You are on page 1of 19

Faktor Penentu Tahap Keberkesanan Masjid dalam Pembangunan Komuniti Setempat:

Kajian Kes di Kuala Terengganu


Mardhiah Md Ramli
Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu.
dhieya@gmail.com
Abstrak
Institusi masjid merupakan sebuah institusi utama dalam penyebaran dan pembentukan tamadun
Islam sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Oleh yang demikian, kajian ini akan mengenalpasti
faktor-faktor yang menjadi indikator tahap keberkesanan institusi masjid dalam pembangunan
komuniti setempat. Kajian ini akan dilaksanakan di 10 buah masjid mukim yang terpilih di
sekitar daerah Kuala Terengganu. Responden kajian akan terdiri daripada AJK dan pentadbir
masjid, jemaah masjid serta komuniti di mukim yang terpilih. Selain itu, kajian ini juga akan
turut mengkaji peranan masjid dalam menarik minat masyarakat dalam mengimarahkan masjid
dan peranan masyarakat setempat itu sendiri dalam usaha menjadikan institusi masjid berkesan
sebagai pusat pembangunan sosial dan sahsiah masyarakat setempat.
Kata kunci: Pengurusan Masjid, Pembangunan Sosial, Pembangunan Komuniti

Pengenalan
Masjid merupakan institusi pertama yang dibina oleh Rasulullah s.a.w semasa berhijrah dari
Mekah ke Madinah. Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah s.a.w ialah masjid Quba.
Masjid ini dibina secara bergotong-royong di atas sebidang tanah kepunyaan dua orang anak
yatim. Binaan masjid ini sangat sederhana, dikelilingi oleh tembok batu-bata yang diperbuat dari
tanah liat dan berlantaikan pasir. Walaupun binaan masjid ini sangat sederhana, aspek
pengurusan masjid amat dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w dalam menggerakkan institusi
masjid. Institusi masjid sememangnya mempunyai pelbagai fungsi dan peranan yang penting. Ia
bukan sahaja dijadikan sebagai tempat yang suci bagi umat Islam untuk melakukan aktiviti
ibadat, tetapi ia juga merupakan satu institusi penting untuk membangunkan tamadun manusia,
menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan, pusat kemajuan ummah, pusat penyebaran
maklumat dan pusat kegiatan sosial masyarakat setempat. (Abdul Munir, 2012).
Menurut Noor Fiteri (2013), pembinaan Masjid Quba dianggap sebagai pengiktirafan
kepentingan masjid kepada umat Islam. Kehebatan Masjid Quba tersebut tidak terletak kepada
keluasan atau keindahan seni bina tetapi kerana kejituan dan keunggulan fungsinya untuk tujuan
ibadah khusus di samping bertindak sebagai pusat kegiatan ummah.
Takrifan masjid dari segi bahasa berasal dari perkataan terbitan Bahasa Arab iaitu sujudan
di mana kata perbuatan yang lepas (fiil madhi) kepada perkataan ini ialah sajada yang
bermaksud telah sujud. Oleh yang demikian, untuk menjadikan perkataan sajada ini sebagai
isim makan (kata nama tempat), maka huruf awalan ma ditambah dan terbitlah perkataan
masjid di mana ia membawa maksud tempat bersujud. (Sidi Gazalba, 1962).
Manakala takrifan masjid dari segi istilah pula diambil takrifannya dari firman Allah s.w.t
dalam surah At-Taubah ayat 108:

........ sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba), sejak hari
pertama adalah lebih berhak untuk engkau melaksanakan solat di dalamnya. Di dalamnya
ada orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang yang bersih.

Ayat ini menerangkan bahawa masjid yang didirikan atas dasar ketaqwaan kepada Allah
s.w.t lebih utama untuk diimarahkan berbanding dengan masjid yang didirikan oleh orang
munafik dengan tujuan untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam serta bermegah-megahan
dengan binaan masjid yang cantik. (Al-Quran Tajwid dan Terjemahan).
Zakaria (2008) mendefinisikan masjid dari aspek teknikal di mana menurut beliau, masjid
adalah merujuk kepada rumah ibadat bagi umat Islam. Masjid juga merupakan tempat umat
Islam melaksanakan ibadah sembahyang harian dan sembahyang Jumaat serta menjadi tempat
pertemuan komuniti muslim. Berdasarkan definisi ini, beliau menyatakan bahawa masjid
menjadi tanda kepada suatu institusi Islam yang penting di samping menjadi lambang kepada
kehadiran agama Islam dalam sesebuah masyarakat.
Firman-firman Allah s.w.t dalam al-Quran telah menerangkan fungsi dan peranan institusi
masjid kepada umat Islam. Antaranya ialah:

Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman
kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak
takut (kepada sesiapa pun) kecuali kepada Allah. Maka merekalah orang yang diharapkan,
termasuk golongan orang yang mendapat petunjuk (At-Taubah: ayat 18).

