suatu ketika, peha Sayyidina Ali r.a. Telah terkena panah. Apabila cuba dicabut,
beliau merasa begitu sakit. Seseorang telah mencadangkan supaya panah itu dicabut
ketika beliau sedang solat. Apabila selesai solat, beliau bertanya sudahkah mereka
mencabut panah tersebut. Mereka menjawab ya. Apabila ditanya, apakah beliau tidak
merasa sakit? Beliau menjawab, beliau sedikit pun tidak merasa sakit.

Kisah 2:

Pada suatu ketika di medan jihad, Nabi telah bertanya kepada para sahabatnya, siapakah
yang bersedia untuk menjaga khemah beliau pada waktu malam. Dua orang sahabat telah
bersetuju. Seorang bernama Ammar bin Yasir r.a dan seorang lagi bernama Abbad bin
Basyir r.a. Pada malam itu mereka telah berkawal. Abbad telah mencadangkan kepada
Ammar supaya mereka berkawal secara bergilir. Beliau akan menjaga pada sebahagian
malam dan Ammar akan berkawal pada sebahagian malam lagi. Ammar telah bersetuju.

Maka Abbad telah berkawal. Sementara berkawal beliau telah mendirikan solat. Dalam
solatnya itu, beliau telah membaca surah Al Kahfi. Seorang peninjau musuh telah melihat
beliau sedang solat lalu melepaskan panah kepadanya. Satu anak panah telah kena pada
badannya. Apabila melihat beliau masih tetap solat, maka musuh telah melepaskan panah
yang kedua. Bagaimanapun, Abbad tetap juga solat. Musuh tersebut melepaskan panah
yang ketiga, lalu Abbad memberhentikan solatnya. Apabila melihatkan keadaan itu dan
terlihat Ammar yang berada di situ, maka pihak musuh menyangkakan masih ramai lagi
tentera Islam yang berkawal di situ. Lalu musuh tersebut telah melarikan diri.

Dengan badan yang berlumuran darah, Abbad telah mengejutkan Ammar yang sedang
tidur. Melihatkan badan sahabatnya yang berlumuran darah itu, Ammar begitu terkejut.
Ammar bertanya mengapa beliau lambat membangunkannya. Dia menjawab, ketika itu
beliau merasa sungguh nikmat dan malu dengan Allah untuk menghentikan solatnya.
Tetapi apabila panah yang ketiga mengenai dirinya, beliau bimbang akan keselamatan
Nabi saw, maka kerana itulah dia memberhentikan solatnya. Kalau tidak sudah pasti dia
tidak akan menghentikan solatnya dan rela mati dalam keadaan demikian.

Lihatlah mutu solat para sahabat. Bagaimana pula dengan solat kita hari ini? Seekor
nyamuk pun boleh merosakkan solat kita. Firman Allah yang bermaksud: "neraka
Waillah bagi orang yang lalai dalam solatnya." (Surah Al-Ma'un) Semoga Allah memberi
kita kekuatan untuk mengamalkan apa yang kita tahu dan dapat menyampaikannya di
antara satu sama lain.

You might also like