Ayat ini menjelaskan mengenai fungsi utama masjid sebagai tempat untuk beribadah dan
mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Di mana, istilah yamuru yang diterjemahkan sebagai
memakmurkan yang melibatkan membangun, memelihara, memugar, membersihkan, solat
atau iktikaf di dalam masjid digunakan (Ahmad Zaki, 2007). Ini menunjukkan bahawa, masjid
bukanlah hanya sebuah binaan semata-mata tetapi fungsi dan peranannya lebih luas sehingga ke
tahap memakmurkan masjid sehingga ia layak menjadi sebuah institusi pembangunan ummah.

(Cahaya itu) di rumah-rumah yang di sana telah diperintahkan Allah untuk memuliakan
dan menyebut nama-Nya, di sana bertasbih (menyucikan) nama-Nya pada waktu pagi dan
petang. Orang yang tidak dilalaikan oleh perdagangan dan jual beli daripada mengingati
Allah, melaksanakan solat dan menunaikan zakat. Mereka takut pada hari ketika hati dan
penglihatan menjadi goncang (hari kiamat). (Mereka melakukan itu) agar Allah memberi
balasan kepada mereka dengan yang lebih baik darpada apa yang telah mereka kerjakan
dan agar Dia menambah kurniaan-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada
siapa saja yang Dia kehendaki tanpa batas. (An-Nur: ayat 36 38).

Ayat 36 hingga 38 ini memuji sikap muslimin yang sedang sibuk berdagang di pasar, di
mana pada saat itu mereka mendengar azan dan mereka bersegera mendirikan solat di masjid.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim. (Al-Quran Tajwid dan Terjemahan)
Rentetan dari itulah, pada zaman awal penyebaran Islam dan zaman kegemilangannya,
masjid dijadikan sebagai satu tempat melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sosial,
pendidikan, tempat menyebar dan mempelajari ilmu, riadah dan lain-lain lagi. Malah, institusi
masjid pada zaman Rasulullah s.a.w dan zaman pemerintahan Khilafah selepas Baginda s.a.w
adalah merupakan institusi pengkajian ilmiah, penajaman pemikiran, penyempurnaan akhlak dan
seterusnya menyumbang kepada kewujudan sesebuah tamadun. (Mohd Mokhtar, 2003).
Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat solat bagi umat Islam, malah ia juga dijadikan
sebagai tempat untuk membuat kajian, pusat ilmu dan perbincangan, majlis perdamaian dan
kehakiman, pusat bantuan dan takaful serta tempat memberi pandangan dan bermesyuarat.
Peranan masjid pada zaman Rasulullah s.a.w sangat meluas sehingga menjadi tempat
menyambut wakil negara asing dan delegasi kabilah serta menjadi tempat memeteraikan
perjanjian-perjanjian. Selain itu juga, masjid menjadi satu tempat pertemuan umat Islam. (Shaikh
Ali, 1997).
Oleh yang demikian dapat disimpulkan bahawa masjid merupakan sebuah institusi yang
fleksibel dan dinamik dalam membentuk masyarakat dan tamadun, maka tidak syak lagi bahawa
masjid sebenarnya mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan sebuah masyarakat
yang rabbani kerana masjid merupakan sebuah institusi yang releven merentasi zaman. Ini
kerana, masjid merupakan satu institusi yang senang untuk diakses oleh semua orang tidak
mengira faktor umur, jantina, status dan pekerjaan.

Latar Belakang Kajian
Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a telah menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan
dan pembinaan keperibadian serta peradaban Islam secara menyeluruh. Bahkan, masjid dan
kehidupan Rasulullah s.a.w boleh diumpamakan seperti badan dan nyawa. Pernyataan ini
dibuktikan oleh sejarah kelahiran Rasulullah s.a.w yang disempurnakan di Makkah di sekitar
Kaabah, iaitu masjid pertama dalam peradaban Islam dan umat manusia. Berlakunya peristiwa
Isra dan Miraj adalah bermula dari Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah ke Masjidil Aqsa
di Baitul Muqaddasah. Di samping itu, peristiwa hijrah juga bermula dari masjid ke masjid iaitu
Makkah dan Madinah. Malah agenda hijrah yang pertama di Madinah ialah pembinaan Masjid
Quba dan kemudiannya pembinaan Masjid Nabawi. Tambahan pula, tempat yang dipilih
sebagai tempat pembukaan kota Makkah pada tahun 8 hijrah ialah di Masjidil Haram. Masjid
Nabawi dan Masjidil Haram kemudiannya dijadikan sebagai pusat ibadat dan pusat kegiatan
serta perkembangan perpaduan oleh Rasulullah s.a.w dan pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin
selepas kewafatan Baginda s.a.w. (Lokman dan Musa, 1996).
Masjid pada zaman pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin dan zaman pemerintahan kerajaan
selepasnya meneruskan lagi legasi institusi masjid sebagai pusat peradaban Islam. Ini dibuktikan
dengan peristiwa baiah penerimaan jawatan dan baiah kesetiaan muslimin kepada Khalifah
Abu Bakar as-Siddiq r.a yang telah diadakan di Masjid Nabawi. Malah, Masjid Nabawi menjadi
pusat rasmi bagi perlantikan dan baiah khalifah-khalifah Islam iaitu empat orang Khulafa ar-
Rasyidin selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-
Khattab r.a, beliau telah menugaskan gabenor Abu Musa al-Asaari dan Saad bin Abi Waqqas
supaya menjadikan masjid sebagai pusat kepimpinan mereka. Seterusnya Khalifah Al-Walid bin
Abdul Malik pada era pemerintahan Umayyah telah membina Masjid Jami Damsyik dan
menjadikan masjid tersebut sebagai pusat pendidikan rohaniah dan perkembangan ilmu al-Quran
dan keilmuan yang sangat dihormati dalam sejarah Islam. Di masjid ini juga ulama Mazhab
Maliki dan Mazhab Syafie menjalankan pengajian ilmu perundangan Islam. Bahkan, pemerintah-
pemerintah selepas itu turut membina masjid yang dijadikan sebagai mercu tanda pembinaan
bandar dan menjadi pusat perkembangan ilmu dan kesusasteraan Islam seperti Masjid al-Mansur,
di Baghdad yang dibina oleh Khalifah al-Mansur pada tahun 145 hijrah. Manakala Masjid Jami
Amru al-As, Masjid al-Askar, Masjid Ahmad Ibnu Tulun dan Masjid al-Azhar di Mesir telah
menjadi pencetus kepada sebuah peradaban baru yang memberi kesan pengaruh Islam di Afrika
Utara. Masjid al-Azhar yang dibina pada tahun 360 hijrah telah menjadi lambang keagungan
ilmu dalam Islam dan menjadi sebuah universiti yang telah banyak melahirkan ulama-ulama
dunia yang dikagumi. (Lokman dan Musa, 1996).
Namun, fungsi masjid pada masa kini sudah banyak berubah. Peranannya telah menjadi
sempit dan lebih tertumpu sebagai tempat untuk melaksanakan ibadat khusus semata-mata.
Manakala program-program yang dianjurkan kebanyakannya memfokuskan kepada pengajian
fardhu ain yang dikendalikan dalam bentuk dan corak tradisi. Oleh yang demikian, masjid dilihat
telah hilang seri dan daya tarikannya terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Permasalahan Kajian
Berdasarkan pembacaan dan penelitian secara umum terhadap peranan dan aktiviti masjid
sebagai agen pembangunan komuniti pada zaman mutakhir ini, penyelidik mendapati bahawa
institusi masjid masih lagi belum memainkan peranan yang aktif sehingga dapat memberi kesan
positif yang maksima terhadap pembangunan komuniti setempat.
Situasi ini berpunca daripada kelemahan kepimpinan dalam pengurusan institusi masjid.
Ahmad Zaki (2007) dan Abdul Munir (2012) menegaskan bahawa pada zaman awal kebangkitan
Islam, masjid diimarahkan dengan menjadi pusat penjanaan kelahiran tokoh-tokoh muttaqin
cemerlang yang terdiri daripada para sahabat, tabiin dan para ulama. Namun demikian, situasi
yang sebaliknya berlaku pada masa kini, di mana kelemahan dan kejatuhan umat masa kini
adalah berpunca daripada kelemahan kepimpinan dalam pengurusan institusi masjid. Menurut
mereka lagi, institusi masjid tidak lagi berfungsi secara menyeluruh dan berkesan bagi menarik
seluruh masyarakat Islam untuk mencintainya. Tambahan pula, pengurusan masjid tidak diurus
dengan baik dan kebanyakan masjid ditadbir secara kurang berkesan.
Selain itu, menurut Mohd Nizam (2009) golongan yang banyak mengimarahkan masjid ialah
golongan dewasa yang telah berumur dan berpencen. Manakala, golongan belia kurang berminat
untuk terlibat dalam aktiviti mengimarahkan masjid ini. Pernyataan ini diperkukuhkan lagi oleh
Pahrol Mohd Juoi di dalam bukunya Beduk Diketuk (2011) yang menyatakan bahawa rata-rata
masjid adalah bersifat tidak mesra remaja dan pekerja.
Sedangkan masjid seharusnya menjadi satu tempat yang dikunjungi oleh masyarakat tanpa
mengira umur, jantina dan status sosial mereka. Masjid juga dilihat kurang berperanan dari aspek
pembangunan sosial dan spiritual masyarakat setempat. Sebaliknya hanya menjadi medan
pengajian ilmu keagamaan semata-mata. Menurut Shahrulanuar et. al (2008), kebanyakan masjid
hari ini hanya dipenuhi pada solat Jumaat sahaja dan telah hilang fungsi asalnya. Dalam kajian
tersebut, mereka menyatakan harapan agar masjid dapat dimanfaatkan ke arah membangunkan
peribadi individu muslim yang bertindak sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini.
Azam et al. (2007) menyatakan bahawa kebanyakan masjid hanya digunakan untuk
menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah serta sedikit aktiviti keagamaan lain seperti
membaca Surah Yasin beramai-ramai, bertahlil dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti lain seperti
mesyuarat jawatankuasa penduduk, majlis ramah mesra dan lain-lain dianggap sebagai bukan
aktiviti keagamaan dan jarang dibenarkan diadakan di masjid-masjid.
Kasyfullah et al. (2013) pula menyatakan bahawa kelemahan yang menjadi cabaran dalam
memperkasakan institusi masjid ialah program atau aktiviti yang dijalankan oleh masjid adalah
statik dan tiada sebarang perubahan. Pernyataan beliau menyokong hasil dapatan kajian yang
telah dilaksanakan oleh Ajmain (2008) dan Aziz (2010) berkaitan dengan faktor aktiviti atau
program yang dilaksanakan oleh pihak masjid yang kurang diminati adalah disebabkan sistem
tadbir urus yang masih lagi berbentuk tradisi dan ketinggalan dari menggunakan arus teknologi
semasa. Situasi ini telah menyukarkan matlamat untuk menjadikan institusi masjid sebagai
institusi yang berkesan dalam memainkan peranan dan fungsinya dalam pembangunan komuniti
setempat.
Menurut Zawawi (2007) masjid merupakan satu tempat di mana bermulanya ikatan
persaudaraan dan kesatuan ummah. Ikatan persaudaraan dan kesatuan ummah ini mestilah
diasaskan dengan satu ikatan yang dinamakan ikatan keimanan. Jika sesuatu kesatuan ummah itu
diasaskan kepada ikatan yang selain dari ikatan keimanan, maka kesatuan ummah adalah sukar
untuk dicapai. Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa masjid mempunyai peranan yang
sangat penting dalam menyatukan ikatan persaudaraan sesama umat Islam. Ini kerana masjid
merupakan satu institusi yang meletakkan asas keimanan dan ketaqwaan sebagai dasar kepada
pengimarahan dan kemakmuran sesebuah masjid.
Hal ini telah difirmankan Allah s.w.t dalam al-Quran, Surah At-Taubah ayat 17 yang
bermaksud:

Tidaklah layak orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah, sedang mereka
mengakui bahawa mereka sendiri kafir. Itulah orang yang sia-sia pekerjaannya dan mereka
kekal di dalam neraka.

Berdasarkan ayat di atas, Sidi Gazalba (1971) menyatakan bahawa orang-orang yang pura-
pura beriman atau musyrik tidak berhak memakmurkan masjid Allah. Sekiranya mereka
memakmurkan masjid Allah, sudah pasti ada niat yang tersembunyi di sebalik tindakan mereka
itu. Beliau menerangkan lagi bahawa hanya orang-orang yang beriman benar-benar
memakmurkan masjid. Ini kerana, sebelum seseorang itu menjadi orang yang beriman, sudah
tentu mereka berusaha menanamkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t terlebih dahulu
dalam kalangan ahli yang memakmurkan masjid. Apabila seseorang itu sudah beriman, sudah
pasti mereka secara automatik akan terpanggil untuk mengimarahkan masjid.
Menurut beliau lagi, isu utama untuk menyeru umat Islam untuk menjadi seorang yang
beriman ialah kaedah atau cara yang tepat bagi menyeru individu atau masyarakat yang lemah
imannya untuk datang ke masjid bagi mendalami ilmu agama. Sedangkan kebanyakan daripada
individu atau masyarakat sasaran itu sendiri tidak mempunyai minat untuk ke masjid. Inilah
antara isu yang bakal dikupas dalam kajian ini, iaitu mengenai sejauhmana peranan institusi
masjid dalam menarik minat masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti dan program yang
dianjurkan oleh pihak masjid.
Justeru, kajian ini adalah bertujuan untuk mengkaji faktor-faktor utama yang menentukan
tahap keberkesanan masjid dalam pembangunan komuniti setempat. Ia amat berkait rapat dengan
peranan institusi masjid dalam menarik minat masyarakat setempat untuk terlibat dalam aktiviti
dan program yang dianjurkan oleh masjid yang mana situasi ini didapati akan mempengaruhi
pembangunan sosial dan sahsiah masyarakat setempat.

Objektif Kajian
Objektif kajian ini terbahagi kepada tiga iaitu untuk menganalisis faktor penentu tahap
keberkesanan yang menjadi indikator kepada keberkesanan institusi masjid terhadap komuniti
setempat dari aspek pembangunan sosial dan pembangunan ummah, mengetahui peranan yang
dimainkan oleh institusi masjid dalam menarik minat masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti
dan program yang dilaksanakan oleh pihak masjid serta mengkaji pengaruh penglibatan
masyarakat dengan masjid terhadap pembangunan sosial dan sahsiah masyarakat setempat.

Sorotan Literatur
Malaysia merupakan sebuah negara yang menitikberatkan pembangunan syiar Islam.
Terdapat pelbagai institusi Islamik yang dibina dalam usaha untuk memartabatkan syiar Islam.
Antaranya ialah sistem kewangan Islam, institusi pendidikan Islam dan tidak ketinggalan
pembinaan masjid yang pesat di serata Malaysia. Namun, adakah pembangunan syiar Islam ini
adalah selari dengan usaha untuk memartabatkan syariat Islam di Malaysia?
Kajian mengenai institusi masjid ini telah dijalankan oleh beberapa pengkaji dan kajian yang
dilakukan adalah berbeza di antara pengkaji dengan pengkaji yang lain dari aspek objektifnya,
skop kajian, tema dan lokasi kajian. Kajian yang bakal dilakukan ini akan mengambil beberapa
contoh kajian-kajian yang lepas sebagai panduan dan titik permulaan kepada kajian secara
mendalam yang bakal dilakukan. Kajian yang lepas oleh beberapa pengkaji sebelum ini
memberikan gambaran yang lebih jelas tentang institusi masjid dan memberi panduan kepada
pengkaji dalam melengkapkan kajian ini.
Ahmad Puhad dan Siti Roddiah (2010), dalam kajian mereka menyatakan bahawa aktiviti
yang dirancang oleh pihak masjid adalah memenuhi keperluan dan menarik minat masyarakat
untuk menyertainya seterusnya sambutan masyarakat terhadap aktiviti masjid akan membawa
kejayaan kepada institusi masjid.

Manakala Zulkifli (2009), telah menyarankan tiga kriteria yang boleh dititikberatkan dalam
merangka masjid alaf baru. Kriteria-kriteria tersebut adalah; masjid haruslah menyediakan
kemudahan yang boleh menarik orang ramai untuk datang ke masjid seperti kemudahan
berwuduk yang sesuai untuk kanak-kanak, perpustakaan kecil yang boleh menarik minat kanak-
kanak, mengadakan program atau aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak seperti kem motivasi
dan lain-lain. Kriteria yang kedua pula, masjid perlu menjadi lokasi yang terpelihara dengan baik
seperti memastikan masjid sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kemudahan yang
disediakan sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Manakala kriteria yang ketiga pula ialah,
selain dijadikan sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan, masjid alaf baru yang dicadangkan perlu
menjadikan budaya belajar sepanjang hayat sebagai salah satu agenda masjid.
Asmak (2008) dalam tinjauan awal beliau tentang kefahaman peranan masjid dalam
masyarakat yang telah dilakukan terhadap 150 orang siswa dan siswi UiTM, menyatakan bahawa
faktor yang menyebabkan pelajar tidak mengetahui masjid mempunyai pelbagai peranan adalah
disebabkan masjid di tempat mereka tidak aktif dan hanya digunakan untuk upacara keagamaan
sahaja. Beliau juga menyatakan bahawa responden kajian tidak keberatan untuk bekerjasama
dengan pihak masjid sekiranya diperlukan. Ini bermaksud, pihak masjid perlu memikirkan
program yang sesuai untuk menarik penyertaan remaja dalam aktiviti masjid samaada sebagai
peserta, penganjur dan lain-lain.
Selain itu, Hairunnizam et al. (2009) dalam kajian mereka yang bertajuk Masjid dan
Pembentukan Modal Sosial: Apakah Faktor Penentu Aktivism Masjid? mendapati bahawa
faktor-faktor kategori masjid yang lebih rendah seperti masjid mukim lebih cenderung untuk
aktif berbanding dengan kategori masjid yang lain. Faktor tahap pendidikan pengerusi
jawatankuasa masjid juga didapati mempengaruhi tahap keaktifan masjid di mana semakin tinggi
pendidikan pihak pengurusan masjid, maka masjid tersebut adalah cenderung untuk lebih aktif.
Tambahan pula, gaya pengurusan yang diukur melalui pembolehubah kekerapan mesyuarat yang
dijalankan oleh jawatankuasa masjid juga secara signifikan mempengaruhi keaktifan masjid.
Menurut Adel (2007), pentadbiran masjid yang kemas dan tersusun merupakan faktor
kejayaan sesebuah institusi masjid di samping usaha dan inisiatif pihak pentadbiran masjid yang
terbabit dalam mewujudkan suasana yang kondusif, harmoni dan mampu menarik kehadiran
ramai jemaah untuk hadir ke masjid. Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa tindakan
yang bijak dan berhemah perlu diambil oleh pihak pentadbiran masjid bagi mengawasi dan
memelihara kemuliaan masjid daripada perbuatan mungkar dan dosa yang mungkin dilakukan di
dalam atau di kawasan masjid. Penyataan tersebut disokong oleh kajian yang dilakukan oleh
Kasyfullah et. al (2013) menunjukkan bahawa tahap keberkesanan masjid sebagai agen
transformasi komuniti adalah dipengaruhi oleh faktor urustadbir, kepimpinan dan
kebolehberdikarian institusi masjid yang mantap dan efisyen.
Selain itu, dapatan kajian Noor Fiteri (2013) menyatakan bahawa kemudahan dan
perkhidmatan rumah penginapan perlu disediakan oleh pihak masjid bagi kegunaan para musafir
yang memerlukan. Ia bukan sahaja sebagai daya penarik kepada masyarakat untuk
mengimarahkan masjid, malah kemudahan rumah musafir ini boleh dijadikan sebagai daya
penarik kepada sektor pelancongan. Menurut beliau, hubungan di antara pelancongan dan masjid
perlu dikembangkan lagi. Ia bukan sekadar untuk menikmati keindahan seni bina dan ukiran
semata-mata.
Jaafar et al. (2009) dalam kajian mereka menyatakan bahawa kelulusan dan jawatan tinggi
yang pernah diperolehi oleh pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid tidak semestinya menjamin
kecekapan mereka dalam mengurus dana dan harta masjid. Mereka mencadangkan agar pihak
yangg berkaitan dengan pengurusan institusi masjid seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri menyediakan latihan pengurusan dana dan
harta serta memberikan pendedahan yang berterusan dalam aspek ini. Kajian tersebut juga
mencadangkan agar latihan dalam pengurusan dana dan harta yang lebih menyeluruh perlu
diadakan. Ini bertujuan untuk membantu jawatankuasa masjid agar mampu menggerakkan dana
masjid dengan lebih aktif bukan sekadar menjana pulangan yang banyak kepada institusi masjid,
malah apa yang lebih penting ialah menyediakan atau mengeluarkan dana yang sewajarnya bagi
membiayai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh masjid.
Selain itu, langkah yang paling utama dalam usaha menjana kemajuan pengurusan masjid
ialah dengan memahami aras kecemerlangan pengurusan sesebuah masjid. Terdapat beberapa
tanda aras umum yang boleh dicapai oleh kepimpinan masjid. Antaranya ialah, pertama:
pengurusan masjid yang telus, kemas, cantik, bersih dan baik; kedua: masjid hendaklah
diimarahkan sepanjang masa dengan pelbagai kegiatan; ketiga: fungsi masjid yang sebenar
mestilah dapat dilaksanakan; keempat: masjid mestilah menjadi pusat utama kegiatan hidup
masyarakat Islam; kelima: pembangunan masjid hendaklah selaras dengan peredaran zaman; dan
yang keenam: lokasi masjid yang dibina mestilah strategik dan berpusat kepada komuniti.
(Ahmad Zaki, 2007)

Metodologi Kajian
Kajian ini akan mengkaji faktor penentu tahap keberkesanan masjid dalam pembangunan
komuniti setempat di mana lokasi kajian yang dipilih ialah di 10 buah masjid mukim yang
terpilih di sekitar daerah Kuala Terengganu. Seramai 200 orang responden akan dipilih
menggunakan kaedah rawak mudah. Manakala pemilihan jenis responden akan dipilih
menggunakan kaedah rawak berstruktur di mana responden terdiri daripada AJK dan pentadbir
masjid, ahli jemaah masjid dan ahli komuniti masjid mukim yang dipilih.
5 set soal selidik akan diedarkan kepada ahli masjid yang terdiri daripada AJK, pentadbir
masjid dan jemaah masjid. Manakala 15 set soal selidik akan diedarkan kepada komuniti yang
tinggal berhampiran dengan masjid yang akan dikaji. Selain itu, temubual secara terperinci
dengan beberapa orang pentadbir dan AJK masjid serta key-informant yang terdiri daripada
pegawai Jabatan Agama dan Hal Ehwal Islam negeri Terengganu juga akan turut diadakan bagi
mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai pengurusan dan pentadbiran masjid-
masjid mukim di daerah Kuala Terengganu. Hasil dapatan kajian data kuantitatif yang
menggunakan kaedah soal selidik akan dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical
Package for Social Science versi 18 (SPSS 18), manakala hasil kajian data kualitatif iaitu
temubual berstruktur secara terperinci akan dianalisis dengan menggunakan perisian NVivo.

Kesimpulan
Institusi masjid bukan sekadar berperanan sebagai tempat untuk beribadah semata-mata,
bahkan ia mempunyai fungsi yang lebih penting sebagai pusat pembangunan sebuah masyarakat
yang bertamadun. Malah, pembinaan empayar dan tamadun Islam itu sendiri bermula dari
institusi masjid. Justeru, faktor-faktor penentu tahap keberkesanan yang akan dikaji ini
seharusnya dapat menjadi panduan kepada institusi masjid dan agensi yang berkaitan dalam
memperkasakan lagi pengaruh institusi masjid dalam pembangunan komuniti setempat.

Rujukan
Abdul Munir Ismail (2012). Urus Tadbir Masjid Secara Berkesan. Tanjung Malim: Penerbit
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Adel M. Abdulaziz, Ahmad Kamel Mohamed, Nidzamuddin Zakaria (2008). Kepentingan dan
Peranan Masjid dari Sudut Pendidikan Dalam Masyarakat. Fungsi dan Peranan Masjid
dalam Masyarakat Hadhari. Skudai : Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Ahmad Zaki Hj. Abdul Latiff (2007). Pentadbiran Masjid Secara Profesional. Islam Hadhari
Kekuatan Masjid dalam Menjana Masyarakat Gemilang. Putrajaya: Yayasan Islam
Hadhari Malaysia.
Ajmain @ Jimaain Safar (2008). Institusi Masjid dalam Memperkasakan Modal Insan,
dalam buku Pengurusan Berkualiti Memacu Kecemerlangan Masjid, Skudai:
Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Al-Quran Tajwid dan Terjemahan Berserta Asbabun Nuzul, Hadith Sahih dan Indeks Tematik.
Kajang: Humaira Bookstore Enterprise.
Asmak Haji Ali dan Hashim Mat Said (2007). Peranan Masjid Dalam Masyarakat
Hadhari. Kertas Kerja Seminar Kebangsaan pengurusan Masjid anjuran Masjid
Sultan Ismail, UTM dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia.
Azam Hamzah dan Huzaimah Ismail (2007), Masjid Sebagai Kampus Terbuka. Islam Hadhari
Kekuatan Masjid dalam Menjana Masyarakat Gemilang. Putrajaya: Yayasan Islam
Hadhari.
Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Senarai Nama Masjid
Negeri Terengganu. Semakan 1 Julai 2012.
Drs. Sidi Gazalba (1962). Mesjid Pusat Ibadat dan Kebudayaan Islam. Jakarta: Pustaka Al-
Husna
Drs. Sidi Gazalba (1971). Masjid Pusat Pembinaan Ummat. Jakarta: Pustaka Antara.
Hairunnizam Wahid, Nor Ghani Md Nor, Jaafar Ahmad dan Sanep Ahmad (2009). Masjid dan
Pembentukan Modal Sosial: Apakah Faktor Penentu Aktivism Masjid?. Prosiding
Bengkel Penyelidikan Gunaan dalam Ekonomi Islam. Bangi: Fakulti Pengajian Ekonomi,
UKM.
Jaafar Ahmad, Sanep Ahmad, Mariani Ab. Majid, Hairunnizam Wahid (2009). Dana dan Harta
Masjid Malaysia: Ke Arah Pengurusan Strategik. Prosiding Bengkel Penyelidikan
Gunaan dalam Ekonomi Islam. Bangi: Fakulti Pengajian Ekonomi, UKM.
Jabatan Perangkaan Malaysia (2011). Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia Taburan
Penduduk dan Ciri-ciri Asas Demografi. Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia.
Kasyfullah Abd. Kadir et al. (2013). Pembentukan Model Pemerkasaan Masjid Sebagai
Agen Transformasi Komuniti. Penyelidikan Pemacu Pembangunan Negara
Prosiding Seminar Hasil Penyelidikan Sektor Pengajian Tinggi Ke-3 2013. H.
1037 1046.
Lokman Ab. Rahman dan Musa Ahmad (1996). Pengantar Sains Pengurusan Masjid. Melaka:
Majlis Agama Islam Melaka dan Kolej Islam Melaka
Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi (1999). Peranan, Kurikulum dan Reka Bentuk Masjid
Sebagai Pusat Pembangunan Masyarakat. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi
Malaysia.
Mohd Mokhtar Shafii (2003). Masjid Sebagai Pusat Pendidikan dan Penjanaan Ummat
Cemerlang. Jurnal Pendidikan Islam Jilid 10 Bil 3. Diakses di laman sesawang i-
epistemology.net.
Mohd Nizam Sahad & Ahmad Badri Abdullah (2009). Usaha-usaha ke arah Penambahbaikan
Pengurusan dan Pentadbiran Masjid. Isu-isu Pengurusan dan Pengimarahan Masjid di
Alaf Baru. Nilam Puri: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Noor Fiteri Abdullah (2013). Masjid Mengendalikan Penginapan: Pilihan Alternatif Kepada
Industri Pelancongan. Terengganu International Tourism Conference 2013. Diakses di
http://www.academia.edu pada 11 Disember 2013.
Pahrol Mohd Juoi (2011), Beduk Diketuk. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
Roslan Mohamed (2008). Pemerkasaan Masjid Melalui Pengurusan Profesional. Pengurusan
Berkualiti Memacu Kecemerlangan Pengurusan Masjid. Skudai: Penerbit Universiti
Teknologi Malaysia.
Sabitha Marican (2006). Kaedah Penyelidikan Sains Sosial. Petaling Jaya : Pearson
Prentice Hall.
Shahrulanuar Mohamed, Mahadi Abu Hassan, Ahmad Ridzwan Mohd Noor, Nooraini Sulaiman
(2008). Pengimarahan Masjid Asas Pembangunan Modal Insan: Kajian di Masjid Al-
Alami MITC, Melaka. Pengimarahan Masjid dalam Agenda Ummah. Skudai: Penerbit
Universiti Teknologi Malaysia.
Shaikh Ali Mohamad Mokhtar (1997). Peranan Masjid dalam Islam. Kuala Lumpur: Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia.
Zakaria Stopa (2008). Peranan Masjid dalam Membangun Masyarakat Hadhari. Koleksi Kertas
Kerja Isu Semasa Siri 5. Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Zawawi Ismail (2007). Perspektif Al-Quran dan Sunah Bagi Kecemerlangan Umat. Islam
Hadhari Kekuatan Masjid dalam Menjana Masyarakat Gemilang. Putrajaya: Yayasan
Islam Hadhari.
Zulkifli Haji Mohd Yusoff (2009). Fungsi Masjid dalam Kehidupan Umat Islam: Realiti dan
Harapan. Isu-isu Pengurusan dan Pengimarahan Masjid di Alaf Baru. Nilam Puri:
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

You might also like